Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRN: PN yakin 32 calon mampu beri kemenangan, kata Hadi

    PRN: PN yakin 32 calon mampu beri kemenangan, kata Hadi

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin 32 bakal calon yang dipertaruhkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos ini akan membawa kemenangan.

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua bakal calon yang diumumkan sudah melalui proses tapisan oleh Majlis Syura Ulama dan pimpinan parti selain perlu melakukan baiah atau ikrar taat setia kepada parti.

    Beliau yang juga Presiden Pas turut meminta semua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan PN seterusnya kekal mentabdir Terengganu.

    “Untuk maklumat, semua calon-calon yang kita pilih ini bagi Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada penapisan dia dan ada ikrar dia… Pas ada penapisan Majlis Syura Ulama (untuk) tapis tiap-tiap orang calon.

    “Majlis Syura Ulama tapis pastikan calon ini seorang yang tidak fasik, adil, tidak buat dosa besar, tak buat salah laku (dan) mesti ditapis betul-betul.

    “(Calon yang bertanding perlu) lulus mengikut hukum dan syariat Islam bukan mengikut berita-berita orang cakap kerana hukum Islam ada caranya dan membuat tabayyun (menyemak atau memeriksa) mengikut ajaran Allah SWT,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang malam tadi.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang berkata, PRN kali ini PN menampilkan calon-calon yang mempunyai kewibawaan yang luar biasa bagi memastikan kemenangan parti itu.

    “Ini membabitkan 16 calon atau 50 peratus calon ulama atau berkelulusan agama, 13 calon daripada golongan profesional dan usahawan (39.5 peratus) dan tiga lagi calon dengan lain-lain latar belakang.

    “Ia menandakan bahawa satu keadaan dan satu kombinasi yang akan mampu menterjemahkan dasar dan hala tuju Pas untuk memimpin dan mengendalikan kerajaan (Terengganu) bagi penggal lima tahun yang akan datang,” katanya, lapor Harian Metro.

    Pada majlis itu, seramai 33 calon termasuk seorang calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diumumkan.

    Daripada 32 DUN di Terengganu, Pas akan bertanding di 27 kerusi DUN manakala kerusi Hulu Besut, Telemung, Permaisuri, Seberang Takir dan Kijal akan ditandingi calon Bersatu.

  • Penduduk Taman Sungai Sireh resah 89 rumah bakal dirobohkan, dakwa dipinggirkan MB Selangor

    Penduduk Taman Sungai Sireh resah 89 rumah bakal dirobohkan, dakwa dipinggirkan MB Selangor

    RAMLI Mohd. Jadi sudah menetap di Taman Sungai Sireh, Klang, Selangor sejak tahun 70-an, ketika taman itu masih lagi perumahan setinggan.

    Pada penghujung usianya, lelaki itu mahu menghabiskan umurnya di taman tersebut.

    Namun, niatnya itu mungkin tidak kesampaian.

    Pada bulan Ogos tahun lalu, kehadiran beberapa orang misteri menggemparkan penduduk kampung.

    Mereka yang tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris dilihat sedang melakukan tinjauan dan membuat penandaan rumah-rumah di taman itu.

    Selepas semakan, didapati orang-orang itu ialah kontraktor dari China yang terbabit dengan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

    Menurut seorang lagi penduduk, Azman Mohd. Mahusin, mereka hanya dimaklumkan mengenai jajaran yang melalui kawasan perumahan mereka beberapa bulan lepas, meskipun projek itu sudah bermula seawal 2017.

    “Penduduk tidak dimaklumkan secara rasmi. Ada perjumpaan yang kami usahakan sendiri dengan beberapa pihak berkaitan tetapi kerajaan mendakwa merekalah yang melakukan libat urus, padahal itu semua kami yang usahakan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Taman Sungai Sireh yang mempunyai kira-kira 300 buah rumah, menjadi tumpuan orang ramai apabila isu itu tular di media arus perdana dan media sosial.

    Menurut Azman, mereka hanya mendapat maklumat dalam internet dan difahamkan taman itu difahamkan terletak di jajaran Seksyen C, membabitkan laluan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

    Ia termasuk sebidang tanah yang menempatkan puluhan kubur di taman itu.

    Projek sepanjang lebih 600 kilometer itu menghubungkan Pelabuhan Klang dengan negeri-negeri di Pantai Timur.

    Ia dibuat pada era bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan kerjasama syarikat dari China.

    Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah difahamkan dikeluarkan pada 12 Januari 2023 lalu yang mana sekurang-kurangnya 89 rumah di Taman Sungai Sireh bakal berdepan dengan risiko pengambilan rumah kediaman mereka.

    Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh, Shapawi Hashim berkata, penduduk resah kerana penjelasan yang diberikan pihak kerajaan negeri tidak tuntas.

    Pembahagian kerja antara kerajaan negeri dan persekutuan juga tidak berjalan seiring.

    “Menteri Besar Amirudin Shari kata tiada tindakan. Tetapi Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sudah masuk.

    “Setelah penilaian JPPH, akan ada tempoh masa selepas laporan itu. Tempoh untuk kami tinggal dalam taman ini sekitar tiga ke enam bulan sebelum notis pengosongan akan dikeluarkan.

    “Perkara ini di bawah kerajaan Persekutuan tetapi tindakan dari kerajaan negeri tidak seiring,” katanya merujuk kepada kuasa kerajaan negeri dalam pengambilan tanah bagi projek berkenaan.

    Amirudin ketika mengulas isu perumahan itu berkata, perkara berkenaan masih dalam penilaian dan tiada notis dikeluarkan.

    “Projek di kawasan itu dijadualkan bermula 2025. Apabila tanya penduduk, memang mereka tidak tahu sebab kita belum beri notis, bermakna perobohan tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.

    “Ketika ini, yang sedang dibuat adalah penilaian untuk dicadangkan (kepada pemaju).

    “Selepas itu, kerajaan negeri perlu mendapatkan realiti jajaran sebenar projek tersebut,” kata Amirudin.

    Menurut Shapawi, penduduk agak terkilan dengan Amirudin kerana enggan bertemu dengan mereka meskipun sudah beberapa kali membuat surat.

    Amirudin juga hadir program kerajaan negeri berhampiran baru-baru ini, yang mana ia dimanfaatkan penduduk untuk bertemu dan menyuarakan kegusaran mereka, walaupun tidak dijemput.

    Shapawi berkata, jika benar apa yang dimaklumkan Amirudin, kerajaan negeri perlu memberi jaminan kepada penduduk sebelum apa-apa kerja dilakukan.

    Sementara itu, seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Cik Umi meluahkan rasa tidak puas hati kepada kepimpinan kerajaan negeri mengendalikan isu itu.

    “Kita nak dapat rumah bukan senang. Macam mana boleh suka-suka hati sahaja beritahu rumah kami kena (roboh).

    “Kita bukan orang kaya hendak ambil peguam,” katanya.

    Warga emas itu mempersoalkan pampasan yang akan diberikan kerajaan Selangor sekiranya rumah mereka sah akan dirobohkan.

  • Nik Abduh tolak tawaran dua kerusi – Pas

    Nik Abduh tolak tawaran dua kerusi – Pas

    PAS mengesahkan spekulasi dan menjelaskan Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan selepas menolak dua kerusi yang ditawarkan kepadanya.

    Menurut laporan MalaysiaKini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok itu tetap berlapang dada walaupun tidak bertanding.

    Malah anggota Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan tindakan tidak mengangkat nama Nik Abduh sama sekali bukan bertujuan menghapuskan legasi bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    “Tiada isu berhubung ketiadaan Nik Abduh kerana dalam politik ruangnya banyak bukan untuk bertanding semata-mata.

    “Kita ada tawarkan satu dua kerusi, namun beliau tolak, Nik Abduh pun kata tidak bertanding pun tidak mengapa, dia boleh fokus kepada sekolah agama yang diuruskannya.

    “Ketiadaan Nik Abduh juga bukan untuk matikan legasi Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz kerana untuk meneruskan legasi bukan hanya perlu menjadi calon sebaliknya perjuangannya yang perlu disambung,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Kelantan, di Kota Bharu, malam tadi.

    Dalam pengumuman itu, PN Kelantan menampilkan 23 calon muka baru termasuk enam calon daripada Bersatu di 45 DUN keseluruhannya.

    Terdahulu media melaporkan Nik Abduh sekali lagi tidak dicalonkan seperti mana dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Malaysiakini sebelum ini memetik beberapa sumber melaporkan bekas ketua Pemuda Pas Pusat itu berkemungkinan akan dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

    Sumber memaklumkan beliau ditwarkan untuk bertanding di DUN Kijang dan DUN Kota Lama bagaimanapun menolak kerana lebih berminat dengan kerusi Chempaka.

    Pas Kelantan mengumumkan kerusi itu diberikan kepada calon muka baru, Nik Baharum Nik Abdullah bagi menggantikan posisi yang disandang Fathan Mahmood.

    Untuk rekod, Chempaka merupakan salah satu kubu kuat Pas dan sebelum ini turut diwakili Nik Abdul Aziz sejak 1995 hingga kemuncak karier politiknya pada tahun 2013.

  • PRN: Calon ‘underdog’ PN sedia berdepan Tok Mat

    PRN: Calon ‘underdog’ PN sedia berdepan Tok Mat

    TIMBALAN Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan yang menjadi taruhan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) menyifatkan pilihan pengundi adalah calon ‘heavyweight’ atau ‘underdog’.

    Menurutnya, beliau sendiri lebih selesa sebagai calon ‘underdog’ kerana ia tiada tekanan.

    “Walaupun Tok Mat calon ‘heavyweight’ tapi dalam keadaan politik semasa kita, tak pasti lagi apa yang akan berlaku di depan.

    “Ini kerana ia terpulang kepada pengundi dan saya pun tidak rasa tertekan kerana perlu berhadapan dengan Tok Mat malah mengucapkan terima kasih kepada parti kerana beri kepercayaan kepada saya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.

    Mohamad merupakan penyandang DUN Rantau sejak 2004 dan menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 2004 hingga 2018.

    Pada Pilihan Raya Umum PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding selepas calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 5 Mei 2018.

    Dr. Streram merangkap Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau kemudian memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Bagaimanapun Mohamad secara rasmi mengekalkan kedudukannya selepas menewaskan Streram dengan majoriti 4,510 undi.

    Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Streram 5,887 undi.

  • ‘Sokongan anak muda mampu robohkan kerusi tradisi UMNO’, kata Razali

    ‘Sokongan anak muda mampu robohkan kerusi tradisi UMNO’, kata Razali

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin sokongan anak muda yang mahukan perubahan kepada gabungan politik itu mampu merobohkan kerusi tradisi UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

    Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris percaya dapat memberi tentangan sengit kepada penyandang DUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said menerusi jentera pilihan raya yang ada di DUN berkenaan.

    “Ini bakal menggugat kedudukan Ahmad yang menyandang kerusi itu sejak 1990 sekali gus memastikan kemenangan PN semasa pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

    “Sudah tentu bekas Menteri Besar Terengganu (Ahmad) itu merupakan calon ‘hardcore’ yang lama kerana dia sudah lima penggal (menjadi ADUN Kijal).

    “Namun, sejak akhir-akhir ini kita lihat pengundi muda selain pengundi saluran lima dan enam telah mula beralih kepada generasi baharu.

    “Ini bermaksud, mereka mahukan muka-muka baharu dan mahukan satu perubahan. Saya yakin perubahan itu berlaku di Kijal,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan calon PN di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang, malam tadi.

    Mengulas lanjut, Razali berkata, lima kerusi yang ditandingi calon Bersatu diharapkan dapat memberi sumbangan dan bonus kepada Pas di Terengganu daripada segi pertambahan jumlah kerusi.

    “Pilihan raya ini bukan untuk bergaduh, ia bagi tarik sokongan dan kita buatlah sebaik mungkin.

    “Kita beri khidmat sebaik mungkin dan beri polisi dan agenda-agenda baharu. insya-Allah kita diterima masyarakat,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.

    Beliau menerima 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang menerima 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.

    Bagaimanapun, pada PRU15 Parlimen Kemaman lalu, UMNO yang menpertaruhkan Ahmad di kerusi berkenaan tidak bernasib baik.

    Pilihan raya itu menyaksikan Pengerusi UMNO Terengganu itu tewas dalam pertembungan empat penjuru setelah calon Pas, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi.

    Che Alias yang juga merupakan penyandang kerusi parlimen itu memperoleh 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

  • Sanusi cabar Saifuddin siasat tatakelola Projek 99 East di Langkawi pada 2007

    Sanusi cabar Saifuddin siasat tatakelola Projek 99 East di Langkawi pada 2007

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dicabar untuk menyiasat tatakelola Projek 99 East di Langkawi pada 2007 iaitu ketika Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar yang masih tidak selesai hingga hari ini.

    Menurut Muhammad Sanusi, tiada apa yang berlaku dalam projek itu hingga akhirnya menyebabkan kerajaan negeri disaman oleh sebuah syarikat swasta, Terra Monda yang hanya bermodalkan air liur.

    “Akibat keghairahan seorang dua ligan projek padang golf dan kediaman mewah, projek yang diuar-uarkan bernilain RM1.4 bilion itu merugikan kerajaan dalam banyak aspek.

    “Kerajaan terpaksa bagi tanah milik kerajaan dan tanah bukan milik kerajaan seperti hutan simpan, Permodalan Kedah Berhad (PKB), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) kepada projek itu dan terpaksa cari tanah lain untuk ‘swap’ sekatan rizab Melayu,” katanya dalam status dimuat naiknya di laman Facebook awal pagi ini.

    Tambahnya, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pada antara 2018 hingga 2020, mereka mendakwa telah memiliki penyelesaian terhadap perkara tersebut.

    “Hakikatnya tiada penyelesaian melainkan kerajaan menanggung rugi beratus juta. Dah rajin sangat nak siasat tatakelola, sila suruh kawan-kawan ‘hang’ pi siasat.

    “Panggil ‘depa’ seorang demi seorang dan kita tengok siapa yang kena,” katanya.

    Ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah kelmarin, Muhammad Sanusi turut mengajukan beberapa persoalan kepada Saifuddin berikutan ‘kerajinan’ menteri itu untuk menjalankan siasatan.

    Antara soalan dikemukakan adalah mengenai kerugian dialami Syarikat Air Darul Aman antara 2018 hingga 2020 yang berjumlah RM36 juta selain hutang RM149 juta.

    Selain itu, Muhammad Sanusi turut membangkitkan mengenai pembangunan Jerai International Park yang menyebabkan kerajaan negeri disaman RM150 juta sebelum berlangsung rundingan selama 30 tahun hingga akhirnya kerajaan negeri diperintah membayar RM21 juta.

    Tidak berakhir di situ, Muhammad Sanusi berkata, Saifuddin turut perlu menyiasat pemindahan wang milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang berjumlah RM13 juta ke Kanada sebelum beliau menjadi Menteri Besar.

  • Khazan menentang Ahmad Razif di DUN Seberang Takir

    Khazan menentang Ahmad Razif di DUN Seberang Takir

    PAS mengumumkan calon dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Khazan Che Mat mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, 12 Ogos depan.

    Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di Marang malam ini.

    Khazan akan menentang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, bekas Menteri Besar Terengganu ke-14 yang mesra dengan gelaran Cikgu Razif itu merupakan penyandang kerusi DUN Seberang Takir sejak 2008.

    Pada PRU14 lalu, Ahmad Razif menghadapi saingan tiga penjuru, menewaskan calon Pas, Mohd. Fazil Wahab dan calon PKR Abu Bakar dengan majoriti 1,884 undi.

    Beliau mendapat 9,340 undian ketika menentang Mohd. Fazil Wahab daripada parti Pas yang mendapat 7,456 undi.

    PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

    PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.

  • PRN: Dua calon wanita taruhan PN-Pas di Kelantan

    PRN: Dua calon wanita taruhan PN-Pas di Kelantan

    PERIKATAN Nasional (PN) menampilkan dua calon wanita daripada Pas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan pada 12 Ogos ini.

    Mereka ialah Rohani Ibrahim juga penyandang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas dan calon muka baharu, Nor Asilah Mohamed Zain yang diletakkan di DUN Limbongan.

    Nor Asilah ialah graduan lulusan luar negara dan kini berkhidmat sebagai ustazah di Sekolah Menengah Ugama Arab Saniah di Pasir Puteh.

    Sementara itu, di DUN Demit yang disandang oleh Datuk Mumtaz Mat Nawi diletakkan calon Mohamad Asri Daud iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Untuk rekod, Rohani menyandang DUN Tanjung Mas sejak tahun 2004 dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau mengalahkan Madihah Ab Aziz iaitu calon dari Barisan Nasional (BN)-UMNO yang meraih 4,945 undi sementara Dr Hafidzah Mustakim calon Pakatan Harapan (PH) – Parti Amanah Negara (Amanah) kalah dengan 6,139 undi.

    Rohani mewakili Pas pada PRU14 tahun 2018 itu, menang dengan 13,154 undi yang diraih 7,015.

    Mereka antara 45 calon yang diumumkan Ahmad pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU DUN ke-15 PH di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam ini, lapor Sinar Harian.

  • PRK: Ahmad Amzad kekal calon PN Parlimen Kuala Terengganu

    PRK: Ahmad Amzad kekal calon PN Parlimen Kuala Terengganu

    PAS mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut pada Ogos depan.

    Calon Perikatan Nasional (PN) itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila di Marang malam ini.

    Sebelum ini beberapa nama besar diramal menjadi calon mewakili PN dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini.

    Selain itu, antara nama lain yang disebut-sebut ialah Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.

    Dalam pada itu, wujud juga dakwaan kononnya penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Ahmad Amzad Hashim bakal digugurkan daripada bertanding selepas kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya negeri dan pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

    Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di Marang membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

    Mahkamah turut memerintahkan responden membayar RM50,000 kepada pempetiseyen selain membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen.

    Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di Marang mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.

    Beliau mendapat 63,016 undi, mengetepikan tiga lagi pencabarnya iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 10,946 undi; Datuk Mohd. Zubir Embong daripada Barisan Nasional (BN) dengan 22,109 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi).

  • PRN: Eddin Syazlee tanding DUN Juasseh bertembung Bibi Sharliza

    PRN: Eddin Syazlee tanding DUN Juasseh bertembung Bibi Sharliza

    MESKIPUN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, namun Datuk Eddin Syazlee Shith diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi DUN Juasseh pada PRN ini.

    Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bakal berdepan dengan calon dari BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid.

    Menurut Eddin, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai calon apabila terus diberi kepercayaan oleh parti.

    “Saya kata sebelum ini terpulang kepada pucuk pimpinan, kalau mereka masih ada keyakinan untuk saya bertanding, maka saya mengambil tanggungjawab itu seperti sebelum ini.

    “Tetapi kesetiaan kepada parti yang penting tidak berbelah bahagi. Walaupun jawatan saya sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tetapi saya tetap memberikan komitmen dan komited dengan perjuangan parti,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Seremban malam ini.

    Dalam pada itu Eddin Syazlee mengakui berdepan cabaran apabila bertembung dengan Bibi Sharliza yang disifatkan satu nama besar sedangkan dirinya hanya ‘underdog’.

    Bagaimanapun katanya, soal itu tidak memberi tekanan kepadanya dan akan berusaha melakukan yang terbaik.

    Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kesihatanya beliau berkata, ia sudah semakin pulih.

    Malah katanya, akan mengkaji kekurangan dan kelemahan sewaktu pilihan raya lalu sehingga menyebabkannya gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah.

    “Alhamdulillah kesihatan saya beransur pulih, ini satu perkembangan yang sangat positif.

    “Saya berharap kali ini semuanya berjalan lancar boleh berkempen dengan lebih sempurna dan lebih kuat untuk memastikan kemenangan PN pada PRN ini,” katanya, lapor Sinar Harian.