Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki maut tersepit, kereta rempuh pembahagi jalan dan terbalik

    Lelaki maut tersepit, kereta rempuh pembahagi jalan dan terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di Kilometer 86.6 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, Ayer Hitam, Kluang tengah malam tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ramli Said berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.19 tengah malam.

    “Seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan kereta sebuah kereta Proton Wira. Mangsa yang merupakan seorang lelaki, R Karthig berusia 37 Tahun didapati tersepit di bahagian pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, PGO Negeri Johor PKO bertindak menggunakan ‘rescue cutter’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    Bagaimanapun katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis.

  • Pegawai kanan universiti awam direman 7 hari bantu siasatan kes rasuah

    Pegawai kanan universiti awam direman 7 hari bantu siasatan kes rasuah

    SEORANG pengarah bahagian pengurusan fasiliti di sebuah universiti awam direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini berhubung dakwaan menerima suapan sebuah kereta bernilai lebih RM170,000.

    Majistret Mazana Sinin membenarkan permohonan reman tersebut terhadap suspek yang berusia 50-an bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Sebelum itu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dibawa ke perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pukul 9.10 pagi sebelum dibawa keluar 30 minit kemudian, lapor Astro Awani.

    Semalam, media melaporkan suspek ditahan kira-kira jam 3 petang Isnin di pejabat SPRM Melaka di Alai selepas diminta hadir untuk memberi keterangan.

    Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, lelaki itu ditahan selepas dipercayai menerima rasuah sebuah kereta jenis Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM174,500

    Beliau berkata, suapan itu diterima daripada syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai lebih RM1.6 juta.

    Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

  • Guru tergamak campur cecair peluntur dalam hidangan murid

    Guru tergamak campur cecair peluntur dalam hidangan murid

    SEORANG guru di Jepun tergamak meletakkan cecair peluntur dalam makanan tengah hari muridnya setelah kecewa ditukarkan kelas.

    Memetik laporan Kyodo News, jurucakap polis di Fujimi berkata, Ayana Hanzawa mengaku melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan di Sekolah Rendah Mizutani-Higashi Khamis lalu.

    Menurutnya, tindakan suspek terbongkar apabila beberapa murid menyedari bau pelik yang datang daripada hidangan kari mereka sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada guru lain.

    Bagaimanapun katanya, tiada murid yang menjamah kari tersebut dan ia telah dihantar ke makmal untuk analisis.

    “Keputusan makmal kemudiannya mendapati hidangan itu mengandungi peluntur klorin,” kata polis.

    Difahamkan, Hanzawa mengajar di sekolah itu sejak 2020 dan kecewa apabila diarah menjadi guru kelas lain pada April lalu biar pun sebelum ini dia berkeras mahu kekal dengan kelas lamanya.

    Menurut pegawai sekolah yang enggan namanya disiarkan, kari yang dicemari cecair peluntur itu akan dihidangkan kepada murid di kelas baharu guru wanita berusia 24 tahun tersebut.

    Sementara itu, siasatan polis mendapati Hanzawa membeli peluntur di farmasi berhampiran.

    Suspek kemudiannya disiasat atas dakwaan berbuat khianat terhadap perniagaan.

  • Alumni UPSI pecah rekod Malaysia, bina struktur terumbu glob terbesar dasar laut

    Alumni UPSI pecah rekod Malaysia, bina struktur terumbu glob terbesar dasar laut

    UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan pembinaan struktur glob terbesar di kawasan Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu.

    Struktur terumbu glob itu mempunyai ketinggian tiga meter dengan berat melebihi 1 tan serta kedalaman 11 meter.

    terumbu itu diturunkan oleh 10 alumni UPSI diketuai Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff yang juga alumni institut pendidikan berkenaan.

    Menerusi satu kenyataan Md. Amin berkata, sebagai institusi pendidikan keramat, UPSI terbina daripada sebuah semangat perjuangan pendidikan.

    “Ini adalah untuk membuktikan kecintaan kami para alumni terhadap universiti bertuah kami,“ katanya pada majlis penerimaan sijil pengiktirafan daripada MBOR itu di Pulau Redang, semalam lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata, dengan adanya struktur terumbu tersebut akan membantu Jabatan Perikanan dalam usaha pemuliharaan terumbu karang di Taman Laut.

    Menurutnya, terumbu karang di kawasan itu pernah musnah akibat dilanda Taufan Pabuk sekitar Januari 2019.

    Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI Dr Siti Hartini Azmi berkata, usaha alumni terbabit juga akan mengharumkan nama universiti.

  • PM perlu dengar teguran Muhyiddin, perbetulkan keadaan

    PM perlu dengar teguran Muhyiddin, perbetulkan keadaan

    PERDANA Menteri perlu profesional dan tidak prejudis dengan teguran Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan serius menyelamatkan negara daripada terus kerugian berbilion ringgit setiap bulan.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, Datuk Seri Ismail Sabri perlu memperbetulkan keadaan dan mengambil serius cadangan-cadangan Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebelum ini.

    Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Solihan yang juga Ketua Peenerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor;

    Tindakan Perdana Menteri menuding Bersatu ‘menyumbang’ kepada prestasi kerajaan yang hambar adalah tidak wajar kerana pemimpin parti itu dalam Kabinet mahupun Majlis Pemulihan Negara (MPN) sudah melunaskan tanggungjwab yang diberikan.

    PN Johor ingin menegaskan, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menasihati Datuk Seri Ismail Sabri supaya melaksanakan ‘program luar biasa’ untuk memperkasa semula ekonomi negara yang rentan akibat Covid-19.

    Namun, Perdana Menteri dilihat tidak serius dengan pemerhatian Tan Sri Muhyiddin mahupun laporan MPN apabila tiada tindakan komprehensif dilaksanakan Datuk Seri Ismail Sabri kerana lebih banyak melayan gangguan dan ugutan pemimpin UMNO sendiri.

    Akibat memberi tumpuan kepada politiking menyebabkan Perdana Menteri hilang fokus untuk menguruskan kerajaan, rakyat dan ekonomi.

    Ini termasuk mengabaikan cadangan MPN yang diangkat kepada mesyuarat Kabinet yang mempunyai asas kukuh serta boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

    Janganlah cadangan baik daripada Tan Sri Muhyiddin dipandang enteng hanya kerana beliau adalah Pengerusi PN.

    Perdana Menteri perlu bersikap profesional dalam mengurus kerajaan kerana jika idea baik tetapi dihalang, yang menerima kesannya adalah rakyat.

    PN Johor tidak nampak sesuatu yang baharu sejak Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih teraju Kerajaan Pusat kecuali meneruskan perancangan Tan Sri Muhyiddin.

    Ketika negara serantau giat meneruskan projek yang terhenti akibat Covid-19 selain melaksanakan pembangunan baharu yang akan memacu pertumbuhan, negara kita malangnya menjadi perhatian antarabangsa kerana konflik politik yang tak sudah dan kerakusan pemimpin dengan rasuah.

    Justeru, Perdana Menteri perlu pantas membetulkan keadaan ini dan tidak prejudis dengan teguran Tan Sri Muhyiddin supaya kerajaan serius menyelamatkan negara daripada terus kerugian berbilion ringgit setiap bulan.

    Antaranya, kepincangan pengurusan ekonomi dan kekurangan tenaga kerja termasuk dalam industri teras seperti kelapa sawit selain kemerosotan nilai ringgit susulan pelbagai faktor yang semakin tidak terkawal.

    Datuk Seri Ismail Sabri juga perlu berani menangani ugutan politik daripadarakan-rakannya dalam UMNO sendiri selain bijak mengimbangi di antara politiking dan keutamaan mengurus kepentingan rakyat.

    Mohd. Solihan Badri
    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Johor

  • PRU-15: BN bukan musuh Pas tapi PH dan sekutunya – Takiyuddin

    PRU-15: BN bukan musuh Pas tapi PH dan sekutunya – Takiyuddin

    PAS tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan Ta’awun parti itu.

    Sebaliknya kata beliau, Pas tetap menegaskan bahawa musuh sebenar Penyatuan Ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk ‘Khemah Besar’.

    Takiyuddin menjelaskan, Pas yakin Agenda Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional di antara orang Melayu Islam, kaum Bumiputra dan rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dapat dicapai
    sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU-15.

    “Justeru itu Pas terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan Kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bekerjasama menghadapi PRU-15 nanti seterusnya membentuk sebuah Kerajaan baru yang lebih mantap dan berotoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, Pas seterusnya yakin gabungan atas konsep Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional sahajalah mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima oleh majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah Kerajaan Prihatin Rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat.

    Katannya, pada masa yang sama Pas mahu memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang (check and balance).

    Menurutnya, Pas amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari dua Penjuru dalam PRU15 nanti.

    “Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama,
    bangsa dan budaya, tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU14,” katanya.

  • Isteri rancang, upah 4 lelaki samun, bunuh suami

    Isteri rancang, upah 4 lelaki samun, bunuh suami

    POLIS menahan seorang wanita yang dipercayai mengupah empat lelaki untuk menyamun dan membunuh suaminya di Taman Aneka Baru, Sungai Udang, dekat Klang, Khamis lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, turut ditahan adalah empat lagi suspek dipercayai kenalan wanita berusia 37 tahun terbabit yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

    “Motif kejadian itu dipercayai disebabkan dendam dan kepentingan diri. Terdahulu polis menerima panggilan orang awam pada pukul 1.15 pagi Khamis, memaklumkan terdapat pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki sehingga menyebabkan mangsa terbaring di hadapan sebuah rumah.

    “Polis kemudian menemui mangsa lelaki warga tempatan berusia 41 tahun dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, berdasarkan keterangan isteri mangsa, terdapat dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng serta bersenjata pisau telah memasuki rumah melalui pintu hadapan.

    “Dakwanya, suspek telah menikam suaminya sehingga menyebabkan kematian, selain menggeledah rumah mereka serta mengambil pelbagai beg tangan yang berjenama, barang kemas dan juga sejumlah wang tunai RM40,000 sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan jenis BMW.

    “Jumlah kerugian mencecah RM100,000. Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya lapor Astro Awani.

    Hasil bedah siasat ke atas mangsa katanya, mendapati terdapat 14 tikaman di badannya menggunakan senjata tajam yang menjadi punca kematiannya.

    Beliau berkata, polis kemudian mendapati keterangan isteri mangsa mencurigakan sebelum menahannya untuk siasatan lanjut.

    Katanya, siasatan kemudian mendapati wanita itu merancang dan membuat persiapan untuk membunuh suaminya sendiri.

    “Isteri mangsa juga telah memberikan maklumat individu lain yang turut terlibat sama dan polis menahan semua empat suspek lelaki berusia 20 hingga 36 tahun di Klang dan Negeri Sembilan pada hari sama.

    “Empat lelaki terbabit didapati mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

    “Polis turut merampas kereta BMW yang digunakan semasa kejadian serta barangan samun,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua mereka direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

  • Masalah pekebun kecil getah dibincang dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

    Masalah pekebun kecil getah dibincang dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

    MASALAH harga komoditi getah di bawah paras harga siling yang dihadapi oleh penoreh getah dan pekebun kecil ketika ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, pada Rabu ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengadakan perbincangan bersama pada Isnin lalu bagi menentukan inisiatif untuk meningkatkan pendapatan penoreh getah.

    “Kedua-dua kementerian ini ada kolaboratif dan perkara ini saya fikir nak selesaikan minggu ini juga, bukan minggu hadapan,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Universiti Utara Malaysia (UUM) Membina Kesejahteraan Rakyat (Mekar) 2022 di kampus UUM Sintok, hari ini.

    Turut hadir sama, Naib Canselor UUM, Profesor Haim Hilman Abdullah serta Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad.

    Mahdzir berkata, pihaknya akan membentangkan hasil perbincangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada esok sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

    Kerajaan katanya, memberi jaminan ada inisiatif tertentu yang sedang diusahakan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah keluar daripada kemelut harga yang rendah.

    “Kadang-kadang kita terlepas pandang golongan penoreh dan hanya nampak pekebun kecil yang merupakan pemilik tanah semata-mata. Dalam hal ini, kedua-dua golongan tersebut wajar diberi perhatian,” katanya.

    Minggu lalu Mahdzir berkata, KPLB sedang merangka dua cadangan untuk diusulkan kepada Ismail Sabri bagi manfaat pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

    Dua syor tersebut ialah sama ada menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh Bantuan Musim Tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan.

  • ‘Poster boy’ bukan jaminan Ismail Sabri jadi PM selepas PRU-15

    ‘Poster boy’ bukan jaminan Ismail Sabri jadi PM selepas PRU-15

    PENEGASAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bukan jaminan beliau kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali, ini kerana tiada inisiatif jelas dilihat dalam menjadikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

    “Persoalannya adakah Ahmad Zahid akan menepati janji? Ini bukan jaminan yang wajib dilaksanakan sebab antara Ahmad Zahid dan Ismail Sabri, tidak ada usaha atau inisiatif ketara dibuat supaya Ismail Sabri dilihat sebagai bakal Perdana Menteri selepas PRU-15.

    “Sebagai contoh, apa salahnya Ahmad Zahid serahkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Ismail Sabri kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika ini.

    “Selepas itu, bincangkan pelan peralihan kuasa Ismail Sabri sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

    Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengesahkan Ismail Sabri kekal sebagai ‘poster boy’ calon Perdana Menteri BN pada PRU-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan Ismail Sabri akan dipilih sebagai Perdana Menteri jika parti itu memenangi PRU-15.

    Mazlan berkata, jaminan Ismail Sabri sebagai bakal Perdana Menteri penting kerana beliau perlu diberi peranan yang bukan sekadar memimpin gabungan BN tetapi juga dalam urusan berkaitan pilihan raya.

    “Katakanlah BN menang besar pada PRU-15, sebagai Presiden UMNO dan ketua parti majoriti, Ahmad Zahid sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

    “Justeru, buat apa lantik seorang Naib Presiden sebagai Perdana Menteri, itu logik yang jelas.

    “Jadi seperti apa yang berlaku di Johor, akhirnya bekas Menteri Besar tak dilantik (semula), orang lain yang tak dijangka pula dilantik sebagai Menteri Besar. Saya fikir Ismail Sabri pun memahami situasinya sekarang,” katanya.

  • PRU musim banjir: Amat kejam, tiada perikemanusiaan

    PRU musim banjir: Amat kejam, tiada perikemanusiaan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kesal dengan dengan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti tersebut sanggup meredah banjir jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tahun ini.

    “Ini menunjukkan betapa kemaruknya Ahmad Zahid dan Barisan Nasional (B)N terhadap kuasa sehingga tidak kisah dan peduli mengenai kesusahan rakyat sewaktu bencana banjir.

    “Mana perikemanusiaan beliau (Ahmad Zahid) ketika mengeluarkan kata-kata ini? Bencana banjir bukan benda yang boleh dipandang ringan.

    “Rakyat kehilangan harta benda dan orang tersayang akibat bencana banjir. Amat kejam apabila seorang presiden parti dan juga ahli Parlimen yang susah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat mengeluarkan kenyataan begini,” katanya.

    Beliau yang mesra dipanggil Rara berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.

    Menurutnya, masih ada lagi infrastruktur tidak dibaik pulih akibat bencana banjir yang melanda pada Disember tahun lalu.

    Tambah Young Syefura, bahkan ada penduduk yang masih belum mampu hidup seperti dahulu lagi.

    “Zahid Hamidi perlu malu dengan diri sendiri dan muhasabah. Jangan terlalu kemaruk sehingga sanggup memperjudikan keselamatan dan kebajikan rakyat ketika bencana.

    “Sepatutnya beliau perlu mendesak menteri-menteri BN untuk membuat persiapan rapi menghadapi banjir agar rakyat tidak terkesan dengan lebih teruk seperti tahun lepas,” kata beliau.