Author: Wartawan WartaRakyat

  • Debat tiga calon PM: Ismail Sabri tolak cadangan Anwar

    Debat tiga calon PM: Ismail Sabri tolak cadangan Anwar

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berdebat secara terbuka, sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Perdana menteri sementara itu berkata, debat bukan “bukan budaya kita” dan perbahasan disarankan tidak akan mendatangkan sebarang hasil.

    “Bukan budaya kita, dia tak datang apa-apa hasil. Kalau bagi debat, dia akan sebut janji dia bulan bintang akan sebut, jadi tak perlu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini lapor Free Malaysia Today.

    Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya cadangan Anwar supaya tiga calon perdana menteri PH, PN, dan BN untuk mengadakan debat secara terbuka.

    Pada 20 Okt, Anwar berkata, perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar, perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan dan menerusi langkah itu rakyat boleh menilai tentang soal hala tuju dan masa depan negara.

    Anwar merupakan calon perdana menteri bagi PH, manakala Muhyiddin Yassin calon bagi jawatan itu bagi PN.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kerajaan dibentuk berdasarkan kepercayaan diberikan rakyat.

    “Saya rasa tak perlu ada debat, kita sibuk di kawasan kita, kawasan masing-masing berkempen,” katanya.

    Ismail Sabri ketika ditanya mengenai persediaan senarai calon BN untuk menghadapi PRU, berkata pimpinan tertinggi parti itu sudah mendapat pembentangan mengenai senarai calon dari setiausaha parti negeri.

    Bagaimanapun, pihaknya akan membuat saringan sekali lagi termasuk semakan di Mahkamah Syariah.

    “Kita akan buat saringan dengan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi.

    “Mungkin kali ini pejabat agama, pejabat kadi (kalau ada) kahwin siam, timbul isu nanti. (Ia termasuk) isu nafkah anak tak bayar, (atau) ada pertuduhan dari Mahkamah Syariah,” katanya.

  • WhatsApp tergendala, berbilion pengguna dunia terjejas

    WhatsApp tergendala, berbilion pengguna dunia terjejas

    APLIKASI mesej popular di dunia, WhatsApp dilaporkan sedang menghadapi masalah sekali gus memberi kesan kepada berbilion pengguna di seluruh dunia.

    Pengguna tidak berupaya untuk menerima dan menghantar teks baharu sejak pukul 3 petang hari ini.

    Mereka hanya boleh menaip teks kepada rakan namun ia tersekat dan tidak menghantar mesej itu.

    Buat masa ini, masih tiada kenyataan rasmi dari WhatsApp, kebanyakan pengguna mula membuat aduan di laman Twitter mengenai masalah itu.

    Perkara itu turut dilaporkan portal United Kingdom, The Independent.

    Hindustan Times melaporkan, India juga melaporkan masalah yang sama.

    Sementara itu, gangguan WhatsApp kembali pulih kira-kira pukul 5 petang, dua jam selepas masalah itu dilaporkan.

  • Tiga maut insiden tembakan di sekolah

    Tiga maut insiden tembakan di sekolah

    TIGA terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah menengah di St. Louis, Amerika Syarikat pada Isnin.

    Suspek kemudian ditembak mati oleh polis yang bergegas ke lokasi iaitu sekolah menengah visual dan seni persembahan.

    Ketua Polis St. Louis, Mike Sack berkata, seorang wanita dan remaja perempuan terbunuh dalam insiden itu manakala mangsa ketiga maut selepas dibawa ke hospital akibat kecederaan parah.

    “Polis tiba di sekolah dalam tempoh beberapa minit selepas menerima laporan berlaku tembakan di situ.

    “Pada kira-kira pukul 9.10 pagi, kami menerima panggilan mengenai insiden di sebuah sekolah di Kings Highway dan Arsenal. Anggota polis tiba di lokasi beberapa minit kemudian dan mereka segera masuk ke sekolah.

    “Ketika itu kanak-kanak lari menyelamatkan diri keluar dari bangunan, mereka memaklumkan terdapat seorang lelaki bersenjata masuk ke dalam bangunan.

    “Anggota polis segera menjejaki penembak itu di kawasan sekolah dan insiden berbalas tembakan berlaku,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Menurut Sack, suspek berusia 19 tahun dikenali sebagai Orlando Harris.

    Harris, tamat sekolah berkenaan pada tahun lepas dan tidak mempunyai motif untuk membunuh berdasarkan siasatan awal.

    Insiden tembakan pada Isnin adalah yang ke-40 berlaku tahun ini di sekolah di Amerika Syarikat, sama ada menyebabkan nyawa melayang atau mendatangkan kecederaan, berdasarkan kepada rekod sejak tahun 2018 oleh data Biro Pendidikan.

    Serangan terburuk pernah berlaku termasuk pembunuhan di sekolah di Uvalde, Texas pada Mei lepas apabila 19 kanak-kanak dan dua guru meninggal dunia ditembak seorang remaja.

    Tembakan di St Louis pada Isnin berlaku serentak dengan insiden seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Michigan kerana menembak mati empat rakan sekelasnya tahun lalu menggunakan senjata yang dibeli sebagai hadiah daripada bapanya.

  • PRK Pekan jika BN menang, Najib diampunkan

    PRK Pekan jika BN menang, Najib diampunkan

    PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Pekan akan diadakan dalam tempoh tertentu, sekiranya Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kemudian Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan diraja.

    Ini bermakna Ahli Parlimen Pekan daripada BN, mesti mengembalikan kerusi itu kepada Najib apabila keadaan mengizinkan.

    Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly seperti dilaporkan The Star, hari ini.

    “Kerusi ini (Pekan) memerlukan ahli Parlimen yang mempunyai kredibiliti yang hebat. Negara masih memerlukan beliau (Najib).

    “Sekiranya Najib diampunkan, sesiapa yang dipilih menjadi Ahli Parlimen Pekan akan menyerahkan semula kerusi itu kepada Najib (melalui PRK), sebagaimana yang sepatutnya,” kata Zamri.

    Najib Perdana Menteri pertama Malaysia yang bergelar banduan kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

    Beliau disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat pelaburan kerajaan, SRC International Sdn Bhd, tetapi memohon untuk semakan serta memohon pengampunan diraja.

    Perlembagaan Persekutuan melarang mereka yang telah disabitkan dengan hukuman penjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000 serta tidak mendapat pengampunan percuma daripada menjadi wakil rakyat.

    Najib juga didenda RM210 juta dan masih dalam perbicaraan atas beberapa pertuduhan berkaitan 1MDB.

    Sementara itu, Zamri juga berkata nama anak sulung Najib, Datuk Mohd Nizar tidak disenaraikan sebagai calon kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana kurang pengalaman.

    Di sebalik spekulasi bahawa Mohd Nizar berkemungkinan besar akan dinamakan sebagai calon Pekan pada PRU-15, 19 November depan bagi menggantikan Najib, Zamri menegaskan tidak ada sebab untuk memberikan Mohd Nizar kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen kerana beliau tidak mempunyai pengalaman dalam politik.

    “Biar dia ada kerusi DUN dulu. Dia perlu belajar. Jika dia menunjukkan bahawa dia boleh mengendalikan tugas sebagai ADUN, maka kita akan lihat untuk menaikkannya,” katanya.

    Nizar adalah anak sulung Najib hasil perkahwinannya dengan isteri pertama Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar merupakan Ketua Pemuda UMNO Pekan.

  • Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

    Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

    TINDAKAN berani Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal mengundang padah.

    Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana pengundi di Perak mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan riwayat politik cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

    “Malah, ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim, biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menegaskan, untuk mengalahkan Presiden PKR itu juga bermakna, BN perlu bekerja keras memberi penjelasan mengapa perlu Anwar dikalahkan di situ.

    Namun beliau yakin pertembungan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN dan kehadiran Anwar sebagai calon akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Tambun dan BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

    Sehubungan itu beliau berharap pengundi di Tambun sedar bahawa kepimpinan PH termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana ketika menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

    “Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Terbaik pilihan ialah BN.

    “Kita mesti menjadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.

  • Seludup kokain dalam bungkusan kurier

    Seludup kokain dalam bungkusan kurier

    HELAH sindiket menyeludup dadah dalam kuantiti sedikit dengan menyorokkan ke dalam bungkusan kurier mengandungi peralatan elektrik terbongkar selepas berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, 20 Oktober lalu.

    Taktik sindiket penyeludup dadah itu membawa masuk dadah jenis kokain dari Vancouver, Kanada dengan menggunakan cara berkenaan.

    Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, hasil risikan pihak berkuasa antarabangsa, dua lelaki tempatan berusia 30 dan 37 tahun ditahan di Taman Antek Avenue, Teluk Intan, pada 2.40 petang.

    “Kami turut merampas bungkusan kurier yang disyaki mengandungi dadah jenis kokain dianggarkan seberat 207.24 gram bernilai RM41,000.

    “Bungkusan itu beralamat dari Vancouver, Kanada dihantar ke Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier ke alamat di Teluk Intan,” katanya dalam sidang media di JKDM Teluk Intan, Teluk Intan, hari ini.

    Dalam serbuan ini juga, Abdul Ghafar berkata, JKDM Perak turut merampas sebuah Toyota Vios dianggarkan bernilai RM80,000.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula 21 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika didapati bersalah dan disabitkan, dihukum mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah sekiranya tidak dihukum mati dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.

  • Kastam rampas sekerap aluminium RM819,000

    Kastam rampas sekerap aluminium RM819,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN menyeludup sekerap aluminium (aluminium scrap) bernilai RM819,000 gagal hasil pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johordi Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, kelmarin.

    Pemeriksaan dilakukan pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah hari itu mendapati barangan dagangan berkenaan yang dimuatkan dalam tiga kontena itu turut tidak memiliki sebarang cukai eksport dan keperluan permit daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, dagangan sekerap aluminium adalah larangan eksport dan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 di mana pengeksportan dagangan ini memerlukan permit daripada MITI.

    Namun hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati ketiga-tiga kontena berkenaan mengandungi 73,696 kilogram (kg) aluminium scrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah.

    “Hasil siasatan, kita juga mendapati modus operandi sindiket penyeludupan yang terlibat adalah membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak benar dalam Borang Kastam 2 (BK2) semasa pengeksportan.

    “Tujuannya bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelak daripada dikenakan duti eksport sebanyak 10 peratus dan mengelak mengemukakan permit MITI,” katanya pada sidang akhbar di pelabuhan itu, hari ini.

    Beliau berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 28 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan, namun dibebaskan dengan jaminan RM5,000 pada hari yang sama (Isnin).

    Untuk rekod, anggaran barang dagangan yang dirampas (aluminium scrap) yang dirampas bernilai RM745,300 dengan duti eksport berjumlah RM74,500.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta yang sama iaitu membuat kesalahan pengikraran tidak benar dan terlibat dalam cubaan mengeksport barang larangan bersyarat tanpa permit dan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a), boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) pula, boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih besar, atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Dalam pada itu, Misbahudin berkata, permintaan tinggi bagi sekerap aluminium di pasaran hari ini, disyaki menjadi punca kepada cubaan mengeksport barang berkenaan.

    Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya turut mendapati barangan dagangan itu cuba dieksport ke negara-negara Asia Timur.

    “Kita juga mengesyaki pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini juga telah beroperasi sejak sekian lama dan menjadikan pelabuhan di Pasir Gudang ini bagi tujuan eksport.

    “Oleh itu kita menggesa orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan ini khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan selain dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dengan sebarang aktiviti berkenaan kerana ia bukan sahaja merugikan negara malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “Orang ramai boleh memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam yang terdekat. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.

  • Shamsul Iskandar mungkin calon PH di Bagan Datuk, bukan Tawfik Ismail

    Shamsul Iskandar mungkin calon PH di Bagan Datuk, bukan Tawfik Ismail

    HASRAT pengasas bersama kumpulan reformasi politik, Gerak Independent Tawfik Ismail untuk menjadi calon PH di Bagan Datuk, kerusi yang disandang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin tidak akan diterima, menurut Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

    “Memandangkan permohonan Tawfik boleh dikira di saat akhir, agak sukar untuk ia diterima sekarang.

    “Buat masa sekarang, PKR mungkin akan meletakkan Shamsul Iskandar Mohd Akin di Bagan Datuk,” kata Chang kepada Malaysiakini.

    Shamsul Iskandar adalah penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya. Dia menang di situ selepas menewaskan bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam dengan perbezaan 8,640 undi pada PRU 2018.

    Menurut Chang, dia setakat ini belum melihat Tawfik membuat sebarang permohonan rasmi berkenaan hasratnya itu.

    “Saya tak tahu jika Tawfiq ada buat permohonan itu kepada mana-mana pemimpin dalam PKR, tapi saya boleh beritahu yang kepimpinan pusat tidak pernah membincangkannya,” katanya.

    Chang merupakan antara pemimpin PKR yang terlibat dalam rundingan kerusi dalam PH.

    Tawfik ketika dihubungi pula berkata, dia telah membuat permohonan itu kepada beberapa pemimpin PH.

    “Setakat ini, Lim Kit Siang beri respons positif dan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga sudah terima tetapi setakat ini dia belum beri respons.

    “Kami akan tunggu untuk Anwar dan Amanah beri respons. Anwar adalah pemimpin yang tandatangan watikah pencalonan,” kata anak sulung timbalan perdana menteri kedua Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman itu.

    Menurut Tawfik, jika PH tidak menerima permohonannya, dia akan bertanding sebagai calon bebas dalam PRU15.

    Dia pernah menjadi ahli parlimen Sungai Benut sebelum meninggalkan Umno pada 1987.

    Ketika menyatakan hasrat itu pada 23 Oktober lalu, Tawfik berkata ia bagi mengelakkan perpecahan undi antara dia dan calon gabungan itu.

    “Untuk mengelakkan undi berpecah dalam mengejar matlamat yang sama, saya menawarkan pencalonan saya kepada PH sebagai calon di bawah logo mereka,” katanya.

    Awal tahun ini, GI mengumumkan barisan calon PRU15 bagi kerusi parlimen Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Kota Kinabalu dan Batu.

    Kesemua kerusi berkenaan dimenangi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

    Empat daripada kerusi itu dimenangi oleh PKR, manakala dua kerusi lagi dimenangi DAP. P Prabakaran, yang menang di Batu atas tiket Bebas pada PRU lalu, telah menyertai PKR.

  • Dua remaja didakwa rogol berkumpulan gadis 14 tahun

    Dua remaja didakwa rogol berkumpulan gadis 14 tahun

    DUA remaja lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun secara berkumpulan di Tawang, Bachok.

    Kedua-dua tertuduh yang berusia 18 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli sebaik sahaja pertuduhan secara berasingan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh pertama didakwa atas dua pertuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun di sebuah bilik di kedai makan dekat Tawang.

    Mengikut pertuduhan pertama, perbuatan itu dilakukan pada pertengahan bulan Ogos lalu, lebih kurang pukul 1.15 pagi.

    Pertuduhan kedua pula, ia dilakukan pada minggu kelima bulan September lalu, lebih kurang pukul 1.45 pagi di lokasi yang sama.

    Mohd. Zul Zakiqudin tidak membenarkan tertuduh pertama diikat jamin bagaimanapun boleh melantik peguam untuk perbicaraan semula.

    Sementara itu, tertuduh kedua yang didakwa atas satu pertuduhan sama iaitu merogol gadis berusia 14 tahun pada pertengahan bulan Ogos lalu, lebih kurang pukul 1.15 pagi.

    Tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin.

    Mahkamah turut menetapkan tertuduh supaya melaporkan diri setiap 1 hari bulan di balai polis berdekatan serta berkelakuan baik dengan tidak mengganggu saksi.

    Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 23 November ini.

    Sementara itu, enam lagi tertuduh yang merupakan pesalah juvana dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bachok atas pertuduhan sama hari ini.

    Warta Rakyat pada 17 Oktober lalu melaporkan lapan remaja lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang gadis berusia 14 tahun.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, penahanan kesemua remaja lelaki itu dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan polis berkait kes rogol melibatkan mangsa bawah umur.

  • Tiket harga ‘kayangan’, mahasiswa Sabah bimbang tak mampu pulang mengundi

    Tiket harga ‘kayangan’, mahasiswa Sabah bimbang tak mampu pulang mengundi

    PELEPASAN lima hari bermula 17 hingga 21 November untuk mahasiswa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) menjadi tidak bermakna bagi anak Sabah disebabkan harga tiket penerbangan yang terlampau mahal.

    Presiden Markas Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) Mohd. Shahrul Izzat Basri berkata, keadaan itu menimbulkan kerisauan kepada mahasiswa dari Sabah kerana mereka tidak mampu pulang mengundi.

    Katanya, tiket penerbangan mahal ke Sabah bukan perkara baharu, malah isu itu sentiasa disebut sebagai senario tahunan.

    “Hal ini dek kerana belum ada jalan penyelesaian yang konkrit dan terancang diambil, khususnya oleh kerajaan negeri Sabah, ibaratnya ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Timbalan Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Sabah Mohd Faizal Kambah.

    Katanya, Marsis sebelum ini juga telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu harga tiket ke Borneo yang mahal pada musim perayaan, membebankan mahasiswa dan anak perantau lain untuk pulang menyambut hari perayaan.

    “Perkara ini sepatutnya menjadi kebimbangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Menteri Pengangkutan, Menteri Tugas-tugas Khas dan Ketua Menteri kerana mahasiswa Sabah yang ada kesedaran mengundi tidak dapat pulang mengundi,” katanya lapor FMT.

    Tarikh pengundian bagi PRU-15 ditetapkan pada 19 November. Sabah hanya melaksanakan undian bagi kawasan Parlimen memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan.