Author: Wartawan WartaRakyat

  • DAP sasar 10 kerusi Parlimen perlu dimenangi PH di Sabah

    DAP sasar 10 kerusi Parlimen perlu dimenangi PH di Sabah

    DAP menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen harus dimenangi Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Liew Chin Tong mahu DAP Sabah berkata, bagi merealisasikan perkara itu semua pihak dalam gabungan itu perlu bekerjasama lebih erat.

    “Ini termasuk menyokong sepenuhnya Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerusi miliknya itu.

    “Saya harap akan ada kerjasama erat antara DAP dan PKR supaya kita boleh menang di Tawau dan kawasan lain. Kami menyokong sepenuhnya Datuk Christina untuk menang supaya PH boleh menang.

    “Kami akan berjuang berhabis-habisan di Sri Tanjong untuk memastikan kejayaan dalam pilihan raya untuk PKR,” katanya dalam pertemuan delegasi DAP dengan Christina yang juga Pengerusi PH Sabah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau di Tawau, semalam.

    Bersetuju dengan usul daripada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang mahu Sabah memenangi 10 kerusi Parlimen PH, Chin Tong berkata, ia akan menyumbang kepada jumlah kerusi yang boleh dimenangi PH di seluruh negara.

    “Kita memerlukan lebih banyak kerusi supaya kita berpeluang membentuk kerajaan seterusnya di peringkat Persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun DAP tidak bertanding di Tawau pada PRU-15 namun parti itu menganggap persediaan yang dilakukan adalah sebagai latihan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di masa akan datang.

    Sementara itu, Foong Hin turut menyatakan kesediaan DAP Tawau membantu Christina mempertahankan kerusinya di Parlimen Tawau.

    Beliau berkata, hubungan baik dalam kalangan parti komponen PH Sabah adalah sangat penting untuk berhadapan pilihan raya itu nanti.

    “Tidak harus timbul perasaan syak wasangka di kalangan kita sendiri. Kita menuju ke arah yang sama iaitu memastikan tiada kerusi yang disandang PH tewas dalam PRU15.

    “Kita di sini untuk melengkapkan jentera pilihan raya beliau (Christina) di Tawau,” tegasnya, lapor Sinar Harian.

  • Pinda perlembagaan untuk gugur segera kelayakan Najib sebagai MP

    Pinda perlembagaan untuk gugur segera kelayakan Najib sebagai MP

    SEKUMPULAN NGO mendesak kerajaan memansuhkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai anggota parlimen sehingga permohonan pengampunan diraja selesai.

    Empat kumpulan itu menggesa Perkara 48(4)(c), yang menyatakan bahawa kehilangan kelayakan hanya akan berkuat kuasa selepas petisyen pengampunan dibereskan, dimansuhkan.

    Kenyataan media itu dikeluarkan oleh aktivis hak asasi manusia Charles Hector bagi pihak Aliran, Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) and Workers Hub for Change (WH4C).

    “Kami berpendirian bahawa ahli Parlimen yang disabitkan atas kesalahan jenayah seperti Najib patut dihilangkan kelayakan sebagai anggota parlimen selepas semua rayuan terhadap sabitan kes selesai,” kata Hector.

    Hector daripada Madpet berkata, rakyat Malaysia telah menunggu selama empat tahun selepas Najib didakwa kali pertama di mahkamah pada  Julai 2018 dalam kes melibatkan SRC International Sdn. Bhd.

    Katanya, tiada lagi kewajaran yang munasabah untuk menangguhkan kehilangan kelayakan itu selepas proses rayuan berakhir, walaupun permohonan pengampunan diraja difailkan kemudiannya.

    “Pengampunan diraja itu tiada kena mengena dengan fakta bahawa anggota Parlimen tersebut telah dibuktikan bersalah melebihi keraguan munasabah, disabitkan dan dijatuhi hukuman,” katanya lapor MalaysiaKini.

    Mahkamah Persekutuan pada pada 23 Ogos mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

    Dia sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang perlu dibayar sebelum selesai menjalani hukuman.

    Dia memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September.

  • Kalau PM gagal urus ekonomi lebih baik bubar Parlimen – Muhyiddin

    Kalau PM gagal urus ekonomi lebih baik bubar Parlimen – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

    Bagaimanapun kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus gagal mengurus ekonomi dan negara lebih baik eloklah pilihan raya diadakan.

    Dalam satu kenyataan beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, ia bagi membolehkan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih rakyat.

    Berikut kenyatan penuh bekas Perdana Menteri itu;

    Saya membaca satu laporan kajian yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada bulan Disember 2021.

    Kajian ini mendapati 12% rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari (skip meal), 12% tangguh rawatan perubatan dan 31% lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.

    Selain itu, kajian oleh Mindshare, sebuah entiti bukan kerajaan, menunjukkan 61% rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara. 76% daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

    Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.

    Selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya telah menyuarakan kebimbangan saya dan mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan, termasuk melaksanakan semula moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang terkesan.

    Banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.

    Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini.

    Industri kelapa sawit sahaja rugi RM10.25 bilion pada tahun lalu kerana kekurangan pekerja untuk menuai buah.

    Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet. Namun, setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini.

    Isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius. Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.


    Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay. Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.

    Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal. Is this okay? No, it is not okay.

    Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting.

    Mungkin kerana itulah hanya 35% rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini. Aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18% berpuas hati.

    Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, saya telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang murah.

    Pada masa yang sama, BN sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan. Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen.

    Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.

  • Ringgit jatuh lagi pagi ini, Kenanga Research ramal RM4.55 = AS$1

    Ringgit jatuh lagi pagi ini, Kenanga Research ramal RM4.55 = AS$1

    RINGGIT meneruskan aliran menurun ketika pembukaan urus niaga pagi ini disebabkan kekurangan pemangkin di tengah-tengah sentimen penolakan risiko yang semakin meningkat, kata seorang penganalisis.

    Pada pukul 9 pagi, mata wang ringgit susut kepada 4.5350/5405 berbanding dolar AS, daripada 4.5340/5365 yang dicatat ketika ditutup pada Khamis.

    Pasaran ditutup pada Jumaat sempena sambutan Hari Malaysia 2022.

    Dalam satu nota, Kenanga Research berkata, pelabur sentiasa memantau rapat dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang penting pada minggu ini, di mana Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dijangka meneruskan momentum kenaikan kadar faedahnya.

    “Ringgit mungkin didagangkan sekitar 4.52 hingga 4.55 berbanding dolar AS yang selamat di tengah-tengah sentimen penghindaran risiko yang semakin meningkat berikutan jangkaan bahawa Fed akan terus menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 75 mata asas lagi,” katanya lapor Agendadaily.

    Namun begitu, penurunan selanjutnya mata wang tempatan diimbangi oleh kenaikan harga minyak, di mana pada masa laporan ini disiarkan, penanda aras minyak mentah Brent meningkat 1.11 peratus kepada AS$92.36 setong.

    Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.1799/1862 daripada 5.2214/2242 pada penutup Khamis dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2236/2280 daripada 3.2238/2261 sebelumnya.

    Bagaimanapun, mata wang tempatan turun berbanding euro kepada 4.5395/5450 daripada 4.5317/5342 minggu lepas dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1729/1770 daripada 3.1647/1666 sebelumnya.

  • Nampak mangsa disambar, diheret buaya ke dalam sungai sebelum hilang

    Nampak mangsa disambar, diheret buaya ke dalam sungai sebelum hilang

    SEORANG Lelaki Indonesia dipercayai maut disambar buaya ketika sedang memancing di Sungai Semba di kawasan Taman Perindustrian Samalaju di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, Sarawak malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju Hashim Norshidi dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada 10.20 malam.

    “Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba bertindak menjalankan pemantauan serta pencarian awal secara permukaan di lokasi terakhir mangsa dilihat selama satu jam, namun gagal menemui mangsa,” ujarnya, lapor Harian Metro.

    Selepas itu katanya, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan disebabkan sudah lewat malam dan disambung pada pagi ini.

    Menurut beliau, maklumat awal yang diterima dari pengadu mengatakan mangsa dikenali sebagai Hermanto, 40.

    Semasa kejadian, rakan mangsa yang juga pengadu berusia 27 tahun turut berada di lokasi sama dan ternampak mangsa disambar buaya dan diseret ke dalam air.

    Difahamkan, semasa kejadian, mangsa memakai baju lengan panjang berwarna kelabu dan seluar jeans.

  • Gerakan Pulau Pinang harap dapat guna logo sendiri pada PRU-15

    Gerakan Pulau Pinang harap dapat guna logo sendiri pada PRU-15

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang meminta jawatankuasa pusat parti itu berbincang dengan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) supaya dapat menggunakan bendera sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, keputusan itu memandangkan ramai penduduk negeri tersebut berpendapat Gerakan masih lagi dalam Barisan Nasional (BN).

    “Malah, bendera PN dan BN juga agak sama sekali gus boleh menjadi punca penolakan rakyat kepada parti itu pada PRU-15 nanti,” katanya dalam kenyataan selepas Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Pulau Pinang semalam.

    Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, terdapat 21 resolusi yang dicadangkan oleh para perwakilan negeri Pulau Pinang dalan persidangan itu untuk diberi tumpuan menjelang PRU-15.

    Malah katanya, cadangan 21 resolusi itu juga mencatat rekod yang terbanyak dalam sejarah dalam Parti Gerakan Pulau Pinang sekali gus menunjukkan terdapat banyak isu yang perlu diambil serius dan ditangani atau diperbaiki kerajaan, khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

    Dalam masa sama, beliau menyeru penduduk Pulau Pinang memberi peluang kepada Parti Gerakan untuk mewakili mereka supaya dapat bersuara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Parti Gerakan yang ditubuhkan di Pulau Pinang mempunyai rekod pentadbiran yang cemerlang selama 39 tahun mentadbir negeri Pulau Pinang.

    “Pembangunan Pulau Pinang yang pesat selama 39 tahun ini adalah berjiwa rakyat dan dinikmati semua rakyat jelata,” katanya.

  • Tun M pernah buat PRU pada November, kata Zahid Hamidi

    Tun M pernah buat PRU pada November, kata Zahid Hamidi

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pilihan raya umum (PRU) pernah diadakan pada November 1999 semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Namun katanya, perkara tersebut tidak pula dijadikan isu besar oleh pembangkang.

    Justeru, Presiden UMNO itu mempertahankan pendirian berhubung mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

    Beliau turut membidas pertikaian pembangkang untuk mengadakan PRU semasa November atau Disember yang sememangnya diketahui fasa peralihan Monsun Timur Laut yang mengundang bencana banjir di beberapa kawasan.

    Selain itu katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak juga pernah diadakan pada 18 Disember 2021.

    “Terbaharu tahun lepas PRN Sarawak diadakan. Pembangkang pula tewas teruk.

    “Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) hilang apabila Tun Dr. Mahathir tidak mahu serah jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), selain manifesto mereka gagal laksanakan.

    “Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN yang memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan.

    Jelasnya, pelbagai pelancaran jentera parti komponen dan juga jentera BN terus berlangsung dan bermakna BN dalam keadaan bersiap siaga untuk pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum.

    “Persiapan ini bukan sahaja berlaku dalam BN. Jelas PH dan parti bukan BN juga sedang menjelajah di seluruh negara untuk kempen politik mereka.

    “Masa yang berbaki sebelum parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya. Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi (Timbalan Presiden PKR) tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN.

    “Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata,” ujarnya memetik laporan Astro Awani.

    Kelmarin, semasa berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, Ahmad Zahid berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU-15 diadakan tahun ini.

    Ahmad Zahid menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

    Bagaimanapun semalam, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyelar kenyataan itu dengan berkata, pelaksanaan PRU-15 ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab.

    Jelasnya, ahli politik seharusnya memberi tumpuan terhadap usaha menghadapi banjir dan membantu rakyat, bukannya fokus 100 peratus untuk memenangi PRU-15.

  • Khairy nafi keluar UMNO

    Khairy nafi keluar UMNO

    AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan bahawa dirinya telah keluar daripada parti UMNO.

    Menurut Menteri Kesihatan itu, walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau tetap ahli UMNO dulu, kini dan selamanya.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata demikian susulan sebuah video berdurasi dua minit tujuh saat yang dimuat naik di laman Youtube bertajuk ‘KJ keluar UMNO! Sah Keputusan Muktamad Khairy Jamaluddin’.

    “Saya tidak suka layan berita macam ini tetapi ramai mesej dan tanya. Saya tetap UMNO. Saya menang Ketua Pemuda tetapi tidak dilantik Kabinet dan dipulaukan, tetap UMNO.

    “Waktu kalah PRU-13 (Pilihan Raya Umum ke-13) dan macam-macam penganiayaan politik, tetap UMNO. Saya kalah Presiden (Pemilihan Presiden UMNO 2018) dan dipandang semacam, tetap UMNO. Kena cari kawasan baharu pun tetap UMNO. Dulu, kini dan selamanya,” katanya dalam muat naik di Instagram, hari ini, lapor Astro Awani.

    Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa Khairy mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai cadangan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Seremban pada PRU-15 nanti.

    Laporan itu adalah selepas beliau mengumumkan akan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi Parlimen Rembau.

    Khairy memaklumkan akan mengikut keputusan parti tetapi menyatakan perkara itu akan menyebabkan beliau tidak mempunyai tempat yang jelas untuk bertanding pada PRU-15.

    Susulan itu, terdapat cadangan daripada Pemuda UMNO Seremban agar Khairy, menjadikan Seremban sebagai pengganti kepada Rembau.

  • Pemandu maut tercampak dari treler berhampiran Terowong Menora

    Pemandu maut tercampak dari treler berhampiran Terowong Menora

    SEORANG pemandu maut selepas tercampak keluar dari treler yang terbabas di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Terowong Menora, pukul 5.30 pagi tadi.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa, Budi Abd Rahman, 52, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Pihak bomba menerima panggilan mengenai kemalangan ini pada 5.40 pagi yang melibatkan sebuah lori treler jenis Volvo dengan muatan sampah telah terbabas ke bahu jalan.

    “Kemalangan menyebabkan pemandu lori tercampak keluar dari lori dan tersepit di antara pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataanm lapor Astro Awani.

    Keadaan kenderaan mangsa yang terlibat dalam nahas di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Terowong Menora. – Foto JBPM

    Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Shauki Che Darus tamat pukul 7.38 pagi.

    Sementara itu, menurut Twitter plustrafik, kemalangan itu menyebabkan semua lorong terhalang dan pemandu diminta menggunakan laluan alternatif.

    Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang sama, pukul 8.48 pagi, lorong kanan telah dibuka dan laluan kontra masih dibuka.

    Trafik arah utara perlahan sepanjang 3.5 kilometer manakala trafik arah selatan masih terkawal.

  • UMNO dalam proses memuktamadkan calon PRU-15

    UMNO dalam proses memuktamadkan calon PRU-15

    UMNO sedang dalam proses memuktamadkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa.

    Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, senarai calon itu akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO selepas melalui proses tapisan di peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri.

    “Senarai calon ini sudah mula dikemukakan ke ibu pejabat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri dan selepas itu senarai akhir adalah apabila Pengerusi Perhubungan UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan duduk bersama dengan barisan kepimpinan di peringkat tertinggi untuk muktamadkan.

    “Pengerusi BN Kedah misalnya dia bawa senarai dan kita akan berbincang dengan dia di peringkat tertinggi. Negeri Perak, Perlis negeri mana-mana saja kita bincang, muktamadnya di situlah,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluargaku Pengundi BN’ di Kuala Nerang hari ini.

    Mahdzir diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini bahawa pihaknya sudah menerima senarai calon daripada Badan Perhubungan UMNO negeri untuk PRU-15.

    Ditanya mengenai jumlah senarai calon yang sudah dihantar atau diterima, beliau berkata pihaknya tidak pasti mengenai jumlah sebenar.

    Bagaimanapun katanya, ciri-ciri calon itu terdiri daripada individu yang berpengalaman dan daripada pelbagai latar belakang.

    “Kategori calon-calon ini adalah hasil perbincangan antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri masing-masing bersama kepimpinan tertinggi parti dan gabungan. Di sana kita akan bincang dan akan tentukan sebab yang kemukakan itu daripada UMNO negeri, proses sedang berjalan, kita akan ambil yang berumur, berpengalaman, graduan semua itu berada dalam senarai dan ciri-ciri biasa pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

    Mengulas mengenai tarikh PRU15, Mahdzir berkata perkara itu akan ditentukan oleh Perdana Menteri setelah dibincangkan di peringkat pucuk pemimpin utama parti.

    “Kita bincang tetapi prerogatif itu adalah daripada Perdana Menteri, dari segi tarikh apa semua itu, kita bincanglah, kita boleh tengoklah bila Perdana Menteri agak-agaklah bila dia nak buat kita akan bersidanglah,” katanya.

    Mengenai pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluarga Ku Pengundi BN’ peringkat negeri Kedah, Mahdzir berkata veteran UMNO memiliki pengalaman luas dalam menyusun atur gerakan dalam menghadapi pilihan raya.

    Justeru beliau menyeru agar veteran UMNO bersama-sama jentera parti untuk membantu memberi kemenangan kepada parti itu dalam PRU15 kelak.