Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pengurus hartanah didakwa campak kucing dari tingkat 15

    Pengurus hartanah didakwa campak kucing dari tingkat 15

    SEORANG pengurus hartanah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan mencampak seekor kucing dari tingkat 15 sebuah pangsapuri, Isnin lalu.

    Tertuduh, Cham Kam Kin, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat ke atas seekor kucing dengan mencampakkannya dari tingkat 15 hingga menyebabkan kematian haiwan itu di sebuah pangsapuri di Jalan PJS 8/9 di sini pada jam 7.30 malam, 17 Oktober lepas.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

    Chan Kam Kin, 44, dituduh atas kesalahan melakukan khianat terhadap seekor kucing dengan mencampakkan haiwan itu dari tingkat 15 sebuah apartment ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Kailash Sharma merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara seorang anak berusia lapan tahun.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari 2023 untuk sebutan kes.

    Pada Rabu lalu, media melaporkan seorang lelaki diberkas selepas didakwa mencampak seekor kucing dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di Jalan PJS 8/9 di Petaling Jaya.

  • Lelaki kudung tangan didakwa bunuh gelandangan warga emas

    Lelaki kudung tangan didakwa bunuh gelandangan warga emas

    SEORANG lelaki yang mengalami kudung tangan kanan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga emas gelandangan, Ahad lalu.

    Chin Ling Sin, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Jesseca Daimis dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu yang juga seorang gelandangan didakwa membunuh Leong Chow Wah, 67, di lorong tepi sebuah restoran di Jalan Leng Sin Nam, Ipoh dalam daerah Kinta antara pukul 4.50 pagi hingga 5.50 pagi pada 16 Oktober 2022.

    Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh belum diwakili peguam, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan laporan bedah siasat.

    Media pada Ahad lalu melaporkan, mayat lelaki warga emas dipercayai gelandangan ditemukan dengan kesan luka di dagu di tepi tangga dekat kaki lima kedai di Jalan Leong Sim Nam.

    Lelaki terbabit ditemukan orang awam sekitar pukul 5.22 pagi dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pakar klinikal Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di lokasi kejadian.

    Pemeriksaan awal ke atas tubuh lelaki itu mendapati terdapat kesan luka pada dagu disebabkan senjata tajam dan calar pada kedua-dua tangan.

  • PRU-15: Ahmad Zahid nafi tidak bertanding lagi

    PRU-15: Ahmad Zahid nafi tidak bertanding lagi

    DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan laporan sebuah akhbar tempatan bahawa beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut sumber yang rapat dengan Presiden UMNO itu, laporan oleh sebuah akhbar tempatan itu adalah fitnah dan tidak sahih.

    “Saya menerima beberapa panggilan berhubung dakwaan Ahmad Zahid akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri, namun perkara berkenaan tidak benar,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Ditanya sekiranya Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) tetap akan bertanding untuk PRU-15, sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkannya.

    “Saya tidak boleh beritahu sama ada Ahmad Zahid akan bertanding atau tidak, tetapi laporan berita oleh akhbar tempatan itu adalah tidak benar,” ujarnya.

    Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan Ahmad Zahid tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU-15.

    Akhbar itu menyatakan tempat beliau akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.

    Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan ketika dihubungi turut menafikan laporan itu dan menganggap ia hanya sekadar propaganda pihak tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti Ahmad Zahid.

    “Tiada, tiada, tiada. Itu hanya propaganda. Tiada sebarang kenyataan rasmi dari Presiden,” katanya lagi.

    Seorang sumber yang rapat dengan kepimpinan UMNO memberitahu Astro Awani, bahawa laporan itu sekadar agenda ‘nakal’ untuk memeriahkan suasana PRU-15.

    Beliau juga tidak menolak kemungkinan itu adalah agenda Pembangkang kerana mereka sedia maklum bahawa Ahmad Zahid mempunyai strategi yang cukup ‘ampuh’ untuk memenangkan BN kali ini.

    “Mereka telah berjaya memenjarakan Najib dan dgn cubaan mengatakan Zahid tidak bertanding adalah untuk melemahkan semangat serta strategi UMNO.

    “PRU-15 kali ini tanpa Najib dan Ahmad Zahid harus menjadi kepala perang untuk memastikan BN menang di PRU-15,” katanya lagi.

    Sumber itu berkata, Ahmad Zahid perlu bertanding bukan semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi bagi memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus kekal memegang jawatan itu, sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan kelak.

    Sementara itu, Pengarah Media Pejabat Presiden UMNO, Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican menganggap laporan itu sebagai fitnah dan sebarang kenyataan Presiden parti mesti melalui media rasmi UMNO atau BNCOMMS.

  • Penemuan mayat reput: Tukang gunting rambut didakwa bunuh teman wanita

    Penemuan mayat reput: Tukang gunting rambut didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas pertuduhan membunuh teman wanita minggu lalu.

    M. Krishnaa Kumar, 24, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, Krishnaa didapati dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian kepada M. Shankavi, 23.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kawasan semak berhampiran tepi jalan besar Tambun antara pukul 3.11 pagi pada 8 Oktober 2022 hingga jam 5.25 pagi 12 Oktober 2022.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

    Kes dikendalikan Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan mayat reput itu ditemukan selepas sebuah Proton Iswara Aeroback terbabas ke longkang berdekatan persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun.

    Siasatan polis mendapati mangsa mempunyai padanan dengan kes orang hilang.

    Hasil bedah siasat pula menunjukkan punca kematian adalah akibat dicekik.

  • Abang Viva sah bergelar suami

    Abang Viva sah bergelar suami

    ABANG Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, telah selamat diijabkabulkan dengan tunangnya, Evanoza Zakaria di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Ayer Keroh di Melaka, pada Jumaat lalu.

    Berita gembira itu telah dikongsikan Azwan bersama orang ramai menerusi penstriman secara langsung pada malam tadi namun disimpan sebagai tetapan peribadi.

    Azwan berkata, tiada niat untuk menyembunyikan perkara baik itu namun memandangkan dia dan isteri mempunyai niat yang sama untuk melakukan kebajikan dia mengambil keputusan memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan fitnah.

    Katanya, pada awalnya dia merancang mendirikan rumah tangga dengan tunangnya yang dikenali ketika bersama menjalankan kerja-kerja sukarelwan pada Disember depan, namun faktor ramalan cuaca menjangkakan akan berlaku bencana Monsun Timur Laut di beberapa negeri.

    “Jadi untuk bulan depan dan seterusnya lebih baik kami suami isteri berbincang dan bersiap sedia untuk menggerakkan sukarelawan di bawah Gerakan Kebajikan Abang V-V.

    “Biarpun bertukar status namun misi bantuan ini tidak akan dilupakan malah lebih mudah saya dan isteri bergerak bersama menyalurkan bantuan dengan lebih bersemangat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambahnya, setakat ini mereka masih belum menetapkan tarikh resepsi bagi meraikan keluarga di kedua-dua pihak.

    Sinar Harian sebelum ini melaporkan Azwan yang berasal dari Melaka mendapat perhatian rakyat Malaysia kerana kesungguhannya membantu mangsa banjir dengan hanya berbekalkan RM50 dan menggunakan kereta jenis Perodua Viva serta sebuah bot.

  • Jualan tiket bas laris sejak SPR umum tarikh PRU-15

    Jualan tiket bas laris sejak SPR umum tarikh PRU-15

    SELEPAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarih mengundi, semalam, jualan tiket bas terutama dari Lembah Klang ke Kelantan laris dengan lebih 80 peratus terjual.

    Tiket yang laris adalah pada 16 hingga 18 November untuk perantau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15).

    Ejen jualan tiket bas ekspres, Izani Zakaria, 40, berkata, sebaik pengumuman SPR semalam, dia menerima banyak panggilan sehingga malam tadi bertanyakan tiket bas.

    Katanya, kebanyakan penumpang dari Lembah Klang membeli tiket bermula 16 November sehingga 18 November.

    “Bayangkan pada 18 November, sebanyak 30 bas dari Lembah Klang ke Kelantan sudah hampir penuh dengan setiap bas kebanyakannya tinggal 10 hingga 15 kerusi sahaja.

    “Saya tidak sangka sambutan begitu menggalakkan dan mungkin hari ini tiket sudah kehabisan memandangkan sambutan diterima seolah-olah seperti hari raya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, sambutan terhadap jualan tiket memang meriah terutama dari Lembah Klang.

    “Pada 18 November, hanya tinggal satu bas sahaja lagi yang masih mempunyai kekosongan, manakala sembilan bas lagi sudah penuh.

    “Kita jangka mungkin hari ini akan habis dari Lembah Klang, namun dari negeri lain masih ada kekosongan,” katanya.

    Semalam, SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah.

    Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November.

  • Pasang bendera awal ambil ‘semangat’ PRU-15

    Pasang bendera awal ambil ‘semangat’ PRU-15

    BEBERAPA bendera Pas yang dipasang di beberapa lokasi di Terengganu dibuat bagi mengambil ‘semangat’ Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, itu sudah menjadi tradisi di negeri itu sebaik pengumuman rasmi dibuat berkenaan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada setiap PRU walaupun belum tiba hari penamaan calon.

    “Daripada segi undang-undang PRU, selepas sah parti mana bertanding barulah secara rasminya mana-mana parti dibolehkan untuk letak (naikkan) bendera mereka.

    “Tetapi, kita di Terengganu mengambil kira tradisi sebelum ini iaitu bila bubar sahaja Parlimen terus naikkan bendera. Sebenarnya PRU kali ini keadaan dilihat agak ‘sejuk’ di negeri ini berbanding yang lepas,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Media PN Terengganu, Kuala Terengganu, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Bagaimanapun Ariffin berkata, parti itu sedia menurunkan bendera yang sudah dinaikkan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

    “Jika pihak berkuasa tempatan (PBT) kata satu kesalahan dan akan ambil tindakan, itu adalah hak PBT dan kita akan akur kerana sekarang bukan lagi tempoh kempen yang sebenar.

    “Walaupun Pas sebagai parti pemerintah, kita tidak akan bertindak sewenang-wenangnya melanggar peraturan bahan kempen termasuk bendera yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Kita akan sentiasa bekerjasama dalam mematuhi semua peraturan SPR sepanjang PRU15 berlangsung agar ia berjalan lancar, ” katanya.

    Baru-baru ini, pemasangan bendera parti politik di beberapa kawasan termasuk pembahagi jalan raya menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat dan ditularkan dalam media sosial.

    Beberapa pihak turut menyuarakan rasa tidak puas hati ekoran tindakan memasang bendera secara ‘kekal’ dengan menampal simen pada batang bendera yang dipacak di sebuah lokasi di Gong Badak, Kuala Nerus.

    Tindakan itu dilihat mengundang kecaman ramai kerana disifatkan sebagai perbuatan vandalisme.

    Difahamkan, parti politik perlu membayar wang deposit bahan kempen pilihan raya sebanyak RM5,000 untuk kawasan Parlimen dan RM3,000 bagi kawasan Dewan Undangan negeri (DUN).

    Tindakan memasang bendera terutama di kawasan tidak dibenarkan boleh diambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Akta Pilihanraya dan Perintah 6 (1), Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) 1990.

  • [VIDEO]Kubah masjid terbakar kerugian lebih RM3 juta

    [VIDEO]Kubah masjid terbakar kerugian lebih RM3 juta

    JUMLAH kerugian akibat kebakaran sebuah kubah besar Masjid Raya di Pusat Islam, Jakarta Utara pada Rabu lalu dianggarkan lebih 10 bilion rupiah (RM3.03 juta).

    Namun Ketua Pusat Pengkajian dan Pengembangan Islam di pusat itu, Muhammad Subki menyatakan pihaknya belum mengetahui nilai kerugian itu secara tepatnya, lapor Republika.

    “Anggaran pembaikan kubah itu sahaja melibatkan belanja lebih 5 bilion rupiah (RM1.05 juta),” katanya menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

    Beliau mengulas tentang kebakaran kubah masjid tersebut yang berlaku pada pukul 3.15 petang waktu tempatan pada Rabu lalu.

    Dalam kejadian itu, kubah tersebut kemudian runtuh selepas terbakar.

    Namun, ketika kejadian, tidak ada seorang pun jemaah yang berada di dalam masjid tersebut kerana kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan menyebabkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Lebih lapan buah jentera bomba digunakan untuk memadamkan kebakaran itu.

    Sementara itu, Ketua polis tempatan, Komisioner Slamet Wibisono Yanto menjelaskan, para penyiasat percaya kebakaran itu berpunca daripada percikan api semasa proses pengubahsuaian bumbung masjid dilakukan.

    Beliau menjelaskan bahawa para pekerja cuba memadamkan api demgan menggunakan alat pemadam api tetapi ia cepat merebak dan membakar kubah sehingga runtuh.

  • Nazri kekal pendirian tidak bertanding selepas enam penggal menjadi ahli Parlimen

    Nazri kekal pendirian tidak bertanding selepas enam penggal menjadi ahli Parlimen

    KETUA Bahagian UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kekal dengan pendirian untuk memberi laluan kepada calon lain di kerusi Parlimen Padang Rengas yang dimenanginya sejak enam penggal yang lalu.

    Mohamed Nazri menjelaskan sudah tiba masanya untuk beliau memberi ruang dan peluang kepada golongan muda untuk bertanding di Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) biarpun telah lebih tiga penggal bergelar wakil rakyat

    “Ramai bertanya adakah saya masih berpegang kepada keputusan yang dibuat setahun yang lalu, jadi hari ini saya nak beritahu, ya, saya masih dengan pendirian yang sama.

    “Saya tidak akan bertanding pada PRU-15 dan akan memberi laluan kepada muka baharu di kerusi tersebut. Setiap yang bermula pasti akan berakhir.

    “InsyaAllah Padang Rengas akan kekal di bawah UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-15 ini biarpun bukan saya lagi yang bertanding.

    “Kita kena beri peluang kepada muka baharu, memang tidak akan ada seorang lagi Nazri Aziz tetapi setiap orang akan ada kelebihan sendiri,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Setahun yang lalu, Mohamed Nazri mengumumkan tidak akan mempertahakan kerusi parlimen Padang Rengas pada PRU15 untuk memberi laluan kepada muka baharu.

    Ketika ini setiap parti di peringkat akhir untuk memutuskan calon yang akan bertanding pada PRU-15 yang akan diadakan pada 19 Nov nanti.

    Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumukan penamaan calon akan diadakan pada 5 November dan tempoh berkempen adalah selama 14 hari.

    PRU-15 perlu diadakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober yang lalu.

  • Jika saya dilantik PM, saya akan potong gaji, elaun PM – Anwar

    Jika saya dilantik PM, saya akan potong gaji, elaun PM – Anwar

    PENGERUSI  Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), perkara pertama yang akan dilakukan adalah dengan melakukan pemotongan gaji dan elaun bagi jawatan berkenaan.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, keputusan itu dibuat susulan keadaan ekonomi yang didakwa semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat.

    “Rakyat hidup susah, derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tak terkawal, dan kemudahan kesihatan ibu bapa tak terurus. Maka biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin oleh Allah SWT, 20 hari bulan saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri itu sendiri.

    “(Gaji dan elaun untuk) Menteri-menteri saya akan runding kemudian, akan tetapi untuk (gaji dan elaun) perdana menteri, saya nak beri tahu, kalaulah keadaan ekonomi seperti ada sekarang, saya tak sanggup ambil gaji sebagai perdana menteri,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di Ipoh, malam.

    Hadir sama, Timbalan-timbalan Pengerusi PH yang antaranya, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; serta Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

    Dalam pada itu, Anwar berkata sekiranya sekiranya PH berjaya menawan kembali Putrajaya, jumlah anggota kabinet juga akan dikurangkan berbanding sebelum itu.

    “Dari (Tun Dr) Mahathir Mohamad turun ke Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin). (Muhyiddin) dapat jawatan (perdana menteri), tambah bilangan menteri. Kehidupan rakyat tak terurus.

    “Daripada Muhyiddin dapat kepada kepada Ismail (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), (jumlah) menteri bertambah, Penasihat perdana menteri bertambah.

    “Nasib rakyat, entah ke mana juga. Dasar ekonomi tak menentu, pelaburan tak datang, keyakinan (pelabur) tidak ada. Doakan insyaAllah, Dari Ismail sampai kepada Anwar, kita ubah landskap politik dan ekonomi negara kita,” katanya.

    Sebelum itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar merupakan calon perdana menteri sekiranya PH berjaya memenangi PRU15.

     Saifuddin Nasution umum Anwar calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan

      Katanya perkara itu diputuskan selepas beberapa siri rapat temu dan mesyuarat antara pimpinan tertinggi gabungan itu.