Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki Korea Selatan cedera, terjatuh dari puncak air terjun

    Lelaki Korea Selatan cedera, terjatuh dari puncak air terjun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki warganegara Korea Selatan cedera di bahagian tulang belakang dan beberapa anggota badan setelah terjatuh dari puncak air terjun Telaga Tujuh, dekat Gunung Mat Chincang dekat Langkawi, tengah hari tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Jarak daripada kaki Gunung Mat Chincang ke puncak tersebut dianggarkan 90 meter dan mengambil masa sejam untuk didaki. Setibanya di lokasi, didapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan serviks.

    “Pihak bomba terlebih dulu memberi rawatan awal kepada mangsa dikenali sebagai Hyun Seung, 52, di lokasi. Dia kemudiannya dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya.

    Tambahnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.

  • PRU-15: Pegawai JPN ke lokasi banjir, mudahkan urusan penggantian dokumen

    PRU-15: Pegawai JPN ke lokasi banjir, mudahkan urusan penggantian dokumen

    JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) akan menggerakkan pegawainya ke lokasi banjir bagi memudahkan urusan pembaharuan dokumen pengenalan diri yang hilang akibat bencana itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bawah JPN, secara langsung dapat turut membantu mangsa banjir terbabit untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

    “Program MEKAR JPN akan menyelesaikan permasalahan dokumen membabitkan individu di pedalaman atau mereka yang menghadapi bencana seperti banjir. Sebagai contoh jika berlaku banjir sebelum PRU, sudah tentu akan menyusahkan pengundi jika dokumen pengenalan diri hilang. Bagaimana mereka hendak mengundi jika tiada kad pengenalan?

    “Oleh itu, JPN sudah memikirkan ini semua, ia demi kepentingan rakyat. JPN sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, JPN sudah membuat persiapan rapi dengan memberi fokus kawasan yang terjejas.

    “Kita sudah bersedia untuk menghantar pegawai JPN ke tempat tertentu. Namun sekiranya ditanya untuk semua kawasan, minta maaf kita masih tidak bersedia. Untuk memberi fokus pada kawasan terjejas, JPN sudah bersedia.

    “Ini kerana di Malaysia, banjirnya berfokus, kejap di sini dan kejap di sana, ia (banjir) tidak datang sekali satu Malaysia. Contohnya, (banjir) semalam di Langkawi, sebelum itu di Johor dan Sarawak,” katanya.

  • Remaja masih bersekolah antara ditahan sertai parti liar

    Remaja masih bersekolah antara ditahan sertai parti liar

    REMAJA bawah umur yang masih bersekolah merupakan antara 22 individu yang ditahan menyertai ‘parti liar’ di sebuah banglo di Batu Feringghi, Pulau Pinang ditahan polis dalam serbuan pada 13 Oktober lalu.

    Kesemua mereka iaitu 14 lelaki dan lapan wanita tempatan berusia 16 hingga 21 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.40 pagi.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka didapati berkongsi wang untuk menyewa banglo tiga tingkat itu dengan kadar bayaran RM1,000 sehari.

    Menurutnya, setiap peserta dijemput menghadiri parti itu menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp dengan bayaran antara RM80 hingga RM100 seorang.

    ”Kita juga mendapati lapan peserta perempuan yang ditahan tidak dikenakan sebarang bayaran kerana dibayar oleh peserta lelaki.

    “Dalam serbuan itu, polis juga telah merampas dua peket dadah jenis ketamin seberat 0.9 gram bernilai RM150 serta tiga biji pil ekstasi dengan anggaran berat 1.6 gram bernilai RM45,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Soffian, hasil saringan air kencing ke atas 22 individu berkenaan juga mendapati enam individu lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine.

    Tambahnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama enam hari bermula 13 Oktober hingga 18 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta yang sama.

    “Kesemua tangkapan juga diserahkan kepada Unit Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Timur Laut untuk sesi kaunseling dan ceramah yang turut dihadiri waris terdekat mereka,” katanya.

  • Asyraf Wajdi merapu, mungkir janji – Tuan Ibrahim

    Asyraf Wajdi merapu, mungkir janji – Tuan Ibrahim

    PAS menafikan dakwaan kononnya Bersatu menawarkan 47 kerusi boleh menang jika parti itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya menegaskan, isu itu tidak pernah dibincangkan pada pertemuan tertutup dengan dua pemimpin UMNO pada 12 Oktober lalu.

    Malah, beliau menjelaskan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendedahkan perkara itu kelmarin tidak terlibat dalam mesyuarat tersebut.

    “Tak betul, dia merapu! Dia (Asyraf Wajdi) tak terlibat pun dalam mesyuarat itu. Bahkan kita sudah diingatkan agar tidak keluarkan gambar yang beliau ambil sebab pertemuan tertutup,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

    Kenyataan Tuan Ibrahim yang dimuat naik dalam akaun media sosial beliau.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan, Asyraf Wajdi telah mungkir janji apabila menyiarkan gambar pertemuan itu dan hanya empat orang yang tahu apa perincian perbincangan.

    “Dia (Asyraf Wajdi) mungkir janji. Hanya empat orang yang tahu perincian perbincangan.

    “(Tawaran) 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan itu,” katanya.

    Asyraf Wajdi baru-baru ini, berkongsi gambar pertemuan melibatkan pemimpin utama kedua-dua parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Tuan Ibrahim.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata, pertemuan itu berlangsung sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama BERSATU-PN dengan parti itu turut memaklumkan ditawarkan 47 kerusi boleh menang oleh Bersatu jika menyertai PN.

    Pada 13 Oktober lalu, Abdul Hadi memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dengan keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat

  • PRU-15 bukan ibu segala pilihan raya – Hamzah

    PRU-15 bukan ibu segala pilihan raya – Hamzah

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan ‘ibu’ segala pilihan raya seperti dikatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selar Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Sebaliknya, PRU15, jelas Hamzah, merupakan proses demokrasi yang biasa dilakukan seperti sebelum ini yang memberi mandat kepada rakyat memilih pemimpin mereka.

    “Saya dengar Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) kata, dia kata kali ini adalah ibu segala pilihan raya, pada saya perkara biasa tiada ibu pilihan raya atau tidak. “Kita semua kena bersedia menentukan landskap politik sesuatu melambangkan kematangan pengundi dalam negara. Jadi kali ini sudah ada peningkatan pemikiran rakyat terhadap sesiapa mereka mahukan,” katanya lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendaftaran Negara ke-74 tahun 2022 di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Putrajaya, hari ini.

    Menurut Hamzah, pengundi pada PRU15 dilihat lebih matang dalam menentukan masa depan mereka dengan memilih kerajaan yang berintegriti.

    “Ia bukan hanya melambangkan warna parti itu, tapi melambangkan kepimpinan yang ada, negara kita perlukan pemimpin bertanggungjawab dan berintergriti.

    “Kalau itu jadi salah satu kayu pengukur, saya merasakan pengundi bijak mengetahui demi kepentingan masa depan negara, tanggungjawab itu demi negara,” katanya lagi.

    Mengulas mengenai PRU15 yang akan diadakan ketika negara berdepan bencana banjir bulan depan, tambah Hamzah lagi, semua anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia berdepan musibah itu.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 menegaskan, PRU15 merupakan ibu segala PRU di negara ini.

    Sehubunga itu, penyandang Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Barisan Nasional (BN) perlu menjadi dominan dalam kerajaan yang akan diwujudkan selepas PRU15.

  • Pemandu lori Isuzu terbabit nahas 2 rentung direman 4 hari

    Pemandu lori Isuzu terbabit nahas 2 rentung direman 4 hari

    PEMANDU lori jenis Isuzu yang terbabit nahas lima kenderaan sehingga mengakibatkan dua individu maut akibat terbakar di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Sedenak, di Kulai, malam kelmarin, direman selama empat hari hingga Khamis ini.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki tempatan berusia 38 tahun itu direman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam pada itu, beliau berkata, identiti mangsa kedua yang maut terbakar dalam kemalangan berkenaan belum dapat disahkan, setakat ini.

    “Kita sedang dalam proses mengenal pasti identiti mayat kedua,” katanya lapor Berita Harian, hari ini

    Kemalangan ngeri membabitkan dua lori serta tiga kereta menyebabkan tiga kenderaan terbakar hingga 90 peratus dan dua maut di lokasi kejadian.

    Salah seorang mangsa terkorban ialah penumpang Proton Wira dikenali sebagai Nur Nazihah Kamalul Arifin, 28.

    Semalam, Beng Yeow dalam satu kenyataan media memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada lori pertama yang menukar lorong dari kanan ke kiri ketika jalan sesak.

    Suami Nazihah, Redzuan Jamil, 28, pula mendakwa terdapat impak dari arah belakang sebelum beliau keluar dan mendapati sebuah lori melanggar tiga kenderaan, termasuk keretanya yang berada di tengah

  • Jho Low, bapa dihukum penjara kerana hina mahkamah

    Jho Low, bapa dihukum penjara kerana hina mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho dan bapanya, Larry Low Hock Peng kerana tidak mematuhi perintah yang melarang mereka melupuskan aset.

    Namun kedua-duanya tidak hadir mahupun diwakili peguam ketika perbicaraan di depan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz hari ini.

    Portal Malaysiakini melaporkan, perintah itu dikeluarkan selepas dua beranak itu gagal mematuhi injunksi mareva yang diperolehi 1MDB dalam saman berjumlah AS$3.7837 terhadap mereka dua empat pihak lain.

    Injunksi Mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan.

    Ketika dihubungi, peguam 1MDB Siva Kumar Kanagasabai mengesahkan keputusan permohonan syarikat itu agar Jho Low dan bapanya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana melanggar terma injunksi.

    “Mereka (Jho Low dan Larry Low) dihukum penjara sehingga tindakan menghina mahkamah disingkirkan,” katanya.

    Pengurusan kes untuk tindakan sivil ini ditetapkan pada Rabu ini.

    Pada 15 Mac lalu, mahkamah membenarkan permohonan 1MDB dan satu lagi plaintif untuk mendapatkan injunksi Mareva terhadap Jho Low, bapanya dan beberapa individu lain.

    Plaintif kedua adalah subsidiari 1MDB, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini menggunakan nama MDB Global Investments Limited).

    Kemudian, pada 29 Mac, mahkamah membenarkan permohonan dua plaintif itu untuk injunksi sementara untuk menghalang mereka daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana aset di Malaysia bernilai sehingga US$1.03 bilion, sehingga tindakan sivil utama selesai.

    1MDB dan subsidiarinya kemudian memohon agar Jho Low dan bapanya diisytihar menghina mahkamah kerana tidak memberikan sebarang respons di mahkamah berkenaan perintah injunksi Mareva tersebut.

    Pada 25 Mei lalu, mahkamah menolak permohonan mereka untuk mengetepikan injunksi tersebut..

  • Pagar kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat biru, merah

    Pagar kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat biru, merah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TANPA diketahui motifnya, pagar kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon dekat Jalan Anak Bukit di sini disimbah cat berwarna biru dan merah, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu disedari oleh salah seorang petugas di kediaman terbabit sebelum melaporkannya kepada bilik gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

    Katanya, siasatan awal pihak polis menemukan empat plastik berisi merah dan biru yang dipercayai dilempar ke pagar tersebut.

    “Kami menerima maklumat mengenai kejadian ini kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada pos pengawal kediaman rasmi tersebut. Kejadian dipercayai berlaku selepas pukul 7 pagi kerana ketika pertukaran pengawal pada waktu itu, pagar tersebut masih lagi bersih.

    “Terdapat empat beg plastik ditemukan berhampiran kawasan pagar tersebut dengan dua daripadanya berisi cat biru dan dua lagi berisi cat merah. Setakat ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Pemerhatian mendapati kebanyakan cat tersebut mengenai papan tanda di kawasan pagar selain turut terkena kepada pintu pagar dan pokok hiasan di belakangnya.

    Ahmad Shukri menambah, motif kejadian setakat ini masih disiasat.

    “Kediaman ini tidak memiliki kamera litar tertutup (CCTV) namun kita akan mendapatkan bantuan daripada CCTV kawasan berhampiran untuk mendapatkan petunjuk mengenai kejadian ini.

    “Menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi, saya berharap tiada mana-mana pihak yang membuat spekulasi terhadap kejadian ini,” katanya.

  • Hamid Bador, Ahmad Idham senarai calon GTA Negeri Sembilan

    Hamid Bador, Ahmad Idham senarai calon GTA Negeri Sembilan

    BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan penerbit serta pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, antara dua individu yang disenaraikan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Negeri Sembilan.

    Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail, berkata Abdul Hamid termasuk dalam senarai yang dicadangkan sebagai calon gabungan itu untuk bertanding di Parlimen Rembau.

    Katanya, manakala Ahmad Idham pula dicadangkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

    “Kedua-dua nama individu berkenaan termasuk dalam senarai yang saya bawa ke peringkat pucuk pimpinan sebagai calon GTA Negeri Sembilan menerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    “Hamid Bador dicalonkan bagi Parlimen Rembau manakala Ahmad Idham bagi kerusi Parlimen Port Dickson.

    “Keputusan sama ada mereka terpilih sebagai calon atau sebaliknya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya lapor Harian Metro, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Jani yang juga Timbalan Pengerusi GTA serta Ketua Pejuang Negeri Sembilan, berkata GTA perlu meletakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham bagi memberikan saingan sengit di kedua-dua kerusi terbabit.

    “Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun keputusan muktamad akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tidak lama lagi, namun Ahmad Idham yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan, dilihat tokoh yang boleh memberikan saingan di kerusi Port Dickson.

    “Kita (GTA) perlu letakkan nama besar seperti Abdul Hamid dan Ahmad Idham untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini,” katanya.

    Dalam pada itu, katanya, GTA Negeri Sembilan menyambut baik dan menyokong penuh hasrat gabungan itu untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 ini.

    “GTA Negeri Sembilan sambut baik usaha menjalinkan kerjasama dengan PN dan yakin ianya akan dapat memperkukuhkan lagi gerak kerja jentera pilihan raya bagi mencapai kemenangan besar,” katanya.

    Sementara itu, Mohamad Jani berkata, pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu bagi peringkat Negeri Sembilan dijadual akan diadakan pada 23 Oktober ini.

    “Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan akan hadir dan melancarkan program berkenaan, yang akan diadakan di Senawang,” katanya.

  • Tanpa protokol, Radzi rai Hari Sukan Negara bersama pelajar GENIUS

    Tanpa protokol, Radzi rai Hari Sukan Negara bersama pelajar GENIUS

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di Putrajaya Sabtu lalu tanpa protokol atau sambutan rasmi yang menjadi sebahagian daripada aktivitinya sepanjang berada dalam kementerian.

    Beliau melawat sekolah tersebut bertujuan untuk bersama-sama para pelajar GENIUS Negara dan GENIUS Kurnia menyertai program Hari Sukan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak Genius sempena Hari Sukan Negara.

    “Meriah program tadi dengan kehadiran murid dan ibu bapa. Bukan anak-anak sahaja yang gembira dan seronok menyertai aktiviti yang disediakan, ibu bapa pun saya nampak begitu teruja menyertai pertandingan,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

    ANTARA pelajar yang terlibat dalam sambutan Hari Sukan Negara di SK Putrajaya Presint 17(1).Gambar FB Radzi Jidin

    Beliau berkata, mereka mewakili pasukan adiwira Superman, Ninja Turtle, Bumblebee & Captain America.

    “Singgah ke sekolah atau program sekolah tanpa protokol atau sambutan rasmi memang menjadi amalan saya sejak berada di KPM.

    “Melalui pendekatan ini saya dapat meluangkan lebih masa untuk berjumpa dengan anak-anak murid, cikgu dan ibu bapa,” tambahnya.

    Katanya, pentadbir sekolah dan guru juga tidak perlu membuat persiapan berhari-hari dengan bermacam-macam jawatankuasa dan apa yang penting beliau dapat mengetahui kepayahan dan situasi sebenar yang berlaku di sesebuah sekolah.

    “Kemudian langkah penyelesaian akan diambil.

    “Terima kasih semua, maaf pak cik muncul secara tiba-tiba tadi,” katanya.