Author: Wartawan WartaRakyat

  • Gelombang sokongan PN memuncak, tsunami tolak BN, PH bakal melanda: Muhyiddin

    Gelombang sokongan PN memuncak, tsunami tolak BN, PH bakal melanda: Muhyiddin

    GELOMBANG sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya berbaki sembilan hari lagi.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat sendiri gelombang penolakan itu kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semasa berkempen di Kedah dan Perlis sejak dua hari lalu.

    Menurutnya, beliau menjangkakan negeri utara tanah air itu akan dapat ditawan dalam PRU-15 ini.

    “Saya jangka sekarang ni dah ada di Melaka pun ada gelombang walaupun masih sedikit… saya pergi ke Perlis, Kedah. Sokongannya hebat (apa lagi)dengan Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

    “Bila Shahidan bertanding atas tiket Perikatan Nasional di Parlimen Arau, porak-peranda UMNO dibuatnya. (Sebab itu) saya yakin Perlis akan jatuh ke tangan Perikatan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Kelompok bersama penduduk Kampung Tengah, Kampung Naib Piee, Kampung Parit Buaya dan Kampung Aungai Terap, di Pagoh, malam ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berharap tsunami yang berlaku di Perlis akan terus melanda sehingga ke Johor.

    “Mudah-mudahan (gelombang besar) itu mampu menghanyutkan segala sampah-sarap amalan rasuah dan salah guna kuasa, agar Perikatan Nasional dapat membentuk kerajaan yang berintegriti.

    “Saya nampak rasa-rasa tumbang banyak kerusi kat sana (Perlis). Jadi untuk gelombang utara dia akan turun sampai ke Selatan… kita harap dan berdoa dalam tempoh dua tiga hari ini (gelombang) akan jadi terus membesar.

    “Sebagaimana pada 2018 berlaku tsunami dan kali ini tsunami yang lebih besar untuk menghumbankan UMNO (BN) dan PH ke Laut China Selatan.

    “Moga misi dan visi kita untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST) tercapai,” katanya lagi.

    Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa pengundi supaya beramai-ramai keluar mengundi memilih Perikatan Nasional kerana peratusan undi yang rendah menyebabkan BN berpeluang menang.

  • Bas kitaran UPSI terbabas, 11 pelajar cedera

    Bas kitaran UPSI terbabas, 11 pelajar cedera

    SEBANYAK 11 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) cedera apabila sebuah bas kitaran milik institusi pendidikan tinggi berkenaan terbabas dan masuk ke dalam longkang di Proton City, Tanjong Malim, malam ini.

    Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) (TNCHEPA0 sedang menyantuni pelajar terlibat di Hospital Slim River.

    Dalam kejadian pukul 7.13 malam itu, bas kitaran dengan muatan kira-kira 54 pelajar dikatakan dalam perjalanan membawa pulang para pelajar ke kediaman mereka.

    Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam kenyataan di Facebook berkata, sehingga kini, tiada sebarang kecederaan serius dialami penumpang.

    “Seramai 11 orang pelajar mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Slim untuk pemeriksaan lanjut,” katanya

    Mengulas lanjut, Dr Md Amin berkata, buat masa ini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) (TNCHEPA0 sedang menyantuni pelajar terlibat di Hospital Slim River.

    Katanya, sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

    “Jutaan terima kasih atas ingatan dan iringan doa dari semua pihak.
    Sama-sama kita doakan kesejahteraan pelajar tercinta ini,” tambah beliau.

  • Muhyiddin ajak rakyat ubah perkara mungkar agar kehidupan lebih baik

    Muhyiddin ajak rakyat ubah perkara mungkar agar kehidupan lebih baik

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat terutamanya umat Islam diajak mengubah perkara yang mungkar atau perkara mengingkari perintah Tuhan agar kehidupan mereka menjadi lebih baik.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, sebagai seorang Muslim, mereka dituntut supaya tidak berdiam diri apabila melihat kemungkaran berlaku.

    Menurutnya, beliau sendiri akan menentang setiap perkara yang salah kerana ia adalah prinsipnya.

    “Segala perkara yang salah saya akan tentang. Ini adalah prinsip saya. Apatah lagi sebagai seorang Muslim, kita dituntut supaya tidak berdiam diri apabila melihat kemungkaran berlaku.

    “Ubahlah yang mungkar itu supaya kehidupan kita menjadi lebih baik,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau telah lalui pelbagai rintangan dalam perjuangan menentang kemungkaran semata-mata untuk menegakkan sebuah kerajaan yang bersih.

    Malah tegasnya, beliau yakin rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bersih dengan pemimpinnya bebas rasuah.

    “Saya yakin semua dari kita mahukan Kerajaan yang bersih. Kerajaan yang dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bebas rasuah.

    “Kami di Perikatan Nasional memberi komitmen untuk ini. Kerajaan Bersih. Selain dari Kerajaan Prihatin dan Kerajaan Stabil,” tambahnya.

  • Pakatan sulit BN, PH bergabung berita sahih saya terima – Muhyiddin

    Pakatan sulit BN, PH bergabung berita sahih saya terima – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa beliau mendapat berita sahih bahawa Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya jumlah kerusi Parlimen kedua-dua parti itu boleh membentuk kerajaan.

    Jika perkara itu benar-benar terjadi, katanya, bukan sahaja ahli UMNO sendiri yang rugi, malah akan menjadi satu berita buruk kepada negara.

    “Saya telah dapat berita sahih pada pagi ini bahawa ada pakatan yang sulit di antara Zahid (Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (Presiden PKR dan Pengerusi PH),” katanya.

    Calon PN itu yang mempertahankan Parlimen Pagoh berkata demikian ketika majlis sembang santai bersama penduduk Kampung Panjang Sari, Kampung Sri menanti dan Kampung Sri Makmur di Pagoh, Muar hari ini.

    Menurutnya jika gabungan itu menjadi kenyataan ianya boleh merugikan orang Melayu dan negara kerana dalam PH terdapat DAP yang menentang hak keistimewaan orang Melayu hingga berusaha untuk mengubah undang-undang.

    “Saya biasa duduk bersama DAP dulu. Tapi Saya tak boleh duduk lama… pasal bila Bersatu ada bersama dengan Pakatan Harapan yang di dalamnya ada DAP, sokongan orang Melayu terus merosot.

    “Pilihan raya kecil di Semenyih kalah. Di Tanjung Piai kalah. Waktu itu saya dah beritahu Tun Dr. Mahathir Mohamad… saya kata Tun… kita tak keluar daripada Pakatan Harapan lunyai kita dibuat dalam pilihan raya akan datang.

    “Hari ini alhamdulillah saya tinggalkan Pakatan Harapan. Pasal ada DAP dalam itu. Kita tahu parti-parti ini nampak demokrasi… tapi apa perjuangan dia? Apa ideologinya? Tak selari dengan perjuangan kita orang Melayu Islam dan juga rakyat Malaysia yang lain,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Beliau memberi contoh, apabila DAP meminta lapan Ketua Setiausaha Negara ditukar sebaik sahaja mereka naik menjadi kerajaan selepas PRU-14.

    Kata Muhyiddin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika itu mahu mengambil RM2 bilion wang Ekuinas yang ditubuhkan untuk membina dan memperbaiki jalan di Tanah Rancangan Felda.

    “Jadi sebab itu, kalau Zahid… dia kata mungkin dia tak cukup kerusi. Dia dah beritahu dia akan gabungkan dengan Pakatan Harapan.

    “Jadi jika sudah begitu keadaannya BN dan PH… maka rakyat, termasuk ahli UMNO, tiada pilihan selain mengundi Perikatan Nasional supaya dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,” katanya.

  • PKR sengaja mahu calon sendiri kalah di Bagan Datuk, kata Hamzah

    PKR sengaja mahu calon sendiri kalah di Bagan Datuk, kata Hamzah

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) didakwa sengaja mahu calonnya kalah di Parlimen Bagan Datuk dengan meletakkan Shamsul Iskandar Md Akin untuk berdepan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Dakwaan itu dibuat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Calon PN bagi kerusi Parlimen Larut.

    “Dia (Anwar Ibrahim) hantar Shamsul ke Bagan Datuk semata-mata kerana nak tentukan Shamsul kalah dan dia tiada lagi dalam parti sebab Shamsul ni dikatakan pengikut Azmin (Ali) waktu dulu,” katanya selepas beramah mesra dengan penduduk Bukit Bertam di Larut.

    Katanya, Anwar sengaja mencari jalan menguburkan karier politik pemimpin parti yang tidak sehaluan dengannya.

    “Itulah jenis orang yang ada…mencari jalan supaya pancung calon-calon yang mereka rasakan tak boleh bersama mereka. Itu bukan agenda perjuangan sebenar.”

    Hamzah tidak menolak kemungkinan PKR dan UMNO meletakkan calon demi kepentingan peribadi presiden masing-masing.

    Parlimen Bagan Datuk menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Zahid, Shamsul, calon PN, Muhammad Faiz Na’aman serta calon Bebas, Mohamed Tawfik Ismail.

    Shamsul pernah diberi gelaran ‘Giant killer’ selepas mengalahkan bekas Ketua Menteri Melaka di kerusi Parlimen Bukit Katil pada PRU 2013 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2018 ketika ditukar nama kepada Hang Tuah Jaya.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tindakan merosakkan bahan kempen kerap berlaku semasa tempoh berkempen, terutama di lokasi ‘panas’.

    “Perkara tidak amanah sentiasa berlaku dalam PRU, tetapi bukan semua tempat…ada tempat ganas, ada tempat bertembung sehingga mereka sanggup melakukan perkara bukan-bukan.

    “Kita serahkan kepada agensi untuk ambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Semalam, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memuat naik gambar tiga poster serta banting miliknya yang digantung di tepi jalan Taman Tun Dr. Ismail serta Bandar Utama dikoyak dan digunting individu tidak bertanggungjawab.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan laporan dibuat semalam.

  • Gangguan LRT menyedihkan, Muhyiddin gesa kerajaan segera selesaikan isu

    Gangguan LRT menyedihkan, Muhyiddin gesa kerajaan segera selesaikan isu

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menggesa isu perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang tergendala akibat kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) diselesaikan secepat mungkin.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, isu itu tidak boleh dilengah-lengahkan oleh kerajaan dan tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan segera oleh kementerian berkaitan kerana ia memberi kesan kepada rakyat.

    “Saya tak perlu mengajar tentang hal itu. Saya baca berita itu cukup menyedihkan kerana beberapa hari LRT tidak bergerak menyebabkan banyak komuter tidak dapat digunakan dan banyak masalah berlaku.

    “Walaupun ketika ini negara dipimpin oleh kerajaan sementara, tanggungjawab itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

    “Ia perlu mengambil kira apa punca ia berlaku dan berapa cepat boleh ditangani bagi menyelesaikan masalah pengangkutan berkenaan,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas program Sembang Santai Bersama Penduduk di Kampung Panjang Sari, dekat Pagoh, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, gangguan sistem LRT itu mengakibatkan ramai pengguna terkesan kerana ia sistem pengangkutan penting di kawasan Lembah Klang.

    “Sepatutnya sudah ada perancangan awal kalau berlaku hal seperti ini. Apa perlu buat dengan cepat sebab sebelum ini pun, sudah pernah ada pengalaman insiden rempuhan LRT,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, walaupun isu itu tidak membabitkan nyawa, kelewatan disebabkan oleh masalah teknikal tidak patut berlaku.

    Kerajaan, menerusi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, hari ini memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna LRT Laluan Kelana Jaya yang telah mengalami gangguan perkhidmatan sejak semalam.

    Semalam, LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan menyebabkan perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen Ampang Park diberhentikan.

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel, memaklumkan ia dibuat atas faktor keselamatan selepas berlalu gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) laluan Kelana Jaya, yang mula dikesan jam 3.03 petang.

    Berikutan masalah itu, sebahagian perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari, bermula hari ini.

    Rapid KL dalam kenyataan menyebut, penggantungan operasi membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

    Ia membabitkan Stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asian Jaya,Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum dan KL Sentral.

    Selain itu, Stesen LRT Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

  • Khairy layak jadi PM, cuma dia dalam parti yang salah – Muhyiddin

    Khairy layak jadi PM, cuma dia dalam parti yang salah – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin layak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada masa hadapan.

    Muhyiddin berkata, Khairy mempunyai kredibiliti dan kesungguhan selain cemerlang melaksanakan tugas sebagai menteri.

    “Saya fikir mungkin bukan cakap kosong. Dia seorang tokoh yang bagus, malah dalam Kabinet saya pun dia antara orang yang dipercayai.

    “Dia menguruskan soal COVID-19 dan sebagainya dengan baik, ada masa depan yang baik, cuma dia ada dalam parti yang salah.

    “Tapi tak mengapalah, semua orang mempunyai cita-cita untuk jadi apa sekalipun. Tak perlu tanya kenapa kau nak jadi PM? Itu impian dia. Tapi bila masanya?

    “Mungkin dia kena ambil alih UMNO dan jadi presiden. Peroleh jumlah kerusi yang banyak serta boleh membentuk kerajaan ketika itu. Ketika ini dia boleh cakap sahaja, tak salah pun,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Kampung Panjang Sari, Pagoh, Muar, hari ini.

    Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui Menteri Kesihatan itu layak menerajui negara pada masa hadapan.

    Ismail Sabri dilaporkan berkata, langkah pertama adalah Khairy perlu memenangi pilihan raya dan mendapat sokongan majoriti parti terlebih dahulu sebelum dilantik memegang jawatan berkenaan.

  • SPR larang bawa telefon bimbit ke bilik pengundian

    SPR larang bawa telefon bimbit ke bilik pengundian

    SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) akhirnya melarang pengundi membawa telefon bimbit ke bilik pengundian.

    Ini dijelaskan dengan mempamerkan 10 langkah yang perlu dilakukan ketika hari pengundian dengan memberi penekanan larangan di langkah ke enam.

    “Pengundi perlu bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit,” jelas SPR menerusi poster yang dimuat naik di laman sosial suruhanjaya itu.

    Langkah ini perlu dibuat sebelum pengundi pergi ke petak undi bagi menanda calon pilihan masing-masing pada ruang kosong bersebelahan nama dan simbol calon pada kertas undi dengan menggunakan menggunakan pen.

    Pengundi boleh mengambil semula telefon bimbit masing-masing setelah memasukan kertas undi ke dalam peti undi yang tepat.

    “Bergerak ke meja KTM sekali lagi untuk mengambil telefon bimbit” jelasnya dengan mempamerkan di langkah ke sembilan, lapor MalaysiaKini.

    Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr. Mahathir Mohamad beberapa kali telah memberi teguran kepada pihak SPR mengenai kelemahan yang dilihat dalam pilihan raya.

    Dia sebelum ini menggesa SPR bagi melarang penggunaan telefon bimbit di pusat pengundian ketika proses pembuangan undi.

    Menurutnya, pembawaan telefon bimbit semasa mengundi boleh menidakkan rahsia pengundi dan mendorong parti menggunakan maklumat untuk sogokan.

    Malah, GTA terus menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melarang pengundi membawa telefon pintar ke bilik pengundian.

  • Tak dicalonkan bertanding PRU-15, ini perkara dilakukan Nik Abduh

    Tak dicalonkan bertanding PRU-15, ini perkara dilakukan Nik Abduh

    PENYANDANG kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tidak dicalonkan semula oleh Pas bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) giat membantu calon parti yang menggantikannya di kawasan itu, Mohd Syahir Che Sulaiman berkempen.

    Beliau yang merupakan anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara nama besar pemimpin parti itu yang tidak dicalonkan semula.

    Turut digugurkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) adalah penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang kemudian dipilih Barisan Nasional (BN) sebagai calon langsungnya bertanding mempertahankan kerusi sama.

    Sejak penamaan calon pada Sabtu lalu, anak bekas Menteri Besar Kelantan itu dirakam bergerak seiring dengan Mohd Syahir untuk memberi sokongan walaupun nama beliau tidak tercalon pada PRU kali ini.

    “Sepanjang berkempen, beliau juga bersama-sama dengan saya turun padang untuk berjumpa pengundi serta melawat jentera Pas kawasan.

    “Saya berasa cukup bertuah apabila anak bekas Menteri Besar Kelantan itu menyatakan komitmen untuk membantu sepanjang tempoh berkempen,” kata Mohd Syahir pada sidang media di Pejabat Penerangan Pas Kelantan, di sini hari ini.

    Sebelum ini, ada pihak menjangkakan Nik Mohamad Abduh mungkin tetap bertanding PRU-15 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok diwakilinya walaupun tidak mewakili Pas, namun bukan itu yang berlaku.

    Media melaporkan, Pas menyifatkan tindakan parti itu tidak mencalonkan semula Nik Mohamad Abduh bagi mempertahkan kerusi Parlimen Bachok, bukan untuk mematikan legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz.

    Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, turut menegaskan Nik Mohamad Abduh sebaliknya secara sukarela memberi laluan kepada calon muka baharu.

    Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, bagi beliau, bukan mudah untuk menandingi aura legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz yang kini dibawa Nik Mohamad Abduh.

    “Walaupun sedikit gentar, saya perlu menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan memastikan kemenangan PAS pada PRU15,” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam perkembangan lain, Setiausaha Politik Presiden Pas itu memperkenalkan konsep 5K, iaitu kefahaman agama, kecemerlangan akademik, keusahawanan dalam kalangan belia, keberhasilan pertanian dan keunikan pelancongan khususnya di daerah Bachok.

  • Sorok ketamin dalam penguli doh roti

    Sorok ketamin dalam penguli doh roti

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran ketamin bernilai RM160,000 yang disorokkan di dalam tempat penguli doh roti di sebuah syarikat penghantaran di Bayan Lepas, Jumaat lalu.

    Dalam operasi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira pukul 7 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil pemeriksaan dan serbuan dengan dipandu arah suspek terbabit membawa kepada penemuan bahan terlarang itu dengan anggaran berat 2,928 gram di dalam 11 unit penguli (pastry rolling) berwarna merah dan hijau.

    Menurutnya, berdasarkan risikan bekalan ketamin itu akan dihantar ke luar negara melalui syarikat penghantaran.

    “Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    “Turut disita adalah sebuah motosikal jenis CF250 bernilai RM12,000 dan sebuah kereta jenis Proton Persona bernilai RM15,000.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM187,000,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya hari ini.

    Dalam pada itu, beliau memberitahu, anggaran dadah ketamin yang dirampas itu mampu dibekalkan kepada 4,000 penagih.

    Tambahnya, suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga 10 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.