Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lima lagi warga Malaysia dibawa pulang, kata Saifuddin

    Lima lagi warga Malaysia dibawa pulang, kata Saifuddin

    MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu, lima lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah tawaran pekerjaan di Kemboja dibawa pulang semalam.

    Menurutnya, mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari Siem Reap, Kemboja pukul 12.05 tengah hari.

    Katanya, kelima-limanya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya untuk membantu siasatan.

    “Kejayaan membawa pulang kelima-lima mangsa sindiket itu dibuat secara berterusan hasil kerjasama rapat antara pihak kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan kerajaan Kemboja.

    “Setakat Jumaat lalu, kita telah merekodkan 453 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

    “Daripada bilangan tersebut, seramai 269 orang telah dihantar pulang, manakala 52 orang lagi masih berada di depoh imigresen di negara-negara berkenaaan bagi proses selanjutnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

    Saifuddin memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengesan 132 orang lagi yang dilaporkan masih belum dapat dijejaki setakat ini.

    Dalam perkembangan yang berasingan, Saifuddin memaklumkan tujuh warganegara Malaysia yang bekerja sebagai pelabur forex di sempadan Kemboja-Vietnam akan dihantar pulang ke tanah air pada Sabtu.

    Jelasnya, urusan membawa pulang kesemua individu itu menerusi kerjasama kerajaan negeri Johor.

    Warta Rakyat difahamkan, semua tujuh individu tersebut akan tiba di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di Taman Suria, Johor Bahru kira-kira pukul 8 pagi untuk mengadakan sidang akhbar.

    Bagaimanapun katanya, kumpulan ini tidak boleh dikategorikan sebagai mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan.

    “Kesemua mereka bekerja secara sukarela dan bebas untuk keluar masuk dari kawasan tempat kerja,” ujar beliau.

    Sehubungan itu, Saifuddin menasihatkan supaya warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara supaya mematuhi peraturan sesebuah negara, memastikan kontrak pekerjaan dimeterai dan visa pekerjaan diperoleh terlebih dahulu sebelum mengadakan perjalanan ke negara destinasi.

  • Ibu Abby Abadi meninggal dunia, pengsan ketika rawatan dialisis

    Ibu Abby Abadi meninggal dunia, pengsan ketika rawatan dialisis

    IBU kepada pelakon Abby Abadi, Hasnah Abu menghembuskan nafas terakhir kelmarin, dipercayai pengsan selepas menjalani rawatan dialisis di sebuah pusat perubatan di ibu negara.

    Berita duka itu dikongsikan sendiri Abby menerusi hantaran di media sosialnya.

    Menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, Allahyarham menghidap sakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu yang
    memerlukannya menjalani rawatan dialisis.

    “Baru hari Rabu saya duduk mengadap mak saya, masakkan makan, belikan buah kegemaran mak, teman mak makan, temankan solat, teman berbual … Khamis mak dah tiada.”

    “Sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah mak saya dan mohon doa kalian agar mak saya ditempatkan di syurga terbaik di sisi-Nya,” kongsi Abby, lapor Astro Awani.

    Jenazah Allahyarham ibunya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat, di ibu negara, selepas Zuhur pada Khamis.

    Dalam hantaran dalam media sosialnya kelmarin, Abby turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu memudahkan urusan arwah ibunya sepanjang hayat.

  • Kes pukul penunggang motosikal, polis panggil 2 pengawal peribadi

    Kes pukul penunggang motosikal, polis panggil 2 pengawal peribadi

    POLIS memanggil dua pengawal peribadi persendirian semalam bagi memberi keterangan, membantu siasatan kes seorang lelaki cedera di kepala dan muka akibat dipukul di Flat San Peng, Jalan Gadek, di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

    Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata kedua-dua lelaki berumur 23 dan 30 tahun itu, dipercayai bekerja dengan seorang pengarah syarikat swasta di ibu negara.

    Beliau berkata, selain dua individu itu, seorang rakan mangsa turut dipanggil bagi dirakam percakapan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 10 malam itu.

    “Rakaman percakapan pegawai perubatan bertugas juga sedang dirakam. Manakala, pengarah syarikat yang merupakan majikan kepada pengawal peribadi itu pula dalam tindakan untuk dipanggil polis,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Noor Dellhan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham lalu lintas dengan kedua-dua pihak yang dirakam perbualan, mendakwa mangsa dan suspek memandu secara cuai.

    “Berdasarkan rakaman perbualan yang dibuat, mangsa cedera dipukul dengan menggunakan topi keledar dan sebatang besi. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat dan dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis lalu,” katanya.

    Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, dengan menggunakan senjata berbahaya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

    Semalam, tular sebuah video berdurasi 48 saat di media sosial memaparkan mangsa yang menunggang motosikal, mengalami pendarahan di muka akibat cedera dipercayai dipukul dua pengawal peribadi berkenaan.

  • Diperdaya sindiket jual kereta mewah, lelaki kerugian RM205,000

    Diperdaya sindiket jual kereta mewah, lelaki kerugian RM205,000

    IMPIAN seorang lelaki mahu memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dengan harga murah musnah apabila diperdaya satu sindiket menawarkan kereta mewah dengan harga RM60,000 dalam Facebook, November lalu.

    Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an, berkata, semuanya bermula apabila dia tertarik dengan iklan menawarkan Toyota Alphard tersebut menerusi satu iklan ditawarkan sindinket terbabit.

    “Sindiket tersebut menawarkan pembelian kereta import terpakai atau ‘recond’ dari Jepun.

    “Saya tertarik dengan tawaran iklan itu dan terus menghubungi nombor tertera sebelum dibalas seorang lelaki.

    “Mulanya saya membayar RM2,600 dan selepas selesai membayar RM60,000 kereta masih belum dapat dengan pelbagai alasan diberikan.

    “Apabila mahu membatalkan pembelian mereka tidak benarkan kerana kereta didakwa sudah ada di sini dan perlu membayar lagi untuk urusan lain, sehingga saya sudah membuat lebih 30 transaksi membabitkan RM205,000 sehingga Februari lalu,” katanya.

    Dia berkata demikian ketika ditemui di Setapak di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Jelasnya, itu sebenarnya merupakan jerat dipasang sindiket tersebut menerusi iklan dalam media sosial dan apabila mangsa terpedaya, mereka diminta membayar sejumlah wang atas alasan untuk pembayaran membawa masuk kereta termasuk cukai.

    Katanya, Semua urusan jual beli kenderaan itu dilakukan dalam talian dan mangsa tidak pernah bertemu dengan individu berkenaan atas alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Ahmad berkerja di sektor kewangan swasta di Klang, Selangor berkata, semua pembayaran itu dibuat ke akaun berbeza dan mengakui dia tidak berasa sangsi dengan syarikat berkenaan.

    “Saya mula sedar saya sudah terpedaya sebelum membuat aduan kepada Pertubuhan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) dan laporan polis di Shah Alam, setakat ini belum ada tindakan susulan dibuat.

    “Paling membuatkan saya sedih kerana wang itu adalah pengeluaran Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan sehingga kini tiada ahli keluarga tahu mengenainya,” katanya sambil memberitahu sindiket itu masih menganggunya sehingga kini untuk urusan pengeluaran kereta.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Aduan Amal Sejagat, Syed Kamarul Al Masyhur berkata, sindiket penipuan dilihat semakin berleluasa di Facebook terutama dalam tempoh PKP.

    Menurutnya, secara purata, pihaknya menerima kira-kira 50 aduan sebulan dengan sekurang-kurangnya satu aduan sehari dan kebanyakan aduan yang diterima bermula di media sosial itu.

    “Kita sangat berharap pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memantau aktiviti ini di Facebook supaya mereka tidak menyalahguna platform itu selain polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan SKMM lebih tegas dalam isu ini.

    “Kempen kesedaran mengenai penipuan dalam talian dilihat seperti tidak sampai menyeluruh kepada masyarakat. Mungkin orang ramai kurang peka atau penyaluran maklumat tidak sampai ke akar umbi,” katanya sambil berkata pihaknya juga bersedia membantu kempen itu.

  • PN Perak jamin tak rebut kerusi-Faizal Azumu

    PN Perak jamin tak rebut kerusi-Faizal Azumu

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak memberi jaminan tiada perebutan kerusi antara parti komponen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya perkara tersebut dapat dielekkan tidak sepertimana berlaku dalam Pakatan Harapan (PH).

    Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, pengalaman menghadapi PRU-14 banyak membantu agihan kerusi antara tiga gabungan parti itu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

    “Sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahupun Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), masing-masing menerima keputusan dibuat pimpinan parti tanpa berlakunya pertikaian.

    “Di peringkat pusat ada berlaku sedikit pertindihan, tetapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik.

    “Bagi Perak pula, alhamdulillah semuanya berjalan lancar, tidak ada pertindihan sepertimana berlaku di (DUN) Changkat Jong yang kita tahu ‘mereka’ bergaduh.

    “Amanah (Parti Amanah Negara) nak bertanding, DAP pun nak bertanding. Memang dalam PH masing-masing anggap terlalu hebat, itu yang menyebabkan berlaku pertindihan sehingga tidak dapat diselesaikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru di Ipoh hari ini.

    Faizal beramah mesra dengan peserta Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru di Ipoh hari ini. – Foto Facebook Ahmad Faizal Azumu

    Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, pengagihan kerusi di peringkat DUN adalah hampir setara antara ketiga-tiga parti manakala di Parlimen, Bersatu akan bertanding lebih kerusi berbanding Pas dan Gerakan.

    “Ada juga yang berharap nak jadi calon, berasa kecil hati, tetapi apabila kita dekati, sembang, mereka istiqamah dan berhasrat untuk terus membantu parti kerana dalam hal ini, menggagalkan BN dan PH adalah jauh lebih penting,” katanya.

    Daripada segi calon pula beliau berkata, hampir keseluruhan yang ditampilkan adalah anak tempatan dalam kalangan mereka berpengalaman, profesional, wanita dan calon baharu anak muda.

    “Kita nak persembahkan satu senarai yang boleh kita sandarkan tanggungjawab untuk mereka menubuhkan kerajaan di Perak dan berkhidmat di peringkat pusat.

    “Sebab itu kebanyakan calon adalah tempatan. Kalau di bahagian Kuala Kangsar ke bawah ini, kita tetap pastikan calon-calon yang minum ‘ayor’ dan untuk Taiping ke atas, kita bagi yang minum ayaq (utara Perak),” katanya, lapor Sinar Harian.

    Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu turut memaklumkan, senarai penuh calon PN Perak akan diumum minggu hadapan beserta manifesto PRU.

    “Pengumuman calon dan manifesto untuk PRU15 akan kita umumkan sekali minggu hadapan, saya sedang mencari hari yang sesuai,” katanya.

    Semalam, kerusi DUN Changkat Jong menjadi pertikaian selepas Amanah menamakan calon bertanding di kawasan berkenaan menerusi Naib Pengerusi Amanah negeri, Dr. Muhaimin Sulam.

    DAP juga mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin iaitu muka baharu sebagai calon di kerusi tersebut.

  • Pas teruskan konsep baiah kepada calon bertanding pada PRU-15

    Pas teruskan konsep baiah kepada calon bertanding pada PRU-15

    KONSEP baiah kepada calon-calon Pas akan diteruskan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata menjelaskan, amalan itu sudah menjadi salah satu dasar dalam parti yang perlu dipatuhi oleh semua calon-calon wakil rakyat.

    “Tindakan ini (baiah) supaya apabila mereka bertanding sama ada menang atau kalah mesti bertanggungjawab terhadap rakyat.

    “Kita tidak mahu kalau kalah kemudian mereka (calon) menghilangkan diri kerana tanggungjawab kita kepada rakyat adalah tanggungjawab terhadap Allah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program promosi makan buah nanas segar dan agihan ayam nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan di Pasir Puteh, hari ini.

    Menurutnya, baiah merupakan perjanjian di antara manusia dan Allah.

    Tambahnya, orang yang ingkar dan tidak patuh dengan Allah tidak akan selamat malah menjadi sampah masyarakat.

    Penyandang kerusi Parlimen Pasir Puteh itu berkata, seseorang yang menceburkan diri dalam politik dan bertanding pilihan raya, tidak kira sama ada menang atau kalah bertanding, merekaperlu mendampingi rakyat.

    “Ambil tahu masalah mereka dan tolong sekadar kita mampu.

    “Kalau kerajaan boleh, tolong banyak tapi kalau sebaliknya, hanya bantu sekadar yang mampu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, sejarah zaman berzaman yang didokong dalam Pas (baiah) menyebabkan ia satu-satunya parti yang sentiasa berkembang dalam apa jua keadaan.

    Baiah merupakan lambang pengikat kesetiaan terhadap parti dan tindakan itu dilakukan sebagai usaha memastikan wakil rakyat tidak mengkhianati parti selepas memenangi kerusi.

  • Asah bakat, galak eksplorasi secara kreatif murid dengan cerpen – Dr. Radzi

    Asah bakat, galak eksplorasi secara kreatif murid dengan cerpen – Dr. Radzi

    PELAKSANAAN Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengasah bakat murid seawal usia muda.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, Artikulasi Penulisan merupakan sebuah inisiatif KPM yang dilaksanakan melalui Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dengan kerjasama Yayasan Didik Negara serta Jabatan Pendidikan Negeri dan Wilayah Persekutuan di seluruh Malaysia.

    Jelas beliau, program itu dapat memberi peluang kepada murid untuk membina keupayaan diri dalam suasana yang menyeronokkan dan belajar secara kreatif.

    “Bengkel ini akan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara dengan penglibatan 16 Jabatan Pendidikan Negeri dan Wialyah Persekutuan.

    “Seramai 60 murid akan menyertai bengkel yang dilaksanakan pada peringkat negeri, dengan jumlah keseluruhan seramai 960 orang bagi seluruh Malaysia.

    “Daripada jumlah ini, kita dapat mengangkat sekurang-kurangnya 480 murid sebagai pengkarya cilik apabila hasil penulisan terbaik mereka dipilih dan didokumentasikan dalam 16 buah buku mewakili negeri masing-masing,” katanya.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin beramah mesra dengan sebahagian pelajar-pelajar ketika hadir ke Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di SMK Presint 16 Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, penerbitan buku Semanis Jala Mas merupakan satu wadah kepada murid dalam berkarya sekaligus mengoptimumkan potensi bakat mereka selari dengan konsep Sekolahku Sejahtera.

    Katanya, usaha itu akan mewujudkan ruang dan peluang untuk menggilap bakat dan potensi murid, terutama dalam penulisan kreatif.

    “Prgram rintis telah dilaksanakan di Kelantan pada 2 dan 3 Ogos yang lalu melibatkan 60 murid sekolah rendah dan telah melahirkan 31 pengkarya cilik melalui penerbitan buku antologi Cerpen Penuis Cilik: Semanis Jala Mas.

    “Dengan teman silang budaya, saya menekankan supaya pemilihan murid yang menyertai bengkel ini merangkumi semua kaum di Malaysia supaya kandungan buku lebih kaya dan sesuai dengan kepelbagaian budaya serta kaum di Malaysia,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Tular banduan berbahaya dari Filipina bolos ke Semporna

    Tular banduan berbahaya dari Filipina bolos ke Semporna

    POLIS menafikan dakwaan kononnya banduan yang diklasifikasikan sebagai berbahaya dari Filipina masuk ke daerah Semporna seperti ditularkan di WhatsApp, hari ini.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan lanjut berhubung maklumat berkenaan untuk mengenal pasti kesahihannya.

    “Sebagai langkah keselamatan, pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) juga turut meningkatkan pengawasan sempadan supaya tidak dibolosi.

    “Setakat ini, tidak ada maklumat kemasukan (banduan) ke Sabah,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Berdasarkan maklumat yang tular, banduan berbahaya dikenali sebagai Alnazar Jalilul Abdain berusia 30-an yang berasal dari Pulau Tawi-Tawi, Filipina didakwa memasuki negeri ini.

    Dia dipenjara atas kesalahan membunuh dan dikatakan melarikan diri dari Penjara Tawi-Tawi pada 26 September lalu.

    Mengikut maklumat tular itu, Alnazar dikesan bersama pengedar dadah rentas sempadan dikenali sebagai Haibin Mubin @ Apo Kuhambo @ Haibin Pantasan Hailil @ Sunding yang tersenarai sebagai individu dikehendaki ESSCOM.

    Kenyataan tular itu turut mendakwa berlaku kejadian tembak menembak antara pasukan keselamatan Filipina dengan Haibin Mubin sebelum suspek ditembak mati.

    Alnazar yang dikatakan mendapat maklumat kematian Haibin didakwa bertindak melarikan diri dengan menaiki bot menuju ke perairan Semporna.

  • Rakyat sukar terima calon Bebas-Zawawi

    Rakyat sukar terima calon Bebas-Zawawi

    SETIAUSAHA Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berpendapat, rakyat sukar untuk menerima mana-mana individu yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Jelasnya, ini kerana calon Bebas tidak dilihat akan ke mana-mana tanpa sokongan jentera sebagaimana diperoleh mereka yang bertanding atas tiket parti.

    “Sebagai ahli Parlimen saya tahu calon Bebas tidak mampu bergerak sebagaimana mereka yang bertanding atas parti.

    “Bagi saya ia mustahil tidak ada jentera, tiada apa-apa jadi sukar untuk calon Bebas,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang didakwa akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU15 ini.

    Sebelum itu, Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II merasmikan program promosi makan buah nanas segar dan agihan ayam nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan di Pasir Puteh, hari ini.

    Beliau yang juga penyandang Parlimen Pasir Puteh berkata, Pas tidak tercabar dengan tindakan Mohd Khairuddin yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

    Menurutnya, Kuala Nerus adalah kerusi Pas dan yakin kemenangan akan menyebelahi parti tersebut.

    Ujar Nik Muhammad Zawawi, tindakan tersebut juga tidak memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada Pas

    “Malah kami lihat sokongan kepada Pas lebih dari dulu. Bila kita bentuk kerajaan campuran melibatkan Pas, UMNO dan Bersatu,” jelasnya.

  • Pekerja maut dihempap jentolak di tapak pelupusan sampah

    Pekerja maut dihempap jentolak di tapak pelupusan sampah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja meninggal dunia selepas dihempap sebuah jentolak di sebuah tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat, Jalan Rumbia 4, Pasir Gudang, hari ini.

    Difahamkan semasa kejadiaan lelaki berkenaan yang berusia 51 tahun sedang bekerja di tapak pelupusan tersebut.

    Mangsa merupakan pekerja luar yang datang untuk membaiki jentolak tersebut dan semasa membaikinya, jentolak tersebut terjatuh dan menghempab mangsa.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Shahrol Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.02 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Seorang lelaki maut selepas dihempap sebuah jentolak ketika bekerja di sebuah tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini

    “Setibanya di lokasi, anggota mendapati seorang pekerja telah dihempap sebuah jentolak. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dibantu sebuah jengkaut.

    “Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Jelas beliau, operasi berkenaan tamat pada pukul 11.27 pagi.