Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dominasi BN di Putrajaya sejak empat PRU mampu ditamatkan – Radzi

    Dominasi BN di Putrajaya sejak empat PRU mampu ditamatkan – Radzi

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau percaya dominasi Barisan Nasional (BN) yang ‘beraja’ di kawasan itu sejak empat Pilihan Raya Umum (PRU) mampu ditamatkan.

    Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu menjelaskan, ia mampu dicapai dengan strategi, sokongan dan kerja keras seluruh pendokong Perikatan Nasional.

    “Alhamdulillah, saya secara rasmi disahkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi P125 Putrajaya.

    “Saya, Dr. Radzi Jidin (DRJ) diumumkan sebagai calon nombor 5. Pastinya nombor 5 ini mempunyai signifikan tersendiri kepada saya.

    “InsyaAllah, dengan strategi, sokongan dan kerja keras seluruh pendokong PN, kita mampu menamatkan dominasi parti lawan yang ‘beraja’ di sini dalam 4 PRU lalu,” katanya di akaun Facebook beliau.

    Mengulas lanjut, Radzi turut merakamkan terima kasih kepada semua pendokong PN yang hadir memberikan sokongan.

    Ucapan terima kasih itu kata beliau juga kepada kepimpinan PN dan Bersatu yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk memikul amanah merampas kerusi Putrajaya yang cukup signifikan ini.

    “Proses pertama telah selesai. Sekarang masa untuk kita bekerja. Dampingi dan kenalilah setiap warga Putrajaya. Jelaskan kepada saudara, rakan-rakan kita di sini mengapa mereka perlu memilih Perikatan Nasional.

    “Dengan gerak kerja yang tersusun, saya penuh yakin kita mampu mencipta #EraBaharuPutrajaya pada malam 19 November ini, insyaAllah.

    “Kepada saudara, rakan-rakan pengundi Putrajaya, saya dengan rendah diri memohon diberikan peluang mengemudi Putrajaya untuk tempoh 5 tahun akan datang,” kata beliau.

    Sementara itu, Radzi turut meminta pengundi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi sebaiknya dan membuat pilihan dengan jiwa yang tenang dan penuh sedar.

    “InsyaAllah, kita mampu mengubahnya.Undilah PERIKATAN NASIONAL!,” tambahnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berdepan saingan sengit untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

    Buat kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 2004, Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon bebas.

    Selepas proses penamaan calon di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9 tamat pada 10 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Putrajaya Shamshul Joehari Zainal Mokhtar mengumumkan enam calon layak bertanding, dengan semua borang pencalonan diterima tanpa sebarang bantahan.

    Enam calon itu adalah Tengku Adnan (BN-UMNO), Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Bersatu), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli yang menggunakan logo Pejuang, serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

    Pada pilihan raya sebelum ini, saingan Parlimen Putrajaya yang lazimnya melihat pertandingan satu lawan satu menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU14, dengan Tengku Adnan terus mengekalkan kerusi apabila menang dengan majoriti 3,372 undi.

    Parlimen Putrajaya, yang merupakan kawasan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 42,881 orang.

  • Banjir: Hamzah kecewa pengundi berdepan musibah musim PRU

    Banjir: Hamzah kecewa pengundi berdepan musibah musim PRU

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kecewa apabila pengundi terpaksa berdepan musibah banjir ketika musim pilihan raya.

    Menteri dalam negeri itu berkata, walaupun negara mempunyai 120,000 anggota polis namun kira-kira 80,000 terbabit dalam PRU.

    “Saya sedih kerana kita hanya ada 120,000 anggota polis. Nak guna untuk PRU saja hampir 80,000 jadi hanya tinggal 40,000 untuk jaga keselamatan seluruh negara.

    “Kalau banjir mungkin 20,000 untuk kita turunkan bantu rakyat di bawah sana jadi inilah sebabnya saya minta jangan kita lakukan PRU pada musim tengkujuh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Hamzah bagaimanapun berkata, cadangan itu tidak diendahkan oleh parti lain yang bersama membentuk kerajaan persekutuan, malah dakwanya menteri daripada BN yang menyokong agar PRU tidak diadakan tahun ini turut tidak dicalonkan semula.

    “Kawan-kawan saya yang berada dalam Kabinet yang datangnya daripada BN ramai digugurkan kerana semata-mata bercakap benar bercakap demi kepentingan rakyat.

    “Hanya mereka yang berjuang demi kepentingan presiden mereka saja dikekalkan,” dakwanya.

    Antara yang digugurkan daripada senarai calon BN adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa; Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan koperasi.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata beliau akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berkempen memandangkan beberapa kawasan kini dilanda banjir.

    “Kita hendak berkempen dibenarkan untuk satu-satu masa saja tapi kalau ianya berlaku begini mungkin susah kerana 2,3 pagi pun kita perlu turun bantu mangsa banjir dan ini akan kita bincang bersama SPR, perkara yang tak terfikir atau terpandang dengan lebih awal,” katanya.

    Seramai 274 mangsa banjir di sembilan kampung sekitar Taiping dan Batu Kurau terpaksa dipindahkan susulan banjir kilat sejak malam Jumaat.

    Kesemua mereka ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Surau Kampung Tengaj, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, Masjid Changkat Ibol, Masjid Batu 8 Bendang Siam dan Surau Kampung Perak.

  • Mumtaz tidak gentar lawan Che Abdullah

    Mumtaz tidak gentar lawan Che Abdullah

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi tidak gentar berdepan bekas penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Che Abdullah Mat Nawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit berkata: “Pertembungan dengan Che Abdullah bukan atas dasar individu sebaliknya parti.

    “Dalam peperangan kita akan lihat kepada bendera yang dibawa, jadi tiada isu Pas lawan Pas kerana beliau (Che Abdullah) bertanding atas tiket lain (BN).

    “Saya bawa mandat yang berbeza begitu juga dengan calon-calon parti lain. Saya yakin rakyat akan membuat penilaian terbaik siapa yang akan dipilih nanti,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di Tumpat, hari ini.

    Menurut beliau, pertembungan lima penjuru itu dilihat cukup sesuai dengan kepadatan penduduk di kawasan Tumpat.

    Katanya, Pas sudah ‘masak’ berdepan dengan cabaran PRU dan beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik jika dipilih menjadi Ahli Parlimen.

    Pada PRU-14, Che Abdullah menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 17,500 undi.

    Che Abdullah mendapat 47,041 undi manakala Datuk Wan Johani Wan Hussin (BN) memperoleh 29,541 undi dan Datuk Nordin Salleh (PKR) hilang deposit selepas meraih 10,003 undi.

  • Pemuda India sokong PN

    Pemuda India sokong PN

    DI sebalik kem penyokong Perikatan Nasional (PN) yang majoritinya kaum Melayu, terdapat segelintir penyokong dari kaum India di kem tersebut yang ditemui di luar pusat penamaan calon (PPC) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Maran, hari ini.

    Tiga sahabat yang juga pekerja ladang, T. Ragu, 39, R. Jayakumar, 38, dan K. Ravi, 23, datang dari Sri Jaya di Maran untuk memberikan sokongan kepada PN kali ini.

    Masing-masing yang pertama kali hadir memberikan sokongan kelihatan gembira dan teruja dengan melihat suasana penamaan calon.

    Ragu ketika ditemui memberitahu, sepatutnya lebih ramai sahabatnya ingin datang memberikan sokongan tetapi berdepan masalah kerana kenderaan mereka mengalami kerosakan.

    “Saya pilih PN kerana inginkan perubahan dan berharap lebih banyak pembangunan dapat dilakukan di tempat saya.

    “Dan memang suasananya lain macam serta gembira kerana dapat bersama penyokong PN lain di sini,” katanya lapor Sinar Harian.

    Bagi Ravi pula, dia seronok kerana dapat bertemu rakan-rakan penyokong lain dan ia menjadi pengalaman pertama buat dirinya melihat dan menikmati situasi tersebut.

    “Biarpun hujan pagi tadi, bukan masalah untuk kekal setia memberikan sokongan di sini,” katanya yang tiba di PPC tersebut bersama rakannya kira-kira pukul 8.30 pagi.

  • Jangan selindung di sebalik ‘tak bersalah sehingga dibuktikan’ – Aktivis antirasuah

    Jangan selindung di sebalik ‘tak bersalah sehingga dibuktikan’ – Aktivis antirasuah

    SEORANG aktivis anti-rasuah menegaskan, ahli politik tidak sepatutnya berselindung di sebalik kata-kata “tidak bersalah sehingga dibuktikan”, mengambil kira sejarah kes pemimpin politik digugurkan apabila parti mereka berkuasa.

    Edmund Terence Gomez yang dipetik Free Malaysia Today merujuk kepada tuduhan rasuah terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang digugurkan apabila gabungan itu berkuasa.

    Beliau mempersoalkan sama ada Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii kekal berpendirian seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sekiranya individu yang berdepan tuduhan rasuah itu menjadi perdana menteri.

    Terdahulu, Yii berkata, masyarakat sepatutnya menganggap seseorang itu tidak bersalah sehingga mahkamah membuktikan sebaliknya. Beliau mengulas berhubung kenyataan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) berhubung saranan ahli politik berdepan tuduhan rasuah tidak bertanding pada pilihan raya umum.

    Antara ahli politik berdepan tuduhan rasuah membabitkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman. Kesemua mereka kembali bertanding masing-masing di kawasan Parlimen Bagan, Bagan Datuk dan Muar.

    Gomez berkata, timbul kemungkinan besar bahawa perdana menteri yang berdepan tuduhan rasuah akan menggunakan kuasanya untuk menggugurkan kes dihadapi.

    Beliau memberi amaran itu susulan kenyataan bekas menteri undang-undang, Azalina Othman Said, pada Ogos, yang menyatakan sesiapa sahaja menjadi perdana menteri kebiasaannya “akan melantik orangnya” bagi jawatan peguam negara.

    Kenyataan Azalina itu mengundang kecaman, termasuk daripada rakan politik dari parti Yii sendiri seperti Ngeh Koo Kam, yang membantah tindakan itu menyumbang kepada salah guna kuasa.

    Gomez, pada tahun lalu meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata: “Sebagai rakyat Malaysia yang berdepan masalah serius tentang bagaimana peguam negara dilantik, adakah Yii masih berpandangan mereka berdepan tuduhan rasuah patut dibenarkan bertanding pada pilihan raya ini?”

    Katanya, ahli politik seperti Lim, Zahid dan Syed Saddiq perlu membersihkan nama mereka sebelum bertanding pada pilihan raya.

    Lim berkata, beliau akan menyerahkan kepada pengundi menentukan masa depan politiknya. Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dituduh atas kesalahan rasuah berhubung projek terowong dasar laut.

    Gomez berkata, ahli politik perlu berhenti menyebut “perkara mengarut” dengan memetik kata-kata “tidak bersalah sehingga dibuktikan”, sambil mendakwa sejarah membuktikan ia bukan perkara benar.

    “Sehingga berlakunya pembaharuan struktur yang menyaksikan peguam negara dilantik secara bebas, kita mesti berhenti berselindung di sebaliknya.”

  • PRU-15: Pertandingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh

    PRU-15: Pertandingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh

    KERUSI Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketujuh-tujuh calon yang mengesahkan penyertaan mereka ialah Khairy Jamaluddin (BN-UMNO), Datuk R. Ramanan (PH-PKR), Mohd Ghazali Md Hamin (PN-Pas), Mohd Akmal Mohd Yusoff (GTA-Pejuang) , Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff serta Nurhaslinda Basri.

    Pengumuman itu dibuat pada pukul 11 pagi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Sungai Buloh, Mohd Jusni Hashim di pusat penamaan calon Sungai Buloh di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

    Terdahulu, kesemua calon tiba antara pukul 8.30 hingga 8.45 pagi bersama penyokong dan pencadang masing-masing.

    Dalam pada itu, tiada kekecohan berlaku di perkarangan luar dewan penamaan walaupun penyokong parti bertanding hanya bersebelahan antara satu sama lain.

    Cuaca yang baik juga membantu melancarkan proses penamaan calon lapor Astro Awani.

  • PRU-15: Nazree tak gentar berdepan Tok Mat di Rembau

    PRU-15: Nazree tak gentar berdepan Tok Mat di Rembau

    CALON muda Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus mengakui tidak gentar biarpun terpaksa berdepan dengan figura besar Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hassan di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) kali ini.

    Beliau yang ditemui selepas hadir pada proses Penamaan Calon di Dewan Seri Rembau, di Rembau pagi tadi menyatakan keyakinan untuk mengubah polar undian di kawasan tersebut kali ini.

    “Agenda kita adalah untuk membawa perubahan di Rembau. Yang pentingnya ialah fokus membawa kebaikan khususnya kepada anak-anak muda dan masyarakat…

    “.. kerana hari ini anak-anak muda lebih cenderung soal tentang pekerjaan dan ekonomi untuk mereka” Katanya kepada media.

    Tambahnya, Perikatan Nasional (PN) akan memberikan fokus untuk menyelesaikan soal tersebut ketika ini.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jentera PN yang telah memberikan sokongan kepadanya sejak awal biarpun sebelum proses Penamaan Calon yang diadakan hari ini.

    Berdepan dengan Mohamad atau Tok Mat, yang dianggap cukup besar, beliau percaya ia mampu diatasi dengan kebijaksanaan yang dimiliki oleh pengundi di sini.

    “Saya yakin dengan kebijakan rakyat dan juga dengan media massa, dengan melaporkan suatu kempen yang betul dan tepat, rakyat dan anak muda boleh menilai dengan baik,” katanya lagi.

    Bapa kepada empat cahaya mata yang juga anak jati kawasan itu mengharapkan keputusan luar biasa akan dicatatkan di parlimen itu pada PRU-15 kali ini lapor Astro Awani.

  • PRU-15: Hadi Awang berdepan pertarungan empat penjuru

    PRU-15: Hadi Awang berdepan pertarungan empat penjuru

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan kerusi Parlimen Marang (P037) berdepan tentangan calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili Jasmira Othman, Azhar Ab. Shukur (Pakatan Harapan-PH) dan. Dr Zarawi Sulong (Gerakan Tanah Air-GTA). 

    Pertandingan empat penjuru itu disahkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Marang, Lizan Che Mat, pada 10.40 pagi selepas tempoh proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Marang itu ditutup pada 10 pagi.

    Jelas Lizan, tiada pencalonan ditolak, sekali gus keempat-empat mereka disahkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, lapor Astro Awani.

    Abdul Hadi sebelum itu mengemukakan borang pencalonannya pusat penamaan calon tersebut pada pukul 9 pagi, bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya untuk tiga penggal sebelum ini.

    Selain penyokong dan pencadang bagi pencalonannya, Abdul Hadi turut ditemani Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Pada PRU-14, Abdul Hadi menang dengan majoriti 21,954 dalam pertembungan tiga penjuru melibatkan BN dan PH.

    Walaupun dalam keadaan hujan renyai, ribuan penyokong Pas hadir memberi sokongan kepadanya, begitu juga penyokong BN, GTA dan PH yang menyokong calon masing-masing.

  • Kiandee sah tanding Beluran atas tiket PN

    Kiandee sah tanding Beluran atas tiket PN

    BEKAS Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee akan mempertahankan kerusinya atas tiket Perikatan Nasional (PN).

    Kiandee, yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), telah digugurkan daripada senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) Sabah di kerusi itu.

    GRS dan BN Sabah telah bersetuju untuk bekerjasama pada PRU kali ini. Bersatu, tonggak PN, juga ialah komponen GRS.

    Kiandee tiba di pusat penamaan calon Dewan Serbaguna Majlis Daerah Beluran, Sandakan pada 8.45 pagi diiringi penyokongnya yang membawa bendera PN.

    Bekas menteri pertanian dan industri makanan itu memenangi kerusi Beluran pada 2018 atas tiket BN, tetapi meninggalkan UMNO untuk menyertai Bersatu lewat tahun sama.

    Semalam, sumber memberitahu FMT bahawa Kiandee akan bertanding di kerusi itu, sekali gus mewujudkan pertembungan dengan calon BN yang dinamakan oleh GRS.

  • 4 penjuru di Alor Gajah, Redzuan dicabar calon ‘heavyweight’ Shahril Hamdan, Adly Zahari

    4 penjuru di Alor Gajah, Redzuan dicabar calon ‘heavyweight’ Shahril Hamdan, Adly Zahari

    KERUSI Parlimen Alor Gajah yang disandang Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof akan menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRU-15.

    Redzuan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) dicabar Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan yang mewakili Barisan Nasional (BN), Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Melaka Adly Zahari dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Senarai rasmi calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Parlimen Alor Gajah Saiful Hazwa Kipli di Dewan Taming Sari (Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah selepas proses penamaan calon tamat pada 10 pagi tadi lapor FMT.

    Kira-kira lebih 300 penyokong parti bertanding berkumpul di pekarangan pintu masuk UiTM sejak 7 pagi tadi.

    Pada PRU-14, Redzuan menang kerusi Parlimen itu atas tiket Bersatu, yang ketika itu masih bersama PH, selepas menewaskan calon BN Wong Nai Chee dan calon Pas, Mohammad Nazree Mohammad Aris dengan majoriti 6,980 undi.

    Bersatu kemudian meninggalkan PH dan membentuk PN bersama Pas Gerakan, Star dan Parti Maju Sabah (SAPP).

    Redzuan akan mewakili PN pada PRU kali ini dalam misi mempertahankan kerusi tersebut.