Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sepahtu terbuka kerjasama dengan Shuib

    Sepahtu terbuka kerjasama dengan Shuib

    PELAWAK dan penyampai radio Rahim menyatakan, kumpulan Sepahtu terbuka sekiranya Shuib ingin menjayakan program Sepahtu Reunion atau sebarang kerjasama pada masa akan datang.

    Jelas beliau, tidak timbul isu bermasam muka biarpun Shuib kini tidak lagi bersama program tersebut.

    “Saya tak pasti jika sebelum ini Shuib ada merajuk. Mungkin dia ada terasa hati dengan industri tetapi rasanya tidaklah dengan kami.

    “Terus-terang antara kami tiada apa isu dan baik-baik sahaja walaupun Shuib sudah tidak bersama Sepahtu. Kami memang sudah tidak berada di pentas yang sama tapi masih berkawan dan berhubung.

    “Apatah lagi, kami sentiasa terbuka untuk dia datang dan bekerjasama seperti sebelum ini menjadi cameo untuk Sepahtu Reunion dan sebagainya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Rahim mengulas pengunduran Shuib dan pembabitan usahawan itu selepas sidang media Sepahtu Reunion Live Tour yang diadakan di Astro, baru-baru ini.

    Berkongsi mengenai projek sulung iaitu Sepahtu Reunion Live Tour yang akan diadakan di tiga buah negeri iaitu Johor, Terengganu dan Kedah, Rahim menjelaskan bagaimanapun Shuib tidak dapat untuk menjayakannya.

    “Kami kini sedang fokus intipati serta idea untuk dibawakan ke persembahan di luar Kuala Lumpur nanti. Setakat ini semuanya masih berada dalam perbincangan.

    “Seperti biasa akan ada cameo yang akan memeriahkan lagi persembahan kami seperti Erra Fazira, Uqasha Senrose, Elizad dan ramai lagi.

    “Tapi untuk ahli Sepahtu yang terdahulu belum ada yang pasti untuk sertai. Cuma Shuib sudah mengesahkan dia tidak dapat sertai kami untuk persembahan jelajah ini,” katanya.

    Selain Rahim, ahli terbaharu Sepahtu Jep dan Pak Ya bersama Ebby Yus bakal menjelajah tiga buah negeri sempena program Sepahtu Reunion Live Tour bermula 14 Oktober ini.

  • Bapa Nabil Ahmad hembus nafas terakhir

    Bapa Nabil Ahmad hembus nafas terakhir

    BAPA kepada pengacara dan penyampai radio Nabil Ahmad iaitu Ahmad Ismail meninggal dunia pada usia 71 tahun di Hospital Serdang sekitar pukul 2 petang tadi akibat komplikasi jantung.

    Berita sedih tersebut dikongsi sendiri oleh pengurus Nabil yang memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu.

    “Arwah sebelum ini dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang pada Khamis minggu lalu.

    “Bapa Nabil sudah lama menghidap masalah jantung dan dimasukkan ke hospital disebabkan keadaan semakin teruk. Nabil kini berada di hospital bagi pengurusan jenazah,” katanya lapor mStar.

    Jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman Nabil di Mambau, Negeri Sembilan untuk diuruskan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Air Garam.

  • Pekerja kilang diculik, dibunuh selepas wang tebusan dibayar

    Pekerja kilang diculik, dibunuh selepas wang tebusan dibayar

    MAYAT pekerja kilang warga Bangladesh dipercayai mangsa culik ditemukan di kawasan semak di Jalan Taming Jaya 10, Seri Kembangan di Kajang, malam tadi.

    Keadaan mayat itu ditemukan dalam keadaan separuh reput dengan tangan dan mukanya diikat menggunakan pita pelekat serta kain sarung 

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan memberitahu, perkara itu terbongkar selepas polis menahan empat lelaki Bangladesh dalam dua serbuan berasingan semalam dan kelmarin.

    “Polis menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh yang menyatakan anak saudaranya yang keluar rumah pada 25 September lalu gagal dihubungi.

    “Pada keesokan harinya, ibu kepada mangsa yang berada di Bangladesh mendakwa menerima panggilan daripada suspek disyaki warganegara sama menyatakan mangsa berada di bawah tahanan mereka dan mereka dikehendaki membayar 500,000 Taka Bangladesh (RM24,000) sebagai wang tebusan untuk membebaskannya.

    “Pada 27 September, ibu mangsa yang telah memindahkan wang yang diminta suspek melalui akaun bank di Bangladesh dan suspek berjanji untuk melepaskan mangsa dalam tempoh masa dua hari.

    “Memandangkan ibu mangsa tidak menerima sebarang berita berkenaan mangsa, ibunya meminta abang kandungnya untuk membuat laporan pada 30 September lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid memberitahu, bertindak atas laporan itu, polis menahan dua lelaki warga Bangladesh di sekitar Beranang petang kelmarin dan dua lagi suspek juga warga Bangladesh petang semalam di sekitar Semenyih.

    Beliau berkata, penahanan empat suspek itu, akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak berkenaan.

    “Hasil siasatan awal, mangsa yang berusia 39 tahun itu dibunuh kerana mangsa mengenali suspek,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambahnya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108 dengan segera.

  • Ikmal Hisham buat laporan polis ke atas  Rafizi

    Ikmal Hisham buat laporan polis ke atas Rafizi

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan dakwaan Rafizi Ramli dalam satu artikel yang disiarkan Facebook milik Timbalan Presiden PKR itu semalam sebagai mahu merosakkan nama baiknya.

    Beliau menegaskan, artikel itu yang bertajuk ‘Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri’ adalah tohmahan yang menyemarakkan kebencian orang awam terhadapnya.

    Susulan itu katanya, satu laporan polis dibuat Setiausaha Sulit Kanannya, Mohammad Iskandar Idris terhadap Rafizi itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

    “Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Rafizi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

    “Pada masa sama sekali lagi saya tegaskan, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah satu fitnah dan tohmahan yang bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi.

    “Saya juga bersedia bekerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, dakwaan dalam artikel tersebut yang mengaitkan namanya dengan sebuah syarikat iaitu MA Analytics Sdn. Bhd. adalah tidak benar.

    “Ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya.

    “Sebagai Timbalan Menteri Pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan atau mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.

    “Ini memandangkan Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baharu mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum sebarang perolehan dilaksanakan,” katanya.

    Seterusnya kata Ikmal Hisham, perlu dikemukakan kepada agensi Pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan.

  • ”Apa perasaan ‘U’ kalau I kata ‘U’ lanun bola sepak? – Sanusi

    ”Apa perasaan ‘U’ kalau I kata ‘U’ lanun bola sepak? – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRESIDEN Persatuaan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor nyata tidak mahu berdiam diri selepas digelar sebagai ‘badut’ dan dianggap pemecah-belah antara penyokong oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Sebaliknya Menteri Besar Kedah itu terus memanaskan keadaan apabila mempersoalkan perasaan TMJ sekiranya dipanggil sebagai ‘lanun’ bola sepak.

    “Pemilik kelab JDT ini tak boleh orang kata kat dia, dia kata kat orang tak apa. Kalau orang kata dia lanun bola sepak, apa dia rasa?

    “Dia kata saya badut, pemecah belah. Kalau saya nak kata kat dia lanun bola sepak, dia nak cakap apa?,”

    “Apa perasaan ‘U’ kalau ‘I’ kata ‘U’ lanun bola sepak?” soalnya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Kedah Sejahtera di pekarangan Masjid Nurul Ihsan dekat Langgar, Alor Setar.

    Terdahulu di laman media sosial, TMJ meminta pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar menasihati Muhammad Sanusi agar membawa diri sebagai seorang Menteri Besar dan bukannya sebagai badut.

    Menurut TMJ, seorang pemimpin akan melahirkan lebih ramai pemimpin manakala seorang badut akan melahirkan lebih ramai badut.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, beliau bukanlah individu yang memecah belahkan penyokong seperti didakwa TMJ.

    “Sebaliknya saya menyatukan peminat bola sepak. Kesatuan itu dibuat agar padangnya sama luas, pintu golnya sama saiz dan pemainnya juga sama ramai.

    “Biasanya pemain tak sama ramai ini sebab pengadil masuk sebelah sana dan disebabkan itu, pemain dia lagi ramai. Saya nak pemain masing-masing sama ramai dan pengadil duduk di tengah,” katanya.

  • Sembilan maut termasuk lima pelajar sekolah nahas dua bas

    Sembilan maut termasuk lima pelajar sekolah nahas dua bas

    SEMBILAN individu termasuk lima pelajar sekolah maut selepas bas pelancong dinaiki mereka merempuh sebuah bas lain di Kerala, India, semalam.

    Menurut polis, 22 yang lain cedera dalam insiden terbabit, lapor Astro Awani yang memetik berita Hindustan Times.

    Kejadian dipercayai berlaku selepas bas pelancong berkenaan merempuh bahagian belakang bas Kerala State Road Transport Corporation (KSRTC) ketika cuba memotong sebuah kereta di Jalan Walayar-Vadakkancherry.

    Mangsa maut termasuk lima pelajar sekolah, seorang guru, dan tiga penumpang bas KSRTC.

    Menurut Menteri Pengangkutan Antony Raju, siasatan awal mendapati pemandu bas pelancong berkenaan memandu melebihi had laju ditetapkan sebelum terbabas dan merempuh bas KSRTC.

    Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan.

    Pemandu bas pelancong, J. Joemon cuba melarikan diri selepas kejadian namun berjaya ditahan polis.

    Ketika kejadian, bas pelancong tersebut membawa 42 pelajar sekolah termasuk lima guru.

  • PRU-15 tahun ini ganggu jadual akademik pelajar, pendidik – PKR

    PRU-15 tahun ini ganggu jadual akademik pelajar, pendidik – PKR

    PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun ini akan mengganggu keseluruhan jadual akademik dan peperiksaan penting yang sudah dirancang, selain persiapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Malah jika pilihan raya tetap dilaksanakan antara sekarang hingga Disember depan, pihak sekolah terpaksa menjadualkan semula aktiviti akademik dengan beberapa ujian dan peperiksaan amali terpaksa ditunda hingga tahun depan.

    Lapor Berita Harian, Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, beberapa ujian dan peperiksaan lisan, ujian bacaan al-Quran serta peperiksaan amali Sains SPM sudah dijadualkan pada awal Oktober hingga pertengahan November depan.

    Beliau berkata, pada bulan depan, akan berlangsung peperiksaan percubaan SPM dan guru akan menggunakan cuti sekolah Disember untuk memeriksa jawapan dan membuat analisis.

    “Malah, pendidik akan mengenal pasti kelemahan pelajar yang perlu dibaiki sebelum peperiksaan bertulis SPM sebenar diduduki,” katanya hari ini.

    Amidi dalam laporan itu turut mengingatkan, perlu diberi perhatian adalah sebahagian petugas pilihan raya membabitkan warga pendidik dan jika PRU15 diadakan tahun ini, tumpuan masa dan tugas mereka sudah tentu akan terganggu.

    “Situasi ini akan menyusahkan warga pendidik dan berkemungkinan memerlukan kos tambahan,” katanya.

    Pada 30 September lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Katanya lagi, keputusan mesyuarat itu berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

  • Sanusi nafi kerajaan Kedah, syarikat dapat lesen teroka terlibat curi REE

    Sanusi nafi kerajaan Kedah, syarikat dapat lesen teroka terlibat curi REE

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri Kedah menafikan pihaknya bersama syarikat yang diberikan lesen eksplorasi untuk mengkaji unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) terlibat dalam kes kecurian mineral tersebut di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik di Kedah.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerja-kerja mengeksplorasi bersama syarikat Prospek Suria Sdn. Bhd. itu juga sehingga kini belum dilakukan kerana masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

    Beliau berkata, tuduhan pihak tertentu termasuk pembangkang yang menyatakan kerajaan negeri bersubahat dalam kegiatan terbabit tidak berasas kerana plot tanah yang terlibat dalam kegiatan itu juga berbeza dengan kawasan yang diberi kebenaran sebelum ini.

    “Mereka pun (Prospek Suria) bila ada berlaku kecurian itu cepat-cepat telefon Setiausaha Kerajaan Negeri dan saya (memaklumkan kegiatan itu). Bukan kami buat, tetapi orang lain (lakukan) dan kami tidak terlibat.

    “Kawasan (kecurian) itu saya dimaklumkan di luar kawasan yang diplot oleh plot yang dibenarkan kepada syarikat yang usahasama dengan Menteri Besar Incorporated (MBI). Ada orang kata ada papan tanda MBI di pintu masuk itu (tetapi) bukan MBI terbabit,” katanya selepas merasmikan Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, Kedah hari ini.

    Beliau mengulas kegiatan mencuri nadir bumi yang dipercayai melibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit sejak ia dilakukan kira-kira dua tahun lalu oleh pihak yang disyaki sindiket di Hutan Simpan Bukit Enggang.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yakin perbuatan itu juga tidak melibatkan agensi-agensi kerajaan yang didakwa terbabit sama, selain menafikan dakwaan tidak ada pemantauan dibuat pihak berkaitan selama ini.

    Beliau turut memaklumkan, terdapat dua projek MBI di kawasan hutan itu iaitu projek ladang hutan yang diluluskan pada 2017 untuk tanaman spesis Albizia Falcatria dan Musang King serta usahasama dengan sebuah syarikat bagi projek ladang solar.

    “Projek yang ketiga ini adalah usahasama bagi meneroka REE. Tiga projek MBI di situ tidak termasuk kecurian yang berlaku. Kita pun tak tau siapa (terlibat), kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasat termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan Kedah yang semua ada undang-undang yang mereka kuatkuasakan, (maka) ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berpandangan agar kompaun atau denda yang bakal dikenakan kepada pihak terlibat dapat dikembalikan dalam apa sahaja bentuk kepada Kedah memandangkan mineral dan tanah serta kekayaan-kekayaan itu adalah milik negeri itu.

    “Ini saya habaq terus-terang, katalah dia kena denda RM1 juta. Duit itu pi kat Persekutuan, betul tak? Siapa kena denda mahkamah kecuali mahkamah syariah duit itu pergi kepada negeri (tetapi) mahkamah sivil naik motor tak ada lesen, pindah tanah tanpa kebenaran atau apa kesalahan yang naik mahkamah duit pergi Persekutuan.

    “Sedangkan kekayaan yang dicuri itu negeri punya, tanah-tanah atau mineral-mineral (milik kita). Oleh kerana ke mahkamah, dapat kat Persekutuan duit itu nanti, maka saya berpandangan sama ada boleh dipakai atau tak boleh terserah kepada agensi dan jabatan yang menguatkuasakan undang-undang.

    “Kenakan kompaun yang paling tinggi dalam sejarah sejak Tuhan buat dunia ini. Tak kiralah berapa juta. Hangpa (anda) agak-agak kalau pi mahkamah kena berapa juta? RM5 juta? Duit itu (perlu) dapat kepada negeri, itu lebih adil,” katanya.

  • Sanusi gesa tidak beri undi kepada ‘orang gila’ hendak buat PRU

    Sanusi gesa tidak beri undi kepada ‘orang gila’ hendak buat PRU

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menggesa pengundi agar tidak memberi sokongan kepada pihak yang mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

    Beliau berkata, semua agensi kerajaan kini dalam persediaan menghadapi fasa peralihan monsun apabila laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan berlakunya banjir besar antara Oktober hingga Mac tahun hadapan.

    Bagaimanapun tegasnya, masih ada pihak yang tidak mempedulikan amaran itu sehingga terus menerus mendesak PRU-15 diadakan segera sehingga menyatakan sanggup berkempen dalam keadaan banjir tanpa memikirkan nasib rakyat.

    “Kita dapat laporan MetMalaysia menyatakan dijangka berlaku banjir besar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akibat pemanasan global dengan semua agensi Persekutuan dan negeri diarah membuat persediaan rapi.

    “Tiba-tiba ada orang gila ajak buat pilihan raya, ini sejenis gila apabila ajak orang kempen dalam banjir. Dia kata pilihan raya dalam banjir sekalipun kita redah, mereka tak ada kerja hingga sanggup buat kerja ini.

    “Apabila MetMalaysia kata banjir sampai Mac 2023, buatlah pilihan raya April. Masa itu semua orang boleh keluar mengundi. Kita pun senang berkempen, tak perlu selak kain lalu celah air nak berkempen ke rumah orang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, Kedah hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, semua pihak akan menjadi sukar termasuk polis yang bertanggungjawab menjaga keamanan sekiranya PRU-15 tetap diadakan dalam keadaan banjir.

    Justeru, beliau berharap PRU-15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat ini dan mencadangkan ia dilaksanakan tahun hadapan selepas keadaan cuaca kembali pulih.

    Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri Kedah juga tetap dengan ketetapan Pas Pusat sebelum ini iaitu tidak akan membubarkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seawal Mac tahun depan.

    “Saya sudah sembah maklum kepada Sultan Kedah pada Selasa lalu, bahawa kerajaan negeri tidak akan bubar DUN sehingga Mac 2023 dan hanya selepas itu boleh dipertimbang untuk bubar.

    “Tuanku (Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) titah kepada saya, itu kuasa Menteri Besar dan terpulang kepada pertimbangan saya. Maka DUN Kedah selamat tidak perlu pilihan raya sehingga tahun depan.

    “Tetapi kerana mereka mahu bubar Parlimen juga, maka kita mungkin kena mengundi Parlimen. Jika pengundi rasa susah untuk mengundi (dalam banjir), maka jangan undi orang gila itu. Saya tidak kata pada sesiapa, tetapi pada orang gila yang ajak pengundi berenang ke pusat mengundi,” katanya.

  • Warga emas bunuh isteri, kanak-kanak jadi saksi

    Warga emas bunuh isteri, kanak-kanak jadi saksi

    SEORANG lelaki berusia 74 tahun didakwa membunuh isterinya berikutan insiden keganasan rumah tangga, pukul 6 petang semalam.

    Isteri kepada warga emas tersebut yang berusia 74 tahun ditemui cedera parah di kediaman mereka yang terletak di Timur Sydney.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan 9News, pihak berkuasa Sydney menerima panggilan kecemasan dari lokasi terbabit.

    Mangsa yang mendapat rawatan kecemasan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital St Vincent beberapa jam selepas itu.

    Dalam pada itu, suspek dikenali sebagai Steven Barker telah ditahan dah dibawa ke Balai Polis Waverly atas tuduhan membunuh.

    Difahamkan, seorang kanak-kanak turut berada di dalam rumah ketika kejadian akan menjadi saksi dalam proses siasatan.

    Permohonan Barker untuk diikat jamin telah ditolak dan akan dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Waverley, hari ini.

    Sementara itu, seorang jiran di kawasan perumahan mangsa mengaku masih terkejut dengan kejadian itu kerana berjalan di depan lokasi ketika kejadian berlaku pada sebelah pagi.