Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pas tanding 8 Parlimen, Bersatu 7 Parlimen di Kedah

    Pas tanding 8 Parlimen, Bersatu 7 Parlimen di Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERIKATAN Nasional (PN) Kedah memuktamadkan pembahagian kerusi antara komponen di negeri itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas akan bertanding lapan kerusi Parlimen, manakala baki tujuh kerusi akan diisi calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, rundingan tersebut berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang pertelingkahan.

    Muhammad Sanusi turut memaklumkan, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) turut ditawarkan kerusi di Kedah, namun komponen itu menolak kerana merasakan belum bersedia untuk bertanding.

    “Betapa baik kita tak tinggal siapa-siapa. Gerakan kita nak bagi dia kata belum masa lagi.

    “Kesemua 15 calon ini tak kira Pas atau Bersatu kita lawan atas logo PN, jangan ada siapa-siap bagi ruang kepada musuh untuk pecah belahkan kita atas penggunaan logo ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Jentera PN Kedah yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar malam ini.

    Dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi memberi bayangan Pas akan bertanding di Parlimen Baling dan Padang Terap yang kini disandang Barisan Nasional (BN).

    “Di Baling, calon Pas pada PRU-14 mendapat 37,483 undi, BN menang 38,557 undi. Kita perlu 1,000 lebih sahaja lagi untuk tewaskan Azeez (Datuk Seri Abdul Azeez Rahim).

    “Datuk Seri Mahdzir Khalid menang dengan calon Pas (di Padang Terap) 1,009 undi sahaja beza boleh jadi menteri. Tak susah untuk menang kerana kebanyakan kerusi Parlimen di Kedah beza (majoriti) sangat kecil,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkemungkinan hanya akan dibubarkan selepas Jun 2023.

    “Kita akan hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri-negeri yang belum bubar, tahun depan lepas Mac akan masuk bulan Ramadan diikuti Hari Raya Aidilfitri kemudian orang pergi haji dan sembelih lembu (Hari Raya Aidiladha), lepas itu baru kita bubar,” katanya.

  • Polis siasat video tular lelaki parah dipukul 2 lelaki

    Polis siasat video tular lelaki parah dipukul 2 lelaki

    POLIS sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang lelaki parah dipukul dua individu di Flat San Peng, Jalan Gandek, Pudu, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, video tersebut dikesan pihaknya tular semalam.

    “Video berdurasi 48 saat itu memaparkan seorang lelaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

    “Kejadian dipercayai berlaku pada Rabu kira-kira pukul 10 malam melibatkan beberapa individu di lokasi.

    “Setakat ini, polis telah mengenal pasti dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian ini berdasarkan laporan yang dibuat berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan berkaitan kes ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

  • Felda bukan lagi simpanan tetap UMNO’, kata Tuan Ibrahim

    Felda bukan lagi simpanan tetap UMNO’, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, warga Felda sudah berubah dan kawasan rancangan tanah itu tidak boleh lagi dianggap simpanan tetap mana-mana parti pada pilihan raya umum (PRU).

    “Generasi kedua dan ketiga Felda sudah menerima banyak pendedahan maklumat, tidak lagi hanya fokus kepada satu parti.

    “Pada 1999 (PRU), saya bertanding di Felda Jengka, Pahang. Ada 10 peti undi, sembilan daripada peti itu Felda semua. Alhamdulillah, saya menang ketika itu dan banyak lagi kawasan.

    “Saya fikir situasi sudah berubah, generasi kedua dan ketiga banyak terima maklumat dan tidak lagi fokus hanya kepada satu parti. Saya fikir FELDA bukan lagi ‘fixed deposit’ (simpanan tetap) buat UMNO buat masa ini,” katanya.

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival KASA 2022 @Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di Kota Bharu, hari ini.

    Mengenai desas-desus beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Kubang Kerian disandangnya untuk bertanding di Pahang, beliau berkata, keputusan itu terserah kepada pucuk pimpinan.

    “Kita serah kepada parti untuk buat keputusan dan saya difahamkan waktu ini ada mesyuarat akhir.

    “Hati saya jatuh cinta dengan Kubang Kerian, tapi apa yang penting, kita laksanakan apa yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, tunggu pengumuman nanti,” katanya lapor Berita Harian.

  • Bekas Pesuruhjaya SPRM bertanding di Parlimen Tasek Gelugor?

    Bekas Pesuruhjaya SPRM bertanding di Parlimen Tasek Gelugor?

    BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad dikhabarkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Walaupun masih belum ada pengesahan atau kenyataan rasmi, khabar angin tersebut semakin kuat bertiup iaitu bertanding atas tiket bebas.

    ‘Cakap-cakap kedai kopi’ di sekitar kawasan Tasek Gelugor, beliau sudah pun turun ke kawasan melakukan kerja-kerja kebajikan termasuk mengagih bakul makanan di sekitar Parlimen Tasek Gelugor sejak setahun yang lalu.

    Beliau juga sebelum ini mengesahkan belum menyertai sebarang parti politik namun tidak menolak kemungkinan untuk menyertai mana-mana parti jika ada pihak yang datang ‘melamarnya’ sebagai calon, lapor Astro Awani.

    Dzulkifli yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed meletak jawatan dua tahun kemudian.

    Selain Dzulkifli, antara nama lain yang disebut-sebut sebagai calon bertanding di kerusi itu, selepas penyandangnya, Datuk Shabudin Yahaya yang hanya menang dengan majoriti 81 undi, melompat parti ke Bersatu adalah Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim.

    Shabudin, juga sebelum ini mengesahkan tidak lagi mahu mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.

    Sementara itu, Pas juga dikatakan akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi itu.

    Parlimen Tasek Gelugor adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dimenangi calonnya Shabudin.

    Justeru, BN mahu menuntut semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang ‘dirompak’ daripada gabungan itu.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Parlimen Tasek Gelugor merekodkan 689 undi rosak serta 297 undi pos yang tidak dikembalikan.

  • KPM umum cuti 5 hari untuk pelajar pulang mengundi

    KPM umum cuti 5 hari untuk pelajar pulang mengundi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan pelajar di institusi pusat pengajian tinggi  di bawahnya diberi cuti lima hari bermula 17 November sehingga 21 November bagi membolehkan mereka pulang mengundi.

    Dalam sebuah kenyataan, KPM berkata, dalam tempoh itu semua kelas atau aktiviti yang melibatkan pelajar di institusi pendidikan guru, kolej matrikulasi, vokasional dan Tingkatan Enam ditangguhkan ke suatu tarikh lain.

    “Ketetapan KPM ini adalah selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Tempoh pelepasan yang diberikan ini adalah bagi membolehkan pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi pusat pengundian masing-masing,” katanya, lapor SatuBerita.

    Menurut kementerian itu, keputusan ini diambil sebagai tanda sokongan KPM bagi pelaksanaan Undi 18 yang telah diwartakan oleh kerajaan akhir tahun lalu.

    Pendaftaran automatik pemilih baru berkuat kuasa pada akhir tahun lalu berikutan kelulusan rang undang-undang (RUU) untuk menurunkan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun selepas ia disokong sebulat suara di Dewan Rakyat.

    Daripada keseluruhan hampir tujuh juta pengundi baru dalam daftar pemilih, kira-kira 16 peratus daripadanya adalah pengundi mewakili kumpulan umur 18-20 tahun.

    Pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

    SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU-15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

  • Warga emas maut akibat digilis lori

    Warga emas maut akibat digilis lori

    SEORANG lelaki maut apabila digilis sebuah lori selepas terjatuh dalam kemalangan di Kilometer 2.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Kepong ke Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 8.02 pagi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda Wave ditunggang lelaki berusia 64 tahun itu terbabas.

    “Penunggang motosikal itu kemudian terjatuh lalu digilis sebuah lori yang melalui lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 untuk membantu siasatan.

  • PRU-15: ‘Undilah saya buat kali terakhir’ – Muhyiddin

    PRU-15: ‘Undilah saya buat kali terakhir’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berkemungkinan menjadi pentas terakhir buat beliau untuk bertanding dalam pilihan raya.

    Malah, bekas Perdana Menteri itu turut mengesahkan bakal bertanding di Parlimen Pagoh bagi mempertahankan kerusi tersebut.

    “Saya cakap itu maknanya pilihan raya ini mungkin yang terakhir buat saya. Tidak mengapalah.

    “Saya juga nak bagi tahu rakan-rakan saya supaya berikanlah peluang kepada orang muda-muda.

    “Hampir 50 tahun saya terlibat dalam politik nasional dan telahpun memegang pelbagai jawatan. Maka saya merasakan ia sudah cukuplah. Kasi ‘chance’ pada orang lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi ramah mesra bersama masyarakat Cina di Bukit Kepong, Pagoh, Muar, hari ini.

    Bagaimanapun ujarnya, beliau tetap akan menabur khidmatnya untuk tempoh lima tahun lagi sekiranya gabungan itu menang dalam PRU-15 nanti, lapor Astro Awani.

    Katanya, PN, khususnya parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), masih mempunyai pelapis muda yang berkaliber serta mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin sebaik pengunduran dirinya itu.

  • Kes abai, aniaya Bella: Nasib Siti Bainun diketahui 24 November

    Kes abai, aniaya Bella: Nasib Siti Bainun diketahui 24 November

    NASIB pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down, dikenali sebagai Bella, akan ditentukan pada 24 November ini.

    Ketetapan itu selepas pihak pendakwaan perbicaraan kes Siti Bainun, 30, mengumumkan penutupan kes hari ini selepas 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu mahkamah, pihaknya menutup kes selepas saksi ke-22, iaitu juruteknik sebuah syarikat penapis air, Mohamed Rezuan Satori, 25, selesai memberi keterangan petang ini.

    “Dengan berakhirnya keterangan saksi ke-22 hari ini, pihak pendakwaan menutup kes,” katanya dalam prosiding hari ini.

    Beliau turut memaklumkan, pihaknya menawarkan 15 saksi kepada pihak pembelaan, antaranya beberapa bekas penghuni Rumah Bonda dan rakan Siti Bainun.

    Dalam pada itu, Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan pihak terbabit memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 18 November sebelum mahkamah membuat keputusan diakhir kes pendakwaan pada 24 November ini.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak,” katanya, lapor Berita Harian.

    Perbicaraan kes itu bermula sejak 30 Mac lalu dengan saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan, antaranya Bella sendiri dan pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan.

    Selain itu, pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin; pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur serta bekas penghuni Rumah Bonda merangkap saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19.

    Siti Bainun berdepan dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Wanita itu dituduh melakukan perbuatan terbabit di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Jika sabit kesalahan, Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

  • Lelaki didenda RM3,000 bantu kegiatan along

    Lelaki didenda RM3,000 bantu kegiatan along

    SEORANG pekerja swasta dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin hari ini atas pertuduhan pilihan membantu kegiatan along atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

    Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, T. Thanesh, 29, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh pada 25 Ogos lalu, jam lebih kurang pukul 10 malam telah didapati membantu menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen di sebuah rumah di Taman Gunung Mas, Tampin.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa yang sama dengan pertuduhan, hasil pemeriksaan polis dalam serbuan serta pemeriksaan di dalam ruang bilik tidur tertuduh, telah menemui tujuh keping kad ATM atas nama penama berbeza dipercayai milik peminjam wang.

    Polis turut menemui sebuah buku tertera senarai nama peminjam, sebuah kalkulator, satu ‘stamp pad’, sebuah buku tertera kata laluan kad-kad ATM bank peminjam, wang tunai RM200 serta resit pengeluaran.

    Selain itu, terdapat tujuh fail yang mempunyai borang jadual perjanjian pemberian pinjaman wang, sebuah buku baucar tunai serta dua telefon bimbit berbeza jenama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

  • [VIDEO]‘Saya ada idea lipat gandakan nilai aset Felda’ – Muhyiddin

    [VIDEO]‘Saya ada idea lipat gandakan nilai aset Felda’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin nilai aset khazanah Felda mampu dilipatgandakan jika diuruskan dengan betul.

    Katanya, sebagai sebuah ladang rakyat terbesar, Felda mempunyai potensi untuk dimajukan dan bukannya diletakkan dalam keadaan nazak seperti di era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

    “Saya mempunyai idea, jika saya dipilih, diberikan mandat untuk memimpin negara, saya ada idea yang saya nak gunakan bagaimana aset dan khazanah Felda nak dilipatkan ganda nilainya, hasilnya,” katanya pada sidang media di Pagoh, Muar, hari ini.

    Terdahulu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menghadiri program Sembang Santai bersama masyarakat Cina di pekan Bukit Kepong dan menghadiri majlis sarapan di Kampung Permatang Pasir, Bukit Pasir, Pagoh.

    Muhyiddin seterusnya berkata, beliau mempunyai hubungan rapat dengan komuniti Felda dan kesungguhannya dalam membela masyarakat Felda tidak boleh dipertikaikan.

    Menurutnya, tidak sampai setahun menerajui negara sebagai Perdana Menteri Kelapan, beliau telah melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion, selain meluluskan penerbitan sukuk bagi membantu agensi tanah persekutuan itu. 

    “Jadi saya tidak tahulah kalau orang Felda tidak menimbang apa yang saya telah lakukan dalam tempoh kurang setahun itu,” katanya.

    Ditanya mengenai sokongan masyarakat Felda kepada PN, Muhyiddin berkata, sudah nampak perubahan.

    “Sebanyak 54 kawasan Parlimen yang ada Felda, termasuk Pagoh, Pagoh ada empat Felda. Daripada pilihan raya yang lepas, saya lihat ada perubahan, Daripada empat Felda, saya menang tiga. Kesan sudah ada.

    “Kita jangka, apabila kita masuk ke kawasan itu, dan kita jelaskan apa yang kita telah buat, kita harap ada satu penilaian baharu,” katanya.