Author: Wartawan WartaRakyat

  • PAC akan mulakan siasatan projek kapal OPV belum siap

    PAC akan mulakan siasatan projek kapal OPV belum siap

    JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan akan menyiasat perolehan kapal peronda luar persisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, jawatankuasa berpendirian APMM dan KDN perlu menjelaskan kelewatan penerimaan OPV kepada Parlimen.

    “Ini bagi memastikan rakyat-rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku,” kata Wong dalam kenyataan hari ini.

    Pada 2017, THHE Destini Sdn Bhd mengumumkan syarikat itu telah mendapat kontrak berjumlah RM738 juta untuk membina tiga buah OPV dalam tempoh “tiga setengah tahun”.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som pada 13 September lalu menyatakan ketiga-tiga kapal itu masih dalam pembinaan, dengan kapal pertama dijangka hanya akan diserahkan pada tahun depan.

    Kapal OPV adalah berdasarkan kapal kelas 1800 Damen Group yang berpangkalan di Belanda.

    Wong berkata lagi, pihaknya akan memanggil APMM dan KDN serta Kementerian Kewangan dan syarikat terlibat untuk memberi penjelasan.

    “Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

    Siasatan PAC sebelum ini mendapati satu lagi projek kapal, iaitu kapal tempur pesisir (LCS) untuk TLDM, dipenuhi pelbagai kejanggalan.

    Selain penangguhan penyiapan dan peningkatan kos, PAC juga mendapati rekaan yang dipilih tidak mengikut spesifikasi TLDM.

  • Empat anggota Geng Angah samun kenderaan diberkas

    Empat anggota Geng Angah samun kenderaan diberkas

    POLIS menahan empat lelaki disyaki ahli Geng Angah yang terlibat dalam kes samun kenderaan di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya pada 20 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, dalam kejadian itu, ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang menaiki sebuah kereta Proton Persona warna merah.

    “Suspek telah mengarahkan mangsa keluar dari kereta jenis Honda City, kemudian melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM80,000.

    “Hasil maklumat dan risikan, kesemua suspek termasuk dalang berusia 27 hingga 37 tahun berjaya diberkas secara berasingan di Dang Wangi dan Petaling Jaya pada Jumaat dan Sabtu lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Serdang hari ini.

    Anbalagan berkata, hasil soal siasat pihaknya berjaya menemui pelbagai barangan disyaki hasil daripada kegiatan samun seperti lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga buah kereta jenis Proton Persona, Honda City dan Hyundai Sonata.

    “Kita turut merampas empat beg silang, komputer riba dan tab mini, seutas rantai leher dan senjata parang yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, suspek mengenakan topi dan pelitup muka dengan menggunakan kereta sewa yang bercermin gelap ketika menjalankan kegiatan terbabit.

    Jelasnya, suspek turut bersenjatakan parang dan menyasarkan mangsa yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir, sebelum melarikan kenderaan serta barang-berharga.

    Anbalagan berkata, kesemua suspek didapati bergiat aktif dalam kegiatan samun kenderaan di sekitar Serdang, Kajang dan Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu.

    “Kesemua suspek baru selesai menjalani hukuman penjara dan dipercayai berkenalan ketika dalam penjara,” katanya.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod turut mendapati kesemua terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

    Anbalagan berkata, kejayaan tangkapan kesemua suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun dan melarikan kenderaan di kawasan Lembah Klang.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

  • UMNO tidak ikhlas bekerjasama dengan Pas – Rafiq

    UMNO tidak ikhlas bekerjasama dengan Pas – Rafiq

    KHABAR angin mengenai kemungkinan hubungan antara Pas dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) bertaut kembali menjelang Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) kelak disifatkan sukar untuk menjadi kenyataan.

    Naib Presiden Bersatu Malaysia, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, perkara itu ekoran syarat utama yang diletakkan kepimpinan Pas berhubung perkara itu adalah kerjasama kedua-dua parti mesti melibatkan semua negeri.

    Katanya, mengambil kira syarat itu, ia jelas bertentangan dengan aspirasi beberapa pemimpin UMNO terutama dari Kedah, Kelantan dan Terenggan yang ditadbir Pas.

    “Kenyataan daripada pemimpin Pas itu ada (kerjasama UMNO dengan Pas) tetapi saya difahamkan, kalau ada perundingan yang hendak dibuat ia mesti melibatkan semua negeri.

    “Tetapi kita sudah lihat kenyataan daripada ketua-ketua parti (UMNO) di Kelantan, Kedah dan juga Terengganu bahawa mereka akan mencabar dan cuba merampas negeri berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program futsal di Kompleks Sukan Batu Berendam, Melaka, lapor SatuBerita.

    Memetik kenyataan daripad Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini, Mohd. Rafiq berkata perkara itu jelas menonjolkan UMNO yakin untuk merampas pentadbiran negeri Kedah daripada Pas.

    “Kalau pemimpin yang mesra dengan Perdana Menteri pun sudah buat kenyataan macam itu, saya tidak nampak UMNO ikhlas untuk bekerjasama dengan Pas,” ulasnya.

    Terdahulu pada Ahad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan, Ahli Parlimen Marang itu bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Selasa lalu.

  • Armada mahu isu kerjasama Pas, BN selesai segera

    Armada mahu isu kerjasama Pas, BN selesai segera

    ARMADA mahu isu mengenai hubungan kerjasama antara Pas dengan Barisan Nasional (BN) dapat diselesaikan secepat mungkin sebagai usaha mengelak kekeliruan jentera Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya mahu pimpinan tertinggi dapat memurnikan situasi bagi menunjukkan kepada pengundi kedudukan sebenar parti-parti gabungan dalam PN.

    “Kita kena ingat yang pengundi PN ni banyaknya pengundi atas pagar, anak muda yang meluat dengan politik kleptokrasi dan juga politik yang ekstrem oleh Pakatan Harapan (PH).

    “Jadi, kita perlu menghantar mesej yang jelas kepada pengundi atas pagar, Perikatan Nasional adalah parti yang berada di tengah-tengah yang boleh mengimbangi kekurangan yang ada dalam BN dan PH.

    “Saya harap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang boleh menjernihkan keadaan dengan secepat mungkin demi jentera kami di bawah dan pengundi yang sedang menunggu (melihat hubungan antara parti dalam gabungan PN),” katanya, lapor MalaysiaGazette.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangni Perjanjian Persefahaman antara Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFMB) dan Energy Absolute Thailand (EA) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

    Beliau menggantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sepatutnya menyempurnakan majlis tersebut.

    Beliau ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mahu mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi bagi mendapatkan pengesahan mengenai pertemuan antara Presiden Pas itu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu.

    Menurut Muhyiddin, pertemuan dengan Hadi itu juga bagi membincangkan kedudukan Pas dalam PN susulan kenyataan parti yang cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO sejak kebelakangan ini.

    Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila mengumumkan BN merupakan musuh yang perlu ditentang pada PRU akan datang, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau faham mengapa beliau berkata demikian.

    Ujarnya, tidak ada sebarang kata putus yang boleh menunjukkan bahawa Bersatu dan UMNO boleh bekerjasama untuk elak pertembungan pada pilihan raya akan datang.

    Tambahnya, beliau faham Pas cuba bertindak sebagai orang tengah untuk mendamaikan kedua-dua pihak dan ia merupakan satu usaha yang bagus.

    “Kita tidak pernah menghalang mana-mana untuk membentuk ruang perbincangan sebegini. Jadi, biarlah perkara ini diuruskan oleh kedua-dua presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memahami apakah sebenar yang sedang berlaku pada ketika ini,” katanya. 

  • Gegar Vaganza:Danial reda kena kecam, dilabel pengacara paling teruk

    Gegar Vaganza:Danial reda kena kecam, dilabel pengacara paling teruk

    PELAWAK, pengacara dan penyampai radio, Danial Zaini memohon maaf kepada semua peminat dan penonton program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang tidak selesa dengan cara dia mengendalikan pentas itu, malam tadi.

    Rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa dengan cara Danial mengendali GV9 dan mendakwa pelawak itu sudah merosakkan program popular itu.

    “Saya diminta untuk menggantikan tempat pengacara, Nabil Ahmad empat jam sebelum siaran langsung konsert minggu kedua GV9 bermula.

    “Mungkin ada yang tak tahu apa berlaku di belakang tabir. Nabil tak ada minggu ini kerana terbabit dengan program lain. Saya pula setiap minggu memang terbabit dengan GV Live +.

    “Saya jadi bidan terjun dan diberitahu empat jam sebelum konsert. Saya dapat panggilan daripada produksi GV9 dalam pukul 3 atau 4 petang. Mereka kata ‘urgent’ kena ganti Nabil.

    “Memang ada usaha mencari pengacara lain, tapi mereka tak dapat mengacarakan GV. Jadi, saya ambil tanggungjawab itu. Kalau tolak, saya tetap kena datang buat GV Live +.

    “Saya tak ada ‘rehearsal’ apa-apa di pentas, cari baju pun pada saat akhir. Saya dapat skrip dalam dua jam sebelum naik pentas. Saya terus jumpa Kak Lina untuk baca skrip,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Katanya, dalam GV, siapa saja yang menggantikan Nabil pasti akan dibuat perbandingan kerana Nabil sudah lama mengacara program itu.

    Beliau mengakui masih baru dalam bidang pengacara dan faham dengan kritikan serta terpaksa menghadapinya sebagai anak seni.

    “Namun, saya tetap bangga dapat peluang menjadi pengacara GV. Saya minta maaf kepada peminat GV. Ada yang kata saya rosakkan program dan anggap saya pengacara paling teruk, tapi saya reda dan terima.

    “Ini pengajaran untuk saya tetapi saya tetap akan terus belajar. Saya hanya melakukan kerja untuk mencari nafkah,” katanya.

  • SPRM tahan tiga lagi pegawai MBSA

    SPRM tahan tiga lagi pegawai MBSA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan tiga lagi pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung siasatan tender projek ‘Shah Alam Sustainable Urban Drainage Masterplan’ (SASUD).

    Tangkapan terbaharu semalam menjadikan seramai tujuh pegawai MBSA dan seorang kontraktor ditahan agensi penguat kuasa, setakat hari ini, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan lima individu ditahan SPRM setakat semalam susulan serbuan ke pejabat MBSA pada Isnin lalu bagi membantu siasatan tender projek tebatan banjir berkenaan.

    Empat daripada mereka dilaporkan berkhidmat dengan MBSA, iaitu dua jurutera dan masing-masing seorang pembantu jurutera serta penolong pegawai tadbir. Seorang daripada jurutera itu dipercayai menyediakan dokumen berkaitan dan senarai kontraktor untuk projek SASUD.

    Media hari ini mendedahkan, SPRM mengesan 68 syarikat kontraktor dalam senarai dipercayai disediakan jurutera MBSA yang didakwa ditawarkan tender projek pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

    Semalam Berita Harian melaporkan SPRM mengesan kewujudan kartel dalam MBSA yang dipercayai memonopoli tender projek mega di bandar raya berkenaan.

  • Ramai wanita Malaysia bersalin bulan Oktober – Khairy

    Ramai wanita Malaysia bersalin bulan Oktober – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan pertambahan jumlah pesakit di wad bersalin secara bermusim terutamanya menjelang bulan September sehingga November setiap tahun.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kemuncak peningkatan kelahiran bagi kaum wanita ialah setiap kali bulan Oktober.

    Sehubungan itu kata beliau, pihaknya akan terus menggiatkan usaha untuk mengatasi masalah kekurangan katil di wad bersalin selain memperkemaskan operasi di wad bersalin membabitkan semua hospital di negara ini.

    “Ini fakta bukan alasan, kalau kita lihat trend bilangan kelahiran setiap tahun ia akan meningkat bermula pada bulan September hingga November. Apa sebabnya anda fikirkanlah.

    “Ia memang bermusim… ini fakta. Dan kemuncak peningkatan kelahiran adalah pada Oktober dan trend peningkatan ini berlaku di seluruh Malaysia,” katanya sebagaimana lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun, jelas Khairy, KKM telah mengambil beberapa pendekatan bagi mengatasi masalah tersebut termasuk mempercepatkan proses discaj bagi setiap kes selain menambah jumlah katil di wad berkenaan di semua hospital yang dikenal pasti memerlukanya di seluruh negara.

    KKM juga, kata Khairy, turut mendapati tempoh menunggu anggota keluarga oleh pesakit untuk datang mengambil mereka juga menyumbang kepada kesesakan yang berlaku.

    Justeru, katanya, pihak KKM juga akan menyediakan ruang menunggu selepas discaj bagi membolehkan pesakit menunggu anggota keluarga mereka untuk mengambil pesakit berkenaan.

    Khairy berkata, jumlah kesesakan itu juga turut disebabkan faktor pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi selain beberapa penyakit berjangkit lain yang menyebabkan mereka berada di dalam wad bersalin untuk tempoh yang lebih lama.

    Faktor tersebut katanya menyebabkan pesakit tidak dapat melalui proses bersalin biasa dan memerlukan tambahan tempoh tertentu.

  • Pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen program PenjanaKerjaya

    Pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen program PenjanaKerjaya

    PEMILIK sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan memalsukan borang pendaftaran pekerja di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) 1.0, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Ezza Suria Muda, 37, yang merupakan Pemilik Syarikat ESM Suria Enterprise mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan hakim Dazuki Ali.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada November 2020 di Akademi Binaan Wilayah Timur, Hulu Terengganu, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan satu dokumen iaitu borang pendaftaran pekerja dibawah Peraturan-Peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 (Peraturan 10,12 dan 12 A) pendaftaran bertarikh 3 November dan 23 November 2020.

    Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

    Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 oleh seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dikehandaki melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

    Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Oktober depan.

    Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir.

    Difahamkan, kes berkenaan merupakan kes pertama didakwa susulan siasatan dijalankan SPRM dan Perkeso sebelum ini.

    Sebelum ini, SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya) di beberapa negeri.

    Program PenjanaKerjaya antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020.

    Perkeso sebelum ini turut menggantung bayaran insentif PenjanaKerjaya sebanyak RM423 juta susulan terdapat penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.

  • Bersatu mesti ada tawaran jelas untuk rakyat – Wan Saiful

    Bersatu mesti ada tawaran jelas untuk rakyat – Wan Saiful

    BERSATU mesti mempunyai tawaran yang jelas untuk rakyat, berbeza dengan apa yang ditawarkan parti lain.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan bercakap mengenai keburukan atau kelemahan orang lain belum cukup untuk membawa kemenangan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Bersatu mesti jelaskan apa yang kita tawarkan, yang berbeza dengan orang lain dan sebenarnya memang ada pembeza yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Wan Saiful mendakwa, UMNO sudah menjadi sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi semata-mata dan mentaliti rasuah serta kleptokrasi mengakar kukuh dalam parti itu.

    Pakatan Harapan (PH) pula dakwa beliau, adalah gabungan parti yang mendokong ideologi kiri, di mana DAP dan PKR jelas melaungkan agenda kiri berteraskan sosialisme, yang amat tidak sesuai untuk negara yang berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.

    “Ini membuka ruang untuk BERSATU memposisikan parti kita sebagai parti pertengahan kanan (centre right). Ekonomi berteraskan perdagangan dan perniagaan.

    “Selain itu, sosiopolitik berteraskan konservatisme yang berpegang dengan agama dan adat tata susila kita sebagai orang Timur serta penjagaan kebajikan rakyat berdasarkan semangat kekeluargaan dan kemakmuran yang dikongsi bersama oleh warga pelbagai kaum serta agama,” katanya.

  • Suri rumah didakwa buat laporan palsu anak dipukul warden madrasah

    Suri rumah didakwa buat laporan palsu anak dipukul warden madrasah

    SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu berhubung sebuah pertubuhan kebajikan milik badan bukan kerajaan (NGO) pada 21 Ogos lalu.

    Tertuduh, Zuraina Zamri, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

    Mengikut kertas pertuduhan, Zuraina didakwa membuat laporan dengan memberikan maklumat secara bertulis yang diketahuinya palsu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam di Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, pada 21 Ogos.

    Justeru dia didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.

    Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

    Peguam mewakili tertuduh, Datuk Wan Azmir Wan Majid bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kerana Zuraina adalah suri rumah dan suaminya berpendapatan bulanan RM3,000.

    Majistret kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin selain turut berharap agar tertuduh tidak mengeluarkan kenyataan media yang boleh mengganggu kes dan perbicaraan yang adil.

    Zuraina Zamri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu mengenai dakwaan anaknya didera ala militan di sebuah Madrasah di Shah Alam selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 November depan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pada 21 Ogos lalu, wanita berkenaan membuat laporan anaknya yang berusia 20 tahun yang menghuni madrasah dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden serta mahu dia mengeluarkan anaknya daripada tempat itu.

    “Hasil siasatan polis mendapati, anak pengadu dihantar ke Madrasah Darussolihin selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

    “Pada 23 Ogos lalu, anak wanita berkenaan membuat laporan polis menyatakan dia tidak dipukul pihak madrasah bagaimanapun, pada 25 September, pemuda itu sekali lagi membuat laporan polis mengatakan dipukul.

    “Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap mangsa di Hospital Shah Alam dan mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa,” katanya.