Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘’Saya tidak kisah dilabel ‘anti-Semitik’, Dr.Mahathir bidas akhbar pro-Zionis

    ‘’Saya tidak kisah dilabel ‘anti-Semitik’, Dr.Mahathir bidas akhbar pro-Zionis

    TUN Dr Mahathir Mohamad mempertahankan penentangannya terhadap Israel selepas sebuah akhbar pro-Zionis yang berpangkalan di United Kingdom (UK) menyiarkan laporan mengkritik lawatan bekas Perdana Menteri itu ke Britain baru-baru ini di mana beliau berucap pada beberapa acara yang dianjurkan oleh umat Islam tempatan serta badan pemikir politik.

    Sebelum laporan tersebut diterbitkan pada 13 Julai, The Jewish Chronicle, yang dilihat sebagai lidah kepada kerajaan Israel, menghubungi Dr. Mahathir untuk memberikan respons terhadap dakwaan beliau “anti-Semitik” berhubung ulasan bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mengenai Zionisme dan penubuhan negara Israel. 

    Dr. Mahathir dalam jawapannya mengecam akhbar itu, mengatakan ia sengaja menghantar e-mel kepadanya pada saat-saat akhir kerana ia “sebenarnya tidak mahu saya memberikan jawapan”.

    “Saya akan memberikan jawapan saya kepada The Jewish Chronicle,” tulisnya, lapor MalaysiaNow.

    Dalam jawapan enam muka surat yang disiarkan di Facebooknya, Dr. Mahathir menyelar penyokong Israel yang berhujah tanah Palestin adalah milik orang Yahudi. 

    “Tuntutan anda ke atas tanah Palestin adalah kerana seribu atau lebih beberapa tahun dahulu anda tinggal di sana. Tuntutan itu bukanlah asas untuk orang mengambil alih tanah yang kemudiannya didiami oleh orang lain. Orang Melayu kehilangan empat negeri Melayu kepada Thailand, satu kepada Indonesia. Singapura, sebahagian daripada tanah Melayu kini pada dasarnya adalah sebuah negeri kaum Cina yang merdeka.

    “Bekas penduduk dan rakyat negeri-negeri ini, iaitu orang Melayu, tidak menuntut hak untuk menubuhkan negeri milik mereka semata-mata kerana tanah itu pernah menjadi milik mereka,” tulis Dr. Mahathir. 

    Beliau berkata daripada memberikan empati terhadap penderitaan mereka semasa kekejaman Nazi, orang Yahudi kini menindas rakyat Palestin.

    “Dengan segala keangkuhan dan kekejaman anda, bagaimana saya boleh terus bersimpati atas penderitaan anda semasa holokus. Ia adalah simpati yang tidak kena dan sia-sia,’’ katanya katanya sambil memberikan beberapa contoh sejarah di mana tanah yang diambil alih oleh warga asing, termasuk apa yang berlaku di negara ini.

    Dr. Mahathir juga mempertahankan keputusannya pada 1994 untuk mengharamkan Schindler’s List, sebuah filem mengenai holokus, dengan mengatakan ia adalah aksi propaganda untuk meraih simpati dunia. 

    Beliau juga mencabar naratif bahawa enam juta orang Yahudi terbunuh sewaktu holokus.

    “Bagaimana anda dapat menentukan angka yang tepat ini? Ia mungkin lebih; ia mungkin kurang. Jika saya katakan ia adalah empat juta, saya mungkin betul atau saya mungkin salah. Tetapi apa yang penting ialah kekejaman tersebut dilakukan oleh Nazi,’’ katanya.

    Beliau berkata dunia sudah berperang untuk menamatkan kekejaman Nazi. 

    “Itulah yang dunia korbankan untuk menghalang Nazi daripada menindas orang Yahudi. Sekarang anda tidak lagi ditindas. Anda sepatutnya menghargai itu. Tetapi tidak. Anda hanya bercakap tentang holokus, enam juta kematian kaum anda,’’ katanya.

    Dr. Mahathir berkata beliau tidak kisah jika beliau dilabel “anti-Semitik”, mengatakan orang Arab Palestin juga adalah orang Semitik. 

    “Anda adalah anti-Semitik seperti saya. Anda tidak peduli dengan penderitaan orang Arab Semitik.”

    I

  • Lelaki ditahan ‘kerap’ rogol remaja dalam kebun sawit

    Lelaki ditahan ‘kerap’ rogol remaja dalam kebun sawit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS semalam menahan seorang lelaki selepas mengadakan hubungan seks dengan seorang remaja dalam kebun sawit di belakang rumah remaja terbabit di Bakri, Muar sejak Mac lalu.

    Difahamkan, kejadian berlaku sejak Mac lalu apabila suspek, 22, dikatakan membuat temujanji dengan mangsa berusia 14 tahun sebelum bertemu untuk melakukan perbuatan itu dalam kebun sawit.

    Suspek yang bekerja di sebuah restoran makanan segera sanggup berulang-alik sejauh hampir 300 kilometer (km) semata-mata mahu melakukan perbuatan terkutuk itu.

    Suspek dilaporkan menunggang motosikal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Bakri untuk melakukan perbuatan tersebut.

    Namun kejadian itu terbongkar apabila abang mangsa hairan adiknya kerap ‘hilang’ setiap pukul 1.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, abang mangsa kemudian menyiasat sebelum mengetahui adiknya melakukan hubungan seks dengan suspek.

    “Susulan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kepong, Muar kelmarin. Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sejak Mac lalu dan kali terakhir bulan lalu.

    “Daripada maklumat diterima, suspek akan menghubungi mangsa terlebih dahulu sebelum mereka berjumpa di kebun sawit terletak belakang rumahnya,” katanya ketika dihubungi.

    Raiz Mukhliz berkata, bertindak atas laporan dibuat, suspek ditahan untuk membantu siasatan.

    Suspek kemudian di bawa ke Mahkamah Majistret Muar hari ini dan perintah reman dikeluarkan selama seminggu terhadapnya bermula hari ini.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

  • PRN: PN yakin mampu peroleh sekurang-kurangnya 33 kerusi di Selangor

    PRN: PN yakin mampu peroleh sekurang-kurangnya 33 kerusi di Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin mampu memperoleh sekurang-kurangnya 33 kerusi di Selangor, sekali gus merampas tampuk pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Pengerusinya PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keyakinan itu bersandar kedudukan gabungan itu yang sedang mencapai kemajuan positif dari segi sokongan terutama dalam kalangan pengundi India dan Cina.

    “Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), 39 adalah (kerusi) majoriti Melayu yang mewakili 65 peratus daripada keseluruhan (pengundi berdaftar).

    “Saya boleh katakan, kami yakin dapat memenangi 33 hingga 35 kerusi DUN, bukan saja kerusi majoriti Melayu tetapi juga kerusi majoriti Cina. Sokongan di lapangan adalah menggalakkan,” katanya ketika sidang akhbar selepas pertemuan tertutup bersama pengarang media di Kuala Lumupur hari ini.

    Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Amirudin Shari, yakin gabungan itu yang kini bersama Barisan Nasional (BN) mampu menang sehingga 40 kerusi DUN di Selangor.

    Beliau berkata, selain 33 yang disifatkan sebagai kerusi selamat bagi PH dan BN, tujuh lagi membabitkan kerusi marginal yang turut dijangka boleh dimenangi.

    Berdasarkan kedudukan semasa, PH menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN di Selangor, diikuti BN dengan lima kerusi, empat milik BERSATU dan dua milik Parti Bangsa Malaysia (PBM). PAS, Pejuang dan WARISAN masing-masing menguasai satu kerusi, manakala satu lagi kerusi milik wakil rakyat Bebas dan satu lagi DUN kosong.

    Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN mengakui sentimen kebimbangan dalam kalangan pengundi Cina adalah berhubung ketidakstabilan politik dan peluang perniagaan dibawah PH dan beliau percaya, PN boleh menyediakan penyelesaian tepat untuk menangani situasi itu.

    “Kami mahu mengekalkan Selangor sebagai kuasa ekonomi yang mempunyai pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang besar.

    “Kami mahu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti berteknologi tinggi ke negeri ini,” tambahnya.

    Berhubung ‘poster boy’ pula, Mohamed Azmin berkata, PN tidak berminat untuk mengumumkannya sepanjang tempoh berkempen untuk PRN memandangkan ia bukan satu keperluan untuk menarik undi.

    Sebaliknya, beliau berkata, PN mahu mempamerkan usaha yang boleh dilakukannya untuk enam negeri yang terbabit dengan PRN menerusi pengenalan manifestonya.

    “Terdapat banyak isu di sekeliling kita seperti ekonomi, kejatuhan nilai ringgit, inflasi, kos sara hidup dan lain-lain. Rakyat sedang menderita. Jadi kenapa perlu bercakap tentang isu ‘poster boy’,” katanya.

    Beliau menegaskan, PN sudah merangka manifestonya dalam menangani isu utama seperti ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan, terutamanya mengenai isu kos sara hidup.

    “Itu sepatutnya didahulukan. Siapa yang akan jadi Menteri Besar, kita serahkan kepada pihak istana untuk membuat keputusan,” katanya memaklumkan PN Selangor akan mengumumkan calonnya esok, termasuk memperkenal muka baru yang akan bertanding pada PRN.

    PN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN di Selangor dengan didominasi calon BERSATU. Bagi PH dan Bn pula, masing-masing sudah mengumumkan calon dengan BN bertanding di 12 kerusi DUN, diikuti PKR di 20 DUN, 15 ditandingi DAP dan dan bakinya diserahkan kepada AMANAH.

  • Polis rampas dadah bernilai RM7.94 juta dalam tujuh serbuan sekitar Selangor

    Polis rampas dadah bernilai RM7.94 juta dalam tujuh serbuan sekitar Selangor

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas dadah bernilai RM7.94 juta dalam tujuh siri serbuan di sekitar Seri Kembangan, Kota Damansara, Putra Height, Jinjang dan Rawang pada 17 hingga 21 Julai lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan tersebut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Subang Jaya.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut Hussein, pihaknya berjaya menahan 16 suspek berusia 18 hingga 61 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah tersebut.

    Jelas beliau, antara dadah yang dirampas adalah pil eramin 5 (42.86 kilogram), ketamin (42.28 kg), mehtamphetamine (37.57 kg) dan kafein (26.85 kg).

    Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah yang dirampas selepas polis berjaya menahan 16 suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Selain itu, turut dirampas adalah heroin base (26.77 kg), heroin (1.32 kg) dan ganja (109 gram).
    “Polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver dan peralatan serta bahan-bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah yang dirampas selepas polis berjaya menahan 16 suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mengulas lanjut, Hussein berkata, saringan awal polis terhadap suspek mendapat dua daripada mereka positif dadah jenis THC.

    Katanya, semakan rekod jenayah pula mendapati tujuh daripada suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah seperti Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Tindakan juga diambil mengikut ADB (Pelucutan Harta) 1988 yang mana JSJN setakat ini telah menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM1.247 juta.

    Sepucuk pistol yang dirampas selepas polis berjaya menahan 16 suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Antara yang disita adalah 12 kenderaan seperti dua kereta jenis BMW, sebuah Toyota Alphard, sebuah Toyota Corolloa, sebuah Volkswagen dan sebuah Honda Civic.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM9.19 juta,” katanya, lapor Utusan TV.

    Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah yang dirampas selepas polis berjaya menahan 16 suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Hussein menambah, operasi tersebut berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan tiga sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan terutama di Lembah Klang.

    Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 2.82 juta penagih dadah.

  • Tentera Darat jalankan siasatan dalaman dakwaan anggota sebuah kem di Sungai Petani didera

    Tentera Darat jalankan siasatan dalaman dakwaan anggota sebuah kem di Sungai Petani didera

    KEMENTERIAN Pertahanan melalui Tentera Darat Malaysia akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu terbabit kes dakwaan seorang anggota tentera didera di sebuah kem di Sungai Petani, Kedah.

    Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya merujuk kepada satu laporan polis bertarikh 21 Julai lalu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

    “Laporan polis itu berkaitan dakwaan seorang individu dipercayai anggota tentera yang mendakwa dia dan beberapa rakannya didera secara fizikal oleh anggota senior di kem terbabit.

    “Kes itu juga sudah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.

    Kementerian katanya, amat memandang serius mengenai isu dera dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit serta terbukti bersalah sama ada secara langsung atau tidak dalam kes seumpama itu.

    Katanya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap warga ATM sama ada individu atau mana-mana pihak sengaja mengeluarkan atau membuat dakwaan palsu sehingga boleh mencemarkan nama baik Kementerian Pertahanan dan ATM.

    “Kes ini masih dalam siasatan lanjut pihak PDRM. Justeru itu, masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Suami isteri diberkas bersama lebih 10kg dadah

    Suami isteri diberkas bersama lebih 10kg dadah

    POLIS menahan pasangan suami isteri yang dipercayai menjadi dalang satu sindiket pengedaran dadah di Perak dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah di Jelapang, kelmarin.

    Kedua-dua mereka berusia 30 dan 27 tahun itu diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar pukul 3 petang.

    Turut ditahan adik perempuan suspek berusia 19 tahun yang tinggal bersama di rumah itu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kereta di rumah berkenaan menemui dadah dipercayai heroin seberat 10.71 kilogram bernilai lebih RM88,900.

    “Polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.

    “Berdasarkan siasatan, sindiket ini mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak September tahun lalu dengan menyasarkan pasaran tempatan di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, saringan air kencing mendapati pasangan tersebut positif dadah jenis morfin.

    Mohd. Yusri berkata, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori juga mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah.

    “Pasangan tersebut telah direman selama enam hari manakala seorang lagi suspek selama tiga hari masing-masing bermula 24 Julai lepas bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Tindakan juga katanya, diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana pihak polis sudah menyita 22 unit barang kemas, sebuah lori, kereta dan motosikal dianggarkan bernilai RM192,168.

    “Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa khususnya polis,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pemuda Pas  tolak Presiden Gerakan bertanding kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor

    Pemuda Pas tolak Presiden Gerakan bertanding kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor

    DEWAN Pemuda PAS Tasek Gelugor mendesak Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau, supaya berundur dan tidak berangan-angan bertanding di kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Peringatan terhadap pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu dibuat menjelang pengumuman calon PN bagi PRN Pulau Pinang, malam esok.

    Naib Ketua Pemudanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, memberi amaran jika Dominic masih berkeras bertanding di kerusi berkenaan, pihaknya bersama seluruh jentera akan menggerakkan perarakan besar-besaran calon Bebas di Telok Ayer Tawar dan Permatang Berangan pada penamaan calon, Sabtu ini., lapor Berita Harian.

    “Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor bersama pengundi di Permatang Berangan dan Telok Air Tawar akan memastikan kekalahan kepada calon GERAKAN di Telok Air Tawar dan calon BERSATU di Permatang Berangan jika tuntutan ini tidak dipenuhi.

    “Jangan sesekali bermain dengan api, nanti api itu sendiri akan memakan diri. Jangan cabar kesabaran Pemuda PAS!” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tasek Gelugor, iaitu Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar.

    PN yang dianggotai BERSATU, PAS dan GERAKAN akan mengumumkan calon mereka bagi PRN di enam negeri pada esok dan lusa.

    Pada 22 Jun lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan gabungan itu sudah memuktamadkan rundingan kerusi di semua 245 kerusi DUN yang akan ditandingi, dengan BERSATU akan bertanding di 83 kerusi, manakala PAS di 126 kerusi dan GERAKAN di 36 kerusi.

  • Kerajaan dituntut penuhi janji semak semula akta lapuk media

    Kerajaan dituntut penuhi janji semak semula akta lapuk media

    TOKOH Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menuntut supaya kerajaan memenuhi janji untuk menyemak semula akta-akta lapuk berkaitan profesion kewartawanan yang dilihat tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

    “Ini berikutan terdapat beberapa perundangan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menyekat kebebasan media di negara ini.

    “Saya mencadangkan supaya kerajaan memenuhi janji untuk memansuhkan akta (berkaitan profesion kewartawanan) tidak sesuai atau relevan yang boleh mengekang kebebasan media.

    “Seperti yang saya sebutkan tadi, ia melibatkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. (Jadi) saya fikir kerajaan harus menunaikan janji dalam soal ini (semak semula akta lapuk),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu, Johan ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Media Kebangsaan 2023 ‘Kemampanan Media: Melangkah ke Hadapan bagi Malaysia Pada Era Digital’ anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini turut membangkitkan isu sama.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Jun lalu dilaporkan berkata, kerajaan setakat ini tidak membincangkan isu pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

    Katanya, sekarang ini kerajaan menumpukan kepada pembentukan Majlis Media untuk membawa rang undang-undang berkaitan kepada peguam negara dan seterusnya Parlimen.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Johan turut mencadangkan supaya kerajaan melantik seorang wartawan menjadi Ahli Dewan Negara.

    Katanya, ia bagi membolehkan suara komuniti itu lebih didengari, di samping sebagai penghormatan kepada golongan wartawan di negara ini.

    “Saya cadangkan supaya kerajaan melantik seorang Senator dalam kalangan wartawan kerana saya fikir ini adalah satu penghormatan yang patut diberikan kepada kumpulan ini (wartawan).

    “Ini kerana kita memerlukan suara wartawan di Dewan Negara dan saya juga berasakan sudah sampai masanya juga untuk kerajaan memikirkan perkara ini (lantik seorang wartawan menjadi Ahli Dewan Negara),” katanya.

  • Kerajaan perlu tunjuk empati kepada doktor dipindahkan – MMA

    Kerajaan perlu tunjuk empati kepada doktor dipindahkan – MMA

    KERAJAAN perlu membenarkan pegawai perubatan yang berkhidmat dalam tempoh ditetapkan di Sabah dan Sarawak memohon pertukaran dan memastikan proses dijalankan secara telus.

    Ia antara gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam isu kebajikan doktor yang terbabit dalam pemindahan ke hospital atau klinik kerajaan di beberapa negeri yang turut dilihat memberi impak kepada sistem kesihatan awam.

    Presiden MMA, Dr. Muruga Raj Rajathurai, berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan elaun penempatan yang munasabah untuk doktor yang telah diarahkan berpindah.

    Beliau berkata, pegawai perubatan yang terbabit juga perlu diberikan notis dengan jangka masa yang memadai untuk melapor diri dari tarikh surat penempatan, dengan dimaklumkan perincian yang jelas berhubung penempatan baharu.

    “Selain itu kerajaan perlu memastikan tiada gangguan perkhidmatan penjagaan kesihatan di mana-mana fasiliti kesihatan dan turut memudahkan penempatan semula.

    “Kerajaan perlu memastikan pemindahan ini tidak menjejaskan latihan kepakaran yang sedang dijalani mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau turut meminta kerajaan menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan doktor.

    Katanya, walaupun penempatan diberikan berdasarkan keperluan setempat, cabaran perlu dihadapi apabila dipindahkan, masih perlu diberi perhatian sewajarnya.

    “MMA menggesa kerajaan menunjukkan empati kepada kumpulan doktor yang telah dipindahkan ke fasiliti kesihatan di negeri-negeri.

    “Terutama, membabitkan sebilangan doktor yang diarahkan berpindah dengan diberikan notis dalam jangka masa pendek,” katanya.

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, memaklumkan proses pemindahan doktor yang mendapat penempatan tetap merangkumi semua tempat di seluruh negara sedang dilaksanakan.

    Katanya, pemindahan sekitar 1,000 petugas perubatan di sekitar Lembah Klang mulai akhir bulan ini tidak akan menjejaskan operasi fasiliti kesihatan di Lembah Klang.

  • Satu lagi laman sesawang kritik kerajaan disekat

    Satu lagi laman sesawang kritik kerajaan disekat

    SATU lagi laman sesawang yang lantang mengkritik kerajaan disekat, sebulan selepas akses ke atas portal berita MalaysiaNow dan blog Malaysia Today dihalang untuk sebahagian besar pembaca.

    Laman sesawang terbaru disekat itu, http://weechookeong.com/, adalah blog yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, yang terkenal dengan kritikan lantangnya terhadap hubungan antara perniagaan utama dan ahli politik serta pendedahan tentang rasuah dalam sektor kewangan Malaysia.

    Sekatan itu, yang disedari Wee malam tadi, disahkan hari ini melalui mesej daripada hos pelayan yang mengatakan laman sesawang itu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Berdasarkan lampiran, hasil ping ke weechookeong.com menunjukkan alamat IP 175.139.142.25,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    “Ini bermakna laman sesawang itu telah disekat oleh SKMM.” 

    Ia menambah bahawa pengguna beberapa penyedia perkhidmatan Internet (ISP) masih boleh mengaksesnya kerana SKMM melaksanakan sekatan secara berperingkat.

    Sehingga berita ini ditulis, laman sesawang itu tidak dapat diakses oleh pengguna sekurang-kurangnya dua ISP utama: Maxis dan Unifi.

    Sementara itu, Wee yang juga bekas ahli Parlimen DAP dan PKR dalam ciapan di Twitter menulis: “Big Brother Fahmi sedang memerhatikan kita.”

    “Kita sekarang hidup dalam era Mad Dah Ni!!” tambahnya, sambil menyindir slogan kerajaan Madani.

    SKMM, pengawal selia internet negara, diberi kuasa untuk mengarahkan ISP untuk menyekat laman sesawang yang ‘tidak diingini’.

    Dulu, sekatan sedemikian telah diperluaskan ke portal berita dan laman sesawang yang mengkritik kerajaan.

    MalaysiaNow disekat selama 48 jam dari 27 hingga 29 Jun lalu. 

    Pembantu kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, yang menerajui kementerian yang menyelia SKMM, menafikan sebarang maklumat atau bertanggungjawab terhadap kejadian itu, manakala Fahmi sendiri dilaporkan berkata tiada arahan diberikan untuk menyekat mana-mana portal berita. 

    Mesej lanjut yang meminta penjelasan daripada beliau tidak dijawab, manakala SKMM juga gagal menjawab pertanyaan berulang kali daripada MalaysiaNow.

    Episod pada Jun adalah kali pertama dalam tempoh beberapa tahun di mana portal berita yang mempunyai akreditasi media disekat, selepas sekatan ke atas portal berita The Malaysian Insider pada 2016, yang dipercayai atas liputannya mengenai skandal 1MDB. 

    Menurut hos pelayan http://weechookeong.com/, SKMM biasanya menyekat laman sesawang kerana kandungan yang dilarang, sambil menambah bahawa isu tersebut berada di luar kawalannya. 

    “Oleh itu, saya amat mengesyorkan agar anda menghubungi SKMM secara terus untuk mendapatkan maklumat lanjut dan penjelasan mengenai penyekatan itu,” katanya.