Author: Wartawan WartaRakyat

  • Saya tidak pernah tutup ruang untuk guru bagi pandangan, kata Radzi Jidin

    Saya tidak pernah tutup ruang untuk guru bagi pandangan, kata Radzi Jidin

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan yang beliau tidak pernah menutup ruang untuk guru memberi pandangan yang memberi kebaikan kepada sistem pendidikan negara.

    Jelasnya, beliau malah sentiasa mengalu-alukan kepada semua guru sekiranya mahu memberi pandangan untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

    Menurut Radzi, perkara itu dapat dilihat menerusi makluman di Facebook peribadinya yang mengajak guru untuk berjumpa ketika beliau turun ke peringkat bawah untuk berdialog dengan guru.

    “Dalam mana-mana sesi perjumpaan dialog dengan guru, saya tidak pernah tutup ruang untuk mereka memberi pandangan.

    “Sebagai contoh, dalam perjumpaan dengan Penolong Kanan Pentadbiran, saya meminta mereka menjelaskan cabaran dan kesukaran yang dihadapi dan satu daripada isu yang dibangkitkan adalah beg berat,” katanya, lapor UtusanTV.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Inisiatif Reading Progress di sekolah di Shah Alam, hari ini.

    Sementara itu, mengulas mengenai isu melibatkan guru Matematik Mohd. Fadli Mohamed Salleh, Radzi yakin Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan akan membuat keputusan profesional hari ini.

    Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada 14 Okt.

    Pkharuddin berkata surat yang diterima Mohd. Fadli tidak membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

    Sebelum ini, Mohd. Fadli mendakwa beliau berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Beliau dalam hantaran di laman Facebook turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang didakwa boleh memudaratkan kesihatan.

  • Ini bukan silibus Radzi Jidin

    Ini bukan silibus Radzi Jidin

    “INI bukan silibus Radzi Jidin.”

    Itu kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengulas tindakan beberapa pihak yang mengambil kesempatan dan cuba mempolitikkan isu silibus pembelajaran, ketika ini.

    Isu itu kembali hangat dibincangkan selepas guru Matematik, Mohd. Fadli Mohamed Salleh bakal dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai sukatan pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk murid.

    Menurut Radzi, silibus yang digunakan di sekolah bukan baru dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM), sebaliknya ia sudah mula digunakan sejak 2017 dan digubal lebih awal dari itu.

    “Ini bukan silibus Radzi Jidin. Silibus ini mula digunakan pada 2017 dan untuk bangunkan silibus ini, ia ambil masa dan prosesnya bermula lebih lama dari itu dan dibangunkan oleh guru dan pegawai pendidikan.

    “Selepas digubalkan, kita tak boleh tukar secara kerap kerana akan sukarkan guru dan murid untuk sesuaikan diri dengan silibus baharu. Pendekatan kita adalah setiap silibus akan dinilai semula selepas habis satu pusingan.

    “Ini bererti murid darjah 1 yang mula menggunakan silibus ini pada 2017 akan berakhir satu pusingan apabila mereka masuk darjah 6 tahun ini. Jadi, silibus untuk sekolah rendah selesai tahun ini, manakala sekolah menengah sudah selesai tahun lalu.

    “Apabila selesai pusingan ini, KPM akan meneliti semula silibus. Ini kita sedang laksanakan dan KPM menghargai pandangan guru dan ibu bapa berhubung isu silibus ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress Di Sekolah KPM, Shah Alam, hari ini lapor BH Online.

  • Agong titah PRU-15 dalam tempoh terdekat – PM

    Agong titah PRU-15 dalam tempoh terdekat – PM

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan kuasa perogatif mengikut Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, secara bijaksana menzahirkan harapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan dalam tempoh terdekat.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi afidavit sokongan yang difailkan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak semalam berkata, tempoh itu sebelum monsun timur laut yang diramal bermula pertengahan bulan depan.

    “Ini menunjukkan sifat keprihatinan dan cakna Yang di-Pertuan Agong dalam mengambil kira faktor kebajikan rakyat, walaupun bukan suatu keperluan mengikut Perkara 55(2) dan 40 Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat demikian.

    “Kuasa baginda untuk membubarkan Dewan Rakyat mengikut dua perkara itu suatu yang tidak boleh diadili dan tidak boleh dipertikai di mahkamah.

    “Hal ini demikian kerana kuasa untuk membubarkan Parlimen suatu kuasa perogatif baginda di bawah dua perkara terbabit.

    “Ia yang mana boleh mengikut budi bicara membubarkan Parlimen tanpa perlu mendapatkan nasihat daripada Jemaah Menteri di bawah Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

    “Saya sesungguhnya percaya isu berkenaan permintaan itu dibuat tanpa nasihat Jemaah Menteri bersifat akademik kerana baginda sudah memperkenan permintaan dan seterusnya membubarkan Parlimen.

    “Proses mahkamah dalam undang-undang bukan bermaksud untuk ke arah tujuan berpolitik atau terselindung dan untuk alasan in sahaja, tindakan saman hendaklah dibatalkan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Pada 11 Oktober lalu, penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago, selaku plaintif menfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan, susulan pembubaran Dewan Rakyat yang dibuat Perdana Menteri pada 10 Oktober lalu.

    Berdasarkan salinan saman pemula yang difail dan dilihat BH, Charles menuntut supaya satu deklarasi kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

    Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

    Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya mengikut Perlembagaan atau undang-undang Persekutuan.

    Ismail Sabri berkata, SPR mempunyai tugas keperlembagaan mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan PRU-15 dalam tempoh 60 hari, selepas pembubaran Parlimen.

    “Saya percaya kuasa defendan (SPR) di bawah Perkara 55(4) untuk mengadakan PRU-15, selepas pembubaran itu suatu perkara yang tidak boleh diadili.

    “Di bawah Perkara 118, sebarang cabaran terhadap sesuatu pilihan raya hanya boleh dipersoal melalui petisyen pilihan raya,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menerusi afidavit sokongan difailkan tetuan terbabit pada hari sama berkata, pihaknya perlu memastikan penjalanan PRU-15 dapat berjalan dengan teratur dan lancar.

    Ini selaras dengan Perkara 55(4) dan 113(1) Perlembagaan Persekutuan, Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan serta keseluruhan undang-undang berkaitan pilihan raya.

    “Plaintif tidak dapat mengekalkan sebarang bentuk relif yang mempunyai kesan sama dengan injunksi atau perlaksanaan spesifik terhadap semua defendan.

    “Defendan akan berhujah dengan lebih lanjut pada hari pendengaran permohonan defendan kelak,” katanya.

  • ‘Saya tak boleh campur tangan keputusan Lembaga Tatatertib’-Dr. Radzi

    ‘Saya tak boleh campur tangan keputusan Lembaga Tatatertib’-Dr. Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin memberitahu bahawa beliau tidak boleh campur tangan dalam sebarang keputusan daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan berhubung dakwaan salah laku guru matematik, Mohd. Fadli Mohamed Salleh.

    Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan, beliau enggan mendedahkan keputusan tersebut kerana ia bukan berada dalam bidang kuasanya.

    “Saya tidak boleh (dedahkan). Itu bukan dalam ruang lingkup saya sebagai Menteri Pendidikan untuk masuk campur dalam urusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

    “Ia ada ‘border’ (batasan) di mana keputusan itu akan dihantar kepada cikgu tersebut melalui ketua jabatan pada hari ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Majlis Pelancaran Inisiatif ‘Reading Progress’ Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sebuah hotel di Shah Alam, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Pada 14 Oktober lalu, Mohd. Fadli guru Matematik di sebuah sekolah rendah di Gombak menerusi Facebooknya mendakwa beliau akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Beliau turut menyatakan bilangan murid dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

    Bagaimanapun menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd. Fadli diberikan tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat itu untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan untuk membela diri.

  • Calon MB ‘kitar semula’ BN, beri kelebihan pada PN Terengganu, kata pemimpin Bersatu

    Calon MB ‘kitar semula’ BN, beri kelebihan pada PN Terengganu, kata pemimpin Bersatu

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menganggap keputusan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai ‘poster boy’ pada pilihan raya negeri akan datang bakal memberi kelebihan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).

    Ketuanya, Datuk Razali Idris berkata, pemilihan Ahmad juga ibarat ‘memberi bola tanggung’ kepada PN, memandangkan lebih banyak modal politik kegagalan ADUN Kijal itu semasa menjadi Menteri Besar boleh dibangkitkan.

    “Kita tak ada masalah untuk lawan UMNO-BN, dengan meletakkan Ahmad sebagai ‘poster boy’. Ia memberi kelebihan kepada kita, banyak modal kita boleh bangkitkan,” katanya kepada FMT.

    Razali berkata, melihat kedudukan BN Terengganu ketika ini sekalipun mempertaruhkan Ahmad Said parti itu bakal berdepan laluan sukar merampas kerajaan negeri daripada Pas sekiranya pilihan raya negeri diadakan serentak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Saya tak nampak mereka boleh menang dan menguasai Terengganu pada PRU-15,” katanya.

    Razali juga menyuarakan rasa hairan mengapa BN masih mempertaruhkan individu ‘kitar semula’ untuk diangkat sebagai Menteri Besar seperti Ahmad, sedangkan ADUN Kijal itu bukan individu kental jiwanya apabila pernah mengumumkan keluar parti pada 2014.

    “UMNO-BN pada PRU-14 sudah kalah lebih 2/3 kerusi di Terengganu, sepatutnya angkatlah muka baharu, tapi pelik masih lagi bertuankan orang lama. Sekarang orang muda nak kepimpinan muda dan segar, malah Ahmad juga pernah keluar UMNO dan masuk balik, kalau dari segi perjuangan beliau itu tak begitu kental sangatlah.

    “Dalam UMNO ramai muka baharu boleh diangkat sebagai ‘poster boy’ dan menteri besar…yang mampu bawa perubahan kepada UMNO-BN kalau diberi peluang,” katanya sambil memaklumkan kerajaan Pas Terengganu boleh dikekalkan melalui kerjasama PN.

    Ditanya soal pembahagian kerusi antara Bersatu dan Pas melalui PN, Razali berkata, gabungan itu tidak mempunyai masalah besar untuk diselesaikan dan lebih mudah memandangkan BN bertegas tidak mahu bekerjasama.

    Sebelum ini FMT melaporkan BN Terengganu mempertaruhkan Ahmad sebagai ‘poster boy’ dalam usahanya merampas kembali tampuk pemerintahan daripada Pas.

    Setiausaha UMNO negeri, Rozi Mamat, berkata ketua UMNO Terengganu itu akan dilantik sebagai menteri besar, jika BN berjaya menawan semula Terengganu.

  • Naratif ‘pengkhianat’, ‘kerajaan pintu belakang’ PH tak laku

    Naratif ‘pengkhianat’, ‘kerajaan pintu belakang’ PH tak laku

    NARATIF kerajaan ‘pengkhianat’ dan ‘tebuk atap’ terhadap pembentukan kerajaan selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 seringkali dicanang setiap kali musim Pilihan Raya Negeri dan persidangan Dewan Rakyat. 

    Agenda naratif tersebut kononnya ingin mengatakan bahawa gabungan Bersatu, Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sheraton Hotel, Petaling Jaya menggunakan nama Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak bermaruah dan mencalarkan sistem demokrasi.

    Ia juga membawa kepada Rang Undang-undang Anti Lompat Parti yang diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat baru-baru ini. 

    Bagaimanapun, bagi pengundi-pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang ditemui menurut laporan MalaysiaNow, mereka tidak termakan dengan naratif yang digunakan PH itu untuk memburukkan PN.

    Sekumpulan pengundi muda yang ditemui di sebuah restoran makanan segera berdekatan Seri Kembangan, Selangor menganggap peralihan kerajaan pada awal 2020 itu sebagai sesuatu yang positif. 

    Mereka yang berusia dari 19 hingga 24 tahun itu rancak bercerita tentang pandangan masing-masing mengenai Langkah Sheraton yang menyaksikan perubahan kerajaan dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

    “Kami tak suka PH. Manifesto mereka bukan kitab suci. Sudah tu, nak buat apa jadi kerajaan? 

    “PN lebih baik sebab boleh urus negara masa Covid-19 dan beri moratorium. Memang membantu ramai orang contohnya macan keluarga kami sendiri yang ada hutang bank,” kata Muhamad Nazleen yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing.

    Mereka mengakui tidak begitu mahir tentang politik, namun, mereka yakin tidak akan terpengaruh dengan kempen-kempen yang mengatakan peralihan kuasa itu sebagai hipokrit, tidak sah dan pengkhianatan. 

    Menurut mereka, undi yang akan disumbangkan pada PRU15 akan dinilai sebaiknya melalui manifesto dan prestasi sepanjang kempen PRU15 yang berlangsung kelak. 

    Kenyataan mereka pernah disokong oleh satu tinjauan yang dilakukan oleh badan kajian bebas Merdeka Centre for Opinion Research pada April 2021. 

    Tinjauan itu mendapati Muhyiddin mempunyai populariti 67% sebagai perdana menteri dan 74% pengundi secara konsisten berpendapat kerajaan membantu rakyat yang memerlukan bantuan dalam tempoh pandemik berbanding 25% yang tidak berpuas hati.

    Lakukah kempen ‘kerajaan pengkhianat’? 

    Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Atory Hussain berkata penerimaan tentang naratif ‘khianat’ adalah berbeza mengikut latar belakang kelas ekonomi. 

    Menurut Atory, golongan kelas menengah tidak akan mudah terpengaruh dengan istilah ‘khianat’ yang seringkali dicanang oleh pihak pembangkang. 

    Ini kerana, katanya, mereka memahami politik mandat rakyat melalui sistem pilihan raya dan politik mandat melalui majoriti ahli-ahli Parlimen. 

    “Mereka faham bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pun guna akuan berkanun (SD) untuk tiru Muhyiddin ambil alih kuasa tapi dia tak berjaya. Ahli-ahli Parlimen tak ramai sokong dia.

    “Orang-orang yang bercakap khianat tu pun khianat juga. Anwar Ibrahim juga cuba dapatkan SD untuk jadi PM. Anwar dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga jatuhkan kerajaan Melaka dan Johor tahun lalu dikira khianat lah tu. 

    “Tapi orang yang faham politik demokrasi, tak ada masalah kerana tak langgar undang-undang pun,” katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada PRN yang dipaksakan berlaku di Melaka oleh PKR dan Johor oleh UMNO. 

    Menurut Atory, naratif khianat itu sememangnya digunakan bagi niat yang tidak baik dan mahu memperlekeh pihak PN sahaja.

    Mengulas lanjut, Atory menegaskan naratif tersebut hanya bersifat provokasi semata-mata yang mahu memburukkan kumpulan pemimpin yang dibenci. 

    Tegasnya, jika benar rakyat mudah terpengaruh dengan provokasi tersebut, Bersatu mungkin tidak akan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah. 

    “Muhyiddin mungkin tak ada penyokong pun. 

    “Kenyataannya, Bersatu kini kian mendapat perhatian,” katanya merujuk kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN Sabah pada tahun 2020 yang berjaya membentuk kerajaan negeri, menewaskan gabungan Warisan dan PH.

  • Siti Nordiana nafi kualiti vokal merudum

    Siti Nordiana nafi kualiti vokal merudum

    PENYANYI dikenali dengan suara yang merdu, Siti Nordiana menafikan dakwaan kualiti vokalnya merudum berdasarkan beberapa persembahan besar sebelum ini.

    Namun tidak menolak kemungkinan tiga kali terkena jangkitan Covid-19 memberi kesan buruk pada pernafasannya terutama ketika membuat persembahan.

    Faktor tidak cukup rehat juga memberi kesan terhadap kualiti persembahannnya.

    “Kadang-kadang ada waktu penyanyi tak cukup rehat. Sebab penyanyi bukan mesin. Ada masa okay, ada masa tak sihat. Macam saya sendiri sudah tiga kali terkena Covid-19. Setiap tahun kena sejak 2020.

    “Tidak dinafikan ia memberi kesan pada pernafasan. Tapi, ia bukan alasan untuk saya menyanyi main-main. Tak dinafikan ada dua tiga persembahan saya yang kurang hingga menjadi kritikan netizen di media sosial.

    “Saya pula jenis tak suka nak gaduh. Kalau memang menyanyi tak sedap saya mengaku saja. Sebab saya tahu, diri ini takkan pernah sempurna,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Siti Nordiana yang mesra disapa Nana baru muncul dengan single Menyantun Kasih hasil ciptaan komposer terkenal, Datuk M. Nasir dan lirik oleh Keon Omar.

    Menariknya, video muzik (MV) lagu itu sudah mencecah lebih 150,000 tontonan selain berada di kedudukan ke-13 carta trending YouTube.

    “Alhamdulillah, sejak mula dilancarkan pada 14 Oktober lalu, lagu dan MV ini terus mendapat sambutan baik. Terima kasih kepada semua yang sudah mendengar dan memberikan maklum balas terhadap lagu ini,” katanya.

  • Phuket dilanda banjir, banyak kawasan pelancongan terjejas

    Phuket dilanda banjir, banyak kawasan pelancongan terjejas

    HUJAN lebat semalaman tanpa henti  menyebabkan banyak kawasan di Phuket dilanda banjir dengan jalan-jalan raya ditenggelami air termasuk daerah pelancongan popular, Jalan Bangla di Patong kelmarin.

    Menurut laporan, hujan lebat malam Sabtu lalu telah menyebabkan bandar di pulau peranginan itu dinaiki air, manakala tanah runtuh berlumpur menyekat laluan di Kamala, lapor berita Thaiger.

    Orang ramai  yang berada di kawasan terjejas dibantu oleh pasukan penyelamat. Anggota polis telah diarah untuk mengawal lalu lintas di jalan-jalan utama seperti Jalan Thepkrasattri dan merentasi Bukit Patong di Jalan Phra Baramee.

    Thepkasattri, Srisoonthorn, Patong, Kamala, Cherng Talay dan Pa Khlok merupakan kawasan yang paling teruk terjejas, demikian menurut  Pejabat Mitigasi dan Pencegahan Bencana  Wilayah Phuket.

    “Semua pihak saling menghulurkan  bantuan. Di daerah-daerah kecil yang dilanda banjir, semua organisasi pentadbiran tempatan sedang membantu penduduk yang terjejas,” kata Gabenor Phuket, Narong Woonciew.

    Sementara itu, laman berita The Phuket News melaporkan bahawa tanah runtuh di jalan pantai antara Kamala dan Patong telah menghalang lalu lintas selain jalan-jalan raya di Patong juga sebahagiannya ditenggelami air.

    Air banjir di jalan-jalan bandar di pulau itu dilaporkan berada pada paras lutut dan di sesetengah tempat, ia bahkan mencapai paras pinggang.

    Pejabat Pengangkutan Darat Phuket (PLTO) berkata, terdapat jalan-jalan di mana bas dan lori besar boleh melaluinya, namun kereta dan motosikal diarahkan berpatah balik.

    Selain itu, sebilangan kawasan turut mengalami gangguan bekalan elektrik disebabkan beberapa faktor.

    Sebilangan tiang elektrik dilaporkan tumbang ketika ribut melanda,  manakala sesetengah lokasi memerlukan kerja-kerja pembersihan. Ia menyebabkan bekalan elektrik terpaksa dihentikan untuk seketika.

    Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

  • Polis rampas 1,608 botol perisa vape

    Polis rampas 1,608 botol perisa vape

    Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,608 botol perisa vape pelbagai jenama bernilai RM192,960 di pangkalan haram Tebu, di Rantau Panjang, pukul 1.45 tengah hari semalam.

    Ketika kejadian, anggota Batalion 7 PGA sedang membuat rondaan sebelum terserempak sebuah pacuan empat roda berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setelah menyedari kehadiran pihak polis, pemandu bertindak memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan.

    “Usaha menjejaki suspek gagal, namun hasil pemeriksaan pada kenderaan terbabit menemui kesemua perisa vape yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

    “Anggota membawa kesemua barangan rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semua perisa vape kemudian akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

    Muhamad Zaki berkata, cecair vape mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan difahamkan kerajaan Thailand mengharamkan penggunaan bahan bernikotin itu, justeru mereka memilih cara menyeludup masuk secara haram untuk mendapatkan bekalan

    “Pihak polis bagaimana pun sentiasa bersiap siaga untuk menumpaskan kumpulan penyeludup ini yang jelas menyalahi undang-undang negara kerana melakukan aktiviti pembolosan kawasan sempadan.

    “Kerjasama masyarakat setempat juga diperlukan untuk sama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Pemandu treler ditahan selepas tumbuk muka anggota polis trafik

    Pemandu treler ditahan selepas tumbuk muka anggota polis trafik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemandu treler ditahan selepas bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk muka anggota polis trafik dalam kejadian di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, semalam.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya mengesan sebuah klip video kejadian yang mendakwa telah dipukul oleh seorang anggota polis trafik pada pukul 10.20 pagi.

    Beliau berkata, semakan mendapati laporan telah dibuat oleh anggota polis trafik yang terlibat.

    Katanya, sewaktu menjalankan tugas pemantauan lalu lintas, anggota terbabit mendapati sebuah treler telah memandu di lorong kanan yang sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.

    “Suspek yang berusia 489 tahun juga enggan memberikan kerjasama sewaktu pemeriksaan dilakukan.

    “Suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat lalu membuka pintu dan terus menumbuk muka anggota polis terbabit sebanyak dua kali dan menendang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, berlaku sedikit pergelutan dan anggota polis terbabit cuba mempertahankan diri atas tindakan suspek.

    Katanya, suspek kemudian ditahan pukul 1 petang di tempat kejadian.

    Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Johor Bahru bagi siasatan lanjut.