Author: Wartawan WartaRakyat

  • Saya hanya akan jawab kepada pihak berkuasa, bukan ahli politik

    Saya hanya akan jawab kepada pihak berkuasa, bukan ahli politik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, tiada keperluan untuknya menjawab setiap persoalan ditimbulkan ahli politik lawan di media sebelum ini termasuk mengenai pentadbiran Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah berhubung isu unsur nadir bumi (REE).

    Katanya, beliau hanya akan memberi kerjasama dan menjawab soalan mana-mana pihak berkuasa kerana merekalah pihak yang selayaknya melakukan siasatan dan diberikan jawapan.

    Menurutnya, kalangan ahli politik itu sengaja ‘gatal’ mulut untuk bertanya sedangkan mereka sebenarnya sudah memiliki jawapan kepada setiap persoalan yang diajukan itu.

    “Sebenarnya mereka dah ada semua jawapan tetapi saja ‘gatal’ mulut nak tanya. Mereka tahu orang itu sudah ditangkap serta dikurung dan siasatan sudah dijalankan. Jadi kenapa tanya saya lagi?

    “Ini satu perbuatan yang tidak munasabah dan saja nak main-main. Apabila kita perhatikan semula semua operasi dijalankan ini, semakin hari semakin jelas ia telah dipolitikkan walaupun siasatan dijalankan oleh agensi penguatkuasa kerajaan.

    “Jadi ‘hangpa’ janganlah tunjuk sangat sebab mereka ini adalah agensi awam yang buat kerja untuk negara, bukan untuk orang politik. Benda ini boleh disiasat lama dulu atau kemudian tetapi ‘ditekan’ untuk dibuat masa ini untuk memberi gambaran tertentu demi kepentingan politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Bagi Tahun Kewangan 2022 dan 2023 di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Beliau menambah, tugas untuk mengimport pekerja dari China bukanlah kerja seorang Menteri Besar dengan beliau sendiri banyak kerja lain yang perlu diselesaikan melibatkan pentadbiran negeri.

    “Kerja-kerja itu dibuat oleh syarikat dan saya bukan ada kuasa eksekutif kepada syarikat-syarikat itu. Saya ini kerjanya membuat dasar kerajaan,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini beliau merasakan berlaku suasana yang menjuruskan masyarakat untuk mengesyaki bahawa agensi-agensi terlibat, disalah guna oleh kumpulan politik berkuasa bagi menimbulkan persepsi kononnya timbul salah laku dalam kalangan pihak tertentu.

    “Agensi-agensi ini tak patut bertindak mengikut kehendak politik kerana mereka menjaga kepentingan negara dengan ketaatannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukan kepada elit politik yang berkuasa.

    “Tidaklah bermaksud saya tak mahu disiasat tetapi siasatan itu mesti ada maksud yang jelas. Kerajaan mungkin boleh berubah dan kalaulah mereka yang berkuasa selepas ini buat ‘kerja’ sebegini pula, sampai bila nak selesai?” katanya.

    Beliau dalam pada itu mengharapkan agar semua pihak termasuk ahli politik menghormati ‘petak’ masing-masing dan tidak masuk ke ‘petak’ orang lain.

    “Saya hanya akan jawab kepada pihak berkuasa dan bukan ahli politik. Itu bukan kerja mereka dan ‘depa’ sepatutnya hormatlah kerja orang.

    “‘Hang’ kerja sebagai Menteri Dalam Negeri tetapi jadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Menteri Kewangan itu kenapa? Jagalah petak masing-masing kerana sekarang ini nampaknya ‘Madanon’ ini semua dah berselerak,” katanya.

  • Wang tunai RM38 juta, emas 200 kg dirampas, ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ ditahan

    Wang tunai RM38 juta, emas 200 kg dirampas, ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ ditahan

    *Operasi besar-besaran terhadap sindiket pelbagai jenayah*

    PASUKAN Petugas Agensi-agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) merampas wang tunai RM38 juta dan emas seberat 200kg dianggarkan bernilai RM60 juta dalam operasi besar-besaran terhadap sindiket melakukan pelbagai jenayah, Isnin lalu.

    Sindiket itu terlibat dalam rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

    Sumber berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengetuai operasi pasukan itu berkata, turut disita 17 kereta mewah berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes-Benz, lapor FMT.

    Menurutnya, turut ditahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

    Siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.

    Operasi itu dijalankan dengan kerjasama polis, imigresen, kastam, Bank Negara (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

  • Warga emas bunuh jiran dipenjara 38 tahun

    Warga emas bunuh jiran dipenjara 38 tahun

    SEORANG elaki warga emas terlepas tali gantung selepas dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini setelah didapati bersalah membunuh jirannya yang berusia 77 tahun, tiga tahun lepas.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memerintahkan Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 Mei 2020.

    “Si mati dijerut dan dicampakkan ke dalam parit. Tertuduh sememangnya berniat membunuh si mati. Selain itu, terdapat kecederaan lain seluruh badan si mati seperti ditunjukkan post-moterm,” kataTimbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

    Mohamad Shaharudin didakwa menyebabkan kematian Zaharah Khalid, di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung pada kira-kira pukul 8 malam pada 3 Mei 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan peruntukan yang sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, dalam prosiding hari ini, salah seorang anak mangsa, Hawa Isa, 48, tidak dapat menahan sebak apabila dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwa tentang kesan kejadian pembunuhan itu kepada keluarga mereka.

    “Memang meninggalkan kesan kepada kami sekeluarga semasa bulan puasa. Kami semua rapat dengan arwah mak terutamanya anak saya yang Orang Kurang Upaya (OKU) yang sehingga kini akan mengamuk apabila teringatkan opahnya.

    “Semasa kejadian baru berlaku, orang kampung cakap macam-macam, tuduh mak saya walaupun tidak bersalah. Saya harap apa berlaku kepada mak saya, dia jerut mak saya, pijak mak saya, saya minta dia dapat hukuman yang setimpal,” kata anak ketujuh daripada 12 beradik itu.

    Liyana Zawani memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati meskipun terdapat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, kerana mangsa dibunuh dengan kejam oleh tertuduh. 

    Bagaimanapun peguam M. Saravanan yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah mengurangkan hukuman anak guamnya yang sudah berusia dengan hukuman penjara.

    “Sekurang-kurangnya biarlah dia menghabiskan saki-baki hidupnya di penjara dengan tenang. Janganlah ditambahkan deritanya dengan memberinya hukuman gantung kerana ada kemungkinan Shaharudin mungkin tiada lagi bila tibanya hari untuk dia digantung,” katanya.

    Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala hanya seorang mewakili pihak pembelaan sepanjang prosiding berlangsung sejak 2021.

  • Suami isteri terlepas hukuman gantung

    Suami isteri terlepas hukuman gantung

    SEPASANG suami isteri berpelukan dan menitis air mata kesyukuran apabila terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini, melepas dan membebaskan mereka atas tuduhan mengedar dadah tiga tahun lepas.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membacakan keputusan tersebut setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isterinya Rossuhili Ikhsan, 47, lapor Bernama.

    Pasangan suami isteri itu didakwa mengedar dadah berbahaya, iaitu 10.9 gram heroin dan 9.0 gram monoacetylmorphines di sebuah rumah di Jalan Melati, Kg Sri Klebang, Chemor, Kinta  pada 27 Sept 2020. 

    Berdasarkan fakta kes menyatakan semasa serbuan dilakukan pada 6 petang, polis telah menemukan sebungkus plastik hitam di atas lantai di dalam rumah berkenaan selain satu alat penimbang digital, satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi plastik-plastik lutsinar kosong serta beberapa peralatan lain.

    Mereka yang bekerja sendiri itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saifulakmal Mod Said manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohamad Hafiz Jalaludin.

    Seramai enam saksi telah dipanggil sejak perbicaraan kes itu dijalankan bermula Oktober 2022.

  • Nelayan rugi RM284,000 diperdaya ‘kekasih’ 

    Nelayan rugi RM284,000 diperdaya ‘kekasih’ 

    SEORANG nelayan kerugian RM284,850 apabila diperdaya ‘kekasih’nya menerusi pelaburan mata wang kripto tidak wujud. 

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Bahagian Siasatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menerima laporan daripada lelaki berusia 27 tahun itu semalam.

    Beliau berkata kejadian berlaku pada November lepas apabila mangsa telah dihubungi suspek iaitu seorang wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mereka berkenalan dan jatuh cinta.

    Katanya suspek telah menawarkan pelaburan mata wang kripto kepada mangsa dengan menghantar pautan melalui aplikasi tersebut pada Januari dan menjanjikan pulangan RM200,000 jika melabur RM30,000.

    “Akibat telah jatuh cinta dan terpedaya, mangsa mula membuat pelaburan melalui aplikasi mata wang kripto yang diberikan oleh wanita itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Mohd Yusri berkata mangsa membuat 99 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 21 akaun bank dari 6 Mac hingga 15 Julai lepas menggunakan wang simpanan, meminjam daripada ahli keluarga, rakan dan majikan melibatkan kerugian RM284,850. 

    Menurutnya setelah mangsa kehabisan wang, suspek tetap meminta dia untuk terus melabur membuatkan lelaki itu meminta agar wangnya dikembalikan, namun suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui aplikasi WeChat.

    “Mangsa rasa tertipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan ‘love scam’ dan pelbagai program pelaburan tidak wujud.

    “Jangan layan atau mudah percaya individu tidak dikenali di media sosial, selain semak dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi dan hanya melabur di platform yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

  • ‘Kamu tak dapat ‘Gelombang Hijau’, kamu dapat Xi Jinping’ – kata bekas ADUN DAP

    ‘Kamu tak dapat ‘Gelombang Hijau’, kamu dapat Xi Jinping’ – kata bekas ADUN DAP

    SEORANG pemimpin DAP Pulau Pinang menyerang seorang individu dipercayai pemimpin paling kanan dalam partinya, sambil menyifatkan amaran yang dilaungkan baru-baru ini mengenai “gelombang hijau” hanyalah taktik untuk menakut-nakutkan rakyat negeri itu terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata bahaya yang lebih besar bagi Pulau Pinang ialah “maharaja” tertentu, yang dibandingkan dengan seorang pemimpin komunis Cina.

    “Istilah ‘gelombang hijau’ hanyalah untuk menakut-nakutkan rakyat. Ia hanya buat ‘maharaja’ bertambah kuat. Kamu (pengundi) tak dapat ‘gelombang hijau’, kamu dapat Xi Jinping,” katanya lapor Malaysikini sebagai berkata, merujuk kepada Presiden China yang terkenal sebagai pemimpin Parti Komunis China sejak 2013.

    Sementara itu, Satees berkata sepanjang menjadi wakil rakyat sejak 2018, beliau memperjuangkan pelbagai isu rakyat.

    “Dalam lima tahun, saya buat kerja lebih banyak daripada orang yang gagal selama 10 tahun. Saya tidak bawa kereta Vellfire dan bawa pemimpin ke sana sini. Saya tidak angkat beg pemimpin itu,” sindirnya.

    Beliau juga menolak penjelasan bahawa senarai calon baru bertujuan mengetengahkan calon lebih muda kerana beliau sendiri berusia 38 tahun. Sedangkan,ada yang dalam senarai calon itu berumur sehingga 58 dan 61 tahun.

    “Memang tiada keadilan dalam politik. Saya terima tetapi saya akan terus bersuara,” katanya.

    Satees berkata senarai calon ditentukan oleh “maharaja” tertentu, sambil menambah ia memudaratkan demokrasi.

    “Jika anda berada di Pulau Pinang, anda akan faham. Pulau Pinang adalah negeri barisan hadapan demokrasi Malaysia.  Apa yang saya lakukan adalah demi kepentingan negeri Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang! Kami tidak memerlukan Maharaja di Pulau Pinang; kami perlu menggerakkan demokrasi!” tulis Satees dalam satu kiriman di Facebook.

    my.

  • Bersatu Hulu Selangor mahu Khairul Azhari jadi calon di Batang Kali

    Bersatu Hulu Selangor mahu Khairul Azhari jadi calon di Batang Kali

    BEBERAPA jam menjelang pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) malam ini, Bersatu Hulu Selangor membuat “tuntutan akhir” kepada pucuk pimpinan parti supaya meletakkan Khairul Azhari Saut sebagai calon PRN di Batang Kali.

    Tuntutan dibuat susulan spekulasi bekas ahli jawatankuasanya Muhammad Muhaimin Harith bakal dipilih calon PN di kerusi terbabit, yang bukan dicadangkan bahagian itu.

    Ketua Bersatu Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor, berkata bahagian itu sebulat suara menyokong Khairul yang juga timbalannya memadangkan beliau antara orang lama parti dan bekerja keras untuk mengukuhkan parti.

    “Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan rakan komponen PN dan pengundi bukan Melayu yang memberi kelebihan jika beliau dicalonkan pada PRN.

    “Saya berharap pihak pimpinan tertinggi mendengar dan mengambil kira pandangangan Bersatu Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT

    Semalam FMT melaporkan kekecewaan Bersatu Hulu Selangor terhadap pucuk pimpinan parti kerana meminggirkan peranannya dalam memutuskan calon PN di DUN Batang Kali pada PRN 12 Ogos ini.

    Menurut Anuar, rasa tidak puas hati itu menyebabkan ada ahli mengugut mahu menutup jentera dan meluahkan kemarahan di media sosial dengan memuat naik gambar mereka membakar dan memijak bendera PN.

    PN akan mengumumkan calon PRN Selangor di padang awam MBPJ Taman Medan, 8 malam ini.

    Pada PRU14 DUN Batang Kali dimenangi wakil Bersatu Harumaini Omar, namun beliau keluar parti susulan Langkah Sheraton dan menyertai Pejuang.

  • Ahli seumur hidup DAP persoal mengapa Guan Eng masih bertanding PRN

    Ahli seumur hidup DAP persoal mengapa Guan Eng masih bertanding PRN

    SEORANG ahli seumur hidup DAP, M. Kogilan mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung tindakan menggugurkan beberapa penyandang DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kononnya kerana parti perlu melakukan pembaharuan.

    Menurut Kogilan yang juga Ahli Jawatankuasa DAPSY Pulau Pinang, sekiranya itu alasan yang diberikan, maka mengapa Anthony atau Jawatankuasa Pencalonan Kebangsaan tidak mengugurkan nama Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.

    Sambil meluahkan rasa kecewa, beliau berkata, Guan Eng juga ialah orang lama yang bertanding sejak sekian lama pada PRN tau Pilihan Raya Umum (PRU) atas tiket parti DAP.

    “Adakah Pengerusi Kebangsaan DAP tidak mempunyai niat untuk memberi peluang kepada muka baharu atau anak muda untuk bertanding dalam PRN atau PRU.

    ”Saya sebagai ahli DAP amat kecewa dengan senarai nama calon DAP Pulau Pinang.

    ”Pemimpin yang bekerja keras untuk rakyat Pulau Pinang telah diketepikan dan meletakkan calon yang tidak kenali oleh penduduk kawasan itu,” katanya.

    Semalam, Anthony mengumumkan 19 nama calon yang akan bertanding mewakili parti itu dan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang.

    Bagaimanapun, tujuh penyandang digugurkan DAP antaranya Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy serta empat Exco kerajaan negeri lain iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong).

    Turut digugurkan ialah M. Satees (Bagan Dalam) dan Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

  • ’’Ada seseorang jadikan Pulau Pinang hak bapanya’’ – dakwa bekas ADUN DAP

    ’’Ada seseorang jadikan Pulau Pinang hak bapanya’’ – dakwa bekas ADUN DAP

    SEORANG  bekas ADUN DAP di Pulau Pinang yang digugurkan daripada PRN bulan depan mendakwa “seseorang” menjadikan negeri itu seperti harta persendirian mereka.

    Bekas  ADUN Bagan Dalam, Satees Muniandy menyamakan “seseorang” itu dengan maharaja dan mendakwa individu itu diberikan hak penuh untuk menentukan senarai calon DAP bagi PRN Pulau Pinang.

    “Mereka kata (alasan beberapa bekas ADUN digugurkan demi) pembaharuan, darah baharu dan lain-lain. Alasan sebenar ialah seorang individu mahu mengawal Pulau Pinang.

    “Malah, DAP negeri tiada kata putus langsung. Semua rakyat Pulau Pinang tahu ia keputusan seorang individu. Ada orang jadikan Pulau Pinang seperti harta bapanya,” katanya pada sidang media di Butterworth, lapor FMT.

    Semalam, DAP mengumumkan 19 calon bagi PRN Pulau Pinang, dengan tujuh bekas Adun digugurkan dan lima daripadanya adalah exco negeri.

    Selain seorang digugurkan atas alasan perubatan, Satees mendakwa beliau dan lima lagi tidak dicalonkan kerana mereka tidak berada dalam kem “maharaja”.

    Beliau turut mendakwa mereka digugurkan kerana lantang menyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

    “Itu harga yang kami perlu bayar untuk menyokong seorang lelaki baik.”

    DAP turut menggugurkan Timbalan Ketua Menteri, P Ramasamy dan Exco Phee Boon Poh, Chong Eng, Yeoh Soon Hin serta Soon Lip Chee bagi PRN bulan depan.

    Bekas ADUN Pulau Tikus, Chris Lee menarik diri atas sebab kesihatan.

    Satees mempertahankan prestasinya sebagai ADUN dengan berkata, beliau aktif turun padang dan menyertai banyak perbahasan penting di DUN.

    Sebagai pembantu Ramasamy, katanya, beliau tidak tahu dakwaan Ramasamy menemui Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

    Satees berkata, ancaman lebih besar kepada Pulau Pinang bukanlah sokongan “gelombang hijau” kepada PN, tetapi “maharaja” itu sendiri.

    Katanya, beliau tidak bercadang menemui Muhyiddin, tetapi sedia “bekerja dengan sesiapa saja yang mengutamakan kepentingan Pulau Pinang”.

  • 15 ketua cawangan Amanah tolak calon DUN Paroi

    15 ketua cawangan Amanah tolak calon DUN Paroi

    KIRA-kira 15 Ketua Cawangan Amanah di Paroi, Negeri Sembilan, memberi isyarat untuk tidak akan keluar mengundi pada 12 Ogos nanti, jika parti itu tidak menukar calon pilihan yang diumumkan sebelum ini.

    Mereka membantah pencalonan Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, dan mahu penyandangnya Mohamad Taufek Abd Ghani dikekalkan.

    “Kami memang tak dapat terima Norwani dan sekiranya bukan YB Taufek dipilih sebagai calon, saya tidak akan keluar mengundi. Kalau dia (Norwani) yang bertanding DUN Paroi, saya tak tahu macam mana dia nak menang,” kata Ketua Cawangan Amanah Bandar Seremban Selatan, M Kalai Selvan yang dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, beliau juga tidak kisah dipecat daripada parti kerana lantang bersuara mengenai pendirian akar umbi. 

    Katanya, apa dilakukan adalah jalan akhir bagi memastikan kepimpinan parti membuat perubahan calon dalam tempoh berbaki empat hari sebelum penamaan calon.

    Ketua Amanah Taman Sri Kasih, Mokhtar Hassan turut senada dengan Kalai Selvan dan menjangkakan lebih ramai lagi yang akan mengambil tindakan protes.

    “Saya boleh katakan Norwani sebagai seorang ketua yang tidak mengambil berat terhadap ketua cawangannya. Malah kewibawaannya dalam DUN Paroi tidak memuaskan sedangkan YB Taufek sudah dikenali dan menunjukkan prestasi baik,” kata Mokhtar.

    Ini bukan kali pertama pemilihan calon pilihan raya PH menjadi isu di Negeri Sembilan.

    Sebelum ini, ADUN Ampangan Mohamad Rafie Abdul Malek membidas kepimpinan PKR berhubung keputusan tidak mencalonkannya bagi mempertahankan kerusinya pada PRN 12 Ogos ini.

    Menurut Rafie yang juga Exco Kerajaan Negeri, umum mengetahui beliau bertungkus lumus membantu rakyat di kawasan itu dan membangunkan negeri secara amnya.

    Beliau kemudian menuduh “individu tertentu” berusaha  untuk menyingkirkannya daripada pentadbiran Negeri Sembilan.

    Rafie, yang juga Timbalan Ketua Cawangan PKR Seremban, memenangi kerusi Ampangan pada 2018. PKR mengumumkan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman akan bertanding pada PRN kali ini.