Author: Wartawan WartaRakyat

  • Jangan pandang rendah PN urus ekonomi – Muhyiddin

    Jangan pandang rendah PN urus ekonomi – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan negara menguruskan krisis ekonomi sebahagiannya adalah daripada usaha kerajaan pimpinannya itu.

    Muhyiddin yang juga calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PN bagi Parlimen Pagoh, mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu memandang rendah terhadap keupayaan gabungan itu menangani cabaran ekonomi.

    “Jadi tak boleh kata kredit perlu diberikan kepada BN (Barisan Nasional), kerana menteri-menteri ekonomi sebahagian besarnya daripada PN.

    “Mereka juga menyumbang dan itu satu petanda bahawa kita (PN) mampu dan berupaya untuk uruskan ekonomi negara,” katanya di Tangkak hari ini, lapor Astro Awani.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, adalah tidak adil untuk Perdana Menteri selepasnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengambil kredit atas perkara itu.

    “Pencapaian itu adalah hasil daripada usaha keras kerajaan PN ketika negara berdepan pandemik Covid-19,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

    Jelasnya, kejayaan itu selepas langkah yang diambil waktu susah termasuk membuka ekonomi dalam waktu sesuai supaya ekonomi negara pulih.

    “Selepas itu kita galakkan pelaburan masuk, sediakan peluang pekerjaan, kegiatan ekonomi sudah meningkat baru ada pertumbuhan KDNK,” katanya lagi.

    Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 14.2 peratus berbanding lima peratus dan 8.9 peratus, masing-masing pada suku pertama dan kedua.

  • Takkan rakyat nak pilih calon PM bekas banduan, kluster mahkamah, kata Muhyiddin

    Takkan rakyat nak pilih calon PM bekas banduan, kluster mahkamah, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan, keputusan untuk menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri dibuat berdasarkan persetujuan pucuk pimpinan parti itu.

    “Perkara ini bertujuan bagi memastikan rakyat jelas berhubung siapa bakal calon Perdana Menteri yang perlu mereka putuskan, ujar bekas Perdana Menteri itu.

    Menurutnya lagi, tindakan tersebut jauh lebih baik berbanding parti lawan yang kelihatan masih tidak jelas berhubung kedudukan itu.

    “Bila nak bentuk kerajaan rakyat tentu nak tahu, kalau bakal PM terdiri daripada kluster mahkamah atau bekas banduan, adakah rakyat nak pilih?

    “Ini bukan soal mimpi siang hari, rakyat perlu tahu jelas, kena ‘transparent’ (telus) dan jangan menyorok.

    “Dia cakap nak jadi kerajaan tapi bersekongkol dengan pihak lain dan namakan orang lain untuk jadi PM,” katanya ketika ditemui selepas hadir sesi ramah mesra bersama penduduk kampung di sekitar Parit Raja, Tangkak, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas sindiran Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa PN hanya bermimpi di siang hari untuk menamakan semula Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

    Ahmad Zahid beranggapan kerajaan PN telah gagal mentadbir kerajaan selama 17 bulan di bawah kepimpinan Muhyiddin.

    Tambahnya lagi, di bawah pentadbiran Muhyiddin juga, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang menggantung Parlimen kononnya kerana pandemik COVID-19.

  • Sokongan melonjak, peluang cerah PN bentuk kerajaan pusat – Kajian

    Sokongan melonjak, peluang cerah PN bentuk kerajaan pusat – Kajian

    PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai peluang cerah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini, kerana gabungan itu diunjurkan mendapat sokongan mendadak daripada pengundi Melayu, menurut sebuah pusat kajian pendapat umum.

    Namun, usaha lebih keras supaya 70 hingga 80 peratus pengundi Melayu memberi sokongan kepada PN mesti dilakukan.

    Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, jika sokongan Melayu kepada PN terus berkembang, gabungan itu boleh mengatasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam keseluruhan bahagian kerusi Parlimen.

    “Pemenang sebenar sokongan yang semakin meningkat terhadap Perikatan Nasional ialah Pas. Parti itu berkemungkinan besar akan menyapu bersih semua kerusi yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 70 peratus hingga 80 peratus pengundi Melayu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sesi webinar bertajuk ‘Pilihan Raya Umum Akan Datang Malaysia: Pemain, Isu dan Kemungkinan Hasil’, katanya seperti dilaporkan Agenda Daily yang memetik FMT.

    Ibrahim berkata, tinjauan yang dijalankan oleh Merdeka Center, yang akan dikeluarkan tidak lama lagi, menunjukkan sentimen media sosial didapati meningkat dalam kalangan pengundi Melayu terhadap PN.

    “Jika Perikatan Nasional mampu memperoleh lebih 50 peratus undi Melayu dalam PRU ini, keputusannya akan membawa maut kepada BN,” katanya sambil menambah bahawa ini akan menyaksikan Pas menggantikan UMNO sebagai parti yang mempunyai sokongan terkuat di kawasan Melayu.

    Beliau berkata sentimen pengundi mencerminkan persepsi bahawa PN adalah alternatif yang lebih ‘bersih dan tidak rosak’ berbanding BN yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.

    “Pandangan utama dalam kalangan orang Melayu ialah (Pengerusi Perikatan Nasional) Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar harga yang mahal untuk bersuara menentang (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak mengenai 1MDB,” katanya.

    “Dia (Muhyiddin) dilihat sebagai pemimpin yang tidak tercemar.”

    Ibrahim menambah, malah terdapat persetujuan tersirat terhadap tindakan Muhyiddin pada Februari 2020, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah dan kebangkitan pentadbiran Perikatan Nasional.

    PN bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN di Perak, Perlis dan Pahang. Di Semenanjung, gabungan itu terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Berhubung senario selepas PRU-15, Ibrahim menjelaskan senario paling tidak mungkin ialah BN mampu menubuhkan kerajaan dan bekerjasama dengan Pas serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Katanya paling berkemungkinan ialah PN membentuk kerajaan dengan kerjasama GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GPS) serta BN.

    Senario kedua, katanya ialah, PH boleh cuba menubuhkan kerajaan dengan parti-parti dari Sabah dan BN, serta GPS bagi memperoleh majoriti mudah.

  • Anwar tak cerdik main isu Covid-19 konon bukti kelemahan Muhyiddin

    Anwar tak cerdik main isu Covid-19 konon bukti kelemahan Muhyiddin

    TINDAKAN Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerang Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan isu Covid-19 dipatahkan dengan laporan akhbar bisnes terkemuka dunia, Nikkei Asia.

    Secara keseluruhannya akhbar kewangan terbesar dunia dengan edaran harian melebihi 1.73 juta naskhah itu menyimpulkan langkah diambil oleh Muhyiddin satu usaha yang tepat, malah rakyat juga kini sedar bahawa tindakan itu bagi menyelamatkan mereka.

    Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, Anwar cuba menjadikan perkara itu kononnya bagi menunjukkan kelemahan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), mentadbir negara.

    “Pandangan saya sebenarnya itu komen yang kurang bijak kerana bukan hanya Malaysia yang dilanda Covid-19 dan mengalami krisis kesihatan. Tetapi seluruh dunia.

    “Memang kita ada SOP (prosedur operasi standard) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bila Covid-19 tinggi semua kena duduk di rumah, tak boleh bekerja.

    “Kes kematian kerana Covid-19, kita kena bandingkan dengan negara-negara lain, adakah kita yang paling tinggi, adakah kita (negara) yang paling ramai orang meninggal,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN) seperti dilaporkan Agenda Daily.

    Malah, dalam Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei Asia, Malaysia menjadi negara Asia terbaik dengan memperoleh 66.6 mata dan berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara serta wilayah dalam pemulihan Covid-19.

    Dr. Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong menyifatkan tindakan Anwar menggunakan taktik mengaitkan kes kematian akibat Covid-19 dengan langkah diambil Muhyiddin adalah tidak bijak.

    Malah, jika tidak diambil langkah segera menutup sempadan dan mengenakan sekatan pergerakan, lebih ramai rakyat Malaysia yang akan meninggal dunia akibat penularan wabak itu.

    Dr. Sahruddin memberi contoh seperti di China sehingga kini masalah yang berlaku masih ada sehingga sesetengah kawasan di negara itu masih lagi disekat.

    Bagaimanapun, beliau berkata atas kebijaksanaan Muhyiddin mentadbir negara sebelum ini, Malaysia berjaya membawa keluar masalah itu daripada berterusan.

    “Bagi saya Anwar tidak bijak bila dia sebutkan perkataan itu, memang sangat-sangat tidak bijak. Kita apa pun bila mengatur negara ini, kita akan berbincang, kita akan tanya ketua-ketua jabatan dan profesional macam mana kita nak menangani kes Covid-19, macam mana kita nak membangunkan negara ini dengan lebih baik,” katanya.

  • Banjir: Muhyiddin seru jentera parti politik kerjasama, ketepi soal politik

    Banjir: Muhyiddin seru jentera parti politik kerjasama, ketepi soal politik

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru jentera parti-parti politik dan badan-badan sukarela untuk bekerjasama dan tolong memastikan keselamatan rakyat berikutan hujan lebat dan paras air sungai di beberapa negeri semakin naik yang mungkin mengakibatkan banjir.

    Malah menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), empat daerah di Selangor, Kelantan dan Johor terjejas banjir setakat 12 tengah hari tadi dengan 731 mangsa daripada 175 ketua isi rumah (KIR) ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau amat bimbang dengan hujan lebat di beberapa kawasan dan paras air yang semakin menaik di sungai-sungai utama.

    Menurutnya, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan diharap sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi situasi banjir dan membantu mangsa-mangsa.

    “Saya amat bimbang dengan keadaan hujan yang lebat di beberapa kawasan dan paras air yang semakin menaik di sungai-sungai utama di Pahang, Perlis, Sarawak, Selangor dan juga beberapa kawasan di Johor, seperti yang telah diramalkan sebelum ini.

    “Saya juga menyeru jentera parti-parti politik dan badan-badan sukarela untuk bekerjasama, tolong membantu memastikan rakyat selamat. Ketepikan soal politik, apa yang penting nyawa rakyat selamat,” katanya menerusi catatan Facebook.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata, beliau mengerahkan jentera Perikatan Nasional agar mengutamakan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

    “Semoga usaha kita semua diberkati. Saya mendoakan agar penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda banjir terselamat dan kita semua dilindungi dari musibah banjir ini, insyaAllah,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, NADMA dalam satu kenyataan memaklumkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk), iaitu sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Besut dan Sungai Setiu di Terengganu, Sungai Golok (Kelantan) serta Sungai Endau (Johor/Pahang), kejadian banjir boleh berlaku.

    NADMA memaklumkan sekretariat JPBN Kelantan melaporkan beberapa kawasan di negeri itu mula dinaiki air, bagaimanapun keadaan terkawal dan selamat dengan semua penduduk yang terkesan dalam keadaan siap siaga dan akan berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

    Pada masa sama, NADMA memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) secara maya pada 11.45 malam tadi.

    Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan membincangkan situasi terkini pengurusan banjir sejak bermulanya monsun timur laut pada 7 Nov lepas serta negeri-negeri yang terlibat.

    “Persediaan awal di pihak JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah dari aspek sokongan aset, sumber manusia dan fasiliti PPS melancarkan lagi tindak balas menyelamat serta pemberian bantuan kepada mangsa yang terkesan,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, NADMA memaklumkan penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan Twitter @JPS InfoBanjir.

    Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store bagi mendapatkan maklumat cuaca yang terkini serta sahih daripada MetMalaysia, selain diingatkan supaya peka dan patuh kepada arahan dikeluarkan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diarahkan.

  • ”Calon terpalit isu rasuah…bagaimana BN, PH mahu bentuk kerajaan bersih”

    ”Calon terpalit isu rasuah…bagaimana BN, PH mahu bentuk kerajaan bersih”

    PARTI Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat membentuk sebuah Kerajaan Pusat yang bersih dan bebas daripada amalan rasuah sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ini kerana menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kedua-dua parti itu turut meletakkan calon yang terpalit dengan isu rasuah termasuk sedang dibicarakan di mahkamah.

    Malah, kata beliau, terdapat calon dalam gabungan BN dan PH yang telah didakwa di mahkamah, namun langsung tidak berasa malu mengemukakan borang sebagai calon PRU15.

    “Bagaimana mereka (BN) mahu membentuk kerajaan yang bersih sedangkan ada calon-calon parti ini yang mana kes rasuah mereka sedang berjalan di mahkamah.

    “PH pun kononnya mahu melakukan reformasi, tetapi ada pemimpin mereka sendiri yang mempunyai pertuduhan rasuah,” katanya ketika berucap pada ceramah rakyat PN berhubung isu tambak laut di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.

    Ceramah itu turut dihadiri calon PN kerusi Parlimen Bayan Baru, Harris Idaham Rashid dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

    Menurut Mohamed Azmin yang juga calon dan penyandang kerusi Parlimen Gombak, situasi itu berbeza dengan calon-calon PN yang mana kesemuanya bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

    Katanya, pemimpin PH dan BN yang terpalit dengan isu rasuah itu sepatutnya memberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu sementara kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah.

    Sehubungan itu tambah Mohamed Azmin, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menghukum BN dan PH pada hari pengundian 19 November ini dengan memilih calon-calon PN.

    “Saya percaya rakyat hari ini sudah matang, pengundi di Pulau Pinang juga matang dan dapat menilai gabungan yang benar-benar ikhlas dan mampu membentuk kerajaan yang kuat, stabil dan bersih iaitu PN,” katanya.

  • Pemandu treler maut kemalangan babit lima kenderaan

    Pemandu treler maut kemalangan babit lima kenderaan

    SEORANG lelaki terbunuh dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 280, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) yang menyaksikan sebuah treler melintang menghalang trafik ke selatan pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi selepas susur Nilai itu turut mengakibatkan empat lagi mangsa cedera dan kini tular di media sosial.

    Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.43 pagi.

    Katanya, lima buah kenderaan iaitu dua treler, dua kereta jenis Mitsubishi XPander dan sebuah BMW serta sebuah motosikal terlibat dalam kemalangan itu.

    “Seramai 10 mangsa terlibat yang mana seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu lori treler maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kenyataan itu menambah, kesemua mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke hospital menaiki ambulan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM.

    Menurut Lembaga Lebuh Raya Malaysia, kemalangan itu mengakibatkan kesesakan arah selatan sejauh tujuh kilometer dan trafik terpaksa dilencongkan di susur Tol Nilai.

    Nahas yang mengakibatkan treler melintang di atas lebuhr aya itu turut mengakibatkan kesesakan lebih lima kilometer menuju ke arah selatan.

  • ‘Zalim pilih pemimpin terbukti tidak berintegriti’, kata Hamzah

    ‘Zalim pilih pemimpin terbukti tidak berintegriti’, kata Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, integriti adalah sikap utama yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin bagi menerajui dan membawa kemajuan kepada sesebuah negara.

    Menurut beliau, sukar untuk integriti seseorang pemimpin dipertikaikan sekiranya mereka bersih daripada sebarang salah laku.

    “Sejarah Islam sendiri membuktikan jika seseorang individu yang berkeperibadian baik dipilih menjadi pemimpin, mereka mampu membawa kemajuan kepada sesebuah negara.

    “Kalau negara itu sebuah negara maju, pemilihan pemimpin yang baik akan menjadikan ia dicontohi di seluruh dunia,” katanya ketika perhimpunan bulanan Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, adalah satu kezaliman jika pengundi masih mengangkat mana-mana pemimpin yang diketahui berbohong dan melakukan pelbagai perkara yang boleh menyebabkan negara berada dalam kemiskinan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selaras dengan firman Allah SWT dalam ayat 188 surah Al-Baqarah yang antara lain melarang perbuatan memakan harta yang diperoleh melalui cara yang salah.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, Malaysia mampu kembali menjadi Harimau Asia jika semua pihak memahami apa yang perlu dilakukan untuk memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan beramanah untuk menentukan masa depan bersama.

    Malah kata beliau, jutawan terkemuka dunia, Warren Buffet, juga pernah menyebut perkara yang perlu dilihat dalam seseorang adalah kebijaksanaan, tenaga dan integriti.

    “Warren Buffet berkata dalam menilai seseorang manusia, lihat kepada tiga perkara iaitu kebijaksanaan, tenaga dan integriti. Dan dia sambung, dia kata yang paling mustahak kalau mereka tidak mengikut perkara terakhir iaitu integriti, tidak perlulah melihat dua ciri-ciri pertama itu kerana ia tidak lagi penting.

    “Tidak ada apa yang boleh dilakukan dengan kebijaksanaan dan tenaga jika seseorang itu tidak berintegriti.

    “Saya yakin apa yang saya sampaikan ini adalah sesuatu untuk difikir-fikirkan oleh kita bersama. Saya minta maaf, saya tidak pernah bercakap sebegini rupa, tetapi pada masa-masa sebegini saya terpaksa menyampaikan ini kerana saya sayangkan negara saya,” katanya lapor Berita Harian.

  • Calon PN anak tempatan Gerik, Asyraf Wajdi hadapi tentangan

    Calon PN anak tempatan Gerik, Asyraf Wajdi hadapi tentangan

    CALON Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Gerik, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki adalah calon luar, malah bukan berasal dari Perak, sekali gus bakal ditolak oleh pengundi tempatan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

    Malah, ketika nama Beliau diumumkan sebagai calon BN bagi Parlimen itu, kekecohan berlaku dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Gerik, kerana mereka mahukan anak tempatan.

    Laporan mengatakan beberapa pusat daerah mengundi BN juga ditutup kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan pencalonan Asyraf Wajdi mewakili mereka kerana beliau bukan anak tempatan.

    Veteran UMNO Datuk Seri Nazri Aziz yang turut menyifatkan Ketua Pemuda UMNO itu akan berdepan masalah dan kemungkinan kalah dalam saingan tiga penjuru.

    Asyraf Wajdi akan berdepan calon Perikatan Nasional _(PN), Fathul Huzir Ayob dan Ahmad Tarmizi Mohd Jam daripada Pakatan Harapan (PH).

    Pada PRU-14, BN menang dengan majoriti 5,528 undi mengalahkan calon Pas yang memperoleh 7,715 undi dan PH (6,353 undi).

    Namun, berdasarkan gelombang rakyat yang mahukan perubahan selain menolak BN – susulan kemelut politik yang dicetuskan parti gabungan UMNO itu khususnya sejak 2020 hingga pemilihan calon PRU – BN dilihat akan tumbang.

    Cabaran sengit datangnya daripada Perikatan Nasional – Fathul Huzir adalah anak tempatan Gerik yang berasal dari Felda Nenering – setelah gelombang kebangkitan rakyat mahukan sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, dan dapat memajukan kawasan Parlimen Gerik.

    “Pertama Gerik, ini kerana calonnya bukan daripada kawasannya, malah bukan daripada negeri (Perak). Dah tentu dia akan bermasalah kerana biasalah kita mahu calon tempatan,” kata Nazri yang tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas, kali ini.

    Beliau berkata walaupun pengundi luar bandar biasanya berpegang kepada lambang, kerusi Parlimen Gerik bagi PRU-15 adalah kawasan ‘kelabu’ buat BN setelah beberapa penggal menguasai kawasan itu.

    Kerusi kelabu bermakna kawasan parlimen yang mempunyai peluang 50-50. Sementara kerusi putih merupakan kawasan yang selamat dan kerusi ‘hitam’ membawa maksud peluang kemenangan yang tipis.

    Selain itu, Nazri juga berpendapat BN hanya akan menang lapan kerusi daripada 24 kerusi Parlimen di Perak.

    Menurut laporan Agenda Daily, Fathul Huzir mengajak pengundi, terutama anak muda, memberi sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU kali ini supaya dapat membentuk sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.

    Beliau turut mengingatkan pengundi termasuk, yang berada di luar kawasan, untuk pulang dan keluar beramai-ramai memberi mandat kepada Perikatan Nasional memerintah negara.

    “Kepada penduduk Gerik, saya mengingatkan bahawa Perikatan Nasional walaupun hanya memimpin Kerajaan Pusat selama 17 tahun, tetapi berjaya menangani krisis terbesar dunia, sekali gus menunjukkan kemampuan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara.

    “Jika krisis besar seperti pandemik Covid-19 boleh ditangani oleh kerajaan Perikatan Nasional, apa lagi jika ketika krisis. Maka, usaha boleh ditumpukan untuk memulihkan semula ekonomi rakyat dan negara.

    “Beri peluang kepada Perikatan Nasional untuk memerintah negara demi generasi masa depan negara yang lebih cemerlang,” katanya sambil menyifatkan sebagai anak tempatan, beliau memahami kehendak penduduk Gerik.

  • Mungkin ‘tsunami politik 2.0’ akan berlaku – Muhyiddin

    Mungkin ‘tsunami politik 2.0’ akan berlaku – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, ‘tsunami politik 2.0’ mungkin sekali lagi berlaku di negara ini yang boleh membersihkan Malaysia daripada segala kemungkaran.

    Sambutan hangat penduduk Pahang pada program jelajah PN BEST. FOTO FB MUHYIDDIN

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, beliau dapat merasai gelombang pembaharuan itu lebih-lebih lagi di kawasan Felda yang dahulunya kubu kuat Barisan Nasional (BN).

    Menurutnya, ini dapat dilihat daripada kehadiran ramai warga Felda ke program Jelajah Perikatan Nasional PN BEST khasnya kalangan peneroka dan keluarga termasuk generasi kedua yang mahukan anjakan baharu dalam kehidupan mereka.

    “Doakanlah agar gelombang ini semakin besar dan mampu membantu PN membentuk kerajaan selepas 19 November ini, agar kita dapat menyelamatkan negara dan terus melindungi hak-hak agama, bangsa dan negara kita,” katanya menerusi catatan di Facebook.

    Tak berganjak, penduduk tetap setia mendengar ucapan Muhyiddin pada program jelajah PN BEST FOTO FB MUHYIDDIN

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau juga bersyukur program Jelajah PN BEST Indera Mahkota di Balok turut mendapat sambutan hangat daripada pengundi sekitar, yang sanggup hadir walaupun hujan lebat.

    “Mungkin kali ini akan berlaku ‘tsunami politik 2.0’ yang boleh membersihkan bumi tercinta ini daripada segala kemungkaran.

    “Kita tidak mempunyai pilihan lain selain mengundi Perikatan Nasional, jika mahukan sebuah kerajaan yang prihatin rakyat, bersih dari segi tadbir urus dan stabil untuk membawa ke arah Malaysia Gemilang,” katanya.

    Mengulas lanjut mengenai program jelajahnya di Felda Lepar Hilir 3, Pahang, semalam Muhyiddin mengakui bahawa peneroka dan Felda cukup sentimental di hati beliau.

    Malah katanya, malah beliau tidak pernah melupakan warga Felda dan amat
    memahami keadaan kehidupan mereka.

    “Sebab itu tidak sampai setahun saya menjadi Perdana Menteri, saya telah melupuskan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.

    “Itulah antara keputusan yang Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini lakukan untuk membalas jasa peneroka yang telah memberi sumbangan signifikan terhadap ekonomi negara,” katanya.

    Disebabkan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata, di dalam Tawaran PN, terdapat tunjang khusus Memperkasa Warga Felda, yang antara lain menyediakan perumahan untuk generasi kedua.

    “Kita hendak terus membela nasib para peneroka termasuk anak-anak mereka. Ini janji kita. Percayalah. Kita telah melakukannya tanpa menunggu pilihan raya pun,” tambahnya.