Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dua pelajar kolej maut dalam nahas dua kenderaan

    Dua pelajar kolej maut dalam nahas dua kenderaan

    DUA pelajar Kolej Universiti Tati (TATIUC) maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 145 jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Teluk Kalung, pukul 1.37 petang tadi

    Muhammad Ilman Waiz Ahmad Wazi, 18, maut di tempat kejadian manakala Muhammad Amirul Adli Mohd Anuar, 18, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kemaman.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kemalangan membabitan perlanggaran sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan Perodua Kancil yang dinaiki tiga penuntut TATIUC.

    “Kemalangan membabitkan lima mangsa iaitu dua pembantu logistic SGC Petrotechnical Inspection (Malaysia) Sdn bhd yang menaiki Toyota Hilux.

    “Sementara kereta kancil dinaiki tiga pelajar TATIUC yang kesemuanya berusia 18 tahun,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, kedua-dua mangsa yang menaiki Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Perodua kancil, Muhamad Muttaqin Zainal mengalami kecederaan dan dirawat di wad kecemasan.

    Beliau berkata, punca kejadian masih belum diketahui tetapi hasil siasatan awal mendapati ia berlaku apabila Toyota Hilux gagal mengelak Perodua Kancil yang ketika itu masuk ke simpang kanan jalan secara mengejut.

    “Kereta Kancil dikatakan masuk ke simpang kanan untuk ke Stesen Bas Geliga dan Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Teluk Kalong menghala ke Paka.

    “Akibat jarak terlalu dekat pacuan empat roda tidak sempat mengelak dan melanggar tepat sebelah kira kereta kancil menyebabkan kenderaan itu terseret lebih kurang 21 meter,” katanya.

    Siasatan lanjut berhubung kemalangan ini masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Calon PN Putrajaya: Radzi sifatkan pemilihannya satu penghormatan, amanah

    Calon PN Putrajaya: Radzi sifatkan pemilihannya satu penghormatan, amanah

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan pemilihan beliau mewakili gabungan politik itu merupakan satu penghormatan dan amanah yang akan beliau galas sebaiknya.

    Menurut Menteri Kanan Pendidikan itu, beliau berterima kasih kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pucuk pimpinan PN serta kepimpinan Bersatu atas kepercayaan yang diberikan.

    “Memetik kata-kata Tan Sri Muhyiddin semalam bahawa “Keberadaan kita (PN) adalah untuk mewujudkan sebuah Kerajaan dan kepimpinan yang baik, prihatin, amanah dan penuh integriti yang dapat melaksanakan pembangunan menyeluruh sehingga Malaysia kembali menjadi negara hebat dan disegani”, saya bertekad untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan perubahan berlaku dalam arena politik negara, bermula dari Putrajaya,” katanya.

    Beliau mengulas mengenai pengumuman Muhyiddin yang menamakannya sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

    Mengulas lanjut, Dr Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, setelah berkhidmat sebagai menteri Kabinet dan menetap di Putrajaya, beliau sedikit sebanyak telah menyelami permasalahan penduduk yang turut berkongsi masalah itu kepadanya melalui program rasmi atau pertemuan biasa.

    “InsyaAllah, dengan amanah yang diberikan oleh Perikatan Nasional ini, saya akan perjuangkan suara warga Putrajaya dan ikhtiarkan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk.

    “Saya percaya dengan kerjasama dan dokongan seluruh jentera Perikatan Nasional, tidak terkecuali setiap warga Putrajaya, kita semua mampu mencipta Era Baharu Putrajaya,” tambahnya.

  • PN tanding semua kerusi Parlimen, DUN di Pahang

    PN tanding semua kerusi Parlimen, DUN di Pahang

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang akan meletakkan calon untuk bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen dan 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata perkara itu sudah diputuskan dengan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan berkenaan.

    “Saya sahkan pada pilihan raya kali ini, PN Pahang akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN.

    “Pembahagian kerusi antara parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan sudah selesai dan kini menunggu keputusan daripada Majlis Tertinggi PN Pusat,” katanya, lapor Berita Bersatu.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di Kuantan hari ini .

    Saifuddin berkata, senarai calon bertanding akan diumumkan sebelum hari penamaan calon dan semua parti gabungan akan bertanding atas tiket PN.

    Mengulas sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin berkata, segala keputusan mengenai kerusi mana dipertandingkan akan diputuskan Majlis Tertinggi PN.

    “Setakat ini, parti belum buat keputusan sama ada saya bertanding di sini (Indera Mahkota) atau di kawasan lain.

    “Jumlah kerusi yang akan ditandingi Bersatu, Pas dan Gerakan belum boleh diumumkan selagi tiada keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya.

  • PN muktamad pembahagian kerusi di Semenanjung-Muhyiddin

    PN muktamad pembahagian kerusi di Semenanjung-Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah memuktamadkan pembahagian kerusi antara gabungan itu di Semenanjung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu berkata, satu tarikh akan ditetapkan bagi setiap PN negeri untuk mengumumkan calon yang bertanding dalam PRU-15.

    “Kita akan tetapkan tarikh untuk setiap PN negeri mengumumkan bukan sahaja kerusi tetapi calon-calon yang kita telah putuskan.

    “Semuanya atas nama PN dan kita telah buat peraturan setiap kawasan-kawasan itu bilik operasi semuanya atas satu bumbung PN,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Presiden PN di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya, hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU-15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 5 November.

    Tambah Muhyiddin, pihaknya juga akan mengeluarkan satu arahan agar semua parti dalam gabungan PN untuk saling membantu dalam PRU15.

    “Kalaupun calon di situ adalah Bersatu, maka Pas dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) akan membantu.

    “Ini untuk memperkukuhkan langkah-langkah dan menentukan jentera kita mantap ikut kawasan masing-masing. Itu yang telah kita muktamadkan tadi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Bekas Ahli Parlimen Pagoh itu dalam masa sama turut melahirkan kesyukuran bahawa tidak ada perkara yang luar biasa berlaku dalam perbincangan pembahagian kerusi.

    “Saya rasa bersyukur kerana tidak ada satu perkara yang agak luar biasa berlaku, semua atas semangat setia kawan dalam PN,” katanya.

  • Faizal Azumu jawab Anwar isu orang Perak 9 tahun

    Faizal Azumu jawab Anwar isu orang Perak 9 tahun

    “Ramai yang belajar di Amerika dan masuk Guantamao Bay tetapi tidak jadi rakyat Amerika, …akai (akal) ada?,” kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan beliau bukan ‘orang luar’ Perak kerana pernah berada sembilan tahun di negeri itu.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada Khamis lalu mengesahkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

    Ahmad Faizal berkata, beliau bersedia berdepan dan mempertahankan kerusi
    Parlimen Tambun sekiranya dipilih sebagai calon.

    Menurutnya, sekiranya PKR perkenalkan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri, saya bawa diri sebagai anak tempatan yang berkhidmat untuk rakyat setempat.

    Katanya, beliau tidak akan lari dan kekal di situ walaupun badai taufan datang melanda.

    “Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi saya sedia berdepan dengan sesiapa sahaja pada PRU15,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

    Beliau menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dari BN dan PAS, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria.

  • Penganggur didakwa cederakan isteri, tiga anak

    Penganggur didakwa cederakan isteri, tiga anak

    SEORANG lelaki didakwa atas lima pertuduhan mencederakan isteri dan tiga anaknya serta mengugut bunuh seorang daripadanya anaknya itu dengan parang.

    Rony Abraham, 37, yang tidak bekerja didakwa melakukan semua kesalahan itu di rumah mereka di Bukit Tempayan, Tanjung Kling pada 17 Oktober lalu, antara jam 7 pagi hingga 11 pagi.

    Prosiding kes dijalankan berasingan di Mahkamah Majistret 4 dan Mahkamah Sesyen 2, Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, Melaka, lapor Harian Metro.

    Di Mahkamah Majistret, bagi pertuduhan pertama, Rony didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Nazifah Mohd. Salleh, 38, dengan memukul pipi kiri dan seluruh badan dengan menggunakan tangan.

    Seterusnya dia didakwa mengulangi kesalahan sama terhadap tiga anaknya, Aryana Jasmyn Abdullah, 13, iaitu dengan cara menumbuk mulutnya hingga berdarah, Mohamad Adryan Danial, 12, (tendang belakang badan) dan Muhammad Farez Asyraf, 10, (tendang belakang badan tampar muka).

    Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.

    Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah dengan meletakkan parang di pipi kiri Mohamad Adryan Danial dengan mengugut isterinya.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sejurus dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

    Timbalan Pendakwa Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan, namun mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan selepas dirayu tertuduh.

    Kes ditetapkan untuk sebutan pada 28 Oktober depan.

    Di Mahkamah Sesyen, Rony turut tidak mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isteri iaitu secara mencucuh puntung rokok di lengan kanan dan di tepi mata sebelah kirinya.

    Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon supaya tertuduh dirujuk untuk pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, Johor mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Ia berikutan Rony dalam pembelaannya menyatakan dia tidak waras dan tidak sedar ketika melakukan perbuatan itu.

    Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 24 November depan bagi mendapatkan laporan psikiatri.

    Media sebelum ini melaporkan polis memberkas seorang lelaki disyaki kurang siuman yang mengamuk di atas bumbung rumah serta mencederakan isterinya di Kampung Bukit Tempayan Tanjung Kling.

  • PRU-15: Tiada kerjasama PN, GTA – Muhyiddin

    PRU-15: Tiada kerjasama PN, GTA – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk bergerak ke depan dengan parti komponen sedia ada.

    “Tidak ada perbincangan untuk bekerjasama dengan GTA. Bukan PN tidak mahu ada kerjasama tetapi kita memutuskan untuk bergerak ke hadapan dengan apa yang sudah dirancang sejak awal,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Muhyiddin juga menafikan dakwaan ada perbincangan antara PN dan GTA tetapi belum dimuktamadkan kerana ada isu belum selesai.

    Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir hari ini berkata pihaknya masih meneruskan perbincangan kerjasama dengan GTA dan menyelesaikan beberapa isu dan memberikan masa kepada PN selama dua hari untuk putuskan.

    Muhyiddin berkata, beliau tidak tahu mengenai perbincangan itu kerana tidak dibawa ke Majlis Presiden PN.

    “Tidak ada perbincangan dan tidak ada mesyuarat rasmi. Mungkin ada bincang di peringkat bawahan tetapi tidak sampai kepada majlis (presiden), saya tidak tahu,” katanya.

  • Kebakaran, letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang

    Kebakaran, letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENDUDUK setempat dikejutkan dengan satu letupan dan disusuli dengan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Pengerang, Kota Tinggi pukul 3.40 petang tadi.

    Menurut PIC dalam satu kenyataan hari ini, anggota Central Emergency and Fire Services Response (CEFS) mereka bertindak pantas memadam kebakaran daripada merebak.

    “Kita dapat memadam kebakaran tersebut sepenuhnya pada pukul 4.50 petang.
    Tiada kemalangan jiwa dan kejadian tidak menjejaskan atau memberi ancaman kepada masyarakat sekitar,” menurut kenyataan berkenaan.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 4.12 petang.

    “Seramai tujuh anggota dengan tiga buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian. Kebakaran melibatkan penyambungan pada saluran paip untuk projek N-OSBL.

    “Pemadaman telah dilakukan anggota CEFS sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan dapat dikawal pada pukul 4.23 petang,” katanya.

  • Lelaki rugi RM17,000 gara-gara ‘kad kuasa’

    Lelaki rugi RM17,000 gara-gara ‘kad kuasa’

    SEORANG lelaki kerugian RM17,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan gara-gara mahu memiliki ‘kad kuasa’ dengan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

    Sindiket berkenaan beroperasi di sebalik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun 2013 dan mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan pada 20 Oktober lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa mendakwa ditipu dua lelaki yang menawarkannya untuk menjadi ahli NGO dan diarah membayar wang meja untuk satu majlis makan malam, namun majlis berkenaan tidak dapat dijalankan.

    “Mangsa mendakwa jika ingin menjadi ahli pertubuhan terbabit, dia perlu membayar yuran sebanyak RM2,200.

    “Mangsa juga dikatakan akan mendapat pelbagai layanan istimewa termasuk tidak ditahan ketika sekatan jalan raya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

    Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Sentul menahan lima lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Selasa.

    “Polis juga merampas 19 helping t-shirt, 15 topi, 143 pelekat kenderaan, 20 emblem (kenderaan), tiga keping kad kuasa, lima keping kad keahlian dan empat keping acuan cetakan yang kesemuanya mempunyai logo PDRM, KDN dan AADK,” katanya.

    Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti jumlah mangsa dan ‘kad kuasa’ yang telah dikeluarkan oleh sindiket terbabit.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (memperdaya) dan Seksyen 88(b) Akta Polis 1967 (menjual dan membekal lencana anggota polis) serta Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966.

    “Seorang daripada suspek dikesan mempunyai rekod jenayah lampau iaitu menyamar sebagai penjawat awam,” katanya lapor Sinar Harian.

    Polis katanya, kemudian menahan reman dua daripada lima suspek ini untuk tindakan lanjut, manakala tiga yang dibebaskan akan dijadikan saksi pendakwa.

  • Dua sahabat terperangkap kepala air ‘ditemani’ beruang

    Dua sahabat terperangkap kepala air ‘ditemani’ beruang

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA lelaki yang terperangkap akibat kepala air berdepan detik cemas apabila mereka turut ‘ditemani’ sepasang beruang di Bukit Wang Perah, Jitra di Kubang Pasu, malam tadi.

    Kejadian berlaku ketika Badrul Hisham Badri, 50, dan Abdul Halim Ibrahim, 35, terkandas selama 15 jam di lokasi terbabit.

    Badrul Hisham berkata, mereka pada mulanya masuk ke hutan tersebut kira-kira pukul 3 petang untuk menjala ikan sebelum cuaca tiba-tiba berubah.

    “Kira-kira pukul 5 petang kemudian, aliran air bertukar menjadi deras dan kami mengambil keputusan mendaki bukit bagi mendapatkan isyarat telefon untuk meminta bantuan.

    “Apabila sampai ke puncak bukit, kami kemudiannya mensalai anak ikan yang diperolehi untuk mengalas perut. Sesudah mengalas perut, sepasang beruang setinggi saya ke hadir ke kawasan tersebut.

    “Ketika itu kami berlindung di bawah jala yang diletakkan daun-daun di atasnya tanpa bergerak. Pasangan beruang itu berada di kawasan berhampiran sejak pukul 9 malam hingga pukul 1 pagi menyebabkan kami tidak tidur dan berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui.

    Menurutnya, mereka bersyukur kerana pasangan beruang terbabit tidak mengapa-apakan mereka.

    Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa ada kecederaan

    “Selepas itu apabila melihat keadaan agak tenang, kami membuat keputusan untuk bergerak turun. Dalam perjalanan turun tersebut, saya sekali ternampak beruang terbabit di kawasan sungai.

    “Kami kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum ditemui pasukan penyelamat,” katanya.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.50 pagi tadi.  

    “Setibanya di lokasi, kami berpecah kepada dua pasukan untuk melaksanakan kerja-kerja mencari dan menyelamat. Namun keadaan hujan lebat dan berisiko menyebabkan kerja-kerja tersebut ditangguh hingga hari cerah.

    “Alhamdulillah kira-kira pukul 8.20 pagi, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa ada kecederaan,” katanya.