Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pas muktamadkan pembubaran DUN tiga negeri diperintahnya esok

    Pas muktamadkan pembubaran DUN tiga negeri diperintahnya esok

    PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pas dijangka diketahui selepas mesyuarat Pas Pusat di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur, esok.

    Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tiga negeri itu iaitu Terengganu, Kedah dan Kelantan akan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    “Hasil mesyuarat Jawatankuasa harian Pas pada pagi Selasa di Kuala Lumpur akan dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat di Pejabat Agung Pas esok (Khamis).

    “Jadi, keputusan sama ada DUN dibubarkan atau tidak akan diberitahu esok kerana tidak ada lagi mesyuarat (berhubung perkara ini) selepas ini. Apa-apa keputusan kita akan tahu esok,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, setakat ini mesyuarat bagi menetapkan calon-calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) belum diputuskan.

    “Setakat ini belum ada lagi senarai calon. Biasanya kita akan sediakan senarai calon dengan mengetengahkan tiga nama dan segala keputusan akan diputuskan di peringkat pusat.

    “Saya sendiri pun tidak tahu sama ada disenaraikan atau sebaliknya. Saya hanya serahkan segalanya kepada parti untuk diputuskan,” jelas beliau, sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Sebelum ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu berkata, Terengganu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

    Tegas beliau, DUN Terengganu tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 walaupun berlaku pembubaran di peringkat Parlimen.

  • Ismail Sabri contoh PM paling lemah, kata Faiz Na’aman

    Ismail Sabri contoh PM paling lemah, kata Faiz Na’aman

    TINDAKAN Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 12 menteri PN sebagai punca diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai tidak bertanggungjawab.

    Malah, Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Faiz Na’aman berkata, ia adalah suatu fitnah dan Ismail sewajarnya bertanggungjawab terhadap cadangannya untuk membubarkan Parlimen kerana itu kuasa Perdana Menteri yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

    “Lebih bermaruah lagi jika beliau merasakan bahawa beliau tidak lagi mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen maka beliau seharusnya mengumumkan perletakan jawatan sebagai PM, bukan berlagak majoriti mohon pembubaran Parlimen dari Istana Negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, adalah wajar Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), membuat teguran keras terhadap kepimpinan Ismail sebelum ekonomi negara menjadi lebih parah lagi dan nasi menjadi bubur.

    Namun katanya, ia dibalas pula dengan membubarkan Parlimen, bukannya terus memperbaiki ekonomi rakyat.

    “Itulah dia contoh PM yang paling singkat dan paling lemah dalam sejarah Malaysia,” katanya yang merujuk kepada desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terhadap Ismail Sabru untuk membubarkan Parlimen, sebelum ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Ismail Sabri mendedahkan tindakan Muhyiddin dan 12 menteri PN mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong membuatkan baginda kecewa dengan perkembangan politik semasa.

    Perdana Menteri dilaporkan berkata, pembubaran Parlimen semalam adalah rentetan daripada tindakan Muhyiddin dan 12 menteri terbabit yang menunjukkan sikap tidak wajar. 

    Mengulas lanjut Faiz berkata, rakyat tidak lupa bagaimana kerajaan Muhyiddin sebelum ini yang bertungkus-lumus menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19, diserang dari pelbagai arah oleh beberapa pemimpin UMNO atas motif politik semata-mata.

    “Malah kepimpinan UMNO terus melaungkan “NO BERSATU” dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAU) mereka dua tahun berturut-turut ketika membentuk kerajaan bersama dengan PN. 

    “Sampaikan UMNO sendiri rela menjatuhkan kerajaan negeri mereka sendiri di Melaka dan Johor agar Pilihanraya Negeri (PRN) dapat dilakukan ketika wabak masih menular dan ketika musim banjir. Adakah itu masih salah PN,” soalnya, lapor SatuBerita. 

  • Jho Low kenalkan saya pada Najib, bekas pegawai bank beritahu mahkamah

    Jho Low kenalkan saya pada Najib, bekas pegawai bank beritahu mahkamah

    SEORANG bekas pengarah urusan Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Datuk Seri Najib Razak bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah orang yang memperkenalkannya kepada bekas Perdana Menteri.

    Menurut Cheah Tek Kuang, dia pergi ke rumah Najib di Langgak Duta sekitar Januari 2011 untuk mendapatkan tandatangannya bagi borang permohonan akaun.

    Tek Kuang yang sebelum ini menyatakan menaiki kereta secara konvoi ke rumah Najib, memberitahu mahkamah, dia melihat Low keluar dari salah satu kereta lain sebaik tiba di Langgak Duta.

    “Apabila saya masuk ke dalam rumah, Jho Low memperkenalkan saya kepada Perdana Menteri (ketika itu),” katanya dalam jawapan kepada Pendakwa Raya Ad Hoc Gopal Sri Ram, sambil menambah bahawa Low pergi selepas perkenalan itu.

    Sri Ram: Adakah anda memberitahu mahkamah bahawa anda gementar (bertemu Najib)?

    Cheah: Saya rasa tidak selesa berurusan dengan mana-mana VIP.

    Katanya, dia beredar serta-merta sebaik saja Najib selesai menandatangani borang itu.

    “Saya tidak tahu di mana dia (Low) berada (selepas perkenalan). Saya rasa dia ada di dalam rumah,” katanya ketika ditanya mengenai keberadaan Low ketika dia beredar,” lapor FMT.

    Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

    Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • Pemandu lori mengaku salah pukul adik ipar, didenda RM3,000

    Pemandu lori mengaku salah pukul adik ipar, didenda RM3,000

    SEORANG pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka hari ini, selepas mengaku bersalah memukul sehingga cedera adik iparnya menggunakan sebatang kayu.

    M. Jagan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan ‘soft tissue injury’ terhadap M. R. Livesh, 29, menggunakan sebatang kayu di Plaza Mahkota 11 di Melaka, kira-kira pukul 3.30 petang pada 31 Mei lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

    Tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari merayu hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh telah menyesali kesalahan yang dilakukan.

    Selain itu, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu polis hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara isteri serta tiga anaknya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

  • Pendengaran semakan kehakiman Najib 19 Oktober

    Pendengaran semakan kehakiman Najib 19 Oktober

    PROSIDING pendengaran bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat ditetapkan pada 19 Oktober ini.

    Tarikh berkenaan ditetapkan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid ketika prosiding pengurusan kes yang dihadiri peguam Persekutuan (FC), M. Kogilambigai yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri itu.

    Kogilambigai berkata, mereka memerlukan masa untuk meneliti permohonan Najib selaku pemohon.

    “Kami memerlukan masa untuk mengkaji penghujahan itu dan kami akan memaklumkan kepada mahkamah sekiranya ada sebarang bantahan.

    “Tidak timbul isu yang mendesak kerana Parlimen telah dibubarkan pada Isnin lalu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, keadaan ini agak mendesak kerana Najib mempunyai hak untuk ke Parlimen.

    “Memandangkan pembubaran telah berlaku, ada isu undang-undang yang akan ditentukan oleh mahkamah.

    “Ia termasuk sama ada Najib akan menghadiri sesi penamaan calon atau boleh dicalonkan. Saya mencadangkan permohonan itu didengar pada Jumaat ini,” kata peguam itu.

    Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    Pada 5 Oktober lalu, media melaporkan, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin lalu.

    Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

  • KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

    KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni.

    Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional.

    “Ingatlah bahawa generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat.

    “Apabila diberi amanah, laksanakan sebaiknya demi memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

    Pengetua dan Guru Besar sekolah menengah agama merakam gambar kenangan bersama Dr Radzi.

    Pada hantaran itu, beliau berkongsi kehadirannya pada Majlis Perasmian Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM ke-6 tahun 2022 di Subang Jaya malam tadi.

    Majlis itu turut disertai 400 orang Pengetua dan Guru Besar serta pegawai KPM.

    Mengulas lanjut, Radzi menjelaskan, dalam konteks pengurusan sekolah agama, peranan pengetua dan guru besar amat penting dalam menerajui kepimpinan sekolah dan melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan.

    Menurutnya, mereka juga berperanan membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan.

    “Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pengetua dan guru besar SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) dan SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan).

    “Semoga terus istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan,” tambahnya.

  • Gerakan gesa Pulau Pinang turut bubar DUN elak pembaziran tenaga, wang

    Gerakan gesa Pulau Pinang turut bubar DUN elak pembaziran tenaga, wang

    PARTI Gerakan menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow perlu serius mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan PRU-15 pada masa yang sama bagi mengelak menyusahkan rakyat dan membazirkan wang.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, pilihan raya negeri serentak itu juga bagi memastikan tidak berlaku pembaziran tenaga kerja, sumber material dan sumber sosial.

    “Ia juga bagi memberi peluang yang adil kepada penduduk Pulau Pinang untuk membangunkan sistem demokrasi tanpa perlu keluar mengundi untuk pilihan raya negeri dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi.

    “Adalah kuasa mutlak Ketua Menteri Pulau Pinang untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri dengan menasihati Yang Dipertua Pulau Pinang supaya membubarkan DUN.

    “Kon Yeow tidak perlu patuh kepada keputusan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Tong Keong, jika alasan tidak mengadakan pilihan raya negeri pada masa sama dengan PRU-15 semata-mata untuk mengelakkan banjir dan bukan kerana agenda politik, maka orang ramai akan tertanya-tanya sama ada PH juga tidak akan menyertai PRU-15.

    “Apa bezanya jika PH hanya menyertai pilihan raya Parlimen tetapi tidak menyertai pilihan raya negeri,” soalnya.

    Beliau turut menarik perhatian yang mana banjir monsun pada setiap akhir tahun secara amnya lebih teruk di negeri-negeri Pantai Timur berbanding negeri lain.

    “Mungkin hujan akan berlaku di Pulau Pinang, tetapi ia tidak begitu serius sehinggakan pilihan raya tidak boleh diadakan,” katanya.

  • MPN,MASA anjur Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial esok

    MPN,MASA anjur Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial esok

    MAJLIS  Pemulihan Negara (MPN) bersama Institut Masa Depan Malaysia buat julung kalinya akan menganjurkan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial, di Putrajaya, esok

    MPN dalam satu kenyataan berkata, seminar itu menampilkan barisan pembentang kertas penyelidikan dan moderator terkemuka bagi mengupas isu dan berkongsi hasil penyelidikan mereka dalam seminar ini.

    Perasmian dan ucaptama akan disempurnakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi MPN merangkap Pengerusi MASA. Seminar akan bermula pada 7.30 pagi hingga 5 petang. Mereka yang mahu menyertai seminar itu boleh mendaftar menerusi pautan: https://bit.ly/SeminarKebangsaanPemulihanNegara

  • SPRM tahan wanita sogok pegawai PGA RM800

    SPRM tahan wanita sogok pegawai PGA RM800

    SEORANG wanita yang cuba menyogok wang sebanyak RM800 kepada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) supaya tidak diambil tindakan undang-undang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 5.40 petang semalam.

    Wanita tempatan berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah Cawangan Tawau.

    Menurut sumber, suspek cuba mengelak daripada dikenakan tindakan kerana cuba membawa keluar barang kawalan ke Filipina.

    Suspek dipercayai memberi wang rasuah berjumlah kira-kira RM800 kepada pegawai PGA yang sedang bertugas di Pulau Mataking, Semporna.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

    “Tiada permohonan reman dibuat dan suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin pada hari yang sama.

    “Hasil tangkapan ini adalah kerjasama antara PGA dan SPRM Sabah Cawangan Tawau dalam usaha membanteras rasuah di kawasan berkenaan,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

    Sehubungan itu, Karunanithy mengingatkan orang ramai supaya tidak menawarkan atau memberi sebarang bentuk sogokan kepada pejawat awam khususnya pegawai penguat kuasa kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

    “Penjawat awam juga wajib membuat laporan kepada SPRM sekiranya timbul sebarang aktiviti sogokan kerana kegagalan untuk berbuat demikian juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Bubar Parlimen musim Deepavali bukti MIC ‘pak turut’ UMNO

    Bubar Parlimen musim Deepavali bukti MIC ‘pak turut’ UMNO

    PEMBUBARAN Parlimen pada musim Deepavali membuktikan MIC sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada kehendak UMNO, kata Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Thiban Subramaniam.

    Thiban berkata dia amat kecewa dan kesal kerana pembubaran Parlimen ini berlaku hanya dua minggu sebelum perayaan Deepavali.

    “MIC yang seringkali melaungkan mereka adalah pejuang masyarakat India, kini bersekongkol dengan pemimpin UMNO yang rakus kuasa serta menjadi ‘pak turut’.

    “Pembubaran parlimen semasa perayaan Deepavali jelas membuktikan #KeluargaMalaysia Ismail Sabri hanya retorik politik,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

    Semalam, Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pembubaran parlimen ke-14, memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari.

    Thiban menambah bahawa terdapat desas-desus yang mengatakan kemungkinan besar penamaan calon akan diadakan pada 22 Oktober, iaitu dua hari sebelum perayaan Deepavali.

    “Dalam kesibukan menyambut perayaan Deepavali, kempen PRU pula akan dimulakan tanpa menghiraukan calon mahupun pengundi masyarakat India.

    “Dalam ucapan perutusan khas pembubaran Parlimen, Ismail Sabri telah mendabik dada melaungkan slogan #KeluargaMalaysia yang kononnya mengambil kira kepentingan semua rakyat Malaysia.

    “Namun, realitinya pimpinan UMNO dan Barisan Nasional langsung tidak menghiraukan dan menghormati sentimen dan kepentingan masyarakat India yang bakal menyambut perayaan Deepavali,” katanya.

    Thiban juga berkata pembubaran Parlimen tidak akan berlaku sewaktu sambutan Aidilfitri mahupun Tahun Baru Cina kerana ia akan membawah impak negatif kepada UMNO dan BN.

    “Namun tindakan mereka membelakangkan sambutan Deepavali jelas membuktikan mereka langsung tidak mempedulikan undi masyarakat India,” katanya.