Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pengundi Cina tak percaya cerita Anwar 

    Pengundi Cina tak percaya cerita Anwar 

    CALON Perikatan Nasional (PN) Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, pengundi Cina di kawasan Parlimen Batu Pahat tidak percaya dengan tuduhan yang dilemparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung drama air mata mengenai jawatan Timbalan Speaker membabitkan dirinya.

    Malah, beliau berkata, pengundi-pengundi Cina di Batu Pahat juga meluat dengan kempen yang menggunakan kaedah menghentam peribadi individu.

    Menurutnya, rata-rata pengundi Cina di Parlimen itu kenal diri beliau selepas empat tahun menjadi wakil rakyat di Batu Pahat.

    “Ada yang bertanya, (peniaga) Cina kedai buah-buahan dia kata, datuk saya bila dengar Anwar cakap macam itu saya meluat. Itulah perspektif masyarakat Cina,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Santai Anak Muda Johor bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Terbuka di Taman Seri Penggaram, Batu Pahat, semalam, lapor SatuBerita.

    Mohd. Rashid turut menyifatkan, kempen yang dijaja oleh Anwar mengenai dirinya itu sebagai cerita dongeng.

    Kelmarin, media melaporkan Anwar mendakwa Mohd. Rashid pernah menangis dan merayu kepadanya untuk mendapatkan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika berada dalam kerajaan PH.

    Perkara itu diucapkan oleh Anwar ketika berceramah di tapak pasar malam Bukit Pasir, Batu Pahat.

    Bagaimanapun pada Jumaat, Rashid menegaskan tidak wujud drama sebagaimana yang didakwa oleh Anwar.

    Katanya, pemilihan beliau ke jawatan itu dibuat berdasarkan undian setelah dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

  • PRU-15: ‘Pas malas layan Tun M’

    PRU-15: ‘Pas malas layan Tun M’

    PAS enggan melayan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa negara akan berdepan masalah jika parti itu diberi peluang memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Sebaliknya, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu mahu memberi fokus kepada kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 dalam usaha mewujudkan kerajaan yang bersih dan stabil.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menyifatkan kenyataan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu hanya pandangan peribadi kerana sesiapa sahaja bebas melontarkan pandangan.

    “Itu pandangan dia (Dr. Mahathir ), pandangan dia terpulanglah… ada orang nak terima, terima (sebaliknya) tetapi pada saya, Pas telah membuktikan penyertaan dalam kerajaan di peringkat negeri-negeri dan juga peringkat nasional,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika Program Santai Minum Petang Masyarakat Setempat di Dataran Kedai Kampung Langgar di Kuala Berang, Terengganu.

    Yang turut hadir, calon PN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

    Semalam Dr. Mahathir mendakwa negara akan berdepan lebih banyak masalah sekiranya rakyat memberi peluang kepada Pas untuk memerintah selepas PRU-15.

    Calon Parlimen Langkawi itu turut mendakwa, ini kerana terdapat pemimpin Pas yang cenderung memperalatkan agama untuk tujuan politik mereka.

    Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, keupayaan Pas dalam mentadbir kerajaan yang membangun dan membina sudah terbukti melalui kepemimpinan parti itu di beberapa negeri dan peringkat Persekutuan.

    Justeru, beliau berkata tidak wajar seandainya parti itu dilihat tidak mampu memerintah dan hanya akan menyebabkan negara berdepan lebih banyak masalah sekiranya menerajui negara selepas PRU.

    Katanya, Pas mempunyai rekod baik dalam pentadbiran termasuk bersama gabungan PN di peringkat Pusat.

    “Kita telah berjaya membuktikan penyertaan yang membina kepada negara di peringkat Persekutuan sekali pun dalam tempoh yang sangat singkat ini, jadi kenapa Pas dilihat tidak mampu untuk bersama membentuk sebuah kerajaan gabungan dalam kerajaan Persekutuan.

    “Saya rasa ini adalah ‘way forward’ yang akan kita terus terokai di masa hadapan ini, Insya-Allah, selepas 19 November ini kita akan bentuk kerajaan yang lebih kuat di peringkat nasional,” katanya.

    Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, tidak sewajarnya pendekatan agama yang digunakan Pas dan PN dijadikan isu memandangkan masyarakat tidak dapat lari daripada kehidupan beragama.

    “Itu adalah kehidupan kita (yang mana) tidak dapat lari daripada kehidupan beragama, jadi sama ada kita berpolitik, makan, minum, tidur dan sebagainya semua mestilah berlandaskan dengan panduan agama.

    “Jadi politik pun begitu (kerana) politik itu bukan suatu perkara yang asing dengan Islam, jadi tentulah kita kena selitkan semua perkara dengan panduan Islam, jadi kenapa itu menjadi satu isu,” katanya.

    Sebelum itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut dilaporkan meminta supaya PN diberi peluang mentadbir Malaysia selama satu penggal berdasarkan rekod prestasi gabungan parti itu yang bersih daripada sebarang salah laku.

  • Jangan hina wira negara, Faizal selar Anwar berhubung dakwaan tentera dirasuah

    Jangan hina wira negara, Faizal selar Anwar berhubung dakwaan tentera dirasuah

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengecam pesaingnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa wujud aktiviti membeli undi anggota tentera, mengatakan dakwaan tersebut menunjukkan bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam keadaan terdesak bahkan tidak menghormati lebih 140,000 tentera dan ahli keluarga mereka yang bakal mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

    “Anggota tentera menggadai nyawa mereka setiap hari untuk melindungi bumi Malaysia. Wira-wira ini sepatutnya dipuji, dan bukan dihina sebagai pemakan rasuah tanpa apa-apa bukti atau keterangan.

    “Adalah jelas bahawa Anwar semakin ‘desperate’ kerana jelas Pakatan Harapan (PH) kurang mendapat sokongan daripada rakyat semasa tempoh berkempen ini,” kata Ahmad Faizal dalam satu kenyataan, lapor MalaysiaNow.

    Kelmarin, dalam sebuah ceramah di Kuala Nerus, Terengganu, Anwar mendakwa anggota tentera sudah mengundi walaupun jadual pengundian awal ditetapkan pada 15 November ini.

    Beliau turut mendakwa tentera dibayar RM300 setiap seorang oleh Barisan Nasional (BN), sambil menambah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) ‘untuk memastikan ada penipuan dalam proses pilihan raya’.

    Sebagai respons, dalam sebuah kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya menggesa mereka yang mempunyai maklumat wujud aktiviti rasuah melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ahmad Faizal berkata, dakwaan Anwar itu adalah sebuah kenyataan ‘paling tidak bertanggungjawab dan berniat jahat’ pernah dibuat oleh mana-mana ahli politik sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setakat ini.

    “Anwar tidak menunjukkan apa-apa bukti untuk menyokong tuduhan jahat ini. Ia adalah tuduhan melulu, tanpa asas atau bukti. 

    “Terdapat 146,737 pengundi tentera dan pasangan mereka yang layak mengundi dalam PRU-15. Anwar telah menghina dan mengelar mereka penerima rasuah.

    “Menerima rasuah adalah suatu jenayah; adakah Anwar berpendapat bahawa anggota tentera kita adalah kesemuanya penjenayah,” soalnya.

    ‘Beliau turut berkata kenyataan Anwar itu adalah sebuah ‘dongeng; untuk mengatakan PRU-15 kali ini adalah tidak adil sebagai alasan sekiranya PH kalah besar.

    “Adakah Anwar bersedia menarik balik penghinaan terhadap anggota tentera negara serta keluarga mereka dan meminta maaf secara terbuka?”

  • PH turunkan papan iklan peribahasa ‘Berat sama dipukul…’ selepas tular

    PH turunkan papan iklan peribahasa ‘Berat sama dipukul…’ selepas tular

    PAKATAN Harapan (PH) sudah pun menurunkan papan iklan gabungan itu yang tular dalam media sosial susulan kesilapan ejaan peribahasa Melayu ‘Berat sama dipukul, ringan sama dijinjing’.

    Papan iklan berkenaan dipercayai dinaikkan di kawasan Parlimen Kluang, Johor.

    Peribahasa yang membawa maksud saling tolong-menolong antara satu sama lain sewaktu susah atau senang itu sepatutnya berbunyi ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

    Calon PH bagi Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menjelaskan pihaknya telah menurunkan papan iklan berkenaan hanya selepas dua jam dipasang, kelmarin.

    Menurut beliau, papan iklan itu diturunkan sebaik sahaja menyedari berlakunya kesilapan ejaan.

    Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kluang mengakui kesilapan tersebut dan berkata ia adalah kesilapan semasa menaip perkataan.

    “Kami telah menurunkan papan iklan tersebut sejurus sahaja menyedari terdapat kesilapan. Papan iklan ini telah diturunkan pada 11 November, dua jam selepas ia dipasang.

    “Dalam papan iklan tersebut, kami ingin mempamerkan kepada orang awam tentang usaha-usaha yang telah kami jalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam hantaran di Facebook.

    Mengulas lanjut, Shu Qi turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah menegur kesilapan itu supaya pembetulan segera dapat dilakukan.

    “Kami juga berharap orang awam dapat melihat usaha-usaha yang telah dijalankan berbanding kesilapan yang telah berlaku.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang mengambil peduli dan menghantar mesej nasihat. Kami akan terus memperbaiki kekurangan ini,” jelas beliau.

    Kesilapan pada papan iklan tersebut tular dalam media sosial sehingga mengundang kecaman ramai.

  • UMNO, BN pening lihat Pas guna logo PN di Kedah

    UMNO, BN pening lihat Pas guna logo PN di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Kalangan pemimpin UMNO dan BN dikatakan menjadi ‘pening’ apabila melihat Pas memilih untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) berbanding bertanding menggunakan logo ‘bulan’ di Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sakit pening itu timbul kerana UMNO amat mengharapkan supaya Pas menggunakan logo bulan di Kedah.

    Sebaliknya kata beliau, Pas pada akhirnya memilih untuk menggunakan logo PN walaupun sebelum ini pernah membuat pengumuman akan menggunakan logo ‘bulan’.

    “Kita fikir di Kedah ini kaum bukan Melayu ada kira-kira 25 peratus iaitu jumlah lebih ramai daripada yang ada di Kelantan dan Terengganu iaitu cuma lima peratus. Jadi apabila kita buat kajian dan penilaian, kita dapati pengundi akan lebih minat dengan satu logo yang gambarkan banyak parti sebab nak tubuhkan kerajaan di Malaysia ini perlu bergabung banyak parti.

    “Mula-mula kita umum akan guna logo bulan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, depa seronok dan anggap Pas dah ‘terkena’. Tiba-tiba kita pakai logo PN, depa pening. Ingat kita tak cerdik macam depa?

    “Pas Kedah ini cerdik dan memerintah tiga tahun dah. Depa goncang tetapi kerajaan ini sedikit pun tak goyang,” katanya dalam Ceramah Umum PRU-15 PN di Dataran Pak Su Mat Yeh, Padang Sera dekat Jerlun, malam tadi.

    Isu tersebut menjadi hangat apabila calon BN bagi Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam satu siri ceramahnya baru-baru ini menggelarkan Muhammad Sanusi sebagai cap ayam dan tidak mampu menyamai taraf Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

    Menerusi klip video yang tular di media sosial, Abdul Azeez mendakwa Ahmad Samsuri dan Ahmad Yakob memiliki pegangan serta perjuangan tulen kerana dalam PRU kali ini, kedua-dua negeri itu menggunakan lambang bulan.

    Mengulas lanjut Muhammad sanusi berkata, beliau hairan bagaimana Abdul Azeez boleh mengaitkan ‘cap ayam’ dengan isu logo dibangkitkannya itu.

    “Beliau kata Sanusi cap ayam dan tak boleh dibandingkan dengan Menteri Besar Terengganu serta kelantan. Rupa-rupanya beliau marah sebab Kedah guna logo PN.

    “Sangkut macam mana cap ayam dengan logo? Jangan kata orang lain, saya pun hairan,” katanya.

  • Kerusi Mukhriz antara yang paling cerah diperolehi PN di Kedah

    Kerusi Mukhriz antara yang paling cerah diperolehi PN di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERUSI Parlimen Jerlun di Kedah yang disandang Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir merupakan antara kerusi yang memiliki peluang paling cerah untuk dirampas Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanudi Md. Nor berkata, selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, beliau melihat terdapat perubahan dan gelombang di Jerlun yang mengakibatkan Pejuang serta Pakatan
    Harapan (PH) tidak lagi dapat memenangi hati pengundi di situ.

    Katanya, saingan di kawasan tersebut ketika ini hanyalah di antara PN yang diwakili calon Pas, Dr. Abd. Ghani Ahmad serta calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO, Datuk Othman Aziz.

    “Yang boleh ‘fight’ di Jerlun ini cuma PN dan BN. Kalau ‘hangpa’ nak calon BN yang di belakangnya ada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hangpa pangkahlah calon BN itu.

    “Tetapi kalau hangpa nak di belakang calon Pas yang ada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Hashim Jasin, hangpa pangkahlah Dr. Abdul Ghani. Hangpa nak yang mana satu?

    “Jerlun ini antara kerusi yg paling cerah untuk kita tetapi janganlah ralit kerana mereka (pihak lawan) pasti akan memainkan isu pada minit-minit terakhir,” katanya dalam Ceramah Umum PRU-15 PN di Dataran Pak Su Mat Yeh, Padang Sera dekat Jerlun, malam tadi.

    Kerusi di Parlimen itu dimenangi Mukhriz pada 2013 di bawah logo UMNO sebelum beliau mempertahankannya dalam PRU-14 dengan menggunakan logo Parti Keadipan Rakyat (PKR).

    Muhammad Sanusi menambah, disebabkan Pejuang dan PH tidak lagi mempunyai harapan, maka adalah lebih wajar untuk mereka mengundi PN kerana kesemua mereka memiliki matlamat sama iaitu mahu menghentikan BN daripada memerintah negara.

    “Oleh kerana kami tahu hangpa pun tak suka pada BN dan hangpa sendiri pun tak boleh nak ‘pi’ mana dah, mai pakat undi PN supaya kita tak bagi BN menang.

    “Gelombang mahukan PN ini bukan di Padang Sera, Jerlun dan Perlis saja malah sudah tersebar ke seluruh negara. ‘Depa’ jenuh fikir macam mana nak elak orang daripada berpusu-pusu datang kepada PN,” katanya.

  • Perpaduan Ummah tuntutan agama, kewajipan yang perlu dilaksana umat Islam

    Perpaduan Ummah tuntutan agama, kewajipan yang perlu dilaksana umat Islam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Perpaduan ummah yang diusahakan selama ini tidak seharusnya dilihat dari aspek politik semata-mata memandangkan idea tersebut bukannya datang dari mana-mana individu termasuk Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pun Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memimpin Pas.

    Sebaliknya tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, perpaduan ummah itu merupakan satu tuntutan agama yang tidak pernah ditarik balik oleh Allah.

    Justeru katanya, adalah menjadi kewajipan untuk setiap umat Islam bergerak ke arah itu kerana perpaduan ummah amat penting bagi menyebarkan dakwah Islam serta menghadirkan kebaikan dalam masyarakat.

    “Kita hendak berpadu ini sebab ada matlamat. Matlamatnya pula bukan kerana saja-saja mahu menjadi ketua sebaliknya mahu melihat Islam dilaksanakan dan kita mendapat keberkatan daripada apa yang dilakukan.

    “Perpaduan ummah yang kita usahakan ini ibarat mahu mendapatkan ikan menggunakan belat (bidai menangkap ikan). Dalam pada kita menepuk-nepuk air mengarahkan ikan supaya masuk ke belat, tiba-tiba ada kawan terjun ke sungai hingga menyebabkan ikan berselerak.

    “Tuhan mungkin nak bagi kita terus bekerja ke arah itu (perpaduan ummah). Tuntutan kepada agenda perpaduan ummah adalah satu kewajipan yang Allah sebut dalam al-Quran dan nabi sebut dalam hadis supaya kita laksanakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Ceramah Umum PRU-15 Perikatan Nasional (PN) di Dataran Pak Su Mat Yeh, Padang Sera dekat Jerlun, malam tadi.

    Beliau dalam pada itu turut mengingatkan bagaimana perpaduan dalam kalangan umat Islam kelihatan begitu kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini.

    “Beratus-ratus ribut umat Islam berhimpun di Kuala Lumpur bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Kita berucap dan bantah hingga keadaan kemudian menjadi reda sedikit demi sedikit.

    “Tetapi kita perlu berjaga-jaga kerana puak-puak ini tak akan berhenti. Golongan ini akan teruskan agenda dalam bentuk lebih diplomasi serta lembut dan itu lebih bahaya daripada mereka datang dalam keadaan kasar hingga nampak jelas mahu mengancam kedudukan Islam itu sendiri,” katanya.

  • Parlimen Sik masih perlukan ahli Parlimen lelaki

    Parlimen Sik masih perlukan ahli Parlimen lelaki

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan ucapannya yang didakwa menyentuh kemampuan wanita sebagai wakil rakyat di buat dalam konteks Parlimen Sik.

    Beliau yang mempertahankan kenyataan itu berkata, Sik masih memerlukan seorang ahli Parlimen lelaki untuk berkhidmat kecuali di kawasan-kawasan tertentu lain.

    “Ceramah saya itu dalam dialek kampung saya (dan) dalam konteks Sik dengan geografi, sosio-ekonomi, sosio-budaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.

    “Kesesuaian calon yang hendak diundi di Sik itu adalah calon lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) PN di Padang Sera, Jerlun.

    Dalam ucapannya sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, UMNO memilih calon ‘betina’ di Sik walaupun terdapat lebih ramai ‘jantan’ dalam parti itu.

    Menurutnya, wanita tidak mampu untuk melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen di situ kerana kawasan yang luas, berkedudukan luar bandar serta memiliki ramai orang susah menyebabkan wakil rakyatnya akan diperlukan setiap masa.

    Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, sebagai penduduk yang tinggal lama di Sik, beliau lebih memahami keperluan Parlimen itu untuk diwakili seorang lelaki berbanding wanita.

    “Saya duduk situ lama dah semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan ahli Parlimen sebelum ini lelaki dan keperluan itu masih ada sampai sekarang.

    “Macam di Kuala Lumpur dan sesetengah kawasan bandar sesuai sangat perempuan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya.

    Justeru, pihak yang mendesaknya untuk memohon maaf perlu memahami dialek Sik dan menyangkal tuduhan bahawa beliau memperlekeh golongan wanita.

    Malah, beliau mengakui dalam sesetengah keadaan wanita lebih kehadapan berbanding lelaki dengan mengambil contoh jumlah kaum itu yang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi berbanding lelaki.

    PN mengekalkan penyandang Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menampilkan calon wanita iaitu Maizatulakmam Othman dan Datuk Latifah Md. Yatim.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi turut memohon maaf berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir yang menyatakan mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

    “Pemuda Pas itu pun dah minta maaf, dia terlanjur dia kata. Saya pun tengok video itu. Saya rasa banyak orang yang melakukan kesilapan sepanjang hidup kita ini dan Alhamdulillah masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang pemaaf,” katanya.

  • PRU-15: Mas Ermieyati tawar 5 teras manifesto PN Masjid Tanah

    PRU-15: Mas Ermieyati tawar 5 teras manifesto PN Masjid Tanah

    PENYANDANG Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berikrar melaksanakan lima teras manifesto Perikatan Nasional (PN) Masjid Tanah untuk dilaksanakan jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Lima teras manifesto itu merangkumi aspek pendidikan, belia dan anak muda, peluang ekonomi dan keusahawanan, kesejahteraan dan kebajikan serta infrastruktur kampung dan ameniti awam bagi memajukan kawasan parlimen diwakilinya.

    “Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi menawarkan lima teras itu sebagai perkara utama akan saya laksanakan jika dipilih mewakili rakyat Masjid Tanah pada 19 November ini,” katanya berucap melancarkan manifesto berkenaan di perkarangan Bilik Gerakan Utama PN, malam ini.

    Hadir sama, Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Masjid Tanah yang juga Pesuruhjaya Pas Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman.

    Mas Ermieyati bakal ditentang calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid; Handrawirawan Abu Bakar mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Mutalib Uthman, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

    Mengulas lanjut, Mas Ermieyati turut bercadang menyediakan pusat tuisyen khusus untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) khusus untuk pelajar keluarga B40 dan M40.

    “Kami mahu mewujudkan akademi kecemerlangan anak Masjid Tanah, pusat sukan elektronik untuk anak muda mengasah bakat dalam bidang e-sukan dan akademi kecemerlangan dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) untuk belia serta anak muda,” katanya lapor BH Online.

    Beliau berkata, turut dijanjikan adalah peluang ekonomi dan keusahawanan bagi memperkasa agenda ekonomi digital, menyediakan pusat pengumpulan dan pemasaran produk kraftangan, hasil pertanian dan produk perusahaan kecil dan sederhana.

    Bagi meningkatkan infrastruktur kampung dan ameniti awam, beliau bercadang menaik taraf prasarana pelancongan, terutama di pantai peranginan Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak.

  • Replika pesawat PN jadi tarikan pengunjung ke Sik

    Replika pesawat PN jadi tarikan pengunjung ke Sik

    REPLIKA sebuah pesawat Boeing 737 yang bertemakan bendera Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke sebuah kampung di Sik, Kedah.

    Lapor Free Malaysia Today, oleh kerana jumlah pengunjung yang ramai, penduduk terpaksa membantu mengawal lalu lintas dan menyediakan tempat letak kereta khas untuk pelawat yang datang ke Kampung Batu Besar, lokasi pesawat itu berada.

    Antara pengunjung yang hadir termasuklah, sekumpulan 35 penyokong Pas yang menunggang motosikal selama lima jam dari Gerik, Perak ke kampung itu.

    Ibrahim Ahmad, 46, dia dan kawan-kawannya memutuskan untuk berkonvoi menaiki motosikal ke Sik selepas melihat satu video di TikTok mengenai kapal terbang itu.

    Satu pondok kecil berhampiran turut menyediakan makanan percuma kepada pengunjung. Pelawat yang merakamkan gambar di replika pesawat itu turut menyumbang dalam tabung derma bagi membantu kempen pilihan raya Pas.

    Pelawat masuk ke dalam “kabin” pesawat itu yang dihiasi lukisan mural pada dinding.

    Replika pesawat itu sebenarnya dibina seorang penyokong Pas kira-kira empat tahun lalu dan dicat dengan warna parti itu. Ia sekali lagi menarik perhatian orang ramai selepas dicat dengan tema biru PN.

    Pelawat boleh masuk ke dalam kabin menggunakan tangga yang dilengkapi dengan kipas siling, lampu chandelier dan dialas dengan tikar mengkuang. Dindingnya pula dihiasi lukisan mural sungai dan hutan serta watak kartun.

    Penyokong Pas yang juga penyelia tapak, Mat Piah Hat, 51, berkata, replika itu dibina untuk kempen pilihan raya umum 2018. Penduduk kemudiannya mengecat replika itu bagi menandakan kerjasama parti itu dalam PN.

    “Kira-kira 10 orang mengecat pesawat ini. Kami mengambil masa lima hari dan lima malam untuk menyiapkannya. Ia adalah usaha komuniti ini,” katanya.

    Seorang ahli perniagaan membiayai kos membina replika pesawat itu dan beliau juga membenarkan ia ditempatkan di depan halaman rumahnya.

    Katanya, penyokong Pas sebelum ini pernah membina replika helikopter daripada buluh dan menghiasnya dengan simbol Pas.

    Mat berkata, pesawat itu melambangkan masa depan Pas, di mana parti itu suatu hari nanti akan melonjak lebih tinggi dan bakal memerintah kerajaan.

    Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Razif berkata, kampung itu kini menjadi “mercu tanda Sik” walaupun terletak 12km dari pusat bandar itu.

    “Apabila saya beritahu saya dari Sik, ramai yang garu kepala. Tetapi apabila saya cakap saya berasal dari kampung yang ada kapal terbang Pas, mereka semua tahu,” katanya.