Author: Wartawan WartaRakyat

  • Amanah tanding 31 kerusi DUN di PRN 6 negeri

    Amanah tanding 31 kerusi DUN di PRN 6 negeri

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan meletakkan 31 calon pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini.

    Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, parti itu akan meletakkan sembilan calon masing-masing di Selangor dan Kedah, serta tujuh di Kelantan, lapor FMT.

    Parti itu juga akan meletakkan dua calon masing-masing di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu.

    Daripada 31 calon itu, katanya, tujuh terdiri daripada wanita dan tujuh daripada Pemuda Amanah.

    Sembilan calon adalah penyandang kerusi, manakala 15 muka baharu.

    Calon-calonnya terdiri daripada:

    Selangor

    Sabak – Samad Hashim
    Hulu Bernam – Amran Sakir
    Taman Templer – Anfaal Saari
    Batu Tiga – Danial Al-Rashid
    Pandan Indah – Izham Hashim
    Sungai Ramal – Mazwan Johar
    Seri Serdang – Abbas Salimi Azmi
    Meru – Mariam Abdul Rashid
    Morib – Hasnul Baharudin

    Kedah

    Kota Seputeh – Dr Salmee Said
    Kuala Nerang – Ridzwan Abu Bakar
    Alor Mengkudu – Mahfuz Omar
    Kubang Rotan – Asmirul Anuar Aris
    Pengkalan Kundur – Dr Ismail Salleh
    Tokai – Zainal Abidin Saad
    Sungai Limau – Siti Balkhis Husain
    Belantek – Mazli Saipi
    Kupang – Suhaimi Hamzah

    Kelantan

    Kota Lama – Dr Hafidzah Mustakim
    Pengkalan Pasir – Rushdan Mustafa
    Demit – Ismail Ghani
    Tawang – Mat Isa Che Dir
    Kadok – Azizan Razak
    Bukit Panau – Dr Samsu Adabi
    Temangan – Abdul Kadir Othman

    Terengganu

    Batu Buruk – Zamir Ghazali
    Ru Rendang – Suhaimi Sulaiman

    Negeri Sembilan

    Klawang – Bakri Sawir
    Paroi – Norwani Ahmad

    Pulau Pinang

    Bayan Lepas – Azrul Mahathir Aziz
    Permatang Pasir – Faiz Fadzil

  • DAP terkilan kerusi DUN Dusun Tua diserah kepada BN

    DAP terkilan kerusi DUN Dusun Tua diserah kepada BN

    DAP mengakui sedikit terkilan keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang disandang parti itu kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos depan.

    Setiausaha Agung parti DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun pihaknya perlu akur dengan keputusan tersebut kerana telah dimuktamadkan.

    Tambah Menteri Pengangkutan itu, beliau akan bincangkan perkara tersebut dalam Majlis Presiden PH pada Isnin ini.

    “Mungkin ada syarat pertukaran yang akan diletakkan dan sebagainya.

    “Tapi kita tidak puas hati, pimpinan parti dan akar umbi rasa terkilan dengan keputusan tersebut,” jelasnya lapor Sinar Harian.

    Pada Jumaat, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu hanya bertanding di 12 kerusi DUN Selangor bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos depan.

    Untuk calon DUN Dusun Tua, BN mempertaruhkan Datuk Johan Abd. Aziz manakala DUN Gombak Setia pula, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP memperoleh majoriti undi sebanyak 10,422 ketika menentang Mohd. Zin (BN) dan Razaly Hassan (Pas).

  • Kerusi DUN Lenggeng: UMNO harap Amanah hormati keputusan

    Kerusi DUN Lenggeng: UMNO harap Amanah hormati keputusan

    UMNO Negeri Sembilan berharap Parti Amanah Negara (Amanah) menghormati keputusan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan yang memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng diberi kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, semangat kerjasama dan saling memahami perlu menjadi pegangan semua peringkat parti sekali gus bagi memastikan kemenangan kepada gabungan itu.

    “Itu dah diputuskan dan ia memihak kepada Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini memohon tambahan dua kerusi tetapi setelah dipertimbangkan dalam jangka masa yang agak panjang maka hanya satu kerusi tambahan diberikan iaitu DUN Lenggeng.

    “Saya berpegang kepada keputusan itu. Presiden BN juga sudah umumkan calon yang bakal bertanding di DUN Lenggeng.

    “Jadi saya harap persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan BN dapat kita terima serta praktikan secara persefahaman dalam kita hadapi PRN ini,” katanya ditemui pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan, Serembanm semalam.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Pemuda Amanah Negeri Sembilan yang berhasrat menghantar calon di DUN Kota selepas UMNO bertanding di DUN Lenggeng.

    Menurut Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamaruddin, rasionalnya adalah bagi memastikan parti Amanah ini terus kekal relevan khususnya di Negeri Sembilan dan menegaskan bahawa parti itu bukanlah sebuah parti yang mudah diperkotak-katikkan oleh lawan mahupun kawan.

    Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, percaya semua parti akan menghormati keputusan tersebut.

    “Ini kerana kita sedia maklum, siapa pun akan perjuangkan untuk dapatkan kerusi tambahan, tetapi akhirnya keputusan akan dibuat oleh Majlis Presiden, oleh ketua kita.

    “Kalau mereka kata hendak menghantar calon di kerusi yang ditandingi oleh BN, saya juga akan hadapi masalah kerana pengikut-pengikut saya akan ambil pendekatan sama,” katanya lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak wujud istilah calon anak-beranak berikutan pemilihan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid dan anaknya Mohd. Najib Mohd. Isa sebagai calon kali ini.

    Ini kerana jelasnya, pemilihan dibuat berdasarkan kriteria calon yang terbaik.

  • Penghinaan dilakukan The 1975 berpunca daripada sikap berlembut tanpa sempadan

    Penghinaan dilakukan The 1975 berpunca daripada sikap berlembut tanpa sempadan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGHINAAN besar yang dilakukan oleh kumpulan muzik kumpulan rock, The 1975 dalam sebuah konsert baru-baru ini sebenarnya berpunca daripada sikap berlembut tanpa sempadan pihak tertentu hingga menyebabkan negara ini dihina oleh bangsa asing.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu jelas mencemarkan imej Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

    Menurutnya, kumpulan itu sejak dari awal lagi tidak dibenarkan masuk ke negara ini atas apa jua alasannya.

    “Sikap berlembut tanpa sempadan menyebabkan akhirnya negara kita dihina orang asing.

    “Mereka bukan sahaja gagal menghormati pendirian menolak LGBT negara dengan aksi bercumbu sesama jenis di atas pentas bahkan mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan prinsip anti-LGBTQ yang diamalkan di negara ini.

    “Malangnya, penghinaan besar ini berlaku di dalam negara ini sendiri. Apakah kita tidak mempunyai maruah untuk dipertahankan?” soalnya.

    Tambahnya, PAS Kedah meletakkan suatu jaminan dengan tegas bahawa tidak akan ada sebarang konsert daripada artis pro-LGBT mahupun sebarang bentuk usaha ke arah menormalisasi ideologi berkenaan di negeri Kedah.

    “Ini adalah prinsip amar ma’ruf nahi munkar yang wajar dipikul bersama oleh seluruh rakyat Kedah insyAllah.

    “Seharusnya semua pihak bertegas dengan gelombang normalisasi LGBT yang masuk dengan pelbagai pintu kerosakan. Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri Kedah harus dipelihara daripada tercemar dengan budaya songsang yang merosakkan,” katanya.

  • UMNO Terengganu ‘tidak mesra’ calon Wanita, Pemuda?

    UMNO Terengganu ‘tidak mesra’ calon Wanita, Pemuda?

    guane

    SEBAIK sahaja pengumuman calon UMNO-Barisan Nasional (BN) diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) pada malam Jumaat lalu, rata-rata ahli parti berkenaan di Terengganu mula merungut dengan pemilihan dibuat.

    Maka itu bermulalah ‘perang saraf’ sesama sendiri di mana masing-masingnya ada yang meluahkan perasaan dan persepsi negatif terhadap pucuk pimpinan parti.

    Ada yang mengatakan UMNO seakan ‘tidak mesra’ calon Wanita dan Pemuda, UMNO lebih pentingkan calon kitar semula, UMNO masih utamakan calon kalah PRU 15 dan pelbagai lagi dakwaan serta persepsi dibuat.

    Begitulah antara luahan demi luahan beberapa pihak terbabit menerusi media sosial khususnya Facebook (FB) dipercayai dilakukan wakil calon tersisih dan tidak terpilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 ogos ini.

    Apa yang melucukan, ada luahan tersebut bukan sahaja dikongsi dalam grup FB UMNO Terenggganu, tetapi juga melibatkan grup Friends Of MB Terengganu (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar).

    Apabila membaca serta memerhatikan catatan serta luahan berkenaan, penulis seakan ingin tergelak pun ada.

    Bak kata rakan-rakan penulis “biasalah kan… orang UMNO ni sejak dari dahulu lagi tidak pernah berubah.

    “Bukan macam orang Pas, mereka bukan sahaja tidak pernah mempersoalkan siapa calon, sebaliknya sanggup pula mengeluarkan duit poket sendiri bagi membantu parti”.

    Penulis percaya kemarahan segelintir ahli dan penyokong UMNO khususnya golongan muda ada kaitan dengan kurangnya jumlah calon mewakili golongan berkenaan dipilih bertanding pada PRN di Terengganu kali ini.

    Difahamkan hanya terdapat tiga wakil Pemuda sahaja terpilih manakala Ketua Pemuda negeri Tengku Harphiz Tengku Putera pula tersisih.

    Tengku Harphiz Tengku Putera

    Tengku Harphiz mulanya disebut-sebut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang.

    Namun, apa yang berlaku adalah disebaliknya apabila UMNO mencalonkan Jalaludin Ismail di kerusi berkenaan.

    Sebelum ini Tengku Harphiz yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO pusat pernah memberitahu bahawa BN negeri dijangka menyenaraikan sekurang-kurangnya lapan calon dari kalangan Pemuda UMNO untuk bertanding dalam PRN nanti.

    Selain beliau, antara yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd, Ketua Pemuda Setiu, Ahmad Abaidillah Arifin, Mohd. Hafiz Aziz (Kuala Nerus), Mohd. Hariz Zainal (Marang), Mohd. Hafizuddin Hasromi (Dungun) dan Zulkefli Abu Bakar (Kemaman).

    Bagaimanapun selepas pengumuman itu, hanya nama Armi Irzan dan Mohd. Rozaini Rasli sahaja bernasib baik kerana terpilih.

    Armi Irzan dicalonkan bertanding di DUN Bandar, iaitu kerusi popular MCA yang mengumumkan tidak bertanding.

    Rozaini yang juga Ketua Pemuda UMNO Besut pula dicalonkan di DUN Jertih.

    Difahamkan, Tengku Haphiz sebelum ini telah menghantar senarai calon kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk dipertimbangkan di samping tidak menafikan ada seorang calon daripada kalangan Pemuda bertanding di setiap DUN.

    Selain Pemuda, nasib dua lagi sayap parti di Terengganu iaitu Wanita dan Puteri terus dirundung malang apabila tiada seorang pun calon yang dipilih bertanding kali ini.

    Dalam PRU14 tahun 2018 lalu, Ketua Wanita UMNO Terengganu, Toh Puan Zaiton Mat Amin diangkat sebagai calon bertanding di kerusi Bukit Payong, tetapi tewas kepada calon Pas, Mohd. Nor Hamzah.

    Sepertimana jangkaan ramai sebelum ini, UMNO dijangka mencalonkan sebilangan besar calon kitar semula yang tewas bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November lalu menjadi kenyataan.

    Malah, sebaik sahaja nama-nama calon diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sempena Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke 15 malam Jumaat lalu, ramai pemerhati politik termasuk ahli serta penyokong UMNO di Terengganu telah menjangkakan perkara itu.

    Antara nama yang kekal ialah bekas dua Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Said yang dicalonkan bertanding di DUN Kijal dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di DUN Seberang Takir.

    Pada PRU14 lalu, Ahmad yang juga Pengerusi UMNO negeri menang dengan majoriti 1,265 undi, manakala Ahmad Razif selalu Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus menang dengan majoriti 1,884 undi.

    Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman

    Turut dicalonkan ialah Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat yang akan bertanding di DUN Telemung, Datuk Nawi Mohamad di kerusi Hulu Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (Kuala Besut), Datuk Mohammad Pehimi Yusof (Kota Putera), Rosdi Zakaria (Jabi), Hamdan Hamzah (Permaisuri), Datuk Sabri Mohd Noor (Langkap), Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit), Muhammad Hanafi Hasan (Tepuh), Omar Adam (Buluh Gading) dan Wan Noorislam Wan Hashim (Bukit Tunggal).

    Lain-lain calon ialah Datuk Mohd. Sabri Alwi (Ladang), Yuseri Isa (Alur Limbat), Mohd. Khim@Mohd. Khan Abd .Rahman (Bukit Payong), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Pengkalan Berangan), Datuk Seri Jailani Johari (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Mohd. Asri Mohamad (Rantau Abang), Ahmad Abdullah Abd. Wahab (Paka), Mohd. Khairi Afiq Mohd. Yusof (Kemasik), Datuk Sri Mohamed Rahim Hussin (Chukai) dan Dr. Mohd. Zaki Salleh (Air Putih).

    Pada majlis berkenaan BN mengumumkan 27 calon yang akan bertanding di Terengganu, manakala lima lagi kerusi menjadi milik Pakatan Harapan (PH) diwakili PKR dan Amanah melibatkan kerusi DUN Batu Burok, Ru Rendang, Manir, Sura dan Wakaf Mempelam.

  • Amanah terkejut BN letak calon di DUN Tepuh

    Amanah terkejut BN letak calon di DUN Tepuh

    PARTI Amanah Negara (Amanah) terkejut selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh ketika Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada malam kelmarin.

    Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ini kerana Mesyuarat Sekretariat Perpaduan Terengganu sebelum ini telah bersetuju memberikan kerusi itu kepada Amanah.

    “Amanah juga tidak pernah memulangkan kembali kerusi DUN itu sebagaimana desas-desus mengatakan kononnya ia sebagai pertukaran bagi meletakkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dari PKR untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil (PRK) Ogos depan.

    “Kita tidak pernah memulangkan kembali kerusi DUN Tepuh kepada BN kerana ia telah dipersetujui bersama untuk diberikan kepada Amanah menerusi mesyuarat antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Mei lalu.

    “Saya sendiri pun tak pernah dengar dan tak diberitahu mengenai Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu kerana isu mengenai petisyen tempoh hari dikemukakan UMNO.

    “Pada kita, mungkin juga kerusi bagi Parlimen itu diwakili calon mereka kerana mereka yang menang ke atas petisyen berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

    Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.

    Dalam pertandingan empat penjuru itu, Ahmad Amzad memperoleh 63,026 undi; calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong (22,109); Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada PH mendapat 10,946 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar, 481 undi.

    Sementara itu, ditanya sama ada Amanah akan mengumumkan calon bagi kerusi DUN Tepuh, Raja Kamarul Bahrin berkata, kesemua kerusi yang akan ditandingi Amanah dalam PRN enam negeri akan diumumkan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam tempoh terdekat.

    Jelas Raja Kamarul Bahrin, setakat ini tidak boleh dikatakan berlaku pertindihan kerusi di DUN berkenaan malah beliau secara yakin memberitahu kerusi itu milik PH.

    “Kalau nak tanya satu persatu saya boleh katakan dengan tepatnya setahu kita perjanjian terakhir antara kita dengan UMNO (PH dan BN) yang dipersetujui oleh UMNO adalah Tepuh diberikan kepada Amanah.

    “Dalam isu ‘pemulangan’ kerusi ini sebenarnya tiada dan tidak berlaku kerana kita tidak ‘dirujuk’ langsung. Kita tak kata ada pertindihan, tapi tunggulah pengumuman presiden kita sehari dua lagi,” ujarnya.

    Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi PH Terengganu berkata, walaupun UMNO telah mengisytiharkan calon DUN Tepuh dari parti itu, masih boleh berlaku perubahan sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai depan.

    Pada PRU14 lalu, kerusi DUN Tepuh dimenangi calon Pas, Hismuddin Abdul Karim dengan memperoleh 10,728 undi menewaskan pesaingnya dari BN, Basir Ismail yang mendapat 8,065 undi sementara calon PKR, Wan Hafizie hilang deposit dengan mendapat 1,002 undi.

  • Salahuddin stabil, masih di ICU

    Salahuddin stabil, masih di ICU

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub kini stabil walaupun masih agak kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, kata Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa.

    Katanya, pasukan perubatan sedang memantau rapi kesihatan Salahuddin selepas menjalani pembedahan semalam.

    “Alhamdulillah, pembedahan semalam berjaya. Sama-sama kita doakan kesihatan beliau, insya-Allah sihat seperti sedia kala.

    “Beliau masih berada di unit rawatan rapi (ICU) HSB dan insya-Allah saya juga akan melawat beliau hari ini,” katanya selepas merasmikan Program Madani Afiat & One Hour Malaysia Clean Up peringkat Terengganu di Program Perumahan Rakyat Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

    Zaliha bagaimanapun enggan mendedahkan punca pendarahan otak dialami Ahli Parlimen Pulai itu, Utusan Malaysia.

    Semalam, setiausaha akhbar Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan menteri itu dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira 10.15 malam Jumaat selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

    Katanya, Salahuddin disahkan mengalami pendarahan otak oleh pakar di HSB.

  • PRN: 2,829 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran penamaan calon Sabtu ini

    PRN: 2,829 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran penamaan calon Sabtu ini

    SERAMAI 2,829 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang akan bertugas pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu pada Sabtu ini, bagi memastikan perjalanan proses tersebut lancar dan aman.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua pegawai dan anggota itu akan ditugaskan di 23 pusat penamaan calon yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan tiada elemen yang boleh mencetuskan kegusaran awam berlaku.

    Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang proses penamaan calon itu berlangsung kelak.

    Tambah Kok Chin, polis juga melantik pegawai pemantau PRN di setiap daerah bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar.

    “Selain itu, Ops Cantas juga telah bermula dua hari lalu dan akan berterusan sehingga selesai PRN dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

    “Saya sendiri akan turun padang bersama ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah bagi meninjau kawasan-kawasan yang kita kenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) pada PRN bagi melihat persiapan serta memastikan keselamatan semua,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu, Kok Chin mengingatkan penyokong parti-parti yang bertanding mematuhi nasihat, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh SPR serta polis sepanjang hari penamaan calon berlangsung.

    Ujarnya, calon-calon yang akan bertanding juga perlu mengikuti serta mematuhi SOP ketika proses penamaan calon berlangsung.

    Menurut beliau, perjalanan PRN di negeri itu akan berjalan dengan aman sekiranya semua pihak mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    “Kita juga sedang meneliti sekiranya terdapat keperluan untuk menutup mana-mana jalan ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya.

  • Polis bongkar makmal proses heroin, 2 lelaki ditahan

    Polis bongkar makmal proses heroin, 2 lelaki ditahan

    KEGIATAN satu sindiket mengedar dadah yang menjadikan sebuah rumah sebagai makmal memproses dadah jenis heroin terbongkar selepas dua lelaki ditahan Polis Pulau Pinang di negeri itu dan di Bandar Baharu, Kedah, Jumaat lalu.

    Kedua-dua lelaki tempatan yang juga penganggur berusia 27 dan 30 itu ditahan dalam serbuan berasingan dalam operasi terancang bermula kira-kira pukul 10 malam Jumaat lalu dan berakhir 7 pagi semalam itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas dadah bernilai RM135,250 serta pelbagai peralatan memproses dadah.

    Jelas beliau, kedua-duanya suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah itu ditahan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

    Kok Chin menunjukkan dadah dan peralatan memproses bahan terlarang tersebut dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di Georgetown hari ini

    Ujarnya, ketika pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dinaiki suspek, polis menjumpai sebanyak 22 bungkusan heroin seberat 10 kilogram (kg) dan syabu (6.25 gram) yang kesemuanya bernilai RM135,250.

    “Susulan penahanan dua suspek itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah tidak berpenghuni dipercayai menjadi makmal memproses dadah di Bandar Baharu, Kedah.

    “Dadah jenis heroin ini dipercayai diproses di rumah terbabit dan dua suspek tersebut kemudian akan mengedarkannya untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Menurut Kok Chin, hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif memproses dan mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum memprosesnya di rumah.

    Katanya, polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi ahli sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai kepakaran memproses heroin yang disyaki masih berada di sekitar Pulau Pinang serta di negeri jiran.

    “Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Penyokong DAP kecewa tahap ‘kronik’ BN ambil Dusun Tua

    Penyokong DAP kecewa tahap ‘kronik’ BN ambil Dusun Tua

    SEORANG pemimpin DAP mengakui setakat ini sukar memujuk ahli dan penyokong parti itu yang terkilan dengan pencalonan Barisan Nasional (BN) di Dusun Tua pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

    Beliau yang enggan dinamakan berkata, ramai kecewa apabila kerusi dimenangi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menerusi Edry Faizal Yusof diserahkan kepada Timbalan Ketua UMNO Selangor, Johan Aziz untuk mewakili gabungan kerajaan perpaduan.

    Katanya, ramai ahli DAP di Hulu Langat meluahkan kemarahan mereka dalam pertemuan dengan Ketua DAP Selangor, Gobind Singh Deo, semalam, iaitu sehari selepas BN diumum bertanding di kerusi DUN Dusun Tua.

    “Memang akar umbi kecewa tahap kronik, susah hendak pujuk setakat ini,” katanya kepada FMT.

    Dusun Tua, antara dua kerusi disandang komponen Pakatan Harapan (PH) selain Gombak Setia diserahkan kepada BN pada PRN 12 Ogos ini.

    Pada PRU14, Edry Faizal menang dengan majoriti 10,422 menewaskan Mohd. Zin Isa (BN) dan Razaly Hassan (Pas).

    Sementara itu, Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han berkata, beliau bersama Gobind bertemu ahli DAP di Hulu Langat bagi membincangkan keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kerusi Dusun Tua kepada UMNO.

    “DAP Selangor ingin menyatakan pendirian tidak bersetuju dan terkilan terhadap penyerahan kerusi tersebut,” katanya di Facebook.

    Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH esok yang mungkin membincangkan syarat pertukaran.

    Difahamkan, tiada wakil DAP hadir pada majlis pelancaran jentera perpaduan peringkat Hulu Langat Rabu lalu yang mempunyai dua kerusi iaitu Dusun Tua dan Semenyih- kedua-duanya bakal ditandingi BN.