Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ahmad Faizal pertahan Tambun, alu-alukan mana-mana individu bertanding

    Ahmad Faizal pertahan Tambun, alu-alukan mana-mana individu bertanding

    DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu, akan mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presiden Bersatu itu membuat kenyataan tersebut, selepas malam tadi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di Parlimen itu.

    Anwar sebelum ini adalah Ahli Parlimen Port Dickson selepas memenangi kerusi itu melalui pilihan raya kecil pada 13 Oktober 2018.

    Ahmad Faizal berkata, sebagai anak jati Tambun, beliau dan rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional (PN) berpendirian, menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk terus kekal berkhidmat di halaman sendiri.

    “Atas prinsip dan semangat demokrasi, saya turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

    “Mudah-mudahan, kempen pada pilihan raya kali ini berjalan dengan telus dan adil, sekali gus memberi manfaat buat pengundi di Tambun serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

  • Caprice tetap nak saman Mydin

    Caprice tetap nak saman Mydin

    PENYANYI rap, Caprice tetap dengan pendirian untuk terus saman terhadap syarikat terkemuka, Mydin.

    Ini kerana katanya, hantaran dilakukan syarikat itu menerusi media sosial disifatkan sebagai berbaur sindiran.

    Dalam hantaran di Instagram Story, Caprice menjawab pertanyaan pengikutnya dan akan meneruskan dengan saman.

    “Ya (teruskan saman). Saya tak pernah sangka, orang yang kita hormati akan melakukan perkara serendah ini dengan membenarkan pasukan media sosialnya untuk menyindir dan perli saya.

    “Bagaimana nak nafikan sedangkan ruang komen memang ‘tag’ dan tahu itu mengenai saya,” tulisnya, lapor Harian Metro hari ini.

    Caprice juga mendakwa, syarikat itu dengan sengaja mengajak masyarakat untuk menyindirnya.

    “Sangat mengecewakan. Mereka tahu apa mereka buat dengan menggunakan ayat nama ‘cap’ dan ‘rice’. Tapi, buat-buat tak tahu.

    “Nak ajak orang perli, sindir, sila bos. Tanggunglah dosa itu. Ingat tua-tua, kita akan fikir kubur, tapi nak sangat ‘cool’ dan ‘in trend’. Sanggup kejar mata,” tulisnya.

    Caprice juga menutup ruang komen dalam hantarannya berkaitan syarikat itu di Instagram dengan alasan, dia adalah pihak yang memfailkan saman.

    “Sebagai pihak yang memfailkan kes, komen di hantaran peribadi mengenai Mydin boleh dibawa ke mahkamah. Sama juga, apa-apa komen yang ditulis oleh orang awam dari hantaran di akaun rasmi mereka, juga boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

    Semalam, akaun Twitter rasmi Mydin memuat naik ciapan menggunakan perkataan ‘cap’ dan ‘rice’, merujuk kepada produk jualan mereka iaitu topi dan beras.

    Kemudian, mereka juga memuat naik satu lagi ciapan berserta gambar cili, yang juga produk jualan mereka.

    Ciapan itu disambut baik oleh netizen termasuklah jenama telefon pintar Oppo yang bertanya, sama ada mereka menjual plastik yang tidak mudah koyak.

  • Peningkatan varian baharu Omicron XBB dikesan – Khairy

    Peningkatan varian baharu Omicron XBB dikesan – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai untuk tidak khuatir dengan subvarian Covid-19 baharu, Omicron XBB yang mula dikesan ketika ini.

    Menterinya, Khairy Jamaludin berkata, meskipun tidak menolak kemungkinan kes membabitkan varian itu akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang, namun ianya tidak membawa kepada peningkatan kemasukan ke hospital dan kematian.

    Beliau berkata, pegawai berkaitan juga sedang membuat unjuran berhubung perkara berkenaan, bagaimanapun setakat ini KKM tidak bercadang untuk melakukan sebarang sekatan termasuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka.

    “Buat masa ini saya tidak ada apa-apa rancangan untuk kembalikan apa-apa sekatan, Singapura juga telah mengatakan tidak ada apa-apa rancangan tetapi menteri Singapura telah memaklumkan dan ada berhubung dengan saya bahawa beliau tidak tolak kemungkinan pelitup muka boleh dikembalikan di Singapura.

    “Untuk di Malaysia belum lagi, saya tidak melihat keputusan tersebut buat masa ini tetapi seperti mana yang saya selalu pesan buat rakyat Malaysia, fasa peraihan ke endemik ini mesti mengambil kira mutasi virus.

    “Ini kepada varian baharu, kalau datang varian baharu yang mungkin boleh meningkat kebolehjangkitan dan juga kesan dan gejala, maka kita kena semak balik tetapi setakat ini tidak, tetapi kalau kata peningkatan kes harian, saya rasa akan berlaku,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia (Zon Selatan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan subvarian baharu Omicron XBB mula dikesan di Amerika Syarikat (AS) pada 15 September lalu, dan ia dikatakan bersifat sangat kebal dan mudah menular.

    Laporan juga menyebut virus itu kini menular di negara-negara benua Asia termasuk di Singapura dan merebak dengan lebih cepat daripada varian Covid-19.

    Mengulas lanjut ujarnya, sebagai langkah keselamatan, orang ramai terutama warga emas dan mereka berisiko tinggi disyorkan memakai pelitup muka terutama ketika berada dalam kumpulan yang ramai.

    Selain itu katanya, beliau akan turut memastikan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berjalan dengan lancar terutamanya sepanjang tempoh berkempen.

  • Inspektor polis dituduh terima suapan

    Inspektor polis dituduh terima suapan

    ANGGOTA polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tahun lalu.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohammad Soffi Jalal, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohammad Soffi yang bertugas sebagai Pegawai Siasatan dan Perundangan di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, didakwa secara rasuah meminta suapan untuk dirinya berjumlah RM5,000 daripada seorang individu berusia 30 tahun di pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, pada 28 Februari 2021.

    Itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang membuat aduan palsu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

    Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atas kesalahan rasuah iaitu memperoleh suatu suapan berjumlah RM7,000 daripada individu sama, di pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Lahad Datu, pada 4 Mac 2021.

    Memetik laporan Harian Metro, itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang membuat aduan palsu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

    Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserah kepada mahkamah, tertuduh dikehendaki lapor sebulan sekali di pejabat SPRM Lahad Datu selain dilarang mendekati atau mengganggu saksi.

    Bagaimanapun, peguam Edward Paul yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan mengambil kira faktor anak guamnya yang berkemungkinan akan digantung tugas selain mempunyai tanggungan seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak.

    Menurutnya, anak guamnya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan selain tidak mempunyai sebarang halangan atau risiko untuk menghadiri perbicaraan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 (deposit sebanyak RM5,000) dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan diri dua bulan sekali di Pejabat SPRM Lahad Datu, selain syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

    Mahkamah juga menetapkan 1 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

  • Takut diserang orang ramai, pencuri hubungi polis merayu untuk diselamatkan

    Takut diserang orang ramai, pencuri hubungi polis merayu untuk diselamatkan

    SEORANG pencuri profesional mengambil keputusan menamatkan kerjaya sebelum waktunya dengan menghubungi sendiri polis selepas perbuatannya dikesan oleh orang awam.

    Ketua Polis tempatan, Asad uz Zaman, berkata pencuri itu, Yasin Khan, 40, dilaporkan memecah masuk kedai runcit di selatan bandar Barisal untuk mencuri barangan dari rak.

    “Apabila dia selesai melakukan kerja itu dan hendak keluar, (Yasin) Khan menyedari hari sudah cerah dan orang ramai mula datang ke pasar,” katanya menurut Berita Harian yang memetik laporan AP.

    Berikutan itu, orang awam yang marah mula berkumpul dan disebabkan takut diserang, Yasin menghubungi talian kecemasan polis untuk merayu untuk diselamatkan.

    “Kami pergi ke kedai dan membawanya keluar sambil diiringi polis sebelum orang ramai bertindak.

    “Saya tidak pernah melihat kejadian sebegitu dalam kerjaya saya,” katanya.

    Sementara itu, pemilik kedai, Jhontu Mia, berkata Yasin telah menyumbat beg besar dengan barang-barang berharga tetapi tidak dapat melarikan diri dari tempat kejadian.

    Dia telah ditangkap dan dihantar ke penjara selepas mengaku pecah masuk, malah turut dikehendaki kerana terbabit dengan beberapa lagi kes pecah rumah di kawasan itu.

  • Polis tahan pengawal keselamatan dera anak angkat

    Polis tahan pengawal keselamatan dera anak angkat

    POLIS menahan seorang pengawal keselamatan kerana mendera anak angkatnya dalam kejadian di Pangsapuri Seri Mutiara semalam .

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 30 tahun.

    “Siasatan dijalankan mendapati pengadu iaitu seorang wanita tempatan berumur 19 tahun bertengkar dengan kakaknya selepas menegur perbuatan pasangan suami isteri itu yang memarahi anak angkat mereka pukul 7 petang kelmarin.

    “Pengadu turut mendakwa pernah melihat mangsa dipukul oleh suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, mangsa merupakan kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang dijaga oleh pasangan terbabit.

    “Mangsa dijaga pasangan itu sejak berumur lima bulan selepas diserahkan oleh seseorang yang tidak dikenali secara suka rela.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan dipercayai didera dengan menggunakan tangan oleh suspek,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

    “Siasatan dijalankan membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang merupakan ayah angkat kepada mangsa dan suspek direman lima hari bagi siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • Tiga remaja mengaku tidak bersalah rogol gadis

    Tiga remaja mengaku tidak bersalah rogol gadis

    TIGA remaja didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas empat pertuduhan merogol gadis bawah umur di Arau, Kangar dan Padang Besar, awal bulan ini.

    Tertuduh berusia 17 dan 16 tahun yang berasal dari Kangar dan Padang Besar mengakut tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md. Ali.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja pertama berusia 17 tahun didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun di kawasan Hutan Bukit Nyatoh, Padang Besar kira-kira 11.30 pagi, 9 Oktober lalu.

    Malah, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama di pondok rumah di Beseri Dalam, Padang Besar kira-kira 7.30 malam, 10 Oktober lalu.

    Bagi remaja kedua yang juga berusia 17 tahun serta rakan subahat tertuduh pertama, dia didakwa merogol mangsa sama pada 12 tengah hari di tempat seperti pertuduhan pertama tertuduh pertama, lapor Harian Metro.

    Sementara pertuduhan seorang lagi remaja berusia 16 tahun, dia didakwa merogol mangsa sama di Arau pada 11.30 pagi, 8 Oktober lalu.

    Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

    Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam Syed Saifulizan Syed Abd Razak.

    Mahkamah kemudian menetapkan 30 November hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Selain itu, mahkamah turut menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 bagi tertuduh pertama manakala RM1,000 bagi tertuduh kedua dan ketiga.

  • [VIDEO]Sempat panggil mama 3 kali, budak perempuan maut ditikam ketika balik mengaji al-Quran

    [VIDEO]Sempat panggil mama 3 kali, budak perempuan maut ditikam ketika balik mengaji al-Quran

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut ditikam seorang lelaki misteri ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai kelas mengaji al-Quran, petang kelmarin.

    Kejadian menyayat hati itu berlaku di satu lorong sempit dekat kawasan perumahan Cibeureum, Cimahi Selatan, Jawa Barat kira-kira pukul 6.30 petang.

    Difahamkan, tiada saksi yang melihat kejadian tersebut, tetapi kelibat suspek berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan.

    Tangkap layar rakamaan CCTV memaparkan suspek yang disyaki membunuh seorang kanak-kanak perempuan di Cimahi. GAMBAR: Detik.com.

    Menerusi rakaman CCTV mangsa dilihat pulang berjalan kaki bersama rakannya sebelum sampai ke satu simpang.

    Mangsa yang memakai baju merah bertudung gelap kemudian menghala ke kiri manakala rakannya ke menuju ke kanan jalan.

    Tidak lama selepas itu, kelihatan seorang lelaki misteri menunggang motosikal berselisih dengan mangsa, lalu bertindak menghentikan kenderaan di tepi lorong.

    Suspek yang memakai baju berwarna putih kemudian mengejar mangsa sebelum kembali ke motosikalnya dan kemudian terus melarikan diri.

    Dalam pada itu, menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Tatang, 45, dia mendengar suara seolah-olah satu jeritan orang memanggil ‘mama’, tetapi tidak mengendahkannya kerana menyangka ia datang dari suara kanak-kanak yang sedang bermain.

    “Saya mendengar jeritan mama sebanyak tiga kali, tetapi tiada suara yang meminta tolong.

    “Jika ada (suara meminta tolong), pasti akan keluar untuk memeriksa,” katanya.

    Sementara itu menurut Ketua Rukun Tetangga Tempatan, Aip Sunarya berkata, lokasi kejadian pembunuhan adalah kawasan yang tidak sunyi kerana ramai penduduk menggunakan laluan tersebut.

    Lokasi kejadian kanak-kanak perempuan dibunuh seorang lelaki yang tidak dikenali. GAMBAR: Detik.com.

    “Namun ketika kejadian, cuaca sedang hujan dan matahari terbenam membuatkan jalan tersebut sunyi daripada kebiasaan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cimahi, Asisten Komisioner Rizka Fadilla berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kesan tikaman tajam.

    “Secara fizikalnya hanya menunjukkan satu tikaman, tetapi untuk lebih kepastian perlu menunggu pemeriksaan terperinci daripada doktor bedah siasat,” katanya, lapor Utusan TV.

    Rizka berkata, hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

    Menurut laporan media-media tempatan mangsa ditikam pada bahagian punggung.

  • Kes maut ditusuk pisau, polis segerakan siasatan

    Kes maut ditusuk pisau, polis segerakan siasatan

    POLIS akan menyegerakan siasatan kes kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai tertusuk pisau pemotong sayur dibaling kakaknya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata suspek berusia 18 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan memberi kerjasama penuh.

    Katanya, polis masih menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya.

    “Kita faham mereka adik-beradik, kita tunggu arahan timbalan pendakwa raya.

    “Laporan bedah siasat sudah ada, siasatan akan disegerakan dan jika sesuai dituduh, ia akan disegerakan.

    “Remaja perempuan berkenaan akan dirujuk menjalani kaunseling bagi tujuan pemulihan,” katanya ketika dihubungi, hari ini lapor BH Online.

    Dalam kejadian petang kelmarin, seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut akibat tertusuk pisau dipercayai dibaling kakaknya yang belajar di tingkatan enam di Kampung Ulu Pulai di Ulu Choh, Iskandar Puteri.

    Proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Pulai, Iskandar Puteri semalam.

    Suspek direman enam hari sehingga 25 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • JPJ kutip RM286 juta menerusi JPJeBID

    JPJ kutip RM286 juta menerusi JPJeBID

    SEBANYAK RM286 juta pendapatan berjaya dihasilkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada bidaan nombor pendaftaran atau plat kenderaan melalui inisiatif JPJeBid dalam tempoh kurang 10 bulan tahun ini.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak 124 siri nombor pendaftaran telah diperkenalkan melalui sistem e-bid itu dengan purata keuntungan sebanyak RM2.3 juta bagi setiap siri.

    Menurut beliau, sistem itu telah menjadi pemudah cara kepada orang ramai untuk membida nombor-nombor yang disukai mereka secara telus dan efektif.

    “Jika dahulu, orang Pulau Pinang tidak boleh bida nombor plat luar, tetapi sekarang boleh bida nombor mana-mana negeri termasuk Sarawak sekalipun secara dalam talian.

    “Sehingga kini, seramai 940,000 individu telah melayari JPJeBid dan kita yakin jumlahnya akan terus meningkat susulan sistem yang mesra pengguna,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita pada Majlis Amanat Khas dan Pelancaran Kaunter Pandu lalu JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya hari ini.

    Mengulas mengenai kaunter pandu lalu, Zailani berkata, inisiatif itu juga diperkenalkan JPJ bagi memudahkan urusan pelanggan menerusi tempoh transaksi yang singkat.

    Katanya, orang ramai boleh memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM); lesen memandu Malaysia (LLM); pertukaran lesen memandu percubaan (PDL) ke lesen memandu Malaysia (CDL) dan pembayaran saman terkini menerusi kaunter pandu lalu itu dalam masa kurang lima minit.

    Sehubungan itu kata beliau, pihaknya kini dalam usaha untuk memperluaskan lagi perkhidmatan tersebut ke Perak, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

    “Bagi perkhidmatan terbaharu pula, kita akan sediakan 100 unit kios yang mesra golongan orang kurang upaya (OKU) dan akan ditempatkan di seluruh negara,” katanya.