Author: Wartawan WartaRakyat

  • Armada sifatkan UMNO ‘gila’ desak PM buat PRU15 tahun ini

    Armada sifatkan UMNO ‘gila’ desak PM buat PRU15 tahun ini

    UMNO dilabelkan sebagai sebuah parti ‘gila’ kerana mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada tahun ini.

    Menurut Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, adalah tidak masuk akal mengadakan PRU-15 ketika negara dijangka dilanda banjir besar.

    “UMNO ini sudah gila, dia tahu nak masuk musim banjir, dia tekan juga kerajaan untuk bubar Parlimen tapi yang gila itu dua tiga kerat sahaja,” katanya, lapor Sinar Harian.

    “Antaranya presidennya (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang gila, dia juga antisains kerana kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Jabatan Meteorologi sudah cakap masuk November peralihan monsun.

    “Seperti tahun lalu, banjir yang melanda negara tidak sama seperti tahun sebelum ini kerana ia aman perubahan iklim.

    “Sesiapa yang tidak memahami ilmu sains, dia pasti bodoh dalam memahami banjir kali ini, banjir ini akan besar dan menyusahkan rakyat,” katanya ketika berucap dalam persidangan Bahagian Bersatu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Selangor di Shah Alam, hari ini.

    Perasmian disempurnakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Pada Jumaat, media melaporkan UMNO memutuskan untuk menggesa agar pembubaran Parlimen perlu dibuat segera bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

  • Laporan akhir isu Batu Puteh dibentang kepada Kabinet 7 Oktober

    Laporan akhir isu Batu Puteh dibentang kepada Kabinet 7 Oktober

    LAPORAN akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentangkan kepada Kabinet pada 7 Oktober ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan akhir berkenaan mengandungi syor-syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes melibatkan Batu Puteh.

    Menurut beliau, penubuhan dan pelaksanaan Pasukan Petugas Khas sepanjang hampir sembilan bulan merupakan bukti jelas komitmen kerajaan memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin.

    Katanya, pasukan petugas khas terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes tersebut pada tahun 2016 hingga 2017.

    Selain itu, ia turut diwakili pengamal undang-undang; pakar pengukuran maritim dan wakil kementerian serta jabatan yang berkepentingan yang telah selesai melaksanakan tugasan diamanahkan berdasarkan terma rujukan ditetapkan.

    “Bagi maksud menjayakan tugasan sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan pasukan petugas khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan.

    “Di samping itu, pasukan petugas khas juga mengadakan siri perbincangan atau mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara; khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelantikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai pengerusi pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

    Selain Mohamed Apandi, PPK turut dianggotai peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Abu Bakar As-Sidek, Datuk Mohd. Sidek dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin, peguam; bekas Duta Besar Malaysia ke The Hague, Datuk Ahmad Nazri Yusof; wakil Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Datuk Abd Kadir; wakil Jabatan Peguam Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Hamdan Ab. Aziz dan wakil Kementerian Luar, Shaharudin Onn.

    Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia, selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

    Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

    Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting menunjukkan pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Batu Puteh di bawah Johor.

    Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau itu milik Johor.

    Bagaimanapun, Malaysia terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman, berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan beberapa hari sebelum kes dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.

  • Tarikh PRU15 perlu sensitif kaum, perayaan

    Tarikh PRU15 perlu sensitif kaum, perayaan

    SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke mengingatkan kerajaan, tarikh yang dicadangkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu mengambil kira sensitiviti perayaan yang disambut oleh kaum-kaum di negara ini.

    Beliau berkata, PRU-15 tidak sesuai diadakan pada bulan Oktober memandangkan perayaan Deepavali akan berlangsung tidak lama lagi.

    “Adalah lebih baik diadakan PRU-15 sehingga tamat tempoh penggal Parlimen bersama-sama dengan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Untuk jimatkan kos, Parlimen patut dibubarkan serentak dengan DUN iaitu akhir penggal. Kalau di akhir penggal, semua terpaksa bubar, tak perlu tanya siapa pun. Tak payah berunding pun sebab kita tinggal beberapa bulan sahaja,” katanya.

    Ahli Parlimen Seremban itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perak Kali ke-21 di Ipoh, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau mempersoalkan mengapa tidak tunggu sehingga penggal PRU-14 habis kerana sekarang ini musim tengkujuh.

    “Kalau dia buat pada bulan ini, dia juga tak hormat kepada kaum India,” katanya.

    Pada 30 September, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

  • PRU-15: Rahim Thamby Chik ramal UMNO tidak akan menang lebih 50 kerusi

    PRU-15: Rahim Thamby Chik ramal UMNO tidak akan menang lebih 50 kerusi

    WALAUPUN UMNO kelihatan bersedia untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun ahli politik veteran, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik meramalkan parti itu tidak akan menang lebih daripada 50 kerusi.

    Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, sebagai orang lama dalam politik, beliau berpendapat UMNO ibarat sebuah rumah besar namun sudah buruk, berlubang, dipenuhi anai-anai dan sukar untuk dibaiki.

    Tambah beliau, faktor lain seperti masalah dalaman parti dan kes mahkamah melibatkan pemimpinnya membuatkan UMNO tidak akan menang begitu banyak kerusi dalam PRU-15.

    “Dengan masalah dalaman, perpecahan dan rahsia bagaimana pemimpinnya menipu rakyat yang didedahkan secara undang-undang dan dalam mahkamah, orang dah muak.

    “Pada perhitungan saya, selepas mendengar pandangan daripada sahabat, bacaan-bacaan… ‘mindset’ orang kampung berubah. Bila ada media sekarang menghuraikan bagaimana kelakuan, perangai, watak pemimpin UMNO, saya rasa kali ini mereka (rakyat) akan berhijrah.

    “Dulu berhijrah daripada UMNO kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), sekarang daripada kerajaan UMNO kepada kerajaan Bersatu,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, mengulas kerjasama Bersatu dan parti lain, Abdul Rahim berkata kerjasama politik seharusnya dimeterai sebelum pilihan raya namun dakwanya, parti yang berbincang dengan Bersatu hanya ‘sibuk’ dengan jawatan.

    Tegasnya, perbincangan yang hanya berkisar kepada jawatan itu membuatkan kerjasama yang ingin dijalinkan sebelum pilihan raya gagal.

    Begitupun, beliau tetap optimis Bersatu mampu mencatat keputusan yang baik dalam PRU-15.

    “Saya yakin kalau Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu ‘go alone’ (bergerak sendiri), kita boleh ambil risiko ini sebab kita tidak terhutang sangat kepada suasana yang mengecewakan rakyat,” ujarnya.

    Sementara itu, Abdul Rahim turut memberi bayangan beliau akan membuat kemunculan semula pada PRU-15 ini, sekiranya mendapat restu daripada pucuk pimpinan Bersatu, parti yang disertainya sekarang.

    “Saya akan bertanding di (Parlimen) Hang Tuah Jaya, mungkin…kalau jadilah,” jawabnya ringkas.

    Meskipun sudah beberapa penggal tidak bertanding, beliau tetap yakin dengan peluangnya kerana menurutnya, masih ramai rakyat mengingati jasa beliau terutamanya ketika mentransformasi ekonomi Melaka ketika mentadbir negeri itu.

  • Beri kata dua, UMNO tetapkan tiga syarat kepada Pas-Zahid Hamidi

    Beri kata dua, UMNO tetapkan tiga syarat kepada Pas-Zahid Hamidi

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menetapkan tiga syarat kepada Pas dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Jelasnya, tiga syarat berkenaan termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

    “Syarat ini telah disampaikan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi pertemuan baru-baru ini.

    “Saya yakin apabila Pas telah mengambil tindakan untuk mengadakan perbincangan khususnya antara Presiden Pas dan saya.

    “Mereka (Pas) mengetahui syarat-syarat itu dan kalau mereka memenuhinya, baru perundingan (lanjut) boleh dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Boot Camp Barisan Nasional (BN) Comms di Kem Pertama Resort, Ayer Paabas, di Alor Gajah, hari ini.

    Mengulas lanjut beliau berkata, bagaimanapun tidak ada sebarang perbincangan rasmi dan pihaknya menunggu keputusan rasmi Pas berhubung kerjasama itu.

    “Tentunya kita tidak mahu peristiwa-peristiwa sebelum ini berlaku semula dan tidak ada sebarang perbincangan secara terperinci diadakan di peringkat kepimpinan.

    “Jika ada pun, ia dibuat secara informal yang mana selagi Pas tidak membuat keputusan secara rasmi, selagi itu kita tidak dapat merungkaikan apa juga isu dan perkara yang menjadi perbezaan antara kedua-dua parti,” tambahnya, lapor Astro Awani.

  • UMNO yakin pandangan Kabinet berkait PRU-15 ‘selesai’ – Ahmad Maslan

    UMNO yakin pandangan Kabinet berkait PRU-15 ‘selesai’ – Ahmad Maslan

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat, parti itu mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas yakin isu pandangan Kabinet berhubung perkara itu sudah ‘diselesaikan’.

    “Keputusan mengadakan PRU-15 pada tahun ini juga dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden UMNO.

    “UNMO bukan mahu mengambil kuasa mahu pun mendahului Kabinet, namun oleh kerana perdana menteri adalah sebahagian pemimpin tertinggi parti, maka ia perlu membuat keputusan bersama.

    “Oleh kerana Perdana Menteri daripada UMNO, maka kita nyatakan pendirian berkaitan mengenai PRU-15. Yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan juga adalah perdana menteri.

    “Atas sebab itu, UMNO perlu buat keputusan yang memandu ke arah PRU-15, bukan parti lain. Kita harap panduan dibuat itu akhirnya berjaya membawa kepada pilihan raya diadakan.

    “Dalam urusan Kabinet itu tentunya sudah diselesaikan. Walaupun saya tiada dalam Kabinet, namun MKT (Majlis Kerja Tertinggi) ada diberi gambaran mesyuarat Kabinet,” katanya menurut FMT yang memetik laporan Berita Harian.

    Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata perdana menteri perlu berbincang terlebih dahulu dalam Kabinet berhubung pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

    Beliau dilaporkan berkata, Jemaah Menteri boleh memberikan pandangan berhubung perkara itu sebelum Perdana Menteri membawa cadangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

    “Perdana menteri kena bawa ke Kabinet, biar Kabinet putuskan,” katanya.

    Jumaat lalu, MKT UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

    Ahmad dilaporkan, berkata susulan keputusan itu, perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

  • Ismail Sabri ditekan supaya bersetuju PRU tahun ini?

    Ismail Sabri ditekan supaya bersetuju PRU tahun ini?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mustahil berdepan tekanan oleh partinya sendiri terutamanya dari golongan kluster mahkamah, hingga menyebabkan beliau bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), pada tahun ini.

    Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, percakapannya bersama beberapa pimpinan UMNO termasuk dalam kalangan mereka yang berada di Kabinet, tidak bersetuju supaya PRU diadakan pada tahun ini.

    Namun katanya, kalangan pemimpin itu mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta golongan tertentu dalam UMNO terus mendesak supaya PRU-15 segera diadakan.

    “Saya boleh spesifikkan siapa yang bercakap dengan saya mengenai hal itu termasuk dalam kalangan Menteri dan Timbalan Menteri. Beberapa hari lalu pun saya terserempak dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan saya tahu, beliau juga tidak bersetuju dengan perkara itu.

    “Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam pun tidak membuat ketetapan bila tarikh pilihan raya tetapi kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seolah-olah PRU berlangsung tahun ini juga dan disebabkan itu, tidak mustahil untuk UMNO turut menggantung Ismail Sabri seperti nasib dialami Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Yusof Ismail,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia di Alor Setar, hari ini.

    Ahmad Maslan kelmarin mendakwa, Mesyuarat MT UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

    Ismail Sabri bagaimanapun ketika ditemui media semalam meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

    Mengulas lanjut Mahfuz berkata, kenyataan dikeluarkan Ahmad Maslan itu seakan cuba mengikat Yang Dipertuan Agong supaya mengadakan PRU tahun ini sedangkan baginda memiliki kuasa untuk menerima atau menolak cadangan Perdana Menteri bagi tujuan itu.

    “Mereka tidak hanya memaksa Perdana Menteri malah turut memaksa Yang di-Pertuan Agong. Bagi saya, tindakan sedemikian adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

    Menjawab dakwaan Shahidan yang mendakwa pembangkang sengaja memainkan naratif banjir kerana mereka belum bersedia berdepan PRU-15, Mahfuz berkata, UMNO mungkin memiliki kelebihan sekiranya PRU diadakan dalam tempoh banjir atau hujan lebat kerana parti itu memiliki aset-aset kerajaan bagi membawa keluar penyokong tegar mereka.

    “Namun saya fikir itu hanya salah satu faktor saja. Bagi saya, mereka mahu mengadakan PRU-15 segera hanya kerana nak selesaikan masalah kluster mahkamah saja,” katanya.

  • Ucapan selamat datang Sanusi undang keriuhan di media sosial

    Ucapan selamat datang Sanusi undang keriuhan di media sosial

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanya mengucapkan ‘selamat datang ke utara’ di Facebook miliknya.

    Namun, hantaran itu tetap mencetuskan fenomena apabila pengikutnya mengaitkan dengan pertembungan Liga Super yang dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air.

    Meskipun Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah dinobatkan sebagai juara buat kali kesembilan berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor semalam, perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar itu nanti akan tetap menjadi tumpuan ramai.

    “Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Selamat datang ke utara,” demikian tulis Muhammad Sanusi sambil memuat naik sekeping gambar yang memaparkan beliau sedang tersenyum hari ini.

    Walaupun tiada penerangan lanjut, hantaran tersebut diteka warganet sebagai ucapan selamat datang kepada pasukan bola sepak Harimau Selatan yang akan berkunjung ke Stadium Darul Aman di Kedah pada Selasa ini.

    Perlawanan asal tersebut sepatutnya berlangsung pada 19 Jun lalu, namun terpaksa ditunda kerana memberi laluan kepada KDA yang sedang beraksi dalam saingan Piala AFC ketika itu.

    Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini lantang bersuara mengenai beberapa ‘kepincangan’ dalam sukan kegemaran rakyat Malaysia itu yang dikaitkan dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Malah dalam ucapannya pada Khamis lalu, beliau menegaskan bukan sengaja menimbulkan ketegangan apabila dilihat sering mengkritik individu tertentu dalam arena bola sepak negara, sebaliknya memaklumkan tidak gentar untuk menyatakan kebenaran.

    “Saya bukan saja-saja cari pasai. Saya nak habaq kepada seluruh negara kalau badan tertinggi bola sepak takut kepada seorang sahaja, lagu (macam) mana bola sepak nak berkembang di tempat lain?

    “Bukan boleh takut dan kalau kita bersuara tentang hak dan kebenaran, bukan kita derhaka. Ini bukan pasal pemerintahan atau politik, ini pasal bola, itulah saya sendiri bercakap tentang bola sepak.

    “Ada orang tak faham, cakap Datuk Seri itu saja cari pasai. Saya cari pasai sebab ada pasai. Saya tak takut dengan siapa-siapa pun. Saya takut kat Tuhan saja. Jadi tuan-tuan ada mesej yang saya sedang sampaikan,” katanya.

    Maka, perlawanan antara KDA dan JDT nanti sudah tentu dianggap sebagai pertembungan sengit walaupun sebarang keputusan tidak akan memberi impak besar kepada kedua-dua pasukan dengan KDA kini berada di tangga keenam Liga Super.

  • Maritim Malaysia tahan lapan nelayan tempatan langgar syarat lesen

    Maritim Malaysia tahan lapan nelayan tempatan langgar syarat lesen

    Oleh BADLISHAH MAT

    LAPAN nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dalam pemantauan Op Aman di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut Pulau Bunting, Yan di Kedah semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Tiang, Perak itu ditahan kira-kira pukul 11.13 pagi.

    Katanya, pemeriksaan yang dilakukan Maritim Malaysia mendapati, bot tersebut melakukan dua kesalahan dengan satu daripadanya adalah melanggar kawasan aktiviti perikanan yang telah ditetapkan.

    “Selain itu, lesen menangguk siput milik mereka juga telah tamat pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, Kedah, hari ini.

    Noor Azreyanti berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 700 kilogram siput dalam bot tersebut ketika ditahan pihaknya.

    Dianggarkan terdapat kira-kira 700 kilogram siput dalam bot tersebut ketika ditahan pihak maritim

    Katanya, operasi pemantauan itu dijalankan berikutan aduan awam yang diterima Maritim Malaysia mengenai kehadiran beberapa bot nelayan tempatan yang bernombor pendaftaran dari negeri Perak di lokasi terbabit.

    “Mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 56 tahun. Kesemua individu terlibat serta barangan dirampas terdiri daripada bot, enjin berserta hasil tangkapan yang keseluruhannya bernilai RM21,050 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

  • DAP akan lawan UMNO di kerusi tambahan pada PRU-15

    DAP akan lawan UMNO di kerusi tambahan pada PRU-15

    DAP dijangka mendapat kerusi Parlimen tambahan di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

    Namun beliau memberi bayangan kerusi tambahan tersebut merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Tanpa mendedahkan nama kawasan Parlimen itu, beliau menjelaskan, perkara itu sudah dipersetujui menerusi rundingan bersama pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) yang lain.

    “Memang DAP Perak akan diperuntukkan tambahan kerusi Parlimen, tetapi mana satu kerusi ataupun nama kerusi, saya tunggu bersama rakan-rakan PH sebagai tanda penghormatan kepada Majlis Pimpinan untuk kita umum secara bersama.

    “Saya boleh melaporkan kepada perwakilan pada hari ini, DAP Perak akan bertanding tambahan kerusi Parlimen dan tambahan kerusi Parlimen ini, kita akan lawan calon UMNO, kita akan masuk kawasan majoriti pengundi Melayu,” katanya.

    Beliau berkata dmeikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-21 di sebuah hotel di Ipoh, hari ini.

    Dalam pada itu, Anthony berkata, PH akan menjadikan Perak sebagai tumpuan utama pada PRU-15 nanti untuk memastikan mereka kembali merampas negeri itu.

    Jelasnya, Perak merupakan negeri yang penting sebagai usaha mewujudkan koridor negeri bagi PH selepas mereka berjaya menguasai Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    “Koridor ini bukan sahaja dari segi politik. Kita nak bentuk satu konsep pembangunan yang baharu supaya keempat-empat negeri ini kalau kita kuasai bersama kita ada kerjasama strategik kerana keempat-empat negeri ini ada potensi ekonomi yang cukup besar.

    “DAP bersama rakan-rakan komponen mesti usaha sedaya upaya merangka sebarang strategi yang paling penting untuk kita menang dan bentuk kerajaan Perak dalam PRU15 ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, ketika sidang akhbar selepas konvensyen berkenaan, Anthony berkata, jumlah tambahan kerusi dan lokasi hanya akan diumumkan secara bersama oleh pimpinan tertinggi PH.

    Menurutnya, selain kerusi Parlimen, DAP juga sedang berunding untuk menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.