Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tiada luar biasa pada calon UMNO Pulau Pinang, bakal lenyap ditelan gelombang PN

    Tiada luar biasa pada calon UMNO Pulau Pinang, bakal lenyap ditelan gelombang PN

    DARIPADA seorang Menteri Kanan yang pernah memegang beberapa portfolio penting dalam Kerajaan Pusat, kini beralih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Strategi UMNO Pulau Pinang mencalonkan Ketua Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertanding di kerusi DUN Bertam itu boleh menjadi kelebihan kepada parti tersebut, atau tidak mustahil juga memakan diri.

    Dari segi populariti, tiada siapa boleh menafikan Reezal Merican yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas cukup sinonim dengan kawasan tersebut termasuk di Bertam yang merupakan salah satu daripada DUN di bawah Parlimen berkenaan.

    Namun, populariti itu tidak mampu menyelamatkan Reezal Merican daripada tsunami Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu yang mana beliau tewas kepada calon Pas, Dr. Siti Mastura Muhammad.

    Bukan hanya Reezal Merican, tsunami PN di Pulau Pinang turut tidak mampu disekat calon Pakatan Harapan di Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga tewas di tangan calon Pas, Muhammad Fawwaz Mat Jan.

    Sama ada di Kepala Batas atau Permatang Pauh, kedua-dua kerusi itu merupakan kerusi tradisi UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tidak pernah jatuh ke tangan parti lain dalam sejarah pilihan raya umum negara.

    Namun, tsunami politik PN yang didorong oleh penolakan besar-besaran orang Melayu khususnya terhadap PH dan BN mencipta sejarah baharu dalam politik tanah air dengan terkuburnya dua parti dominan UMNO dan PKR di kawasan atau kubu kuat mereka sendiri di Pulau Pinang.

    Dengan gelombang PN yang semakin kuat ketika ini terutamanya disebabkan banyaknya kepincangan serta kelemahan Kerajaan Perpaduan yang didokong PH dan BN di peringkat Pusat, tidak keterlaluan untuk diramalkan, Reezal Merican mungkin akan berdepan nasib serupa di kerusi DUN Bertam pada PRN akan datang.

    Malah, jangkaan akan tewas itu bukan hanya terhadap beliau seorang, tetapi kesemua lima lagi calon UMNO juga dilihat tidak mampu mengekang penguasaan PN di kerusi yang akan ditandingi mereka.

    Pencalonan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Shaikh Hussein Mydin di kerusi DUN Sungai Dua misalnya, juga dinilai tidak mampu memberi kejutan. Ini kerana selain disifatkan sebagai orang luar memandangkan beliau ialah Ketua UMNO Bahagian Bagan, Shaik Hussein juga pernah tewas ketika mewakili BN di kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU-14.

    Satu-satunya calon penyandang daripada UMNO iaitu Norhafizah Othman juga dilihat berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi DUN Permatang Berangan.

    Ini kerana kerusi DUN Permatang Berangan sama seperti kerusi DUN Sungai Dua yang akan ditandingi Shaikh Hussein terletak di bawah Parlimen Tasek Gelugor yang mana pada PRU-15, calon PN iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dengan majoriti cukup besar iaitu 12,252 undi.

    Tiga lagi calon UMNO yang akan bertanding ialah Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rashidi Zinol di DUN Sungai Acheh; Mohd. Naim Salleh (DUN Penaga) dan Ahmad Zaki Shah Shah Headan (DUN Teluk Bahang). Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai calon-calon ini kerana ini merupakan kali pertama mereka turun ke gelanggang pilihan raya umum.

    Dengan gelombang PN yang masih menebal dalam kalangan rakyat, didorong oleh kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan gabungan BN-PH sendiri di peringkat Pusat, maka kesemua calon UMNO yang akan bertanding di kerusi majoriti Melayu ini bakal berdepan cabaran cukup besar.

    Apatah lagi dalam situasi ketika ini di mana penyokong dan ahli-ahli UMNO sendiri masih berasa kekok dan janggal dengan kerjasama parti itu dengan PH khususnya DAP, tidak mustahil calon-calon UMNO bukan hanya di Pulau Pinang malah di lima lagi negeri yang akan diadakan PRN, bakal berdepan dengan penolakan daripada penyokong setia mereka sendiri.

    Sehingga kini, sebahagian besar penyokong setia UMNO khususnya di kawasan luar bandar tidak boleh menerima kerjasama UMNO dan PH khususnya DAP dalam Kerajaan Perpaduan meskipun pelbagai usaha dilakukan pemimpin UMNO untuk cuba menjernihkan serta memberi makna kepada kerjasama tersebut.

    Stigma yang ditanam terhadap penyokong UMNO selama ini iaitu PH atau DAP adalah musuh UMNO terlalu menebal dan sukar dihapus dalam kalangan penyokong parti tersebut apatah lagi dalam tempoh hanya kira-kira lapan bulan selepas terbentuknya kerjasama antara kedua-dua parti terbabit.

    Dengan realiti itu, tidak mustahil sebahagian penyokong setia UMNO memilih tidak akan mengambil bahagian dalam proses PRN di enam negeri kali ini sebagai tanda protes atau tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan mereka memilih bekerjasama dengan PH dan DAP.

    Atau mungkin lebih lantang, mereka menunjukkan rasa tidak puas hati itu dengan tindakan protes iaitu dengan bersama-sama menyertai majoriti pengundi Melayu khususnya dalam gelombang PN dan memberi sokongan kepada calon PN termasuk di Pulau Pinang.

  • Penyokong bola sepak patah hidung dipukul anggota JMF

    Penyokong bola sepak patah hidung dipukul anggota JMF

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penonton patah hidung sehingga dimasakkan ke hospital selepas dipukul anggota Askar Timbalan Setia (JMF) semasa perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin.

    Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu membuat laporan di Balai Lolis Sungai Besi di Kuala Lumpur pada pada pukul 11.50 pagi semalam.

    Beliau berkata, mangsa mengesyaki dipukul oleh JMF.

    “Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan, seterusnya ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Keadaan mangsa baik dan stabil.

    “Doktor mengesahkan mamgsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes dalam siasatan dan orang ramai yang melihat kejadian dikehendaki tampil ke bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.

    Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 326 kanun keseksaan (cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang merbahaya).

  • Penerbangan khas bawa jenazah Salahuddin ke JB, kata Loke

    Penerbangan khas bawa jenazah Salahuddin ke JB, kata Loke

    KEMENTERIAN Pengangkutan telah mengatur penerbangan khas bagi membawa pulang jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub dari Alor Setar ke Johor Bahru untuk dikebumikan di kampung halamannya.

    Menterinya, Loke Siew Fook berkata, penerbangan khas itu menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS), malam ini.

    “Saya telah menerima khabar duka ini kira-kira satu jam lalu daripada pegawainya dan saya telah aturkan untuk penerbangan khas membawa jenazah dari Alor Setar ke Johor Bahru.

    “Pesawat MAS akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 malam ini dan dijangka tiba di Alor Setar, pukul 1 pagi sebelum pesawat akan terus bergerak ke Johor Bahru,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, di Seremban.

    Sebelum ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan, jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.

    Sementara itu, Loke yang juga setiausaha Agung DAP berkata, kehilangan Salahuddin memberi kesan kepada kepada kepimpinan PH kerana disifatkan sebagai seorang pemimpin amat disayangi dan mempunyai prinsip perjuangan disegani.

    “Beliau seorang pejuang dan pemimpin PH yang sangat disanjungi dan disayangi atas prinsip perjuangan yang tak pernah tinggalkan rakan dalam parti.

    “Beliau juga telah melaksanakan tugas dengan cukup baik selain banyak inisiatif dilakukan bagi membantu rakyat seperti Menu Rahmah,” katanya, lapor FMT.

  • Hadi, Mat Sabu ucap takziah pemergian Salahuddin

    Hadi, Mat Sabu ucap takziah pemergian Salahuddin

    UCAPAN belasungkawa dan bacaan Al-Fatihah mencurah-curah daripada pelbagai pihak atas pemergian Allahyarham Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Presiden PASas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan takziah atas pemergian Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

    “Takziah kami ucapkan kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

    “Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” katanya pada satu kenyataan.

    Sebelum bergiat secara langsung dalam politik, Salahuddin merupakan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada awal 1980an.

    Allahyarham kemudiannya menyertai Pas dan dari 1983 ke 1987 merupakan Naib Yang Dipertua Pas Pontian.

    Salahuddin juga berkhidmat dua kali sebagai ahli Parlimen Pas di Kubang Kerian.

    Pada 2015, allahyarham ikut mengasaskan Amanah, parti yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas pemimpin Pas.

    Sementara itu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pada maklum balas segera di media sosial berpesan kepada semua ahli dan penyokong Amanah supaya bersabar.

    Mohamad juga meminta mendoakan roh Allahyarham Salahuddin ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta amal baktinya diterima di sisi Allah SWT.

    “Malam ini adalah malam yang paling menyedihkan buat seluruh ahli dan penyokong Parti Amanah Negara,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang l, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dalam menyampaikan ucapan takziah berkata, Menteri Kos Sara Hidup itu merupakan seorang yang dihormatinya.

    “Walaupun berbeza idealogi politik, Allahyarham Salahuddin merupakan tokoh yang saya hormati. Beliau merupakan sosok pimpinan yang matang, progresif dan pragmatik.

    “Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin, saya faham kehilangan orang yang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bersabarlah dengan ujian Allah SWT,” katanya pada hantaran di media sosial.

    Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika berceramah pada majlis PH di Negeri Sembilan malam ini, menyebut penghargaan terhadap pelbagai usaha Allahyarham Salahuddin seperti inisiatif Rahmahnya.

    Perkara ini benar-benar membantu rakyat, kata Loke.

    Salahuddin meninggal dunia malam ini selepas beliau dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada hari Jumaat dan doktor mengesan beliau mengalami pendarahan otak.

  • Salahuddin insan budiman, baik hati – Sanusi

    Salahuddin insan budiman, baik hati – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan arwah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai seorang yang baik dan budiman.

    Menurutnya, terlalu banyak kenangan antara mereka berdua terutamanya ketika sama-sama berjuang dalam Pas ketika masing-masing masih muda.

    Meskipun tidak mengalirkan air mata, Muhammad ada ketikanya kelihatan sebak ketika ditemui di lobi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebentar tadi.

    “Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga beliau. Bagi saya, Salahuddin seorang yang sangat budiman dan baik hati.

    “Kami sudah berkawan lama iaitu sejak 1997 dan beliau pun pernah beberapa kali tidur di rumah saya. Kalau datang ke kawasan saya, beliau akan tidur di rumah saya.

    “Hubungan kami sejak dari muda. Sama-sama naik bas dari Pudu Raya, jalan kaki menuju ke Greenwood untuk ke Markas Pas di Taman Melewar dan sama-sama tidur di pejabat. Kenangan dengan saudara Salahuddin cukup banyak,” katanya.

    Tambahnya, beliau amat menghormati Salahuddin dengan kedua-dua mereka memiliki persamaan iaitu hadir dari keluarga susah.

    “Bagi saya Salahuddin seorang yang ‘cool’ dan kami saling memahami kerana beliau pun bukan dari keluarga senang,” katanya.

    “Kita bersimpati kepada keluarga dan kebetulan beliau sakit di Kedah. Mungkin kerana tugasan yang banyak namun kita ucap terima kasih kepada usaha beliau untuk menangani harga barang. Beliau bekerja keras untuk itu dan kita menghargai semuanya,” katanya.

  • ‘Sebelum tidur tiap malam, saya maafkan semua musuh saya’

    ‘Sebelum tidur tiap malam, saya maafkan semua musuh saya’

    ALLAHYARHAM Datuk Seri Salahuddin Ayub telah membiasakan diri untuk memaafkan semua orang yang menyakitinya pada setiap malam, kata bekas Timbalannya, Sim Tze Tzin.

    Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, itulah antara amalan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kehidupan sehariannya.

    “Sim, kamu tahu kenapa saya reda dan senang hati setiap hari?

    “Setiap malam, sebelum saya tidur, saya maafkan semua musuh saya dan orang yang menyakitkan hati saya. Barulah saya tidur.

    ”Ini ajaran bekas bos saya, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada saya. Beliau begitu baik hati dan peramah,” katanya pada hantaran dalam Facebook miliknya, malam ini.

    Salahuddin meninggal dunia di hospital malam ini, dua hari selepas beliau dikejarkan ke hospital berikutan mengalami pendarahan otak.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu kembali ke rahmatullah pada usia 61 tahun.

    Sim sebelum ini merupakan timbalan Salahuddin ketika Ahllahyarham menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020.

    Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, beliau sempat menziarahi bos lamanya itu di hospital petang tadi dan menangis sepanjang perjalanan pulang dari Alor Setar ke Pulau Pinang.

    “My heart was broken (hati saya luluh),” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

  • Pemergian Salahuddin kehilangan besar kepada negara-Pas

    Pemergian Salahuddin kehilangan besar kepada negara-Pas

    PAS menyifatkan pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan kehilangan besar kepada negara.

    Parti tersebut dalam hantaran di Twitter, Pas Pusat berkata, walaupun berbeza perjuangan, namun jasa serta sumbangan Allahyarham dalam Pas sebelum ini sentiasa dikenang.

    “Pemergian ini pastinya menjadi satu kehilangan besar buat negara.

    “Meskipun berbeza wadah perjuangan, jasa serta sumbangan beliau dalam Pas akan sentiasa dikenang,” demikian menurut hantaran itu.

    Hantaran itu turut mendoakan kesejahteraan dan keampunan kepada Allahyarham.

    Salahuddin pernah menjadi Naib Presiden Pas sebelum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

    Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Salahuddin.

    “Semoga roh Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah, lapor FMT.

    Dalam pada itu, kehilangan Salahuddin disifatkan kehilangan besar kepada Johor, kata bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

    Katanya, jasa dan khidmat baktinya pasti akan dikenang selamanya.

    “Segala jasa dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat serta negara pasti dikenang sampai bila-bila.

    “Pemergian Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Pulai merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat khususnya di negeri Johor,” katanya di Facebook.

  • Anwar: Berehatlah sahabatku

    Anwar: Berehatlah sahabatku

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat terkesan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub sebentar tadi.

    Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai ‘seorang sahabat yang setia’.

    “Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.

    “Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.

    “Berehatlah, sahabatku.

    “Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” katanya dalam balas segera menerusi media sosial, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, anak kepada Allahyarham Timbalan Presiden Amanah itu, Fatihah Salahuddin mengumumkan bapanya telah menghadap Ilahi pada pukul 9.23 malam, 23 Julai 2023.

  • Salahuddin Ayub meninggal dunia

    Salahuddin Ayub meninggal dunia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebentar tadi.

    Berita mengenai pemergian Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu disahkan anaknya, Fatihah Salahuddin di laman media sosial, Facebook.

    “Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.

    Semalam Salahuddin menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

    Terdahulu beliau dilaporkan mengadu tidak sihat serta mengalami muntah-muntah ketika berada di Alor Setar malam kelmarin atas urusan kerja.

    Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDN, Syakirin Husnal berkata, jenazah sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian.

    Katanya, pihak Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.

    “Sehubungan dengan itu, pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.

    “Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya.

  • Salahuddin masih dirawat, berita kematian tidak benar

    Salahuddin masih dirawat, berita kematian tidak benar

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar malam ini.

    Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau baru sahaja melawat Salahuddin dan diberikan perkembangan terkini oleh doktor berkaitan keadaan Ahli Parlimen Pulai itu sebentar tadi.

    “Kita bagi ruang kepada keluarganya, nampaknya keadaan beliau stabil dan kita mohon semua doakan yang terbaik kepada beliau agar diberikan kesembuhan.

    “Ketika ini doktor masih merawat beliau secara rapi,” katanya kepada pemberita di lobi HSB, sebentar tadi.

    Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDN, Syakirin Husnal meminta semua pihak berhenti menyebar dan mempercayai khabar angin kononnya Salahuddin sudah meninggal dunia.

    “Keadaan terkini beliau dilaporkan masih bernafas dan jantungnya masih berfungsi. Beliau masih dirawat di ICU HSB,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang perkembangan terkini hanya akan dikeluarkan oleh pihaknya sahaja.

    Semalam, Salahuddin menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat pendarahan otak.

    Beliau sebelum itu mengadu tidak sihat serta mengalami muntah-muntah.