Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lau: PAS dan dasar PN perkara berasingan

    Lau: PAS dan dasar PN perkara berasingan

    DASAR berteraskan agama Pas di empat negeri yang ditadbir sering meletakkan sekutunya, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang sebahagian besar anggotanya terdiri daripada bukan Islam, dalam kedudukan yang janggal.

    Bagaimanapun, Presiden Gerakan, DAtuk Dr. Dominic Lau, dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini, percaya bahawa undang-undang dan dasar berasaskan negeri tidak mencerminkan hala tuju keseluruhan Perikatan Nasional (PN).

    Buktinya, kata Lau, adalah semasa PN menerajui kerajaan persekutuan antara 2020 dan 2022.

    “Adakah PN pernah berkuasa? Ya. Semasa PN berkuasa, bukankah kita masih dapat terus minum arak? Bukankah daging babi masih dijual?

    “Awak kena paksa pakai songkok ke? Genting (Highlands Casino) masih adakan?” soal Lau.

    Ini, katanya, adalah bukti bahawa pemerintahan PN di bahagian lain di negara ini tidak perlu mengikut acuan yang digunakan oleh Pas.

    Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan tempatan mempunyai kebebasan untuk menggubal undang-undang dan dasar yang sesuai berdasarkan pertimbangan etnik, agama dan budaya.

    Cakap-cakap mengenai penghakisan hak orang bukan Islam sekiranya PN memerintah, kata Lau, hanyalah propaganda DAP.

    Lau berkata demikian ketika ditanya jika dasar negeri di Kedah, Terengganu, Kedah dan Perlis dianggap sebagai dasar PN.

    Kelantan, khususnya, menjadi tumpuan baru-baru ini selepas seorang pemilik perniagaan bukan Islam didenda kerana berseluar pendek di premisnya sendiri manakala seorang pendandan rambut bukan Islam turut didenda kerana melayan pelanggan lelaki.

    Lau berkata bahawa PN telah membuktikan bahawa ia mampu mentadbir secara adil dan contoh terbaik ialah bagaimana ia menangani wabak Covid-19, apabila vaksin dan bantuan kewangan diagihkan tanpa pertimbangan agama atau kaum.

    “Apabila Covid-19 melanda, PN adalah kerajaan persekutuan. Dari segi vaksin dan bantuan lain, adakah ia berdasarkan kaum, agama dan budaya?

    “Jawapannya tidak. Ini sangat jelas,” katanya.

    Sekiranya PN ditakdirkan memerintah sekali lagi, Lau percaya masyarakat bukan Islam akan terus menikmati hak mereka.

    “Ini bukan cakap kosong. Ia telah terbukti. Semasa PN berkuasa, kita telah melakukannya,” katanya.

    Di samping itu, kepimpinan PN akan sentiasa berbincang mengenai keputusan dasar yang penting, katanya.

    Lau berkata, semasa kempen pemilihan kepimpinan Gerakan baru-baru ini, beliau berkesempatan melawat Kelantan dan Terengganu dan mendapati masyarakat bukan Islam di sana terus bebas meminum arak dan memakan daging babi.

    Lau berkata, beliau juga ada menyoal Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai larangan perjudian di negeri-negeri tersebut.

    Menurut Lau, Hadi menjelaskan larangan berjudi di Kelantan itu dilaksanakan pada 1990-an hanya selepas mendapat persetujuan pelbagai pemimpin agama termasuk wakil daripada DAP.

    “Apabila (Tan Sri Nik Aziz Nik MAt) bertanya sama ada Kelantan perlu mengharamkan judi, wakil pelbagai agama bersetuju. Malah Ketua Pemuda DAP ketika itu Anthony Loke… dan Liew Chin Tong, mereka juga bersetuju,” katanya.

    Sehubungan itu, Lau berkata, DAP tidak seharusnya menyerang Gerakan berhubung larangan perjudian yang dikasanakan di Perlis dan Kedah.

    Mengenai kenyataan kontroversi Ketua Pas Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung masyarakat bukan Melayu, Lau berkata, Sanusi berbuat demikian kerana provokasi DAP.

    “Sanusi berkata demikian untuk menyerang DAP… Dalam PN, kita sangat jelas tentang perkara ini. Dia menyerang DAP (dan bukan Melayu) kerana pilihan raya negeri sudah dekat,” katanya.

    Pada 11 Julai, Sanusi mempertahankan dakwaan Abdul Hadi Awang bahawa bukan Islam merupakan majoriti pemberi rasuah.

    Ini menyaksikan beberapa laporan polis kemudiannya dibuat terhadap Sanusi.

  • Adakah ini DAP yang sama saya sertai pada 2005 – Ramasamy

    Adakah ini DAP yang sama saya sertai pada 2005 – Ramasamy

    P. Ramasamy, yang digugurkan sebagai calon menjelang pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos ini, tertanya-tanya jika DAP hari ini sama seperti yang disertainya hampir dua dekad lalu.

    Ahli akademik berusia 74 tahun yang menceburi dunia politik, dengan menjadi ahli DAP pada 2005, menyatakan demikian berhubung apa yang didakwanya sebagai kekurangan ketelusan dalam pengumuman senarai barisan calon baru parti itu.

    “Semalam, pengumuman rasmi mengenai calon dibuat. Sebilangan penyandang digugurkan, atas alasan untuk meremajakan parti tetapi hakikatnya ramai calon yang lebih muda digugurkan dan digantikan dengan calon yang lebih tua.

    “Bulan lepas, parti itu menolak senarai calon DAP untuk pilihan raya negeri yang dikatakan tular sebagai palsu, tetapi senarai semalam ternyata hampir sama.

    “Mengapa percanggahan dan ketidak-konsisten ini berlaku,” soal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan Timbalan Ketua Menteri itu dalam satu temu bual dengan Malaysiakini.

    Tambahan pula, Ramasamy berkata senarai calon yang diumumkan itu memberi gambaran bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dalam DAP Pulau Pinang dengan kumpulan yang menyokong pemimpin tertentu mempunyai lebih pengaruh dalam barisan.

    Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan perkara ini secara terperinci.

    Menurut Ramasamy, alasan kepimpinan DAP untuk menggugurkan beberapa penyandang adalah tidak wajar.

    “Sekurang-kurangnya mereka (DAP) boleh lebih telus, dan berjumpa kami (penyandang yang digugurkan) sebelum memuktamadkan (senarai).

    “Saya telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama tiga penggal sejak 2008, dan kini DAP adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah (di peringkat Persekutuan). Perlu ada kematangan dan ketelusan,” katanya lagi.

    Berikut adalah petikan temu bual berkenaan:

    Soalan: Adakah anda meramalkan sebarang tindak balas daripada pengundi India menjelang PRN ini, susulan apa yang berlaku?

    Jawapan: Suara saya adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Politik adalah satu proses; sama ada episod ini akan mengakibatkan sebarang tindak balas adalah terlalu awal untuk dikatakan, kita perlu tunggu dan lihat.

    Apabila saya meninggalkan dunia akademik pada tahun 2005 untuk menyertai DAP, parti itu agak popular. Saya telah bersama DAP selama 18 tahun. Ia sebuah parti yang idealistik, tetapi kini persoalannya adakah parti itu masih sama dengan parti yang saya sertai selama ini.

    S: Pada pendapat anda, apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh Pulau Pinang menjelang PRN ini?

    J: ‘Gelombang Hijau’ mungkin ada. Saya tidak fikir Pakatan Harapan akan kehilangan majoriti, tetapi gabungan itu mungkin tidak mendapat majoriti yang sama seperti diperoleh pada pilihan raya lalu. Kita mungkin kehilangan undi Melayu kepada Perikatan Nasional di kawasan majoriti Melayu.

    Hakikat bahawa (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad) Sanusi (Md. Nor) ditangkap dan didakwa tidak membantu. PH akan menang (di Pulau Pinang) tetapi majoriti mungkin tidak sebesar masa lalu. Mereka (PN) mainkan isu kaum dan agama, dan kini (bekas Perdana Menteri, Tun Dr.) Mahathir (Mohamad) bekerjasama dengan PN, jadi ini bukan mudah.

    S: Apakah pencapaian yang paling anda banggakan semasa berkhidmat?

    J: Sekali lagi, saya mewakili semua kaum, tetapi saya lebih dikenali kerana memperjuangkan nasib kaum India yang terpinggir. Selepas DAP menawan Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2008, saya mencadangkan penubuhan jawatan Timbalan Ketua Menteri bagi mengiktiraf pengorbanan masyarakat India, dan mewakili suara mereka.

    Saya telah ditugaskan dengan kerja itu, dan sepanjang saya berkhidmat, saya telah membantu golongan yang kurang bernasib baik dan golongan B40 (golongan berpendapatan rendah) dalam pelbagai cara. Jika kamu ingat, prestasi buruk BN pada pilihan raya 2008 sebahagiannya disebabkan oleh kejadian perobohan kuil semasa pentadbiran BN, yang mencetuskan perhimpunan Hindraf tahun sebelumnya.

    Perkara pertama yang saya lakukan selepas angkat sumpah ialah memastikan tiada tempat ibadat dirobohkan atas nama pembangunan di Pulau Pinang. Itu usaha berpasukan yang sukar.

    Seterusnya adalah pembiayaan dan tanah untuk sekolah Tamil, yang ‘samar-samar’ semasa pemerintahan BN. Saya juga mewujudkan biasiswa untuk pelajar dan mahasiswa India.

    Pada zaman saya, kuil juga diperuntukkan tanah. Saya melakukan yang terbaik yang mampu. Saya tidak sempurna, tetapi saya berjaya mengharungi banyak halangan dan bekerja dalam kekangan. Saya juga telah membetulkan ketidakseimbangan berkaitan pekerjaan berasaskan kaum di agensi negeri dan menjadikannya berdasarkan merit.

    S: Adakah sesiapa dari PN mendekati anda berikutan khabar angin tentang penguguran anda daripada pilihan raya?

    J: Saya ada membaca khabar angin yang mendakwa bahawa saya akan berjumpa (pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Ini tidak betul. Saya tidak suka PN, dan tidak bersetuju dengan PN. Malah, saya adalah antara pengkritik paling lantang terhadap gabungan itu, dan pemimpinnya, termasuk Sanusi, (Presiden Pas, Tan Sri Abdul) Hadi (Awang), dan Mahathir.

    Saya masih ahli DAP, dan Timbalan Pengerusi DAP negeri. Dalam keadaan sekarang, dakwaan bahawa saya mungkin bekerjasama dengan PN untuk pilihan raya akan datang adalah berita palsu.

    S: Apa seterusnya?

    J: Saya mungkin menulis memoir, atau terlibat dalam politik dalam erti kata yang lebih luas. Saya telah diberitahu oleh rakan saya untuk berpolitik dalam profil nasional, jadi saya mungkin mempertimbangkannya. Saya akan terus menulis kerana ia adalah latihan mental yang baik.

    Saya akan terus memerangi perkauman, diskriminasi kaum, politik berfikiran sempit, dan untuk kebaikan masyarakat.

  • Enggan mansuh akta hasutan: Kumpulan peguam selar kerajaan

    Enggan mansuh akta hasutan: Kumpulan peguam selar kerajaan

    KUMPULAN peguam Lawyers for Liberty (LFL) menyelar kerajaan kerana mahu menyemak semula akta hasutan atas alasan melindungi institusi diraja dan bukan memansuhkannya.

    Penyelaras kempennya, Nabila Khairuddin berkata, Pakatan Harapan (PH) dan DatuK Seri Anwar Ibrahim berjanji memansuhkan akta itu ketika menjadi pembangkang.

    “Bila berkuasa sekarang, dengan tebal muka mereka tukar nada,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Semalam, Kabinet bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi institusi raja daripada provokasi.

    Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said juga berkata provokasi membabitkan isu agama dan bangsa akan diteliti, termasuk penggubalan perundangan baru jika perlu.

    Dalam kenyataan hari ini, Nabila mengingatkan ketika pendirian itu dibuat Anwar dan PH tidak meletakkan sebarang syarat terhadap pemansuhan akta kontroversi itu.

    “Undang-undang seperti Akta Hasutan, yang bercanggah dengan hak asasi manusia tidak boleh dipinda, tetapi harus dimansuhkan,” katanya.

    Walaupun PH berjanji menghapuskan akta itu, komitmen sama tidak dinyatakan oleh gabungan lain parti-parti kerajaan seperti Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Kerajaan tahun lalu menubuhkan jawatankuasa bagi memperinci dan menggabungkan intipati dalam manifesto parti politik dalam kerajaan untuk dilaksana.

    Bagaimanapun setakat ini tidak jelas status semasa perincian itu.

    Sementara itu, Nabila mengingatkan, akta hasutan digubal di era penjajah untuk menekan pejuang kemerdekaan dan sekarang ia sudah menjadi ‘sampah-sarap sejarah’.

  • Buruh kontrak dituduh rogol anak sendiri

    Buruh kontrak dituduh rogol anak sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG buruh kontrak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan merogol anaknya antara Disember 2016 hingga Februari 2017.

    Tertuduh yang berusia 52 tahun bagimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut di depan Hakim, Zaihan Mohamad Ali.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika anaknya berusia 16 tahun di bilik air rumah mereka di Kampung Paya Sena, Pendang kira-kira pukul 2.30 petang pada Disember 2016.

    Sementara pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di bilik tidur rumah tersebut pada Disember 2016, kira-kira pukul 4 petang.

    Tertuduh kemudiannya didakwa merogol anaknya itu buat kali ketiga di bilik tidur rumah sama pada Februari 2017, pukul 9 pagi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan manakala tertuduh diwakili peguam, A. Surendran.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula dengan tertuduh turut dibenarkan diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi tiga pertuduhan tersebut.

  • PM umum RM100 kepada 10 juta rakyat dewasa

    PM umum RM100 kepada 10 juta rakyat dewasa

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM100 setiap seorang kepada kira-kira 10 juta rakyat dewasa Malaysia, untuk dikreditkan dalam e-dompet mereka.

    Beliau berkata penerima adalah mereka yang berpendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah, terdiri daripada mereka dalam kategori B40 dan M40.

    “Dana untuk kemudahan ini akan mencecah sekitar RM1 bilion,” katanya pada pelancaran “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” di Suruhanjaya Sekuriti hari ini lapor Malaysianow.

    Bulan lalu, kerajaan mula mengagihkan RM200 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program e-Tunai Belia Rahmah melibatkan kira-kira dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan jumlah peruntukan RM400 juta. 

    Anwar berkata, pengumuman hari ini adalah selepas mengambil kira kejayaan program e-tunai.

  • Bantuan khas RM300 bagi penjawat awam, RM200 pesara kerajaan

    Bantuan khas RM300 bagi penjawat awam, RM200 pesara kerajaan

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan khas RM300 bagi penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, manakala RM200 untuk pesara kerajaan.

    Menteri kewangan itu berkata, veteran tentera dengan atau tanpa pencen turut akan mendapat bantuan khas RM200.

    “Bantuan khas ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam, termasuk lantikan kontrak serta lebih sejuta pesara,” katanya lapor FMT.

    Beliau berkata, ia langkah sementara kerana Putrajaya sedang mengkaji pelarasan gaji penjawat awam, yang dijanjikannya akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu.

    Pada 13 Julai lalu, Anwar dilaporkan berkata, cadangan akan dibuat bagi skim gaji perkhidmatan awam ditambah baik secara berperingkat, berdasarkan kemampuan ekonomi negara.

    Katanya, ia akan dbincangkan dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Zulkapli Mohamed sebelum PRN pada 12 Ogos ini.

    Ahad lalu, Anwar berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama mengenai pelarasan skim gaji itu pada minggu depan.

  • Bekas ahli DAP tanding Bebas mahu ‘bebas P Pinang daripada LGE’

    Bekas ahli DAP tanding Bebas mahu ‘bebas P Pinang daripada LGE’

    BEKAS ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Marshel akan bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai dalam pilhan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

    Bagaimanapun beliau berkata, tetap menyatakan sokongannya kepada Chow Kon Yeow untuk kekal selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

    Marshel berkata, sebab utama beliau bertindak demikian untuk memastikan Chow kekal memegang jawatan tertinggi negeri.

    “Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mahu menjadi ketua menteri, walaupun berulang kali menyatakan sokongannya kepada Chow,” katanya yang keluar DAP semalam .

    “Saya akan bertanding sebagai calon bebas dan ‘tagline’ kempen saya ialah ‘Bebaskan Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng’,” katanya pada sidang media, lapor FMT.

  • PRN: 5 calon PH di Terengganu diramalkan ‘balik awal’, hilang deposit?

    PRN: 5 calon PH di Terengganu diramalkan ‘balik awal’, hilang deposit?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    LIMA calon mewakili Pakatan Harapan (PH), masing-masing tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini diramalkan ‘balik awal’ serta hilang deposit.

    Hal ini kerana kedua-dua parti berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai pengundi dan jentera yang ramai di negeri ini.

    Sebaliknya, calon-calon mereka terpaksa bertanding di kerusi yang selama ini dianggap sebagai antara kubu kuat Pas di Terengganu.

    Ramai penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu menyifatkan tindakan PKR dan Amanah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Sura, Wakaf Mempelam, Batu Burok dan Manir seolah-olah ingin ‘menggantung diri’ sendiri.

    Hal ini kerana UMNO yang merupakan parti pesaing hebat Pas di negeri ini pernah kecundang di kelima-lima kerusi tersebut.

    Apatah lagi, ia ditambah pula dengan isu-isu ‘panas’ semasa melingkari UMNO dan PH termasuk soal agihan kerusi serta sentimen No Anwar, No DAP yang masih menebal dalam kalangan ahli akar umbi dan para penyokong UMNO sendiri.

    Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini diramalkan ‘balik awal’ serta hilang deposit.

    Malah, penganalisis serta pemerhati politik turut berpendapat, keadaan itu dijangka turut berlaku kepada calon PKR yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

    Nama-Nama calon PKR yang bertanding di PRN Terengganu diumumkan serentak melibatkan enam negeri oleh Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Shah Alam, Selangor pada 22 Julai lalu.

    Calon yang disenaraikan bertanding ialah Wan Mohd. Haikal Wan Ghazali di kerusi DUN Wakaf Mempelam, Mohd. Jusoh (Manir) dan Osman Omar (Sura).

    Turut diumumkan ialah nama bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail yang akan bertanding mewakili parti itu di PRK kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada tarikh sama.

    Azan Ismail

    Sementara calon Amanah pula diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 23 Julai lalu.

    Dua calon yang disenaraikan ialah Ketua Amanah Marang, Suhaimi Sulaiman yang bertanding di kerusi DUN Rhu Rendang dan Mohamad Zamir Ghazali (Batu Burok).

    Memandangkan sebahagian besar pengundi Terengganu termasuk orang UMNO dikatakan tidak mengenali kelima-lima calon PH ini, maka ramai berpendapat calon ditampilkan seolah-olah sebagai pelengkap penyertaan, seperti juga calon Bebas.

    Pada PRU14 lalu lima calon PKR yang bertanding telah hilang deposit

    Selain itu, kebanyakan calon terbabit juga dikatakan masih terlalu baharu dan agak mentah dalam bidang politik tanah air.

    Dalam PRU14 lalu, mendapati lima calon PKR yang bertanding di kerusi berkenaan terpaksa menerima hakikat telah hilang deposit.

    Di kerusi Rhu Rendang, calonnya Zarawi Sulong hanya memperoleh 729 undi tewas kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas) yang menang dengan majoriti 6,028 undi.

    Samsuri yang ketika itu membuat penampilan pertamanya memperoleh 13,851 undi. Turut bertanding ialah Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (BN) yang mendapat 7,823 undi.

    Bagi kerusi Batu Burok pula, calon PKR, Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad juga hilang deposit setelah hanya mendapat 2,572 undi tewas kepada calon Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menang dengan majoriti 5,288 undi.

    Turut bertanding ialah Zamri Awang Hitam (BN) yang mendapat 9,896 undi.

    Di kerusi DUN Manir, calon PKR, Hafizuddin Hussain hilang deposit apabila hanya meraih 422 undi tewas kepada calon Pas, ustaz Hilmi Harun yang menang dengan majoriti 2,844 undi.

    PN Terengganu
    PN dijangka menang bergaya di PRN Terengganu. – Gambar: Facebook Menteri Besar Terengganu

    Turut bertanding ialah Yusof Awang Hitam (BN) yang mendapat 5,872 undi.

    Satu lagi kerusi kebal Pas, iaitu DUN Wakaf Mempelam turut menyaksikan calon PKR, Mohd Zubir Mohamed yang mendapat 1,589 undi hilang deposit setelah tewas kepada calon Pas, ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang menang dengan majoriti 7,378 undi.

    Turut bertanding ialah Salleh Othman (BN) yang mendapat 7,418 undi.

    Seorang lagi calon PKR, Zulkifli Ali yang bertanding di DUN Sura dan mendapat 2,386 undi juga hilang deposit apabila tewas kepada calon Pas, Wan Hapandi wan Nik yang menang dengan majoriti 7,162 undi.

    Turut bertanding ialah Datuk Zainun Abu Bakar (BN) yang mendapat 5,338 undi.

    Maka itu, melihat kepada fenomena ini di samping graf sambutan terkini pengundi di Terengganu terhadap Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil kesemua calon PH yang ditampilkan kali ini juga bakal ‘balik awal dan hilang deposit’.

  • Lelaki ditemui mati dalam kereta terbakar di tempat parkir

    Lelaki ditemui mati dalam kereta terbakar di tempat parkir

    SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terbakar di kawasan parkir Jalan Putra Square 7, Sri Dagangan di Kuantan hari ini.

    Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, mayat mangsa ditemui dengan kesan terbakar di tempat duduk pemandu kereta terbabit.

    “Kejadian dilaporkan pukul 6.58 pagi. Tujuh anggota bomba termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan ke lokasi untuk bantuan memadam kebakaran kereta terlibat.

    “Ketika tiba di lokasi mendapati terdapat mangsa dalam kenderaan itu. Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos saluran bantu mula air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan.

    Zulfadli berkata, kebakaran berjaya dipadamkan bagaimanapun kereta terlibat musnah terbakar hampir 90 peratus manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lapor Sinar Harian.

  • Annuar Musa tidak dicalonkan dalam PRK Kuala Terengganu

    Annuar Musa tidak dicalonkan dalam PRK Kuala Terengganu

    PENGERUSI Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang keluar UMNO menyertai Pas disahkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini.

    Beliau adalah antara nama-nama besar yang disebut-sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN), sebelum ini.

    Malah difahamkan, bekas Setiausaha Agung UMNO itu tidak pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri itu memandang rakyat Terengganu masih lagi terikat dengan politik konvensional yang mahukan elemen tempatan.

    Astro Awanio melaporkan, penyandang kerusi tersebut, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang menang dengan majoriti 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dkatakan akan dikekalkan.

    Bagaimanapun, segala teka-teki itu akan terjawab malam ini apabila PN akan mengumumkan nama-nama calon di kesemua 32 DUN dan Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Tok Guru di Rusila, Marang, di Kuala Terengganu.

    Sebelum ini, nama bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga disebut-sebut sebagai calon lawan di kerusi berkenaan.

    Namun ternyata menyimpang selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

    Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di Kuala Terengganu membatalkan kemenangan bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi daripada Pas itu setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen PRU15 bagi Parlimen tersebut.

    Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Justeru, Pengerusi Suruhanjaya SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan hari mengundi PRK P036 Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos ini.