Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bicara saman fitnah Zarina Anjoulie esok

    Bicara saman fitnah Zarina Anjoulie esok

    PERBICARAAN kes saman fitnah Norfaralinah Md Yunus atau Fara Mendoza terhadap pelakon Zarina Anjoulie ditetapkan Mahkamah Tinggi selama dua hari bermula 20 September ini.

    Peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Zarina atau Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul berkata, pada perbicaraan itu, Fara Mendoza akan memberi keterangan.

    “Anak guam, Zarina cuba menyelesaikan krisis undang-undang ini secara mediasi namun kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat.

    “Sehubungan itu, mahkamah menetapkan esok dan lusa untuk prosiding perbicaraan saman ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Zarina, sebelum ini berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan oleh Fara Mendoza di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan.

    Ia berikutan dakwaan bahawa Zarina tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangka peguam terdahulu yang dilantik membela nasibnya.

    Difahamkan, peguam terdahulu diserang strok dan firma guamannya sudah pun ditutup.

    Zarina kemudian membuat tuntutan balas terhadap saman Fara Mendoza.

    Pelakon itu menuntut ganti rugi RM3 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi menghalang Fara Mendoza daripada membuat kenyataan fitnah pada masa hadapan.

    Selain itu, Zarina menuntut supaya Fara Mendoza menarik balik kenyataan fitnah yang dibuat dan membuat permohonan maaf.

    Beliau juga menuntut kos tindakan dan relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

  • Bapa didakwa jadikan dua anak hamba seks

    Bapa didakwa jadikan dua anak hamba seks

    SEORANG bapa yang menjadikan dua anak kandung berusia 15 dan 19 tahun sebagai hamba seks sejak tujuh tahun lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 28 pertuduhan termasuk merogol dan melakukan seks luar tabii.

    Tertuduh berusia 56 tahun itu mengaku bersalah selepas dibacakan semua pertuduhan itu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Sepanjang prosiding tertuduh yang memakai baju-T hitam serta berseluar panjang warna coklat kelihatan sugul di kandang pesalah dan hanya menundukkan kepala.

    Ketika disoal Nariman beberapa kali sama ada tertuduh benar-benar faham pertuduhan dan hukuman bakal diterima termasuk 10 sebatan wajib bagi setiap pertuduhan rogol biarpun usianya sudah melebihi 50 tahun, tertuduh menyatakan faham dan tetap mengaku bersalah.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-13 tertuduh didakwa merogol anak kandungnya kini berusia 19 tahun yang mana perhubungan antara mereka tidak dibenarkan undang-undang untuk berkahwin.

    Semua kesalahan itu dilakukan antara 24 September 2015 hingga 31 Disember 2018 pada masa berbeza di rumah mereka.

    Bagi pertuduhan ke-14 hingga ke-28, tertuduh yang bekerja sebagai penyelia syarikat pemegang pelaburan didakwa atas lapan pertuduhan merogol anak keduanya kini berusia 15 tahun; lima pertuduhan melakukan hubungan seks dengan menggunakan objek tanpa kebenarannya dan masing-masing satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu tempat sama pada tarikh dan masa berlainan antara 4 Mei 2019 hingga 5 September 2022.

    Bagi kesalahan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta 10 sebatan jika disabitkan.

    Pertuduhan melakukan seks menggunakan objek dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan denda serta sebat.

    Kesalahan amang seksual fizikal pula didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama seksyen 16 akta sama dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

    Bagi kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii, bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap isterinya berusia 47 tahun dengan mengatakan mahu membunuhnya dan anak-anak di tempat sama, pukul 11 pagi, 5 September lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 506 kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya (mendatangkan ketakutan) dan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali (ugutan bunuh).

    Hakim Nariman dan Majistret Mazana Sinin bagaimanapun menangguhkan esok untuk fakta dan hukuman terhadap tertuduh selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob yang menjalankan pendakwaan berasingan bagi menyediakan fakta kes.

    Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua 29 pertuduhan sementara menunggu keputusan hukuman esok.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah dia tiada wang untuk membayar ikat jaminan selain menghidap pelbagai penyakit termasuk, sakit kulit kronik, sakit jantung, diabetes dan darah tinggi.

    Berikutan tidak mampu membayar ikat jamin, tertuduh yang beristeri dua itu kemudiannya ditahan polis sementara menunggu keputusan hukuman esok.

  • UMNO parti dangkal jika bubar Parlimen ketika banjir

    UMNO parti dangkal jika bubar Parlimen ketika banjir

    UMNO adalah sebuah parti yang dangkal sekiranya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ketika musim banjir pada akhir tahun ini, kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir. Izham Hashim.

    “Menjadikan musim banjir sebagai pesta pilihan raya sangat tidak masuk akal apatah lagi sanggup meredah banjir semata-mata untuk berkempen.

    “Saya masih ingat lagi saat kami meredah banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda. Ia tidak seindah seperti yang Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi bayangkan ini.

    “Kenyataan ini menunjukkan UMNO terpisah jauh dari derita rakyat,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Ahmad Zahid semasa melancarkan jentera pilihan raya Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, bahawa gabungan itu bersedia untuk berkempen semasa banjir jika Pilihan Raya Umum diadakan pada musim tengkujuh.

    Kelmarin, Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, sekiranya ditakdirkan PRU15 diadakan hujung tahun meskipun beberapa negeri sering dilanda banjir dalam tempoh tersebut, jentera Pemuda gabungan politik itu tetap bersedia mengharunginya.

    Dalam pada itu, Izham dalam satu kenyataan berasingan dalam Facebook miliknya berkata, kerajaan Selangor telah bersiap siaga menghadapi musim banjir yang dijangka akan berlaku pada November hingga Disember ini.

    “Informasi dan amaran banjir juga akan dikeluarkan dari masa ke semasa,” menurut Izham yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor.

  • Ibu yakin anak masih hidup, diculik lima tahun lalu

    Ibu yakin anak masih hidup, diculik lima tahun lalu

    SEORANG ibu masih berharap kepulangan anaknya selepas dipercayai diculik dan dibawa lari ke Thailand lima tahun lalu.

    Wan Shahrizal Wan Zulkifli, 55, bagaimanapun percaya anaknya, Mohd. Aiman Zafri, 29, masih hidup.

    Memetik Astro Awani, Wan Shahrizal berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari anak ketiga daripada empat beradik itu termasuk memohon bantuan golongan agama dan pelajar tahfiz melakukan solat hajat dan istikharah.

    “Ketika saya berkunjung ke Pattani, ada individu mendakwa pernah melihat kelibat Mohd. Aiman tetapi kunjungan kami sehingga ke Pattani gagal menemuinya,” katanya.

    Kisah penculikan Mohd Aiman oleh individu yang dipercayai anggota kumpulan sindiket pernah mendapat liputan media pada 2018.

    Mohd. Aiman dilaporkan dibawa lari oleh kumpulan penjenayah kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Taman Maju di Kota Bharu pada 5 Julai 2017 ketika bersama isterinya pulang dari bekerja.

    Berkongsi kisah itu, Wan Shahrizal memberitahu, seminggu selepas itu, kumpulan terbabit meminta wang tebusan berjumlah RM50,000 namun keluarganya hanya dapat membayar RM22,000.

    Katanya, mereka meletakkan duit berkenaan di satu perhentian bas di Batu Karang, Rantau Panjang sekitar pukul 5 petang pada 14 Julai 2017 sebagai bayaran pertama.

    “Selang beberapa hari penjenayah meminta wang lagi berjumlah RM5,000 namun saya hanya mampu menyediakan RM2,000 dengan memasukkan wang berkenaan melalui akaun bank milik isteri salah seorang rakan Mohd. Aiman.

    “Kesemua panggilan meminta wang tebusan itu menggunakan nombor telefon Thailand. Selepas membayar wang yang diminta, sehingga kini mereka tidak menghantar anak saya seperti yang dijanjikan,” jelasnya lagi.

    Kata wanita itu lagi, sepanjang kehilangan anaknya, tujuh laporan polis sudah dibuat.

    “Saya tidak menolak kemungkinan Aiman dan rakannya dikenali sebagai ‘Pok Wae’ ada kaitan dan mempunyai hutang dengan kumpulan tertentu, tetapi Aiman tidak pernah menceritakan masalah itu sehingga dia dibawa lari,” katanya.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu pada waktu itu, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, suspek yang dikenali sebagai Ahmad Syazwan Ayub, dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

    Katanya, siasatan lanjut menunjukkan suspek utama berkenaan bersama-sama empat lagi lelaki membawa mangsa ke pekan Sungai Golok selepas kejadian itu.

    Ceritanya lagi, polis juga telah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 26 tahun yang merupakan kenalan kepada mangsa pada waktu kejadian itu.

    “Walaupun bantuan Interpol dan pihak berkuasa Thailand membantu mengesan Aiman dan rakannya Pok Wae, sehingga kini kedua-dua individu berkenaan masih gagal dikesan,” jelasnya.

    Wan Shahrizal memberitahu, anak tunggal Mohd Aiman, Muhamad Rayan Rizki ketika kejadian baru berusia dua tahun lebih dan kini tinggal bersama ibunya, Nur Azra Syazwani Abdullah.

    “Muhamad Rayan kini sudah berusia tujuh tahun dan selalu bertanya serta memberitahu rindu untuk bertemu bapanya,” katanya.

  • GTA pilihan terbaik berbanding parti perasuah – Tun M

    GTA pilihan terbaik berbanding parti perasuah – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menegaskan Gerakan Tanah Air terdiri daripada ahli politik yang bersih dari jenayah.

    Menurut bekas Perdana Menteri itu, GTA memberi alternatif kepada pengundi yang menolak untuk mengundi parti perasuah.

    Jelas beliau, hal itu kerana sebelum ini ramai pengundi tidak mempunyai pilihan untuk mengundi parti yang baik seterusnya mengambil langkah untuk tidak mengundi.

    “Yang malang ialah apabila mereka tidak mengundi, yang akan mengundi ialah mereka yang disogok oleh perasuah.

    “Kesannya ialah parti perasuah yang akan menang. Parti perasuahlah yang akan mendirikan kerajaan. Kerosakan negara akan berterusan,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, faktor pengundi tidak keluar mengundi itu boleh dlihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    Jelas beliau, hampir 50 peratus pengundi tidak keluar mengundi dalam kedua-dua PRN tersebut.

    Lantaran itu, katanya, Barisan Nasional (BN) menang besar walaupun dengan sokongan hanya 35 peratus daripada pengundi.

    “Masalahnya pengundi yang menolak sogokan tidak ada pilihan. Mereka juga tidak suka parti-parti lain yang bertanding.

    “Jika negara ingin elak dari memberi kemenangan kepada UMNO, pengundi perlu ada pilihan selain dari yang ada.

    “GTA adalah parti Melayu yang terdiri daripada ahli politik yang bersih dari jenayah. Pemimpin mereka tidak pernah didakwa di hadapan mahkamah, jauh sekali dari di penjara.

    “GTA juga mempunyai ramai pemimpin yang berpengalaman. Hasrat GTA ialah untuk mendiri kerajaan yang hormati undang-undang (Rule of Law) dan Perlembagaan negara,” katanya,

    Dr. Mahathir menambah, walaupun keahlian GTA terhad kepada orang Melayu, mereka juga akan berlaku adil kepada kaum lain.

    Katanya, kerajaan yang akan GTA dirikan juga akan mencerminkan masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia.

    “Jelaslah dengan GTA bertanding rakyat yang bosan dengan politik, dan ketidakstabilan negara sejak Langkah Sheraton, akan dapat memilih kerajaan parti Melayu selain daripada parti UMNO,” katanya.

  • 22 warga Myanmar ditahan, dua berjaya melarikan diri

    22 warga Myanmar ditahan, dua berjaya melarikan diri

    POLIS menahan 22 warga Myanmar ditahan dalam pemeriksaan ke atas dua buah kenderaan yang dilihat mencurigakan di hadapan sebuah premis perkhidmatan tayar di Taman Raub Jaya 5, Raub semalam.

    Pemeriksaan itu dilakukan pada pukul 10.30 pagi, kata Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman.

    “Bagaimanapun pemandu kenderaan jenis Toyota Vellfire dan Perodua Alza terbabit berjaya melarikan diri ke dalam ladang sawit berhampiran.

    “Hasil pemeriksaan anggota kereta peronda polis (MPV) Raub, terdapat 14 warga Myanmar iaitu sembilan lelaki dan lima wanita dalam Vellfire manakala lapan orang terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita ditemui dalam Alza.

    “Kesemuanya berusia dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun.

    “Kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat di bawah Seksyen 55 E/6(1)(c) akta sama serta di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Shahril berkata, polis sedang giat melaksanakan Op Tutup bagi mengesan dua pemandu kenderaan terbabit.

  • Wanita buka klinik pergigian haram didenda RM25,000

    Wanita buka klinik pergigian haram didenda RM25,000

    SEORANG seorang wanita warga China didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini kerana menjalankan operasi klinik pergigian haram.

    Hakim Nariman Badruddin memutuskan jumlah denda itu selepas tertuduh Jiang Jun Yin, 33, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mahkamah turut menetapkan hukuman empat bulan penjara sekiranya wanita itu gagal melunaskan denda berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, Jun Yin didapati menyediakan sebuah klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Laksamana Cheng Ho, Melaka, pukul 3.25 petang, pada 6 Disember 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, wanita yang telah berkahwin dengan lelaki tempatan itu didapati tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dengan Majlis Pergigian Malaysia malah tidak berkelayakan menjalankan sebarang aktiviti pergigian.

    Dia dipercayai menjalankan perniagaan itu selama tempoh dua bulan khusus kepada rawatan pemutihan gigi sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nozaizeli Abu Samah memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

    Nizaizeli berhujah, aktiviti pemutihan gigi tidak dilakukan di bawah seliaan individu tidak bertauliah, boleh menyebabkan kemudaratan seperti jangkitan kuman dan sebagainya terhadap mereka yang mendapatkan rawatan tersebut.

    Dalam prosiding itu, tertuduh diwakili peguam, Jagdeep Kaur.

  • Pendakwaan bantah keterangan Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid

    Pendakwaan bantah keterangan Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid

    PASUKAN pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini, agar 15 perenggan dalam pernyataan bertulis saksi pembelaan kedua, Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican, dibuang.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Raja Rozela Raja Toran membuat permohonan itu ketika prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berbuat demikian ketika hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Raja Rozela berkata, pendakwaan mengemukakan bantahan terhadap pernyataan saksi Fadzlette yang kini bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO bermula perenggan 16 hingga 30.

    “Ini kerana kenyataan itu dianggap merosakkan kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang juga saksi ke-90 pendakwaan.

    “Pembelaan berulang kali menyatakan bahawa Mazlina sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai dan berat sebelah, ia banyak kali dibangkitkan dalam perbicaraa ini.

    “Jika diterima masuk, ia menyebabkan isu ini akan sentiasa diulang dan tidak berkesudahan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Selain itu, Raja Rozela berkata, hakim mempunyai kedudukan dan kuasa untuk mengarahkan supaya sebahagian keterangan itu ditolak dengan alasan ia tidak relevan kerana hanya bersifat fakta sampingan.

    Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memohon agar diberikan masa sehingga esok pagi untuk meneliti dan menjawab hujahan yang dikemukakan pendakwaan.

    Mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sequerah menangguhkan prosiding itu dan akan disambung esok.

    Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

  • Ceti haram didakwa peras peminjam

    Ceti haram didakwa peras peminjam

    DUA ceti haram didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan memeras seorang wanita sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan barangan peribadi dan wang tunai pada 13 September lalu.

    Tertuduh, Tan Ang Kang, 42, dan Yeoh Teck Kiat, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

    Menurut pertuduhan, mereka sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 45 tahun dan mendorong mangsa itu menyerahkan sebuah telefon bimbit, sebuah Perodua Axia dan wang tunai berjumlah RM200 kepada tertuduh.

    Kesalahan dilakukan pada 13 September lalu di lot kedai berdekatan asrama sebuah kolej di Mantin, Nilai.

    Dengan itu kedua-dua tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Terdahulu di Mahkamah Sesyen kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Diana Md. Razali atas pertuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen kepada wanita sama pada Mei lalu.

    Menurut pertuduhan, mereka menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen sah kepada wanita itu di Pekan Taman Semarak, Nilai pada 26 Mei lalu.

    Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Hukuman boleh didenda tidak kurang RM250,000 tetapi tidak lebih RM1 juta atau penjara untuk tempoh tidak lebih lima tahun dan kedua-dua.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfikri Mohd Nasir manakala kedua-dua lelaki itu tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM14,000 terhadap setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai berdekatan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.

    Sebutan semula pada 25 Oktober.

  • Kadir Jasin ingatkan PM ‘penangan’ banjir 2014 terhadap Najib

    Kadir Jasin ingatkan PM ‘penangan’ banjir 2014 terhadap Najib

    TOKOH Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin mengingatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kekalahan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Najib Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

    Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berharap Ismail tidak mengikut gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin, meskipun dalam musim tengkujuh.

    “Kita harap Ismail Sabri tidaklah gung-ho (keterlaluan) macam Ahmad Zahid dan konco-konco dia yang mahu pilihan raya cepat semata-mata kerana nak selamat.

    “Dia Perdana Menteri, dia tak ada kes prima facie dan dia bertanggungjawab kepada negara dan rakyat jelata. Kalau rakyat menderita atau terkorban kerana banjir sebab kerajaan sibuk dengan pilihan raya, bukan Ahmad Zahid yang tanggung tapi dia.

    “Jangan lupa penangan banjir 2014/15 terhadap Najib dalam PRU lalu. Dengan adanya media sosial, orang ramai tak mudah lupa,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam.

    PRU-14 pada 2018 menyaksikan UMNO BN yang berkuasa sejak merdeka tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH).

    Empat tahun sebelum itu, Malaysia mengalami kejadian banjr terburuk dalam sejarah apabila lebih 300,000 orang dipindahkan.

    Baru-baru ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli juga mengaitkan kejadian banjir di selatan Amerika pada 2004 sebagai antara punca kekalahan George W Bush pada pilihan raya presiden Amerika, empat tahun selepas itu.

    Semalam, ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda BN, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyatakan kesediaan untuk meredah banjir sekiranya PRU15 diadakan tahun ini.

    Mengulas lanjut Kadir berkata, Ahmad Zahid bukan perdana menteri, sebaliknya hanya ‘tertuduh di yang memiliki prima facie’ di mahkamah.

    “Tetapi tentulah dia bercita-cita jadi Perdana Menteri selepas pilihan raya ini. Cuma kuasa cadang bubar Parlimen di tangan Ismail Sabri. Sebab itu Ahmad Zahid asak dia bertubi-tubi.

    “Kita, rakyat jelata pun hendak pilihan raya juga. Tapi tidaklah sampai menyabung nyawa meredah banjir.

    “Kita mahu pilihan raya sebab kita hendak pilih kerajaan yang sah macam dalam PRU-14 lalu.

    “Cukuplah dua kerajaan dan dua Perdana Menteri yang masuk tak ikut pintu belakang. Tapi janganlah buat pilihan raya walaupun tahu ribut, taufan dan banjir besar akan melanda,” katanya lapor MalaysiaKini.