Author: Wartawan WartaRakyat

  • Zahid minta sayap ‘lebih ikhlas’ hadapi PRN – sumber 

    Zahid minta sayap ‘lebih ikhlas’ hadapi PRN – sumber 

    SETELAH mengalami kekalahan teruk pada PRU ke-15 lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan sayap parti itu bahawa pilihan raya negeri (PRN) akan datang merupakan peluang terakhir mereka untuk bangkit semula.

    Portal Malaysiakini melaporkan, sumber parti itu memberitahu  semasa mempengerusikan suatu mesyuarat semalam Timbalan Perdana Menteri itu juga meminta ketiga-tiga sayap UMNO supaya “lebih ikhlas” mengharungi PRN tidak lama lagi.

    Katanya Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengendalikan mesyuarat Jawatankuasa Induk BN sempena bagi PRN di enam negeri nanti.

    “Presiden memberitahu, sumbangan sayap kepada parti khususnya dalam PRN ini tidak begitu memberangsangkan,” katanya yang turut hadir dalam mesyuarat itu di Kuala Lumpur.

    Menurut sumber itu lagi, Ahmad Zahid mengarahkan jentera Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO memberi laporan yang sebenar mengenai situasi di lapangan kepada puncuk pimpinan.

    Katanya, Ahmad Zahid menekankan perkara itu kerana maklumat yang tepat diperlukan jika mereka mahu melihat UMNO kembali mendapat sokongan ramai.

    “Beliau juga berkata sayap UMNO tidak lagi boleh berfungsi dengan cara konvensional, iaitu terlalu fokus kepada jentera, tetapi rakyat atau pengundi diabaikan,” katanya.

    Setelah lebih dua abad menjadi seteru politik, UMNO akan bekerjasama buat kali pertama dengan PH bagi menghadapi pilihan raya. PRN pada 12 Ogos ini akan melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. UMNO akan bertanding 108 kerusi di enam negeri menggunakan logo BN.

    Sumber UMNO itu juga memberitahu Malaysiakini semasa mesyuarat semalam, Ahmad Zahid meminta jentera sayap parti menukar cara berkempen.

    “Beliau bertegas bahawa parti tidak akan lagi memberi peruntukan yang besar kepada sayap seperti sebelum ini. Presiden kemudian membandingkan keadaan jentera PH yang jauh lebih kecil dari segi bantuan kewangan dan sumber manusia, tapi masih mampu menarik pengundi lebih banyak berbanding UMNO,” katanya.

  • Kumpulan peguam dakwa Fahmi salah guna kuasa isu poster tular

    Kumpulan peguam dakwa Fahmi salah guna kuasa isu poster tular

    SEBUAH kumpulan peguam hari ini mendakwa Fahmi Fadzil menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri dalam mengarahkan laporan dibuat kepada sebuah agensi di bawah bidang kuasanya berhubung poster yang menuduhnya mengarahkan penyokong kerajaan mencipta naratif jahat untuk menyalahkan PAS dalam isu pembatalan Festival Good Vibes 2023 baru-baru ini.

    Lawyers for Liberty (LFL) dalam satu kenyataan berkata tindakan itu adalah “konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa yang jelas bahawa seorang menteri mengarahkan atau menggerakkan pihak berkuasa di bawahnya untuk melakukan siasatan ke atas poster yang dikatakan fitnah terhadap dirinya”.

    Pengarah LFL Zaid Malek menambah bahawa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi.

    “Memandangkan menteri sendiri yang memulakan perkara itu secara terbuka, ia memberi tekanan yang tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan dan menjejaskan keadilan siasatan. Ini sepatutnya difahami dengan jelas oleh Fahmi,” katanya lampor MalaysiaNow.

    Poster yang tular di media sosial itu mendakwa Fahmi memberi arahan supaya PAS diketengahkan sebagai parti ekstremis dalam usaha untuk mengalihkan perhatian daripada kesalahan yang dilakukan selepas meluluskan permit kepada kumpulan rock dari UK, The 1975, untuk membuat persembahan di Malaysia. 

    Fahmi berkata pada 24 Julai lalu KKD mengarahkan agar laporan dibuat mengenai perkara itu kepada SKMM dan polis. 

    Zaid berkata, sebagai menteri, Fahmi bertanggungjawab menegakkan hak kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan dan memuhasabah dirinya daripada “menggunakan kuasa untuk menafikan hak ini”.

    “Beliau tidak boleh sesuka hati menggunakan pihak berkuasa di bawah bidang kuasanya untuk menundukkan pengkritik politiknya kepada siasatan jenayah. 

    “Fahmi tidak mempunyai keistimewaan untuk terlepas daripada kritikan atau menggunakan jentera kerajaan untuk membersihkan namanya sendiri,” katanya.

    Tambahnya, Fahmi bebas memfailkan saman sivil kerana memfitnah mereka yang bertanggungjawab ke atas poster itu.

    Zaid berkata tiada asas undang-undang untuk melibatkan pihak penguat kuasa bagi membersihkan dakwaan yang dibuat terhadap menteri itu.

    “Sememangnya, terdapat bau Stalinisme mengenai perlakuan menteri seperti ini. Badan penguatkuasaan tiada urusan yang mengganggu ‘kecederaan’ kepada ‘imej’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan. Dalam semua keadaan, imej kerajaan bukanlah alasan yang wajar untuk mengehadkan kebebasan bersuara dalam apa jua cara sekali pun,’’ katanya.

  • 2 suspek anggota sindiket ‘ah long’ ditahan

    2 suspek anggota sindiket ‘ah long’ ditahan

    POLIS Pulau Pinang menahan dua lelaki yang disyaki menjalankan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek berusia 22 dan 28 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun lepas.

    Katanya, susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa peralatan berkaitan termasuk pelbagai telefon bimbit, kad nama, buku latihan, kertas putih, kad urusniaga dan buku bil.

    “Semakan lanjut mendapati, kedua-dua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, polis akan terus berusaha untuk memerangi kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bagi memastikannya dibanteras habis-habisan.

  • ‘’Kalau saya curi duit, tunjuk la bukti’’ – Mahathir cabar Anwar

    ‘’Kalau saya curi duit, tunjuk la bukti’’ – Mahathir cabar Anwar

    BEKAS  Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menuduh tetapi enggan mendedahkan bukti apabila diminta.

    Kata Dr Mahathir, Ahli Parlimen Tambun itu perlu menunjukkan bukti-bukti kukuh dan bawa pada perbicaraan di mahkamah sekiranya ingin mendakwa beliau mencuri wang atau harta daripada rakyat.

    “Dia kata dia ada bukti berkotak-kotak, tulisan-tulisan bukti pun ada. (Anwar kata) akan tunjuk tetapi bila saya minta tunjuk dia kata tidak boleh, rahsia. Kalau awak ada (bukti) tunjuk la pada saya. Tunjuk (bukti) saya curi duit sebab kita tahu ada orang curi duit, dihadap ke mahkamah, dibicara dan dimasukkan di dalam penjara. Kalau saya curi duit, tunjuk (bukti) secara terang yang saya curi duit, boleh bawa saya pergi mahkamah adakan perbicaraan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika di Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk malam tadi.

    Pada Isnin, media melaporkan Anwar memberi amaran kepada seorang pemimpin politik sama ada memulangkan semula harta yang didakwa dicuri atau bersedia untuk disiasat.

    Perdana Menteri itu berkata, beliau akan mengarah pihak berkuasa untuk menyiasatnya sekiranya pemimpin tersebut gagal berbuat demikian.

  • Penjawat awam rugi RM677,565 ditipu sindiket panggilan telefon

    Penjawat awam rugi RM677,565 ditipu sindiket panggilan telefon

    SEORANG penjawat awam berusia 40-an di Kepala Batas, Pulau Pinang berputih mata selepas wangnya sebanyak RM677,565 lesap dipercayai akibat terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’ kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, mangsa mula terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku daripada pihak Pos Laju.

    Jelasnya, suspek berkenaan mendakwa kononnya terdapat bungkusan atas nama mangsa yang berisi kad pengenalan dan lima keping kad bank sebelum panggilan mangsa disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    “Mangsa kemudiannya dimaklumkan oleh suspek kononnya terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

    “Mangsa diminta untuk memberikan maklumat perbankan dan memindahkan wang bagi mengelakkan daripada ditangkap,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Tambah Mohd. Asri, takut dengan dakwaan itu, mangsa kemudiannya melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke enam akaun bank yang diberikan suspek bermula 7 Jun sehingga 4 Julai lalu.

    Bagaimanapun, ujar beliau, mangsa hanya disedari ditipu selepas membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule dan mendapati keenam-enam akaun bank yang digunakan suspek mempunyai rekod bersabit kes penipuan.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd. Asri menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu mahupun agensi kerajaan serta swasta berhubung apa juga kesalahan yang disabitkan.

    “Lakukan semakan dan pengesahan dengan agensi terlibat dan ingin saya tegaskan, sebarang siasatan yang dijalankan pihak polis tidak hanya dilakukan menerusi panggilan telefon.

    “Polis juga tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk melakukan sebarang transaksi pembayaran ketika siasatan sedang berjalan,” katanya.

  • Tiga sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan di LPT2

    Tiga sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan di LPT2

    TIGA sekeluarga termasuk bayi berusia dua bulan maut dalam kemalangan setelah kereta dinaiki terbabas di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, Dungun pada petang semalam.

    Mangsa, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail bersama ibunya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23 dan neneknya, Noreha Mohamed, 53 meninggal dunia dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 6.25 petang.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

    Katanya, sebelum kejadian, lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan untuk menghantar Raja Nurhanani dan bayinya pulang ke Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu adik mangsa, Raja Haikal Najmi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar kotak pembetung yang berada di sebelah kiri jalan lalu terbalik,” katanya labor Sinar Harian.

    Susulan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

    Baharudin memberitahu, Nik Muhammad Zayyan bersama neneknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, katanya Raja Nurhanani yang merupakan penyelia asuhan meninggal dunia jam 10.30 malam ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Hulu Terengganu.

    “Dua lagi mangsa yang merupakan adik kepada Raja Nurhanani iaitu Raja Haikal Najmi, 20, patah kaki sebelah kanan dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 17, patah bahu sebelah kiri. Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan,” katanya.

    Menurut Baharudin, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Bekas Ketua Staf Perisikan Esscom mengaku tak bersalah  subahat bunuh pemandu e-hailing

    Bekas Ketua Staf Perisikan Esscom mengaku tak bersalah subahat bunuh pemandu e-hailing

    ENAM  anggota polis dan seorang orang awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Tawau hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing awal tahun ini.

    Sementara itu bekas Ketua Staf Perisikan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama hari ini terhadap dua pertuduhan bersubahat membunuh pemandu e-haling itu awal tahun ini.

    Pertuduhan terhadap Mat Zaki, 58, dan enam anggota polis Rosdi Rastam, 44, Denis Anit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan John Kennedy Sanggah, 44, serta orang awam Vivien Fabian, 34, dibacakan di hadapan Hakim Dr Lim Hock Leng.

    Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien didakwa secara bersama-sama membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan lepas.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Sementara John Kennedy didakwa membunuh Nurman bersama lima anggota polis dan seorang orang awam terbabit di tempat, tarikh dan masa yang sama.

    Mat Zaki pula menghadapi dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman bersama enam tertuduh itu dan satu lagi bersama John Kennedy mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

    Mahkamah menetapkan 2 Jan hingga April tahun depan untuk perbicaraan kes ini. 

    Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Manoj Kurup dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat serta Low Qin Hui.

    Mat Zaki, Khairul Azman, Mohd Azlan, Vivien dan John Kennedy diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye, Timothy Dave dan Kimberly Ye.

    Rosdi diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Abdul Gani Zelika dan Erveana Ansari Ali; Dennis diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang manakala Fabian diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

    Pihak pendakwaan dijadual memanggil  25 hingga 30 saksi termasuk  beberapa pakar untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan dijangka memanggil 32 saksi.

    Pada 8 Feb lepas, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan serta Vivien, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman, manakala Mat Zaki didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh lelaki itu.

    John Kennedy pula, pada awalnya merupakan saksi kes pendakwaan, namun pada 11 April lepas lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan membunuh.

    Pada 7 Julai lepas, Mat Zaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana bersubahat dengan John  Kennedy untuk membunuh Nurman.

  • Pegawai polis terima 36 jahitan di dada diserang warga emas suspek kęs curi

    Pegawai polis terima 36 jahitan di dada diserang warga emas suspek kęs curi

    SEORANG pegawai dan anggota polis cedera selepas terkena pisau pemotong kertas digunakan suspek kes curi yang juga seorang lelaki warga emas, dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Selasih, Kulim.

    Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh, berkata dalam kejadian 10.45 pagi tadi, pegawai tersebut mengalami kecederaan di bahagian dada dan menerima 36 jahitan, manakala seorang anggota cedera di kaki dan menerima lima jahitan.

    “Bilik Gerakan IPD Kulim menerima panggilan mengenai kes curi di sebuah pasar raya. Sepasukan polis diketuai pegawai risikan/operasi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim telah ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, didapati suspek telah melarikan diri dengan menaiki motosikal. Pasukan polis kemudiannya melihat suspek berhenti di hadapan sebuah rumah dan pegawai berkenaan telah memperkenalkan diri sebagai polis kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

    Beliau berkata, selepas itu suspek berusia 82 tahun itu telah mengambil sesuatu dalam raga motosikalnya dan terus menghayun senjata berkenaan ke arah pegawai itu hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian dada.

    “Seorang anggota dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim yang berada di situ cuba menahan suspek dan telah berlaku pergelutan sehingga menyebabkan anggota berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri. Suspek telah berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh pasukan bantuan.

    “Turut dirampas sebilah pisau pemotong kertas dan pelbagai barangan yang dicuri. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau bagaimanapun ujian awal air kencing mendapati suspek bebas dari pengaruh dadah,” katanya.

    Katanya, kedua-dua anggota polis berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Kulim.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 380 KK kerana mencuri,” katanya.

  • PRN: Guan Eng pertahan kerusi,Ramasamy digugurkan di Pulau Pinang

    PRN: Guan Eng pertahan kerusi,Ramasamy digugurkan di Pulau Pinang

    DAP hari ini mengumumkan 19 calon termasuk tujuh muka baru yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bulan depan, dengan Timbalan Ketua Menteri Prof Dr P. Ramasamy tidak tersenarai.

    Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang membuat pengumuman itu memaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dan Air Putih.

    Turut akan mempertahankan kerusi masing-masing adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam kerajaan sebelum ini iaitu Zairil Khir Johari (Tanjung Bunga) dan Jagdeep Singh Deo (Datok Keramat).

    Muka baharu yang diumumkan Loke adalah  Phee Syn Tze untuk DUN Sungai Puyu, Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal), Kumaran Krishnan (Bagan Dalam), Sundarajoo Somu (Perai), Wing Yuee Harng (Pengkalan Kota), Woo Sze Zeng (Pulau Tikus) dan Tan Hooi Peng (Seri Delima).

    Selain Ramasamy, antara yang turut digugurkan adalah Ketua Wanita DAP Chong Eng, lapor Bernama.

    Sementara itu, penyandang Pengkalan Kota Gooi Zi Sen dan penyandang Bukit Bendera Wong Hon Wai masing-masing dicalonkan semula untuk kerusi DUN Padang Lalang dan Paya Terubong.

    “Saya menyeru jentera parti untuk bersatu supaya ada kekuatan untuk berhadapan dengan sebarang cabaran serta mengekalkan 19 kerusi sebagai KPI (petunjuk prestasi utama) kita pada PRN akan datang. Misi kita adalah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya Kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dan sekiranya boleh, tambah satu atau dua lagi kerajaan negeri,” kata Loke dalam ucapannya.

    Katanya, jika misi ini dapat dicapai, beliau yakin negara akan menjadi semakin stabil di bawah Kerajaan Perpaduan dan sekali gus menjadikan Pulau Pinang terus maju ke hadapan.

    Selain calon bagi Pulau Pinang, Loke turut mengumumkan dua calon DAP yang akan bertanding bagi PRN Kedah iaitu Teh Swee Leong bagi kerusi DUN Kota Darulaman dan Tan Kok Yew (Derga).

    PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon Sabtu ini.

  • PRN: PN dapat sokongan MIC, pemimpin India dalam pertembungan sengit di Selangor

    PRN: PN dapat sokongan MIC, pemimpin India dalam pertembungan sengit di Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) melancarkan kempen untuk meningkatkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu terutamanya dalam kalangan masyarakat India selepas mendapati sambutan menggalakkan terhadap ceramahnya serta beberapa tinjauan prapilihan raya yang meramalkan kemenangan gabungan itu di Selangor.

    Ia merupakan satu langkah yang mungkin memberi sokongan kritikal daripada kaum minoriti memihak kepada gabungan itu.

    Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali pada Ahad melancarkan Sekretariat Kelab Penyokong PN (India) bagi kawasan Selangor Utara, yang akan diketuai oleh Ahli Majlis Tertinggi MIC KR Parthiban.

    Selangor Utara adalah tempat di mana beberapa pertembungan sengit antara Pakatan Harapan (PH)-UMNO dan PN, berikutan kejayaan besar mereka di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

    Difahamkan, sekretariat itu dianggotai oleh aktivis MIC dari Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar dan Hulu Selangor.

    “PN memberi jaminan bahawa anak-anak orang India akan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan menikmati pengagihan kek ekonomi dengan adil dan saksama,’’ katanya.

    Orang India membentuk kira-kira 13% daripada penduduk Selangor, dan sebelum ini memainkan peranan penting dalam menjatuhkan cengkaman Barisan Nasional (BN) selama berdekad di negeri itu. 

    PH yang dahulunya dikenali sebagai Pakatan Rakyat yang pada ketika itu turut dianggotai Pas memerintah Selangor sejak 2008 selepas pakatan itu menumbangkan BN dalam pilihan raya pada tahun tersebut. 

    Kali ini, ia akan berganding bahu dengan UMNO, mencerminkan perkongsian baru gabungan itu di peringkat persekutuan. 

    Semalam, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin bercakap mengenai peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap gabungan itu.

    “Gelombang ini boleh dilihat di Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Kini, gelombang yang sama terbukti di Selangor dan semakin rancak di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” kata Hamzah. 

    Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia, dan oleh kerana itu, ia dilihat sebagai pusat pilihan raya yang akan menyaksikan pengundi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu keluar mengundi pada 12 Ogos untuk memilih kerajaan negeri masing-masing. 

    Dengan 56 kerusi dipertandingkan, sebuah parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 29 untuk membentuk kerajaan negeri.

    Kedua-dua gabungan, PH dan PN, masing-masing mendakwa mereka boleh meraih majoriti yang diperlukan, dengan kumpulan pemikir PKR meramalkan parti itu mampu menyapu bersih hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

    Namun penganalisis dan pengulas memberi amaran mengenai kebolehpindahan undi yang rendah antara PH dan UMNO dilihat sebagai kunci untuk memastikan kejayaan kedua-dua rakan kongsi itu.

    Awal bulan ini, tinjauan yang diterbitkan oleh ISEAS Perspective, jurnal dari Institut Kajian Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura, mendapati 39% pengundi Melayu yang mengundi BN dalam pilihan raya tahun lepas berkata mereka akan mengundi PN pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini, manakala hanya 15% daripada mereka berkata mereka akan mengundi PH.