Author: Wartawan WartaRakyat

  • Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri PH jika menang PRU-15

    Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri PH jika menang PRU-15

    PAKATAN Harapan (PH) secara rasmi mengumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan Anwar sebagai calon Perdana Menteri diputuskan selepas mengambil kira beliau sebagai calon yang mampu memulihkan negara daripada krisis ekonomi ketika ini.

    Menurutnya, Anwar juga sudah berdepan pelbagai cabaran selama 11 tahun dan masih mampu bertahan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan itu.

    “Perjuangan PH bukan soal meletak satu-satu tokoh untuk memegang jawatan ini. Jawatan ini datang dengan tugas dan tanggungjawab yang berat.

    “Ekonomi negara merudum, inflasi, harga barang, derita rakyat. Ekonomi negara mesti diselamatkan melalui sebuah kerajaan yang bertanggungjawab di bawah kepimpinan seorang yang mampu membaiki ekonomi negara.

    “Majlis Presiden PH melalui proses temu rapat di Port Dickson, Seremban dan sesi mesyuarat, membuat keputusan bahawa memasuki PRU15, PH menawarkan kepada rakyat Malaysia, jika mandat diberi kepada kita, calon Perdana Menteri kita ialah saudara Anwar Ibrahim,” katanya di Konvensyen PH di Ipoh, hari ini lapor Berita Harian.

    Sementara itu, berhubung pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi PH dalam PRU-15, Saifuddin Nasution memaklumkan rundingan agihan kerusi di antara parti komponen PH sudah selesai.

    Selain itu, katanya, PH juga membuat perjanjian pilihan raya dengan beberapa parti lain dan rundingan kerusi dengan rakan kerjasama PH itu akan dimuktamad, beberapa hari lagi.

    “Setelah semua proses diikuti, saya umumkan bahawa untuk parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan AMANAH, rundingan kerusi Parlimen berjaya diselesaikan.

    “Pada masa sama, sesuai keputusan Majlis Presiden PH, rundingan berikutnya ialah dengan parti bukan PH yang telah kita putuskan bersama melalui pendekatan perjanjian pilihan raya, akan diselesaikan dalam dua tiga hari ini untuk mencapai keputusan muktamad,” katanya.

  • ‘Yalah, you help me I help you okay-lah’ – Ismail Sabri

    ‘Yalah, you help me I help you okay-lah’ – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji akan meluluskan semua permohonan penjaja dan peniaga kecil sekiranya beliau dilantik sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata demikian ketika berucap kepada ribuan penjaja dan peniaga kecil di Dataran Merdeka hari ini.

    Ismail Sabri dalam ucapan itu menggesa supaya komuniti penjaja dan peniaga kecil membantunya apabila tiba gilirannya meminta bantuan mereka.

    “Penjaja sentiasa dekat dihati saya, saya juga pernah menjadi penjaja waktu saya sekolah rendah lagi.

    “Saya menjadi penjaja jual limau di kaki lima, jual ikan di pasar minggu pekan sehari Temerloh.

    “Apa yang penjaja bangkitkan saya faham sebab saya pernah menjadi penjaja. Hidup saya sama dengan penjaja.

    “Apa yang penjaja rasa, saya dah melalui dulu sebab tu setiap permohonan yang dibuat penjaja pasti saya luluskan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini.

    Ismail Sabri memberitahu baru-baru ini beliau menerima surat daripada persatuan penjaja, memintanya menjadi penaung.

    “Saya dengan ini bersetuju menjadi penaung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia.

    “(Selaku) penaung, kita akan jumpa dengan persatuan, akan bantu persatuan penjaja.

    “Saya cuma minta kalau saya pohonkan bantuan, tolong bantu saya.

    “Terima kasih, warga penjaja akan gunakan hak mereka 19 Nov dengan memberi kepercayaan kepada parti yang boleh bantu dan membela nasib penjaja,” katanya.

    Terpulang tafsiran

    Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak menjawab secara terperinci apakah jenis bantuan yang akan beliau minta daripada komuniti penjaja.

    Apabila diminta untuk mengulas lanjut, beliau memberitahu media bahawa ia terpulang kepada tafsiran orang lain.

    Ketika ditanya jika ia boleh ditafsirkan sebagai ‘saya tolong awak, awak tolong saya’ (you help me, I help you), Ismail Sabri menjawab “Yalah you help me I help you okay-lah.”

    “Terserah kepada mereka untuk membuat atau beri pandangan mereka apa maksud itu,” jelas perdana menteri sementara itu.

  • Datuk, ahli politik Malaysia pilih selatan Thailand bernikah

    Datuk, ahli politik Malaysia pilih selatan Thailand bernikah

    LEBIH 500 pasangan dari Malaysia telah bernikah di selatan Thailand, sejak pintu sempadan negara itu dibuka pada awal Mei lepas hingga sehingga kini.

    Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Narathiwat, Abd Rahman Yusuf berkata, kedatangan pasangan dari Malaysia menunjukkan trend peningkatan terutama membabitkan orang kenamaan bergelar Datuk.

    Abd Rahman Yusuf

    Beliau yang juga Ketua Persatuan Imam, Khatib dan Bilal Sungai Golok, berkata pernikahan dikendalikan pihaknya turut membabitkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan.

    Tambahnya lagi, kebanyakan lelaki yang melangsungkan pernikahan di sini adalah untuk berpoligami atau mengahwini janda.

    “Ramai yang datang ke sini untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Kebanyakannya orang kenamaan yang berpangkat Datuk.

    “Kesukaran untuk berkahwin lagi (di Malaysia), membuatkan mereka mencari penyelesaian mendaftarkan perkahwinan di sini. Di sini lebih mudah dan ia adalah sah.

    “Selepas itu, pasangan tersebut boleh terus mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia dengan mudah,” katanya, lapor Astro Awani.

    Menurut Abd Rahman, perkahwinan di Masjid Kedai Baru, Narathiwat adalah yang satu-satunya proses sah bagi pengeluaran sijil nikah dari Thailand yang mempunyai pengesahan daripada Konsulat Malaysia di Songkhla.

    “Hanya sijil pernikahan yang dikeluarkan daripada kita sahaja (Narathiwat) yang mendapat pengiktirafan di Konsulat Malaysia,” jelasnya.

    Ditanya mengenai dokumen yang diperlukan, Abd Rahman berkata, bagi pasangan yang mahu mendaftar perkahwinan, mereka perlu menyediakan wang tunai RM900 bersama dokumen perjalanan seperti pasport atau pas sempadan.

    Selain itu, mereka perlu menyediakan kad pengenalan, surat cerai yang asal bagi janda atau surat kematian suami yang asal bagi balu.

    Media sebelum ini melaporkan, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid menasihati rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan apabila kembali ke tanah air.

    Beliau berkata, pendaftaran perlu dilakukan bagi mengelak berlaku masalah pada masa akan datang.

  • Truss letak jawatan PM UK selepas 45 hari pegang jawatan

    Truss letak jawatan PM UK selepas 45 hari pegang jawatan

    LIZ Truss akhirnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom selepas 45 hari menyusun strategi politiknya.

    Perkembangan itu dilihat bertitik-tolak daripada penyusutan kuasa politiknya susulan pembentangan belanjawan negara yang buruk pada bulan lalu.

    Truss dalam satu kenyataan di pekarangan Downing Street: “Kami membayangkan visi ekonomi bercukai rendah dan berketumbuhan tinggi yang boleh dimanfaatkan menerusi Brexit.  

     “Saya bagaimanapun menyedari, berdasarkan situasi, saya tidak mampu meneruskan mandat sebagai yang telah dipilih oleh Parti Konservatif. Oleh itu, saya telah memaklumkan kepada baginda Raja (Charles III) untuk mengumumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Konservatif.”

    Pengunduran Truss itu adalah selepas satu mesyuarat bersama Grahan Brady, iaitu ahli politik Konservatif yang bertanggungjawab dalam hal undian kepimpinan dan rombakan.

    Brady mempengerusikan 1922 Committee, iaitu kumpulan ahli-ahli Parlimen Konservatif tanpa jawatan menteri, yang boleh mengajukan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

    “Segalanya sudah berakhir,” ujar sumber yang dipetik portal berita The Guardian.

    Truss, yang menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah United Kingdom, dilihat ‘tewas’ dengan tekanan daripada ahli-ahli Parlimen Tory selepas peletakan jawatan Setiausaha Negara Suella Braverman, selain daripada kekacauan politik dalaman Parti Konservatif sendiri.

    Masih belum jelas sama ada Truss akan berundur serta-merta atau pada tempoh tertentu yang bakal diumumkan.

    Sehubungan perkembangan mengejutkan itu, Ketua Pembangkang Parti Buruh Keir Starmer menggesa pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

  • Anwar tanding Tambun, Dr Dzulkefly kekal di Kuala Selangor

    Anwar tanding Tambun, Dr Dzulkefly kekal di Kuala Selangor

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sah akan bertanding di kerusi parlimen Tambun, Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Sumber-sumber yang rapat dengan presiden PKR itu mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini sebentar tadi.

    “Ya. kerusi Tambun telah dimuktamadkan siang tadi. Anwar dah maklum kepada pimpinan utama PH. Akan diumumkan pada Konvensyen PH malam ini,” kata sumber kepada Malaysiakini.

    Teka-teki kerusi Parlimen yang bakal ditandingi Anwar akan terjawab hari ini.

    Pada pilihan raya umum 2013, Tambun dimenangi oleh calon Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan majoriti 5,320 undi.

    Dalam pilihan raya umum lima tahun lalu, beliau dicabar calon UMNO  Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang merupakan penyandang kerusi itu sejak 1995.

    “Isu pokok bukan sekadar Anwar ke Tambun tapi ke Perak. Impak dirasai ke seluruh Perak dan ini penting dalam langkah PH untuk tawan Putrajaya.

    “Tambun kerusi campuran. Penting untuk menunjukkan dapat sokongan semua kaum,” kata sumber itu.

    SEMENTARA, Amanah akan mempertaruhkan penyandangnya Dr Dzulkefly Ahmad di Parlimen Kuala Selangor walaupun dia sebelum ini mahu memberi laluan kepada muka baru.

    Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata kerusi itu menjadi sangat kritikal dan serius selepas UMNO mahu meletakkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di situ.

    “Kami yakin beliau mampu mengekalkan kerusi ini berdasarkan kerja buat beliau selama ini,” katanya dalam kenyataan.

    Sebelum ini Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan mengumumkan tidak menyertai pilihan raya umum kali ini dan menegaskan pendirian itu kekal walaupun BN menurunkan Tengku Zafrul.

    Selain itu Amanah juga dijangka membuat perubahan kecil dalam meletakkan calon-calon pada PRU ke-15 nanti khususnya membabitkan kepimpinan utama parti.

    Antaranya Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad diputuskan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam yang dimenanginya pada 2018.

    Sebaliknya kata sumber itu, Khalid akan menjadi taruhan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Titiwangsa.

    “Khalid bakal bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa, manakala parlimen Shah Alam belum diputuskan setakat ini dan berkemungkinan Ketua Amanah kawasan Shah Alam, Azli Yusof, akan dicalonkan,” katanya.

  • Ringgit teruskan momentum penurunan, di bawah paras terendah Krisis Kewangan Asia

    Ringgit teruskan momentum penurunan, di bawah paras terendah Krisis Kewangan Asia

    RINGGIT terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras terendah melebihi paras rendah dicatatkan semasa Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998.

    Ia disebabkan oleh tekanan daripada ekonomi tempatan dan global yang berterusan, kata penganalisis.

    Pada 6 petang, mata wang tempatan diniagakan pada 4.7270/7290 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada paras 4.7250 dicatatkan pada 7 Januari 1998.

    Pada penutupan hari Rabu, unit tempatan didagangkan pada 4.7180/7220.

    Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes, berkata ringgit meneruskan momentum penurunannya apabila hasil bon AS melonjak disebabkan sentimen bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin akan menaikkan kadar faedah.

    Selain itu, beliau berkata walaupun ketika ini para pegawai China sedang melakukan perbincangan untuk mengurangkan kuarantin COVID-19 untuk masuk ke negara itu, pasaran tidak melihat ringgit akan meningkat semula berbanding dolar AS.

    “Pasaran juga bersikap berhati-hati mengenai usaha kemakmuran bersama oleh Presiden China, Xi Jinping apabila Kongres Parti Komunis China (CPC) menukar istilah baharu iaitu ‘untuk mengawal selia mekanisme berkaitan pengumpulan kekayaan’.

    “Bagaimanapun ketika ini Fed yang memutuskan untuk menaikkan kadar faedah adalah penggiat utama dalam pasaran pertukaran asing (FX), sekiranya Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berubah fikiran maka keadaan boleh berubah menjadi lebih baik untuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

    Selain itu, Innes berkata selain ringgit, yen Jepun, salah satu mata wang paling kukuh di dunia telah melepasi paras 150 dan mencecah paras terendah dalam tempoh 32 tahun berbanding dolar AS pada Khamis.

    Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.1547/1565 daripada 3.1611/1642 ketika ditutup pada Rabu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3172/3188 daripada 3.3176/3207 sebelumnya.

    Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2472/2491 daripada 3.2529/2559 serta mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2059/2079 daripada 3.2084/2116.

    Unit tempatan juga melonjak berbanding euro kepada 4.6244/6264 daripada 4.6326/6365 pada Rabu dan bertambah kepada 5.2971/29935 daripada 5.3233/3278 pada penutupan semalam. -BERNAMA

  • 5,694 mahasiswa IPMA terima PerantiSiswa Keluarga Malaysia

    5,694 mahasiswa IPMA terima PerantiSiswa Keluarga Malaysia

    SEBANYAK 5,694 mahasiswa daripada kumpulan B40 Institusi Pendidikan MARA (IPMA) mula menerima peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya menerima hampir 10,000 permohonan daripada lima institusi IPMA.

    “Peranti ini diberikan kepada mahasiswa yang layak di bawah Fasa 1 bermula pada 3 September lalu, manakala pengagihan peranti di bawah Fasa 2 pula telah mula diagihkan pada bulan Oktober selepas permohonan Fasa 2 dilanjutkan hingga 30 September lalu”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Jelas Mahdzir, peranti tersebut diberikan secara hak milik kepada mahasiswa tanpa perlu memulangkannya semula kepada kerajaan.

    Di peringkat IPT KPLB, mahasiswa yang menerima peranti tersebut adalah dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), University College Agroscience Malaysia (UCAM), Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan German-Malaysian Institute (GMI).

    “Kepada mereka yang belum menerima peranti ini, saya akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri agar inisiatif perantisiswa ini diteruskan kepada lebih banyak institusi pendidikan di bawah KPLB yang lain.

    “Antaranya seperti Kolej Profesional MARA (KPM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan lain-lain IPT KPLB bagi memastikan mahasiswa menerima manfaat daripada inisiatif tersebut,” katanya.

    Mahdzir bergambar kenangan selepas Majlis Penyampaian Perantisiswa Keluarga Malaysia peringkat KPLB di UniKL Kampus Kota, Jalan Sultan Ismail hari ini.

    Terdahulu, Mahdzir merasmikan Majlis Penyampaian Perantisiswa Keluarga Malaysia peringkat KPLB di UniKL Kampus Kota, Jalan Sultan Ismail hari ini.

    Pada majlis itu, seramai 200 mahasiswa dari 5 buah IPMA dari zon tengah melibatkan UniKL MIIT, UniKL Business School, KUPTM KL, KPTM Bangi dan GMI menerima peranti berkenaan.

    Turut hadir, Pengerusi MARA Corporation Sdn.Bhd, Senator Datuk Wira Othman Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

  • KPLB perkenal Anugerah Institusi Pendidikan TVET @KPLB

    KPLB perkenal Anugerah Institusi Pendidikan TVET @KPLB

    BUAT julung kalinya tahun ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan Anugerah Institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, anugerah itu sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas usaha serta pencapaian cemerlang institusi, tenaga pengajar, pelajar dan alumni program TVET@KPLB.

    “Anugerah TVET@KPLB juga diwujudkan bagi memberi galakan untuk menaikkan motivasi dan mendorong pencapaian serta sumbangan yang lebih aktif oleh institusi, tenaga pengajar, pelajar dan alumni.

    “Saya amat berbangga dengan segala pencapaian yang telah dicatat oleh semua Institusi TVET di bawah KPLB di dalam pelbagai bidang,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengerusi GiatMARA, Datuk Din Adam.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sejumlah 280 Institusi pendidikan TVET KPLB mengambil bahagian dalam empat kategori anugerah yang dipertandingkan.

    Kategori tersebut adalah Anugerah Institusi Terbaik, Pengajar Terbaik, Pelajar Terbaik dan Ikon TVET@KPLB.

    Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai, trofi dan Sijil penghargaan.

    Pada majlis itu, Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, Sabah dinobatkan sebagai Institusi TVET Terbaik Peringkat Sijil.

    Selain itu, Mara Japan Industrial Institute (MJII), pemenang kategori Institusi TVET Terbaik Peringkat Diploma dan UniKL MIIT dianugerahkan sebagai Institusi TVET Terbaik Peringkat Ijazah.

    Sementara itu, GiatMara hari ini menerima pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan TVET Terbaik Keseluruhan Bagi Anugerah Kecemerlangan Sempena Anugerah Pendidikan & TVET Malaysia 2022, anjuran Education-TVET Asia.

    “Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya dan semoga membawa balik kejayaan kepada dua pelajar GiatMara yang sedang mewakili negara ke pertandingan World Skills Competition (WSC) 2022 Special Edition di Helsinki, Finland dari 16 hingga 25 Oktober ini.

    “Seorang dari GiatMara Prima Tasek Gelugur, Pulau Pinang yang bertanding dalam kategori Terapi Kecantikan dan seorang lagi dari GiatMara Kuala Lumpur yang bertanding dalam kategori Teknologi Fesyen”, kata Mahdzir.

  • Tahap keselamatan negara terjamin – Ismail Sabri

    Tahap keselamatan negara terjamin – Ismail Sabri

    TAHAP keselamatan negara adalah terjamin, dan rakyat tidak perlu bimbang walaupun ada dakwaan wujudnya agensi perisikan luar yang aktif di negara ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan itu berkata beliau masih menunggu laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung dakwaan agensi perisikan luar yang ada kaitan dalam kes penculikan warga Palestin di Malaysia.

    “Isu ejen Mossad saya belum dapat laporan terperinci daripada MKN dan polis. Begitu juga warga Israel (yang masuk ke Malaysia menggunakan passport lain) saya tunggu laporan.

    “Saya akan jumpa Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) dan MKN serta semua agensi berkaitan untuk saya dapatkan laporan,” katanya kepada media selepas perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil di Dataran Merdeka di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy Raeda.

    Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa akhbar berkenaan.

    Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    Ditanya mengenai pembahagian kerusi UMNO bagi Pilihan Raya Umum ke-15, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata ia masih dalam perbincangan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

    “Perbincangan masih diteruskan untuk memilih calon-calon daripada UMNO. Pengerusi Perhubungan Negeri dah pun bentangkan pandangan mereka pada minggu lepas jadi kita akan buat penilaian,” katanya. – BERNAMA

  • Bekas ADUN Sekong meninggal dunia dalam pesawat

    Bekas ADUN Sekong meninggal dunia dalam pesawat

    BEKAS ADUN Sekong, Samsudin Yahya meninggal dunia ketika dalam penerbangan pulang dari ibu negara ke Sabah.

    Berita duka itu dikongsi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua UMNO negeri, Datuk Bung Moktar Radin dalam catatan Facebook mereka.

    “Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham Samsudin Yahya yang baru saja pergi menghadap ilahi. Semoga Allah terima segala amalan dan mengangkat darjat Allahyarham disisi-Nya,” tulis Hajiji, lapor FMT.

    “Takziah kepada Junaidah Aji dan seluruh keluarga, diharap tabah menerima kehendak Allah,” tulis Bung.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd mengesahkan Samsudin meninggal dunia di dalam pesawat, ketika dalam penerbangan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi itu pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sekong selama tiga penggal sebelum kalah pada PRU14.