Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bukan bermaksud tak peduli risiko banjir – Pemuda Pas jawab Asyraf

    Bukan bermaksud tak peduli risiko banjir – Pemuda Pas jawab Asyraf

    KESIAPSAGAAN Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah bermaksud gabungan itu tidak ambil peduli mengenai risiko bencana banjir.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PN perlu bertanding selepas Parlimen dibubarkan.

    “Dia begini bos, apabila gelanggang dibuka, takkanlah kami tidak masuk, mustahil hendak bagi menang percuma, lagipun belum tentu BN boleh menang kali ini. Soal banjir, kerajaan negeri siap sedia. Menteri Besar kami tidak bertanding pun, jangan bimbang. Soal pilihan raya, kami juga siap sedia,” kata beliau melalui Facebook miliknya hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini menempelak PN kerana dilihat lebih mengutamakan isu pilihan raya meskipun pernah menentang PRU-15 diadakan pada tahun ini.

    Ahmad Fadhli juga mengingatkan kepada anak muda membuat penentuan terbaik bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil.

    ”Yang stabil sahaja tapi tidak bersih, akan menghancurkan negara. Stabil, tapi duit negara hilang, stabil tapi tanah rizab Melayu menyusut, stabil tapi kawasan Parlimen untuk negeri Melayu lebih sedikit, ini di zaman siapa? Bersih, tapi tidak stabil juga belum cukup, kita tawarkan bersih dan stabil. Jangan bimbang, kita lawan cara sihat,” katanya.

  • Bayi baru lahir ditinggalkan dalam kotak di hentian bas

    Bayi baru lahir ditinggalkan dalam kotak di hentian bas

    PENDUDUK di sekitar Jalan SB Indah 2, Seri Kembangan gempar apabila seorang bayi lelaki dipercayai dibuang di hentian bas berhampiran sebuah pangsapuri di Serdang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, bayi berkenaan dipercayai baru sahaja dilahirkan sebelum ditinggalkan di hentian bas terbabit.

    “Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima maklumat daripada MERS 999 Call Cars hari ini di mana pengadu seorang lelaki tempatan memaklumkan telah menjumpai seorang bayi.

    “Siasatan awal mendapati bayi lelaki berkenaan ditinggalkan dalam sebuah kotak berwarna coklat di hentian bas berhadapan Pangsapuri Sungai Besi Indah, Seri Kembangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, usaha mengesan individu yang meninggal bayi malang terbabit di hentian bas berkenaan sedang giat dijalankan pihaknya.

    “Usaha untuk mengesan saksi bebas serta kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran sedang dijalankan.

    “Bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Mahkamah tolak saman fitnah Sultanah Terengganu terhadap Rewcastle Brown

    Mahkamah tolak saman fitnah Sultanah Terengganu terhadap Rewcastle Brown

    MAHKAMAH tinggi menolak saman fitnah yang difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Kien How @ Johan Abdullah berkata, kenyataan dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ bukannya fitnah.

    “Pada pendapat saya, reputasi plaintif tidak terjejas,” katanya dalam keputusan lisan yang disampaikan dalam talian petang ini, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Kenyataan yang disangkal itu berbunyi: “(Ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) juga baik dengan pemain utama di Terengganu, isteri sultan, yang persetujuannya diperlukan untuk menubuhkan dana itu dan baginda kemudiannya mengatakan sokongannya penting untuk beliau mendapat jawatan penasihat.”

    Hakim turut memerintahkan kos sebanyak RM80,000 dibayar kepada Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.

  • PRU-15: Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau kerusi panas di Pulau Pinang

    PRU-15: Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau kerusi panas di Pulau Pinang

    TIGA kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu masing-masing Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau dikenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga kawasan itu dikenal pasti berdasarkan insiden-insiden yang berlaku ketika PRU-14.

    Pada PRU-14 lalu jelas beliau, terdapat insiden yang mana pihak-pihak tertentu cuba menahan kenderaan polis dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) di kawasan berkenaan.

    “Sehubungan itu, kita berharap insiden seumpama itu tidak berlaku pada PRU-15 akan datang.

    ”Buat masa ini berdasarkan risikan kita juga, tidak ada maklumat yang menyatakan tempat-tempat ini akan berlaku situasi seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, menjelang PRU-15 juga polis Pulau Pinang telah membahagikan penugasan pilihan raya kepada dua skop termasuk melibatkan penugasan yang dipohon oleh SPR.

    Selain itu jelas beliau, polis juga bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyat terjamin bermula daripada tempoh penamaan calon hingga sehinggalah ketika keputusan PRU-15 diumumkan.

    Mengulas lanjut ujarnya, seramai 4,514 anggota dan pegawai polis iaitu 73.51 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota kontinjen PDRM Pulau Pinang turut ditugaskan sepanjang PRU-15.

    ”PDRM Pulau Pinang di peringkat daerah dan kontinjen juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan perincian penugasan dengan pihak SPR.

    “Selain itu, kita juga akan mengadakan pertemuan dengan semua calon atau wakil calon PRU-15 bagi menjelaskan berhubung peraturan serta undang-undang pilihan raya yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

    Dalam masa ujar beliau, polis Pulau Pinang turut memohon bantuan Bukit Aman untuk memaklumkan sekiranya terdapat laman-laman web yang menyebarkan maklumat palsu atau melakukan provokasi.

    ”Kepada penyokong parti saya menyeru supaya berkempen dengan matang serta mengawal emosi dan mengelak daripada melakukan provokasi kepada mana-mana pihak,” katanya.

  • Wisma Putra siasat dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban pada pesta Halloween di Korea

    Wisma Putra siasat dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban pada pesta Halloween di Korea

    KEMENTERIAN Luar sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Republik Korea, bagi memastikan kesahihan berkaitan dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban dalam insiden rempuhan pada pesta Halloween di Itaewon, Seoul, Korea Selatan, Sabtu lalu.

    Jurucakap Wisma Putra berkata, setakat ini pihaknya sedang mengesan kesahihan dakwaan mengenai rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden ini seperti tular dalam media sosial.

    “Perkembangan lanjut dakwaan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lapor Berita harian Online.

    Terdahulu, tular dakwaan mengatakan seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden itu.

    Dakwaan yang dimuat naik di media sosial itu mendakwa seorang lelaki berusia 21 tahun yang bekerja di syarikat pembinaan turut maut dalam insiden berkenaan.

    Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya melalui Kedutaan Malaysia di Seoul akan terus memantau situasi itu.

    Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular supaya berhubung dengan pihak kedutaan melalui talian +821089748699.

    Sementara itu, seramai 19 daripada 153 yang terkorban dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, manakala 82 lagi dilaporkan cedera.

  • Sukan, media sosial senjata PN pikat pengundi muda

    Sukan, media sosial senjata PN pikat pengundi muda

    SUKAN dan media sosial akan menjadi ‘senjata’ Perikatan Nasional (PN) Perlis untuk mendekati kelompok pengundi pertama yang berusia antara 18 hingga 20 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Pemuda PN Perlis, Asrul Aimran Abdul Jalil berkata, gabungan parti itu sejak awal telah membuat persediaan rapi dengan merancang pelbagai program bersasar untuk menarik golongan pengundi muda.

    “Antara perkara yang kita telah buat sejak awal adalah (menganjurkan) program menarik anak muda dekat dengan kita (PN) seperti program kesukanan, permotoran seperti hari ini.

    “Program-program ini telah menarik ramai anak muda bersama kita. Kita harapkan inilah anak-anak muda yang akan membawa suara kita, apa yang kita hasratkan dan inginkan untuk memenangkan PN.

    “Mereka ini adalah duta yang akan membawa orang lain bersama PN,” katanya selepas menghadiri Program Gegar Anak Muda Perlis (Gema Perlis Baharu) di Denai Larian, Pengkalan Asam, Perlis memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Asrul Aiman, penggunaan media sosial juga akan menjadi strategi utama PN untuk mendekati pengundi muda.

    “Berdasarkan dua PRN (Pilihan Raya Negeri) sebelum ini menunjukkan sumber utama kempen anak muda ini adalah media sosial.

    “Jadi kita akan mengoptimumkan penggunaan media sosial ini melalui platform Tiktok, Instragram, Twitter dan Facebook untuk menarik lebih dekat terhadap kita” ujarnya.

  • Khairy sedia tanding Sungai Buloh atau di mana-mana sahaja

    Khairy sedia tanding Sungai Buloh atau di mana-mana sahaja

    PENYANDANG kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sedia untuk dicalonkan di mana-mana kawasan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Reaksi Khairy itu dizahirkannya susulan spekulasi yang menyebut dan dilaporkan di media beliau akan dicalonkan di kerusi Sungai Buloh.

    “Semua keputusan berkenaan calon PRU-15 akan diumumkan tidak lama lagi, kita tunggulah.

    “Saya terima mana-mana kawasan yang diberikan kepada saya,” katanya ringkas dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, media memetik kenyataan sumber yang mendakwa Sungai Buloh mungkin kerusi yang sukar untuk Khairy, tetapi percaya populariti beliau sebagai Menteri Kesihatan akan memberi kelebihan.

    Sebelum ini, Khairy mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

  • Pakai pelitup muka ketika kempen, ziarah rumah ke rumah

    Pakai pelitup muka ketika kempen, ziarah rumah ke rumah

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta pemakaian pelitup muka diamalkan ketika kempen parti politik pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mengekang penularan Covid-19.

    Katanya, orang politik perlu menunjukkan teladan yang baik dengan memakai pelitup muka terutama ketika berkempen dari rumah ke rumah atau melawat orang sakit serta warga emas.

    Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan kempen pilihan raya akan membabitkan lawatan rumah ke rumah.

    “Apabila masuk ke kawasan yang sesak, pakai pelitup muka. Kalau kita adakan ceramah di dalam satu dewan dan dewan sudah penuh, parti politik dan penganjur digalakkan membuat pengumuman untuk hadirin memakai pelitup muka.

    “Ini adalah langkah yang perlu diulangi dan dilaksanakan. Kita mahu pilihan raya dijalankan dengan tidak ada terlalu banyak sekatan tetapi pada masa sama kita galakkan gunalah nasihat yang memang sudah wujud dari KKM (mengenai pencegahan penularan Covid-19),” katanya memetik laporan BH Online.

    Pada masa sama, beliau berkata, pandangan KKM mengenai prosedur operasi standard (SOP) membabitkan hari mengundi sudah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya proses pengundian dapat dijalankan dengan selamat.

    Beliau berkata, calon dan pengundi yang disahkan positif dibolehkan mengundi dan SPR akan mengumumkan peraturan yang perlu dipatuhi mereka yang dijangkiti.

    Namun, katanya, calon yang positif sewaktu kempen sedang berjalan dinasihati untuk berada dalam isolasi untuk beberapa hari.

    “Anda masih boleh berkempen secara dalam talian. Cadangan juga diberikan untuk petugas dan pengundi memakai pelitup muka ketika berada di pusat pengundian,” katanya.

  • ‘Pembelaan tidak boleh sertai prosiding cabar kredibiliti saksi’

    ‘Pembelaan tidak boleh sertai prosiding cabar kredibiliti saksi’

    PASUKAN pembelaan yang mewakili Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhujah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa pembelaan tidak boleh menyertai prosiding untuk mencabar kredibiliti saksinya.

    Ia membabitkan saksi ketiga pembelaan, Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna (M) Sdn Bhd, Jefri Jamil, 38.

    Ketika membantah prosiding mencabar kredibiliti saksi itu yang didakwa memberikan keterangan bercanggah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, tindakan itu tidak boleh diambil selagi dokumen yang dipertikaikan tidak dinyahklasifikasi.

    Menurutnya, kenyataan yang diberikan saksi itu ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 lalu, diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan perlu dinyahklasifikasi terlebih dahulu.

    “Ini boleh dianggap melanggar undang-undang jika memiliki atau melihat dokumen berkenaan.

    “Selepas dokumen itu dinyahklasifikasi, barulah pihak pembelaan boleh mengambil bahagian dalam prosiding ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Susulan itu, beliau berkata, pembelaan tidak boleh mengambil bahagian kerana dokumen kenyataan Jefri sebanyak tiga muka surat itu, masih tertakluk di bawah OSA.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberi hujah bahawa dokumen yang diklasifikasikan bawah OSA masih boleh dikemukakan di mahkamah bagi prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi.

    Menurutnya, ia tidak boleh menyebabkan pembelaan bertanggungjawab terhadap perkara yang boleh melanggar peruntukan undang-undang.

    “Ini adalah prosiding kehakiman, saya adalah penjawat awam, begitu juga Yang Arif.

    “Kami tidak diberi kebenaran untuk menyahklasifikasikan dokumen itu, tetapi akan menimbangkan untuk meneliti perkara berkenaan,” katanya selepas dicadangkan oleh mahkamah.

    Pada 22 September lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan pendakwaan untuk memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi ketiga pembelaan yang didakwa memberikan keterangan bercanggah.

    Sequerah memutuskan demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

  • “Allah pilih saya urus situasi paling sukar rakyat, negara” – Muhyiddin

    “Allah pilih saya urus situasi paling sukar rakyat, negara” – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin yakin dan percaya Allah memilihnya menjadi Perdana Menteri (PM) kelapan pada 2020 lalu untuk menangani situasi paling sukar pernah dihadapi rakyat dan negara, khususnya berkaitan pandemik Covid-19 dan ekonomi.

    Beliau sendiri tidak pernah bermimpi untuk menjadi PM dan tidak melakukan perancangan untuk menduduki jawatan nombor satu negara itu sebelum ini, terutama ketika berada di dalam UMNO.

    “Kalau UMNO siapa nak jadi presiden lepas tu jadi Perdana Menteri… saya duduk kat situ dulu kan… saya tahu… atau pun membuat satu pelan… tidak ada…

    “… yang lepas kalau dah kata, Allah takdirkan jadi maka jadi lah… atas sebab mungkin kerana Dia hantar saya… untuk menguruskan satu situasi yang sukar… lepas selesai… boleh berehat,” katanya merujuk kepada ayat 137 surah Al-Baqarah yang bermaksud “Dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: “Jadilah”, maka jadilah ia.”

    Untuk rekod, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM kelapan pada 1 Mac 2020, setelah Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi PM kali kedua pada 2018 meletak jawatan.

    Ketika itu, Muhyiddin berdepan cabaran paling besar dalam sejarah seorang PM Malaysia apabila perlu menguruskan wabak Covid-19, yang turut melanda seluruh dunia. Wabak itu juga menjejaskan ekonomi negara.

    Beliau terpaksa membuat beberapa keputusan sukar, termasuk menutup sempadan negara dan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghalang rakyat untuk keluar bekerja dan mencari rezeki.

    Baginya, nyawa rakyat lebih penting, namun pada masa sama kerajaan pimpinan beliau tidak melupakan kesusahan rakyat, sebaliknya memberi bantuan wang tunai serta bakul makanan bernilai ratusan bilion ringgit.

    Mengulas lanjut dalam temu bual eksklusif bersama Utusan TV, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata dalam soal masa depan negara, banyak sebab dan keperluan yang mesti dilakukannya, khususnya dalam usaha memulihkan ekonomi.

    Muhyiddin yang diletakkan sebagai calon PM sekiranya PN memenangi PRU-15 pada 19 November depan berkata, negara memerlukan anjakan besar untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang kritikal.

    “Saya tidak mahu pertikai keupayaan rakan-rakan sebelah sana, siapa bakal calon Perdana Menteri.

    “Tidak adil untuk saya katakan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak layak, Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak layak, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak layak…. mereka layak.

    “Namun bagaimana mereka mahu menyelesaikan masalah? Seberapa pantas anda selesaikan? Lima tahun? Tak mungkin. Paling lama kita ada kira-kira dua tahun… boleh anda lakukan.

    “Dan yang keduanya adakan anda tahu berkaitan kedudukan kewangan kerajaan… nak buat… duit kat mana… nak curi macam 1MDB?… jangan… berdosa besar… (jadi) bagaimana?” katanya.

    “Jadi kita mesti tahu dasar fiskal kerajaan, kewangan negara, bagaimana perolehan kerajaan dihasilkan… apa yang perlu dilakukan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi….

    “Saya sudah melalui banyak pilihan raya… dulu memang dilaung-laungkan BN menang… BN menang… tapi kali ini (dalam keadaan negara sekarang) jika BN menang, negara akan merudum jatuh,” katanya.