Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pelajar maut motosikal bertembung lori

    Pelajar maut motosikal bertembung lori

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pelajar tingkatan tiga maut setelah motosikal dinaikinya bertembung sebuah lori dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 petang di Kampung Tanjung Kepala Bukit, Baling, semalam.

    Mangsa, Muhammad Ajwad Zuraimi, 15, yang tinggal di Kampung Bukit, Kuala Kuang, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.

    Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, mangsa yang didapati tidak memakai topi kaledar meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

    “Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS-X dari arah Kampung Sadek menghala ke Kampung Pisang.

    “Apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Mitsubishi Fusi datang dari arah bertentangan dan memasuki laluan motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Shamsudin berkata, mangsa telah merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori tersebut ketika melalui jalan yang berselekoh.

    Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • PRU-15: Khutbah Jumaat Perak seru ummah jalankan tanggungjawab kepada negara

    PRU-15: Khutbah Jumaat Perak seru ummah jalankan tanggungjawab kepada negara

    JABATAN Agama Islam Perak (JAIP) menerusi khutbah Jumaat hari ini menyeru umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Pilihan Raya: Tanggungjawab ummah kepada negara’ itu, mimbar memperingatkan bahawa tanggungjawab memilih ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kini diserahkan kepada rakyat.

    Jelas teks itu, wakil-wakil yang dipilih dirujuk sebagai wakil rakyat, iaitu orang-orang yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri.

    “Selepas berakhirnya pilihan raya, kumpulan yang mendapat sokongan majoriti, akan diberikan peluang untuk menyembahkan cadangan kepada Raja Pemerintah, hasrat mereka untuk mencalonkan seorang wakil menjadi ketua kerajaan, selanjutnya membentuk kerajaan baik di peringkat Persekutuan begitu juga di peringkat negeri.

    “Ketua kerajaan yang diperkenankan lantikan dan kerajaan yang diperkenankan pembentukannya akan mengambil tanggungjawab mengurus tadbir negara atau pun negeri, untuk dibangunkan dan dimajukan, dengan harapan dapat melimpahkan nikmat kebahagiaan, kesejahteraan dan kesentosaan kepada rakyat jelata,” ujar mimbar, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, mimbar berkata, budaya politik yang sihat, amat penting untuk menjamin pilihan raya dapat berlangsung dalam suasana aman, tenteram, terkawal dan selamat.

    Kata mimbar, tujuan diadakan pilihan raya ialah untuk membolehkan rakyat memilih dan menyerahkan amanah kepada insan pilihan mereka.

    Selain itu, calon-calon dibenarkan berkempen untuk memperkenalkan diri, sementara parti-parti politik akan memperkenalkan kepada rakyat manifesto yang menghuraikan wawasan serta cadangan yang ditawarkan, jika diberikan peluang memerintah.

    “Lebih dua puluh satu juta rakyat layak dan terdaftar sebagai pengundi dalam Pilihan Raya ke-15.

    “Lebih 10.7 juta pengundi berusia bawah 39 tahun, merupakan hampir 51 peratus pengundi; daripada angka tersebut, hampir 1.5 juta orang, menghampiri 7 peratus pengundi berada dalam usia 18 ke-20 tahun.

    “Hanya 18 peratus pengundi yang berada dalam kumpulan usia atas 60 tahun,” kata mimbar.

    Mengulas lanjut, mimbar turut menyeru agar semua orang mengundi kerana ia satu tanggungjawab fardu kifayah dan satu tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut agar rakyat melakukannya.

    Kata mimbar, Keengganan untuk memenuhi tanggungjawab mengundi bererti melakukan satu pembaziran kerana tidak menghargai kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan yang baharu.

    Tambahnya, para majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan, memberikan masa yang cukup, membolehkan para pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi.

    Jelas mimbar, anak muda yang pertama kali mempunyai kuasa mengundi sewajarnya diberikan panduan, bimbingan dan kesedaran agar menyempurnakan tanggungjawab mengundi dan mengundi dengan bertanggungjawab.

    Sementara itu, mimbar turut memperingatkan berpesan kepada calon, juga kepada penyokong dan petugas parti agar mematuhi atau menghormati perkara-perkara tertentu dalam PRU-15.

    Antaranya, tidak mensensasikan isu-isu agama dan kaum untuk meraih laba politik hingga menyemaikan rasa kebencian dan akhirnya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

    Selain itu, mereka yang terlibat juga diingatkan tidak mengamalkan budaya menyogok rasuah untuk mendapat sokongan pengundi.

    Kata mimbar, ia kerana calon yang menggunakan pengaruh rasuah atau memberi rasuah untuk mendapatkan sokongan akan mengamalkan perangai menerima rasuah apabila diserahkan amanah dan kuasa.

  • PN mampu urus Felda, kata Hamzah

    PN mampu urus Felda, kata Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah membuktikan bahawa pemimpin parti itu mampu menguruskan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan baik termasuk membayar semua hutang sebelum ini.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, rakyat tahu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyelesaikan semua hutang itu ketika menjadi Perdana Menteri.

    “Kita tidak senang jika berdepan hutang yang besar, hidup dalam keadaan gelisah dan ketakutan.

    “Siapa yang akan membayar hutang itu? Pengundi sudah mengetahuinya bahawa hutang berbilion ringgit sudah selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Taklimat Persediaan Pilihan Raya Umum (PRU15) dan Banjir 2022 di Kota Bharu, hari ini.

    Hamzah memberitahu, pemimpin yang mahu memimpin negara ialah mereka yang benar-benar bersih dan tidak dikongkong oleh orang yang lain.

    “Perdana Menteri kena tahu tanggungjawab dengan lebih baik,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau turut memberitahu, semua nama untuk calon PN kini sudah dihantar kepada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kesemua mereka telus dan bersih.

    Sementara itu, Hamzah berkata, cadangan BN mencalonkan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu, Datuk Mohd. Nizar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak menyukarkan PN.

    Menurut beliau, PN akan meletakkan calon yang boleh memimpin dan bersih demi masa depan negara yang lebih baik.

    “Masa depan negara lebih penting, maka kita letak calon yang tahu bagaimana mengurus negara dengan lebih baik,” ujarnya.

    Sebelum ini, media melaporkan Mohd. Nizar mungkin akan bertanding pada PRU-15 mewakili kerusi Parlimen Pekan sebagai meneruskan legasi Allahyarham Tun Razak.

  • Suami isteri, bayi maut dalam nahas tiga kenderaan

    Suami isteri, bayi maut dalam nahas tiga kenderaan

    SEPASANG suami isteri dan bayi berusia setahun maut dalam kemalangan di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) Simpang Ampat di Alor Gajah, pukul 11 pagi tadi.

    Nahas itu mengakibatkan pasangan masing-masing berusia 28 tahun dan bayi mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Komander Operasi Pengawai Kanan Bomba (PBK) ll KUP, Ezanee Hamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 pagi sebelum tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Ayer Keroh dan BBP Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Jazz dan lori dua tan jenis Isuzu.

    “Mangsa tiga beranak menaiki kereta terbabit dan kedua-dua kenderaan dipercayai dari arah sama iaitu selatan.

    “Operasi terkawal pada pukul 12.31 tengah hari sebelum operasi menyelamat tamat pukul 1.09 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kemalangan maut itu turut menyebabkan laluan trafik sesak lebih satu kilometer.

  • Moratorium, bantu rakyat susah antara tumpuan manifesto Perikatan Nasional

    Moratorium, bantu rakyat susah antara tumpuan manifesto Perikatan Nasional

    PEMBERIAN moratorium dan membantu rakyat susah antara tumpuan manifesto Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, PN turut memberikan komitmen melaksanakan apa terkandung dalam Bajet 2023 yang sudah dibentang tetapi tidak sempat dibahas dan dilululuskan.

    Malah kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu, jika ada keperluan, Bajet tersebut akan ditambah baik dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

    “Cadangan pemberian moratorium ini pernah kita cadangkan tetapi tidak dibuat kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri (Datuk Seri).

    “Saya jangka moratorium ini boleh kita buat kerana kalau Kementerian Kewangan dulu sudah boleh buat minta Bank Negara mengarahkan bank dalam negara kita memberikan moratorium.

    “Yang lepas kita buat (moratorium) bank tidak menanggung rugi. Malah bank menambah pendapatan dia, kerana moratorium menangguh hutang, bila ekonomi baik dia dapat balik. Dia tak rugi,” katanya pada sidang media di Pagoh, Muar, hari ini.

    Terdahulu Muhyiddin menghadiri program Sembang Santai bersama masyarakat Cina di pekan Bukit Kepong dan menghadiri majlis sarapan di Kampung Permatang Pasir, Bukit Pasir, Pagoh.

    Muhyiddin berkata, manifesto PN akan diumumkan selepas penamaan calon, lapor SatuBerita.

  • PN umum calon awal November ini-Muhyiddin

    PN umum calon awal November ini-Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan seranai calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2 atau 3 November ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun pembahagian kerusi antara parti dan pelantikan calon bertanding telah selesai namun gabungan itu masih meneliti senarai nama calon untuk proses tapisan.

    “Senarai calon itu akan melalui empat tapisan iaitu di peringkat semakan polis, jabatan kebankrapan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “(Kita sedang) teliti nama calon yang dihantar oleh semua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas seluruh negara.

    “Akan selesai sehari, dua lagi untuk lalui proses saringan polis supaya tiada isu keselamatan, nak calon tiada kes bankrap, tiada kes rasuah dan tak nak ada kes hutang,” katanya.

    Penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu berkata demikian dalamn sidang akhbar selepas menghadiri program sembang santai bersama masyarakat Cina di Kedai Kopi Pekan Bukit Kepong, Pagoh, Muar, hari ini.

    Tambahnya, pengumuman calon akan dibuat awal November ini sebagai persiapan mengisi borang pencalonan.

    Muhyiddin berkata, PN hanya akan bertanding 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen.

    Jelasnya, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan kemudian namun kini sudah di peringkat akhir.

    Semalam, Muhyiddin berkata, pembahagian kerusi antara parti dan pelantikan calon bertanding pada PRU15 melibatkan parti komponen PN telah selesai.

    Dalam pada itu, PN akan melancarkan manifestonya bagi menghadapi PRU-15 pada awal November ini selepas hari penamaan calon.

    Muhyiddin berkata, segala tawaran bagi melaksanakan setiap inisiatif dan bantuan kepada rakyat akan diperjelaskan satu demi satu pada hari tersebut.

    “Ini termasuk komitmen PN untuk melaksanakan inisiatif terkandung dalam Bajet 2023 yang baru dibentang di Parlimen tetapi tidak sempat dibahas serta diluluskan.

    “Kami akan meneliti dan melakukan penambahbaikan terhadap Bajet 2023,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • [VIDEO]Manifesto PN tidak janji bintang, matahari macam kerajaan sebelum ini-Muhyiddin

    [VIDEO]Manifesto PN tidak janji bintang, matahari macam kerajaan sebelum ini-Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak menyajikan manifesto pilihan raya yang menjanjikan perkara tidak masuk akal seperti dijaja parti lain sebelum ini.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN berpegang kepada konsep integriti dan amanah di mana apa yang mereka janjikan bakal ditunaikan sebaik memegang tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

    “Saya cadangkan kepada pengerusi yang buat manifesto, Datuk Dr. Radzi Jidin supaya maklumkan bahawa apa yang kita buat (manifesto) ini bukan sebagai satu tawaran sahaja. Kita akan bentuk jawatankuasa bebas terdiri daripada mereka yang faham tentang pengurusan dan kewangan negara untuk duduk, teliti apa yang telah dan akan kita buat. Memenuhi apa yang telah kita janjikan dalam manifesto.

    “Itu boleh meyakinkan rakyat bahawa kita ini bukan buat main-main, tawar bintang, matahari tapi kita tak buat seperti dijanjikan kerajaan dahulu. Janji nak buat sejuta rumah, tak buat. Janji bantuan itu ini…saya tak boleh buat cara begitu. Itu tidak amanah. Kita PN berpegang kepada konsep integriti, amanah itu pening untuk kita laksanakan,” katanya.

    Penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu pengundi di Pagoh, Muar, hari ini.

    Menurutnya, PN akan melancarkan manifesto mereka pada awal bulan depan selepas hari penamaan calon, 5 November ini.

    Dalam pada itu, beliau turut menjanjikan untuk mengembalikan moratorium bagi membantu rakyat untuk mempunyai aliran tunai untuk menjalani kehidupan sekaligus memulihkan ekonomi negara.

    “Sekarang ini pihak SME Association rayu seboleh mungkin supaya diberi sekali lagi pusingan moratarium. Saya jangka moratarium ini boleh kita buat kerana kalau Kementerian Kewangan dulu boleh buat, minta Bank Negara mengarahkan bank-bank di negara kita memberikan moratorium. Bank tidak menanggung rugi sebaliknya menambah keuntungan sebab moratorium ini hanya tangguhkan hutang.

    “Bila ekonomi dah pulih mereka bayar balik. Itu tidak melibatkan wang kerajaan. Jadi ekonomi boleh cepat pulih. Yang ini Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) tidak bersetuju dulu. Tak buat pun. Kalau saya, semalam saya dah buat dah,” katanya.

    Beliau turut mengulang komitmen gabungannya untuk meneruskan Bajet 2023 yang dibentangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri di Parlimen namun tidak sempat dibahas dan diluluskan.

    “Malahan kita akan meneliti balik perkara itu dan menambah baik (Bajet 2023) jika ada keperluan. Antara langkah penting ialah bagaimana nak membantu nasib golongan-golongan yang rentan terkesan akibat Covid-19 di mana jumlah paras kemiskinan meningkat daripada 40 peratus kepada 60 peratus.

    “Selepas menghadapi Covid-19, perniagaan tidak dibuka sepenuhnya, ramai tidak bekerja, pendapatan merosot dan perniagaan tidak bagus jadi (menyebabkan) kadar kemiskinan itu meningkat,” katanya, lapor AgendaDaily.

    Beliau turut menyeru pengundi agar keluar membuang undi pada 19 November depan dan menyokong PN.

  • Saya tiada masalah untuk berdebat – Muhyiddin

    Saya tiada masalah untuk berdebat – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia untuk berdebat secara terbuka bersama calon Perdana Menteri lain, asalkan ia diadakan secara adil dan teratur.

    Presiden Bersatu itu bagaimanapun menegaskan debat itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan, bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.

    “Saya tiada masalah, nak kata debat ke, dialog ke, kalau siapa menganjur menjemput saya secara rasmi, saya fikir agak sesuai.

    “Dan (debat itu) tidak menimbulkan reaksi yang tidak elok, dibuat secara adil, teratur, tiada muslihat lain, saya tiada masalah,” katanya pada sidang media selepas program Sembang Santai Bersama Masyarakat Cina Pekan Bukit Kepong, Pagoh, Muar, hari ini.

    Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya diadakan debat terbuka antara calon Perdana Menteri daripada semua parti bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bagaimanapun media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan debat secara terbuka itu.

    Katanya, debat ‘bukan budaya kita’ dan perbahasan disarankan tidak akan mendatangkan sebarang hasil.

    Sementara itu, tambah Muhyiddin, beliau bersedia untuk berbahas atau berbincang dari pelbagai sudut topik seperti ekonomi, pemulihan dan juga pendidikan.

    “Saya nak bincang ekonomi boleh, pemulihan boleh, pendidikan boleh, antarabangsa boleh. Saya tiada masalah,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Pilih BN samalah pilih perompak, kleptokrat

    Pilih BN samalah pilih perompak, kleptokrat

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan bahawa memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini samalah dengan memilih perompak dan kleptokrat.

    Sebaliknya, kata beliau jika rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti, amanah dan prihatin kepada rakyat dan terbukti ketika menghadapi krisis pandemik Covid-19 dan kesannya, maha Perikatan Nasional mesti menjadi pilihan.

    “Kalau kita mahu perompak ataupun pemimpin yang lembab dan lembik, yang sanggup menerima arahan daripada kleptokrat… yang berada di bawah telunjuk kleptokrat… undilah Barisan Nasional.

    “Tetapi kalau saudara mahu sebuah kerajaan yang bersih yang berintegriti, yang prihatin rakyat.. undilah Perikatan Nasional.

    “Pakatan Harapan (PH) tak payah cakap lah… dah tak tahu ke mana dia nak pergi… bukan sahaja di tepi… (tapi) dah tersungkur dah,” katanya memerik laporan SatuBerita.

    Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata rakyat perlu membuat penilaian dan perbandingan dalam kalangan pemimpin, khususnya mereka yang berjawatan Perdana Menteri.

    “Kalau kita nak uji pemimpin… uji semasa krisis… Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berdepan dengan tiga krisis… kesihatan, ekonomi dan politik. Beliau berdepan dengan krisis politik untuk membenteras perasuah, perompak dan pencuri dalam negara ini.

    “Nak uruskan kleptokrat, nak uruskan perasuah dan perompak yang berdepan dalam pelbagai kes di mahkamah. Salah seorangnya tampil ke rumah Tan Sri… saya menjadi saksi…

    “Beliau menyatakan… Tan Sri tolonglah… saya sedang dihadapkan ke mahkamah… Saya tidak bersalah… ambillah dokumen ini Tan Sri. Bacalah malam ini. Besok saya bawa peguam untuk terangkan pada Tan Sri.

    “Saya saksi. Apa kata Tan Sri… saudara minta maaf… saya tidak mahu campur urusan mahkamah. Kalau saudara tidak bersalah tampil di mahkamah… bersihkan nama saudara di dalam mahkamah,” cerita Azmin tanpa merujuk kepada pemimpin terlibat yang semua rakyat tahu siapa dimaksudkan itu.

    Azmin berkata kepimpinan Muhyiddin yang berani ketika itu walaupun mempunyai majoriti sokongan yang kecil, tetapi tegas dan memikul amanah, perlu diberi sokongan.

    “Sudah tentulah ketika krisis kesihatan, ekonomi dalam tempoh yang paling mencabar dengan berani dan bertanggungjawab beliau menegaskan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional… kita nak menyelamatkannya nyawa manusia dan rakyat dalam negara.

    “Bukan mudah. Beliau terpaksa melancarkan program vaksinasi secara besar-besaran… dan inilah kejayaan Perikatan Nasional menyelamatkan nyawa dan kesihatan rakyat,” katanya.

  • Alwiyah sedia ganti Abdul Latiff tanding di Mersing pada PRU-15

    Alwiyah sedia ganti Abdul Latiff tanding di Mersing pada PRU-15

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib sedia bertanding di Parlimen Mersing mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan bagi memuktamadkan keputusan berhubung cadangan mencalonkannya sebagai Ahli Parlimen Mersing.

    “Pada mulanya, saya memang terperanjat apabila mengetahui dicadangkan untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Mersing.

    “Namun, saya tetap bersedia dengan perkara itu (cadangan) dan akan cuba melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

    “Kini, terserahlah kepada pihak pucuk pimpinan bagi memuktamadkan cadangan itu,” katanya ketika dihubungi.

    Pada Khamis, penyandang kerusi Parlimen Mersing yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (tugas-tugas khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memaklumkan dia tidak mahu bertanding pada PRU-15.

    Malah Abdul Latiff turut bertegas tidak mahu lagi ‘ketagihan kuasa’ namun bersedia membantu calon-calon yang bertanding kelak.

    Untuk rekod, Abdul Latif yang bertanding atas tiket BN pada PRU14 lalu, memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan 19,806 undi menewaskan pencabar daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Sementara itu, Alwiyah yakin mampu menggalas tanggungjawab selaku Ahli Parlimen (Mersing) dan ADUN Endau kelak, sekiranya berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan pada PRU15 nanti.

    Katanya, kerjasama serta komitmen daripada ahli mempertahankan kerusi Parlimen Mersing dan menyerahkannya kepada Alwiyah.

    “Insya-Allah, kita bekerja bukan ‘sorang-sorang’…kita ada ‘team’ yang cukup komited dan bertanggungjawab.

    “Apa pun, sehingga ke hari ini, kita memang bersedia,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.