Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Parti sudah sesat, saya reformis UMNO’, kata Khairy

    ‘Parti sudah sesat, saya reformis UMNO’, kata Khairy

    CALON Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, menggelar dirinya sebagai “reformis UMNO”, selain mendakwa parti itu sudah “sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan”.

    Katanya, justeru beliau mahu mengembalikan UMNO menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu seperti satu ketika dulu.

    Beliau berkata, sehubungan itu, perkara pertama perlu dilakukan adalah memenangi Sungai Buloh dan seterusnya memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kembali menjadi perdana menteri.

    “Cuma UMNO (kini) dah sesat, dan kena kembali ke pangkal jalan. Kena ‘fix’ (perbaiki) balik UMNO ni lagi, perbetulkan UMNO. Dan saya bukan ‘yes man’.

    “Pertama, saya nak menang pilihan raya ini, nak pastikan Ismail Sabri kembali menjadi perdana menteri, selepas itu kita bersihkan balik Umno dan BN, kita cuci balik.

    “Saya seorang reformis dalam UMNO, tak boleh kunci mulut, sebab itu (agaknya) saya dihantar ke Sungai Buloh,” katanya menurut Astro Awani.

    Menteri kesihatan itu mengakui bertanding di Sungai Buloh merupakan cabaran terbesar dalam karier politiknya, selain menyatakan beliau bukan seperti pemimpin lain dalam UMNO yang hanya berani memilih bertanding di kawasan selamat.

    “Buat kali pertama, ada wakil daripada parti saya yang memegang jawatan di dalam Jemaah Menteri, yang berani untuk bertanding (di kawasan tidak selamat) di Selangor.

    “Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan yang selamat. Sebab itu tidak ada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjung Karang.

    “Nak datang sedikit bandar macam Sungai Buloh tak ada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali Tengku Zafrul pergi ke Kuala Selangor. Walaupun ada sedikit kenyataan saya dan presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini,” katanya.

  • Banjir kilat; lebih 100 penduduk Pulau Pinang dipindahkan ke PPS

    Banjir kilat; lebih 100 penduduk Pulau Pinang dipindahkan ke PPS

    LEBIH 100 penduduk di bahagian tanah besar Pulau Pinang terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) akibat bencana banjir kilat sejak tengah malam tadi.

    Mereka terdiri daripada seramai 86 mangsa daripada 26 buah keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) True Light, Juru.

    Selain itu, seramai 20 penduduk lagi ditempatkan di PPS Bukit Teh, Bukit Mertajam selepas beberapa kawasan di sekitar daerah itu turut dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

    Difahamkan, terdapat sebuah lagi PPS turut dibuka di daerah Seberang Perai Utara (SPU) awal pagi ini selepas banjir kilat melanda ekoran hujan lebat dan berterusan di negeri itu sejak pukul 5 petang semalam.

    20 penduduk lagi ditempatkan di PPS Bukit Teh, Bukit Mertajam selepas beberapa kawasan di sekitar daerah itu turut dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

    Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu, air mulai surut di kebanyakan kawasan awal pagi ini dengan beberapa mangsa juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

    “Mungkin JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) boleh terangkan apakah langkah-langkah jangka pendek dan sederhana untuk mengawal keadaan ini (aliran air kuat hingga mengakibatkan berlakunya banjir),” katanya.

    Dalam pada itu, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang dilaporkan berkata, pemantauan berterusan terhadap paras air semasa dilakukan hingga pagi ini.

    “Kita akan siasat dan kenal pasti punca berlakunya kejadian banjir kilat ini,” katanya.

  • Sokongan anak muda kepada Perikatan Nasional di luar jangkaan: Idris

    Sokongan anak muda kepada Perikatan Nasional di luar jangkaan: Idris

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerajaan sementara, Datuk Idris Ahmad terkejut dengan gelombang sokongan yang diberikan anak muda kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurutnya, sokongan anak muda adalah di luar jangkaan kerana selama ini mereka dianggap tidak peduli atau tidak kisah dengan soal politik dan tidak membuat apa-apa pendirian berhubung politik.

    Naib Presiden Pas itu bersyukur kerana anak muda kini bangkit untuk bersama Perikatan Nasional bagi membentuk sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.

    “Walaupun ada yang ibu-bapa mereka tidak bersama Perikatan Nasional, tetapi anak-anak telah membuat satu pilihan, iaitu untuk bersama kita,” katanya.

    Idris yang bertanding di Parlimen Bagan Serai atas tiket PN berkata, gelombang kebangkitan itu muncul kerana anak muda hendak melihat sebuah kerajaan dan bentuk kepemimpinan baharu.

    “Dulu anak muda dalam PRU-14 telah membuat percubaan dengan menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih Pakatan Harapan (PH). Namun apabila PH menang, memang sah tak boleh harap.

    “Akhirnya, kita tengok anak muda kali ini membuat percubaan untuk bersama Perikatan Nasional. UMNO yang memerintah selama 60 tahun, kita sudah tahu dan PH selama 22 bulan, kita telah tengok lagak yang mereka ada.

    “Kali ini, memberikan peluang kepada Perikatan Nasional yang terasnya ialah PAS dan juga Bersatu,” katanya.

    Idris mengakui bahawa sesetengah generasi tua bertanyakan lambang bulan yang tiada dalam PRU-15 dan menerangkan bahawa walaupun tiada lambang bulan, tetapi dalam PN tetap mempunyai lambang bulan.

    Katanya, ahli dan penyokong Pas tidak perlu bimbang kerana dalam mana-mana gabungan politik yang disertai, Pas mempunyai sikap yang jelas, iaitu mempertahankan Islam serta kedudukan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

    “Sebab itu kalau ada (parti politik) yang tidak boleh menerima perkara ini, kita tidak bersama (mereka). Sebab itu kita tinggalkan Pakatan Rakyat kerana DAP telah merobohkan dua perkara itu. Mereka melanggar apa yang patut mereka kena jaga.

    “Dalam keadaan politik di negara kita, terasnya ialah orang Melayu dan kedua, Islam sebagai agama Persekutuan yang perlu dihormati,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Keangkuhan BN laksana PRU15 ketika banjir terbukti

    Keangkuhan BN laksana PRU15 ketika banjir terbukti

    KEANGKUHAN Barisan Nasional (BN) untuk tetap mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sebalik amaran berlakunya bencana banjir terbukti semalam apabila beberapa kawasan di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang dilanda banjir kilat.

    Sehubungan itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengundi perlu menghukum BN yang disifatkan telah menyusahkan rakyat itu menerusi peti undi pada 19 November ini.

    Beliau yang juga calon kerusi Parlimen Gombak berkata, isu bencana banjir telah dibincangkan secara mendalam ketika Mesyuarat Jemaah Menteri kerana kebarangkalian berlaku banjir amat tinggi akibat hujan lebat dan ribut yang melanda negara ketika ini.

    “Hari ini terbukti apa yang telah kita putuskan dalam Jemaah Menteri adalah berdasarkan fakta dan maklumat agensi berkaitan supaya kita dapat mengelakkan daripada menyusahkan rakyat sekiranya PRU15 berlangsung ketika musim banjir.

    “Namun, kedegilan dan keangkuhan UMNO telah menyebabkan Dewan Rakyat dibubarkan dan pengundi terpaksa menanggung akibatnya.

    “Jadi, pada 19 November ini, pengundi mesti menghukum UMNO dan BN yang telah menzalimi rakyat akibat situasi semasa banjir hari ini,” katanya.

    Beliau berucap pada program Ceramah Perdana di Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.

    Program terbabit turut dihadiri Presiden Gerakan, Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff serta calon PN Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

    Semalam beberapa kawasan di seluruh negara antaranya di Shah Alam, Selangor dilaporkan dilanda bajir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam.

    Situasi sama turut melanda di Pulau Pinang khususnya di bahagian tanah besar yang mana lebih 20 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dilaporkan dilanda bajir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 5 petang.

  • Warga emas maut terperangkap kebakaran rumah

    Warga emas maut terperangkap kebakaran rumah

    SEORANG lelaki warga emas berusia 70 tahun maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Paya Keladi Hujung, Pulau Pinang malam tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian melibatkan sebuah rumah kelas B dengan anggaran keluasan 20×40 kaki persegi (6×12 meter persegi) itu kira-kira pukul 11.44 malam.

    Ujar beliau, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP Kepala Batas.

    “Setibanya di lokasi, didapati terdapat sebuah rumah terlibat dalam kebakaran itu dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 60 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Jurucakap itu memberitahu, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 12.19 tengah malam tadi.

    Difahamkan, mangsa yang berusia 70 tahun tinggal seorang diri ketika kejadian dan dan terperangkap ketika api marak hingga gagal menyelamatkan diri.

  • PRU-15: Radzi umum 50 tawaran buat Putrajaya

    PRU-15: Radzi umum 50 tawaran buat Putrajaya

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menawarkan infrastruktur dan kemudahan awam terancang sebagai antara lima tunjang dalam 50 tawaran yang akan dilaksana sekiranya memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Manifesto yang digelar Era Baharu Putrajaya itu mengetengahkan tawaran menyeluruh yang mengambil kira input dan maklum balas daripada penduduk di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

    Mengakui berpengalaman menetap lama di Canberra, iaitu ibu negara Australia, Radzi berkata, beliau sedikit sebanyak memahami bagaimana cabaran yang dihadapi sebuah bandar pentadbiran.

    Beliau berkata, tawarannya dihasilkan selepas mengambil kira maklum balas daripada jemaah surau, komuniti, persatuan Orang Kurang Upaya, pesara kerajaan, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), kumpulan belia serta anak muda Putrajaya.

    “Ia datang daripada kepimpinan masyarakat dan warga Putrajaya.

    “Kita nak pastikan apa yang ditawarkan sesuatu yang boleh dilaksanakan,” katanya pada sesi Pelancaran Tawaran Dr Radzi Jidin untuk Putrajaya, malam ini.

    Beliau berkata, Putrajaya mempunyai potensi yang tinggi berbanding sekarang.

    Lima tunjang tawaran Radzi ialah demi warga Putrajaya yang sejahtera; ekonomi makmur; pendidikan generasi Putrajaya; masa depan anak muda serta infrastruktur dan kemudahan awam terancang.

    Beliau berkata, tunjang demi membina warga Putrajaya yang sejahtera antara lain menawarkan pewujudan sebuah pusat khidmat sehenti, iaitu Putrajaya Care yang berperanan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Ahli Parlimen kepada warga Putrajaya.

    Katanya, turut akan diperkenal aplikasi Putrajaya Care sebagai platform untuk warga Putrajaya membuat aduan serta mendapatkan khidmat bantuan, tempahan fasiliti dan perkongsian infomasi.

    “Akademi Anak Putrajaya akan ditubuhkan sebagai pusat sehenti untuk memberi peluang kepada anak-anak Putrajaya mendapatkan akses kepada program atau aktiviti pembangunan kendiri, termasuk program kepimpinan, pemerkasaan jati diri dan sahsiah, perkembangan bakat dan kerjaya, khidmat nasihat pengajian tinggi, biasiswa kerajaan dan swasta, bantuan mencari kerja dan program pementoran, bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing.

    “Dalam konteks kerohanian, program #NgajiPutrajaya akan dilaksanakan melalui penyediaan kelas mengaji al-Quran dengan modul lengkap untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, termasuk penggunaan teknologi digital.

    “Bagi memperkasa kebun komuniti sedia ada, program #KebunJaya akan dilaksanakan dengan penyediaan peruntukan sehingga RM5,000, selain kebun komuniti baharu akan diperluas dengan mengoptimumkan tanah kosong milik kerajaan melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan, Perbadanan Putrajaya dan badan korporat,” katanya, lapor portal SatuBerita.

    Turut ditawarkan oleh Radzi ialah memacu potensi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan untuk pelancong tempatan dan luar negara dengan menambah penawaran produk pelancongan baharu bernilai tinggi.

    Beliau berkata, pembangunan sektor pelancongan itu kelak akan mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan untuk warga Putrajaya.

    Katanya, bagi menyokong aktiviti pelancongan, antara pendekatan yang akan dilaksanakan ialah menjadikan Putrajaya sebagai destinasi utama mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta acara sukan, termasuk sukan peringkat antarabangsa.

  • Feri sedang dibaiki terbakar di limbungan

    Feri sedang dibaiki terbakar di limbungan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH feri penumpang yang sedang dibaiki di limbungan kapal dekat Bukit Malut, Langkawi terbakar petang tadi.

    Menurut Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Fadzullah Mohd. Noor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang.

    “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bilik enjin feri tersebut yang diletakkan di atas tanjakan kerana sedang dibaiki.

    “Kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan air dan buih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sebanyak tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi serta satu jentera dari BBP Persiaran Putra dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Fadzullah menambah, pada peringkat awal sebanyak 11 tong buih digunakan sebelum jumlahnya ditambah sebanyak 12 tong lagi.

    “Kebakaran akhirnya dapat dikawal pada pukul 6.46 petang dan proses pemadaman api masih giat dijalankan,” katanya.

    Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

  • Pak Su Mid meninggal dunia

    Pak Su Mid meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    TOKOH ulama terkenal Kedah, Abdul Hamid Ismail, 96, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Mid meninggal dunia dipercayai akibat sakit tua hari ini.

    Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6 petang ini di sebuah hospital swasta.

    Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Kuala Pai Bukit Tembaga, Kuala Nerang di Padang Terap.

    “Saya difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua dan sudah beberapa lama dikhabarkan tidak sihat,” katanya.

    Tambah beliau jenazah Allahyarham akan dikebumikan pagi esok.

    Pak Su Mid dilahirkan pada 1926 di Jerlun dan terkenal dengan kata-kata hikmahnya yang disampaikan secara mendalam dan penuh kiasan. 

  • PN julang martabat penjawat awam jika menang PRU-15

    PN julang martabat penjawat awam jika menang PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menunaikan 10 tawaran khas kepada penjawat awam di negara ini, sekali gus menjulang martabat mereka jika gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU-15).

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjawat awam merupakan tulang belakang kepada sesebuah negara.

    “Ketika Malaysia getir dilanda wabak Covid-19, penjawat awam termasuk petugas barisan hadapan (frontliner) telah banyak menabur jasa dan bakti mereka bertungkus lumus berkhidmat untuk negara terutama memerangi Covid-19.

    “Penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan seperti askar, polis, bomba, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri.

    “Pada masa itu, cuti tahunan mereka turut dibekukan demi melaksanakan tugas kepada negara iaitu menjaga keselamatan dan keamanan rakyat,” katanya menerusi catatan Facebook beliau.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menjelaskan, jika PN menang PRU-15, beliau berikrar akan menunaikan 10 tawaran khas kepada para penjawat awam.

    Pertama adalah pemberian komputer riba kepada semua guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    “Yang kedua, mengoptimumkan pengambilan bilangan anggota pentadbiran kerajaan persekutuan; selain penjawat awam akan menerima kenaikan gaji tahunan (KGT) RM100 seperti dalam cadangan belanjawan 2023,” katanya

    Keempat pula melibatkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) RM100 kepada penjawat awam agar selaras dengan tanggungjawab dan keperluan semasa.

    Selain itu, ujar Muhyiddin lagi, penambahbaikan gred bagi pegawai tentera agar selaras dengan tanggungjawab dan keperluan semasa.

    Keenam melibatkan pemerkasaan jabatan hal ehwal veteran dengan langkah memantapkan lagi sokongan kebajikan dan kebolehupayaan pesara tentera yang berpencen dan tidak berpencen; dan yang ketujuh adalah perkasakan kemahiran digital melalui latihan berterusan.

    Seterusnya, menyelaraskan semula struktur kementerian dan agensi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengurangkan karenah birokrasi.

    Kesembilan pula melibatkan 20 ahli jawatankuasa pembangunan keselamatan kampung bagi menjaga keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan kampung.

    “Akhir sekali, menambah baik sistem penjawat awam kontrak berkenaan perjawatan dan kebajikan seperti keutamaan mereka akan diserap sebagai kakitangan tetap pada suatu hari nanti,” jelas beliau lagi.

    Justeru, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam.

    “Jasa dan pengorbanan anda semua tak boleh saya lupakan ketika menghadapi zaman yang getir ketika itu,” katanya.

  • Tuan Ibrahim berceramah guna ‘skylift’

    Tuan Ibrahim berceramah guna ‘skylift’

    KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin meriah apabila calon-calon bertanding menggunakan pelbagai cara bagi menarik minat pengundi mendengar ceramah dan mendekati mereka.

    Calon Parlimen Kubang Kerian dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menampilkan kelainan apabila menggunakan ‘skylift’ untuk menjadikan ceramahnya lebih unik.

    Dalam satu video yang dikongsikan oleh Tuan Ibrahim di laman Facebooknya menunjukkan beliau berada di atas skylift berketinggian kira-kira 8 meter, lapor Sinar Harian.

    Video itu telah mendapat lebih 1,500 tanda suka dan lebih 100 kali dikongsi semula oleh netizen.

    Selain Tuan Ibrahim, Parlimen Kubang Kerian turut ditandingi oleh calon BN, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; calon Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohamad Rizal Razali.

    Pada PRU14, Tuan Ibrahim memenangi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti 19,369 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani yang mendapat 16,251 undi dan Datuk Dr Abdul Halim Yusof daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 11,557 undi.