SEORANG wanita warga asing ditahan polis selepas mengugut suaminya menggunakan sebilah pisau di Taman Tasik Tambahan, Ampang pada 6 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, dalam kejadian pukul 6 pagi itu, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun telah berselisih faham dengan suspek.
Beliau berkata, suspek telah meminta wang sebanyak RM5,000 daripada mangsa untuk pulang ke kampung.
“Mangsa yang bekerja sebagai peniaga mengatakan tidak mempunyai wang yang diminta sebelum suspek mengacukan pisau ke arah muka mangsa.
“Suspek juga mengatakan akan sodok mulut mangsa dengan pisau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, suspek berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan pada pukul 9 malam kelmarin di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.
Turut dirampas sebilah pisau yang digunakan semasa kejadian.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan bebas dari kesalahan dadah,” ujarnya, lapor Utusan TV.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
SEORANG pereka grafik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Sean Edward Kenneth Quinn, 30, yang sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin, pagi ini.
Pengakuan tertuduh tidak direkodkan memandangkan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Utusan TV.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian kekasihnya yang merupakan seorang penolong pengurus sebuah restoran, Nurin Najmina Mohd Radzuan berusia 25 tahun.
Sorang pereka grafik, Sean Edward Kenneth Quinn, 30, dituduh menyebabkan kematian teman wanitanya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Sorang pereka grafik, Sean Edward Kenneth Quinn, 30, dituduh menyebabkan kematian teman wanitanya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Sareeka Balakrishnan sementara tertuduh yang juga berdarah kacukan Kanada itu diwakili oleh Vivek Sukumaran.
Mahkamah menetapkan 25 September depan bagi sebutan semula kes.
Beberapa jam sebelum kejadian, mangsa dan tertuduh difahamkan bertengkar sebelum mangsa ditemui tidak bernyawa dipercayai terjatuh dari tingkat 10 kondominium itu.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyoal-siasat seorang bekas menteri kabinet bagi membantu siasatan berhubung penahanan dua ahli perniagaan yang terkenal dalam mengedar filem India dan membawa masuk artis dari negara itu untuk membuat persembahan di Malaysia.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa seorang ahli perniagaan yang juga adalah seorang ahli politik dari Negeri Sembilan itu turut ditahan dalam operasi tersebut.
Suspek yang adalah ahli sayap bukan anggota sekutu Perikatan Nasional itu sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.
Malaysiakini telah menghubungi menteri kabinet berkenaan untuk mendapatkan ulasan.
Bagi dua suspek pertama, FMT menamakan seorang daripada mereka sebagai Abdul Malik Dasthigeer, pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa suspek kedua pula adalah juga pengedar filem yang pada awal tahun ini mengadakan konsert yang menampilkan komposer muzik Tamil terkemuka dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu utama.
Syarikat suspek kedua juga mengedarkan filem biografi Perdana Menteri ‘Anwar: The Untold Story.’
Menurut sumber, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Sumber itu mendedahkan bahawa agensi antirasuah itu telah membekukan aset bernilai lebih RM300 juta sementara menunggu siasatan.
Lebih 30 individu termasuk ahli keluarga dan rakan suspek telah dipanggil untuk disoal siasat.
POLIS Pulau Pinang menahan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah pusat hiburan, di Georgetown kelmarin kerana disyaki positif dadah jenis THC dan Benzo.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka yang berusia antara 22 hingga 27 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang menjalankan operasi di pusat hiburan itu kira-kira pukul 2.15 pagi.
Jelas beliau, dalam pemeriksaan di dalam pusat hiburan tersebut, polis telah menahan seramai 50 lelaki dan 35 wanita tempatan untuk dijalankan pemeriksaan air kencing.
“Hasil ujian air kencing itu mendapati dua lelaki serta seorang wanita terbabit positif pelbagai jenis dadah iaitu THC dan Benzo,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Soffian, kesemua tangkapan ditahan reman mengikut Seksyen 117 kanun prosedur jenayah selama satu hari pada hari sama untuk siasatan dan telah dijamin polis.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari tiga tahun.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah semasa mengunjungi pusat hiburan,” katanya.
PEMILIHAN semula Najwan Halimi bertanding di Kota Anggerik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor memberi gambaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti yang ‘cakap tidak serupa bikin’.
Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, Najwan belum dikenakan tindakan disiplin selepas mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang calon PRN baru-baru ini.
“Pemimpin PKR itu membuat hantaran berkenaan dalam satu kumpulan WhatsApp susulan pengumuman Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencalonkan aktivis sosial, M. Sivaranjani untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.
“Baru-baru ini timbul kontroversi, Najwan mengeluarkan komen berbaur perkauman dan ucapan itu menyinggung perasaan rakyat terutamanya kaum India.
“Ketika rakyat menunggu keputusan Lembaga Disiplin PKR untuk memutuskan tindakan disiplin, PKR mengumumkan pencalonan penggal kedua Najwan sebagai calon di Kota Anggerik.
“Ini memang sikap kerajaan Madani, cakap tak serupa bikin dan bersikap angkuh, tidak kira apa keluhan rakyat, kepentingan politik diutamakan dulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, perkara sedemikian tidak akan berlaku dalam gabungan parti yang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN).
“Kami (dalam PN) tidak akan membenarkan perkara ini berlaku apatah lagi menaikkan orang macam ini sebagai calon, ini terang-terang prejudis dan rasis terhadap kaum India,” katanya.
Ujarnya, dalam satu Kongres PKR, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah berjanji untuk mempertahankan keadilan ke atas rakyat yang ditindas dan kata beliau negara ini adalah tempat untuk semua rakyat.
“Inilah masanya untuk membuktikan tekad tersebut, bukan sekadar gimik di atas pentas sahaja.
“Memandangkan kepimpinan parti PKR ambil sikap tidak endah, sekarang keputusan itu ada di tangan pengundi,” katanya, lapor Sinar Harian.
ABDUL Malik Dasthigeer, atau lebih dikenali sebagai Dato Malik telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.
Sumber yang rapat dengan individu itu berkata, dia ditahan awal pagi ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
“Dia masih disoal siasat SPRM dan masih belum dibebaskan,” kata sumber itu, lapor FMT.
Sumber dari SPRM turut mengesahkan perkara itu, sambil berkata, Malik sedang disoal siasat oleh pegawai agensi antirasuah itu
Malik ialah pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.
Beliau dikenali kerana membawa masuk artis dari India untuk membuat persembahan konsert Tamil di Malaysia.
PENYELIA Rancangan Tanah Felda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan salah guna kuasa dengan menyeleweng pembayaran wang kepada 25 peneroka tiga tahun lalu.
Tertuduh, Shahidi Ammar Abd Aziz, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Menurut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Penyelia Rancangan Tanah (G19) yang berperanan sebagai Pegawai Pembayar di Pejabat Felda Pasoh 1, di Jelebu, telah menggunakan jawatannya itu berkait pelaksanaan pembayaran Bayaran Tunai Pendahuluan Tunai (PT) kepada 11 peneroka Felda terbabit untuk mendapatkan suapan untuknya sendiri.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama bagi Bayaran Tunai Paysheet (PS) 09/2020 kepada 14 peneroka Felda sama.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Felda Pasoh 1, pada September dan Oktober 2020, lapor Sinar Harian.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohammad mencadangkan wang jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban.
Shahidi Ammar yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan yang rendah memandangkan dia kini diisytiharkan muflis selain perlu menanggung seorang isteri dan enam anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Hakim turut menetapkan tarikh 24 Ogos bagi sebutan semula dan lantikan peguam.
PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan senarai calon PRN secara berasingan mengikut negeri masing-masing.
Pengarah Komunikasi dan Multimedianya, Datuk Razali Idris berkata, senarai calon bagi DUN Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dijadual berlangsung esok malam.
“Kedah diadakan di Kompleks Pas Kedah, manakala Pulau Pinang di Pejabat Pas Pulau Pinang, Pongsu Seribu sementara Selangor pula di padang awam MBPJ Taman Medan, Petaling Jaya pada jam 8 malam,” katanya, lapor FMT.
Sementara itu, pengumuman calon bagi DUN Kelantan dan Terengganu akan dilakukan pada Khamis masing-masing di dataran Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu dan Masjid Rusila.
“Bagi calon Kelantan, pengumuman calon akan bermula pada 9.30 malam manakala calon Terengganu akan diumumkan pada 8 malam,” katanya.
Bagi DUN Negeri Sembilan, katanya, masa dan lokasi masih belum ditetapkan oleh pucuk pimpinan.
“Calon di setiap negeri akan diumumkan oleh kepimpinan PN negeri masing-masing,” katanya.
JAWATANKUASA Pemandu CSO Platform for Reform menggesa Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican meletak jawatan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selepas diumumkan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN).
NGO itu berkata pelantikan pemimpin politik ke jawatan penting dalam Suhakam menimbulkan persoalan mengenai kebebasan suruhanjaya itu dan keupayaannya berfungsi tanpa sebarang pengaruh luar.
Menurutnya, keberadaan Hasnal dalam institusi Suhakam sesuatu yang membimbangkan apatah lagi partinya sebahagian daripada kerajaan hari ini, selain berpotensi dalam percanggahan kepentingan.
“CSO Platform for Reform menyeru Pesuruhjaya Hasnal untuk menegakkan integriti Suhakam dengan segera meletakkan jawatan.
“Langkah ini penting untuk melindungi kebebasan dan kredibiliti suruhanjaya itu dan menunjukkan komitmen terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia tanpa sebarang kemungkinan kepada percanggahan kepentingan atau ‘conflict of interest’,” menurut kenyataan itu.
Pada 21 Julai, BN mengumumkan Hasnal sebagai calon parti itu bagi DUN Kuang di Selangor.
Pengumuman itu menerima reaksi negatif daripada bekas anggota suruhanjaya itu yang turut mendesak Hasnal melepaskan jawatan pesuruhjaya beliau.
Bekas pesuruhjaya, Jerald Joseph berkata, Hasnal mesti segera mengambil tindakan sedemikian.
Semakan dalam laman sesawang mendapati Hasnal masih lagi pesuruhjaya.
Hasnal antara pesuruhjaya Suhakam dilantik pada Julai tahun lalu, bersama Noor Aziah Awal, bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming, Mary @ Mariati Robert, serta Nazira Abdul Rahim.
KEPUTUSAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membeli 40 unit peranti internet Starlink untuk dipasang di universiti di seluruh negara menjadi tanda tanya bukan sahaja melibatkan kaedah pesanan itu dibuat, tetapi juga mengenai daya saing dalam kedua-dua kualiti dan harga penyedia perkhidmatan internet satelit Amerika Syarikat (AS) tersebut berbanding perkhidmatan internet tempatan.
Dalam media sosial, ramai yang mempersoalkan isu ini mengenai bagaimana keputusan itu dibuat tanpa melalui prosedur yang betul termasuk sama ada liputan yang ditawarkan Starlink berbaloi dengan kos yang tinggi berbanding jalur lebar dan sambungan internet mudah alih di seluruh negara.
Mereka juga mempersoalkan mengapa kampus universiti diberi liputan Starlink, sedangkan mereka sudah mempunyai sambungan internet yang mencukupi.
“Penggunaan Starlink harus ditumpukan kepada menghubungkan mereka yang tidak dapat berhubung. Bukan untuk tempat yang mempunyai infrastruktur dan akses yang tersedia,” kata Arul Prakkash dalam satu kiriman di Facebook, lapor MalaysiaNow.
“Kebanyakan kawasan kampung Orang Asli, kampung, luar bandar, sekolah, Sabah dan Sarawak memerlukan akses itu.
“Jadi menteri dan kerajaan sepatutnya lebih tahu. Mereka tahu ini. Tetapi mahu menumpang nama Elon Musk dan Tesla.
“Pendekatan populis tidak berdasarkan data,” katanya merujuk kepada pertemuan 25 minit secara maya bilionair dari AS itu dengan Anwar awal tahun ini juga menarik publisiti tidak sepatutnya.
Starlink merupakan perkhidmatan internet satelit yang dikendalikan oleh SpaceX milik Musk, menyediakan liputan berasaskan satelit ke lebih 56 negara, dengan rancangan sedang dijalankan untuk mengembangkannya kepada perkhidmatan telefon mudah alih.
Sementara itu, analisis yang diterbitkan laman sesawang hal ehwal semasa tempatan Soya Cincau mempersoalkan kewajaran kerajaan membeli Starlink apabila perkhidmatan gentian optik dan jalur lebar mudah alih sudah menawarkan sambungan yang boleh dipercayai di seluruh negara pada harga yang jauh lebih rendah.
Peranti internet Starlink
“Jika anda melihat pada kos bulanan sahaja, Starlink lebih mahal berbanding jalur lebar gentian optik dan pelan 5G tanpa wayar di pasaran,” katanya sambil memberi contoh pelbagai pakej internet yang ditawarkan di Malaysia.
“Memandangkan satelit adalah sumber terhad, Starlink juga mempunyai Dasar Penggunaan Adil dan kualiti perkhidmatan boleh terjejas berikutan cuaca buruk.”
Portal itu mengatakan rangkaian Digital Nasional Berhad yang dilancarkan pada 2020 oleh perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaik taraf infrastruktur digital negara membuahkan hasil selepas dua tahun, dengan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses kepada jalur lebar yang lebih pantas.
Menjelang akhir tahun lepas, pelan itu mencapai sasaran liputan 4G kepada 97% penduduk, dengan lebih 7.74 juta premis mempunyai akses kepada jalur lebar gentian optik, meningkat daripada hanya 4.96 juta pada September 2020.
Kelajuan internet termasuk perkhidmatan mudah alih pula pada purata 43.46Mbps, jauh melebihi sasaran asal 35Mbps kepada 4G dan 5G.
“Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit Starlink sangat bagus untuk kawasan yang tidak mempunyai akses kepada gentian optik atau liputan 4G/5G dan anda boleh mendapatkan internet berkelajuan tinggi jika anda berada dalam jejak liputan satelit. Tetapi anda perlu membayar lebih daripada pilihan internet lain,” kata laporan itu.
Langganan Starlink berharga AS$120 (kira-kira RM549) sebulan, sebagai tambahan kepada perantinya berharga AS$599 (kira-kira RM2,738).
Menurut laporan itu, mengambil contoh kepada perkhidmatan Starlink di Filipina, syarikat itu menawarkan langganan kira-kira RM226 sebulan manakala perantinya dijual pada harga kira-kira RM1,675.
Namun, menurut portal itu dengan kelajuan muat turun antara 25Mbps dan 100Mbps, ia masih “jauh berbanding apa yang anda boleh dapatkan daripada perkhidmatan 5G dan jalur lebar gentian optik di Malaysia”.
“Jika anda melihat kos bulanan sahaja, Starlink lebih mahal berbanding pelan jalur lebar gentian optik dan 5G tanpa wayar semasa di pasaran.
“Jelas sekali, jalur lebar gentian optik adalah kaedah terbaik kerana ia menyediakan internet tanpa had sebenar dengan kebolehpercayaan terbaik pada harga yang jauh lebih rendah. Rangkaian mudah alih 4G dan 5G ialah pilihan terbaik seterusnya jika anda tidak mempunyai akses kepada gentian optik.”
Pendedahan itu menghangatkan lagi perdebatan di media sosial sama ada ‘keputusan segera’ Anwar membeli 40 unit Starlink sebagai masuk akal atau pun tidak, di mana 10 daripadanya akan diagihkan untuk kampus UiTM.
Satu kiriman di media sosial berkata kampus-kampus ini sudah pun menggunakan gentian optik khusus untuk keperluan internet mereka.
“Bukan jalur lebar biasa. Tiba-tiba membawa sesuatu yang lebih rendah daripada jalur lebar biasa. Seseorang di SKMM mungkin perlu mendidik menteri kita tentang teknologi,” tulis Fendi Fauzi, merujuk kepada suruhanjaya yang ditugaskan memantau perkhidmatan internet Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diketuai oleh Fahmi Fadzil.
“Alangkah malangnya Malaysia mempunyai menteri komunikasi dan multimedia yang buta keupayaan teknologi seperti yang kita sedia ada,” tulis Rafik Majid.
“Jadi anda memberikan internet yang lebih perlahan dengan harga yang lebih tinggi? Dan khususnya kampus mana? Berikannya kepada kampus di Sabah/Sarawak dan kita akan lihat sama ada satelit Elon akan berfungsi dengan baik,” kata Shahira Khairi.
Komen lain pula berbaur sindiran terhadap keputusan Anwar.
“Membazir. Semak dulu, tanya dulu boleh atau tidak,” kata seorang pengguna media sosial.
“BNPL – Beli Sekarang Pikir Nanti,” menyertai komen pengguna lain, dan seorang lagi: “Itulah yang kami panggil pembelian impuls.”
“Kenapa beli Ford Bronco generasi sebelumnya sedangkan anda sudah memiliki Land Cruiser terbaru. Tidak cerdik. Bukan?” kata lagi satu komen.
Dalam pada itu, John Wong mempersoalkan sikap berdiam diri universiti yang sepatutnya menentang ‘langkah membazir’ itu.
“Apatah lagi ia menunjukkan pemahaman yang lemah tentang teknologi. Terutamanya profesor di universiti-universiti ini yang tidak membantah keputusan membazir ini. Ini adalah contoh yang bagus tentang budaya membazir.”
Sementara itu, Shahid Bolsen, seorang warga AS yang kerap menyiarkan ulasan video mengenai isu hangat di beberapa negara, turut mengkritik pembelian Starlink.
“Ia sebenarnya tidak lebih pantas daripada perkhidmatan jalur lebar tetap yang disediakan oleh syarikat internet Malaysia. Dan ia jelas lebih mahal. Starlink juga terkenal kurang dipercayai.”
Katanya pembelian itu tidak masuk akal, sambil menambah ia menunjukkan bahawa “ia benar-benar mewakili arah yang salah”.
“Anda membayar lebih untuk internet yang lebih perlahan dan kurang dipercayai daripada syarikat asing untuk menggantikan internet yang lebih pantas dan lebih dipercayai daripada pembekal domestik? Mengapa? Kerana Elon Musk adalah nama yang berprestij?”
“Apabila Starlink datang ke Nigeria, orang ramai teruja sama seperti Anwar teruja. Tetapi kos sebulan ternyata terlalu tinggi untuk orang yang tinggal di kampung dan kawasan luar. Mengapa anda tidak mengutamakan syarikat anda sendiri?”