Author: Wartawan WartaRakyat

  • Berita kematian Salahuddin tidak benar – SUA

    Berita kematian Salahuddin tidak benar – SUA

    BERITA yang tersebar di media sosial berhubung kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah palsu.

    Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Nur Syakirin Husnal ‘Az’ Hari kepada media.

    “Berhenti menyebarkan dan mempercayai khabar angin.

    “Datuk Seri Salahuddin Ayub masih bernafas. Jantungnya masih berfungsi. Beliau kini berada di unit rawatan rapi (ICU),” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam mesej setakat pukul 8.46 malam itu, Nur Syakirin berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan.

    Khabar kematian Salahuddin mula ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial pada Ahad ini.

    Media melaporkan, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB sekitar pukul 10.15 malam Sabtu setelah mengalami mual dan muntah-muntah.

    Beliau disahkan mengalami pendarahan otak sebelum menjalani pembedahan semalam.

  • Dr. Zaliha, Mohamad Sabu lawat Salahuddin

    Dr. Zaliha, Mohamad Sabu lawat Salahuddin

    MENTERI Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa melawat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar hari ini.

    Beliau dilihat hadir lebih kurang pukul 8.11 malam di pekarangan hospital disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Othman Warijo.

    Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula tiba sambil diiringi Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh pada pukul 8.50 malam.

    Difahamkan, beberapa pimpinan dari Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka hadir termasuklah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

    Hari ini Sinar Harian melaporkan anak perempuan kepada Salahuddin, Siti Fatihah memohon agar ruang diberikan kepada pihak keluarga sahaja untuk melawat bapanya.

    Siti Fatihah berkata, perkara itu adalah atas nasihat doktor dan permintaan ahli keluarga, sekali gus menghargai segala sokongan dan doa.

    Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pukul 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

    Salahuddin juga telah selamat menjalani pembedahan pagi semalam dan berada dalam keadaan stabil di HSB.

  • PRN: Tengku Zafrul digesa letak jawatan Bendahari UMNO, BN Selangor

    PRN: Tengku Zafrul digesa letak jawatan Bendahari UMNO, BN Selangor

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz digesa melepaskan jawatan sebagai Bendahari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor setelah tidak tersenarai sebagai calon parti itu menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd. Zaffarollah Mohd. Nordin berkata, tidak wajar Tengku Zafrul terus memegang jawatan utama parti sedangkan telah disisihkan daripada keputusan penting.

    Dakwanya, Tengku Zafrul juga tidak dilibatkan dalam rundingan kerusi dan strategi parti di peringkat negeri.

    “Pemuda UMNO Kota Raja berharap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul dapat melepaskan jawatan Bendahari UMNO dan BN Selangor.

    “Memegang jawatan tetapi disisihkan daripada keputusan penting menunjukkan pelantikan sebagai bendahari sekadar kosmetik semata-mata tanpa tanggungjawab yang signifikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Zaffarollah berkata, walaupun kecewa Tengku Zafrul tidak dicalonkan pihaknya akan membantu Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi di kawasan itu.

    “Walaupun kecewa dengan keputusan parti tidak mencalonkan Tengku Zafrul dalam PRN kali ini, kami di Pemuda UMNO akan tetap membantu calon-calon PH yang bertanding di Kota Raja,” katanya lapor Sinar Harian.

    Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akur apabila nama beliau tidak tersenarai sebagai calon dalam PRN Selangor.

  • MIC, MCA tak tanding PRN sebab diketepi rundingan kerusi – Vigneswaran

    MIC, MCA tak tanding PRN sebab diketepi rundingan kerusi – Vigneswaran

    PRESIDEN MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran mendakwa, MCA dan MIC diketepikan dalam soal pembahagian kerusi antara sebab kedua-dua parti itu mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    “Antara sebab MIC tidak bertanding dalam PRN ini adalah kerana dasar pihak yang menang akan dikekalkan di kerusi tersebut, sementara kerusi yang dimenangi pembangkang akan dibincangkan dalam rundingan.

    “Tapi, semasa rundingan tidak pernah membincangkan memberi kerusi kepada MCA dan MIC khususnya di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Selain itu UMNO juga tidak bersungguh-sungguh ketika mengadakan perbincangan kerusi bagi pihak MCA dan MIC.

    “Walaupun, mereka kata akan beri kerusi kepada kami, tapi perkara itu tidak dibincang dalam rundingan. Atas faktor itu, kami mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat MIC, di Kuala Lumpur hari ini.

    Bagaimanapun, tidak jelas jika MCA secara rasmi berkongsi pandangan sama dengan Vigneswaran dan Malaysiakini sedang menghubungi kepimpinan MCA bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

    Sebelum ini, MCA dan MIC dalam kenyataan berbeza menjelaskan punca dua parti itu tidak akan bertanding dalam PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

    Bagaimanapun, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker ketika itu berkata, partinya tidak bertanding PRN bertujuan untuk mengendurkan ketegangan kaum.

    Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung MIC, R.T. Rajasekaran berkata, dengan keputusan tersebut, parti itu juga secara rasmi tidak akan mempertahankan Dewan Undangan Neeri (DUN) Jeram Padang di Negeri Sembilan yang dimenangi L. Manickam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Menjelaskan pendirian MIC, Rajasekaran berkata, pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak pernah dibincangkan di peringkat parti berkenaan.

    Untuk rekod, hanya UMNO mewakili BN dalam rundingan kerusi bersama PH.

    Selain itu, Vigneswaran juga berkata, formula ‘kerusi yang menang akan dikekalkan’ tidak sesuai kepada MIC.

    “Kalau kita setuju dengan formula yang sama pada PRU16, MIC hanya boleh bertanding di kerusi Parlimen Tapah sahaja.

    “Jadi, rundingan sebegini tidak sesuai kepada MIC. Masa depan parti lebih penting berbanding bertanding dalam PRN,” katanya.

    Untuk rekod, pada PRU15, MIC hanya menang satu kerusi Parlimen daripada 10 kerusi yang ditandingi oleh parti itu.

    Timbalan Presiden MIC, DatuK Seri M. Saravanan berjaya mempertahankan kerusi Tapah bagi penggal keempat dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 5,064 undi pada pilihan raya umum 2022 itu.

  • Ular gergasi di Elmina?

    Ular gergasi di Elmina?

    SEEKOR ular dipercayai ular sawa bersaiz gergasi didakwa ditemui di sekitar kawasan Elmina, Shah Alam.

    Difahamkan, video yang memaparkan reptilia itu sedang menjalar di satu kawasan berbukit dirakam oleh penduduk setempat.

    Video berkenaan kemudian dikongsikan dalam Twitter pemilik akaun @yayaaazmi semalam.

    Dalam ciapannya, dia berkata “Ular sawa/anaconda jumpa dekat area Elmina. Recorded by one of the residents (Dirakam oleh salah seorang penduduk) dan posted (dikongsikan) dalam group community Denai Alam.

    “Seram weh besar macam ini, bukan setakat orang ni, lembu kambing pun dia telan ni.”

    Malah, dalam ciapan itu, dia memberitahu tiada perkembangan lanjut mengenai penemuan ular gergasi berkenaan setakat ini.

    Sementara itu seorang lagi pengguna Twitter turut mengesahkan kesahihan penemuan reptilia berkenaan.

    “Betul…. budak-budak basikal pun nampak semalam. Di Elmina Green katanya,” tulisnya, lapor portal Buletin TV3.

    Sementara itu, rata-rata pengguna lain melahirkan kebimbangan memandangkan reptilia tersebut ditemui berdekatan taman perumahan dan kawasan riadah.

    “Dahsyat. Besar sangat ni mat. Dah macam dalam movie Anaconda dah saiz dia tu. Ni manusia dia boleh telan ni. Tengok kepala dia tu besar mana.

    “Elmina ni kawasan sawit… time saya kecik kawasan Elmina tu pokok je. Elmina pun tengah nak buat belah baru… jadi habitat ular sawa terancam. Hope dapat settle secepat mungkin, besar ni,” komen netizen.

    Malah, ada yang seakan tidak percaya dengan video terbabit.

    “Betul ke AI ni?” kata salah seorang pengguna.

    Ada juga yang berharap, ular tersebut ditangkap dan dipindahkan ke habitat asalnya atau kawasan lain yang lebih sesuai.

    “Hopefully the snake dipindahkan somewhere else very far away dalam hutan. It definitely not their fault,” seorang lagi pengguna yang membalas ciapan asal.

    Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengesahkan tidak menerima laporan mengenai kejadian itu.

  • SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

    SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menumpaskan sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan suruhanjaya itu dan pegawai kanan kepada menteri dalam negeri, baru-baru ini.

    Menurut sumber, modus operandi sindiket terbabit dipercayai menggunakan penyamaran untuk menipu mangsa, kononnya mereka boleh menyelesaikan kes disiasat agensi penguat kuasa.

    Sindiket itu mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, tambahnya.

    Menurut sumber, tujuh individu warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan hasil serbuan berdasarkan risikan oleh SPRM dan polis.

    “Proses permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy, yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Beliau juga menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM.

  • Najwan pertahan Kota Anggerik, pemimpin Pemuda PKR Selangor bantah

    Najwan pertahan Kota Anggerik, pemimpin Pemuda PKR Selangor bantah

    PEMILIHAN semula Najwan Halimi bertanding di Kota Anggerik disifatkan memberi gambaran buruk kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Ketua Penerangan Pemuda Selangor, V. Jisnukvitran berkata, pimpinan parti perlu menimbangkan semula keputusan mengiktiraf Najwan sebagai calon susulan isu hantaran kurang sopan bersifat perkauman sebelum ini.

    “PKR perlu bertegas menentang sebarang bentuk perkauman dalam jajaran parti dan memberi keutamaan kepada kepentingan serta hak rakyat, terutamanya golongan minoriti.

    “Ia penting bagi parti untuk mengambil tindakan tegas soal perkauman. Negara ini merangkumi kepelbagaian yang mana setiap warganegara dihargai dan diperlakukan secara adil tanpa mengira etnik.

    “Sebagai pemimpin Belia India PKR Selangor, kami menuntut akauntabiliti dan ketelusan dalam menangani isu ini serta dedikasi terhadap visi negara yang bersatu serta inklusif,” katanya menurut Sinar Harian.

    Malam tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan semula Najwan menjadi calon perlu diterima susulan pendirian parti memberi kuasa kepada presiden.

    Katanya, semua orang ada melakukan ‘kesilapan’.

    “Kita di sini untuk berkhidmat kepada orang Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan,” katanya ketika mengumumkan calon PKR pada PRN enam negeri di Padang Awam MBSA, Shah Alam.

    Pada 14 Julai, Najwan memohon maaf kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap calon parti itu di Meru, Sivaranjani Manickam.

    Najwan mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham.

  • Pejabat Zuraida nafi ada kaitan kes penipuan bernilai RM4 juta

    Pejabat Zuraida nafi ada kaitan kes penipuan bernilai RM4 juta

    PEJABAT Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan berhubung kes penipuan bernilai RM4 juta dan mempunyai kaitan dengan individu yang dikenali sebagai Adam Rosly Abdullah.

    Pengurusan pejabat berkenaan berkata, pihaknya tidak pernah melantik Adam Rosly Abdullah, mana-mana individu atau kumpulan untuk bertindak menjadi wakil mereka apabila melibatkan sebarang urusan.

    “Justeru itu, kami tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang tindakan yang telah atau akan dibuat oleh individu berkenaan yang jelas tidak mempunyai apa jua kaitan dengan kami.

    “Sekiranya anda adalah mangsa penama di atas atau pernah dihubungi oleh mana-mana pihak yang mengaku sebagai wakil pejabat Zuraida, sila hubungi pihak kami dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Baru-baru ini, terdapat dakwaan berlakunya satu penipuan sehingga melibatkan nilai RM4 juta yang dikaitkan dengan pejabat Zuraida dan dipercayai didalangi oleh seorang individu dikenali sebagai Adam Rosly Abdullah.

    Sebarang pertanyaan, pengesahan dan aduan mengenai perkara itu boleh diajukan melalui emel [email protected].

  • Haramkan tangan undi BN: Hadi kata Annuar lebih tahu salah UMNO

    Haramkan tangan undi BN: Hadi kata Annuar lebih tahu salah UMNO

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Tan Sri Annuar Musa lebih mengetahui keburukan UMNO sehingga beliau ‘mengharamkan tangan’ pengundi di Kelantan memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

    “Banyak yang kita tak tahu dia lebih tahu. Beliau melihat sendiri salah-silap UMNO,” kata Hadi selepas menghadiri program himpunan bicara buat mahasiswa.

    Kelmarin, Annuar yang juga pengerusi Muafakat Nasional (MN) mengingatkan rakyat Kelantan termasuk ahli UMNO di negeri itu ‘mengharamkan tangan’ mengundi calon BN dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN 12 Ogos ini.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu dalam satu program di Kelantan berkata, undi BN di negeri berkenaan ibarat melabur saham kepada DAP.

    Annuar dipecat daripada UMNO pada 8 Dis tahun lalu selepas lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.

    Mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa plot menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu, Hadi secara ringkas berkata Sanusi, lebih mengetahuinya.

    Bagaimanapun, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, populariti Pas dan pengarah pilihan raya PN itu boleh dilihat berdasarkan respons umum.

    “Masyarakat tengok sendiri,” katanya, lapor FMT.

  • Aksi biadab The 1975: Fahmi perlu letak jawatan – Wan Saiful

    Aksi biadab The 1975: Fahmi perlu letak jawatan – Wan Saiful

    MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil digesa untuk meletakkan jawatan serta-merta susulan aksi biadab yang dilakukan artis United Kingdom (UK), The 1975 semasa Festival Good Vibes 2023, kelmarin.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang melakukan gesaan itu menegaskan, ini kerana Fahmi terbukti tidak kompeten menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.

    Wan Saiful yang juga Ketua Portfolio Komunikasi dan Digital Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegaskan, Fahmi wajib mengambil tanggungjawab atas aksi luar, lucah dan di luar tabii yang dipamerkan kepada anak muda semasa festival tersebut.

    “Kerajaan juga mesti mengambil tindakan undang-undang yang keras terhadap aksi luar tabii yang dilakukan di khalayak umum.

    “Jangan sekadar batalkan konsert sahaja.

    “Aksi luar tabii yang dipertontonkan kepada anak muda semasa Festival Good Vibes amat jauh bertentangan dengan nilai dan budaya negara kita,” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mendakwa Fahmi dijangka akan meletakkan kesalahan kepada orang lain.

    Beliau mendakwa, penjawat awam dalam agensi kerajaan mungkin akan menjadi mangsa untuk dipersalahkan Fahmi.

    “Menyalahkan orang lain adalah modus operandi biasa kerajaan yang tidak kompeten ini.

    “Sebagai kerajaan, sepatutnya aksi sebegini dihalang daripada berlaku.

    “Bukan sudah terhantuk baru terngadah tetapi kerajaan yang tidak kompeten ini gagal teruk sehingga nilai dan akhlak telah dilupakan,” katanya, lapor Utusan TV.

    Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matt Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

    Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

    Sehubungan itu, Fahmi mengarahkan penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung sehingga hari ini dibatalkan serta-merta.

    Fahmi menegaskan, pendirian kerajaan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.