Author: Wartawan WartaRakyat

  • Shuib Sepahtu ‘restu’ ayah masuk Pas

    Shuib Sepahtu ‘restu’ ayah masuk Pas

    BAPA kepada pelawak, pelakon dan penyampai radio, Shuib menyertai parti Pas selepas lebih dua tahun terlibat dalam aktiviti kebajikan parti tersebut.

    Muhamad Arshad, 65, sebelum ini merupakan Setiausaha UMNO Cawangan Parit Haji Ali dan telah bersama parti itu sejak lebih 30 tahun.

    Ketika ditemui, Muhamad berkata, keputusannya untuk menyertai Pas dibuat kerana berasakan gerak kerja jentera parti itu dalam hal kebajikan rakyat terutama di kawasan Bagan Serai, ‘kena’ dengan jiwanya.

    “Kesempatan ini memberi saya lebih ruang untuk sama-sama terlibat dan menyumbang serta membantu komuniti setempat yang dalam kesusahan.

    “Semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, saya banyak ikut Pas beri sumbangan kampung ke kampung, sampaikan bantuan banjir dan bantu dapatkan keperluan orang susah.

    “Nampak kelompok dalam Pas ini sangat akrab, sebab itu saya buat keputusan sertai Pas supaya dapat bantu lebih ramai lagi,” katanya.

    Dia ketika ditemui pemberita pada Majlis Munajat Perdana dan Pelancaran Calon Pas di Parlimen Bagan Serai di Tapak Pasar Alor Pongsu di Bagan Serai, lapor Sinar Harian hari ini.

    Borang keahlian Muhamad telah diserahkan kepada Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

    Bekas tentera berpangkat koperal itu memaklumkan, keputusannya menyertai Pas telah dimaklumkan kepada anaknya, Shuib dan diterima baik.

    “Shuib tahu. Dia tidak kisah dan mengatakan terpulanglah kepada saya.

    “Selama ini pun mana-mana bantuan yang saya sampaikan kepada penduduk, datangnya daripada dia juga,” katanya.

    Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad yang sebelum ini dikenali sebagai pelawak dan pelakon telah menjadi antara figura usahawan berjaya serta sebelum ini menganggotai Sepahtu.

    Beliau memilih untuk berbakti semula kepada masyarakat menerusi Yayasan Bubble Bee yang ditubuhkan sejak lebih enam bulan lalu.

  • PRU-15: Buat penilaian secara matang

    PRU-15: Buat penilaian secara matang

    PENGUNDI muda di negara ini khususnya mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun dan kali pertama mengundi perlu matang dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui negara.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd. Rais berkata, golongan muda boleh membuat penilaian berdasarkan senario politik semasa dan mampu memilih calon yang selayaknya diundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Walaupun baru kali pertama mengundi mereka adalah golongan terpelajar, akan dapat melihat sendiri sama ada calon dari parti mana yang patut mereka pilih.

    “Pengundi juga harus bijak memilih calon yang mempunyai ‘track record’ yang baik serta mampu membela nasib mereka pada masa akan datang.

    “Inilah peluang untuk mereka memilih calon yang prihatin dalam membela nasib mereka pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor portal Bersatu.

    Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pengundi tidak mudah terperangkap dan terpedaya dengan propaganda serta pembohongan yang disebarkan.

    “Dalam dunia media sosial pasti timbul banyak berita tidak benar jadi pengundi perlu semak kesahihannya terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan untuk percaya atau tidak,” kata beliau.

    Proses pengundian pada PRU-15 kali ini menyaksikan kira-kira 21 juta pemilih berdaftar bakal memilih wakil mereka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

  • Ringgit merudum, rakyat terpaksa tanggung kesan, kata Muhyiddin

    Ringgit merudum, rakyat terpaksa tanggung kesan, kata Muhyiddin

    KELEMAHAN ringgit akan mempengaruhi kehidupan pengguna apabila mereka dibebankan dengan kenaikan harga akibat peningkatan kos import yang lebih tinggi, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurutnya, walaupun itu bukan satu situasi yang unik kepada Malaysia, kerajaan harus mengakui bahawa ringgit yang lemah, mempunyai implikasi yang serius kepada ekonomi.

    “Ringgit yang lebih lemah juga akan menyebabkan kos import terutamanya makanan menjadi lebih tinggi dan kenaikan harga akan dibebankan kepada pengguna.

    “Mereka dalam bidang perkilangan yang mengimport bahan mentah dari luar negara juga turut merasai keperitan, apatah lagi mereka yang mempunyai anak lelaki atau perempuan belajar di luar negara.

    “Walaupun keadaan ekonomi semasa dan daya tahan perniagaan kita mungkin dapat menahan kesan inflasi yang tinggi dan kelemahan ringgit ini, tetapi untuk berapa lama? Tekanan inflasi dan ringgit yang lemah digabungkan boleh menghapuskan keuntungan yang kita perolehi dalam tahun pemulihan,” katanya dalam wawancara bersama media baru-baru ini.

    Untuk rekod nilai ringgit jatuh lagi setelah urusniaga ditutup jam 6 petang semalam (3 November 2022), kali ini ke paras terendah dalam sejarah apabila mencatat 4.7425 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

    Nilai terendah pernah dicatat sebelum ini ialah pada Jumaat, 21 Oktober 2022, apabila menjunam 110 mata asas kepada 4.7380 berbanding satu dolar AS. Paras ini mengatasi catatan 4.7250 pada 7 Januari 1998, ketika krisis kewangan Asia.

    Ketika urus niaga dibuka pagi ini (4 November), ringgit kekal diniagakan pada 4.7425 berbanding dolar, sama seperti ditutup semalam.

    Kejatuhan nilai mata wang tempatan itu dikatakan kesan daripada tindakan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 75 mata asas (bps), selain kekukuhan mata wang dolar itu sendiri.

    Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berpendapat pelebaran spread yang berterusan antara Kadar Dana Persekutuan (FFR)-Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh membawa kepada kelemahan ringgit selanjutnya.

    Ia berkata pelebaran spread FFR-OPR, yang meningkat daripada +63 mata asas (bps) kepada +113 mata asas, pada umumnya negatif untuk FBM KLCI (korelasi -58 peratus) dan berpotensi menyebabkan ringgit terus lemah.

    HLIB menjangkakan pergerakan dolar AS berbanding ringgit berpurata pada 4.44 untuk tahun ini dan 4.80 pada akhir tahun.

    Menjawab soalan, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan berkata apabila memasuki 2022, kerajaan yakin ia akan menjadi tahun pemulihan dan terbukti dengan pertumbuhan separuh pertama ialah 6.9 peratus dan pertumbuhan suku kedua kami ialah 8.9 peratus, yang tertinggi di Asia Tenggara.

    “Sekali lagi, angka-angka ini adalah susulan dasar ekonomi yang telah diambil sejak Mac 2020, kami dipengaruhi oleh isu-isu global terutamanya perang di Ukraine, yang telah mengganggu rantaian bekalan global dan membawa kepada pengetatan dasar monetari di negara maju.

    “Ini membawa kepada penurunan ringgit dan juga kenaikan kadar dasar semalam (OPR) berturut-turut oleh BNM.

    “Tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah ini akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi. Kita harus ingat bahawa inflasi dikatakan sebagai cukai tambahan kepada golongan miskin dan seterusnya menjejaskan kuasa perbelanjaan memandangkan pertumbuhan gaji kita akan terjejas.

    “Ia juga akan memberi kesan kepada kos pinjaman dan pelaburan,” katanya, lapor Agendadaily.

  • PN Perlis sasar menang sembilan kerusi DUN

    PN Perlis sasar menang sembilan kerusi DUN

    PERIKATAN Nasional (PN) Perlis menyasarkan menang sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, kemenangan itu akan membolehkan PN membentuk kerajaan negeri baharu yang kukuh.

    “Kemenangan kerusi DUN yang ‘solid’ akan memudahkan gabungan parti itu untuk merancang dan melaksanakan semua manifesto jika diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

    “Banyak kajian dibuat mendapati tiada parti yang boleh berdikari selepas pilihan raya ini. Kita akan tunggu keputusan Pusat, sama ada terdapat keperluan untuk penyatuan (kerajaan campuran) mentadbir Perlis.

    “Secara peribadi, seboleh-bolehnya tidak mahu dengan PH (Pakatan Harapan). Kita harap rakyat dapat memberi sokongan kepada PN untuk mentadbir negeri,” katanya selepas Majlis Perisytiharan Calon PRU15 Peringkat Nasional Negeri Perlis, lapor portal Bersatu, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Shukri menafikan kekosongan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang dan Sena mempunyai kaitan dengan penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

    “Saya ada berjumpa dengan beliau tetapi kami tiada apa-apa rundingan dengan Zahidi,” ujarnya.

    Terdahulu, Mohd. Shukri mengumumkan 16 calon PN pada PRU-15 manakala calon kerusi DUN Sena dan Kayang akan diumumkan hari ini.

    Pengumuman itu juga mengesahkan Datuk Seri Shahidan Kasim akan bertanding kerusi Parlimen Arau menggunakan tiket PN.

    Menurutnya, 15 calon PN akan bertanding di DUN dan daripada jumlah itu, lapan kerusi diperuntukkan kepada Pas manakala tujuh kerusi adalah untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Senarai calon PN Perlis bagi PRU-15:

    P001 Parlimen Padang Besar
    Datuk Rushdan Rusmi (Pas)

    N01 Titi Tinggi
    Izizam Ibrahim (Bersatu)

    N02 Beseri
    Haziq Asyraf Dun (Pas)

    N03 Chuping
    Saad Seman (Pas)

    N04 Mata Ayer
    Wan Badariyah Wan Saad (Pas)

    N05 Santan
    Azmir Azizan (Pas)

    P002 Parlimen Kangar
    Zakri Hassan (Bersatu)

    N06 Bintong
    Fakhrul Anwar Ismail (Pas)

    N07 Sena
    Akan diumumkan

    N08 Indera Kayangan
    Pramoot a/l Puan (Bersatu)

    N09 Kuala Perlis
    Abu Bakar Hamzah (Bersatu)

    N10 Kayang
    Akan diumumkan

    P003 Parlimen Arau
    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN)

    N11 Pauh
    Megat Hashirat Hassan (Bersatu)

    N12 Tambun Tulang
    Wan Zikri Afthar Ishak (Bersatu)

    N13 Guar Sanji
    Redzuan Hashim (Pas)

    N14 Simpang Empat
    Razali Saas (Pas)

    N15 Sanglang
    Mohd Shukri Ramli (Pas)

  • PRU-15: PN Perak umum bertanding di 59 kerusi DUN

    PRU-15: PN Perak umum bertanding di 59 kerusi DUN

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak hari ini mengumumkan akan bertanding di kesemua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Setiausaha PN Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata Bersatu akan bertanding di 26 kerusi manakala PAS dan Gerakan masing-masing di 24 dan sembilan kerusi.

    Beliau berkata Bersatu mengemukakan tiga muka baharu iaitu di DUN Chenderiang, Tualang Sekah dan Chenderoh.

    “Calon-Calon (PN) adalah gabungan pelbagai peringkat usia termasuk yang termuda berusia 25 tahun di Chenderoh. Kita cuba menonjolkan calon pelbagai peringkat usia khususnya golongan belia untuk diberi peluang,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon PN Perak di Ipoh hari ini.

    Zainol Fadzi berkata kerusi DUN Chenderiang ditandingi Mhod Yunus Mohd Yusop daripada Bersatu menggantikan penyandangnya iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu manakala Tualang Sekah ditandingi Pazli Abdullah Sani, juga calon Bersatu, menggantikan penyandangnya iaitu Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

    Katanya Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin daripada Bersatu pula akan bertanding di DUN Chenderoh manakala beliau sendiri di DUN Sungai Manik.

    Beliau berkata semua calon PN dipilih berdasarkan kemampuan mereka meraih sokongan dan memenangi kerusi yang ditandingi.

    Mengenai sasaran PN Perak pada PRU15, Zainol Fadzi berkata setakat ini tiada sasaran tertentu ditetapkan namun pihaknya akan berusaha memenangi kerusi sebanyak mungkin bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri.

    Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan 30 kerusi diperlukan bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

    Berikut senarai bakal calon PN yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15):

    N01 Pengkalan Hulu – Mohamad Amin Roslan

    N02 Temengor – Mohd Noor Abdul Rahman

    N03 Kenering – Husairi Ariffin

    N04 Kota Tampan – Mohd Jamil Yahya

    N05 Selama – Mohd Akmal Kamarudin

    N06 Kubu Gajah – Khalil Yahaya

    N07 Batu Kurau – Kapt (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz

    N08 Titi Serong – Hakimi Hamzi Hayat

    N09 Kuala Kurau – Datuk Abdul Yunus Jamahri

    N10 Alor Pongsu – Noor Azman Ghazali

    N11 Gunung Semanggol – Razman Zakaria

    N12 Selinsing – Salehuddin Abdullah

    N13 Kuala Sepetang – Ahmad Man

    N14 Changkat Jering – Rahim Ismail

    N15 Trong – Faisal Abdul Rahman

    N16 Kamunting – Mohd Fakhruddin Abdul Aziz

    N17 Pokok Assam – Shariful Juhari Abu Kassim

    N18 Aulong – Koay Boon Hui

    N19 Chenderoh – Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin

    N20 Lubok Merbau – Azizi Mohamed Ridzuan

    N21 Lintang – Ahmad Daslie Osman

    N22 Jalong – Datuk Naran Singh Asa Singh

    N23 Manjoi – Hafez Sabri

    N24 Hulu Kinta – Puteri Holijah Mohd Rali

    N25 Canning – Pang Boon Yang

    N26 Tebing Tinggi – Mohammad Iskandar Abd Rahman

    N27 Pasir Pinji – Lam Kin Yip

    N28 Bercham – Lim Jin Sheng

    N29 Kepayang – Dr Richard Ng

    N30 Buntong – A. Sivasubramaniam

    N31 Jelapang – S. Navinten

    N32 Menglembu – Wong Kean Rong

    N33 Tronoh – Sin Koon Yen

    N34 Bukit Chandan – Dr Hashim Bujang

    N35 Manong – Burhanuddin Ahmad

    N36 Pengkalan Baharu – Ahmad Faisal Mansor

    N37 Pantai Remis – Eee Chin Oon

    N38 Astaka – Yong Il Yan

    N39 Belanja – Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin

    N40 Bota – Dr Najihatussalehah Ahmad

    N41 Malim Nawar – Sh Aemeera Najwa Syed Mohamed

    N42 Keranji – Foong Kar Sing

    N43 Tualang Sekah – Pazli Abdullah Sani

    N44 Sungai Rapat – Mohader Ahmad Mohammad Ayob

    N45 Simpang Pulai – K. Selvam

    N46 Teja – Ahmad Ishak

    N47 Chenderiang – Mhod Yunus Mohd Yusop

    N48 Ayer Kuning – Muhammad Noor Farid Zainal

    N49 Sungai Manik – Datuk Zainol Fadzi Paharudin

    N50 Kampung Gajah – Zafarulazlan Zan

    N51 Pasir Panjang – Rosli Abd Rahman

    N52 Pangkor – Norhaslinda Zakaria

    N53 Rungkup – Mohd Mokheri Jalil

    N54 Hutan Melintang – Khairul Nizam Marsom

    N55 Pasir Bedamar – Surianarayanan

    N56 Changkat Jong – Nadziruddin Mohamed Bandi

    N57 Sungkai – G. Thilak Raj

    N58 Slim – Muhammad Zulfadli Zainal

    N59 Behrang – Mohd Amran Ibrahim

  • Budak lelaki 7 tahun diliwat abang tiri

    Budak lelaki 7 tahun diliwat abang tiri

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai diliwat oleh abang tirinya yang berusia 17 tahun di Karak.

    Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Ahad lalu.

    Katanya, laporan dibuat bapa mangsa yang berusia 34 tahun berkenaan kejadian terhadap anak lelakinya itu yang dipercayai diliwat oleh abang tiri mangsa.

    “Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuat tangkapan terhadap suspek.

    “Suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    “Pihak polis juga ingin menasihati orang ramai khususnya ibu bapa atau penjaga agar sentiasa memantau anak-anak bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.

  • ‘’Sedih,kecewa…saya tunggu dari pagi sampai malam’’ – Noh Omar

    ‘’Sedih,kecewa…saya tunggu dari pagi sampai malam’’ – Noh Omar

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar kecewa dengan sikap berdiam diri Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan masih tidak memberi jawapan sebenar mengenai kedudukannya di kerusi Tanjung Karang.

    Beliau mengakui pucuk pimpinan UMNO itu telah meletakkan calon baharu di kawasan itu, namun sekurang-kurangnya Noh mahu Ahmad Zahid memberi respons kepada persoalan mengenai kerusi parlimen berkenaan.

    “Jadi saya tunggu dari pagi sampai malam. Saya WhatsApp Presiden tetapi tidak ada respons. “Saya fikir presiden sibuk dan saya tunggu sampai malam ini. Hanya tadi keluar senarai BN, Tanjung Karang sudah ada calon. Maka, watikah tidak sampai pada saya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Calon BN peringkat Negeri Selangor di Shah Alam malam.

    Beliau juga kecewa dengan Ahmad Zahid kerana tidak bersikap terbuka dalam menyentuh mengenai isu pencalonannya di Tanjung Karang.

    “Sedih dan kecewa saya menunggu macam buah tak jatuh. Saya WhatsApp tapi tiada jawapan, padahal dia baca. Saya tidak mendapat perhatian daripadanya. Saya bersikap terbuka,” ujar beliau lagi.

    Dalam pada itu, hanya 21 daripada 22 watikah diserahkan kepada calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada malam Khamis.

    Noh berkata, watikah calon Tanjung Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof tidak ada dalam senarai berkenaan.

    “Watikah Tanjung Karang katanya belum dapat lagi. Namun, sudah ada (dalam senarai) calonnya ialah Datuk Habibah.

    “Saya tidak tahu mana watikah itu,” ujarnya.

    Justeru, Noh akan hanya mendedahkan mengenai sebab beliau tidak diumumkan sebagai calon BN di Tanjung Karang pada jam 4 petang Jumaat di Tanjung Karang.

  • Khairuddin Calon BN di Kuala Nerus, Che Abdullah di Tumpat

    Khairuddin Calon BN di Kuala Nerus, Che Abdullah di Tumpat

    BEKAS  Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas yang juga Penyandang Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Mawi sah bakal bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Dalam satu kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengumumkan lima lagi nama calon BN yang belum diumumkan.

    “Daripada tujuh kawasan ini, dua kawasan iaitu Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan, Barisan Nasional menampilkan dua calon secara ‘direct candidate’ atas sifat keterbukaan dan perpaduan.

    “Dengan pengumuman ini, ia menjadikan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen adalah sebanyak 178,” katanya.

    Lima calon lain yang turut diumumkan adalah Habibah Mohd Yusof (Parlimen Tanjong Karang), A Kohillan Pillay (Parlimen Batu), Chew Yin Keen (Parlimen Bandar Tun Razak), Shamsulkahar Mohd Deli (Parlimen Jempol), dan Adnan Abu Hasan (Parlimen Kuala Pilah).

    Katanya, BN yakin calon-calon yang dikemukakan dengan pelbagai latar belakang dan kelayakan dan mampu untuk menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak.

    Pada pertandingan tiga penjuru PRU14, Mohd Khairuddin yang bertanding atas tiket Pas memenangi kerusi dengan majoriti 8,447 undi selepas memperolehi undi 37,975 menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (29,527 undi) dan calon PKR, Abdullah Muhamad (4,604 undi).

    Manakala bagi Che Abdullah pula berjaya menewaskan calon BN iaitu Datuk Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Nordin Salleh dengan majoriti 17,500 undi.

  • Wanita BN kecewa pimpinan tidak tepati janji

    Wanita BN kecewa pimpinan tidak tepati janji

    WANITA Barisan Nasional (BN) berasa terkilan apabila pencalonan golongan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak memenuhi sasaran 30 peratus seperti yang dijanjikan pucuk pimpinan parti sebelum ini.

    Menurut Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad, pihaknya sedar bahawa fokus untuk memenangkan parti ketika ini lebih menjadi keutamaan.

    Bagaimanapun, janji itu akan terus dituntut khususnya melihat kepada beberapa negeri yang masih belum dibubarkan.

     “Masih terdapat enam negeri yang masih berbaki, belum dibubarkan lagi. Saya dan kepimpinan Wanita BN akan terus tuntut supaya lebih ramai calon-calon wanita dapat diketengahkan dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noraini berkata, pihaknya akan memastikan hasrat itu mampu dicapai selari kehendak parti sebelum ini yang ingin menonjolkan lebih ramai golongan wanita.

    Sebelum ini, majoriti pimpinan parti politik meletakkan komitmen untuk memberi laluan lebih ramai calon golongan wanita untuk berada di pentas PRU15.

    Perkara itu sebelum ini turut disuarakan penyandang Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid yang tidak berpuas hati mengenai kuota calon daripada Pergerakan Wanita UMNO.

    Mastura antara beberapa nama dalam Kabinet kerajaan yang digugurkan sebagai calon PRU15 sejurus selesai Pengumuman Calon BN yang bakal bertanding dalam PRU15.

  • Annuar Musa londehkan Zahid Hamidi dalam warkah terbuka

    Annuar Musa londehkan Zahid Hamidi dalam warkah terbuka

    DISINGKIRKAN daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ternyata memberi tamparan besar buat penyandang kerusi Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

    Beliau yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN) meluahkan rasa kecewa dan terluka menerusi satu warkah terbuka dimuat naik dalam Facebook miliknya, hari ini. Berikuta adalah warkah penuh beliau:

    Warkah Terbuka Buat Sahabat Yang Terluka Atau Kecewa

    Assalamualaikum WM WB Sahabat yang dikasihi,

    1. Semoga kalian dalam keadaan yang baik serta sihat walafiat di kawasan masing-masing.
    2. Kita sedang melalui ujian yang besar, teguhkan pendirian dan mantapkan kekuda perjuangan.
    3. Penyingkiran kita bukan perkara yang tidak diduga, kita harus redha, kerana itulah harga untuk kita tegakkan pendirian ketika ada perbezaan pendapat dengan Presiden. Kita ahli-ahli parlimen istiqomah bersama PM, kerana kita YAKIN ITU YANG TERBAIK BUAT PARTI KITA. Kita sering berbeza pendapat dengan Presiden parti kita, akan tetapi kita tidak pernah membelakangkan parti, malah kita istiqomah mempertahankannya, didalam mahupun diluar parlimen.
    4. Kita tentu faham ketika kita menongkah arus, menolak kehendak Presiden kita berkali kali. Kita menggagalkan rancangan beliau, kerana kita merasakan cara kita lebih baik, lebih benar buat parti.
    5. Siang dan malam kita berkumpul berbincang bila mana ada perbezaan pendapat dan kita sentiasa bersama.

    a) Ketika presiden kita menandatangani surat kepada SPB YDP Agong dengan menyatakan ahli parlimen bersolidariti, bersetia dan bersetuju Anwar Ibrahim di angkat sebagai PM ke-9. Kita dengan tegas menolak, kerana kita berpegang pada dasar parti dan PAU, ‘NO ANWAR NO DAP’. Kita tidak salah, kita berbeza pendirian dengan individu bukan parti.

    b) Rancangan mengangkat Anwar yang kita gagalkan itu, berganti pula dengan percubaan menggagalkan belanjawan 2020, sebagai strategi ‘VOTE OF NO CONFIDENCE’ kepada kerajaan dan PM ketika itu, namun kita sekali lagi bersolidariti dan meluluskan setiap undian yang mencemaskan di Dewan Rakyat.

    c) Apabila 15 sahabat MP kita tiba-tiba menarik sokongan dan ingin menjatuhkan PM ke-8 dan kita diarah oleh Presiden melalui SUA untuk berbuat perkara yang sama, kita memilih cara yang lain untuk menyelamatkan parti kita dan sebaliknya kita mengikhtiarkan permuafakatan yang mengangkat DSIS sebagai PM ke-9, kita tidak salah.

    1. Kita tentu ingat bagaimana kita berusaha siang dan malam untuk menyelamatkan parti kita.
    2. Banyak lagi perkara dan peristiwa bagaimana kita Ahli Parlimen dan PM berperanan dan berusaha untuk membawa UMNO, BN ke mana kita berada hari ini dan kita tidak salah.
    3. Namun tindakan kita tentunya tidak disenangi Presiden namun kita yang telah berjaya menyelamatkan parti kita. Saya faham pendirian kita telah membawa kepada fitnah bertubi-tubi kononnya kita tidak setia, kita besar kepala, kita lupa kerana telah dapat jawatan, kita Pro PPBM, kita Pro PAS dan lain-lain cercaan. Sedih dan pilu bila humbanan tuduhan menjadi semacam satu ejekan, namun kita harus redha, kita tidak salah.
    4. Pernahkah kita bayangkan dimana parti kita hari ini, kalau kita telah memusuhi parti-parti yang pernah menghulur tangan membantu kita? Dimana kita jika Warkah kepada SPB YDP Agong supaya mengangangkat Anwar menjadi PM, kita ia kan?. Apa telah jadi kepada parti kita jika kerajaan terbubar, saat pandemik Covid-19 masih melanda dan rakyat marah kepada ‘politicking’ berterusan?, fikir fikirkanlah.
    5. Kita ahli-ahli parlimen beristiqomah bersama YAB PM dan MP yang menyokong kerajaan, menjaga permuafakatan, ketika api kebencian terus menerus dinyalakan. Kita lakukan demi menjaga maslahah parti kita. Alhamdulillah kita berjaya dan kejayaan menjadikan parti kita turut berkuasa dalam pemerintahan. Ini tidak di senangi oleh sebilangan orang, mungkin yang mula memikirkan pemilihan tahun depan, yang memikirkan kedudukan.
    6. Jelas pembubaran parlimen yang mahu disegerakan, telah diambil kesempatan. Kita digugurkan, dengan cara yang seolah olah tiada perlembagaan, tiada peraturan, jauh sama sekali tali persahabatan.
    7. Saya faham kalian marah dan kecewa dengan cara kalian dilayan, tetapi bersabarlah.
    8. Kita bertindak bukan sendirian, tetapi hasil pemikiran mendalam dan telah membuahkan hasil dan kekuatan kepada BN. Kita harus berbangga kerana mempertahankan kebenaran.
    9. Jangan tinggalkan perjuangan walau kita diaibkan dan jangan membakar jambatan kerana perjalanan masih panjang di hadapan.
    10. Marah jangan dibalas marah, hutang darah tak perlu dibayar darah. Perjuangan kita lebih besar dari itu. Baluti luka hati dengan iman dan kesabaran seorang pejuang.
    11. Kembalilah memimpin anak dan adik-adik kita yg bertatih. Pulihkan jentera yang berduka. Jika tidak berupaya memenangkan, setidaknya jangan mengalahkan. Parti perlu didahulukan.
    12. TERUSKAN SEMANGAT MUAFAKAT DAN PERPADUAN. TOLAK KEANGKUHAN DAN KESOMBONGAN. JANGAN JADIKAN PARTI PERISAI BADAN MELINDUNGI KECURANGAN. AMANAH RAKYAT JANGAN SIA-SIAKAN DAN CURANG.
    13. Terima seadanya soal pencalonan dengan kesabaran. Rapatkan semula saf dan terus berjuang.

    Tan Sri Annuar Musa.
    Ketua UMNO Bahagian Ketereh
    Presiden MN Malaysia