Author: Wartawan WartaRakyat

  • Skim bantuan musim tengkujuh untuk pekebun kecil RISDA ditambahbaik

    Skim bantuan musim tengkujuh untuk pekebun kecil RISDA ditambahbaik

    KABINET bersetuju meluluskan Penambahbaikan skim Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun kecil getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perincian penambahbaikan itu akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

    “Dah ada kelulusan dalam Kabinet iaitu Bantuan Musim Tengkujuh (untuk pekebun kecil getah, (tapi) biar Perdana Menteri umumkan nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar IPT Parlimen Padang Terap hari ini.

    Mahdzir berkata, penambahbaikan BMT itu dijangka memberi manfaat kepada 232,000 pekebun kecil getah RISDA seluruh negara.

    Ketika ini pekebun kecil RISDA menerima BMT berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh tiga bulan.

    Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengemukakan dua syor kepada Perdana Menteri bagi membela nasib pekebun kecil getah RISDA yang terkesan akibat harga getah yang rendah. Syor tersebut adalah menaikkan harga lantai getah sekerap daripada harga semasa RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh BMT daripada tiga bulan kepada enam bulan.

    Sementara itu, kebajikan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anak-anak Padang Terap terus diberi perhatian.

    Bagi meringankan beban kewangan mereka, sejumlah 385 anak-anak daerah itu yang sedang menuntut di IPT Awam dan Swasta, menerima bantuan berjumlah hampir RM150,000.

    Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terao berkata, bantuan dalam bentuk kewangan itu adalah inisiatif untuk meringankan beban kewangan pelajar dan juga keluarga mereka khususnya kumpulan sasar golongan B40.

    Beliau berkata, iaa selaras dengan teras kedua konsep Keluarga Malaysia iaitu Kebersamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

    “Bantuan yang disampaikan kepada pelajar anak-anak Padang Terap hari ini telah kita berikan sejak tahun 2004 lagi dan akan kita teruskan setiap tahun demi untuk melihat anak-anak Padang Terap terus mencipta kejayaan untuk diri mereka”, katanya.

    Tambah beliau, kejayaan dalam pendidikan sahajalah yang akan mengubah hidup individu dan keluarga mereka.

    Kata Mahdzir, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan pelbagai bantuan kepada setiap pelajar bagi memastikan mereka mampu mencipta kejayaan dan membawa keluar keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan.

    “Selain bantuan kewangan, kerajaan turut menyediakan bantuan gajet menerusi Inisiatif PerantiSiswa yang sedang diagihkan kepada pelajar kumpulan B40 di seluruh negara. Bantuan yang disalurkan juga merangkumi pelajar-pelajar di dalam dan di luar negara dengan bantuan Elaun Sara Hidup (ESH) yang telah dinaikkan jumlahnya baru-baru ini,” katanya

  • PM perlu dapat persetujuan Kabinet bubar Parlimen, bukan UMNO

    PM perlu dapat persetujuan Kabinet bubar Parlimen, bukan UMNO

    BETULKAH Perdana Menteri ada kuasa prerogatif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) secara mengejut sebelum tampat penggal PRU-14 pada tahun depan?

    Persoalan itu dilontarkan Ahli Perlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim selepas desas-desus Datuk Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan akan bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan baginda supaya membubarkan Parlimen.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

    Betulkah Perdana Menteri ada kuasa prerogatif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 secara mengejut sebelum tiba tempoh matangnya?

    Jawapannya, Perdana Menteri tiada kuasa prerogatif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU-15 secara mengejut sebelum tamat penggal.

    Perdana Menteri tiada kuasa prerogatif itu. Tidak ada di mana-mana di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Perdana Menteri ada kuasa prerogatif, termasukkah dalam soal pembubaran Parlimen.

    Kenapa begitu? Ini kerana demokrasi di Malaysia adalah demokrasi berparlimen. Perdana Menteri hanya seorang Ahli Parlimen biasa yang mengetuai jemaah menteri atau Kabinet.

    Kabinet yang berkuasa termasuk dalam soal menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen.

    Kenapa Perdana Menteri tiada kuasa prerogatif? Ini kerana Perdana Menteri tidak dipilih oleh rakyat di seluruh Malaysia. Tidak seperti seorang Presiden dalam sistem republik.

    Perdana Menteri Malaysia hanya dipilih oleh rakyat di kawasannya sahaja. Jadi bacalah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang diPertuan Agong bertindak atas nasihat jemaah menteri.

    Bolehkah Perdana Menteri Malaysia sekarang iaitu Ahli Parlimen Bera pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda supaya membubarkan Parlimen?

    Setakat pergi mengadap yang diPertuan Agong tidak ada masalah kerana tidak ada isu keperlembagaan.

    Apa yang jadi persoalan adakah jemaah menteri telah buat keputusan bersetuju supaya Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda supaya membubarkan Parlimen?

    Jawapannya setakat ini tidak ada keputusan soal pembubaran Parlimen diputuskan oleh jemaah menteri.

    Siapa yang telah buat keputusan supaya Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen?

    Orang itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disokong Majlis Tertinggi UMNO. Tetapi UMNO bukan jemaah menteri.

    Jadi kalau Perdana Menteri mengadap Yang diPertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya membubarkan Parlimen berdasarkan tekanan Presiden UMNO dan UMNO, tetapi bukannya oleh keputusan jemaah menteri.

    Maka nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong boleh dianggap tidak sah atau ‘ultra-vires’ daripada segi Undang-undang dan keputusan pembubaran itu boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman ataupun ‘judicial review?

    Hassan Abdul Karim
    Ahli Parlimen Pasir Gudang

  • 25 kubur diancam tanah runtuh hingga nampak kain kafan jenazah

    25 kubur diancam tanah runtuh hingga nampak kain kafan jenazah

    SEKURANG-kurangnya 25 kubur umat Islam di sebuah tapak perkuburan umum (TPU) di Kota Bandung Indonesia diancam tanah runtuh sehingga menampakkan kain kafan jenazah.

    Lapor Kompas.com, foto kejadian di TPU Sirnaraga, Jalan Citepus, Kota Bandung itu mula tular di media sosial sejak semalam.

    Pemilik akaun Twitter bernama @txtdaribandung dalam ciapannya berkata:”Runtuh akibat hujan lebat di TPU Sirnaraga, Jalan Citepus, Kota Bandung. Ada beberapa kain kafan yang terlihat”.

    Setakat hari ini, ciapan tersebut diulang kicau sebanyak 9,558 kali dan disukai lebih 46,200 pengguna Twitter lain.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Cipta Karya, Bina Konstruksi dan Tata Ruang Kota Bandung, Bambang Suhari mengesahkan kejadian itu.

    “Betul di wilayah TPU Sirnaraga RT 04 RW 07, Kecamatan Cicendo, Bandung,” kata Bambang kepada Kompas.com, hari ini.

    Menurutnya, tanah runtuh di kawasan perkuburan tersebut diakibatkan hujan lebat yang berlaku sebelum itu.

    Katanya, terdapat 25 kubur yang terjejas dengan 10 daripadanya rosak akibat runtuhan tembok penahan tebing TPU berkenaan.

    “Dari 10 kubur yang rosak itu, ada tujuh yang kita rancang akan dipindahkan iaitu lima makam kanak-kanak dan dua kubur dewasa.

    “Pemindahan kubur sudah diselaraskan dan telah mendapat persetujuan dari waris,” katanya.

    Beliau menambah, masih ada tiga kubur rosak yang perlu diperbaiki, namun tidak perlu dipindahkan.

    Namun katanya, tidak ada jenazah yang jatuh dan dihanyutkan arus sungai berhampiran.

  • Pas tentukan siapa rakan atau lawan, Sabtu ini

    Pas tentukan siapa rakan atau lawan, Sabtu ini

    KETETAPAN pemilihan rakan atau lawan politik Pas akan ditentukan Sabtu ini, kata Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad.

    “Pucuk pimpinan parti akan bermesyuarat sebelum kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    “Mesyuarat sama juga akan membincangkan ketetapan untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pra pelancaran Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 Tahun 1444H/ 2022M.

    Beliau berkata demikian mengulas gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar Pas segera membuat pilihan jika mahu bersama parti itu menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Sementara itu ditanya mengenai kecenderungan hala tuju Pas, Idris berkata parti itu mahukan UMNO dan Perikatan Nasional (PN).

    “Kita mahu kedua-duanya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Mengulas mengenai kedudukannya pada PRU-15, Idris berkata ia terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

    “Saya bertanding pun ok, tak bertanding pun tiada masalah. Apapun, tunggu hari kejadian,” katanya.

    Pas kini dilihat berada dalam keadaan tersepit selepas kedua-dua parti UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa parti itu memuktamadkan hala tuju politik.

    Sehingga hari ini, Pas belum memutuskannya.

  • Pegawai menteri mula kosongkan pejabat, PRU-15 semakin dekat?

    Pegawai menteri mula kosongkan pejabat, PRU-15 semakin dekat?

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) seakan semakin dekat apabila beberapa pegawai lantikan politik di kementerian bertindak mengosongkan bilik masing-masing bermula hari ini.

    Tindakan itu dipercayai berkaitan dengan spekulasi bahawa pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Sinar Harian, pegawai kepada seorang menteri ketika dihubungi memaklumkan, setakat ini beliau tidak menerima arahan untuk mengosongkan pejabat.

    “Kita faham-faham sendiri. Esok (Khamis) saya kemas, insya-Allah,” katanya.

    Sementara itu, seorang pegawai menteri lain turut berkongsi dalam media sosial mengenai beberapa keping gambar pejabatnya yang dikosongkan hari ini.

    “Kemas dulu. Kami sukarela (kosongkan pejabat),” katanya.

    Pengosongan pejabat lantikan politik merupakan perkara biasa menjelang pilihan raya ataupun peralihan kerajaan.

    Sebelum ini pembangkang menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.

    Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali pertama dibentang di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

  • Tangani beg berat: Pemasangan lokar ke sekolah dua sesi dilancar

    Tangani beg berat: Pemasangan lokar ke sekolah dua sesi dilancar

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini melancarkan pemasangan lokar untuk sekolah dua sesi di seluruh negara khususnya murid tahap satu bagi menyelesaikan isu beg berat yang berlarutan sejak sekian lama.

    Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penyediaan lokar ke sekolah dua sesi itu merupakan satu daripada tujuh inisiatif utama penyelesaian isu beg berat yang digariskan Mac lalu.

    Menurutnya, KPM membelanjakan sebanyak RM37.3 juta untuk membekalkan lokar ke 626 buah sekolah dua sesi di seluruh negara.

    “Kita ambil pendekatan menyeluruh yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini kerana kita di kementerian menumpukan kepada perkara-perkara struktur yang telah lama tidak diselesaikan.

    “Dan Alhamdulillah kita lihat bahawa penyelesaian ini telah menunjukkan satu kesan atau impak yang cukup baik kepada anak-anak kita di sekolah,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan lokar fasa pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia yang turut dihadiri Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Tujuh inisiatif utama penyelesaian isu beg berat yang digariskan KPM 6 Mac lalu ialah Penyediaan lokar; Penyusunan Semula Jadual Waktu; Buku Latihan; Buku Aktiviti dan Buku Kerja; Buku Teks Digital; Pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan Kerjasama Dengan JAKIM.

    Fasa 2 penyediaan lokar pula akan diperluas kepada murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi serta dijangka dilaksanakan pada 2023.

    Dr Radzi memberitahu, pelancaran pembekalan lokar itu merupakan manifestasi KPM yang komited untuk memberikan yang terbaik buat murid sebagai generasi pewaris negara.

    Katanya, dengan inisatif itu, murid dapat mengikuti pendidikan secara kondusif dan boleh membantu membentuk karakter atau jati diri menjadi insan yang mampu bersaing di mana sahaja mereka berada.

    “Dan sekali lagi saya tegaskan bahawa kami di kementerian komited untuk melaksanakan dan mencari pendekatan terbaik serta memastikan setiap apa yang dijanjikan itu ditunaikan dan dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

    Sementara itu, Dr Radzi berkata, sebanyak lima daripada 38 buah sekolah dua sesi di Parlimen Gombak telah selesai pemasangan lokar berkenaan.

    “InsyaAllah baki sekolah lain kita akan laksanakan dalam dalam masa terdekat,” tambahnya.

  • Polis tahan wanita bergelar Datuk Seri menyamar Pengarah Bahagian Kewangan KDN

    Polis tahan wanita bergelar Datuk Seri menyamar Pengarah Bahagian Kewangan KDN

    POLIS menahan seorang wanita yang bergelar ‘Datuk Seri’ kerana disyaki menyamar sebagai penjawat awam iaitu Pengarah Bahagian Kewangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui rakaman video yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang juga Setiausaha Bahagian KDN berhubung penularan video berkenaan.

    “Menurut pengadu, dia menerima mesej aplikasi daripada kumpulan ‘Pegawai KDN’ bahawa terdapat satu pautan hantaran video dari laman sosial Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama ‘pseudoscience watch’ pada 3 September lalu.

    “Pengadu kemudian membuka pautan itu dan melihat satu rakaman video yang memaparkan seorang wanita yang mendakwa beliau dilantik sebagai Pengarah Kewangan KDN.

    “Dalam mesej itu juga mengandungi tangkap layar laman sesawang KDN yang diubah suai dengan menyatakan penama ‘Dato Sri Siti Nur Atiqah Baba’ sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Wan Kamarul berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati pengadu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

    “Pegawai penyiasat sudah menghubungi pengadu dan memaklumkan dia akan hadir memberikan keterangan di IPD Sepang pukul 9 pagi, hari ini.

    “Hasil semakan dilakukan terhadap pautan itu mendapati terdapat satu rakaman video berdurasi satu minit 40 saat yang mendakwa bahawa dirinya dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN.

    “Semalam semakan dilakukan juga mendapati rakaman itu dimuat naik kira-kira 21 jam lalu dan menerima kira-kira 1,000 komen serta 50,600 tontonan,” katanya.

    Beliau berkata, tujuan pengadu membuat laporan adalah bagi menafikan bahawa pihak KDN tidak pernah melantik mana-mana individu secara langsung sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN dan jawatan itu tidak pernah wujud.

    “Susulan itu, suspek berusia 33 tahun ditahan oleh pihak IPD Klang Utara, semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Oktober nanti bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

  • MTUC akan bantu bekas warga Utusan, desak kerajaan campur tangan

    MTUC akan bantu bekas warga Utusan, desak kerajaan campur tangan

    KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan komitmen untuk membantu bekas pekerja-pekerja Utusan Melayu (Utusan) yang diberhentikan kerja bagi menuntut hak mereka daripada segi pampasan atau apa-apa tungakan pembayaran yang sewajarnya.

    Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya berharap perkara tersebut akan diselesaikan secara baik melalui meja rundingan antara bekas pekerja dan majikan yang boleh dilakukan melalui campur tangan kerajaan, terutama kepimpinan negara.

    “MTUC akan berjumpa dengan kepimpinan negara, terutama pemimpin UMNO bagi mengetahui adakah mereka ingin menyelesaikan masalah bekas pekerja Utusan ini atau tidak?,” katanya dalam pertemuan dengan bekas pekerja Utusan yang diketuai oleh Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu, Saifol Bakhtiar Hamik di pejabat MTUC di Petaling Jaya hari ini.

    Katanya, kerajaan terutama parti UMNO perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan nasib pekerja, terutama warga Utusan Melayu kerana syarikat itu sememangnya diketahui agak sinonim dengan perjuangan orang Melayu dan parti itu sejak dari zaman sebelum merdeka lagi.

    “Masalah ini perlu diselesaikan segera dan tidak boleh dibiarkan berpanjangan, sebagai Keluarga Malaysia, bekas warga Utusan itu tidak seharusnya dianiaya dan dibiarkan terkontang kanting dalam menuntut hak mereka,” tambahnya.

    Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang telah mula prihatin dengan nasib bekas pekerja dengan pengenalan pelbagai peraturan yang positif seperti bersetuju dengan cadangan MTUC agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi ruang kepada wakil MTUC berada dalam lembaga pengarah syarikat.

    Ahad ini genap syarikat Utusan Melayu ditutup selama tiga tahun dengan kaedah penggulungan sukarela, bagaimanapun tiada sebarang pampasan diberikan kepada kira-kira 1,500 bekas pekerja yang diberhentikan dan tungakan bayaran kepada kakitangan yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS).

    Kamarul Baharin berkata, MTUC bersetuju untuk membela nasib bekas pekerja Utusan demi survival hidup mereka kerana masih ramai yang dalam keadaan daif, sakit dan tiada pekerjaan akibat tidak bersedia apabila sayairkat itu ditutup dengan notis yang sangat singkat.

    Ujarnya, kesatuan itu memandang isu bekas warga Utusan dan akan mengambil langkah sewajarnya agar ada pihak yang tampil memberi jalan penyelesaian terhadap perkara yang sudah lama tertangguh.

    Beliau berkata, MTUC menyatakan komitmen akan bersama-sama dengan bekas kakitangan Utusan dalam perjuangan mereka dan akan memastikan perkara terebut diselesaikan sepenuhnya.

    “Jika perkara seumpama ini tidak diselesaikan secara baik, MTUC akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana majikan yang menganiaya pekerja mereka, terutama sekali pekerja tempatan,” kata Kamarul Baharin sambil menyatakan kesatuannya pernah mengambil tindakan serupa terhadap majikan yang menganiaya pekerja sebelum ini.

    Beliau yang terlibat dalam isu tuntutan bekas kakitangan Perwaja sebelum ini yakin perkara itu dapat diselesaikan jika pihak majikan benar-benar ingin mencari penyelesaian dan bukan mencari alasan untuk tidak membayar apa-apa bayaran kepada bekas kakitangan.

    Sebagai maklumat, syarikat yang bertindak sebagai pelikuidasi syarikat itu, UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. masih belum menjelaskan sepenuhnya apakah bayaran yang akan diperoleh oleh bekas kakitangan Utusan dan bilakah mereka akan menerimanya walaupun proses penjualan aset Utusan telah berjalan sejak tiga tahun lalu.

  • 18 individu culik lelaki warga Palestin diberkas polis

    18 individu culik lelaki warga Palestin diberkas polis

    POLIS menahan 18 individu kerana menculik seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada 28 September lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia.

    “Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.

    “Operasi dijalankan berjaya menahan 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.

    Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa yang berumur 31 tahun sedang berbual bersama seorang rakan yang juga warga Palestin di hadapan sebuah premis di lokasi kejadian.

    “Mangsa kemudiannya didatangi beberapa individu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire sebelum suspek bertindak menarik mangsa masuk sebelum melarikannya.

    “Rakan mangsa yang berada di lokasi tidak sempat berbuat apa-apa dan kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sejurus selepas kejadian,” katanya.

    Beliau berkata, susulan itu, satu pasukan diatur gerak bagi memburu individu yang terlibat serta menyelamatkan mangsa.

    “Operasi dijalankan pada 29 September memberkas seramai 13 lelaki terdiri daripada 12 lelaki tempatan di Kuala Langat sekali gus berjaya menyelamatkan mangsa.

    “Hasil tangkapan itu, polis kemudian berjaya memberkas tiga lelaki dan dua wanita di Ampang, Beranang dan Melaka beberapa hari selepas itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, kesemua 18 suspek ditahan berumur antara 21 hingga 42 tahun.

    “Semakan dijalankan mendapati tujuh daripada 18 individu ditahan mempunyai rekod jenayah. Selain itu, saringan air kencing dijalankan mendapati empat daripada 18 suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

  • 4 termasuk tiga beranak tidak mengaku tuduhan gubah wang haram RM300 juta

    4 termasuk tiga beranak tidak mengaku tuduhan gubah wang haram RM300 juta

    EMPAT individu termasuk tiga sekeluarga mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas 150 tuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM300 juta antara 2018 hingga 2020.

    Kesemua mereka, Abdul Wahab S. Mohd. Mydin, 53; Mohd. Nasri Abdul Rahman, 36; Nur Hafeezah Abdul Wahab, 26, dan Resool Bivi Yusof Gini, 50, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Karim dan Hakim Mazdi Abd. Hamid.

    Mohd. Nasri yang merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat pelaburan didakwa atas keseluruhan 118 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukannya antara tahun 2018 hingga 2020.

    Sementara itu, Abdul Wahab yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pelaburan pula didakwa atas keseluruhan 30 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram antara tahun 2018 hingga 2020.

    Selain itu, Abdul Wahab turut mempunyai dua pertuduhan yang dibaca bersama isteri, Resool Bivi dan anaknya, Nur Hafeezah.

    Kesemua mereka didakwa menerima, memindah dan menggunakan sejumlah wang dipercayai hasil aktiviti haram untuk kegunaan peribadi seperti pembelian hartanah, saham dan lain-lain.

    Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa buah bank di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Pulau Pinang.

    Prosiding kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong.

    Mohd. Nasri pula diwakili peguam, S Raveentharan manakala Abdul Wahab, isteri dan anak mereka diwakili Mashitah Jamaluddin.

    Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Nasri diikat jamin sebanyak RM500,000 bagi semua pertuduhan manakala Abdul Wahab sebanyak RM110,000 dengan seorang penjamin.

    Sementara itu, Resool Bivi dibenarkan diikat jamin RM10,000 manakala Nur Hafeezah sebanyak RM25,000.

    Mahkamah kemudian menetapkan 15 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.