Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU-15: Poster wajah Faizal Azumu kena koyak

    PRU-15: Poster wajah Faizal Azumu kena koyak

    SATu poster tertera perkataan ‘Never Lost in Tambun’ calon Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berada di tepi jalan laluan utama menuju ke Pekan Tambun di Ipoh dirosakkan.

    Poster yang dipasang oleh penyokong Timbalan Presiden Parti Pribum Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hanya disedari sudah terkoyak oleh mereka yang lalu lalang di kawasan itu.

    Tinjauan di lokasi mendapati poster itu sudah hampir separuh terkoyak terutama pada bahagian tengah muka yang memaparkan wajah calon.

    Tindakan yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan poster itu dipercayai dilakukan dengan menggunakan pisau.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengambil maklum kes berkenaan.

    “Kita ambil maklum kes ini dan siasatan akan dijalankan menjalankan sebaik menerima laporan.

    “Saya mengingatkan semua parti dan penyokong jangan buat perkara ini (rosakkan poster) dan mestilah berhemah, hormat di antara satu sama lain.

    “Jangan membuat khianat atau mencetuskan kontroversi semasa tempoh berkempen,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Dalam pada itu, katanya, Polis Perak menasihatkan mana-mana individu atau kumpulan penyokong atau parti politik supaya tidak melakukan perbuatan seperti mencabut, menconteng atau membakar poster, kain rentang dan bendera parti politik lain kerana ia boleh mengakibatkan suasana tidak harmoni ketika berkempen.

    “Jika didapati bersalah tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “PDRM Perak akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

  • PRU-15: Calon PN Parlimen Teluk Intan tegaskan bukan kerja bermusim

    PRU-15: Calon PN Parlimen Teluk Intan tegaskan bukan kerja bermusim

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Teluk Intan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin tidak menyangka mendapat penerimaan yang baik daripada penduduk di daerah itu.

    Menurut beliau, sokongan diterima setakat ini mungkin kerana penduduk tahu menilai gerak kerja serta rekod cemerlangnya sebagai exco kerajaan negeri.

    “Saya bukan kerja bermusim, rakan media tahu selepas menang, saya terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Macam biasa dan pekerjaan itu adalah rutin saya. Saya tidak sangka menerima sambutan amat baik penduduk Teluk Intan.

    “Bekerja sebagai wakil rakyat, saya tidak sama seperti segelintir wakil rakyat yang lain. Saya akan pegang amanah dan kerja saya dengan baik. Rakyat boleh lihat sendiri apa sahaja yang saya jalankan, saya juga mudah didekati,” katanya kepada FMT.

    Zainol yang juga bekas ADUN Sungai Manik berkata, selain mengangkat isu tempatan, fokusnya juga adalah kepada pembangunan dan pemodenan yang mampu memberi impak lebih besar kepada penduduk.

    Katanya, pembangunan dan pemodenan itu bukan sahaja menarik pelancong dari dalam dan luar negara, sebaliknya ia juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.

    “Antara perkara paling besar yang mereka laungkan ialah membangunkan Teluk Intan, walaupun Teluk Intan ada Menara condong, tapi mereka mahukan impak yang besar kepada penduduk.

    “Tetapi kita hanya ada program berkala, tidak tetap, kenapa tidak kita adakan sesuatu yang tetap memandangkan Teluk Intan menjadi destinasi wajib mesti dikunjungi apabila datang ke Perak,” katanya.

    Menurutnya, Teluk Intan masih kekurangan daya tarikan meskipun berpotensi menjadi kawasan pelancongan, justeru beliau mahu pembangunan yang bakal dibentuk mampu merangsang sektor pelancongan agar mampu menyediakan pakej pelbagai dan menarik.

    “Tarikan tambahan bukan semata-mata Menara Condong kena ade, pakej agar pengunjung bermalam di sini lebih lama. Sektor pelancongan boleh memanfaatkan pembangunan dan keunikan sedia ada di daerah ini untuk menarik pelancong,” katanya.

    Sementara itu, mengenai perkembangan kempen, Zainol berkata, selain aktif di media sosial, beliau masih mengekalkan tradisi berkempen dari rumah ke rumah untuk melihat sendiri isu dan masalah penduduk.

    Ditanya berhubung keyakinan berentap dengan pencabar hebat daripada parti lain, bagi Zainol setiap calon mempunyai cara tersendiri, dan setakat ini beliau lebih selesa bertanding secara sihat tanpa membuat serangan peribadi kepada calon lain.

  • Tiada ruang untuk pemimpin takut dengan DAP – Azmin

    Tiada ruang untuk pemimpin takut dengan DAP – Azmin

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, tiada ruang bagi pemimpin gabungan politik itu yang takut berdepan DAP.

    Demikian penjelasan Azmin berhubung keputusan PN mencalonkan bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal.

    Menurut beliau, ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, Mansor tidak pernah gentar menegur pimpinan DAP.

    Azmin turut menyelar PKR seperti “tikus” apabila berurusan dengan pimpinan DAP, terutama dengan pengerusinya, Lim Guan Eng dan veteran parti itu, Lim Kit Siang.

    “Anwar (Ibrahim) tidak berani mengkritik Guan Eng dan (Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) takut menegur Kit Siang,” katanya pada ceramah, malam tadi.

    “Itulah sebabnya PN menampilkan calon di Nibong Tebal yang berani berdepan Guan Eng,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Mansor merupakan bekas ketua PKR Pulau Pinang dan berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri I, bermula 2009 hingga 2013. Beliau juga pernah menyandang kerusi Parlimen Nibong Tebal selama dua penggal dan menang dengan majoriti 15,817 undi, pada pilihan raya umum 2018.

    Walaupun Azmin tidak memberikan penjelasan lanjut, terdahulu dilaporkan Mansor menyifatkan Guan Eng sebagai “sombong” dalam rakaman bocor menjelang pilihan raya umum 2013.

    Mansor juga mendakwa rakyat Pulau Pinang mula beranggapan Guan Eng seperti “tokong”.

    Bagaimanapun, beliau kemudian menjelaskan ungkapan itu merujuk kepada “sanjungan”. Beliau juga menafikan memanggil Guan Eng “sombong”.

    Azmin juga membidas PKR susulan mengemukakan calon “kroni” di Nibong Tebal. Senator Fadhlina Sidek bersaing di kerusi berkenaan bawah tiket Pakatan Harapan (PH), pada PRU15, 19 Nov.

  • ‘Pagi ini SPRM panggil, pagi ini juga sampai’ – Tuan Ibrahim

    ‘Pagi ini SPRM panggil, pagi ini juga sampai’ – Tuan Ibrahim

    MENTERI Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu proses pemberian projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion.

    Beliau berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan kerana jelas dakwaan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli adalah fitnah pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Jika SPRM panggil saya untuk ambil keterangan pada waktu pagi, pagi itu juga saya sampai dan tidak akan tangguh-tangguh.

    “Saya tidak ada masalah sebaliknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kerana tiada apa yang perlu disorok atau disembunyikan.

    “Saya fikir ini tindakan melampau dan yang tidak ada modal selain ini adalah musim fitnah PRU,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-53 di Istana Balai Besar, di Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, projek yang didedahkan oleh Rafizi itu adalah perancangan kerajaan yang baru diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

    “Bagaimanapun, surat setuju terima (SST) belum dikeluarkan dan tiada mana-mana syarikat yang boleh mendakwa projek itu dia punya,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Media sebelum ini melaporkan, Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

    Rafizi berkata, beliau dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • PRU-15: GRS akan bertindak, kaji dakwaan ADUN Bersatu sokong calon Bebas

    PRU-15: GRS akan bertindak, kaji dakwaan ADUN Bersatu sokong calon Bebas

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas Datuk Rubin Balang sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong itu secara terang-terangan menyokong calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, laporan lengkap perlu diperoleh dan diteliti sama ada benar Rubin berkempen dan menyokong
    calon Bebas itu yang juga ahli Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

    Calon Bebas berkenaan, Riduan Rubin adalah anak kepada Rubin.

    “Kita mesti adil kepada semua kalau dia terlibat secara langsung kita boleh ambil tindakan, saya akan minta laporan dahulu.

    “Kalau dari segi gambar sahaja… duduk dengan anak, kita tidak boleh ambil tindakan, tetapi kalau betul dia menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil tindakan,” katanya mengulas mengenai dakwaan gambar Rubin dan anaknya bersama kepimpinan Parti KDM semalam.

    Selain itu, Hajiji memaklumkan Riduan bukan lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sudah keluar daripada parti itu sebelum penamaan calon pada 5 November lalu.

    Rubin merupakan ahli Bersatu Tenom, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa GRS mengambil tindakan disiplin terhadap Rubin yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada PRU15.

    Ia berikutan pembabitan Rubin selaku wakil rakyat mesra GRS, yang didakwa menjadi dalang dalam penyertaan calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan, semalam.

    Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, tindakan itu bertentangan dengan perjanjian GRS-BN selain tidak mencerminkan semangat setiakawan yang dimeterai di antara kedua-dua gabungan berkenaan.

    Riduan yang merupakan seorang calon Bebas dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen Tenom disahkan menyertai Parti KDM.

    Dalam saingan lima penjuru di Tenom melibatkan penyandangnya Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar (Barisan Nasional-BN), Ukim Buandi (Warisan) serta calon Bebas iaitu Riduan dan Peggy Chaw Zhi Ting.

  • 3 beradik maut, seorang lagi parah kereta terbabas di LPT

    3 beradik maut, seorang lagi parah kereta terbabas di LPT

    TIGA beradik maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki terbabas ke sisi jalan di kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuala Lumpur, pagi ini.

    Mangsa yang terkorban disahkan sebagai Ahmad Basyir Yusry, 26; Siti Fatimah Yusry, 20 dan Saiedah Yusry, 15 manakala mangsa yang parah adalah Adawiah Yusry, 11 tahun.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Penolong Penguasa Shamsul Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.10 pagi dan seramai lapan anggota termasuk beliau bergegas ke lokasi.

    Katanya, sejurus tiba di lokasi, beliau mengesahkan kejadian terbabit melibatkan empat orang individu yang mana tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan pegawai perubatan.

    “Seorang lagi mangsa pula mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital untuk diberi rawatan. Kesemua mangsa merupakan adik beradik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsul Affendy berkata, Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan oleh pasukan seramai lapan orang anggota menggunakan peralatan Rescue Tool.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.

  • DAP perguna Anwar, calon Melayu untuk kuasai politik negara: Hadi

    DAP perguna Anwar, calon Melayu untuk kuasai politik negara: Hadi

    DATUK Seri Anwar Ibrahim dan calon Melayu yang diletak serta disokong DAP serta Pakatan Harapan (PH), hanya sekadar ‘kuda tunggangan’ bagi mencapai cita-cita ekstrem parti itu dalam Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menjadikan Singapura sebagai contoh bagaimana kuasa orang Melayu terhakis sedikit demi sedikit, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata DAP menggunakan orang Melayu sebagai taktik politik untuk berkuasa di negara ini.

    “DAP turut mengemukakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan meletakkan calon-calon Melayu bertanding. Pengundi Melayu kena faham bahawa ini adalah taktik politik.

    “Meletakkan Anwar bertanding di Perak… nak jadikan Perak seperti Singapura?… jangan. Ini taktik pernah digunakan PAP Singapura yang menonjolkan Yusof Ishak untuk menjadi Presiden Singapura,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Parlimen Larut di Selama, malam tadi, lapor Agenda Daily.

    Abdul Hadi menarik perhatian pengundi Melayu, bahawa dalam PRU-15 supaya tidak dipergunakan DAP sebagaimana dilakukan PAP Singapura untuk menawan politik negara itu dahulu.

    “Menteri-menteri Melayu ditonjolkan untuk menawan Singapura. Lee Kuan Yew boleh baca Jawi, pakai songkok. PAP ini ditubuhkan masa Singapura masuk Malaysia. Bila Singapura keluar Malaysia, PAP ditukar jadi DAP,” ujarnya.

    Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, kedegilan sesetengah pemimpin UMNO terutama Majlis Kerja Tertinggi menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggagalkan perpaduan ummah yang dibentuk menerusi Muafakat Nasional (MN).

    Sebaliknya kata beliau, pemimpin UMNO sanggup pula untuk bersekongkol dengan Anwar serta DAP di bawah khemah besar untuk membentuk kerajaan di Perak.

    Abdul Hadi berkata, ada pemimpin UMNO meminta kerajaan PN supaya kesnya digugurkan, seperti dilakukan PH apabila mentadbir negara.

    Menurutnya apabila tidak dilayan, mereka menarik sokongan menjatuhkan kerajaan PN dan mahu mengadakan pilihan raya segera kerana ‘nak kejar dengan kes mahkamah’.

  • Rafizi gagal buktikan penglibatan saya dalam skandal RM2 bilion, kata Tuan Ibrahim

    Rafizi gagal buktikan penglibatan saya dalam skandal RM2 bilion, kata Tuan Ibrahim

    MENTERI Dalam sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli gagal mengaitkannya dengan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2.

    Menurut Timbalan Presiden Pas itu, dakwaan terbaru Rafizi jelas bertujuan merosakkan reputasinya dan akan dijawab dengan saman fitnah.

    “Rafizi telah membuat sidang media pada 11 November pada pukul 10.30 pagi bertujuan kononnya untuk menjawab tuntutan yang saya kemukakan dan memberi bukti kukuh tentang tuduhan yang beliau lakukan terhadap saya.

    “Walau bagaimanapun, terbukti bahawa sidang media tersebut hanya menguatkan lagi sangkaan ramai pihak bahawa Rafizi hanya membuat tuduhan palsu dan penyelewengan fakta berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Semalam, Rafizi mendedahkan surat yang didakwa menunjukkan projek tebatan banjir RM2 bilion di Sungai Langat 2 diluluskan kerajaan untuk tender terus kepada sebuah syarikat tertentu pada 7 Oktober, sehari bekerja sebelum parlimen dibubarkan.

    Menurut Rafizi, surat bertarikh 7 Oktober yang didakwa dihantar Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar (Kasa) dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menyatakan menteri kewangan bersetuju untuk meluluskan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 untuk dianugerahkan secara rundingan terus dengan syarikat yang disifatkan Rafizi sebagai ‘kroni UMNO’.

    Tuan Ibrahim berkata surat itu jelas menunjukkan bahawa dia dan kementeriannya tidak terlibat dalam kelulusan tersebut.

    Katanya, berdasarkan kepada surat tersebut, adalah jelas bahawa kelulusan tersebut bukanlah dibuat oleh beliau ataupun Kasa.

    Surat tersebut dikeluarkan pada 7 Oktober 2022, sebelum parlimen dibubarkan dan bukan semasa tempoh kerajaan sementara, jelasnya lagi.

    “Sidang media yang dibuat oleh Rafizi juga gagal sama sekali mendedahkan bukti keterlibatan saya dalam kelulusan projek termasuk usaha saya atau Kasa untuk menganugerahkan projek tersebut ketika kerajaan sementara.

    “Saya juga telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak pernah berjumpa, berunding atau membuat apa-apa tindakan semasa tempoh kerajaan sementara ke arah menganugerahkan projek tersebut,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Justeru, Tuan Ibrahim berkata dakwaan Rafizi jelas bersifat fitnah dan bertujuan untuk menjejaskan reputasinya dan Pas.

    “Saya telah mengarahkan peguam saya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi sebaik sahaja menerima jawapan bertulis daripada peguam Rafizi atau selepas tamatnya tempoh tujuh hari yang telah diberikan,” katanya.

    Dalam surat tuntutan yang dihantar kepada Rafizi, yang juga calon PKR Pandan, awal minggu ini, Tuan Ibrahim telah menuntut Rafizi mengeluarkan surat akujanji dalam tempoh tujuh hari (yang tamat pada 17 November) berjanji untuk berhenti membuat dakwaan serupa, serta menyediakan kenyataan memohon maaf atas dakwaan tersebut.

    Selain itu, Rafizi juga diberitahu untuk mencadangkan jumlah yang sesuai sebagai pampasan dalam tempoh tujuh hari kerana didakwa memfitnah Tuan Ibrahim, yang mesti diselesaikan segera setelah persetujuan dicapai.

    Awal minggu ini, Rafizi menuduh kerajaan sementara cuba memberikan kontrak bernilai berbilion ringgit untuk kroni.

  • Shafie salahkan PH gagal tuntut semula 40% hasil Sabah

    Shafie salahkan PH gagal tuntut semula 40% hasil Sabah

    KERAJAAN Sabah pimpinan Warisan mampu melakukan lebih banyak dalam menuntut semula 40 peratus hak negeri daripada hasilnya tetapi pemimpin Pakatan Harapan negeri tidak menyokong, dakwa bekas ketua menteri Datuk Seri Shafie Apdal.

    Menurut Presiden Warisan itu, rakan kongsi PH dalam kerajaan negeri tidak menyokongnya apabila beliau cuba menekan kerajaan persekutuan untuk menunaikan kewajipan mereka.

    Itulah sebabnya beliau percaya saman PH Sabah terhadap Putrajaya, memohon pengisytiharan bahawa formula bahagian hasil 40% negeri itu masih terpakai, hanyalah publisiti untuk menarik perhatian.

    “Tidak perlu ke mahkamah. Semasa PH dalam kerajaan, mereka tidak melakukannya. Sekarang mereka mahu mengheret isu ini, untuk apa, untuk menunjukkan bahawa mereka berani?.

    “Apabila kami menyuarakan tuntutan kami, (bekas ketua PKR Sabah) Christina Liew berkata, oh maaf, ini panggilan parti; KL panggil, jangan. DAP panggil, bukan itu panggilan parti. (Bekas menteri kewangan) Lim Guan Eng berkata, tidak ada wang.

    “Mereka ikut parti mereka, mereka tidak ikut suara Sabah,” katanya. lapor Free Malaysia Today.

    Shafie juga mengkritik Upko kerana menyertai PH, tetap menyalahkan PH kerana Warisan tidak dapat menuntut semula hak Sabah.

    Pada Mac lalu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mendedahkan formula 40 peratus tidak lagi terpakai.

    Bakal Presiden UPKO, Ewon Benedick berkata, wakil rakyat akan meneruskan saman mereka di mahkamah walaupun PH mula berkuasa.

    Pengisytiharan aset sia-sia

    Shafie juga berkata, tiada gunanya pemimpin politik mengisytiharkan harta mereka jika tiada tindakan akan diambil terhadap mereka yang mencurigakan, berjaya memperoleh banyak kekayaan dalam tempoh yang singkat.

    “Bagi calon Warisan, apa yang perlu kita isytiharkan? Apa yang penting ialah kita perlu memenangi pilihan raya. Tidak ada gunanya hanya mengisytiharkan aset kita untuk dilihat oleh orang lain.

    “Ada yang mengisytiharkan harta mereka tetapi sebenarnya aset mereka lebih daripada itu. Adakah tindakan diambil?”

    Shafie menegaskan bahawa beliau tidak kisah mengisytiharkan hartanya dan itu telah berbuat demikian semasa beliau menjadi ketua menteri dan Ahli Parlimen.

    PKR telah mewajibkan calonnya mengisytiharkan harta manakala aktivis anti rasuah juga menggesa calon lain untuk mengikutinya.

    Bagaimanapun, rakan kongsi utama PKR dalam PH, DAP, berkata mereka tidak perancangan untuk membuat calon mereka mengisytiharkan harta.

    Sementara itu, Shafie berkata Warisan akan melancarkan manifesto apabila tiba masanya. Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada gunanya mempunyai ikrar pilihan raya yang tidak ditunaikan.

  • Tiga maut, seorang kanak-kanak cedera kereta terbabas di LPT

    Tiga maut, seorang kanak-kanak cedera kereta terbabas di LPT

    TIGA individu maut manakala seorang kanak-kanak cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas di kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuala Lumpur, pagi ini.

    Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.10 pagi mengenai nahas membabitkan sebuah Perodua Kancil di lokasi.

    Katanya, seramai lapan anggota kemudian dikerah ke lokasi kejadian.

    “Pemeriksaan mendapati dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa maut di lokasi kejadian. Selain itu, seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan.

    “Bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta menggunakan peralatan khas,” katanya.

    Ismail berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala kanak-kanak yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan susulan.

    Tambah beliau, identiti mangsa masih belum diketahui setakat ini.