Author: Wartawan WartaRakyat

  • RM13 juta bukan wang rasuah, CEO MBI Kedah jelaskan perkara sebenar

    RM13 juta bukan wang rasuah, CEO MBI Kedah jelaskan perkara sebenar

    Oleh BADLISHAH MAT

    KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman menafikan tuduhan RM13 juta yang dikaitkan dalam penangkapannya sebagai hasil rasuah dan salah guna kuasa berkaitan unsur nadir bumi (REE).

    Beliau menegaskan nilai tersebut adalah pelaburan yang dibuat oleh pengurusan MBI terdahulu, malah pihaknya sedang berusaha mendapatkan kembali wang berkenaan.

    Muhamad Sobri berkata, beliau diamanahkan untuk menjaga perbadanan tersebut bagi membantu melonjak ekonomi negeri.

    “Negeri kita miskin, saya mencari sumber baharu kepada Kedah, saya bekerja bersungguh-sungguh dan kita menemui REE,” katanya ketika berucap pada Ceramah Gelombang Perikatan Nasional (PN) di Padang Awam Kuala Ketil di Baling, malam tadi.

    Rabu lalu, Muhamad Sobri dan seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit salah guna kuasa dalam sektor perlombongan membabitkan nilai RM13 juta.

    Beliau menjelaskan telah terlibat secara langsung dalam urusan REE termasuk berusaha mendapatkan prosedur operasi standard (SOP) daripada kementerian berkaitan sejak tiga tahun lalu.

    “Saya tak berhenti jumpa Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk kita dapat kelulusan tapi tak berhasil.

    “Malangnya ada orang datang mencuri (REE) dan pencuri sudah ditangkap serta didakwa. Tiba-tiba dikaitkan kita mencuri dan Menteri Besar kononnya melindungi kita dan bukti yang dikemukakan adalah surat PTG kepada MBI Kedah,” katanya.

    Katanya, ketika menerima surat daripada PTG berkaitan kompaun dikenakan, beliau berjumpa pengarah jabatan itu agar tidak diletakkan nama MBI kerana ia akan mencemarkan nama baik MBI dan Menteri Besar.

    Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh dilakukan memandangkan MBI Kedah merupakan pemegang lesen sah kawasan ladang hutan yang berlaku kecurian.

    “Perkara ini sudah dijelaskan Menteri Besar, namun enggan diterima pihak yang mendakwa berlaku rasuah dalam MBI. Saya tanya Pengurus Kewangan MBI yang disoal SPRM mengenai RM13 juta, dia kata tak tahu, (pegawai SPRM) yang temubual pun tak tahu nak ambil keterangan apa,” katanya.

    Muhamad Sobri turut memaklumkan, semua kelulusan yang diberikan oleh MBI Kedah kepada syarikat yang meneroka REE di Bukit Enggang, Sik tidak mempunyai kaitan dalam urusan politik atau parti.

    “Dalam kes ini cuba dikaitkan dengan kelulusan yang diberikan saya kepada syarikat tertentu yang mana syarikat ini ada beri sumbangan dana politik kepada Pas. Mereka nak beri sumbangan saya kata jangan bagi di pejabat, nak bagi pergi ke pejabat parti, jangan campur aduk urusan politik dan pentadbiran.

    “Maka mereka bawa duit dan cuba beri di Kompleks Pas sejumlah RM1 juta, bukan beri kepada saya tapi parti yang terima,” katanya.

    Bagaimanapun Muhamad Sobri menjelaskan, wang tersebut dipulangkan semula oleh pimpinan kerana setelah diteliti ianya dikhuatiri membahayakan pihaknya.

    “Takut dijadikan alasan kita meluluskan sesuatu sedangkan tak ada kaitan, maka parti memutuskan pulangkan sumbangan tadi. Jadi bagaimana nak dikaitkan dengan kelulusan yang diberikan dengan sumbangan yang dipulangkan balik berkenaan,” katanya.

  • ‘Calon anak beranak, tak sepatutnya dijadikan isu’ – Bibi Sharliza

    ‘Calon anak beranak, tak sepatutnya dijadikan isu’ – Bibi Sharliza

    KETUA Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid mengakui sudah menjadi perkara biasa dalam pilihan raya ada calon yang ditampilkan dalam kalangan ahli keluarga.

    Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana calon dipilih dalam kalangan yang terbaik selain berdasarkan jawatan yang disandang dalam parti.

    “Biasalah kalau BN saja semua tak boleh. Apa yang peliknya kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad pun pada Pilihan Raya Umum ke-15 bertanding Parlimen di Kedah bersama anaknya, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz).

    “Ada lagi contoh lain misalnya sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang mana saya berpendapat soal calon anak beranak ini tak sepatutnya dijadikan isu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Wisma UMNO Negeri Sembilan, Port Dickson hari ini.

    Sharliza mengulas berhubung pemilihannya sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dan anaknya, Mohd. Najib Mohd. Isa sebagai calon DUN Bagan Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) di negeri ini.

    Bagaimanapun katanya, itu bukan bermakna yang UMNO sudah ketandusan calon.

    Malah beliau berpendapat yang Najib sepatutnya sudah diangkat sebagai calon ketika dalam Pemuda lagi tetapi ketika itu masih belum ada rezeki.

    “Kebetulan pula rezeki dia bertanding dengan saya pada PRN ini dan bagi saya ia bukan jadi isu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bibi Sharliza yang berasal dari Kuala Pilah pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi dari 2004 hingga 2008, manakala Najib yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Port Dickson baharu kali pertama bertanding pilihan raya.

  • JBPM jalankan siasatan dalaman nahas helikoper ketika belum terbang

    JBPM jalankan siasatan dalaman nahas helikoper ketika belum terbang

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung nahas melibatkan helikopter miliknya di Subang semalam.

    JBPM dalam satu kenyataan memberitahu, Bahagian Pengurusan Korporatnya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian yang berlaku ketika helikopter masih belum memulakan penerbangan.

    Jelas JBPM, pihaknya akan mengambil tindakan susulan selaras dengan dapatan serta arahan dan prosedur semasa yang berkuat kuasa.

    Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan menjalani pengujian enjin dan sistem pesawat yang merupakan prosedur biasa yang dilaksanakan setelah pesawat menjalani penyelenggaraan berkala, pada 11.40 pagi.

    “Setelah beberapa ketika pesawat berada dalam pengujian tersebut, berlaku kemalangan ke atas pesawat yang mana pada ketika itu ia masih belum membuat penerbangan.

    “Keadaan cuaca semasa kejadian dilaporkan mendung, tanpa sebarang halangan di tempat kejadian,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Semalam, media melaporkan tiga pegawai JBPM dan empat jurutera selenggara terlibat dalam nahas helikopter di Dispersal Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (kawasan apron UniKL MIAT) Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Nahas pada 11.45 pagi itu melibatkan helikopter model Agusta AW189 milik JBPM dengan nombor pendaftaran 9M-BOF yang ketika kejadian sedang menjalani ujian penerbangan.

    JBPM berkata, pesawat terbabit dikendalikan oleh Komander Pesawat, Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman.

    Beliau dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan seorang Air Quartermaster, Pegawai Kanan Bomba I Fua’ad Jamaluddin.

    Selain itu, empat kru senggaraan daripada Syarikat Galaxy Aerospace Sdn Bhd turut berada di dalam pesawat iaitu ketua jurutera Muhammad Mohd. Taib, jurutera avionik Ahmad Zhafri Mohd. Nor dan dua pelatih, masing-masing Mohammad Zhafir Mohammad dan Ryan Xavier Julius.

    “Kesemua anak kapal dan kru senggaraan yang terlibat mendapat rawatan dan pemeriksaan awal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

    “Mangsa dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali seorang kru senggaraan yang mengadu sakit pinggang dan diarah membuat pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran.

    “Setelah pemeriksaan rapi dibuat, beliau dibenarkan pulang dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Sanusi dedah rancangan ‘kenakan’ beliau diatur enam bulan lalu

    Sanusi dedah rancangan ‘kenakan’ beliau diatur enam bulan lalu

    Oleh BADLISHAH MAT

    RANCANGAN untuk menangkap dan menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dirancang sejak enam bulan lalu, dedah Menteri Besar Kedah itu.

    Muhammad Sanusi berkata, maklumat tersebut diterima daripada pelbagai pihak yang sejak awal-awal lagi memberi peringatan kepadanya susulan kritikan terbuka kepada pihak tertentu.

    “Plot untuk tangkap saya sudah dirancang sejak enam bulan lalu, saya tahu dah, saya ada ‘inteligent’ saya, orang pesan jaga-jaga ada orang nak buat (sesuatu) kepada saya.

    “Untuk keselamatan, saya ada pistol dalam kereta 24 jam, ada dua magazine, 14 peluru satu magazine, 24 jam berjaga-jaga takut orang buat jahat.

    “Tapi kalau orang tak buat jahat, saya tak buat jahat pada orang,” katanya pada Ceramah Gelombang Perikatan Nasional (PN) di Padang Awam Kuala Ketil di Baling, malam tadi.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi kesal kerana permintaannya untuk mendapatkan salinan dua kertas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak diberikan pihak pendakwaan selepas selesai proses di mahkamah.

    “Saya hormat rakan dalam Polis Diraja Malaysia, jangan salahkan polis kerana mereka jalankan tugas atas arahan atasan sampai ke menteri, mereka terpaksa. Tujuan ditangkap untuk menjatuhkan kredibiliti saya, nak tarik saya jatuh ke tanah.

    “Saya didakwa atas dua tuduhan, tetapi kertas pertuduhan tidak diberikan, saya hanya dibacakan dan saya mengaku tak salah, pendakwaraya kata kena beli dalam talian, tapi kemudian kertas pertuduhan jadi viral, tujuan untuk memalukan saya.

    “Saya keluar (mahkamah) angkat tangan, terus jahanam habis semua. Malam ini saya isytihar angkat tangan ini lawan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Cicak mengkarung jangan datang, kamu bawa Anwar Ibrahim,” katanya.

  • Pemimpin DAP ingatkan jangan pandang mudah faktor Sanusi

    Pemimpin DAP ingatkan jangan pandang mudah faktor Sanusi

    SEORANG pemimpin kanan DAP berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang mudah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kerana beliau mampu menarik undi daripada kerajaan perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

    Pemimpin DAP enggan dinamakan itu berkata, insiden baru-baru ini menjadikan ‘Sanusi hero berbanding orang jahat’.

    “Penahanan Sanusi pada 3 pagi, beberapa jam sebelum beliau dijadualkan muncul di mahkamah bagi menghadapi tuduhan hasutan terhadap raja, mungkin tidak baik buat kerajaan perpaduan.

    “Sanusi sudah dikritik atas kenyataannya, tetapi penahanannya pada awal pagi menjadikannya hero bagi sesetengah orang,” katanya memetik laporan FMT.

    Polis berkata, Menteri Besar Kedah itu ditahan pada 3 pagi kerana mereka mahu memastikan beliaumuncul di mahkamah pada hari sama.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata Sanusi dan setiausahanya “menolak semua panggilan telefon” daripada polis, tetapi pemimpin Pas itu menafikan dakwaan berkenaan.

    Sementara itu, sumber berkata, kerajaan perpaduan memerlukan peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 75% untuk berpeluang menawan negeri dikuasai pembangkang.

    “Cabaran PH-BN ialah memastikan pengundi bukan Melayu keluar mengundi. Jika mereka tidak dapat berbuat demikian, Selangor pun mungkin jatuh ke tangan Perikatan Nasional.

    “Kita akan hilang banyak kerusi dengan Sanusi memainkan ‘kad mangsa’. Beliau mendapat banyak sokongan orang Melayu bagi PN.”

    Dengan PN menjadi pilihan untuk mempertahankan Kedah, katanya, PH patut fokus kepada Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Saya berada di lapangan di Kedah. Ramai pengundi kata mereka tiada sebab mengundi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan,” ujar beliau.

  • Polis sifat bom di kereta Siti Kassim cubaan bunuh

    Polis sifat bom di kereta Siti Kassim cubaan bunuh

    POLIS menggiatkan siasatan terhadap kes penemuan bom buatan sendiri pada kereta milik peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan penemuan objek itu sebagai satu jenayah serius.

    Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, pihak polis juga sedang mengesan cap jari serta bukti-bukti berkaitan bagi siasatan lanjut dalam usaha menjejak pelakunya.

    “Ini satu kesalahan serius, ancaman bom umpama cubaan membunuh.

    “Pihak polis akan ambil tindakan agresif dalam siasatan ini. Jenayah sebegini tidak boleh dibiarkan kerana memberi peluang kepada individu tidak bertanggungjawab melakukan perkara sedemikian,” katanya ketika dihubungi.

    Susulan itu, Razarudin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut dan kes berkenaan sedang diuruskan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 7 Akta letupan 1957.

    “Semuanya masih dalam siasatan,” katanya.

    Semalam, Amihizam mengesahkan objek mencurigakan yang ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kassim adalah bahan letupan termampat (IED).

    Bagaimanapun, polis belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan itu masih aktif atau sebaliknya.

    Kelmarin, sepasukan pegawai Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan ujian ke atas objek dalam dua botol plastik yang dipasang pada bahagian tayar belakang kereta Siti Kassim yang dihantar ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar, di Kuala Lumpur.

    Siti Kasim mendakwa dua objek terbabit ditemukan dalam keadaan tersangkut di bahagian belakang tayar keretanya.

    Wanita itu menghantar kenderaannya untuk diselenggara kerana akan ke Kelantan bagi membantu menyelesaikan isu Orang Asli di negeri itu. 

  • Pengundi India Kota Anggerik ganggu ucapan Anwar selepas Najwan dicalonkan semula

    Pengundi India Kota Anggerik ganggu ucapan Anwar selepas Najwan dicalonkan semula

    SEORANG pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik yang mengganggu Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang melahirkan kekecewaan dengan membantah pencalonan semula Najwan Halimi selepas kenyataan berbaur perkaumannya terhadap masyarakat India baru-baru ini.

    Shanker Sundaram dan abangnya membantah ketika Anwar mengumumkan Najwan akan mempertahankan kawasan Kota Anggerik, sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam.

    Menjawab bantahan itu, Anwar berkata, beliau berhak membuat keputusan mengenai senarai calon.

    “Tak kisahlah, orang memang buat silap.

    “Dengar, dengar, kedudukan parti adalah apa yang diperkatakan oleh presiden. Kami di sini untuk berkhidmat kepada Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan,” tegasnya sambil terus membaca nama calon lain.

    Shanker berkata, respons Perdana Menteri menimbulkan ‘kebimbangan tentang keupayaannya menangani isu perkauman dalam partinya dan dalam kalangan calon’.

    “Anwar hanya menganggap kenyataan menghina Najwan sebagai ‘kesilapan’ dan menegaskan beliau mempunyai budi bicara mutlak dalam pemilihan calon.

    “Saya mengecam bahawa ini adalah kegagalan di pihak Anwar untuk menegakkan komitmennya untuk menyokong masyarakat India,” tulis Shanker beberapa jam selepas acara itu malam tadi, lapor MalaysiaNow.

    Pada 13 Julai, Najwan, menjawab laporan berita mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dikongsi dalam WhatsApp PKR, mengenai: “parti India estet”.

    Tangkap layar sembang itu tidak lama kemudian menjadi tular, mengundang kecaman berikutan nada perkaumannya.

    Najwan, yang merupakan timbalan ketua Pemuda PKR Shah Alam, kemudiannya memohon maaf, berkata beliau jahil mengenai PSM.

    Shanker berkata, kepimpinan PKR tidak seharusnya bertolak ansur terhadap komen Najwan.

    “Sebagai penduduk Kota Anggerik yang sudah lama mengundi, saya amat percaya bahawa kita mesti mengambil pendirian menentang sebarang bentuk diskriminasi atau penghinaan terhadap mana-mana masyarakat.

    “Adalah penting untuk menghantar mesej yang jelas bahawa kami tidak akan membenarkan kelakuan kurang sopan seperti itu daripada sesiapa, terutamanya mereka yang akan bertanding,” katanya.

  • Kapal karam: Wisma Putra sahkan 7 rakyat Malaysia selamat

    Kapal karam: Wisma Putra sahkan 7 rakyat Malaysia selamat

    WISMA Putra mengesahkan tujuh rakyat Malaysia menaiki kapal pelancong yang karam di kawasan perairan Pulau Komodo, Labuan Bajo, Indonesia semalam, dilapor selamat.

    Perkara itu disahkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

    Menurutnya, semua mangsa dibawa ke hospital tempatan bagi pemeriksaan lanjut.

    “Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden itu dan sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya.

    “Sebarang perkembangan terkini mengenai insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan yang disiarkan di Facebook Wisma Putra, hari ini, lapor Harian Metro.

    Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 21 5224 947 dan +62 813 8081 3036 atau emel ke [email protected]

  • Kerajaan tiada pengaruh, guna kuasa tekan PN

    Kerajaan tiada pengaruh, guna kuasa tekan PN

    PAS menyifatkan kerajaan hari ini hanya berkuasa namun tidak mempunyai pengaruh.

    Sehubungan itu Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan menggunakan kuasa semaksimum mungkin untuk menekan Perikatan Nasional (PN).

    “Kerajaan hari ini hanya mempunyai kuasa tetapi tidak ada pengaruh, tidak ada sokongan. Maka mereka akan menggunakan kuasa semaksimum mungkin untuk menekan PN.

    “Mereka akan gunakan apa saja untuk melemahkan sokongan terhadap PN. Mereka boleh buat, boleh gunakan media, boleh guna macam-macam tapi silap mereka (apabila) berpolitik hari ini bukan zaman televisyen hitam putih,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada program Ceramah Gelombang Perikatan Nasional (PN) di Kuala Ketil, Kedah, malam ni.

    Dalam pada itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menyeru rakyat menghantar isyarat melalui pilihan raya di enam negeri bulan depan untuk menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tampuk kuasa di Putrajaya.

    “Saya berharap rakyat di negeri Kedah terus memberikan keyakinan kepada PN dalam PRN nanti. Walaupun ini merupakan PRN yang terlibat enam negeri sahaja tapi keputusan enam PRN ini memberi kesan kepada suasana politik di peringkat Persekutuan.

    “Sebab itu tuan-tuan perlu hantar satu isyarat, satu referendrum daripada rakyat untuk menjadikan PMX kepada ex-PM. Bukan benda yang mustahil,” katanya.

    Idris turut mendakwa terdapat perubahan sokongan daripada kaum bukan Melayu terhadap PN.

    “Hari ini graf sokongan orang Melayu Alhamdulillah. Orang India pun graf sokongannya Alhamdulillah semakin baik. Orang Cina pun berlaku sedikit perubahan, keraguan terhadap DAP kerana dulu mereka sebut jangan undi PN. Undi PN dapat Zahid. Tiba-tiba mereka undi PH dapat Zahid. Dulu mereka kata undi PN akan dapat BN tiba-tiba undi DAP-PH dapat BN.

    “Orang Cina yang ada maruah, harga diri, moral dan akhlak tak boleh terima pemimpin yang pembohong, penipu seperti ini.

    “Jadi Cina ada sedikit keraguan. Maka sebab itu di Pulau Pinang bukan satu benda yang mustahil…kalau betul strateginya…kalau sebelum ini orang Cina 95% memberi sokongan kepada PH maka kali ini mereka akan mengubah selera kerana mereka merasa ditipu oleh pemimpin DAP dan PH,” katanya.

  • ‘Dulu lain sekarang lain’, Syed Saddiq bidas kerajaan banyak ‘U-turn’

    ‘Dulu lain sekarang lain’, Syed Saddiq bidas kerajaan banyak ‘U-turn’

    PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rakyat tidak boleh disalahkan jika beranggapan politik negara sudah lapuk kerana apa dijanjikan kerajaan kepada mereka tidak mampu dilaksana.

    “Masih banyak isu antaranya kos sara hidup, peruntukan negeri dan sekuriti makanan dilihat belum mempunyai penyelesaian jelas.

    “Kalau kita dengar mengapa mereka (rakyat) menyampah, mengapa mereka rasa politik ini adalah politik lapuk dan lama, ini adalah apabila apa dijanjikan sebelum pilihan raya dengan apa yang dilaksanakan sangat berbeza, dulu kata lain kini buat lain.

    “Dulu kita kata akan selesai isu sekuriti makanan, tetapi daripada kita import RM55 bilion kini kita import RM70 bilion dari luar. Bukan hanya tiada penyelesaian, lagi teruk adalah, dulu kata nak lawan rasuah kini buat benda sama,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

    Ahli Parlimen Muar itu berkata, pentadbiran sedia ada perlu bersikap lebih adil tanpa mengikut warna politik.

    “Contohnya berkait peruntukan negeri, sewajarnya ia diberikan terus kepada kerajaan negeri dipilih rakyat,” katanya.

    Beliau berkata, kerajaan perlu mengelak mengulangi kesalahan pentadbiran terdahulu.

    “Apabila kita berada di kerusi pembangkang kita maki…marah kerajaan masa itu, kita maki kata ini tidak adil jangan seksa rakyat ikut warna politik kamu, kini kita dalam kerajaan kita lakukan perkara sama jauh lebih teruk,” katanya.

    Justeru ujar beliau, penting untuk mewujudkan politik solusi dengan penglibatan semua pihak, tidak kira daripada blok kerajaan atau pembangkang dalam segala perbincangan mengenai dasar.

    “Politik berdasarkan isu prinsip bukan sekadar perebutan kuasa dan saya rasa inilah budaya politik baru yang perlu kita bawa,” katanya.