Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki ditahan ‘tercuri’ motosikal polis

    Lelaki ditahan ‘tercuri’ motosikal polis

    SEORANG lelaki ditahan kerana mencuri motosikal anggota polis yang diletakkan di tempat letak kenderaan Hospital Ampang kelmarin.

    Dalam kejadian 6.30 petang itu, anggota polis yang sedang bertugas di pondok polis Hospital Ampang dimaklumkan orang awam yang melihat tindakan mencurigakan seorang lelaki menolak sebuah motosikal.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, anggota polis terbabit kemudian bertanya suspek berusia 34 tahun itu mengapa cuba mengalih motosikal berkenaan.

    “Bagaimanapun suspek gagal memberi alasan munasabah dan disyaki ingin mencurinya.

    “Polis kemudian merampas motosikal itu dan menahan suspek untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu didapati positif dadah.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pengundi Muar percaya pada PN

    Pengundi Muar percaya pada PN

    KEPRIHATINAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika mentadbir negara yang banyak memberi bantuan dan sokongan tanpa pilih kasih sewaktu pandemik menjadi faktor utama pengundi-pengundi di Parlimen Muar cenderung ke arah gabungan parti itu.

    Menerusi tinjauan SatuBerita di sekitar Parit Jawa, Muar mendapati rata-rata pengundi di Parlimen itu mengakui terpikat dengan kebolehan dan sifat berjiwa rakyat yang ditonjolkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri sekaligus meletakkan kepercayaan kepada gabungan parti itu secara keseluruhan.

    Peniaga gerai makanan, Aminah Zunit, 56, memaklumkan pada ketika ini, dirinya melihat lebih ramai penduduk mempunyai kepercayaan dan menyokong perjuangan Muhyiddin apabila keprihatinan yang ditonjolkan beliau menyentuh hati mereka.

    “Beliau okay dan sangat bagus. Sekarang ramai yang sokong dia. Pada saya rasuah juga tiada. Menolong rakyat banyak saya nampak dari dulu sewaktu PKP.

    “Saya terkilan dan kesian pada beliau apabila dijatuhkan ketika menjadi Perdana Menteri,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

    Sementara itu, Selamat Dahlan, 57 menyifatkan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang turut mesra dengan gelaran Abah, sebagai penyelamat negara daripada wabak Covid-19 serta kerajaan yang banyak bercanggah dengan Melayu-Islam.

    “Walaupun beliau memerintah sekejap sahaja, tetapi sayang dia telah dijatuhkan. Namun, kalau beliau tiada ketika negara sedang berdepan pandemik, tak selamat kita.

    “Dulu kita bagi bangsa lain memerintah selama 22 bulan, kita nampak sendiri bagaiamana. Nasib baiklah Abah sendiri tolong kita. Kalau beliau tiada, tak tahulah bagaimana keadaan kita,” luahnya.

    Bagi Rizwan Yusof, 37 pula, beliau selaku pengundi di Parlimen itu tidak menginginkan pemimpin yang mampu memberikan pembangunan, namun yang lebih penting baginya pemimpin yang mempunyai sifat prihatin terhadap rakyat yang susah.

    “Saya taknak minta banyak, bukan minta duit atau bangunan megah-megah. Cuma prihatin pada rakyat dan dahulukan rakyat lebih penting.

    “Orang bawah kita tak tahu mereka susah macamana, susah mereka Allah sahaja yang tahu. Jangan kerana duit dan pangkat kita lupa pada mereka,” ujarnya.

  • Prabakaran dakwa Tian Chua tuntut kembalikan watikah calon Batu

    Prabakaran dakwa Tian Chua tuntut kembalikan watikah calon Batu

    CALON Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu, P Prabakaran, mendedahkan Tian Chua menuntutnya memulangkan semula watikah pencalonan kepada jawatankuasa pilihan raya gabungan itu.

    “Saya tolak saranan itu. Dia (Tian Chua) ada bercakap dengan presiden PKR (Anwar Ibrahim) tapi saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan.

    “Tapi, akhirnya Tian Chua memilih untuk menjadi calon bebas. Saya tidak pernah melihatnya sebagai musuh,” katanya menurut Sinar Harian.

    Prabakaran ketika mengulas lanjut, berkata tindakan bekas naib presiden PKR itu bertanding bebas di kawasan berkenaan akan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong PH.

    “Saya bersyukur Tian Chua menyokong saya selama ini (sejak 2018), tetapi sedih beliau memilih untuk lawan saya dan ingkar arahan parti kali ini,” katanya.

    Katanya, itu akan merisikokan kekalahan PH dan menyebabkan calon BN mempunyai peluang untuk menang.

    “Tian Chua masih ada masa untuk tarik balik pencalonan. Ini bukan pasal beliau atau saya tapi untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

    Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru membabitkan calon penyandang, Prabakaran, pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin (bebas), peguam Siti Kasim (bebas) serta calon Pejuang, Wan Azliana Wan Adnan.

    Beberapa nama lain turut bertanding termasuk calon BN, A Kohilan Pillay, Azhar Yahya (Perikatan Nasional), P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia).

    Pada PRU14 lalu, Prabakaran bertanding atas tiket bebas menang kerusi itu selepas mendapat 38,125 undi iaitu majoriti 24,438 undi menewaskan tiga lagi calon lain termasuk Presiden Gerakan Dominic Lau (13,687 undi); wakil PAS, Azhar Yahya (10,610) dan VM Panjamothy (bebas).

  • Tak jadi calon, tak dapat jawatan itu ujian Allah – Hadi

    Tak jadi calon, tak dapat jawatan itu ujian Allah – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, ahli parti yang wala’ dan setia, rela diletakkan di mana sahaja mereka ditugaskan tanpa mengikut pilihan mereka bagi menegakkan Islam.

    Menurutnya, sama ada ahli muslimin, muslimat, orang muda dan lain-lain, mereka sepatutnya mengikut arahan diputuskan jemaah kerana adanya keberkatan di situ.

    “Bukannya ikut pilihan kita sendiri tetapi ikut (keputusan) jemaah letak.

    “Ini tak puas hati, nak diletak ditempat yang dapat habuan banyak.

    “Tak boleh jadi calon marah. Tak beroleh jawatan merajuk, itu semua ujian daripada Allah. Inilah perjuangan Islam yang kita kena faham ,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam klip video yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau hari ini.

    Abdul Hadi menjelaskan, bertugas satu hari dalam perjuangan Islam lebih baik daripada dunia dan isinya.

    Ini kerana, ia kelebihan ahli parti dalam menjalankan tugas diberikan.

    “Hanya mereka yang taat, yang wala yang setia kepada jemaah rela diletak di mana sahaja dia ditugaskan.

    “Sama ada Muslimin, Muslimat orang tua, orang muda dan lain-lain,” katanya.

  • Kedudukan Shahidan, Ismail dalam PN belum diketahui

    Kedudukan Shahidan, Ismail dalam PN belum diketahui

    KEDUDUKAN Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib selepas pilihan raya sama ada bakal menganggotai mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) masih belum diketahui, biarpun kedua-dua bekas pemimpin UMNO itu kini bertanding atas tiket gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata beliau perlu merujuk terlebih dahulu perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenainya.

    “Saya nak kena rujuk. Benar dan jelas kedua-dua mereka bertanding atas tiket PN. Apa perkara selain itu saya kena rujuk. Saya tidak akan mengulas perkara yang saya tiada perinciannya,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

    Dr. Radzi ditanya mengenai kedudukan Shahidan dan Ismail dalam PN atau Bersatu.

    Beliau sebelum itu ditanya sama ada Shahidan dan Ismail akan menyertai PN atau sebaliknya selepas kedua-dua pemimpin berkenaan membuat keputusan bertanding dengan menggunakan tiket parti lawan.

    BH semalam melaporkan, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau, dan Ismail di kerusi Parlimen Maran, layak bertanding pada PRU-15 mempertahankan kerusi masing-masing dengan menggunakan tiket PN.

    Seorang lagi bekas pemimpin UMNO yang tidak terpilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRU-15, iaitu penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun bertanding mempertahankan kerusi berkenaan serta merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk ketiga-tiga mereka dipecat serta merta kerana parti mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli yang bertanding atas tiket selain parti termasuk yang menjadi pencadang dan penyokong calon yang mewakili pembangkang.

  • Tanjung Piai sepatutnya maju seperti Langkawi

    Tanjung Piai sepatutnya maju seperti Langkawi

    “PEMBANGUNAN di Tanjung Piai sepatutnya lebih pesat dari Langkawi. Ia destinasi pelancongan yang menarik dan dikunjungi ramai pelancong kerana kedudukannya di penghujung benua Asia,” kata calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Najwah Halimah Ab. Alim, 44.

    Susulan itu, beliau bertekad melakukan tiga perubahan demi kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Tanjung Piai jika diberi mandat oleh rakyat di kawasan itu pada PRU-15 ini.

    Katanya, Tanjung Piai dikenali sektor pelancongan yang popular dan sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara, namun kemudahan di situ masih kurang.

    “Kawasan ini sepatutnya dibangunkan dengan sewajarnya, malah lebih pesat dari Langkawi.

    “Selain lokasinya di penghujung benua Asia, jambatan baharu sejauh 7.5 kilometer menghubungkan dari Sungai Pulai ke pekan Gelang Patah dapat menjimatkan masa kepada semua pengguna ke Johor Bahru.

    “Jadi saya bertekad, antaranya mahu membangunkan kawasan ini dengan menaik taraf kemudahan awam seperti diimpikan masyarakat Tanjung Piai selama ini, selain memastikan sifar kemiskinan dan meningkatkan pekerjaan serta perniagaan di sini,” katanya pada sidang media di Eco Rambah Homestay, lapor Berita Bersatu.

    Najwah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan adalah anak kelahiran Kempas, Johor Bahru dan pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk Timbalan Pengerusi Tekun Nasional (TEKUN).

    Beliau berkata, berdasarkan tinjauan, kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi di Parlimen Tanjung Piai amat membimbangkan.

    Katanya, tiada kemajuan dalam pembangunan khususnya di sektor pendidikan, pelancongan dan perumahan bagi B40 yang merangkumi golongan petani, nelayan serta buruh kasar.

    Lebih malang, katanya, hanya ada dua klinik kesihatan di Tanjung Piai untuk menampung kepadatan lebih 100,000 penduduk.

    “Jika diberi mandat, PN dengan slogan Bersih dan STabil (BEST) yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa bertekad memastikan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat di Tanjung Piai.

    “Justeru, saya merayu masyarakat Tanjung Piai keluar mengundi beramai-ramai demi menentukan masa depan anda, ” katanya kepada 70,630 pengundi di kawasan itu.

    Pada PRU-15, Najwah ditentang Barisan Nasional (BN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

    Sementara itu, penduduk Parlimen Tanjung Piai, Nazlin Manaf, 46, berkata mereka mahukan wakil rakyat yang bertanggungjawab membela nasib golongan kurang berkemampuan.

    “Najwah memahami keperluan rakyat ketika pembabitannya sebagai Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin Johor.

    “Selain itu, pembabitannya sebagai Timbalan Pengerusi TEKUN juga membantu golongan peniaga termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), ” katanya yang berniaga kedai makan di Kampung Sungai Durian, Kukup Pontian.

  • Wan Saiful nasihat Rafizi turut tumpu isu dalaman PKR

    Wan Saiful nasihat Rafizi turut tumpu isu dalaman PKR

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengalu-alukan sebarang pendedahan yang mahu dibuat oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Bagaimanapun beliau yang juga calon kerusi Parlimen Tasek Gelugor turut menasihatkan Rafizi supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman yang membelenggu partinya itu.

    “Saya mengalu-alukan sebarang pendedahan Rafizi, tetapi yang pasti beliau sedang mencabar autoriti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tak pernah lagi tengok parti seperti itu.

    “Kalau beliau nak ‘challenge’ (cabar) Presiden, sepatutnya dah ‘declare (isytihar) awal-awal,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan PN, di Tasek Gekugor hari ini.

    Yang turut hadir, bekas Ahli Parlimen Bersatu Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

    Sebelum ini, Rafizi memaklumkan akan mendedahkan lebih banyak apa yang didakwanya kepincangan dan rasuah yang berlaku sepanjang pentadbiran PN selama lebih 30 bulan esok.

    Beliau yang juga calon di Parlimen Pandan mendakwa, peluru yang akan dilontarkan itu membabitkan kepincangan didalangi UMNO, Bersatu dan Pas yang terpalit dengan rasuah bernilai bilion ringgit.

    Dalam perkembangan lain, Shabudin berkata, calon PN bagi Tasek Gelugor meskipun dari luar bukan satu masalah ekoran kemodenan sistem komunikasi berupaya menghubungkan pemimpin dan rakyat dengan pantas.

    Apatah lagi tambah beliau, kewujudan platform rangkaian internet dan media sosial yang meluas memudahkan lagi urusan pemimpin biarpun berada di luar kawasan.

    Ujar beliau, alasan tidak boleh berjumpa pemimpin pada zaman sekarang bukan lagi isu memandangkan kemodenan yang ada dapat menghubungkan rakyat dalam hanya beberapa saat.

    “Ketika saya menjadi Ahli Parlimen dulu pun, saya bertugas di Kuala Lumpur tetapi urusan pentadbiran di Tasek Gelugor tetap berjalan lancar.

    “Tambahan pula, setiap Ahli Parlimen ada pegawai dan wakil yang bertugas di kawasan yang diwakili, jadi tidak timbul masalah sekiranya calon yang dipilih bukan daripada kawasan setempat,” katanya.

  • Calon DHPP Pulau Pinang tidak gentar bersaing di kubu kuat DAP

    Calon DHPP Pulau Pinang tidak gentar bersaing di kubu kuat DAP

    SATU-SATUNYA calon daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang tidak gentar meskipun bertanding di kawasan kubu kuat DAP serta atas tiket Pas yang merupakan parti Islam.

    Malah, calon PN bagi kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Koh Tien Yew, 41, berkata, beliau juga berjanji akan memberikan saingan sengit di kerusi itu dengan kempen turun padang bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan tersebut.

    Dalam masa sama, Steven yang juga aktivis masyarakat dan banyak bergerak menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, beliau juga tidak akan menggunakan kelebihan sebagai aktivis masyarakat itu sebagai modal berkempen semata-mata sebaliknya turut mempunyai pelbagai strategi lain.

    “Saya sama sekali tidak akan gentar dan akan lawan habis-habisan, dengan kekuatan jentera yang ada serta sokongan jentera daripada parti komponen PN lain, saya tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka, itu janji saya,” katanya pada majlis Pelancaran Kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Pas Pulau Pinang di Markaz Tarbiyyah Pongsu Seribu di Kepala Batas, semalam.

    Kerusi Parlimen Bukit Mertajam akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Steven Sim dan calon Barisan Nasional (BN), Tan Yang Pang.

    Pada PRU-14, Steven Sim menang dengan majoriti 52,877 undi selepas memperoleh 63,784 undi menewaskan calon BN, Gui Guat Lye (10,907 undi) dalam pertembungan satu lawan satu.

    Dalam pada itu Steven berkata, beliau turut berharap usahanya mendekati seramai mungkin pengundi di Bukit Mertajam sepanjang tempoh berkempen akan menerima sambutan dan sokongan daripada semua pihak.

    Jelasnya, PN menggunakan pendekatan kempen secara harmoni dan menolak kebencian sekali gus memudahkan calon-calonnya mendekati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

  • Mohamad Shahrum bangga dapat kerjasama dengan Tuan Ibrahim

    Mohamad Shahrum bangga dapat kerjasama dengan Tuan Ibrahim

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman berbangga dapat bekerjasama dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, beliau dan Tuan Ibrahim serta dua lagi calon PN di DUN Benta dan Padang Tengku akan strategi yang dinamik serta tepat bagi menawan hati pengundi di Kuala Lipis.

    “Tentunya hasrat kami untuk menang bukan sahaja di Parlimen Lipis malah tiga DUN iaitu Cheka, Benta dan Padang Tengku,” katanya selepas bertemu pengundi di Pekan Padang Tengku di Kuala Lipis, hari ini.

    Mohamad Shahrum yang merupakan anak kelahiran Kampung Mela menjadi Ahli Parlimen Lipis mewakili UMNO selama dua penggal, iaitu pada 2004 dan 2008 (PRU11 dan PRU12).

    Pada PRU-12, Mohamad Shahrum menang apabila memperoleh 12,611 undi dengan majoriti 4,137 selepas mengalahkan calon Pas, Dr. Mohamed Nilam Abdul Manap yang hanya mendapat 8,474 undi.

    Mohamad Shahrum berkata, beliau kembali bertanding semula semata-mata untuk membela kebajikan rakyat dan merancakkan pembangunan setempat.

    “Saya masih menang di hati pengundi, bukan kalah sebaliknya tidak dipilih menjadi calon pada PRU-13 menyebabkan saya kecewa sedangkan rakyat (pengundi) tetap setia dengan saya malah. perancangan pembangunan sudahpun nampak di Lipis.

    “Pada PRU-15 ini, saya kembali ke Lipis yang merupakan kampung kelahiran saya,” katanya.

    Mohamad Shahrum berkata, beliau membawa konsep ‘BEST’ bermaksud ‘Bersih dan Stabil’ membolehkan pengundi yang sudah mengenali beliau sejak 2004 memilih PN pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

  • Ustaz Kazim sudah sihat, muka tidak lagi berdarah

    Ustaz Kazim sudah sihat, muka tidak lagi berdarah

    PENCERAMAH bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias kini sudah sihat daripada penyakit kulit yang dihidapinya.

    “Ini mungkin hasil rawatan alternatif yang dijalani di Madinah selama empat hari, awal bulan September,” katanya yang terkenal sebagai Ustaz Kazim.

    Jelas beliau, rawatan itu menggunakan air telaga nabi di dua tempat di Madinah dan apabila pulang ke tanah air wajahnya bertambah baik.

    “Pulang daripada itu, alhamdulillah saya punya wajah ok, sudah tidak lagi luka, tidak lagi berdarah…ini sikit saja…yang ni muka saya dah ok dah.

    “Kalau tidak, saya kena pakai topeng, saya menghadap orang pun saya segan sebab dia boleh berdarah secara tiba-tiba.

    “Apabila saya buat rawatan di sana (Madinah), alhamdulillah sampai sekarang November, syukur banyak-banyak, tak perlu lagi nak pakai krim dan sebagainya untuk menahan luka,” katanya.

    Beliau bercakap dalam sidang media di Kompleks Darul Barakah, Manjoi di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Ustaz Kazim muncul dengan menutup sebahagian besar mukanya ketika menghadiri beberapa majlis ilmu bagi mengelak wajahnya daripada terkena cahaya matahari.

    Penceramah selebriti itu berkata, tindakan itu diambil atas nasihat doktor memandangkan wajahnya tidak boleh terdedah secara terus kepada cahaya matahari.

    Ekoran daripada itu, katanya, beliau mendapat beberapa tawaran doktor pakar daripada England, India dan Madinah untuk membantu mengubati penyakitnya.