Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pernah jadi rakan kongsi Jasmine Loo: Peguam Najib mungkin minta hakim tarik diri

    Pernah jadi rakan kongsi Jasmine Loo: Peguam Najib mungkin minta hakim tarik diri

    PASUKAN pembelaan Datuk Seri Najib Razak sedang menimbang kemungkinan memohon hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah berkenaan perkara itu susulan pendedahan Sequerah semalam yang beliau pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama dengan Jasmine Loo.

    Jasmine Loo merupakan individu yang kini dalam tahanan berkaitan skandal 1MDB, lapor Malaysiakini.

  • Pas tak pernah zalimi bukan Melayu, kata Idris Ahmad

    Pas tak pernah zalimi bukan Melayu, kata Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad meredakan kebimbangan masyarakat Cina terhadap parti itu dengan memetik pemerintahannya selama 33 tahun di Kelantan.

    Menurutnya, tiada orang Cina dibunuh atau orang India dipenggal di negeri pantai timur itu selama Pas mentadbir lebih tiga dekad.

    “Walaupun orang bukan Islam kurang 10 peratus daripada populasi negeri itu, mereka hidup aman.

    “Sebab apa? Kita, orang Islam lagi kuat pegang agama dan pandai hormat orang. Kita wajib jaga orang bukan Islam.

    “Saya tidak boleh khianat orang bukan Islam,” kata bekas menteri agama itu selepas pengumuman senarai calon Perikatan Nasional bagi PRN Pulau Pinang, malam tadi.

    Beliau membalas dakwaan lawan PN, khasnya DAP bahawa masyarakat Cina berdepan kesukaran jika mereka bersekutu dengan Pas.

    “Insya-Allah, Pas tidak akan menzalimi tuan-tuan dan puan-puan (orang bukan Melayu). Yakin dan percayalah,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau berkata demikian sehari selepas Ketua PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan menggesa pengundi tidak takut dengan istilah gelombang hijau yang direka seteru PN untuk menakutkan pengundi daripada menyokong gabungan itu.

  • Saya tak lari dari DUN Bukit Antarabangsa, kata Azmin

    Saya tak lari dari DUN Bukit Antarabangsa, kata Azmin

    DATUK Seri Azmin Ali berkata menafikan beliau lari daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008 apabila dicalonkan di DUN Hulu Kelang untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Azmin berkata, ini kerana Hulu Kelang juga terletak dalam kawasan Parlimen Gombak, yang juga disandangnya sejak 2008 sebelum tewas pada PRU lalu.

    “Saya ingin tekankan Hulu Kelang adalah kerusi utama saya sejak 1999 dan ketika saya jadi ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal, Hulu Kelang adalah sebahagian daripada parlimen ini jadi soal saya melarikan diri tidak timbul,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PN di Selangor di Taman Medan malam tadi.

    Azmin menang di DUN Hulu Kelang pada PRU 1999 sebelum berpindah ke DUN Bukit Antarabangsa pada PRU 2008.

    Awal tahun ini, bekas Menteri Besar Selangor itu mengumumkan beliau akan berehat sekejap daripada politik selepas tewas di Parlimen Gombak pada PRU tahun lalu.

    Namun, menjelang PRN timbul spekulasi bahawa dia akan bertanding di Hulu Kelang dan itu disahkan semasa pengumuman rasmi semalam.

    Ditanya sebab beliau membuat keputusan untuk bertanding, Azmin berkata, beliau memang berhasrat untuk bersara namun partinya mahu beliau tetap bertanding.

    “Jadi saya akur dengan Presiden dan Majlis Piminan Tertinggi untuk bertanding dalam PRN,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

    Azmin bagaimanapun tidak menjawab dengan jelas apabila ditanya jika beliau merupakan calon Menteri Besar jika Perikatan Nasional (PN) menang di Selangor.

    Katanya, tumpuan pada waktu ini adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya soal jawatan.

    “Dan untuk kita laksanakan dasar untuk rakyat, kita perlu menang pilihan raya dahulu dan menang dengan meyakinkan,” katanya.

  • Pimpinan Pusat PN perjelas pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas hari ini

    Pimpinan Pusat PN perjelas pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas hari ini

    PIMPINAN Pusat Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan sidang akhbar khas hari ini bagi menjelaskan mengenai kontroversi pencalonan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di Pulau Pinang.

    Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff kepada pemberita malam tadi selepas majlis pengumuman calon PRN Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas malam tadi oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

    Terdahulu, Muhammad Fauzi ditanya media berhubung kedudukan sebenar pencalonan Dominic di kerusi DUN Bayan Lepas selepas namanya tidak diumumkan di pentas meskipun berada dalam senarai 40 calon PN Pulau Pinang yang diedarkan kepada media kemudiannya.

    “Biasalah tu, semua parti ada percanggahan pendapat. Kita mengambil tanggungjawab sebagai pimpinan untuk mententeramkan pengikut kita. Sebab itu, PN Pusat mengambil tanggungjawab untuk mengumumkan esok (hari ini). Maka, kami di Pulau Pinang, tak mau bagi, ‘special’ juga lah. Entah-entah dia (keputusan) berubah,” katanya.

    Dalam pada itu, Ronald ketika ditanya mengenai perkara sama bagaimanapun meminta pemberita merujuk senarai penuh calon yang terpilih di dalam web Pas.

    Usaha untuk mendapatkan maklum balas Dominic juga gagal apabila beliau meninggalkan majlis pengumuman calon tersebut lebih awal.

    Dalam pada itu, PN Pulau Pinang pada PRN kali ini akan dibarisi oleh seramai 19 calon daripada Gerakan; Bersatu (11) dan Pas (10).

    Antara penyandang yang akan mempertahankan kerusi masing-masing ialah calon Pas, Mohd. Yusni Mat Piah di kerusi DUN Penaga selain dua lagi calon Bersatu iaitu Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

    Lebih separuh calon PN Pulau Pinang pada PRN kali ini juga merupakan muka baharu dengan calon Gerakan, Heng See Lin menjadi satu-satunya calon wanita yang akan bertanding di DUN Datuk Keramat.

  • PN tanding 40 kerusi di Pulau Pinang, nasib Dominic Lau di DUN Bayan Lepas jadi tanda tanya?

    PN tanding 40 kerusi di Pulau Pinang, nasib Dominic Lau di DUN Bayan Lepas jadi tanda tanya?

    PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di semua 40 kerusi DUN Pulau Pinang dalam PRN pada 12 Ogos ini.

    Gerakan meraih kerusi terbanyak dengan 19 kerusi diikuti Bersatu (11) dan PAS (10). Bagaimanapun, kerusi Bayan Lepas yang bakal ditandingi calon Gerakan akan diumumkan kemudian.

    Terdahulu, Pas Bayan Lepas dilaporkan membantah kerusi yang majoriti Melayu itu akan ditandingi Ketua PN Pulau Pinang Dominic Lau.

    Menurut laporan Kosmo, kerusi itu dipegang Pas sejak PRU-12 dan pengundi kawasan itu mahu calon Melayu,

    Berikut kerusi ditandingi calon PN:

    1.  Penaga: Mohd Yusni Mat Piah (PAS)
    2.  Bertam: Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bersatu)
    3.  Pinang Tunggal: Bukhori Ghazali (PAS)
    4.  Permatang Berangan: Mohd Sobri Salleh (PAS)
    5.  Sungai Dua: Muhammad Fauzi Yusoff (PAS)
    6.  Telok Ayer Tawar: Azmi Alang (Bersatu)
    7.  Sungai Puyu: Teoh Chin Siang (PAS-DHPP)
    8.  Bagan Jermal: Ong Chuan Jin (Bersatu-Bersekutu)
    9. Bagan Dalam: K Jayaraman (PAS-DHPP)
    10. Permatang Pasir: Amir Hamzah Abdul Hashim (PAS)
    11. Seberang Jaya: Izar Shah Ariff Shah (Bersatu)
    12. Penanti: Zulkefli Bakar (Bersatu)
    13. Berapit: Lee Kok Keong (Gerakan)
    14. Machang Bubuk: Tan Hum Wei (Gerakan)
    15. Padang Lalang: Suresh Devaraj Naidu (Bersatu-Bersekutu)
    16. Perai: Sivasuntaram Rajalingam (Gerakan)
    17.  Bukit Tengah: Baljit Singh Jigiri Singh (Gerakan)
    18.  Bukit Tambun: Tan Gia Wei (Gerakan)
    19.  Jawi: Koh Tien Yew (PAS-DHPP)
    20.  Sungai Bakap: Nor Zamri Latiff (PAS)
    21.  Sungai Acheh: Zulkifli Ibrahim (Bersatu)
    22.  Tanjung Bungah: Hng Chee Wey (Gerakan)
    23.  Air Putih: Kong Cheng Ann (Gerakan)
    24.  Kebun Bunga: Tan Zhen Zune (Gerakan)
    25.  Pulau Tikus: Tan Ching Sern (Gerakan)
    26.  Padang Kota: Hng Khoon Leng (Gerakan)
    27.  Pengkalan Kota: Suthakaran Subramaniam (Gerakan)
    28.  Komtar: Cheah Kim Huat (Bersatu-Bersekutu)
    29.  Datok Keramat: Heng See Lin (Gerakan)
    30.  Sungai Pinang: Ng Fook On (Gerakan)
    31.  Batu Lanchang: Mohd Aswaad Jaafar (Gerakan)
    32.  Seri Delima: Mohan Apparoo (Bersatu-Bersekutu)
    33.  Air Itam: Cheang Chee Gooi (Gerakan)
    34.  Paya Terubong: Ooi Ghee Oon (Gerakan)
    35.  Batu Uban: Mok Kok On (Gerakan)
    36.  Pantai Jerejak: Oh Tong Keong (Gerakan)
    37.  Batu Maung: Azahari Aris (Bersatu)
    38.  Pulau Betong: Mohamad Shukor Zakariah (PAS)
    39.  Teluk Bahang: Mohamad Kassim (Bersatu)
  • PN umum 56 calon PRN, Azmin bertanding di  DUN Hulu Klang

    PN umum 56 calon PRN, Azmin bertanding di  DUN Hulu Klang

    PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan senarai 56 calon yang akan berentap merebut kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, setelah proses rundingan yang memakan masa berbulan-bulan.

    Keputusan diumumkan oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor malam ini.

    “Mereka mesti melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Insolvensi.

    “Empat agensi ini sudah membuat saringan dan semua nama ini melepasi saringan,” katanya ketika mengumumkan calon.

    Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali bertanding di Hulu Kelang. 

    Sebelum ini beliau bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa. Azmin akan bertemu dengan Juwairiya Zulkifli yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

    Berikut senarai penuh calon PRN Selangor :

  • Sanusi pertahan kerusi DUN  Jeneri, Badrol Bakhtiar, Radhi turut jadi calon

    Sanusi pertahan kerusi DUN  Jeneri, Badrol Bakhtiar, Radhi turut jadi calon

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor akan terus mempertahankan kerusinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

    Sanusi yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bakal berdepan dengan pencabar utamanya daripada Barisan Nasional iaitu Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim 12 Ogos ini.

    Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pengumuman calon PN Kedah di Kompleks Pas Kedah pada Rabu.

     Sementara tu, dua bekas pemain bola sepak kebangsaan turut diumumkan sebagai  calon Pas.

    Mereka ialah Badrol Bakhtiar yang akan bertanding di kerusi DUN Gurun manakala Radhi Mat Din di DUN Alor Mengkudu.

    Berikut senarai penuh calon-calon PN Kedah:

  • Komplot dirancang pihak tertentu bukan polis – Sanusi

    Komplot dirancang pihak tertentu bukan polis – Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa komplot untuk menjatuhkan kredibilitinya yang dirancang sejak enam bulan lalu bukan membabitkan pihak berkuasa, sebaliknya dirancang pihak tertentu.

    Beliau mendakwa, rancangan untuk memusnahkan karier politiknya kemungkinan bermula sejak Oktober tahun lalu dan dirinya terpalit dengan satu persatu plot dirancang pihak terbabit.

    Menurutnya, sebahagian daripada komplot tersebut bermula dengan insiden stor di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon dibaling bom.

    “Itulah sebahagian daripada komplot tersebut. Kemudian kerajaan bertukar dan saya dihalang untuk menghadiri majlis-majlis mesyuarat kerajaan persekutuan. Mereka berusaha bersungguh-sungguh, tapi gagallah pasal saya pandai. Saya riuhkan benda ni, terpaksa dibenarkan hadir. Itu komplotnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Alor Setar, hari ini, labor Sinar Harian.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau tidak pernah membuat tuduhan komplot itu dirancang pihak berkuasa, sebaliknya didalangi pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kedudukan beliau menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    “Saya bukan maksudkan polis, yang perasan pasai apa. Saya tak mahu gaduh dengan kakitangan awam. Semua kakitangan awam negeri dan persekutuan rakan saya.

    “Mereka bekerja atas bidang kuasa masing-masing. Jangan bekerja ikut arahan elit politik atas kepentingan politik. (Tindakan seperti itu) bahaya untuk negara dan masa depan penjawat awam,” jelasnya.

    Sebelum ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kononnya terdapat rancangan dan komplot untuk menangkap Muhammad Sanusi yang dirancang sejak enam bulan lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan terhadap Muhammad Sanusi adalah berdasarkan kronologi siasatan dilakukan polis.

    Ketika ditanya mengenai pihak yang didakwa merancang komplot terhadapnya itu, Muhammad Sanusi sebaliknya hanya berteka-teki.

    “Tak tahulah. Buatlah kesimpulan sendiri. Siapa yang dapat untung, dialah yang rancang,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau akan memberi keterangan mengenai dakwaan itu kepada polis pada petang Rabu.

    “Saya mana tau (Bukit Aman atau Kedah), yang saya tau mereka polis. Saya hari-hari diambil keterangan. Nampak tumpuan kepada saya berlebihan kan? Itulah orang kesian pada saya.

    “Saya angkat tangan, budak-budak semua angkat tangan sekarang ni. Jangan lebih-lebih, nanti orang marah. Lepas ni, saya akan buat satu tagline baru (angkat tangan) di Malaysia untuk rakyat ikut saya,” katanya.

    Pada 17 Oktober lalu, tembok pagar utama kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, disimbah cat merah dan biru.

    Sebelum itu, sebuah kabin kontena yang dijadikan stor dalam kawasan berkenaan turut musnah akibat letupan bom pada awal pagi 16 Oktober.

    Ketua Polis Kedah ketika itu, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan menerima laporan mengenai kemusnahan kontena pada petang 18 Oktober dan siasatan awal membawa kepada penemuan sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan bagi menghasilkan letupan.

  • Kedai emas dipecah masuk, kerugian kira-kira RM1 juta

    Kedai emas dipecah masuk, kerugian kira-kira RM1 juta

    SEBUAH kedai emas di Tanjung Rambutan mengalami kerugian kira-kira RM1 juta selepas dipecah masuk penjenayah awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat daripada pemilik kedai emas itu berhubung kejadian berkenaan pada 10.30 pagi dan polis sedang memburu tiga lelaki yang disyaki melakukan jenayah itu.

    “Siasatan awal polis mendapati kes berlaku kira-kira pukul 1 pagi hingga 3 pagi … suspek-suspek yang mengenakan pelitup muka memecah masuk ke dalam kedai emas tersebut melalui pintu belakang.

    “Mereka telah melarikan barangan kemas anggaran seberat tiga kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

    Beliau berkata suspek dipercayai menggunakan alat pemotong besi untuk membuka peti besi yang menyimpan kesemua barangan kemas berkenaan.

    Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah kedai dan curi.

    Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Norshaharah Marzuki melalui talian 010-3790508.

  • SPRM panggil semua Exco kerajaan negeri Kedah beri keterangan

    SPRM panggil semua Exco kerajaan negeri Kedah beri keterangan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KESEMUA Exco Kerajaan Negeri Kedah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memberi keterangan berhubung isu yang sedang disiasat oleh agensi berkenaan.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sebahagian daripada exco tersebut sudah pun memberi keterangan hari ini manakala selebihnya akan dipanggil esok.

    Bagaimanapun katanya, setakat ini beliau belum dipanggil berbuat demikian.

    “Mungkin selepas selesai semua exco barulah saya dipanggil. Saya pun hairan sebab tak pernah lagi setiap exco dipanggil untuk mengesahkan minit mesyuarat.

    “Mereka beri keterangan di Alor Setar dengan sebahagian dipanggil hari ini dan selebihnya esok,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Bagi Tahun Kewangan 2022 dan 2023 di Wisma Darul Aman di Alor Setar.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan, Muhammad Sanusi akan dipanggil pihaknya untuk dirakamkan percakapan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

    Menurut Azam, Muhammad Sanusi selain Muhammad Sanusi, beberapa lagi individu akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung perkara itu.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi mendakwa, beliau langsung tidak pernah menuduh pihak polis terlibat dalam komplot untuk mengenakannya sebelum ini.

    Menurutnya, beliau tidak mahu bergaduh dengan kakitangan awam dan kesemua mereka sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, dianggap sebagai rakan-rakannya.

    “Saya bukan maksudkan polis, yang perasan itu kenapa? Saya tak mahu gaduh dengan kakitangan awam kerana semua kakitangan awam negeri dan Persekutuan adalah rakan saya.

    “Mereka bekerja atas arahan am, mengikut bidang kuasa masing-masing. Maka bekerjalah ikut perkara itu dan jangan ikut arahan elit politik, demi kepentingan politik kerana itu bahaya untuk negara serta profesion mereka.

    “Buatlah kesimpulan sendiri (Siapa merancang komplot). Siapa dapat untung, dialah yang rancang,” katanya.

    Beliau mendakwa, kejadian letupan melibatkan sebuah kabin kontena yang dijadikan stor di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon pada Oktober tahun lalu, merupakan sebahagian daripada komplot tersebut.

    “Kejadian stor dibom itu adalah sebahagian daripada komplot ini. Kemudian kerajaan bertukar dan saya dihalang menghadiri Majlis-Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan tetapi disebabkan saya pandai serta riuh, terpaksalah saya dibenarkan hadir.

    “Sekarang mereka itu bersama (pihak membuat letupan dan pihak berkomplot). Saya nak jawab kepada polis sekejap lagi kerana katanya sebentar lagi ada pihak polis mahu ambil keterangan saya, seolah-olah tumpuan kepada saya berlebihan dan sebab itulah orang kesian kepada saya,” katanya.