Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pejabat PMO di Putrajaya kembali jadi tumpuan media

    Pejabat PMO di Putrajaya kembali jadi tumpuan media

    PEJABAT Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya kembali menjadi tumpuan media seawal pukul 8 pagi ini bagi mengetahui perkembangan terkini situasi politik tanah air.

    Petugas media tempatan berkumpul di hadapan pintu-pintu masuk PMO bagi mendapatkan perkembangan terkini berkenaan khabar angin yang semakin kuat bertiup berkenaan pembubaran Parlimen yang dijangka diumum petang ini.

    Setakat ini, pintu protokol yang menjadi laluan utama Perdana Menteri dibuka meskipun hari ini adalah cuti umum, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan, Ismail Sabri tidak mempunyai sebarang tugasan rasmi pada sebelah pagi namun beliau akan menghadiri perhimpunan Agung MIC ke-76 pukul 2.30 petang di Kuala Lumpur.

    Semalam, akhbar tempatan melaporkan Ismail Sabri dipercayai menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen sebelum baginda berlepas ke London dan pertemuan itu gagal dihidu pihak media.

    Difahamkan satu pertemuan dengan Top 5 UMNO berlangsung malam tadi di Kuala Lumpur.

    Ismail Sabri dijangka mengadakan pertemuan dengan menteri kabinet dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi memaklumkan bahawa beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

    Perkembangan itu sekali gus akan memberi laluan kepada PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

  • Apa yang pasti PRU-15 semakin hampir, bukan semakin jauh

    Apa yang pasti PRU-15 semakin hampir, bukan semakin jauh

    KETUA Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membayangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilihat sudah semakin hampir walaupun tarikhnya belum diketahui.

    “PRU-15 semakin hampir, tak kira bila tarikhnya yang pasti semakin hampir, bukan semakin jauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu sempena persidangan UMNO Bahagian-Bahagian di Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.

    Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, setiap Bahagian UMNO di Sabah sepatutnya sudah melancarkan jentera pilihan raya masing-masing, kata Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

    Tambah beliau lagi, mesyuarat kali ini tidak ada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung.

    “Justeru tumpuan adalah membentuk satu kesatuan yang kukuh dan padu untuk menghadapi PRU-15,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sehubungan itu, Bung Moktar yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mahu setiap Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO di Sabah yang mengadakan mesyuarat kali ini menumpukan kepada persiapan menghadapi PRU-15.

    “PRU-15 kali ini kita membawa misi yang cukup penting untuk menang justeru pendekatan serta cara kita berkerja adalah untuk menang, persediaan logistik, strategi dan pusat pusat daerah mengundi (PDM) yang sudah dibentuk perlu berada pada tahap bersedia untuk menunggu semboyan PRU dibunyikan,” katanya.

  • Ahli Parlimen beri ‘petanda’ Parlimen akan bubar

    Ahli Parlimen beri ‘petanda’ Parlimen akan bubar

    BEBERAPA hantaran dimuat naik ahli Parlimen seperti ‘petanda’ yang menyemarakkan lagi spekulasi pembubaran Parlimen hari ini bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum lebih awal.

    Contohanya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi bercakap mengenai ‘anak bulan’ kelihatan di Putrajaya.

    “Difahamkan anak bulan telah kelihatan dengan jelas di Putrajaya,” katanya ringkas di Facebook merujuk kepada penampakan anak bulan bermulanya Syawal sebelum Hari Raya Aidilfitri.

    “Raya atau ‘pilihan raya’,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming pula berkira-kira sama ada beliau menghabiskan penghujung waktunya semalam sebagai Ahli Parlimen Bangi.

    Kenyataan mereka dalam sosial media timbul di tengah-tengah spekulasi Parlimen akan dibubarkan.

    Sumber tinggi kerajaan memberitahu FMT malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan melakukan pengumuman penting, hari ini, manakala New Straits Times pula melaporkan Ismail akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan pembubaran Parlimen.

    Ong, yang menjadi Ahli Parlimen sejak 2013 (sebelum ini mewakili Serdang yang kemudian Bangi) dalam ciapan di Twitter berbunyi:

    “Malam terakhir sebagai Ahli Parlimen bagi P102 Bangi? Jika benar, menjadi penghormatan berkhidmat kepada pengundi di Balakong, Kajang dan Bangi, sejak empat setengah tahun lalu.”

    Pada Mei, Ong berkata, beliau tidak bercadang menawarkan diri kembali bertanding.

    Dalam ciapan itu katanya, beliau akan berkempen untuk penggantinya bagi mempertahankan kerusi itu kekal milik DAP dan Pakatan Harapan (PH) dengan membuat penandaan kepada peguam Syahredzan Johan, dalam hantarannya.

    Syahredzan, yang juga setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, secara aktif bertemu pengundi di Bangi, kawasan Parlimen terbesar di negara ini membabitkan hampir 300,000 pengundi.

    Dalam perkembangan berasingan, dua menteri berkata, mereka tidak mempunyai maklumat mesyuarat Kabinet akan diadakan pada hari ini atau esok, namun soal pembubaran Parlimen merupakan perkara yang boleh diuruskan sendiri oleh Perdana Menteri.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata “perdana menteri tidak pernah bincang isu ini dengan Jemaah Menteri. Ini budi bicara perdana menteri,” katanya.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiada keperluan bagi Perdana Menteri memanggil mesyuarat Kabinet sebelum membubarkan Parlimen.

    Mengikut undang-undang, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan. Pada 2013 dan 2018, pengundian berlangsung sebulan selepas pembubaran dengan kempen berlangsung dua minggu.

  • Lelaki autistik hilang, SAR gagal menemui sebarang petunjuk

    Lelaki autistik hilang, SAR gagal menemui sebarang petunjuk

    SEORANG lelaki autistik yang hilang sejak minggu lepas di sekitar hutan Gunung Bajo di Lundu, Sarawak, masih lagi tidak ditemukan.

    Operasik mencari dan menyelamat (SAR) individu yang dikenal pasti sebagai IIyas IIIyasa Bujang masih lagi dilakukan sehingga kini.

    Puluhan anggota beruniform serta penduduk kampung digerakkan di sekitar hutan berkenaan bagi mengesan mangsa yang berusia 21 tahun.

    Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah berkata, SAR dilakukan secara bersepadu melibatkan anggota Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

    “Tumpuan adalah di kawasan tiga kilometer persegi, dengan pasukan polis turut menggunakan khidmat anjing pengesan K9 dan dron.

    “Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang semalam, pasukan SAR masih gagal menemui sebarang petunjuk, katanya, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, bomba pada pukul 10.09 malam Rabu lalu telah dimaklumkan tentang kehilangan Illias, di sekitar kawasan tersebut.

    Kata Henderi, pencarian pada hari Ahad dilakukan oleh sembilan kumpulan pencari, termasuk sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am.

  • PM buat pengumuman penting esok…Parlimen dibubarkan?

    PM buat pengumuman penting esok…Parlimen dibubarkan?

    PERDANA Menteri Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat satu pengumuman penting esok, terdapat spekulasi ia berkaitan pembubaran Parlimen.

    Portal FMT melaporkan, jika Parlimen dibubarkan esok, sembilan bulan sebelum penggalnya tamat, pilihan raya umum kemungkinan diadakan pada minggu pertama Nov, berdasarkan amalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum 2013 dan 2018.

    Ismail dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini untuk mendapat perkenan baginda bagi membubarkan Parlimen.

    Satu sumber peringkat tinggi kerajaan yang dihubungi portal itu berkata, beliau tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat mengenai pertemuan itu.

    Bagaimanapun sumber itu memberitahu,”Saya percaya ada satu pengumuman penting dari perdana menteri esok,”.

    Katanya, surat jemputan kepada media berhubung pengumuman itu akan dikeluarkan beberapa jam lagi.

    Terdahulu, New Straits Times melaporkan, Ismail menghadap Yang di Pertuan Agong pada tengah hari ini untuk mendapat perkenan bagi membubarkan Parlimen.

    “Parlimen mungkin dibubarkan seawal-awalnya esok,” kata sumber yang dipetik New Straits Times.

  • Muhyiddin puashati persiapan PN Perak hadapi PRU-15

    Muhyiddin puashati persiapan PN Perak hadapi PRU-15

    TAN Sri Muhyiddin Yassn berpuashati dengan persiapan yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN itu berkata, ketika menghadiri mesyuarat khas PN Perak beliau telah diberi taklimat oleh Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan berpuashati dengan tahap kesiapsiagaan yang dilakukan.

    ‘’Saya merasa gembira dan berpuas hati apabila diberitahu PN Perak sudah memulakan gerak kerja lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15,’’ katanya melalui Facebook beliau hari ini.

    Muhyiddin berkata, mesyuarat turut membincangkan beberapa perkara penting seperti pembahagian kerusi antara parti dan pelantikan jawatankuasa perunding daripada parti-parti komponen PN yang dijangka selesai tidak  lama lagi.

    ‘’Saya jelaskan perkara ini penting supaya persiapan dapat dibuat awal dan semua pihak tahu di mana tempat dan kerusi yang mereka akan tandingi,’’ katanya yang memaklumkan turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Timbalan Pengerusi I,  Razman Zakaria dan Timbalan Pengerusi 2 Datuk See Tean Seang.

    Beliau berkat, dari segi struktur jentera parti kita bersetuju untuk menggunakan hanya Perikatan Nasional dalam hal-hal penyelarasan antara parti.

    Ini bertujuan untuk mengelakkan pembaziran sumber yang ada dan terhad.  Jadi kita putuskan di semua peringkat kita gerakkan jentera di atas nama PN terutama di kawasan-kawasan Parlimen di dan Dewan Undangan Negeri,’’ katanya.

    Beliau turut dibincangkan soal manifesto peringkat  nasional dan bersetuju kalau ada negeri mahu menyediakan manifesto tambahan iaitu tawaran PN untuk peringkat negeri.

    ‘’Saya juga dimaklumkan gerak kerja termasuk Jelajah Prihatin sudah bergerak ke kawasan-kawasan tumpuan yang akan diberi lebih perhatian. Saya berharap segala perancangan gerak kerja yang sudah berjalan ini dapat diperhebatkan lagi menjelang pilihan raya umum nanti,’’ katanya.

  • Anggota polis cedera ditikam bergelut dengan tokan dadah

    Anggota polis cedera ditikam bergelut dengan tokan dadah

    SEORANG anggota polis cedera ditikam di betis dalam pergelutan ketika manangkap seorang tokan dadah di tepi jalan Kampung Paya Mat Insun, Bukit Jenun, semalam.

    Lapor Astro AWANI, Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan empat pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang melakukan operasi di kawasan terbabit pukul 7 petang.

    Beliau berkata, ketika itu anggota polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdiri berhampiran motosikalnya sambil memegang plastik hitam.

    “Anggota menghampiri dan memperkenalkan diri sebagai polis dan ketika cubaan menahannya, suspek terus melepaskan plastik hitam dipegang.

    “Ketika itu suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau yang diselit di pinggang dan menyerang anggota polis.

    “Ketika itu berlaku pergelutan dan anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 20-an mengalami kecederaan di kedua-dua betis akibat ditikam suspek serta bengkak pada tangan kiri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

    Wan Hassan berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan dan siasatan lanjut mendapati plastik hitam dibawanya mengandungi dadah disyaki heroin dan ganja.

    Katanya, suspek kini ditahan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang untuk siasatan lanjut.
    Kes disiasat mengikut Seskyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 186 KK.

  • Suami isteri disyaki hisap gam sudah dipanggil polis

    Suami isteri disyaki hisap gam sudah dipanggil polis

    LELAKI disyaki memandu kereta sambil menghisap gam di Lebuh Ayer Keroh menghala ke Banda Hilir, baru-baru ini, sudah dipanggil polis untuk tindakan lanjut.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, tindakan pemandu berusia 33 tahun itu dikesan pihaknya kira-kira 4 petang, Jumaat lalu, menerusi video 17 saat yang dimuat naik di Instagram.

    Bagaimanapun katanya, masa dan tarikh sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, sebelum risikan dibuat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

    “Kira-kira 11 malam keesokan harinya, pihak polis kemudian pergi ke rumah di Kampung Bukit Pegoh, Pernu, dan berjumpa dengan pemilik kereta yang tular bagi membuat pemeriksaan.

    “Susulan daripada itu, polis berjaya mengesan pemandu yang juga menantu kepada pemilik kereta dan dua penumpang iaitu isteri berusia 23 serta kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, lalu dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, isteri pemandu itu menafikan mereka menghisap gam selain ujian saringan air kencing yang dijalankan keatas kedua-dua mereka, didapati negatif.

    “Kedua-dua mereka kemudian dibebaskan sejurus soal siasat selesai dijalankan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Christopher berkata, susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas1959.

    “Kertas siasatan ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Kereta dilanggar dari belakang: Lelaki maut tercampak 2 meter

    Kereta dilanggar dari belakang: Lelaki maut tercampak 2 meter

    SEORANG lelaki maut akibat tercampak keluar daripada kereta dipandunya yang dilanggar daripada belakang dan terbabas di Kilometer 37.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) di Kulai, pagi tadi.

    Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, pemandu Perodua Viva berusia 42 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan yang turut membabitkan tiga kereta.

    Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Tok Beng Yeow, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 6.10 pagi berhubung kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu dua Perodua Viva dan sebuah Proton Persona.

    Katanya, kereta dipandu mangsa dipercayai dilanggar daripada belakang oleh Proton Persona dipandu seorang lelaki dari arah sama.

    “Pelanggaran itu menyebabkan kereta Perodua Viva terbabit terbabas ke kiri jalan.

    “Pada masa yang sama, datang sebuah lagi Perodua Viva melanggar bahagian belakang Proton Persona,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Beng Yeow berkata, berikutan itu pemandu Perodua Viva yang terbabas ke kiri jalan dan berusia 42 tahun, parah di bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

    Katanya, pemandu sebuah lagi Perodua Viva wanita berusia 37 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan, manakala, pemandu Proton Persona dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh orang awam.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Bahtiar Selamat berkata, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan berhubungan kemalangan itu dan bergegas ke lokasi bagi membantu menyelamatkan mangsa kemalangan yang dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan sejauh kira-kira dua meter.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.23 pagi dan seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Seorang daripada pemandu Perodua Viva tercampak sejauh dua meter dari keretanya akibat kemalangan terbabit,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini.

    Operasi yang diketuai Komander Operasi Fauzi Che Deris itu ditamatkan pada pukul 7.30 pagi.

  • PRU-15: PN kekal penyandang terbaik mampu pertahan kerusi

    PRU-15: PN kekal penyandang terbaik mampu pertahan kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengekalkan penyandang terbaik yang mampu mempertahankan kerusi mereka sebagai calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan bakal berlaku perubahan calon di satu atau dua kerusi ditandingi gabungan berkenaan.

    Namun tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, perkara tersebut akan dinilai apabila tiba PRU-15 nanti.

    “Kita akan menilai apabila sampai masa pilihan raya sama ada penyandang itu memang penyandang yang terbaik dan boleh mempertahankan kerusi. Pastinya kita akan pertahankan.

    “Tetapi kemungkinan di satu dua tempat di mana perlu ada perubahan, ia akan dinilai kepemimpinan tertinggi PN. Itu kita akan teliti dan buat keputusan kemudian. Prinsipnya ialah soal kebolehmenangan calon,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Perak di Pejabat PN Perak di Pusat Perniagaan Simee di sini, hari ini.

    Menyentuh mengenai manifesto gabungan itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN Pusat akan menerima sekiranya ada cadangan tambahan dari PN peringkat negeri untuk dimasukkan dalam manifesto PN.

    “Tadi kita juga berbincang soal manifesto, di peringkat nasional kita sudah memulakan gerak kerja dan kita juga bersetuju kalau ada cadangan PN di peringkat negeri nak menyediakan satu lagi tambahan yang lebih fokus kepada soal tawaran PN untuk peringkat negeri.

    “Maka, mereka boleh menyediakan dan boleh berbincang dengan pihak kepemimpinan Pusat supaya dapat diberikan ‘endorsement’,” katanya.