Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘1MDB tak diurus seperti syarikat tersenarai lain’, kata saksi

    ‘1MDB tak diurus seperti syarikat tersenarai lain’, kata saksi

    BEKAS Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai memberitahu mahkamah hari ini, beliau menyedari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitannya tidak diurus seperti syarikat tersenarai lain.

    Katanya, lembaga pengarah 1MDB juga tidak terbabit dalam transaksi syarikat manakala akaun syarikat dibuka melalui penandatangan iaitu pegawai pengurusan.

    “Bagaimanapun, adalah dijangka kebenaran lembaga pengarah diperlukan apabila membabitkan urus niaga dengan jumlah yang besar,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata demikian pada sesi pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

    Swampillai turut menyatakan tidak didorong sebarang tawaran daripada mana-mana pihak sama ada di dalam atau luar negara, selain tidak meminta tawaran untuk memberikan keterangan di mahkamah.

    “Ini adalah yang benar belaka dan tidak ada apa-apa yang tidak benar,” katanya, lapor Berita Harian.

    Swampillai selesai memberi keterangan hari ini dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz akan memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan ke-45 petang ini.

    Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

  • Jadi calon PN, timbalan ketua UMNO Sungai Buloh lucut keahlian

    Jadi calon PN, timbalan ketua UMNO Sungai Buloh lucut keahlian

    KEAHLIAN Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh, Harrison Hassan dilucutkan secara automatik kerana menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, kata Presidennya, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.

    Ditanya jika Harrison pernah memohon keluar parti, katanya, beliau tidak dapat maklumat itu, tetapi hanya mendengar khabar angin dia akan bertanding atas tiket parti lain.

    “Saya sudah dengar (khabar angin) sebulan lalu, jadi saya tidak terkejut dengan perkara itu.

    “Kita hanya memerlukan ahli yang taat kepada parti, jika mereka lebih taat kepada parti lain, maka itu pilihan dibuat individu berkenaan,” katanya menurut Utusan Malaysia dalam sidang media di Putrajaya.

    Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu bertanding di 56 kerusi pada PRN Selangor.

    Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan 12 calon, diikuti Pas (17), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (lapan) dan 10 calon mewakili Bersatu-Bersekutu, iaitu satu daripada sayap Bersatu.

  • Gelombang hijau belum reda, sedia badai Pulau Pinang, Selangor, NS

    Gelombang hijau belum reda, sedia badai Pulau Pinang, Selangor, NS

    GELOMBANG hijau dan Perikatan Nasional (PN) akan terus membadai negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

    Keyakinan tersebut disebalik dakwaan kononnya gelombang gabungan tersebut semakin reda di negeri-negeri berkenaan.

    Pengerusi PN Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, selain Pulau Pinang, PN juga mampu merampas Selangor dan Negeri Sembilan berdasarkan gelombang yang cukup hebat ditunjukkan rakyat di negeri tersebut.

    Katanya, PN bukan sahaja yakin mampu menang di kerusi majoriti Melayu malah berupaya merampas kawasan majoriti masyarakat Cina yang dilihat mula beralih arah kepada gabungan berkenaan.

    “Daripada apa yang dilihat, gelombang di Selangor memang amat hebat menyokong PN dan akan memberi perubahan pada PRN nanti

    “Negeri Sembilan pula sama macam Perlis, walaupun senyap sahaja suasananya, tapi kita akan lihat perubahan gelombang menyokong PN,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Fasiliti Pelancongan Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer di Padang Besar hari ini.

    Semalam Utusan Malaysia melaporkan keyakinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi meraih kemenangan dua pertiga dalam PRN di Pulau Pinang susulan gelombang PN dikatakan semakin mengendur.

    Keyakinan itu dinyatakan oleh Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengakui meskipun PN berjaya mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun banyak perubahan telah berlaku dalam politik dan pentadbiran negara sehingga kini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Shukri yang juga Menteri Besar berkata berkata, krisis calon DAP di Pulau Pinang juga akan turut memberi kelebihan buat gabungan PN meraih kemenangan pada PRN nanti.

    Selain itu, katanya, PN juga dijangka tidak menghadapi masalah untuk menyapu bersih semua kerusi di negeri-negeri yang ditadbir sebelum ini iaitu Kedah Kelantan dan Terengganu.

  • Spekulasi anak Allahyarham Salahuddin bertanding di Parlimen Pulai

    Spekulasi anak Allahyarham Salahuddin bertanding di Parlimen Pulai

    SPEKULASI anak bongsu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Siti Fatihah akan dicalonkan bertanding di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti, setakat ini disifatkan sebagai khabar angin politik.

    Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, parti itu masih belum membuat sebarang perbincangan mengenai calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Pulai, mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    “Isu berkenaan calon dua kerusi itu tidak disentuh pada mesyuarat pimpinan Amanah Pusat yang berlangsung di ibu negara, dua hari lalu.

    “Amanah sebenarnya terbuka apabila PRK berlangsung, sudah tentu jadi tumpuan media. Pelbagai cadangan tentang calon akan ditimbulkan dalam media sosial dan menjadi perbualan hangat, namun calon akan tentukan mengikut prosedur parti,” katanya ketika dihubungi.

    Ahad lalu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

    Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah sebelumnya dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada pukul 10.15 malam Jumaat lalu, selepas mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

    Salahuddin dipilih menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal iaitu pada 2018 dan 2022, selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.

    Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Fatihah adalah anak bongsu daripada enam beradik dan merupakan seorang peguam.

    Selain itu katanya, Fatihah juga sudah terbabit dalam Wanita Muda Amanah (WARDA) di peringkat nasional.

    “Sama ada Fatihah bakal menjadi calon Amanah pada PRK nanti, buat masa ini ia hanya desas desus,” jelas bekas Exco kerajaan Johor itu.

    Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, mengikut prosedur parti, kepimpinan negeri akan menghantar senarai nama calon untuk diputuskan kepimpinan Pusat.

    “Apa-apa pun, kita ada prosedur seperti yang dilakukan mana-mana parti politik. Biasanya nama-nama calon akan diangkat daripada kawasan atau bahagian terlebih dahulu.

    “Kemudian nama calon berkenaan akan dihantar ke kepimpinan negeri sebelum ke peringkat Pusat yang kemudiannya akan memutuskan calon yang terbaik,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PRN:MB Terengganu berteka-teki pertahan atau tidak kerusi DUN

    PRN:MB Terengganu berteka-teki pertahan atau tidak kerusi DUN

    PAS terus berteka-teki mengenai latar belakang 33 calon yang akan ditampilkan bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, pada 12 Ogos depan.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi yang akan diumumkan di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di Marang malam ini.

    Menteri Besar Terengganu itu juga tidak memberi bayangan sama ada namanya kekal dicalonkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang atau dicalonkan bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

    “Insya-Allah akan ada. Tak perlu tunggu lama, malam ni dengarlah calonnya.Bagi saya, bukan urusan saya untuk lepaskan atau tak lepas (kerusi).

    “Ia adalah kehendak parti yang memberi amanah kepada saya. Apa jua tugas yang diamanahkan saya akan laksanakan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek perumahan bercampur di Kampung Alur Limbat, di Marang hari ini.

    Beliau mengutamakan hasrat dan kemahuan parti serta menerima sebarang keputusan yang akan diputuskan.

    “Saya serah kepada parti. Tak kisah letak di mana sahaja. Apa jua (keputusan) nak bertanding ke, tak bertanding ke. Apapun tunggu malam ni. ‘Grand finale’ malam ini insya-Allah.

    “Hasrat saya (letak) nombor sepuluh. Yang pertama adalah perjuangan dan kehendak parti keperluan masyarakat, kehendak negeri dan negara,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang yang diambil alih daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 6,028 undi.

    Dalam saingan tiga penjuru itu, beliau menerima 13,851 undi menewaskan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dari BN (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zarawi Sulong (729 undi).

  • ‘Minta kereta pun dapat’ reaksi pengguna media sosial selepas kerajaan umum pemberian RM100

    ‘Minta kereta pun dapat’ reaksi pengguna media sosial selepas kerajaan umum pemberian RM100

    PELBAGAI reaksi timbul di media sosial susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM100 setiap seorang kepada kira-kira 10 juta rakyat dewasa Malaysia, untuk dikreditkan dalam e-dompet mereka.

    Mereka saling memberikan pandangan dan ulasan berhubung kenyataan itu dengan rata-ratanya menyebut pemberian itu sebagai ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

    Mereka menulis komen secara terbuka menyatakan di musim pilihan raya dan kempen, pemimpin politik terutamanya pihak kerajaan akan menjadi lebih pemurah daripada waktu biasa.

    “Masa-masa macam ni, minta kereta pun PM boleh bagi,” tulis Nantha pada ruangan komen berita NST Online di Facebook.

    Sementara itu, sebahagian besar yang lain pula mempertikai jumlah RM100 yang bakal dikreditkan dengan menyelar nilai itu tidak boleh menampung kos sara hidup yang tinggi masa kini.

    Pengguna Facebook, Micheal Ham mempersoalkan apa yang boleh dilakukan dengan nilai tersebut sedangkan mata wang ringgit sekarang berada dalam tahap yang sangat merosot.

    Muhd. Aizal pula menulis komen mempersendakan nilai itu mengatakan ianya sangat banyak dan membantunya untuk memenuhkan dua troli di pasar raya.

    “Apa boleh buat dengan RM100, rasanya dalam beberapa minit dah habis. Mungkin?,” tulis Sanush Jeyaratnam.

    Ketika hadir pada pelancaran “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” di Suruhanjaya Sekuriti hari ini, Anwar berkata, penerima adalah mereka yang berpendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah, terdiri daripada mereka dalam kategori B40 dan M40.

    Bagaimanapun, pengguna media sosial membidas fakta itu mengatakan hampir semua rakyat Malaysia dilihat akan menerima manfaat tersebut kerana majoritinya tidak mempunyai pendapatan tahunan melebihi 100,000.

    “Semua rakyat Malaysia akan dapat nampaknya,” tulis Sukashiny Sandran.

    Pada perkembangan sama, terdapat juga pihak yang mengkritik pemberian itu dengan menegaskan peruntukan mencecah RM1 bilion itu tidak perlu dilaksanakan.

    Sebaliknya, Anwar dan anggota Kabinet sepatutnya memikirkan idea lain yang lebih berkualiti untuk menaik taraf kualiti kehidupan rakyat.

    “Hutang negara sudah mendekati kepada jumlah RM1.5 trilion kerana kerajaan membelanjakan terlalu banyak subsidi tahun ini.

    “Sekarang, tambahan RM1 bilion lagi untuk beri wang RM100?” tulis Zawawi Mohamed.

    Perkembangan terkini mengenai pemberian wang secara e-tunai juga menyebabkan ramai pihak membidas Anwar sebagai memberikan rasuah secara “berhemah” kepada para pengundi.

    “Kalau begini, lebih baik setiap bulan diadakan pilihan raya,” tulis Zahar Sarbini, lapor Malaysianow.

    Terdahulu, Anwar memberitahu pengumuman hari ini adalah selepas mengambil kira kejayaan program e-tunai dalam memperkasa amalan penggunaan tanpa tunai dalam kalangan rakyat di Malaysia.

  • PRN:Lau sah tanding di DUN Bayan Lepas

    PRN:Lau sah tanding di DUN Bayan Lepas

    SELEPAS tertinggal dalam senarai calon Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau disahkan akan bertanding di Bayan Lepas.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan berkata, Lau akan mewakili gabungan itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dan keputusan itu dibuat Majlis Presiden PN.

    Terdahulu, pembantu Lau, Wendy Subramaniam memberitahu FMT: “Kami ikut senarai asal PN yang dikeluarkan sebelum ini. Dominic akan bertanding di Bayan Lepas.”

    Semalam, PN Pulau Pinang mengumumkan ia akan bertanding semua 40 kerusi dalam PRN 12 Ogos ini.

    Tetapi, hanya 39 calon diumumkan, dengan calon bagi kerusi Bayan Lepas tidak didedahkan.

    Nama Lau turut tiada dalam senarai itu, walaupun beliau memaklumkan akan bertanding dalam PRN bulan depan.

    Semalam, Pas Bayan Lepas dilaporkan akan mengadakan bantahan terhadap Lau jika beliau bertanding di kerusi majoriti Melayu itu.

    Kerusi itu ditandingi Pas sejak PRU12 dan pengundi mahu calon Melayu, menurut Kosmo.

  • Pas ajak ahli lihat parti gabungan PN sebagai kawan, bukan musuh

    Pas ajak ahli lihat parti gabungan PN sebagai kawan, bukan musuh

    PAS sekali lagi mengingatkan ahli dan pemimpinnya agar walak kepada keputusan parti dan tidak melawan arahan.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ahli dan kepemimpinan parti itu tidak seharusnya menentang keputusan parti sama ada pihak yang disokong dicalonkan atau sebaliknya dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

    “Parti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin demi mempastikan PN mencapai kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ia muncul sejurus selepas media melaporkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau disahkan menjadi calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

    Bayan Lepas merupakan satu daripada tiga kerusi DUN yang diletakkan di bawah kawasan parlimen Balik Pulau.

    Semua DUN terbabit menyaksikan sekurang-kurangnya 65 peratus daripada pengundi adalah orang Melayu.

    Semalam beberapa ketua cawangan Pas Bayan Lepas menyatakan kemarahan mereka apabila Lau bakal menjadi calon PN di kawasan itu ketika mereka sebenarnya mahukan setiausaha badan perhubungan parti terbabit, Iszuree Ibrahim, sebagai wakil.

    Malah salah seorang anggota Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya Pas Pulau Pinang mengecam Lau sebagai bacul dan penakut kerana mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu sedangkan calon lain dari Gerakan dibiarkan berdepan dengan DAP di kawasan Cina.

    Ajak perkukuhkan saf

    Ketika majlis pengumuman calon-calon Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang berlangsung malam tadi, nama untuk Bayan Lepas tidak diuar-uarkan, namun nama Lau ada dalam senarai yang diedarkan kepada media.

    Kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, Iszuree dilihat mengemas kini hantaran Facebook dengan membayangkan kepasrahannya selepas ‘disailang’ dua kali.

    Beberapa jam kemudian beliau kemudian berkongsi klip video TikTok mengenai bantahan ketua-ketua cawangan Pas Bayan Lepas.

    Kelmarin nama Lau dikaitkan dengan kerusi DUN Teluk Air Tawar dan Permatang Berangan juga bermajoriti Melayu yang terletak di bawah parlimen Tasek Gelugor.

    Bagaimanapun pemimpin Pemuda Pas kawasan terbabit memberi amaran kepada Lau agar tidak ‘bermain api’ dan membatalkan hajatnya untuk bertanding di situ.

    Awal petang ini Lau mengesahkan kepada Malaysiakini yang dia sudah dimuktamadkan menjadi calon PN di Bayan Lepas.

    Tuan Ibrahim berkata, Pas sudah memuktamadkan senarai calon yang akan mewakili PN dalam PRN tidak lama lagi dan semua pihak terikat kepada peraturan parti.

    Dia juga menjelaskan Pas membuat keputusan mengenai penggunaan logo Pas atau PN yang akan digunakan nanti.

    “Harus diingatkan, sebagai satu team kita mesti melihat gabungan sebagai kawan bukan musuh, manakala perbezaan pandangan perlu dirujuk kepada pimpinan tertinggi parti.

    “Marilah kita perkukuhkan saf, rapatkan hubungan dengan semua pendukung PN demi mencapai kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya.

  • ‘Makan berlaukkan keropok, ayah berhutang beli susu’ – Anak Salahuddin

    ‘Makan berlaukkan keropok, ayah berhutang beli susu’ – Anak Salahuddin

    ANAK kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berkongsi kesusahan yang pernah dialami menjadi pendorong kuat kepada arwah bapanya bekerja keras sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan rakyat tidak kelaparan.

    Fatihah menerusi muat naik dalam Facebook miliknya hari ini berkata, mereka sekeluarga pernah makan hanya berlaukkan keropok, malah bapanya pernah berhutang membeli susu di kedai Cina untuk mereka adik-beradik yang masih kecil.

    “Terpahat di memori apabila ayah bawa kami lima beradik naik motosikal pergi kedai untuk belanja kami jajan dan aiskrim. Selalunya kalau ayah tiada di rumah, kami hanya dapat 30 sen untuk belanja jajan daripada emak.

    “Kami juga pernah merasai makan berlaukkan keropok tanpa protein seperti daging dan ayam. Pernah juga mak cerita pada kami ayah terpaksa hutang susu dengan ‘apek’ kedai masa kami masih kecil. Mungkin itulah antara yang mendorong ayah bekerja keras untuk memastikan rakyat tidak lapar,” ujarnya yang merupakan seorang peguam.

    Fatihah turut berkongsi luahan bapanya yang mahu dijemput ‘pergi’ ketika sedang bekerja yang akhirnya dimakbulkan Allah SWT apabila Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Ahad lalu ketika dalam tugasannya di Kedah.

    “Dua bulan lepas, ayah ada ajak makan masa itu dengan Datuk Mohd Azis Jamman. Kebetulan ketika itu, kami berbual kenapa ahli politik sukar untuk pencen. Ayah secara spontan jawab ‘ahli politik tak boleh pencen. Kalau dia pencen, otak dia tak gerak tak tahu nak fikir apa, sebab itu saya selalu berdoa kalau saya pergi, biarlah dalam keadaan saya bekerja begini’. ‘Little did I know that came true this soon and too soon’, ayah (tanpa saya ketahui yang doa ayah ini menjadi kenyataan dengan cepat),” katanya.

    Fatihah berkata, arwah bapanya seorang yang lembut dan mendekati setiap anaknya seorang demi seorang untuk mengetahui perkembangan pembelajaran dan masalah dihadapi mereka.

    “Ayah memang lembut. Jarang marah kami adik-beradik. Masa kami meningkat remaja ke dewasa ayah lebih banyak guna pendekatan ‘slow talk’. Ayah selalu panggil kami bergilir-gilir masuk ke bilik supaya dia boleh ‘one to one’ dengan kami. Selalunya kami agak cuak apabila sesi begini berlaku sebab selalunya ia berlaku apabila kami buat masalah.

    “Tetapi tidak, kadang-kadang dia hanya bertanya ‘belajar semua macam mana? Ok?”. Selalunya dia akan selit untuk titip nasihat selepas itu. Mungkin kerana dia jarang berada di rumah dan masa itulah dia guna untuk nasihatkan kami untuk tidak menyusahkan emak,” katanya.

    Fatihah berkata, keakrabannya mereka terbukti apabila arwah bapanya itu menangis kali pertama di hadapannya pada lima tahun lalu.

    “Masa 5 tahun lepas, pernah sekali ayah panggil saya masuk bilik dan ayah menangis sebab ayah ada masalah ketika itu. Itulah kali pertama saya lihat ayah menangis dan itulah kali pertama saya yang menjadi pendengar ayah. Kemudian ada sekali kami berdua menangis kerana saya mengadu masalah kepada dia. Begitulah ayah. Pendengar yang sangat baik dan sentiasa menitip nasihat buat anaknya yang ada ketika begitu keras.

    “Ayahlah pelembut hati saya ketika yang lain tidak boleh melembutkan saya. Ayahlah yang banyak mengajar saya bersabar, untuk mengawal kata-kata, untuk lebih memilih diam ketika marah,” katanya.

    Fatihah memberitahu, arwah bapa dan ibunya juga mendidik mereka adik-beradik membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan yang dibuat.

    “Ayah dan emak mendidik kami membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan sendiri. Pernah sekali saya keliru untuk tukar bidang pengajian ke bidang kaunseling. Ayah cakap kalau tukar ‘course’ (kursus pengajian) nanti tak dapat jadi peguam, tapi fikirlah yang mana-mana baik,” katanya.

    Fatihah menjelaskan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah medan pertama dan terakhir buatnya menjadi pengurus kempen bagi arwah bapanya itu.

    “Little did I know that PRN-15 and PRU-15 would be the first and last (tanpa saya ketahui PRN-15 dan PRU-15 menjadi yang pertama dan terakhir) sebagai ‘campaign manager’ (pengurus kempen) ayah. Tiada lagi berceramah sepentas dengan ayah masa kempen. Tiada lagi ceramah untuk ayah masa pilihan raya. Tiada lagi tugas untuk sediakan soalan bagi pertanyaan jawab lisan untuk sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Tiada lagi tugas menguruskan borang calon ayah.

    “Tiada sudah tempat untuk diri ini mengadu ketika tiada yang mendengar, tiada sudah titipan nasihat daripada ayah, tiada sudah ‘slow-talk’ dan ‘heart to heart’ session (sesi hati ke hati) dengan ayah.

    “Berehatlah ayah. Tugasmu sudah selesai. Amanah yang ayah pikul sudah dilunaskan sebaiknya. Ayah terlalu penat lalu meninggalkan kami,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Bekas timbalan pengarah kanan DBKL bersalah atas 2 tuduhan rasuah

    Bekas timbalan pengarah kanan DBKL bersalah atas 2 tuduhan rasuah

    PIHAK pendakwaan berjaya dalam rayuannya selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mendapati bekas timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersalah atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

    Sebelum ini, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Sabudin Mohd. Salleh daripada pertuduhan itu sebelum pendakwaan menfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Hakim, K. Muniandy, memutuskan perkara berkenaan selepas mendapati Hakim, Rozina Ayob, membuat kesilapan dan tersilap arah apabila membebaskan tertuduh pada akhir kes pembelaan.

    “Atas sebab itu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk membenarkan rayuan itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

    “Dengan ini, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman atas pertuduhan terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun, hakim menetapkan 15 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman.

    Pada 2 Jun lalu, pihak pendakwaan menegaskan bahawa Mahkamah Sesyen keliru dengan dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja yang dihadapi Sabudin.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dilaporkan berkata, hakim perbicaraan kemudian menyalahkan pendakwaan kerana gagal menunjukkan bahawa terdapat keperluan bagi Sabudin untuk meminta rasuah daripada saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan iaitu subkontraktor kepada syarikat Dusari Niaga.

    Peguam, K. Theivaendran mewakili Sabudin pula berkata, Mahkamah Sesyen sudah membuat dapatan yang betul ketika membebaskan anak guamnya berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi.

    Pada 15 September 2022, Sabudin menitiskan air mata selepas kali kedua dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

    Keputusan itu dibuat Hakim, Rozina Ayob, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya mematahkan serta menyangkal kes pendakwaan dengan memberikan penjelasan yang jujur.

    Pada 4 Julai tahun lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil lima saksi termasuk Sabudin untuk memberi keterangan pada prosiding bermula 12 Mei lalu.

    Pada 24 Mac tahun sama, Mahkamah Tinggi memerintahkan Sabudin membela diri atas dua pertuduhan itu, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Disember 2020, yang melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan itu.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa memperoleh suapan wang tunai RM200,000 daripada Wong May Kuan.

    May Kuan adalah subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk DBKL Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)’ sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.