Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pas bertanding 60 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU-15

    Pas bertanding 60 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU-15

    PAS mengesahkan akan bertanding di lebih 60 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Angka sebenar masih belum dimuktamadkan kerana masih dalam proses rundingan bersama komponen Perikatan Nasional (PN).

    “Insya-Allah, Pas akan bertanding di lebih 60 kerusi Parlimen pada PRU-15 ini,” jelasnya dalam ucapan ketika melancarkan Markas Besar Parlimen Marang, Marang, malam tadi.

    Jelas Abdul Hadi, sebelum seseorang individu itu dinamakan sebagai calon, Pas terlebih dahulu akan menyaring akhlak dan amal ibadah individu berkenaan.

    Katanya, senarai nama itu akan dikemukakan ke Majlis Syura Ulama bagi tujuan saringan, sebelum nama mereka diangkat sebagai wakil Pas di sesuatu kawasan.

    “Setiap calon itu akan disaring akhlak dan amal ibadah dan sekiranya diluluskan majlis, barulah boleh jadi calon nanti,” jelasnya.

    Pas merupakan parti komponen dalam PN bersama beberapa parti lain termasuk Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

    Semalam, PN dilapor akan meletakkan calon untuk bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen seluruh negara, termasuk 27 kerusi yang dianggap kritikal pada PRU-15.

  • PRU15: PH tolak kerjasama dengan Tun M

    PRU15: PH tolak kerjasama dengan Tun M

    PAKATAN Harapan (PH) tidak akan bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH menolak kerjasama politik itu walaupun PH berkongsi agenda yang sama dengan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Kita berkongsi tujuan yang sama untuk kalahkan BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional).

    “Tetapi Pakatan Harapan akan hadapi PRU-15 kali ini sebagai gabungan tanpa Mahathir.

    “Kami doa Mahathir diberi kesihatan yang baik dan jika Mahathir pilih masuk bertanding kami ucap selamat maju jaya,” katanya dalam menerusi ciapan dalam Twitter miliknya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Kelmarin, Dr. Mahathir menyatakan kesediaan bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU-15.

    Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan keyakinan mempunyai matlamat yang sama dengan Anwar dalam mengetepikan BN, malah sedia mengambil langkah pertama ke arah kerjasama itu.

    Mengulas perkembangan itu, Anwar menegaskan tiada masalah bertemu dan berbincang dengan Dr. Mahathir mengenai kerjasama politik menjelang PRU-15.

    Bagaimanapun, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan, perkara yang ditekankan PH ialah kepentingan melawan PN dan BN.

    Atas kapasiti Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Mahathir dan Anwar bekerjasama menewaskan BN dalam PRU14 pada 2018 di bawah naungan PH yang turut disertai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    Dr. Mahathir kemudian meninggalkan BERSATU yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH, sebelum mengasaskan PEJUANG dan disusuli pembentukan GTA yang membariskan parti berasaskan Melayu.

    GTA turut dianggotai badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan profesional.

  • Mas Ermieyati calon PN Parlimen Masjid Tanah

    Mas Ermieyati calon PN Parlimen Masjid Tanah

    NAIB Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, Melaka, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

    Pengumuman dibuat Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak sengaja pada Program Jelajah Prihatin PN Masjid Tanah, malam tadi. Namun, kemudian beliau mengumumkannya secara rasmi.

    Ketika memperkatakan parti politik mana yang akan dipilih oleh rakyat pada 19 November ini, Muhyiddin berkata, hanya terdapat tiga gabungan sahaja iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Tetapi yang paling penting ialah tiga sahaja. Ini bukan soal pangkah wakil rakyat… macam di sini (Masjid Tanah) tentulah Mas Ermieyati… dan tersebut pula apa nak buat.

    “Orang Masjid Tanah tahu Mas Ermieyati dan buat kerja kuat… saya rasa tak boleh nak elak… kena umum juga pada malam ini… Mas Ermieyati calon PN di Masjid Tanah,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

    Untuk rekod, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) adalah penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah.

    Beliau yang juga bekas Ketua Puteri UMNO menang pada PRU-14 lalu atas tiket BN mengalahkan dua calon lain daripada Bersatu dan Pas dengan majoriti 8,159 setelah memperoleh 22,898 undi.

    Calon daripada Bersatu memperoleh 14,739 undi manakala calon Pas (4,688 undi).

    Pada Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu, Mas Ermiyati bertanding di Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara hanya tewas tipis kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, apabila memperoleh 3,195 berbanding lawannya 3,559 undi.

  • Ismail Sabri tak tunai janji sebab takutkan Zahid Hamidi – Muhyiddin

    Ismail Sabri tak tunai janji sebab takutkan Zahid Hamidi – Muhyiddin

    SOKONGAN kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada awalnya diharapkan dapat menstabilkan keadaan politik negara dan menguruskan negara baik, malangnya beliau gagal menggalas tanggungjawab tersebut.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Ismail Sabri sebagai lemah apabila terpaksa tunduk kepada kehendak Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehingga tidak menunaikan perjanjian yang dibuat dengan parti yang menyokongnya.

    “Saya panggil dia ke rumah dan beritahu Mail (Ismail Sabri) engkau jadi Perdana Menteri. Tuan-tuan fikir macam mana agaknya? Dia Naib Presiden UMNO.

    “Dalam sejarah politik UMNO ni kalau tak dia Presiden, tak pun Timbalan Presiden, tak pernah langsung Naib Presiden UMNO jadi Perdana Menteri. Saya buat macam itu untuk stabilkan politik negara dan supaya gabungan dalam Perikatan Nasional yang ada itu bersama dengan UMNO dapat kita pertahankan sampailah baru ini dibubarkan Parlimen.

    “Tujuan apa niat kita ialah nak menjaga nak jaga kebajikan rakyat. Itu kita buat begitu, bukan sebab itu satu keputusan yang terbaik. Tapi dalam situasi keadaan luar biasa terpaksa kita buat.

    “Tapi malang sekali. Datuk Ismail Sabri lemah tak pandai menguruskan ekonomi negara, masalah-masalah lain tidak terurus, malahan bila kita kata Ismail kau jadi Perdana Menteri kita ikat satu perjanjian,” katanya semasa Jelajah Prihatin di Masjid Tanah, Melaka malam tadi.

    Muhyiddin mendedahkan berhubung kandungan dalam perjanjian yang dibuat dengan Ismail Sabri tersebut, antaranya melibatkan lantikan Jemaah Menteri, kuota-kuota jawatan Senator dan termasuk semua parti komponen dalam kerajaan perlu berbincang terlebih dahulu sebelum dibubarkan Parlimen.

    Namun, Muhyiddin berkata disebabkan takut kepada Zahid, semua perjanjian tersebut tidak ditunaikan dan dihormati Ismail Sabri hanya semata-mata bimbang akan dipersoalkan ketua partinya itu.

    “Ikatan itu untuk memastikan walaupun dia (Ismail Sabri) ada di situ dia kena hormatlah kita Perikatan Nasional, Pas ada kat situ, kita Bersatu dekat situ, Gerakan.

    “Supaya apa-apa yang sewajarnya mereka laksanakan sebagai kerajaan dapat dikekalkan, satu jawatan menteri kalau ada kekosongan mesti diisi, jawatan Senatornya patut diisi ikut kuota-kuata.

    “Jawatan menteri yang keluar parti itu perlu diganti, kemudian itu jawatan Timbalan Perdana Menteri, sebahagian peruntukan-peruntukan kalau nak ada pilihan raya duduklah bincang bersama-sama… Tak ada satu pun, tak ada satu pun dalam perjanjian itu dilaksanakan.

    “Patutnya hormat. Saya nak cerita ni bukan pasal apa, dia tak laksanakan kerana dia takut dengan Zahid Hamidi,” katanya lagi.

  • Orang muda kurang pengalaman pimpin negara ke tahap lebih baik – Dr M

    Orang muda kurang pengalaman pimpin negara ke tahap lebih baik – Dr M

    GOLONGAN muda kurang pengalaman untuk memimpin negara ke tahap lebih baik, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “Ya, saya fikir sudah tiba masanya untuk orang muda lebih menyerlah dalam bidang politik tetapi faktor kurang pengalaman menghalang mereka,” kata Mahathir kepada South China Morning Post dalam temubual yang diterbitkan hari ini.

    Mahathir, 97, mengakui ruang untuk golongan muda menyinar terbatas kerana kekurangan peluang yang diberikan kepada mereka dalam politik selama ini.

    Laporan itu menyebut undi golongan muda mampu memberikan kelebihan politik disebabkan oleh penyertaan kali pertama lebih satu juta pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun pada PRU ini

    Mahathir, yang menjadi Ahli Parlimen selama sembilan penggal sejak 1964, berkata sukar untuk golongan muda menunjukkan kebolehan kerana mereka sebenarnya bukan pemimpin walaupun beliau bersetuju golongan tua harus memberi laluan.

    “Tetapi mereka mesti menunjukkan dalam banyak cara lain bahawa mereka sangat berminat tentang hal ehwal negara dan mereka boleh menyumbang ke arah tadbir urus negara yang lebih baik,” katanya.

    Mahathir seolah acuh tak acuh apabila ditanya sama ada parti politik perlu tumpu meletakkan muka baharu dan muda di setiap peringkat pada PRU kali ini.

    Sebaliknya, beliau berkata pengalamannya penting sebagai penanda aras bagi pengundi yang mahukan pemimpin yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti, berbanding wajah-wajah baharu tidak dikenali mempromosi potensi masing-masing.

    Mahathir berkata pengalaman sebenar diperlukan untuk menangani isu besar seperti jurang kekayaan yang semakin meningkat, pengurusan ekonomi yang lemah, dan sistem pendidikan yang ketinggalan dari segi trend sejagat.

    Beliau percaya ‘orang lama’ perlu ke depan dan mengajar generasi muda bagaimana mengurus negara.

  • Saya gerakkan Langkah Sheraton, calonkan Muhyiddin sebagai PM – Hadi

    Saya gerakkan Langkah Sheraton, calonkan Muhyiddin sebagai PM – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui beliau menjadi penggerak Langkah Sheraton pada 2020 yang menamatkan riwayat kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas parti pemerintah pada ketika itu dilihat berusaha menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

    Penyandang kerusi Parlimen Marang itu berkata, langkah tersebut dibuat selepas himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur menghalang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD).

    “…selepas Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bersetuju, diadakan pula rundingan dengan UMNO,

    “Hasil persetujuan itu maka digerakkan langkah di mana Muhyiddin mengumumkan keluar daripada PH.

    “Saya mencadangkan presiden Bersatu sebagai calon perdana menteri baharu,” lapor Harakahdaily, semalam.

    Hadi berkata, UMNO turut bersetuju ketika itu sehingga muncul kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan PH.

    “Kewujudan kerajaan PN bukan secara tebuk atap atau pintu belakang. Ini kerana pelantikan Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

    Pada penghujung Februari 2020, beberapa Ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bergabung dengan Bersatu, Barisan Nasional dan PAS merencana Langkah Sheraton bagi menumbangkan kerajaan PH yang baru berkuasa selama 22 bulan.

    Kata Hadi lagi, UMNO mahu Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu selepas parti itu mendapat jawatan perdana menteri menggantikan Muhyiddin.

    Beliau mengingatkan rakyat supaya memilih pemimpin yang mampu mentadbir negara berlandaskan cara Islam.

    “Jangan pilih pemimpin yang menabur duit dan membuat pelbagai janji,” katanya.

  • Hasni tak tolak kemungkinan bertanding di luar kawasan PRU-15

    Hasni tak tolak kemungkinan bertanding di luar kawasan PRU-15

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak menolak kemungkinan namanya berada dalam pertimbangan pucuk pimpinan UMNO untuk bertanding di luar kawasan keahliannya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Tanpa mendedahkan kerusi Parlimen yang akan ditandingi, Ketua UMNO Pontian itu berkata, tindakan meletakkan calon luar bukanlah untuk kepentingan individu sebaliknya demi kemenangan parti selain untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

    “Saya tidak menolak kemungkinan bahawa saya dalam pertimbangan pucuk pimpinan untuk disenaraikan bertanding bagi kawasan lain selain Parlimen saya menjadi anggota iaitu Pontian… saya sendiri jika diberi peluang dapat bertanding sudah dikira bagus, itu yang penting, kerusi mana tidak kisah.

    “Tindakan ini juga untuk mengetengahkan potensi serta masa depan politik dalam kita menyusun strategi untuk menawan sekurang-kurangnya 16 hingga 17 kerusi Parlimen (daripada keseluruhan 26 kerusi) pada PRU15,” katanya lapor Free Malaysia Today, hari ini.

    Hasni, yang juga ADUN Benut, juga tidak menolak tindakan meletakkan calon luar bakal menimbulkan reaksi dalam kalangan ahli UMNO setempat, namun yakin ia akan dapat diuruskan dengan bijak.

    Sementara itu, beliau berkata BN mempunyai calon yang terbaik untuk ditampilkan di Parlimen Pagoh yang disandang pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang juga presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU-15 pada 19 Nov ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.

  • Papan iklan “ayor bukan ayaq” dinaikkan di pekan Tambun

    Papan iklan “ayor bukan ayaq” dinaikkan di pekan Tambun

    KERUSI Parlimen Tambun secara tiba-tiba menjadi tumpuan selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bertanding di kawasan tersebut.

    Penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula dilihat memberi respons segera, serta sempat berseloroh mengatakan penduduk Tambun menyebut perkataan air sebagai ‘ayor’, dan bukannya ‘ayaq’, merujuk kepada Anwar yang berasal dari Pulau Pinang.

    Menariknya, sehari selepas Menteri Belia dan Sukan itu mengeluarkan kenyataan tersebut, satu papan iklan, memaparkan gambar Ahmad Faizal dengan tulisan “Ayor bukan ayaq” dinaikkan di pekan Tambun.

    ‘Usikan’ sebegitu sebenarnya secara tidak langsung memberi isyarat bermulanya gelanggang pilihan raya, bukan sahaja di Tambun malah di seluruh Malaysia.

    Bagi beberapa penduduk Tambun yang ditemui, mereka mengakui sedikit teruja apabila kawasan mereka menjadi lokasi tumpuan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Tan Yan Kuan, 24, yang pertama kali mengundi mengakui seronok apabila Parlimen Tambun dilabel sebagai kerusi panas.

    “Rasa seronok jugalah bila pertama kali mengundi dan ada kerusi panas.

    “Tapi apa pun kita harapkan wakil rakyat nanti bantu selesaikan masalah terutamanya masalah tanah yang berbangkit di sini.

    “Selain itu, nasib anak muda juga perlu diberi perhatian supaya kita tidak mencari kerja di luar, hanya kekal di Tambun,” katanya kepada Astro AWANI.

    Pekebun limau Tambun, Tan Swee Keong pula mengakui terkejut apabila mendapat berita Anwar bakal bertanding di kawasan itu.

    “Bila dapat tahu, memang terkejut juga dan ada juga rasa seronok.


    “Harap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat tepati apa dikatakan beliau (bertanding di Tambun),” ujarnya.

    Bagi peniaga, M Gopal, siapa pun yang bertanding seolah-olah tidak membawa makna kerana sebagai rakyat, hidupnya tetap sama, perlu mencari wang sebaiknya saban hari.

    “Siapa pun, sama sajalah. Saya hari-hari kena kerja, kena cari duit juga untuk keluarga,” katanya.

    Kerusi Parlimen Tambun diramal panas kerana setakat ini, seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden dilaporkan sedia berentap di kerusi tersebut.

  • Tatu pada leher: Aaron Aziz enggan layan provokasi

    Tatu pada leher: Aaron Aziz enggan layan provokasi

    PELAKON kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz kesal terhadap pihak yang didakwa cuba memanaskan keadaan dengan mempersoalkan apakah tatu pada leher yang digayakan bagi memenuhi tuntutan karakter dalam filem baharu, sah dibawa solat.

    Menyifatkan tindakan pihak terbabit sebagai cubaan memancing emosinya, Aaron enggan melayan provokasi berhubung isu tatu selepas mendapat pencerahan daripada individu yang lebih arif mengenai hukum hakam dalam Islam.

    “Ada yang mengeluarkan hukum sendiri apabila menyatakan lukisan tatu pada leher saya tidak sah dibawa solat.

    “Antara sebab saya lukis tatu pada bahagian leher adalah kerana leher bukanlah termasuk dalam rukun wuduk. Lagipun, saya sudah rujuk dengan beberapa ustaz dan mereka menjelaskan tiada masalah,” katanya kepada BH Online.

    Aaron menggayakan tatu pada lehernya bagi memenuhi tuntutan karakter gangster dalam filem aksi baharu arahan Syamsul Yusof berjudul The Original Gangster.

    Beliau yang meraih trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 dan 2013 berkata, isu tatu tidak perlu diperbesarkan kerana ia bukan cacah kekal.

    “Proses penghasilan tatu membabitkan penggunaan pelekat khas dan lukisan. Tatu ini tidak menggunakan teknik ‘air brush’.

    “Mungkin ada yang bertanya kenapa terlalu awal saya lukis tatu pada leher sedangkan penggambaran bermula awal November ini. Saya berbuat demikian kerana hendak pastikan tahap kualiti tatu terutama selepas menjalani babak pertarungan.

    “Saya mahu lihat apakah kesan peluh boleh merosakkan lukisan tatu itu,” katanya.

    Mengulas isu lukisan tatu yang disangka lambang salib oleh segelintir pihak, Aaron menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan, ia adalah imej pisau belati.

    “Hasil perbincangan, produksi mahu imej tatu itu sama seperti yang digunakan kebanyakan kumpulan kongsi gelap agar tampak lebih ganas.

    “Lukisan tatu yang digunakan diilhamkan daripada imej yang saya jumpa melalui enjin pencarian Google. Cuma lukisan itu saya ubah suai dengan tokok tambah gambar kepak burung helang, awan dan pisau belati untuk lebih ganas.

    “Pemegang pisau belati itulah yang disangka mereka menyerupai lambang salib. Saya faham, memang ramai yang suka mencari salah silap orang lain. Perkara yang sama turut berlaku kepada tokoh politik, ahli sukan termasuk pelakon seperti saya,” katanya.

    Terdahulu, Aaron turut memuat naik hantaran berbentuk video bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan netizen selepas berkongsi entri menayangkan tatu pada akaun Instagram (IG), beberapa hari lalu.

    Baru-baru ini, Syamsul dilaporkan bakal mengarahkan filem The Orginal Gangster yang dikatakan paling mahal pernah dihasilkannya.

    Selain Aaron dan Syamsul, pelakon lain yang terbabit dalam filem terbitan Razor Edge Pictures itu adalah Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairi, Sharnaaz Ahmad dan bintang aksi tersohor Indonesia, Yayan Ruhian.

  • Wanita rentung dikenal pasti kakitangan Hospital Putrajaya

    Wanita rentung dikenal pasti kakitangan Hospital Putrajaya

    WANITA yang rentung dalam nahas membabitkan dua kereta di Kilometer 10.8 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi tadi, adalah Penolong Pegawai Perubatan Hospital Putrajaya.

    Mangsa, Wong Zhen Ying, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta dipandu terbakar manakala empat rakannya yang menaiki kereta sama sempat menyelamatkan diri.

    Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis menerima maklumat kemalangan pada pukul 6.50 pagi.

    Beliau berkata, kemalangan membabitkan Perodua Bezza dipandu mangsa dan Proton Saga.

    “Siasatan mendapati kereta dinaiki mangsa bersama empat penumpang berhenti di lorong kecemasan dan ketika bergerak untuk meneruskan perjalanan, kereta mereka dilanggar Proton Saga dari arah belakang.

    “Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas merempuh pembahagi jalan dan kemudian terbakar.

    “Keempat-empat penumpang berjaya menyelamatkan diri manakala pemandu tersepit di tempat duduk,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Zam Halim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahammad Sadiq Yusoff di talian 013-4545679 atau Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999 atau mana-mana balai polis berdekatan.