Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tun M cadang larang bawa telefon bimbit ke bilik mengundi pada PRU-15

    Tun M cadang larang bawa telefon bimbit ke bilik mengundi pada PRU-15

    PENGUNDI Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilarang membawa masuk telefon bimbit ke bilik mengundi bagi menjaga kerahsiaan dan mengelak rasuah.

    Perkara tersebut dicadangkan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri.

    Jelasnya, ini kerana pengundi boleh merakam gambar kertas undi yang ditanda calon tertentu sebagai bukti untuk kemudian mengambil rasuah.

    Katanya, terdapat banyak kelemahan setiap kali pilihan raya berlangsung, namun, tiada sebarang tindakan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengekang masalah ini.

    “Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti akan hulur wang.

    “Jika tiada sebarang tindakan yang diambil, maka penipuan dan rasuah akan berlaku sewaktu pilihan raya nanti.

    “Umpamanya telefon bimbit boleh menidakkan rahsia pengundi, di mana parti boleh menggunakan maklumat untuk melakukan sogokan,” katanya dalam kenyataan di Twitter hari ini, lapor Berita Harian.

    SPR menetapkan 19 November ini sebagai tarikh mengundi PRU15 manakala 5 November sebagai hari penamaan calon.

  • Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

    Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru calon dan penyokong parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menasihatkan semua calon bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh calon dan penyokong mereka dalam kehangatan berkempen.

    “Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

    “Seri Paduka Baginda menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni.

    “Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    SPR sebelum itu memaklumkan, PRU-15 akan diadakan pada 19 November nanti selepas 14 hari berkempen bermula selepas penamaan calon pada 5 November.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, pada hemat Seri Paduka Baginda, kerjasama dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.

    Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan semoga perjalanan PRU-15 kelak lancar dan selamat dan semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

    Pada kenyataan sama, Ahmad Fadil juga memaklumkan, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani bin Ghazali, di Istana Negara pada Rabu.

    “Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota,” katanya lagi.

  • Berjuta pengguna vape berdepan risiko penyakit Evali

    Berjuta pengguna vape berdepan risiko penyakit Evali

    PENGGUNA rokok elektronik atau vape berisiko menghidap penyakit kecederaan paru-paru dikenali sebagai E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali) yang boleh menyebabkan kecacatan kekal pernafasan dan kematian.

    Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia dan jumlah itu semakin bertambah menyebabkan penyakit Evali perlu dipantau.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Penyakit Evali mula didiagnos pada 2019 di Amerika Syarikat (AS) apabila 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian dicatatkan.

    Sehingga kini, katanya, terdapat dua kes direkodkan di Malaysia pada 2019, manakala lapan kes pada 2021, selepas dikenal pasti melalui kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    “Namun, jumlah yang dilaporkan ini berkemungkinan lebih rendah daripada jumlah kes sebenar akibat tiadanya garis panduan serta penerangan tentang Evali.

    “Penyakit ini sangat bahaya dan ia wujud, dan mitos mengatakan ia lebih selamat daripada rokok tembakau, tapi tidak bermakna ia sifar risiko,”” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Evali.

    Khairy berkata, bermula Jun hingga September lalu, iaitu selepas arahan notifikasi dikeluarkan, empat kes disyaki Evali dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan yang kini dalam siasatan lanjut.

    Beliau berkata, walaupun data Evali di AS menunjukkan vitamin E-Asetat adalah bahan kimia yang banyak dijumpai dalam kajian makmal cecair e-liquid, bahan kimia lain juga berisiko menyebabkan Evali.

    “Walaupun Evali hanya bertumpu pada sistem pernafasan, penggunaan rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan gejala-gejala selain gejala pernafasan seperti kebas anggota badan, berdebar-debar dan halusinasi.

    “Keadaan ini sangat berisiko dan dapat meningkatkan kadar morbiditi dan kematian. Malah, anggaran kos merawat seorang pesakit Evali yang dimasukkan ke hospital selama empat hari adalah RM50,297.37,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Bagi memantau perkara ini, katanya, dua kriteria utama yang perlu bagi diagnos Evali iaitu sejarah pendedahan kepada rokok elektronik atau vape dan perubahan radiologi pada x-ray atau CT-Scan paru-paru.

    “Berdasarkan definisi Evali oleh CDC pada 2019, pengesanan dan rawatan awal boleh diberikan kepada pesakit yang disahkan menghidap Evali supaya komplikasi jangka panjang dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kos rawatan.

    “Bayangkan jika intervensi awal tidak dilakukan ataupun tabiat ini tidak dicegah, pastinya beban kerajaan dalam menanggung kos rawatan penyakit akibat komplikasi rokok konvensional dan rokok elektronik akan bertambah,” katanya.

  • Bekas bendahari koperasi mengaku guna dokumen palsu

    Bekas bendahari koperasi mengaku guna dokumen palsu

    BEKAS bendahari sebuah koperasi didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk laporan akhir program Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), tujuh tahun lalu.

    Tertuduh, M. Santhi, 57, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Bendahari Koperasi Global and National Skill Development Seremban Berhad (GNSDC) didakwa dengan niat curangnya menggunakan sebagai tulen tiga dokumen iaitu Invois Shanvi Management & Trading untuk laporan akhir program SEDIC yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

    Kesalahan itu dilakukan di pejabat koperasi GNSDS di Jalan Rasah, Seremban antara Oktober 2015 dan Oktober 2016.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

    Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan turut menetapkan tertuduh dihukum penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

    Terdahulu, Peguam M. Dinesh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan wanita itu kini tidak lagi bekerja dan perlu menanggung cucu.

    Tambahnya, tertuduh juga sudah insaf dan pengakuan bersalah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

  • PRU-15: PN letak calon di 27 kerusi Parlimen kritikal

    PRU-15: PN letak calon di 27 kerusi Parlimen kritikal

    PERTEMBUNGAN tiga penjuru di 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dapat dielakkan berikutan ada pihak yang berasa ‘kuat’ dan mampu memenangi kerusi.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon daripada komponen parti itu di semua kerusi terbabit bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Pertembungan tidak dapat dielakkan sebab ada dalam kalangan pemimpin UMNO kata, kalau bertembung pun dia boleh menang, jadi rasa ‘cocky’ (yakin), jadi kita lawan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat serta menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.

    Ditanya sama ada PN akan memberi laluan kepada UMNO dan BN untuk bertanding bagi mengelak kerusi berkenaan jatuh ke tangan atau terus dikuasai PH, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, setakat ini, tiada perbincangan ke arah itu.

    “PAS akan ambil kerusi itu macam biasa, sama ada Pas atau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bergantung kepada keputusan akhir perundingan antara Pas dengan Bersatu dengan rakan dalam PN.

    “Ada yang Bersatu ambil, ada yang Pas ambil dan ada GERAKAN ambil. Jadi, kita lihat hasil rundingan nanti,” katanya.

    Ahmad Samsuri berkata, pengagihan kerusi dalam gabungan PN kini sudah mencapai 90 peratus dan pihaknya akan melakukan satu lagi siri perundingan esok.

    Berdasarkan keputusan PRU-14, semua 27 kerusi kritikal itu dimenangi PH, namun jika digabungkan jumlah undi diperoleh BN dan Pas pada 2018, jumlahnya lebih tinggi berbanding yang dimenangi PH.

    Semua kerusi berkenaan dahulu yang menjadi milik UMNO-BN dan Pas, kini milik PH kerana pertembungan tiga penjuru pada PRU-14.

    Difahamkan, 27 kerusi kritikal itu membabitkan 20 kerusi Parlimen majoriti Melayu, yang dimenangi PH pada PRU-14 serta tujuh lagi yang menyaksikan PH kalah tipis.

  • Wanita mengandung maut kemalangan elak ular

    Wanita mengandung maut kemalangan elak ular

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG wanita yang sedang menunggu hari kelahiran anak keduanya meninggal dunia setelah motosikal dinaikinya terlibat dalam kemalangan bersama sebuah kereta di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang di Jalan Jeniang Sik-Pedu, Sik.

    Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, yang berasal dari Bandar Baru Beris Jaya dikatakan cuba mengelak ular yang secara tiba-tiba muncul di atas jalan raya menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya.

    Bagaimanapun, kandungannya berjaya diselamatkan setelah dia dibawa ke hospital bagi mengeluarkan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ketika kejadian.

    Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa menaiki motosikal itu bersama seorang lagi wanita, namun mangsa kedua hanya mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Daerah Sik.

    Katanya, berdasarkan siasatan di tempat kejadian, motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggangi wanita itu bergesel dengan Perodua Axia yang sedang bergerak dari arah sama.

    Kandungannya berjaya diselamatkan setelah dia dibawa ke hospital bagi mengeluarkan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ketika kejadian.

    “Wanita itu mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk mukanya. Bayi lelaki yang juga anak keduanya itu kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.

    “Dalam kemalangan itu, mangsa cuba mengelak seekor ular yang keluar secara tiba-tiba di bahu kiri jalan, lalu menyebabkan dia memasuki laluan kereta dan berlaku pelanggaran di bahagian sebelah kiri kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

    Abdull Razak memaklumkan, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan ketika dia sedang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Enggang untuk mengambil anaknya yang bekerja di situ.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Calon PM BN: Tiada siapa mampu langgar keputusan PAU, MKT

    Calon PM BN: Tiada siapa mampu langgar keputusan PAU, MKT

    UMNO tetap dengan keputusannya menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ketetapan berkenaan bukan dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetapi telah diputuskan pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) yang lalu.

    “Kuasa tertinggi dalam parti ialah PAU yang telah meluluskannya. Begitu juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    “Jadi adakah kemungkinan beberapa pihak yang nak langgar keputusan PAU dan MKT. Saya rasa tak mampu, tak boleh,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas hadir menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri 370 bertajuk ‘Demi rakyat atau kuasa’ yang disiarkan Sinar Harian, kelmarin.

    Katanya lagi, isu poster boy BN sewaktu PRK Johor yang mahu mengekalkan Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar tidak boleh dijadikan sandaran dalam PRU15.

    “Isu Datuk Hasni tidak jadi Menteri Besar Johor tidak seharusnya dijadikan polemik bahawa perkara sama akan berlaku terhadap Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya.

  • PRU-15: Meta ambil langkah tingkatkan integriti

    PRU-15: Meta ambil langkah tingkatkan integriti

    GERGASI media sosial Meta mengambil langkah tertentu untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan selain memerangi penyebaran maklumat yang salah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Malaysia.

    Ketua Politik dan Kerajaan Meta di Rantau Asia Pasifik, Roy Tan berkata, ia termasuk meningkatkan ketelusan bagi iklan politik di platformnya, seperti mengesahkan identiti dan lokasi mereka yang membayar iklan tersebut, serta penciptaan perpustakaan iklan yang boleh diakses secara umum.

    Menurutnya, meningkatkan ketelusan iklan adalah salah satu perkara penting bagi integriti pilihan raya.

    “Jadi, jika anda ingin menyiarkan iklan politik, anda perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu, kemudian berikan maklumat mengenai organisasi mana anda berasal dan siapa yang membayar iklan ini.

    “Kami juga ada perpustakaan iklan yang membolehkan wartawan, penyelidik atau orang awam melihat siapa di sebalik iklan ini di Facebook dan Instagram… melihat perbelanjaan iklan dan demografi secara kasar yang disasarkan oleh iklan ini.

    “Ini untuk memastikan pengiklan dan kami sebagai sebuah syarikat yang lebih bertanggungjawab,” katanya ketika taklimat media maya mengenai usaha Meta dalam melindungi integriti PRU15, lapor Malaysiakini.

    Mengulas lanjut, Tan dalam laporan itu menjelaskan, iklan diarkibkan dalam pustaka iklan Meta sehingga tujuh tahun, walaupun iklan tersebut tidak lagi aktif.

    Tan juga menjawab persoalan mengapa Meta, yang merupakan pemilik Facebook, Instagram dan WhatsApp, masih menerima iklan politik walaupun gergasi teknologi lain seperti Google dan Twitter telah mengharamkan iklan sedemikian.

    Dia berkata mereka mahu menyediakan wacana, lebih-lebih lagi media sosial merupakan alat yang begitu berkuasa untuk menyebarkan maklumat.

    Namun, pada masa yang sama, katanya, mereka mahu memastikan tahap ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi.

    “Kami mendasarkan bahawa polisi iklan politik kami pada fakta bahawa orang ramai harus boleh mendengar daripada siapa yang mereka mahu memimpin mereka dan diundi serta bahawa mereka harus diteliti dan dibahaskan secara terbuka,” katanya.

  • ‘Gurauan’ pecat 12  menteri Kabinet: Ismail Sabri permain Perlembagaan – Lim

    ‘Gurauan’ pecat 12 menteri Kabinet: Ismail Sabri permain Perlembagaan – Lim

    DAP menganggap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersenda Perlembagaan negara apabila mendakwa kenyataannya mahu memecat 12 menteri Kabinet sebagai sekadar gurauan.

    Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, isu pemecatan anggota Kabinet dan pembubaran Parlimen adalah sesuatu yang serius dan sangat tidak wajar dijadikan bahan jenaka.

    Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, Ismail Sabri perlu membuat keputusan dengan mendasarkan tindakannya kepada kepentingan rakyat serta negara.

    “Tiada siapa yang dapat memahami logik pelik Ismail Sabri bahawa 12 menteri PN (Perikatan Nasional) yang masih berada dalam Kabinet bermakna dia hanya bergurau (dengan cadangan memecat mereka),” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Pada 17 Okt lalu Ismail Sabri berkata beliau sepatutnya memecat semua 12 menteri yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta agar Parlimen hanya dibubarkan pada tahun depan.

    Ia dibuat ketika pemimpin tertinggi UMNO mendesak Ismail Sabri segera menghadap Agong bagi mencadangkan pembubaran parlimen, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

    12 menteri itu membabitkan ahli Parlimen serta senator dari PN.

    “Saya sebagai abang tua, kalau kamu semua tak setuju, saya bubarkan Kabinet ini, pecat saja semua orang.

    “Saya boleh buat. Silap, patut saya pecat semua sekali.

    “Tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, bukan lembut… ” katanya semasa berucap di majlis bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, Perak.

    Persoal kelayakan Ismail Sabri

    Semalam selepas salah seorang daripada menteri terbabit, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, memberikan reaksinya, Ismail Sabri menjelaskan, beliau hanya berseloroh apabila berkata demikian.

    “Kalau saya serius dia (menteri-menteri PN) sudah kena pecat dah, tapi dia (mereka) masih ada dalam Kabinet.

    “Saya tak pecat itu maksudnya saya berselorohlah,” katanya.

    Menurut Guan Eng, apa yang berlaku itu menunjukkan Ismail Sabri keliru serta tidak jujur kerana membuat pusingan U beberapa kali.

    Kata penyandang kerusi Parlimen Bagan itu menjelaskan, pada 11 Okt lalu Ismail Sabri menyalahkan 12 menteri PN kerana menghantar surat kepada Agong, namun menyatakan sebaliknya sehari kemudian dengan mendakwa mereka hanya mengikut arahan pemimpin parti.

    “Pada 17 Okt Ismail Sabri membuat pusingan U kedua dengan berkata dia sepatutnya memecat 12 menteri PN kerana menulis surat kepada Agong.

    “Kemudian pada 19 Okt, Naib Presiden UMNO itu membuat pusingan U ketiga dengan mengatakan dia hanya bergurau tentang cadangan memecat 12 menteri PN.

    “Adakah Ismail Sabri layak menjadi perdana menteri dengan membuat tiga pusingan U dalam tempoh satu minggu?” katanya.

    Guan Eng juga mengiringi kenyataan tersebut dengan petikan serangkap lagu I Was Only Joking nyanyian Rod Rod Stewart:

    I was only joking my dear (my dear)
    Looking for a way to hide my fear (my fear)
    What kind of fool was I? (Was I)
    I could never win (never win)

  • Jurujual tendang isteri kerana ajak cerai di mahkamah

    Jurujual tendang isteri kerana ajak cerai di mahkamah

    SEORANG jurujual ditahan selepas menendang isterinya sehingga menyebabkan kecederaan tisu dalam satu kejadian di Taman Uda Ampang, pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, dalam kejadian pukul 10.30 pagi, mangsa seorang guru tadika telah pergi ke rumah ibu mentua dan berjumpa suspek.

    Beliau berkata, mangsa berusia 30 tahun telah mengajak suspek ke mahkamah bagi tujuan perceraian.

    “Suspek berusia 29 tahun naik berang dan menendang di peha dan pinggang mangsa sebanyak dua kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Ampang dan disahkan mengalami kecederaan tisu.

    Mohamad Farouk berkata, suspek telah ditahan pada pukul 6.20 petang dan reman akan dipohon hari ini di Mahkamah Ampang.

    “Mangsa dan suspek telah berkahwin selama dua tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan bulan,” katanya lapor Utusan TV.

    Sehubungan itu, kes kini disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atau Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga kerana sengaja mendatangkan kecederaan.