Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU-15: Gerakan sah guna logo PN termasuk di Pulau Pinang

    PRU-15: Gerakan sah guna logo PN termasuk di Pulau Pinang

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Pulau Pinang.

    Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, perkara itu sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat baru-baru ini dan tiada lagi perubahan mengenainya.

    “Perkara ini sudah muktamad dan Gerakan akan guna logo PN pada PRU-15 termasuk di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan PN Parlimen Bayan Baru hari ini.

    Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong meminta Majlis Tertinggi PN mempertimbangkan supaya parti berkenaan boleh menggunakan logo sendiri di negeri itu pada PRU-15.

    Ini kerana menurut Tong Keong, pengundi di Pulau Pinang lebih mengenali logo parti tersebut yang hampir 40 tahun mentadbir negeri itu sebelum ini.

    Dalam pada itu, Dominic mengakui terdapat penyokong Gerakan yang tidak mengetahui parti itu telah keluar daripada Barisan Nasional (BN).

    Namun ujar beliau, pengundi sudah dapat menerima keputusan itu khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka

    “Selepas PRN Johor dan Melaka, kita dapati peratusan pengundi yang mengetahui kita sudah keluar daripada BN telah meningkat.

    “Kita turut memaklumkan kepada pengundi veteran Gerakan yang mana kita kini berada di bawah gabungan PN,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan Dominic berkata, Gerakan akan bertanding di 18 kerusi Parlimen seluruh negara pada PRU-15 iaitu pertambahan lima kerusi berbanding PRU-14 (13 kerusi Parlimen).

    Daripada jumlah kerusi itu jelas beliau, lima adalah di Pulau Pinang iaitu di Perlimen Bukit Bendera; Jelutong; Bayan Baru; Tanjong dan Batu Kawan.

    Malah, beliau sendiri menyatakan hasrat bertanding di Pulau Pinang namun tidak dapat mendedahkan kawasan yang akan ditandingi kelak buat masa ini.

    “Kita akan umumkan senarai-senarai calon pada 30 Oktober ini di setiap negeri dan kita yakin boleh memberi saingan hebat kepada parti-parti lain,” katanya.

  • PN mampu menangi hampir semua kerusi Parlimen di Kedah

    PN mampu menangi hampir semua kerusi Parlimen di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Perikatan Nasional (PN) Kedah yakin mampu memenangi jumlah kerusi Parlimen yang jauh lebih tinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), berbanding angka yang diperolehi dalam PRU-14 pada 2018.

    Malah menurut Ketua Penerangan PN Kedah, Khairul Anuar Ramli, PN tidak mustahil akan menang di hampir kesemua kerusi yang bakal ditandingi di negeri ini nanti.

    “Sasaran kita secara terperinci akan dikeluarkan PN Kedah melalui Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Cuma yang boleh saya nyatakan, sasaran kerusi kita dalam PRU kali ini lebih baik daripada PRU-14.

    “Mungkin kita boleh menang hampir kesemua kerusi PRU ditandingi dan ini akan beri nilai tambah kepada pembentukan kerajaan PN di peringkat Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kampung Tanjung Kiri, Kuala Nerang dekat Padang Terap, semalam.

    Khairul Anuar yang juga Ketua Penerangan Bersatu Kedah berkata, antara faktor yang mampu menyumbang kepada pertambahan undi kepada PN di Kedah adalah kepimpinan Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar yang dilihat bersih, telus dan berintegriti.

    Malah katanya, tindakan diambil pentadbiran di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi turut mendatangkan keyakinan kepada para pelabur hingga menghasilkan jumlah pelaburan asing tertinggi dalam sejarah Kedah, pada tahun lalu.

    “Menerusi persiapan jentera, bilik gerakan dan kajian dibuat, kita memperolehi beberapa petunjuk positif terhadap sokongan dan peningkatan undi kepada PN di Kedah.

    “Kerajaan negeri juga dilihat sentiasa agresif dan melaksanakan usaha berterusan menyelesaikan masalah rakyat. Ini akan memberi pulangan positif terhadap penerimaan rakyat kepada PN,” katanya.

    Mengulas lanjut katanya, ketiga-tiga parti yan menunjangi PN iaitu Pas, Bersatu dan Gerakan akan diberi peluang untuk bertanding di Kedah.

    “Pembahagian kerusi diputuskan secara bersama dan bukan hanya parti-parti tertentu saja. Ketiga-tiga parti ini akan terlibat dan keputusan mengenainya akan diumumkan apabila tiba masanya nanti,” katanya.

    Ditanya mengenai kekuatan Bersatu di Kedah, Khairul Anuar berkata, Bersatu mungkin tidak akan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Pas atau UMNO yang sudah lama berada dalam arena politik tanah air memandangkan Bersatu baru saja ditubuhkan sejak 2016.

    “Tetapi perlu diingat, kita sudah ada dua Perdana Menteri dari Bersatu dan parti ini juga antara yang berjaya mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat untuk membuat perubahan pada PRU-14. Maknanya walaupun kita dilihat kecil, tetapi sokongan terhadap Bersatu tidak boleh dipandang enteng.

    “Kita juga sering menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) walaupun mereka labelkan Bersatu sebagai parti nyamuk. Secara logiknya apabila sesebuah parti diserang secara berterusan, dah tentu parti itu ada kesan atau memberi impak dalam politik negara hingga menyebabkan musuh bimbang atau gerun,” katanya.

  • Notis writ saman kakak Jho Low menerusi akhbar Singapura

    Notis writ saman kakak Jho Low menerusi akhbar Singapura

    MAHKAMAH Tinggi hari ini membenarkan rayuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mendapatkan perintah penyampaian ganti bagi menyerahkan notis writ saman kepada May Lin, kakak ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Peguam mewakili 1MDB, K. Siva Kumar berkata, Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, bersetuju penyampaian ganti menerusi iklan pada akhbar The Straits Times di Singapura kerana May Lin dipercayai berada di negara itu.

    Beliau berkata, itu selepas pihaknya berhujah bahawa dua percubaan penyampaian notis itu secara peribadi gagal.

    “Kami juga hantar surat janji temu tetapi gagal (tiada maklum balas), kerana diberitahu oleh pemastautin bahawa May Lin tidak tinggal di sana (alamat dalam rekod).

    “Oleh itu, penyampaian secara peribadi tidak praktikal, maka kami memohon untuk penyampaian ganti selaras kuasa mahkamah mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

    “Rayuan kami terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar, Haslinda A. Raof, sebelum ini yang menolak permohonan untuk membuat penyampaian ganti itu. Keputusan pendaftar itu diketepikan dan rayuan penyampaian ganti dibenarkan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman AS$3.7837 bilion (RM15.9 bilion) terhadap May Lin, Jho Low; bapa, Tan Sri Larry Low Hock Peng; ibu, Puan Sri Goh Gaik Ewe; adik lelaki, Taek Szen serta rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

    Berdasarkan writ saman itu, 1MDB menuntut AS$661 juta (RM2.8 bilion) daripada Jho Low; masing-masing AS$41 juta (RM172 juta), AS$397 juta (RM1.7 bilion), AS$608 juta (RM2.5 bilion) dan AS$1.9 bilion (RM8 bilion) daripada Jho Low dan Kim Loong; serta AS$325 juta (RM1.4 bilion) daripada Jho Low dan bapanya.

    1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta (RM2.6 bilion) daripada Hock Peng, Jho Low dan Kim Loong, serta AS$2 juta (RM8.4 juta) daripada Taek Szen, Jho Low dan Kim Loong.

    Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta (RM14.7 juta) daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta (RM7.1 juta) daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Kim Loong berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia, selain AS$25.5 juta (RM107.1 juta) daripada Jho Low, Kim Loong, Hock Peng dan Taek Szen.

  • Majlis Syura sudah luluskan senarai calon Pas Sabah

    Majlis Syura sudah luluskan senarai calon Pas Sabah

    SETIAUSAHA Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan memaklumkan, senarai calon yang dikemukakan Pas Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah diluluskan Majlis Syura Ulama Pas.

    “Namun senarai kawasan Parlimen yang disasarkan masih dalam rundingan dan belum ditentukan lagi.

    “Kita yakin ada kerusi-kerusi yang boleh menang dan gerak kerja Pas sudah turun kepada masyarakat.

    “Bagaimanapun rundingan masih berjalan dengan semua pihak yang berkepentingan dan bersesuaian.

    “Setiap kawasan dikehendaki menghantar tiga nama sebagai calon dan senarai kawasan masih dalam perundingan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik di Sabah berkata, Pas Sabah kini telah bersiap siaga bagi menghadapi PRU-15.

    “Gerak kerja Pas telah dijalankan dalam pelbagai aspek bagi menyantuni rakyat antaranya program-program kebajikan, pendidikan, kemasyarakatan dan dakwah dalam institusi kelompok masyarakat.

    “Jentera pilihan raya di semua peringkat telah digerakkan dan bilik operasi juga telah digerakkan sepenuhnya. Jentera parti kini sudah bersedia untuk menghadapi PRU15,” katanya.

    Sebelum itu, pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah 2020, Pas Sabah tidak bertanding dan membantu calon Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding sekali gus bersama dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Bagaimanapun, pada PRU-15 Pas Sabah menyatakan hasrat untuk meletakkan calon di beberapa kerusi termasuk di Parlimen Sepanggar.

  • Jabatan Penjara nafi video rakaman Najib dari penjara

    Jabatan Penjara nafi video rakaman Najib dari penjara

    JABATAN Penjara Malaysia menegaskan bahawa tiada sebarang rakaman video membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh mana-mana agensi media di premis penjara seperti dakwaan yang tular.

    Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini, hasil semakan menunjukkan video tersebut telah dirakam lebih awal oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Kembara Keluarga Malaysia episod 57 iaitu sebelum Najib dipenjarakan.

    “Video yang ditayangkan TV1 pada 24 Oktober lalu menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik,” kata jabatan itu dalam kenyataan media tersebut.

    Terdahulu sekeping gambar Najib yang memaparkan dia sedang bersiaran di televisyen tular dalam media sosial.

    Penyandang ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd.

    Beberapa pengguna media sosial yang memuat naik gambar berkenaan dilihat mempersoalkan bagaimana seorang berstatus banduan boleh bersiaran di televisyen.

    Malah ada juga yang mendakwa Najib turut berkempen melalui tayangan video berkenaan.

    Sementara itu Jabatan Penjara Malaysia menasihat agar orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.

    “Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu, lapor MalaysiaKini.

  • Suami isteri maut, remaja parah dalam kemalangan

    Suami isteri maut, remaja parah dalam kemalangan

    PASANGAN Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 32.3 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, Lenggong, dekat Kota Tampan, Lenggong, pukul 6.15 petang semalam.

    Mangsa berusia 42 tahun yang juga penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya yang membonceng motosikal itu, 44, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Lenggong.

    Difahamkan, identiti lelaki itu dikenal pasti sebagai Azranawi Radzi, manakala isterinya dikenali sebagai Rosnah Damha.

    Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, nahas itu turut mengakibatkan seorang remaja lelaki yang parah akibat patah betis kiri dan bahu kanan.

    “Siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Azranawi gagal mengelak sebuah kereta yang ingin memasuki jalan utama dari sebuah stesen minyak.

    “Ketika kejadian, suami isteri terbabit dalam perjalanan dari arah Gerik menghala Kuala Kangsar sebelum kereta berkenaan tiba-tiba keluar ke arah jalan utama (Jalan lama Kota Tampan-Lenggong) secara mengejut.

    “Kejadian berlaku apabila kereta itu keluar secara mengejut dari simpang sebuah stesen minyak. Oleh kerana jarak terlalu dekat, motosikal dinaiki pasangan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri kereta,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mangsa parah adalah penumpang kereta terbabit iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun, manakala pemandu kenderaan terbabit iaitu lelaki berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan.

    Zulkifli berkata, susulan kejadian, pihaknya kini menahan pemandu kereta berkenaan bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya lagi, bedah siasat mayat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik.

  • Pelajar kolej pakai topi elak tiru jawapan

    Pelajar kolej pakai topi elak tiru jawapan

    PARA pelajar memakai apa yang dipanggil topi anti-penipuan semasa mereka mengambil peperiksaan di kolej telah menjadi tular di media sosial di Filipina baru-baru ini.

    Mereka diminta memakai penutup kepala bagi menghalang mereka daripada mengintip kertas jawapan peperiksaan rakan-rakan lain di sebuah kolej di Bandar Legazpi.

    Ramai antara mereka mencipta topi buatan sendiri daripada kadbod, kotak telur dan bahan kitar semula yang lain.

    Mary Joy Mandane-Ortiz iaitu seorang profesor kejuruteraan mekanikal di Kolej Kejuruteraan Universiti Bicol berkata idea itu sangat berkesan, menurut BBC.

    Ia dilaksanakan untuk peperiksaan pertengahan penggal baru-baru ini yang telah diduduki oleh ratusan pelajar di kolej itu pada minggu ketiga bulan Oktober.

    Profesor itu berkata permintaan awalnya ialah agar pelajar-pelajar membuat topi yang mempunyai reka bentuk mudah daripada kertas.

    Dia mendapat ilham tentang pemakaian topi itu daripada teknik yang dilaporkan digunakan di Thailand beberapa tahun sebelum ini.

    Terdapat juga pelajar yang memakai topi, topi keledar atau topeng Halloween ketika mengambil peperiksaan, lapor Sinar Harian.

  • Penambahan jawatan TPM oleh BN, PH tidak relevan

    Penambahan jawatan TPM oleh BN, PH tidak relevan

    DUA atau tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diwujudkan di negara ini bukanlah jaminan sebuah kerajaan berkebajikan.

    Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd. Kamal Mohamad mengambil contoh semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara sebelum ini,
    walaupun tidak ada TPM ketika itu, kerajaan tetap boleh melakukan banyak kebajikan kepada rakyat.

    “Khususnya dalam tempoh Covid-19, selepas dan pasca pandemik.

    “Tak perlu pun sampai tiga TPM, kekal macam biasa sahaja, seorang cukuplah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Sambutan Jubli Perak Pas Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa di Kota Bharu, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Beliau menambah, barisan menteri kanan sedia ada sudah mencukupi dan berpendapat cadangan penambahan jawatan TPM oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak relevan.

    “Bagi saya tidak relevan sebab akan menambah kos. Sebelum ini, PH kata banyak sangat jawatan menyebabkan bertambah kos dan kewangan negara, samalah kalau ditambah TPM jadi tiga.

    “Contohnya Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata tak ambil gaji kalau jadi Perdana Menteri tetapi tambah TPM, bertambah pula kos, jadi samalah,” katanya.

    Beliau turut menempelak BN kerana sepatutnya sudah lama menyelesaikan isu-isu berkaitan Sabah dan Sarawak semasa memerintah negara selama 60 tahun sebelum ini.

    “Sepatutnya isu Sabah Sarawak ini sudah selesai dulu lagi, semasa BN memerintah.

    “Tiga TPM tidak selesai masalah selagi tidak ada pemimpin yang berintegriti dan tidak ditunaikan janji manifesto untuk kebajikan rakyat,” katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan mahu mewujudkan jawatan TPM masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sekiranya parti itu dominan untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

    Cadangan itu katanya, akan dimasukkan dalam manifesto BN Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Anwar pula mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).

  • Berkempen jangan kejar populariti semata-mata-Idris

    Berkempen jangan kejar populariti semata-mata-Idris

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan calon atau parti politik yang berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar tidak mengejar populariti semata-mata.

    “Pihak terbabit juga tidak seharusnya menampilkan unsur atau perkara yang tidak wujud.

    “Biarlah realistik yang dapat kita capai terhadap apa yang dijanjikan,” katanya ditemui pemberita selepas pelancaran Dokumen Inisiatif Lelaki Qawwam (ILQ) di pejabatnya, di Putrajaya, hari ini.

    Menurutnya, calon dan parti politik juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan undang-undang sedia ada.

    Mengulas mengenai calon-calon yang bakal dikemukakan Pas, Idris yang juga Naib Presiden Pas berkata, pucuk pimpinan hampir memuktamadkannya dan mengumumkan senarai dalam masa terdekat.

    “Semua ada termasuk calon muda, profesional, ulama dan aktivis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Idris tidak pertahan kerusi Parlimen Besut

    Idris tidak pertahan kerusi Parlimen Besut

    TAN Sri Idris Jusoh memutuskan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan, keputusan itu bertujuan memberi laluan kepada calon muda untuk bertanding seiring dengan hasrat UMNO untuk meremajakan parti.

    Idris menegaskan, masa depan UMNO akan menjadi lebih bertenaga dan diminati ramai apabila parti dibarisi kepemimpinan yang lebih muda.

    “Saya sebenarnya sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding sejak tahun 2013 bertujuan memberi laluan kepada pimpinan muda meneruskan legasi parti.

    “Saya menyatakan hasrat untuk tidak bertanding kepada Presiden UMNO dan Timbalan Presiden serta Setiausaha Agung, tetapi atas kehendak parti, saya akur untuk meneruskan khidmat dengan parti, sekali gus bertanding pada PRU14,” katanya.

    Berikutan keputusan itu, Idris yang juga Pengerusi FELDA mengesahkan, turut melepaskan jawatan Ketua Bahagian UMNO Besut kepada pimpinan baharu sebagai satu perancangan untuk berundur secara beransur dalam arena politik.

    “Saya bertanding di Parlimen Besut bermula tahun 1995 dan memenangi kerusi itu ketika berusia 40 tahun. Pada PRU 1999, saya sekali lagi dipilih parti untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Jertih, tetapi gagal memenangi kerusi,” katanya.

    Idris sekali lagi diberi mandat untuk bertanding di DUN Jertih dan memenangi kerusi itu untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada PRU 2004 dan 2008, sebelum kembali bertanding di kerusi Parlimen Besut dan memenangi kerusi pada 2013 dan 2018.

    “Usia saya sudah hampir mencecah 67 tahun dan sudah tiba masanya untuk saya memberi laluan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan penyokong saya. Terima kasih kepada parti yang tanpa jemu memberi kepercayaan kepada saya sehingga hari ini,” katanya.

    Idris berkata, walaupun tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Besut, beliau akan terus bekerja kuat dan membantu untuk memastikan BN terus menempa kemenangan dengan cemerlang pada PRU15.