Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Janji macam-macam, satu pun tak dapat’ – Veteran ATM

    ‘Janji macam-macam, satu pun tak dapat’ – Veteran ATM

    PRESIDEN Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM), Mior Rosli Mior Mohd Jaafar melihat Belanjawan 2023 seakan tidak memihak golongan pesara tentera.

    Memetik laporan Malaysiakini, Mior menyoal janji-janji Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein terhadap kebajikan para veteran.

    “Sebelum bajet, menteri pertahanan sebut macam-macam janji akan masuk belanjawan… tapi satu pun tak masuk,” katanya.

    Mior Rosli (gambar, bawah) juga mendakwa bajet yang dibentangkan langsung tidak menitikberatkan hak yang dituntut mereka.

    “Sebenarnya Bajet 2023 tidak menyentuh satu pun apa yang kami tuntut dari hak kami dari sudut undang-undang,” jelasnya kepada Malaysiakini.

    Tambahnya lagi, bajet yang dibentangkan tidak memenuhi kepuasan hati pihaknya, malah peruntukan yang diberi dilihat tiada khusus kepada mereka.

    “Pesara tentera tidak ada peruntukan apa-apa, nak puas hati macam mana?

    “Kalau bajet kata veteran dapat tambang separuh harga.. sudah 30 tahun kami dapat tambang kereta api separuh harga.

    “Bukan kami je dapat, semua warga emas pun dapat,” ujarnya lagi.

    Belanjawan 2023 memperuntukkan diskaun 50 peratus kepada veteran (ATM) dan pesara polis yang menggunakan pengangkutan awam bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), tahun depan.

    Peruntukan melalui inisiatif MyWIRA itu dijangka memanfaatkan kira-kira 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang serta Pulau Pinang.

    September lalu, kira-kira lebih 100 veteran ATM berkumpul di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri bagi menuntut hak kebajikan mereka.

    Antara tuntutan yang dibuat adalah berkenaan penyelarasan pencen dapat serta mendesak kerajaan mengkaji semula pencen hilang upaya terhadap veteran yang cedera perang dan semasa bertugas.

  • Mohd. Yusof kembali jalankan tugas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar

    Mohd. Yusof kembali jalankan tugas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail kini kembali melaksanakan tugas seperti biasa setelah Lembaga Disiplin UMNO bersetuju menangguhkan hukuman penggantungan keahlian terhadapnya.

    Menurutnya, penangguhan hukuman itu diputuskan lembaga disiplin parti tersebut setelah UMNO Bahagian Alor Setar membuat rayuan kepada Ibu Pejabat, baru-baru ini.

    Katanya, keputusan sama ada beliau akan tetap menjalani hukuman tersebut hanya akan dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan datang.

    “Untuk menggantung atau memecat ahli, itu tertakluk di bawah bidang kuasa MKT. Buat masa ini, UMNO Pusat telah menangguhkan keputusan penggantungan dikenakan terhadap saya hingga mesyuarat MKT seterusnya.

    “UMNO Bahagian Alor Setar ada buat rayuan kepada UMNO Pusat dan perkara itu dibincangkan. Maka Lembaga Disiplin buat keputusan tangguh dulu penggantungan dan disebabkan iu, saya boleh aktif semula sebagai Ketua Bahagian.

    “Keputusan penuh akan dibuat pada mesyuarat MKT akan datang, bila mesyuarat akan datang saya tak pasti, tetapi biasanya dibuat sebulan sekali,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, di Alor Setar, malam tadi.

    Sebelum ini Mohd. Yusof digantung keahliannya selama enam tahun bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

    Difahamkan penggantungan kedua-dua mereka dibuat kerana masing-masing didakwa lantang membuat kritikan dengan Mohd. Yusof dikatakan sering melemparkan kritikan dalam kumpulan Whatsapp Ketua UMNO Bahagian.

    Mengulas lanjut Mohd. Yusof berkaa, beliau hinga kini masih belum dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin selain tidak dimaklumkan mengenai punca dirinya digantung keahlian.

    Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta beberapa lagi ahli MKT yang banyak membantu menyelesaikan isu tersebut.

    “Saya tak tahu mengapa diganung sedangkan saya tak pernah dipanggil Lembaga Disiplin. Saya juga tak pernah dimaklumkan telah melakukan apa-apa kesalahan tetapi mungkin tulisan serta teguran saya di Whatsapp merupakan satu kesalahan yang saya lakukan tanpa disedari.

    “Nak kata saya buat sidang media melawan UMNO, tak pernah malah saya sentiasa menyokong parti. Perkara ini akan jadi iktibar buat saya pada masa depan,” katanya.

  • Azira Shafinaz dambakan lelaki mahu jalin hubungan serius

    Azira Shafinaz dambakan lelaki mahu jalin hubungan serius

    PELAKON dan pengacara Azira Shafinaz, 31, mendambakan lelaki yang mahu menjalinkan hubungan serius, bukannya sekadar berkawan sahaja.

    Azira yang juga anggota De Fam itu juga mengakui tidak pernah meletakkan dinding pemisah untuk mana-mana lelaki yang mahu mendekatinya.

    “Jujurnya, memang ada lelaki cuba mendekati saya. Tetapi, saya mendambakan lelaki yang mahu menjalinkan hubungan serius, bukannya sekadar berkawan sahaja.

    “Saya baru sahaja meraikan ulang tahun ke-31 pada Isnin lalu. Antara doa dipanjatkan agar dipertemukan jodoh dengan lelaki yang serasi.

    “Mungkin ramai beranggapan saya masih single disebabkan terlalu memilih. Saya bukan memilih, cuma saya penat dan malas untuk memikirkan soal jodoh lagi.

    “Namun, ia tidak bermakna saya menutup pintu hati menerima lelaki dalam hidup,” ungkap aktres jelita itu kepada BH Online.

    Serancak kerjaya seni semakin berkembang, begitu juga hangatnya kisah cinta Azira dengan beberapa lelaki diperkatakan sebelum ini.

    Selepas hubungan dengan seorang ahli perniagaan tidak kesampaian, timbul pula gosip yang mengaitkan Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan dengan aktor duda sensasi, Sharnaaz Ahmad.

    Mengulas perkara itu, Azira menegaskan, dia dan Sharnaaz tidak pernah menjalinkan hubungan istimewa, sebaliknya mereka hanya rakan baik.

    “Sejujurnya, saya penat apabila diajukan pertanyaan hubungan saya dengan Sharnaaz. Namun, saya lega apabila perkara ini tidak hangat diperkatakan lagi.

    “Saya tahu ramai mengharapkan sesuatu daripada perhubungan ini, namun, saya dan Sharnaaz berkawan atas landasan rakan selebriti.

    “Namun, perhubungan baik ini kekal hingga hari ini,” katanya lagi.

    Sementara itu, pelakon filem Penunggang Agama dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu sekali lagi menjadi bahan perdebatan dalam media sosial apabila netizen mengecam penampilannya yang dikatakan semakin berani dan seksi.

    Enggan mengeruhkan keadaan, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Seribu Rindu itu berkata, setiap orang boleh melemparkan apa sahaja pandangan, ini kerana dirinya tiada kudrat menghalangnya.

    “Saya tiada komen soal imej makin seksi. Netizen bebas memberikan pandangan dan saya pula tidak boleh menutup mulut mereka.

    “Saya sedar menerusi gambar dalam IG, netizen boleh membuat pelbagai andaian mengenai saya. Apa yang boleh saya katakan, doakan saya sahaja,” ujarnya.

    Menjawab persoalan adakah merasakan imejnya banyak berubah dan semakin daring, Azira berkata, agak sukar untuknya menilai diri sendiri.

    “Netizen boleh menilai saya macam-macam, tetapi agak sukar untuk saya menilai diri sendiri.

    “Saya memahami situasi ini, tetapi ia tidaklah memberi saya tekanan,” ungkapnya.

    Azira bakal muncul dengan filem Talbis Iblis arahan Kabir Bhatia tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebar menantikan reaksi peminat pada 20 Oktober ini.

  • Renung kembali perjuangan Nabi Muhammad bangun tamadun melalui kepimpinan terpuji

    Renung kembali perjuangan Nabi Muhammad bangun tamadun melalui kepimpinan terpuji

    UMAT Islam diajak merenung kembali sejarah perjalanan hidup dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam dan membangunkan tamadun manusia melalui kepimpinan terpuji.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam juga dituntut memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda, ahli keluarga dan para sahabat.

    “Sempena sambutan ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada setiap 12 Rabiulawal, marilah kita sama-sama merenung kembali sejarah perjalanan hidup dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam dan membangunkan tamadun manusia melalui kepimpinan terpuji.

    “Kita dituntut memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda SAW, ahli keluarga dan para sahabatnya serta berdoa semoga kita termasuk dalam golongan orang yang mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak.

    “Selamat menyambut Maulidur Rasul 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Maulidur Rasul hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, bagi meningkatkan rasa kasih dan sayang kepada Nabi Muhammad, umat Islam dituntut mempelajari sirah dan keperibadian Baginda, mengambil ibrah atau pengajaran, mengamalkan sunah-sunahnya dan menjadikannya sebagai pedoman dalam menjalani kehidupan seharian.

    “Segala amalan ini akan menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada baginda Rasulullah SAW di samping mengukuhkan lagi silaturrahim sesama kita.

    “Semoga setiap amalan kita diterima Allah dan kehidupan kita senantiasa dalam lindungan-Nya, insya-Allah,” katanya.

  • Kesilapan pemimpin UMNO, BN rosakkan imej negara – Muhyiddin

    Kesilapan pemimpin UMNO, BN rosakkan imej negara – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Malaysia terkenal di seluruh dunia bukan hanya kerana pembangunan fizikalnya sahaja tetapi juga dari aspek pembangunan manusia, sosial dan ekonomi.

    Bagaimanapun kata bekas Perdana Menteri itu,  sejak beberapa tahun kebelakangan ini kesilapan beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan kedudukan Malaysia merosot sehingga menjejaskan imej baik selama ini.

    ‘’Lebih mendukacitakan, negara juga semakin rosak sehingga ke tahap memalukan kerana perbuatan tidak amanah, rasuah, tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin. Tindak-tanduk mereka juga menyebabkan kesusahan kepada kehidupan rakyat,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu hari ini merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh, di Pagoh.

    Beliau menegaskan, Bersatu  ditubuhkan dengan tujuan mengembalikan semula kedudukan negara ke tahap yang lebih baik dan rakyat dapat menikmati kekayaan ekonomi negara dengan saksama.

    ‘’Saya percaya Bersatu dan Perikatan Nasional dapat menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat dan negara ini sebagaimana dibuktikan ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

    ‘’Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang keperluan memilih Bersatu dan Perikatan Nasional dalam pilihan raya akan datang bagi mengelakkan musibah yang lebih hebat dan besar berlaku ke atas negara ini,’’ katanya.

    Muhyiddin mengingatkan, jika UMNO dan BN berkuasa semula, segala perangai lama iaitu rasuah, kleptokrasi, salah guna kuasa, dan penyelewengan akan berulang semula.

    ‘’Saya menyeru seluruh ahli Bersatu agar lebih agresif dalam gerak kerja parti terutama dalam menambah bilangan ahli seramai mungkin selain mempersiapkan diri dan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka tidak lama lagi,’’ katanya.

    Hari ini saya ke Pagoh bagi merasmikan Persidangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) Bahagian Pagoh kali keempat untuk tahun 2022

    Dalam ucapan perasmian,  saya menyeru seluruh ahli dan kepimpinan parti di seluruh negara agar terus memperkukuhkan saf perjuangan parti.

    Saya juga mengulangi sekali lagi tentang keberadaan BERSATU dalam kancah politik negara adalah dengan satu matlamat besar iaitu meletakkan negara ke satu tahap yang lebih mulia dan lebih dihormati.

  • Pemandu bot pelancong edar dadah ditahan polis

    Pemandu bot pelancong edar dadah ditahan polis

    POLIS menahan seorang pemandu bot pelancong dan dua nelayan serta merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih satu kilogram bernilai RM160,705 melalui tiga serbuan di Langkawi, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam serbuan pertama pukul 6 pagi di Kampung Baru Sungai Menghulu, pihaknya menahan suspek berusia 42 tahun.

    “Pemeriksaan menemukan dadah disyaki syabu seberat 78.70 gram (g) dan heroin seberat 19.60g dalam bekas berzip dipegang suspek yang juga nelayan.

    “Pada serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Nilam, kira-kira dua jam selepas itu, kami menahan seorang nelayan berusia 46 tahun dan merampas heroin seberat 6.50g, syabu seberat 12.20g dan 1.24g ganja,” katanya pada kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Ketiga-tiga suspek berusia 37, 42 dan 46 tahun.

    Shariman berkata, pada serbuan ketiga di sebuah rumah di Kampung Padang Mengkuang pada jam 9.45 pagi, kami menahan pemandu bot pelancong berusia 37 tahun dan merampas syabu seberat 975.70g serta 2.10g heroin.

    “Jumlah keseluruhan dadah dirampas ialah RM160,705. Hasil ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif Methamphetamine.

    Kes antaranya disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Tersalah pilih pada PRU-15, kleptokrasi dan korupsi akan kembali bermaharajalela

    Tersalah pilih pada PRU-15, kleptokrasi dan korupsi akan kembali bermaharajalela

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    PENGUNDI pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diingatkan supaya tidak memilih UMNO atau Barisan Nasional (BN) kerana jika mereka kembali berkuasa negara akan kembali terjebak dalam masalah kleptokrasi dan korupsi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,
    Malaysia akan kembali seperti sebelum ini, justeru adalah penting untuk pengundi tidak tersalah memilih pada PRU15.

    “Kita perlu menyedarkan mereka jika tidak memberi sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan (baharu) selepas PRU, musibah yang akan dihadapi adalah negara akan jadi jauh lebih teruk lagi. Nauzubillah.

    “Sudah menjadi satu DNA, tindakan-tindakan yang mereka ambil adalah rakus kuasa, sekarang ini kita sama-sama memerintah (kerajaan campuran PN dan BN) untuk menstabilkan keadaan, stabilkan negara dan yang menstabilkan kerajaan ini adalah PN,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik, Tangkak, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu merangkap Ketua Bersatu Bahagian Pagoh berkata, tidak dapat dibayangkan sekiranya UMNO dan BN berkuasa sepenuhnya jika menang PRU-15 sekali gus menyaksikan kleptokrasi dan korupsi akan kembali bermaharajalela.

    “Sudah tentu perangai lama yang buruk dan tak senonoh akan terus dilakukan. Rasuah tidak boleh dibanteras,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, Muhyiddin akan sekali lagi menjadi Perdana Menteri sekiranya menang di kerusi Parlimen Pagoh pada PRU-15.

    Justeru kata Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pagoh itu, amat penting untuk pastikan PN menang pada PRU-15.

    “Mari sama-sama berkempen bantu saya dengan bekerjasama untuk pastikan kemenangan PN. Kalau PN menang maka Perdana Menteri adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujar bekas Menteri Besar Johor itu.

  • Pengamal ilmu kebatinan sesat di Pulau Besar

    Pengamal ilmu kebatinan sesat di Pulau Besar

    SEORANG wanita penjual sayur yang juga pengamal ilmu kebatinan bertapa seorang diri di Pulau Besar di Melaka, tersesat di pulau tersebut.

    Namun wanita itu bernasib baik apabila berjaya menghubungi pasukan penyelamat sebelum diselamatkan pada pukul 10.45 malam kelmarin, berhampiran sebuah gua di situ.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 37 tahun yang meniaga di pasar malam itu sudah beberapa kali datang sendirian ke Pulau Besar bagi tujuan perubatan yang mensyaratkannya mengelilingi pulau berkenaan enam kali.

    Menurutnya, pada hari kejadian mangsa bercadang bermalam di Surau Pulau Besar bagi tujuan perubatan batin dan mengelilingi pulau itu buat kali keempat.

    “Siasatan mendapati wanita itu pergi ke Pulau Besar menaiki bot nelayan melalui Jeti Anjung Batu, Merlimau jam 8 pagi kelmarin dan memberitahu nelayan akan pulang pagi ini (semalam).

    “Awalnya dia bercadang berjalan mengelilingi Pulau Besar mulai tengah hari sehingga senja sebelum bermalam di Surau Pulau Besar.

    “Ketika berjalan menuruni kawasan bukit berbatu di Gua Yunus pulau itu, mangsa hilang arah sebelum menelefon MERS (Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia) 999 untuk bantuan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurut Christopher mangsa berasal dari Bukit Rambai, Melaka, ditemui pasukan penyelamat pada pukul 10.45 malam sebelum dibawa ke Jeti Anjung Batu, Merlimau.

  • Muhyiddin bimbang selepas bentang bajet tapi tak dibahas pula

    Muhyiddin bimbang selepas bentang bajet tapi tak dibahas pula

    SPEKULASI pembubaran Parlimen pada masa terdekat bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang sekiranya Bajet 2023 yang dibentang semalam tidak akan dibahaskan.

    Bekas Perdana Menteri Kelapan itu berkata sekiranya tiada perbahasan kerana Parlimen dibubarkan bakal menyebabkan pelbagai tanggapan boleh dibuat sama ada ia belanjawan untuk rakyat atau sekadar gula-gula pilihan raya daripada kerajaan.

    “Saya takut nanti jangan pula lepas bentang bajet tak bahas, susah nak ramal. Kalau tak bahas pula saya tak boleh nak andaikan ini bajet apa.

    “Tapi kalau dibahaskan sampai lulus pun selepas itu pilihan raya diadakan, macam mana keadaan?” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Bahagian Bersatu Pagoh di Dewan Geliga, Tangkak, hari ini.

    Jelas Muhyiddin, sekiranya bajet terbesar dalam sejarah negara dibentangkan semalam tidak dibahaskan sukar untuk menjangkakan sama ada ia realistik dan atau tidak boleh dilaksanakan kerana keadaan yang mencabar sedang dihadapi negara ketika ini

    “Berapa kerajaan harus pinjam hanya nak menampung pembayaran gaji, operating expenditure (perbelanjaan operasi), dari segi dasar fiskal, itu tidak baik.

    “Ya, bermakna kita terpaksa pinjam sana pinjam sendiri, cari mana untuk bayar gaji. Pasal gaji bukan berkurangan, pencen tidak berkurangan.

    “Ia meningkat dan bertambah setiap tahun. tapi hasil negara? Merosot,” katan yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

    Bagaimanapun, Muhyiddin sedikit sangsi sama ada belanjawan negara yang dibentangkan semalam dapat dilaksanakan pada ketika negara diramal berdepan kemelesetan pada tahun depan.

    “Ekonomi agak merosot, walaupun disebut pertumbuhan tapi Menteri Kewangan pun kata kalau tahun ini lapan peratus, tahun depan sudah merosot.

    “…tapi saya kurang pasti sama ada itu boleh dibuat,” katanya lagi.

    Dalam Bajet 2023, sebanyak RM94.3 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, yang tertinggi setakat ini, berbanding peruntukan untuk 2022 sebanyak RM71.2 bilion.

    Di bawah perbelanjaan ini, peruntukan yang disalurkan kepada pertumbuhan ekonomi meningkat dua peratus, mengambil hampir satu perlapan daripada jumlah perbelanjaan pembangunan.

  • Bajet 2023 sukar dilaksana, PN tawar lebih baik jika menang PRU15-Muhyiddin

    Bajet 2023 sukar dilaksana, PN tawar lebih baik jika menang PRU15-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan kemampuan kerajaan dalam melaksanakan Bajet 2023 kerana melibatkan peruntukan yang besar.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, bajet itu dilihat sukar direalisasikan dalam keadaan pendapatan kerajaan dan ekonomi semakin merosot.

    Sedangkan kata bekas Perdana Menteri itu, jumlah peruntukan bajet berkenaan dan perbelanjaan kerajaan semakin bertambah.

    Beliau tidak mahu bajet tersebut sekadar menjadi ‘halwa telinga’ dan gula-gula untuk pilihan raya umum (PRU).

    “Saya kurang pasti keupayaan kerajaan untuk mengurus bejet berkenaan kerana yang tinggal untuk pembangunan jauh lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    “Saya sendiri masih kurang faham untuk bajet kali ini dan akan meneliti dengan lebih mendalam sama ada yang dijanjikan boleh dilaksanakan dan bukannya bajet pilihan raya sahaja,” katanya.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik Tangkak, hari ini.

    Bajet 2023 yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berjumlah RM372.3 bilion meningkat berbanding Bajet 2022 sebanyak RM332.1 bilion.

    Muhyiddin beranggapan, susah untuk bajet berkenaan direalisasikan dalam masa setahun dan mungkin mampu diterjemahkan satu atau dua bulan sahaja tetapi tidak pasti sama ada kerajaan mempunyai peruntukan untuk tempoh setahun.

    “Saya akan teliti dengan lebih mendalam kandungan (bajet) itu samada betul ke apa yang dijanjikan itu boleh dilaksanakan ataupun besok cakap tapi tak boleh dilaksanakan.

    “Saya tidak fikir itu suatu yang wajar, saya tak nak kata ini belanjawan pilihan raya ataupun tidak kerana telah dibentang, sekarang mungkin orang kata belanjawan pilihan raya,” ujar beliau.

    Muhyiddin berkata, PN harap dapat memberi tawaran yang lebih baik untuk rakyat dalam bajet tersebut sekiranya menang PRU-15.

    “Sekiranya PN mentadbir negara dan menang pilihan raya, kita bukan setakat nak melaksanakan perkara itu, kalau ada perkara yang perlu kita perbaiki dan perlu ditambah baik daripada segi strategi, pengurusan kewangannya dan tumpuan fokus kumpulan kumpulan tertentu, kita akan laksana jauh lebih baik daripada itu.

    “Apa yang agak kurang pasti ialah tentang keupayaan sebenar kerajaan untuk mengurus belanjawan itu kerana sebahagian besar peruntukan itu ialah untuk membayar gaji ‘operating expenditure’ dan berbaki lagi untuk pembangunan yang agak jauh lebih kecil,” katanya.