Author: Wartawan WartaRakyat

  • Mengundi berkait pahala, dosa dan catatan amal – Hadi

    Mengundi berkait pahala, dosa dan catatan amal – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kewajipan mengundi hendaklah diambil secara serius semua pengundi yang layak terutamanya orang Islam.

    Tegas beliau, ini kerana, perkara itu bukan sahaja melibatkan soal masa depan kepimpinan negara, bahkan turut berkaitan dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal.

    “Saya menegaskan bahawa kewajipan mengundi hendaklah diambil secara serius kerana perkara ini bukan sahaja melibatkan soal masa depan kepimpinan negara, bahkan turut berkaitan dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal,” tulisnya di akaun Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, beliau turut mengingatkan kepada semua agar sentiasa bergerak kerja secara berpasukan.

    Katanya, ini kerana calon yang akan terpilih sebagai Ahli Parlimen nanti tidak akan mampu bekerja secara berseorangan, sebaliknya memerlukan sebuah pasukan yang saling mendukung untuk mentadbir dengan pelbagai kepakaran.

    “Mudah-mudahan, setiap amalan kita dinilai sebagai ibadat di sisi Allah SWT dan menjadi asbab kepada kemenangan Islam. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya.

    Pada hantaran itu, Abdul Hadi menyatakan beliau turut berkesempatan bertemu mata bersama rakyat Kelantan di Parlimen Ketereh, bersama calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Ketereh, Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor.

    Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan Abdul Hadi bertanding mempertahankan kerusi Marang.

  • Kerajaan stabil tapi tak bersih tidak diperlukan, kata Radzi

    Kerajaan stabil tapi tak bersih tidak diperlukan, kata Radzi

    PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan kerajaan yang stabil dan bersih sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.

    “Ada kerajaan stabil tetapi tidak bersih tapi PN akan pastikan Malaysia sebuah negara bersih dan stabil,” katanya yang juga calon PN bagi Parlimen Putrajaya.

    Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Pengeluaran Kertas Undi Pos di Putrajaya hari ini.

    Mohd. Radzi berkata, pengalaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mentadbir negara ketika waktu paling sukar saat pandemik Covid-19 melanda negara jelas telah membuktikannya.

    “Kita ada rekod yang jelas tanpa sebarang manifesto, kita dapat berkhidmat dengan baik. Kita tidak main-main,” katanya.

    Menurutnya, manifesto yang ditawarkan oleh PN merupakan tawaran komprehensif dengan meliputi pelbagai lapisan masyarakat yang turut mengambil kira pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

    “Saya kira ia merupakan tawaran realistik dan menyeluruh,” katanya lapor Sinar Harian.

  • PN letak Rembau dalam senarai menang PRU-15

    PN letak Rembau dalam senarai menang PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan meletakkan Parlimen Rembau dalam senarai boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, bagaimanapun beliau mengakui ia bukan mudah kerana PN berdepan Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempunyai nama besar dalam barisan kepimpinan BN.

    “Dalam sejarah politik di Rembau, tidak pernah ada parti lain yang memerintah di Parlimen ini melainkan BN.

    “Tapi dalam tempoh dua hari ini, saya tengok kita (PN) ada peluang yang besar dan baik. Oleh sebab itu, saya nak orang Rembau buat pertimbangan serta ketetapan dengan memberi kejutan dan sejarah dengan memilih PN kali ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN Parlimen Rembau di Rembau hari ini.

    Beliau mengakui sebahagian kekuatan PN datang daripada Pas dan pada masa sama mendapat dukungan Bersatu, Gerakan serta badan bukan kerajaan (NGO).

    Ujar Mohd. Nazree, sokongan masyarakat juga baik kerana masih ramai yang tidak berparti.

    “Jadi saya yakin arus perubahan itu dapat dilakukan di Rembau, khususnya dalam kalangan anak muda yang jumlahnya lebih 60 peratus di Parlimen Rembau,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Wanita sebak berdialog dengan Muhyiddin, mohon PN kukuhkan kembali ringgit

    Wanita sebak berdialog dengan Muhyiddin, mohon PN kukuhkan kembali ringgit

    SESI dialog sempena pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST, semalam menarik perhatian ramai pihak.

    Ini selepas seorang peserta dikenali sebagai Mastura mengajukan, soalan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keadaan sebak mengenangkan nasib yang menimpa.

    Mastura berkata, dia berdepan dengan situasi sukar sejak penularan Covid-19 namun berjaya bangkit melalui pelbagai inisiatif dibawa Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri.

    Namun begitu, dia yang kini terlibat dalam perniagaan makanan salai berdepan dengan tekanan sekali lagi susulan daripada kejatuhan mendadak mata wang ringgit.

    Sehubungan itu, Mastura berharap, sekiranya PN diangkat menjadi kerajaan, isu yang memberi kesan kepada peniaga kecil ini dapat diselesaikan.

    Menjawab soalan tersebut, Muhyiddin berkata, beliau memahami permasalahan membelenggu peniaga kecil yang rata-ratanya masih terjejas sehingga kini.

    Oleh disebabkan itu, katanya, PN akan menumpukan kepada usaha untuk memperkukuhkan kembali ekonomi negara sebagai agenda utama yang perlu diberikan tumpuan khusus sekiranya diberi mandat kelak.

    “Sekarang ini oleh kerana ringgit dikaitkan dengan soal dolar bila Amerika menaikkan kadar QPR dan sebagainya, maka kesannya ke seluruh dunia dan Malaysia juga terkesan.

    “Jadi perkara pokok kepada segala apa yang disebutkan tadi ialah macam mana kita nak kukuhkan balik kedudukan ekonomi kita.

    “Itu sebab agenda yang saya sebut tadi ‘is to strengthen back’ dan proses ‘recovery’ itu mesti dipercepatkan supaya kedudukan ringgit kita makin kukuh dan ini akan menjamin harga yang lebih stabil,” katanya, lapor Utusan TV.

    Muhyiddin menambah, apabila ekonomi negara kuat dan mampu menjana pendapat sendiri maka kebergantungan kepada pihak lain seperti dialami sekarang tidak akan berlaku.

  • Pentadbiran PN jadikan Malaysia lebih mantap – Radzi

    Pentadbiran PN jadikan Malaysia lebih mantap – Radzi

    PERIKATAN Nasional (PN) bersedia mengemudi Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang mantap sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin, PN menawarkan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil.

    “Ada kerajaan stabil tetapi tidak bersih, tapi PN akan pastikan Malaysia sebuah negara bersih dan stabil,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Pengeluaran Kertas Undi Pos di Putrajaya, hari ini.

    Radzi yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Putrajaya berkata, pengalaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir negara sewaktu pandemik Covid-19 telah membuktikannya.

    “Kita ada rekod yang jelas tanpa sebarang manifesto, kita dapat berkhidmat dengan baik. Kita tidak main-main,” katanya.

    Menurutnya, manifesto yang ditawarkan oleh PN merupakan tawaran komprehensif dengan meliputi pelbagai segmen masyarakat.

    Pada masa sama, Mohd Radzi berkata, pelan jangka pendek, sederhana dan panjang turut diambil kira.

    “Saya kira ia merupakan tawaran realistik dan menyeluruh,” katanya lapor Sinar Harian.

    Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon Bebas.

    Mereka ialah Radzi, penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

  • PN mampu tarik undi bukan Melayu, kata Abdul Hadi

    PN mampu tarik undi bukan Melayu, kata Abdul Hadi

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menarik undi bukan Melayu untuk menyokong mereka sekali gus memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sokongan itu mampu ditarik menerusi gerak kerja yang dilakukan oleh parti komponen seperti Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Beliau memberi contoh, Pas mempunyai Dewan Himpunan Pendukung yang dianggotai oleh bukan Melayu.

    “Begitu juga dengan Bersatu ada cabangnya sendiri bagi yang bukan Islam.

    “Pada masa yang sama PN turut mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang ikut serta sepanjang kempen PRU-15.

    “Contoh boleh dilihat pada tiga negeri yang telah diperintah oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Kita buktikan dengan memberi keadilan, kestabilan dan keamanan kepada semua,” katanya semasa sidang akhbar pada perjumpaan tokoh masyarakat di Kota Bharu, hari ini.

    Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    “Bukan sahaja sekarang, dahulu kita pernah mencipta sejarah pada 13 Mei 1969 apabila Kelantan, Terengganu, Kedah negeri yang kuat Pas tidak berlaku huru-hara,” kata Hadi Awang lagi, lapor Sinar Harian.

  • PN bakal tubuh Jawatankuasa Khas, pantau tawaran PN Best

    PN bakal tubuh Jawatankuasa Khas, pantau tawaran PN Best

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai ahli pakar bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam tawaran PN Best.

    Tawaran PN Best bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil ke arah Malaysia Gemilang itu berteraskan 12 tunjang utama.

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu, antara 12 tunjang utama tersebut adalah membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, membersihkan politik dan tadbir urus serta mensejahterakan bumiputera, Orang Asli dan semua kaum.

    Katanya, PN juga akan memberi tumpuan bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan selain turut memperkasa belia dan menyejahterakan keluarga muda.

    “Selain itu, tawaran PN Best turut mengoptimumkan potensi wanita, membina warga emas yang sejahtera, memperkasa Orang Kelainan Upaya (OKU) dan senerasi Felda serta mentransformasi petani, penternak, nelayan, dan pekebun kecil, ” jelasnya menerusi laman Facebook.

    Semalam, PN di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu telah melancarkan 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Abdul Hadi turut menjelaskan, tawaran itu bertepatan dengan peranan PN dalam usaha mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan melindungi hak semua kaum.

    “Rakyat kini amat memerlukan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil bagi menjamin kemakmuran yang berterusan, pada masa yang sama membina Malaysia yang inklusif dan gemilang.

    “Kita ingin membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam menuju keredhaan ALLAH SWT,” ujarnya.

    Tambah beliau, PN yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak swasta dan rakyat seluruhnya.

    “Insya-ALLAH, dengan sedikit pengalaman sebagai kerajaan ketika negara berhadapan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini tawaran itu dapat dilaksanakan dengan baik,” jelasnya.

    Abdul Hadi yang juga merupakan calon Parlimen Marang turut menegaskan bahawa kewajipan mengundi perlu diambil serius kerana ia melibatkan masa depan kepimpinan negara.

    Katanya, tanggungungjawab mengundi turut berkait dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal.

    “Saya ingatkan kepada semua rakyat agar turun mengundi kerana akan menentukan masa depan negara selain melibatkan soal dosa dan pahala.

    “Mudah-mudahan, setiap amalan kita dinilai sebagai ibadat di sisi ALLAH SWT dan menjadi asbab kepada kemenangan Islam, siiru ‘ala barakatillah,” ujarnya, lapor SatuBerita.

  • PN amanah tunai tawaran PN BEST – Muhyiddin

    PN amanah tunai tawaran PN BEST – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Perikatan Nasional (PN) akan berpegang teguh kepada amanah untuk mengotakan setiap tawaran yang dikemukakan gabungan politik itu.

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, gabungan itu cukup sedar bahawa tawaran dibuat mereka adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat.

    Menurut beliau, semua tawaran itu termasuk banyak insentif lain untuk mensejahterakan rakyat, boleh diakses di pautan http://www.pnbest.my.

    “Perikatan Nasional akan berpegang teguh kepada amanah untuk mengotakan setiap tawaran yang dikemukakan kerana kita cukup sedar bahawa tawaran kita adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    Manifesto atau tawaran Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berteraskan Prihatin, Bersih dan Stabil (#PNBEST) dilancarkan Muhyiddin dalam satu majlis di Shah Alam malam tadi.

    Dengan tema ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST, Perikatan Nasional menampilkan tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran.

    Daripada 234 tawaran itu, 50 tawaran utama menjadi fokus gabungan itu termasuk membina ekonomi masa hadapan; meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, tawaran PN itu akan menjadi wadah dalam membawa harapan rakyat dan negara ke arah Malaysia yang lebih gemilang.

    Malah katanya, manifesto itu amat realistik kerana ia bukannya sekadar janji-janji pilihan raya tetapi boleh dan mampu dilaksanakan oleh Perikatan Nasional jika diberi mandat membentuk kerajaan pada 19 November ini.

    “Mesej teras 234 tawaran PN di bawah 12 tunjang dan 30 pendekatan kita ini adalah jelas iaitu untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum, demi manfaat rakyat dan negara keseluruhannya.

    “Antara tawaran utama ialah menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan RM5 bilion ke arah menjadikan Malaysia paksi industri di Asia Tenggara, Dana Khas Pelancongan RM1 bilion dan sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi untuk merancakkan ekonomi,” tambahnya.

  • ‘Muka tak malu, tanding tiket BN mengaku ahli Pas’ – Takiyuddin

    ‘Muka tak malu, tanding tiket BN mengaku ahli Pas’ – Takiyuddin

    PAS menempelak calon BN Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi yang mengaku masih lagi ahli parti itu meskipun bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN).

    “Ahli parti boleh terlucut keahlian apabila bertanding atas tiket parti lain.

    “Muka tak malu, kita bukan ahli Pas tapi kita bagi tahu masih ahli Pas, bolehkah ahli Pas bertanding atas tiket BN,” kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

    Kenyataan Takiyuddin dipercayai merujuk kepada Che Abdullah yang didakwa masih mengaku ahli Pas meskipun bertanding menggunakan logo BN.

    Che Abdullah memenangi kerusi Tumpat atas tiket PAS dengan 17,500 undi, menewaskan calon BN, Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan (PH) Nordin Salleh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.

    Nama Che Abdullah tidak disenaraikan sebagai calon oleh Pas bagi mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRU kali ini.

    Takiyuddin berkata mana-mana ahli Pas bertanding atas tiket parti lain akan gugur keahlian parti itu secara automatik.

    Dua bekas wakil rakyat Pas bertanding menggunakan logo BN dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) selepas tidak dicalonkan parti itu.

    Che Abdullah cuba mempertahankan kerusi Tumpat yang dimenanginya sebelum ini dengan tiket BN, begitu juga dengan penyandang kerusi Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali.

    Dalam pada itu Takiyuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu turut memaklumkan seseorang ahli Pas boleh terhenti atas tiga faktor iaitu yang pertama disebabkan permintaan sendiri.

    “Sementara faktor kedua dipecat serta ketiga apabila mengisytiharkan diri keluar dari PAS dengan menyertai politik lain.

    “Menyertai politik kain tidak semestinya menjadi ahli, sebaliknya bertanding atas tiket parti lain juga dianggap keahliannya secara automatik terbatal,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.

  • Ahli PAS bantu kempen parti lain boleh dipecat – Takiyuddin

    Ahli PAS bantu kempen parti lain boleh dipecat – Takiyuddin

    PAS mengingatkan mana-mana ahli parti itu yang membantu kempen parti lain boleh dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat daripada parti.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia kerana tindakan berkenaan dianggap melanggar disiplin.

    “Perkara ini sudah terkandung dalam perlembagaan yang menyebut seorang ahli Pas dianggap melanggar disiplin jika melakukan sebarang tindakan yang menyalahi serta merugikan parti.

    “Sudah tentu jika seseorang ahli membantu berkempen untuk parti lain akan merugikan Pas dan tindakan akan diambil termasuk dipecat.

    “Setakat ini kita belum menerima sebarang aduan dan ini peringatan kepada semua ,” katanya pada sidang media, di Kota Bharu, hari ini lapor BH Online.

    Pada masa sama, penyandang Parlimen Kota Bharu itu turut memaklumkan seseorang ahli Pas boleh terhenti atas tiga faktor iaitu yang pertama disebabkan permintaan sendiri.

    “Faktor kedua dipecat serta ketiga apabila mengisytiharkan diri keluar daripada Pas dengan menyertai politik lain.

    “Menyertai politik lain tidak semestinya menjadi ahli, sebaliknya bertanding atas tiket parti lain juga dianggap keahliannya secara automatik terbatal,” katanya.

    Ditanya tindakan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah yang dikatakan masih mengaku ahli Pas ketika bertemu pengundi, Takiyuddin berkata ia mampu mempromosikan Pas.

    “Mungkin juga beliau tidak malu,” katanya.