Author: Wartawan WartaRakyat

  • 5 kenderaan terbabas rempuh gerai buah, peniaga dan pelanggan cedera

    5 kenderaan terbabas rempuh gerai buah, peniaga dan pelanggan cedera

    LIMA buah kenderaan pelbagai jenis terbabas merempuh gerai di Jalan Besar Ayer Tawar, dekat Beruas, semalaam dan mengakibatkan seorang peniaga buah-buahan dan seorang pelanggan cedera.

    Penjual buah-buahan berusia 42 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian lengan kanan dan kaki kanan manakala pelanggan berusia 54 tahun cedera ringan di bahagian kepala dan badan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mereka menerima maklumat mengenai nahas pada 1.50 petang.

    “Kemalangan melibatkan lima buah kenderaan yang merempuh sebuah gerai buah-buahan dan terdapat dua orang mangsa. Kedua-dua mangsa tidak tersepit.

    “Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sukardi Mohamed itu tamat jam 2.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Polis dalam pada itu memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

    Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana–mana balai polis berhampiran.

  • ‘’Saya dah beri ‘peluru’ banyak-banyak kepada BN’’ – Ismail Sabri

    ‘’Saya dah beri ‘peluru’ banyak-banyak kepada BN’’ – Ismail Sabri

    LAPORAN siasatan ke atas dakwaan buku bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ tulisan Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang telah dinyahklasfikasikan harus dijadikan ‘peluru’ Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jentera komunikasi BN (BN Comms) perlu memanfaatkan peluang berkenaan untuk menentang pembangkang.

    “Saya dah beri ‘peluru’… contohnya kita sudah dedahkan kepada umum tentang laporan oleh jawatankuasa khas, menyiasat Tommy Thomas.

    “Saya dah beri peluru banyak-banyak. Saya sudah minta kepada Menteri Undang-Undang supaya keluarkan dalam laman web Menteri Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara terperinci mengenai apa dilakukan dan kesalahan-kesalahan oleh Tommy Thomas,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini, lapor Astro AWANI.

    Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri berkata isu Pulau Batu Puteh dan pengampunan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mempunyai keraguan juga harus dijadikan senjata melawan pembangkang.

    Tegasnya, selain menyerang Pakatan Harapan (PH), jentera BN juga perlu melakukan tindakan sama ke atas Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kemenangan BN pada PRU15.

    “Jadi ini perkara-perkara yang boleh kita kita bangkitkan. Bukan setakat jawab, tetapi hentam mereka.

    “Tetapi mungkin selama ini kita hentam sesama sendiri, (sampai) lupa hendak hentam pembangkang. Jadi, mulai hari ini dengan solidariti yang ada, tugas kita adalah untuk hentam musuh kita iaitu pembangkang.

    “Ini supaya kita jadikan cita-cita mereka untuk memerintah Putrajaya mahupun Negeri Perak ini sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’,” katanya.

    Pada 13 Oktober lalu, kerajaan bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk”My Story: Justice In The Wilderness” tulisan Thomas.

    Dua pasukan petugas khas telah membentangkan laporan siasatan dakwaan buku tersebut dan laporan semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September dan 7 Oktober yang lalu.

    Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata BN bukan sahaja perlu menang pada PRU15 malah perlu menjadi parti dominan bagi memastikan pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya lebih stabil.

    “Memang betul saya jadi Perdana Menteri, tapi dalam Parlimen kerajaan kerusi kita tak cukup. Walaupun saya jadi Perdana Menteri, setiap masa kita tertanya-tanya kalau mereka tarik lima orang, kita tumbang.

    “Jadi pada PRU15 pastikan kita jadi parti dominan. Kali ini, kita kena menguasai Kabinet sepenuhnya sekurang-kurangnya 80 kerusi. Kalau 80 kerusi barulah kita kuat, baru orang nak dengar cakap kita,” katanya.

  • Bubar Parlimen : ‘’Kalau you all tak setuju, saya bubar sahaja Kabinet ini’’ – PM

    Bubar Parlimen : ‘’Kalau you all tak setuju, saya bubar sahaja Kabinet ini’’ – PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengulangi kenyataan bahawa keputusan pembubaran Parlimen dibuat berikutan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sikap tidak wajar dengan mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat bantahan.

    “Saya ada bawa ke dalam mesyuarat Kabinet, supaya Kabinet tahu niat saya untuk membubarkan Parlimen. Memanglah ada berbagai pandangan, tetapi akhirnya saya membuat keputusan.

    “Saya beritahu dia orang, kalau you all (awak semua) tak setuju saya bubarkan sahaja Kabinet ni, dengan pecat semua orang, pun saya boleh buat. Silap, patut saya pecat semua sekali. “Akan tetapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, tetapi bukan lembut,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, pada Isnin.

    Hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, soal pembubaran Parlimen sepatutnya tidak dipersoalkan kerana ia dijalankan mengikut proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

    Malah katanya, hasrat untuk membubarkan Parlimen itu turut telah dimaklumkan secara isyarat dalam mesyuarat Kabinet terakhir iaitu sebelum pembentangan Bajet 2023.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu ketika mesyuarat Kabinet tersebut, beliau meminta hubungan silaturrahim sesama mereka terus dipelihara walaupun jika bertembung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Mesyuarat Kabinet terakhir ada saya beritahu semua, walaupun kita bertembung dalam pilihan raya, namun hubungan sesama manusia mesti dikekalkan.

    “Kita tak payah nak berperang sampai ‘berpatah arang’. Kita pilihan raya sebulan atau sebulan setengah, selesai sampai itu sahaja. Kita sebagai umat Islam sesama kita ini tali silaturrahim harus kekalkan.

    “Jadi saya sudah bagi ‘signal’ pada hari terakhir iaitu pagi sebelum Bajet 2023 dibentang,” katanya.

    Pada Selasa lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata keputusan pembubaran Parlimen dibuat berikutan 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar dengan mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Katanya pembubaran itu bertujuan menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

    Sementara itu, Ismail Sabri sekali lagi mempersoalkan tindakan pihak pembangkang yang mempertikaikan keputusan pembubaran Parlimen.

    Beliau juga sekali lagi menyifatkan tindakan penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago yang memfailkan saman terhadap beliau susulan pembubaran parlimen sebagai mahu mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

    “Sepatutnya pembangkang seronok (apabila Parlimen dibubarkan). Sebab pembangkang kata kerajaan hari ini tidak berapa sah, kerajaan hari ini ‘kerajaan tebuk atap’, kerajaan hari ini ‘tebuk dinding’, kerajaan hari ini kerajaan ‘tebuk pintu belakang’.

    “Berbagai-bagai tuduhan yang dibuat mereka tentang keabsahan kerajaan yang ada pada hari ini. Kalau macam tu elok kita bubarkan. Ini, saman pula kita,” katanya.

  • Silibus mata pelajaran sekolah dinilai semula selepas satu pusingan dilaksanakan – Radzi

    Silibus mata pelajaran sekolah dinilai semula selepas satu pusingan dilaksanakan – Radzi

    SILIBUS  mata pelajaran yang digunakan dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini digunakan sejak 2017.

    Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin, silibus yang diguna pakai itu adalah hasil kajian dan cadangan beberapa pihak termasuk guru-guru yang mempunyai kepakaran masing-masing.

    Beliau berkata, ketika ini Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melakukan penilaian semula silibus sekolah rendah memandangkan tempoh pusingan penggunaanya hampir tamat.

    “Ini bukanlah sesuatu yang baharu. Menurut pendekatan selama ini yang digunakan, apabila silibus itu diperkenalkan ia akan melalui satu pusingan… maknanya untuk sekolah rendah silibus ini diperkenalkan pada tahun 2017.

    “Jadi ia akan digunakan dari 2017 hingga 2022, maka lengkaplah satu pusingan… yang Darjah Satu 2017 akan berada Darjah Enam pada 2022, lengkap satu pusingan… itu untuk sekolah rendah,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

     KPM juga katanya akan bersikap terbuka dengan segala pandangan dan idea daripada semua pihak termasuk guru dan juga ibu bapa dalam menentukan silibus pembelajaran yang akan digunakan.

    Beliau turut menasihatkan agar isu membabitkan silibus pembelajaran sekolah tidak dipolitikan oleh mana-mana pihak memandangkan ia membabitkan pendidikan pelajar di negara ini.

    Jelasnya beliau melihat ada kumpulan dan individu tertentu yang cuba menjadikan silibus pembelajaran sebagai isu politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Sabtu lalu, Mohd Fadli menerusi Facebook mendakwa dia akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Dia turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai, selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat.

    Menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bagi membela diri.

  • Radzi arah KSU KPM lapor SPRM siasat dakwaan Zaharin

    Radzi arah KSU KPM lapor SPRM siasat dakwaan Zaharin

    MENTERI Pendidikan Datuk Dr.Radzi Jidin mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian itu untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan bekas ahli UMNO,Zaharin Yassin berlaku penyelewengan dalam kontrak bekalan makan serta kebersihan bangunan serta kawasan.

    Dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini, Radzi berkata, memandangkan Zaharin mendakwa menerima aduan berhubung perkara itu dan menyebut nama beliau, Radzi mahu siasatan dijalankan segera.

    ‘Saya menerima hantaran video yang dibuat oleh Saudara Zaharin Yassin menyatakan bahawa terdapat aduan yang beliau terima tentang penyelewengan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.

    ‘’Memandangkan nama saya dan KSU KPM turut disentuh, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPM untuk membuat laporan segera kepada SPRM supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin. Saya juga berharap Saudara Zaharin dapat menyampaikan maklumat yang diterima beliau kepada SPRM,’’ katanya.

  • Inap desa jadi stor simpanan dadah diserbu, dadah bernilai RM10j dirampas

    Inap desa jadi stor simpanan dadah diserbu, dadah bernilai RM10j dirampas

    HELAH sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang dengan menjadikan rumah inap desa sebagai stor simpanan dadah berjaya dibongkar polis selepas pihak berkuasa itu menyerbu sebuah premis di Kajang, 13 Oktober lalu.

    Ini susulan Op Leslie yang dilancarkan polis sehingga membawa kepada penahanan lima suspek sekali gus membawa kepada rampasan 213 kilogram syabu dan 33 kilogram pil erimin 5 bernilai RM10.1 juta.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan bermula pukul 12 tengah hari hingga 3.15 petang itu dijalankan hasil maklumat susulan tangkapan lima individu di sebuah kondominium di Taman Desa, di Kuala Lumpur, 13 Oktober lalu.

    “Lanjutan itu, kami membuat serbuan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

    “Dalam serbuan kedua di hadapan pos pengawal sebuah taman perumahan di Bandar Damai Perdana, Kajang pula, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

    Azmi berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana sebelum menemui 206 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 213 kilogram (kg) dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33 kg.

    “Kami turut membuat sitaan harta membabitkan wang tunai sebanyak RM70,000 dan dua kereta jenis Toyota Altis serta sebuah Kia Forte.

    “Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah yang boleh dibekalkan kepada 538,000 penagih itu serta sitaan harta berjumlah RM10.1 juta,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan menjadikan inap desa itu sebagai stor simpanan dadah sejak dua bulan lalu.

    “Kami percaya sindiket ini sentiasa mengubah lokasi simpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari utara tanah air bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Setakat ini, kami percaya dadah berkenaan dipasarkan di sekitar Lembah Klang. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada ia dijual bagi pasaran luar Lembah Klang atau luar negara,” katanya.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah selain ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 21 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Strategi ‘Kita Jaga Kita’ elemen penting Perikatan Nasional – Faiz Na’aman

    Strategi ‘Kita Jaga Kita’ elemen penting Perikatan Nasional – Faiz Na’aman

    STRATEGI  ‘kita jaga kita’ adalah elemen terpenting bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), khususnya di 27 kerusi kritikal yang ditandingi. 

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata memandangkan jalan ke arah rundingan membabitkan ketiga-tiga parti Melayu terbesar, iaitu UMNO, Pas dan Bersatu sukar dicapai, maka tumpuan perlu diberikan untuk mengukuhkan kerjasama membabitkan semua parti yang bekerjasama melalui PN. 

    “Secara peribadi, saya berpandangan patut wujud rundingan (UMNO, Pas, Bersatu) dari awal lagi. Namun, ia mungkin agak terlewat terutama apabila Bersatu sudah isytihar BN sebagai musuh utama dalam PRU ini, manakala UMNO pula melaungkan ‘No PPBM’ dalam Perhimpunan Agung UMNO selama dua tahun berturut-turut. 

    “Saya fikir, Pas perlu realistik dalam hal ini bahawa Bersatu tidak akan berkompromi dengan UMNO yang didominasi kluster mahkamah,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau saranan pihak tertentu, termasuk penganalisis politik supaya UMNO-BN, Pas dan Bersatu-PN berunding sebelum penamaan calon bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi kritikal. 

    Rundingan itu dikira penting dalam usaha mengelakkan 27 kerusi panas itu menjadi milik PH, seperti berlaku pada PRU-14. 

    Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, pengukuhan kerjasama gabungan PN, terutama bagi menambat hati rakyat adalah usaha paling ideal untuk dilakukan ketika ini. 

    “Penting untuk menambat hati rakyat supaya menolak pihak yang ultra liberal dan korup dalam PRU ini. 

    “Kita patut jaga sesama kita, jangan fikir pasukan lain. Perlu realistik dan ikut ketetapan kepemimpinan tertinggi Perikatan Nasional melalui musyawarah dalam Majlis Tertinggi PN,” katanya.

  • Bersatu belum buat keputusan calon bertanding DUN Perak

    Bersatu belum buat keputusan calon bertanding DUN Perak

    BERSATU belum membuat sebarang keputusan meletakkan calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat tertinggi parti sebelum sebarang keputusan dibuat.

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, langkah itu susulan tindakan Kerajaan Perak membubarkan DUN mereka berkuat kuasa hari ini.

    “Belum lagi…,” katanya ringkas ketika diajukan soalan oleh media, lapor Berita Harian, hari ini.

    Media hari ini melaporkan, Perak membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembubaran dilakukan selepas mendapat warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

    Katanya, ia selaras dengan Perkara 32(2), Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

    Ketika ditanya sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Jeli, Kelantan, beliau mengambil sikap mengunci mulut dan enggan memberi sebarang kenyataan.

    Pada PRU-14, Mustapa memenangi kerusi Parlimen Jeli mewakili Barisan Nasional (BN).

    Bagaimanapun, beliau kemudiannya melompat parti menyertai BERSATU dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

  • Ceramah politik dibenarkan asal patuh SOP

    Ceramah politik dibenarkan asal patuh SOP

    PARTI politik boleh mengadakan aktiviti kempen seperti ceramah walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagaimanapun parti politik tersebut mestilah mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Ceramah ini boleh berlaku bila-bila masa, cuma perlu mengikut SOP,” katanya, lapor portal BeritaBersatu hari ini.

    Beliau berkata, setiap perhimpunan yang diadakan juga perlu mendapatkan kelulusan permit daripada pihak polis.

    “Negara ada undang-undang dan kita tahu bahawa rakyat sekarang ini sudah pun bijaksana,” katanya.

  • Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Kilometer 111.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Sungai Petani, Kedah, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    “Siasatan awal dijalankan mendapati kesemua motosikal tersebut ditunggang secara laju dalam jarak dekat sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.

    “Kejadian itu mengakibatkan motosikal berkenaan terbabas ke tengah-tengah laluan lebuh raya dengan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

    Tamabhnya, dua lagi mangsa yang berusia 18 dan 19 tahun, dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya seorang daripada hanya mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di zon hijau manakalah seorang lagi turut mengalami kecederaan parah menyebabkannya dimasukkan ke zon kuning.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke unit forensik HSAH untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.