Author: Wartawan WartaRakyat

  • Desak bubar Parlimen, Zahid cuba tunjuk pengaruh ke atas PM: Bersatu Terengganu

    Desak bubar Parlimen, Zahid cuba tunjuk pengaruh ke atas PM: Bersatu Terengganu

    DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba menunjukkan dirinya masih berkuasa mengawal parti selepas memutuskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi membawa cadangan pembubaran Parlimen dengan segera.

    Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, Badrolhisham Shafie menyifatkan Presiden UMNO mahu memberitahu ahli-ahli UMNO dibawah beliau sebenarnya berkuasa dan berpengaruh terhadap Ismail Sabri yang hanya sekadar seorang Naib Presiden dan bukannya Presiden parti itu.

    “Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk tidak bersetuju bagi membubarkan Parlimen.

    “Dalam kata lain, Presiden parti cuba membuktikan pengaruhnya ke atas Naib Presiden sebagai bukti beliau masih menguasai parti,” katanya dalam kenyataan media.

    Mengulas lanjut, Badrolhisham berkata tindakan memecat dan mengantung ahli parti yang mengkritik kepimpinan Zahid bagi tujuan yang sama tanpa melalui proses jawatan disiplin parti.

    “Sedangkan hakikatnya, imej parti telah rosak akibat pemimpin parti yang korup. Dengan puluhan kes pendakwaan dan ada terbukti bersalah, kekal menerajui parti.

    “Syukurlah UMNO kekal begini. Rakyat punya alasan untuk menolak UMNO secara total dengan keangkuhan dan urus tadbir parti yang songsang,” katanya lapor Agendadaily.

    Terdahulu pada Jumaat lepas, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini dan Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

  • PRU15: Pas akan bincang semula bubar DUN di tiga negeri – Idris

    PRU15: Pas akan bincang semula bubar DUN di tiga negeri – Idris

    PAS akan mengadakan semula perbincangan sama ada mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri diterajui parti itu seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu lebih awal atau tidak.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, perbincangan itu akan diadakan dalam waktu terdekat susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

    “Pas sebelum ini berpendirian tidak akan membubarkan DUN di ketiga-tiga negeri yang diperintah oleh parti itu sehingga tamat penggal pada Mac 2023.

    “Setakat yang sebelumnya, pendirian kita tak bubarkan sehingga Mac tapi mungkin ada perubahan-perubahan dan sebagainya, itu keputusan parti yang akan putuskan.

    “Kita akan bincang yang terbaru dalam masa terdekat ini termasuklah sama ada serentak dengan Parlimen atau tidak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ijtimak Pondok Se-Malaysia dan Maulid Perdana 1444H/2022M di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Kandis di Bachok, semalam.

    Semalam, akhbar melaporkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Ismail bersetuju PRU-15 diadakan pada tahun ini berdasarkan pertemuan ‘Top 5’ UMNO kelmarin.

    ‘Top 5’ atau lima pemimpin UMNO yang menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu terdiri daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Ismail, Mohamed Khaled dan Mahdzir.

    Sementara itu, pada Majlis Ijtimak Pondok Se-Malaysia tersebut turut menyatakan 10 resolusi antaranya mahukan kesemua calon untuk pilihan raya akan datang dipastikan terdiri daripada individu yang tidak berpegang, mengamalkan atau menyebarkan fahaman dan ajaran wahabi serta memastikan berpegang kepada Mazhab Akidah Asha’irah dan Maturidiah.

    Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, akan memperhalusi segala pandangan dan cadangan kepada pimpinan parti.

    “Pandangan dan cadangan itu, kami akan bawa kepada parti. Terserah kepada pimpinan untuk putuskan nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau turut berpandangan pondok bukan tempat ekstrem dan dakwaan pondok melahirkan pelampau adalah tidak betul.

  • Traktor terbalik, 27 maut jatuh dalam kolam

    Traktor terbalik, 27 maut jatuh dalam kolam

    SERAMAI 27 penganut agama Hindu maut semasa dalam perjalanan pulang dari sebuah kuil di India selepas traktor yang menarik troli dinaiki mereka terbalik dan terjunam ke dalam sebuah kolam.

    Kejadian itu berlaku semalam di bandar Kanpur, di negeri utara Uttar Pradesh, India yang turut menyebabkan 22 lagi cedera, menurut Astro Awani yang memetik laporan The Times of India.

    Menurut laporan, troli ditarik traktor itu membawa pulang jemaah beragama Hindu dari kuil Chandrika Devi.

    Media India melaporkan kebanyakan mangsa maut merupakan wanita dan kanak-kanak.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi mengucapkan takziah dalam tweet terbaharunya sejurus selepas kejadian.

    “Tertekan dengan nahas traktor-troli yang berlaku di Kanpur.

    “Ingatan saya dituju kepada mereka yang kehilangan orang terdekat dan tersayang serta doa buat mereka yang cedera,” tulis Modi.

    Sementara itu, Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath berkata, kenderaan sebegitu sepatutnya hanya digunakan untuk mengangkut barangan ladang dan pengangkutan, bukan manusia.

    Difahamkan operasi mencari dan menyelamat telahpun selesai dan siasatan akan punca kejadian sedang dijalankan.

  • [VIDEO]Rusuhan penyokong bola sepak, 127 orang maut di Malang, Indonesia

    [VIDEO]Rusuhan penyokong bola sepak, 127 orang maut di Malang, Indonesia

    SERAMAI 127 orang maut dalam rusuhan di Stadion Kanjuruhan, Malang di Jawa Timur Indonesia malam tadi.


    Rusuhan berlaku selepas perlawanan ‘derbi’ Jawa Timur antara Arema FC dan Persebaya Surabaya

    Mangsa yang terbunuh terdiri daripada penyokong Arema FC dan dua anggota polis.

    “Telah meninggal 127 orang, dua di antaranya anggota polis Indonesia,” kata Ketua Polis Daerah Malang, Nico Afinta kepada media seperti dilapor portal Detik.com hari ini.

    Nico memberitahu, seramai 34 orang meninggal di stadium manakala selebihnya di hospital semasa mendapatkan rawatan.Kekecohan berlaku selepas penyokong Arema menyerbu padang selepas pasukan mereka kalah 2-3 kepada Persebaya.

    Polis dalam reaksi mereka menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong berkenaan.

    Tembakan gas pemedih mata itu bagaimanapun membuatkan penyokong panik melarikan diri dan berlaku pijak memijak.

    Sementara itu, sebanyak lapan kenderaan polis rosak dengan tiga daripadanya dibakar akibat amukan penyokong.

    Kenderaan itu terdiri daripada kereta K9, trak Brimob dan kenderaan polis trafik.

  • Muhyiddin tak pernah beri kata dua kepada Pas

    Muhyiddin tak pernah beri kata dua kepada Pas

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah memberi sebarang kata dua kepada Pas sama ada perlu memilih Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, sebaliknya apa dimaksudkan Muhyiddin ketika mengulas hasil pertemuan dengan pemimpin Pas termasuk Tan Sri Abdul Hadi Awang Isnin lalu itu, bahawa parti itu perlu membuat membuat pendirian lebih jelas soal kerjasama dalam pilihan raya.

    Muhyiddin kata hasil perbincangan dengan presiden Pas beliau mendapat bayangan Pas akan membuat keputusan sama ada bersama UMNO atau bersama PN. Itu sahaja, tak nampak beliau desak atau tekan Pas, saya tak nampak, tiada istilah kata dua.

    “Muhyiddin masih lagi meraikan kehendak Pas menjayakan penyatuan ummah. Kita Bersatu tak marah Pas umpa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Muhyiddin tidak seharusnya menetapkan Pas perlu memilih PN atau BN bagi menghadapi PRU-15.

    Kata Tuan Ibrahim, parti itu mahu bekerjasama dengan Bersatu dan UMNO demi “perpaduan ummah”.

    Mengulas lanjut, berdasarkan kenyataan penuh Tuan Ibrahim, Razali berkata, dia tidak menganggap ia ditujukan kepada Muhyiddin sebaliknya bersifat umum susulan timbul desakan supaya Pas memilih antara UMNO dan Bersatu.

    “Kenyataan Tuan Ibrahim itu saya rasa beliau tak tuju kepada Muhyiddin, dia mungkin menjawab secara umum isu yang berlegar termasuk segelintir pemimpin UMNO yang memberi kata dua sama ada nak dengan Bersatu atau macam mana.

    “Umno pernah menuduh PAS main dua kolam, tiga kolam tetapi Bersatu tak pernah keluar keluarkan kenyataan kata PAS main dua kolam, tiga kolam,” katanya.

    Terdahulu, Muhyiddin mendakwa beliau diberi bayangan bahawa Pas akan buat keputusan muktamad, untuk memutuskan hubungan dengan Umno dalam tempoh terdekat.

    Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengumumkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15, dengan parti komponennya perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

  • PDRM nafi ada keluar amaran van putih, penjualan organ

    PDRM nafi ada keluar amaran van putih, penjualan organ

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya pernah mengeluarkan amaran kepada orang ramai berhubung penjualan organ di Malaysia.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, mesej bertajuk ‘Amaran kepada semua ibu bapa atau penjaga harga organ di Malaysia’ itu tular di media sosial.

    Katanya,  ia turut menyenaraikan harga jualan jantung, buah pinggang, mata, paru-paru dan hati.

    Menurut beliau, mesej terbabit mendakwa kononnya pihak Bukit Aman (PDRM) mengeluarkan amaran kepada ibu bapa supaya berhati-hati dengan dua kenderaan berwarna putih.

    “Kenderaan itu dikatakan terbabit dengan kegiatan penculikan serta penjualan organ terutamanya bagi kanak-kanak berusia bawah 15 tahun, sedangkan PDRM tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran seperti mana mesej tular itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehingga kini katanya, tiada laporan polis diterima khusus, membabitkan dua kenderaan seperti dinyatakan dalam mesej tular berkenaan.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh serta tidak membuat perkongsian sebarang hantaran atau mesej di aplikasi media sosial tanpa menyemak kesahihannya,” katanya.

  • KPLB pertimbang lupus hutang peneroka FELCRA berjumlah RM230 juta – Mahdzir

    KPLB pertimbang lupus hutang peneroka FELCRA berjumlah RM230 juta – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mempertimbangkan keputusan untuk melupuskan hutang 20,000 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) berjumlah RM230 juta.

    Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata proses itu ketika ini berada pada peringkat akhir dan akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

    “Isu tunggakan hutang ini telah lama dibangkitkan oleh peneroka FELCRA lebih 30 tahun lalu, yang melibatkan beberapa generasi sedia ada termasuk mereka yang telah meninggal dunia.

    “Oleh itu, kerajaan sedang pertimbangkan keputusan ini dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia FELCRA di Kampung Batu Karang, Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata antara hutang yang dibuat oleh peneroka FELCRA adalah seperti kos pembangunan termasuk proses pembersihan tanah, pagar serta penanaman pokok, sebelum hutang berkenaan dibayar sebaik mendapat hasil.

    “Sekiranya hutang berkenaan tidak dilupuskan, generasi akan datang juga akan mengalami masalah yang sama.

    “KPLB mencari jalan terbaik dan mengharapkan ada jalan penyelesaian selepas Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub membentangkan perkara tersebut kepadanya nanti,” katanya

  • Kerajaan akan dedah laporan buku Thomas kepada umum – PM

    Kerajaan akan dedah laporan buku Thomas kepada umum – PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mendedahkan kepada umum laporan akhir pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan berkaitan buku tulisan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.

    “Kita akan dedahkan,” kata Ismail ringkas ketika diminta mengulas desakan supaya laporan akhir berkenaan didedahkan sebagaimana lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), di pusat Pameran & Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggesa laporan akhir pasukan petugas khas menyiasat dakwaan Thomas, dalam bukunya wajar didedahkan kepada umum.

    Semalam, Ismail berkata, Tommy akan disiasat atas dakwaan menghasut serta membocor maklumat dan rahsia kerajaan berhubung bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness”.

    Katanya, Thomas juga disiasat berhubung dakwaan beliau terhadap badan kehakiman, selain mengambil tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta melakukan kecuaian profesional.

    Pada Disember lalu, Putrajaya bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat buku itu dipengerusikan penasihat undang-undang dan bekas peguam besar Sarawak, Fong Joo Chung, selain dianggotai bekas setiausaha kerajaan Sabah Hashim Paijan serta bekas ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan bekas ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Junaidah Kamaruddin.

    Turut serta, bekas hakim dan peguam kanan persekutuan, Jagjit Singh, serta dua peguam Shaharudin Ali dan K Balaguru, termasuk wakil-wakil daripada badan berkepentingan.

  • Gempa bumi ‘goncang’ Sumatera: Seorang maut, puluhan lagi cedera

    Gempa bumi ‘goncang’ Sumatera: Seorang maut, puluhan lagi cedera

    SATU gempa bumi dengan magnitud 5.9 melanda kepulauan Sumatera, Indonesia awal pagi tadi, mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut manakala puluhan penduduk lagi cedera.

    Menurut Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berpusat pada kedalaman 13 kilometer (km) berlaku kira-kira 40km dari bandar Sibolga di Sumatera Utara kira-kira pukul 2.30 pagi.

    Gempa itu turut dirasai beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia.

    Lapor agensi berita AFP, jurucakap agensi mitigasi bencana wilayah, Febrina Tampubolon berkata, seorang lelaki berusia 50an maut akibat serangan jantung yang dicetuskan oleh gempa bumi itu, dan sekurang-kurangnya 25 individu cedera.

    Menurutnya, pihak berkuasa masih mengumpul maklumat berhubung kerosakan, namun tiang elektrik dan menara telekomunikasi yang tumbang akibat bencana terbabit menjejaskan perkhidmatan berkenaan.

    Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) merekodkan lebih 50 gempa susulan, dengan Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati, menasihatkan penduduk berwaspada dengan gempa susulan dan berlindung di tempat selamat.

    “Bagi mereka yang mengalami kerosakan pada kediaman dinasihatkan untuk tidak berada di dalam rumah kerana gempa susulan boleh memburukkan keadaan.

    “Gempa susulan juga berisiko mengakibatkan tanah runtuh,” katanya.

    Indonesia kerap dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di atas Lingkaran Api Pasifik, iaitu lingkaran aktiviti seismik di mana plet tektonik bertembung.

  • UMNO jangan rasa besar sangat, ingat rakyat sama – Radzi

    UMNO jangan rasa besar sangat, ingat rakyat sama – Radzi

    TINDAKAN UMNO yang mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera dan tergesa-gesa semasa rakyat dilanda musibah banjir dikecam Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin sebagai angkuh sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

    Lapor portal Agenda Daily, Radzi berkata, keputusan UMNO yang meminta Perdana Menteri supaya mengadap Yang di-Pertuan Agong segera bagi mengadakan PRU-15 tahun ini juga menunjukkan parti itu terlalu merasakan mereka lebih besar dalam membuat keputusan secara membabi-buta sehingga tidak memikirkan nasib rakyat dilanda kesusahan.

    “Inilah UMNO, dia rasa dia besar sangat. Dia tak tahu yang rakyat Malaysia ini lagi besar.

    “Tapi dalam apa juga keadaan ada pihak yang meletakkan kepentingan politik melebihi segalanya dan ini menyukarkan rakyat. Tapi rakyat tahu apa pilihan terbaik apabila sampai PRU-15 nanti,” katanya.

    Beliau mengulas keputusan UMNO semalam yang menegaskan PRU-15 akan tetap diadakan pada masa terdekat tahun ini juga walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan banjir besar bakal melanda negara sepanjang sekitar November-Disember tahun ini.

    Radzi yang juga Menteri Pendidikan berkata langkah mengadakan PRU-15 pada hujung tahun bukan sahaja membebankan rakyat bahkan menyulitkan pihak pengurusan sekolah yang mungkin memerlukan kemudahan itu untuk tujuan pemindahan mangsa-mangsa banjir.

    “Kalau hari-hari bangun pagi bercakap pasal pilihanraya kita tak ke mana kerana ini (PRU) akan menimbulkan kesulitan sebab sekolah diperlukan untuk kegunaan pemindahan semasa banjir.

    “Mengambil kira kesusahan rakyat sejak dua tahun lalu, kita ada rasa simpati dan rasa belas kasihan kepada rakyat,” katanya.

    Jelasnya, pilihan raya bukan keutamaan ketika ini kerana kepentingan rakyat yang terbeban sepatutnya perlu didahulukan, malah tidak lama lagi negara perlu melakukan persediaan untuk menghadapi musibah banjir yang diketahui umum berlaku pada hujung tahun.

    “Dalam hidup ini bukan semuanya pasal pilihan raya, ada banyak perkara yang perlu diberikan keutamaan.

    “Jadi tumpuan kita (Bersatu) adalah perkara-perkara yang berkait dengan kebajikan rakyat dan kita tahu bahawa rakyat tak nak PRU diadakan pada waktu banjir,” katanya lagi.

    Namun, sekiranya PRU-15 terpaksa juga diadakan susulan desakan UMNO sehingga Perdana Menteri tunduk, Radzi berkata tiada pilihan lain dan persediaan perlu diambil bagi memastikan perjalanan proses pilihan raya berjalan lancar dengan keselamatan rakyat terjamin.

    Bagaimanapun kata beliau, sebagai Menteri Kanan Pendidikan, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya keputusan mengadakan PRU-15 diteruskan tahun ini.

    “Dalam konteks keperluan menggunakan sekolah, kementerian sentiasa memberi kerjasama dan sokongan sama ada untuk menggunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir ataupun sebagai pusat pengundian

    “Ini sebahagian daripada tindakan kita sejak sekian lama. Dalam apa juga keadaan, kalau perlukan untuk banjir (sekolah) maka kami bersedia,” katanya.

    Mengulas mengenai desas-desus beliau akan bertanding di Kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU-15 ini, beliau menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti.

    “Soalan itu sudah ditanya banyak kali, apa sahaja keputusan parti nak suruh saya bertanding kat mana atau tak payah bertanding, saya akan akur,” katanya.