Author: Wartawan WartaRakyat

  • Maszlee dihalau mangsa banjir ketika lawat PPS

    Maszlee dihalau mangsa banjir ketika lawat PPS

    BEKAS Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dihalau seorang penduduk kampung ketika beliau melawat sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Simpang Renggam, Johor, pagi tadi.

    Video insiden itu yang tular di media sosial menunjukkan Mazlee memberitahu beliau dihalang memasuki PPS Sungai Linau untuk bertemu mangsa banjir.

    “Saya mahu membantu mereka. Sejak lima tahun lalu, setiap kali berlakunya banjir saya akan datang ke sini.

    “Tetapi, kali ini saya rasa pelik kerana tidak dibenarkan (masuk),” katanya yang mendakwa ahli politik UMNO dibenarkan masuk, lapor Free Malaysia Today.

    Seorang warga emas lelaki juga dilihat menjerit ke arah Maszlee dan bertanyakan bekas menteri itu apa yang beliau lakukan untuk membantu penduduk setempat.

    Dua anggota polis kemudiannya menenangkan lelaki itu dan mengiringinya keluar dari sana.

    Tidak lama kemudiannya, seorang lagi lelaki menghampiri Maszlee dan memberitahunya ahli politik tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

    Lelaki itu meminta Maszlee, yang juga calon Pakatan Harapan Simpang Renggam, meninggalkan kawasan itu dan beliau akur.

  • 4 sekeluarga maut dalam perjalanan sambut hari jadi atuk

    4 sekeluarga maut dalam perjalanan sambut hari jadi atuk

    EMPAT Sekeluarga maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang Tiga, Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, pukul 7.45 pagi tadi.

    Mereka yang terkorban ialah Ibrahim Daud, 71, isterinya, Latipah Dorahim, 66, menantu, Syazana Tharin, 30, serta cucu, Yusuf Daniel Muhammad Izwan, 5, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

    Difahamkan, kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dalam perjalanan ke Langkawi bagi meraikan Ibrahim Daud yang menyambut tarikh kelahirannya hari ini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah lagi kereta terlibat jenis Toyota Land Cruiser cuba keluar daripada simpang untuk membelok ke kanan sebelum hampir melanggar Toyota Estima yang sedang meneruskan perjalanan.

    “Pemandu MPV, Muhammad Izwan Ibrahim, 30, yang sedang meneruskan perjalanan cuba mengelak ke arah kanan dan membrek sejauh lima meter tetapi melanggar juga Land Cruiser di bahagian kiri hadapan.

    “Kejadian itu menyebabkan mangsa lelaki warga emas meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan Ismail meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri, menantu dan seorang cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

    “Pemandu Land Cruiser turut ditahan jam 11 pagi tadi semasa memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah dan hasil ujian saringan air kencing didapati negatif dadah,” katanya lapor Astro Awani.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    Undi pos tentera sudah bermula 7 Nov – Affendi

    PROSES membuang undi bagi anggota tentera (ATM) yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 November lalu.

    Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Affendi Buang selain itu berkata, bagi pengundian awal Selasa ini pula, seramai 146,737 anggota dan pasangan akan mengundi di 153 pusat mengundi yang telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurutnya, adalah menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan berjalan dengan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah sepertimana rakyat Malaysia yang lain.

    “ATM juga sentiasa menyokong proses dan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

    “Atas kesetiaan kepada Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kenyataan itu menyusul selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk SeriAnwar Ibrahim mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mempertikai dakwaan Anwar dan menyifatkan dawaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat terhadap anggota pasukan keselamatan.

    Mengulas lanjut Affendi berkata, apa yang penting pihaknya akan terus memfokuskan keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

    “Apatah lagi, ketika negara kini telah mula memasuki musim tengkujuh yang bermula sejak 7 Nov dan akan berlarutan sehingga Mac 2023. ATM kini telahpun bersiap siaga dan bersedia untuk mengatur gerakan aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut.

    “Dalam pelaksanaan PRU-15 terutama pada 19 November nanti, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan perjalanan proses pengundian di seluruh negara berjalan dengan lancar,” katanya.

    Tambahnya, ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta ketika keputusan pilihan raya diumumkan nanti.

  • Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    PEMILIH yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan positif COVID-19 tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam termasuk e-hailing pada hari pengundian 19 November ini.

    Ia antara beberapa langkah am proses pengundian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas di pusat pengundi.

    KKM menerusi hantaran di Facebook berkata, pengundi positif COVID-19 juga disaran untuk tidak singgah di mana-mana tempat sama ada sebelum atau selepas mengundi dengan segera pulang selepas selesai membuang undi.

    “Pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi semua kes positif COVID-19 dan amat digalakkan bagi pengundi lain.

    “Pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan,” katanya hari ini.

    Berdasarkan nasihat am kepada pengundi PRU yang dikongsikan itu juga, pengundi dinasihatkan memastikan tangan dibersihkan dengan pensanitasi tangan di tempat yang dikenal pasti mengundi dan turut disyorkan agar membawa pensanitasi tangan sendiri.

    “Petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi positif Covid-19,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilapor KKM akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 tidak lama lagi.

    Beliau berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat

  • Wan Fayhsal mahu jadikan Machang hub logistik perdagangan, Bandar Ilmu

    Wan Fayhsal mahu jadikan Machang hub logistik perdagangan, Bandar Ilmu

    CALON Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu menjadikan Machang sebagai hub logistik perdagangan serta memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

    Menurut beliau, fokus utama itu akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat untuk menjadi Ahli Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata, kedudukan Machang yang strategik dan berada di laluan perhubungan utama antara jajahan-jajahan di negeri ini dilihat amat sesuai untuk dijadikan sebagai hub logistik untuk perdagangan di Kelantan.

    “Pemain-pemain ekonomi yang mahu bertolak dari Kota Bahru ke Kuala Lumpur dan sebaliknua perlu melalui Machang. Pada masa sama, Machang menjadi penyambung dengan bandar-bandar utama di negeri sini seperti Tanah Merah, Pasir Puteh dan lain-lain.

    “Secara tidak langsung ia cukup strategik untuk dibangunkan sebagai pusat perkembangan ekonomi di luar Kota Bharu.

    “Sebaik sahaja ekonomi berkembang, secara tidak langsung Machang boleh dijadikan sebagai Bandar Ilmu dengan mewujudkan kampus universiti yang baharu, politeknik serta TVET,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Ujar beliau, bagaimanapun TVET merupakan keutamaanya dengan membawa masuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) ke Machang sebagaimana yang diwujudkan di Tanah Merah.

    “Hal ini kerana anak-anak Kelantan mempunyai bakat dalam bidang teknikal serta vokasional dan usaha ini sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Machang sebagai Bandar Ilmu,” katanya.

    Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, selain dua agenda itu, isu melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya, air, infrastruktur belia dan sukan turut akan diperjuangkan olehnya.

    “Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan penghijrahan keluar secara beramai-ramai anak muda di Machang bagi mencari rezeki di tempat lain nanti,” katanya.

    Pada PRU-15, Wan Ahmad Fayhsal akan ditentang oleh tiga lagi calon iaitu penyadang kerusi Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN); Dr. Rosli Allani S Abdull Khadir (Pakatan Harapan) dan Mejar (B) Muhamad Seman (Gerakan Tanah Air).

  • PRU-15:Calon PN yakin menang di Simpang Renggam

    PRU-15:Calon PN yakin menang di Simpang Renggam

    CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd. Fazrul Kamat meletakkan keyakinan 80 peratus akan menang di kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, keyakinan itu dilihat selepas lapan hari berkempen susulan maklum balas yang diperoleh berdasarkan kempennya bertemu pengundi.

    “Rata-rata pengundi Simpang Renggam meluahkan rasa mahukan pemimpin dalam kalangan anak tempatan kerana lebih tahu apa yang mereka mahukan.

    “Hanya saya seorang sahaja anak tempatan yang menjadi calon di Simpang Renggam. Pengundi Simpang Renggam selesa dengan calon PN.

    “Mereka mendambakan seorang pemimpin yang boleh mewakili mereka di Simpang Renggam,” katanya ditemui pemberita dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Fazrul berkata, beliau turut yakin dapat menandingi calon-calon yang lain berdasarkan perkara itu dan ia merupakam kelebihan yang ada pada dirinya.

    Ditanya mengenai agenda yang difokuskan dalam kempennya, Mohd. Fazrul berkata, beliau lebih mementingkan kepada isu pendidikan kemahiran khususnya kepada anak muda kerana ia lebih penting.

    Katanya, menerusi kemahiran yang dimiliki anak-anak muda boleh menggunakan ilmu itu untuk menjana pendapatan dalam usaha memperbaiki taraf hidup dan ekonomi keluarga mahupun diri mereka sendiri.

    “Anak muda banyak yang terkesan sebab ada yang tidak memiliki pekerjaan dan itu sudah pasti menjejaskan keharmonian hidup mereka,” ujarnya.

    Sementara itu, Mohd. Fazrul mendakwa, kempen yang dilakukan oleh penyandang kerusi Parlimen berkenaan dan dicalonkan semula untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik, tidak mendapat sambutan warga Simpang Renggam.

    Katanya, meskipun dilihat ramai yang hadir ketika Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan ceramah pada siri jelajahnya di Simpang Renggam baru-baru ini, namun apabila kempen Maszlee tidak dibantu oleh pemimpin-pemimpin utama partinya ia menjadi hambar.

    “Adalah sumber-sumber yang kata, bila mana Dr. Maszlee berucap tiga suku di dalam dewan keluar, tapi kalau Anwar Ibrahim penuh (dewan).

    “Tapi saya tak taulah content ceramah dia itu apa,” kata beliau yang berdepan saingan empat penjuru dengan dua lagi calon adalah dari parti BN dan seorang lagi calon dari parti Pejuang.

  • ‘Anwar mahu selesaikan isu MA63, adakah kamu percaya?’ tanya Abang Johari

    ‘Anwar mahu selesaikan isu MA63, adakah kamu percaya?’ tanya Abang Johari

    “SAYA tanya kamu, adakah kamu percaya? Selepas apa yang berlaku semasa 22 bulan,” soal Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Itu reaksi ringkas Premier Sarawak ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tawarannya untuk menyelesaikan isu hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

    Dalam majlis Tawaran Pakatan Harapan Kepada Sarawak di Kuching pada Sabtu, Anwar memberitahu bahawa isu berkenaan akan diselesaikan tanpa rundingan panjang jika PH diberi mandat untuk menjadi Kerajaan Persekutuan.

    Ia termasuk soal penurunan kuasa yang melibatkan beberapa perkara utama seperti pendidikan di bawah sistem persekutuan.

    Selain itu, ketika ditanya mengenai keterbukaan PH untuk bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abang Johari berkata biar pertandingan berlangsung terlebih dahulu.

    “Kita bertanding dahulu, baru kita tahu, kalau tidak bertanding kita tidak tahu (apa keputusan selepas ini),” kata Pengerusi GPS itu, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang di Esplanade Telaga Air hari ini.

    Semalam dalam majlis sama, Anwar yang juga Presiden PKR menyatakan PH sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk GPS yang kini mentadbir kerajaan negeri Sarawak.

    Namun katanya, perkara itu akan dibangkitkan selepas PRU-15 pada 19 November ini.

  • PRU-15: Anwar yang pengkhianat, Jonathan pulang paku buah keras

    PRU-15: Anwar yang pengkhianat, Jonathan pulang paku buah keras

    DATUK Jonathan Yasin memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan kerusi Parlimen Ranau sebagai tempat pengkhianat.

    Jonathan, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan penyandang kerusi Parlimen Ranau berkata, Anwar yang selayaknya digelar pengkhianat, dan perlu dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau mendakwa, Pengerusi PKR itu juga yang menyebabkan PH berpecah belah pada Februari 2020.

    “Kalau bukan kerana beliau dan konco-konco yang mahu menyingkirkan Tun Dr Mahathir pada masa itu, tidak mungkin ada perpecahan dalam PH.

    “Lupakah mereka bahawa ada janji dan surat hitam putih yang kami tandatangani, mengatakan tidak ada tempoh masa perjanjian peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan Anwar.

    “… Dan sebab itu bila dikatakan pengkhianat, mereka yang menyingkirkan Tun (Mahathir) adalah pengkhianat,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

    Terdahulu, Anwar berkata bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan membantu kempen PH di Ranau, bagi memastikan kemenangan calon mereka, Taufik Dahlan kerana Ranau tempat pengkhianat.

    Pada PRU-14, Jonathan menang di kerusi Parlimen Ranau atas tiket PKR, dengan majoriti 1,076.

    Mengulas lanjut, Jonathan berkata perpecahan yang didakwa berlaku dalam PH, akan memberi kelebihan kepada GRS.

    Dalam pada itu, Jonathan menambah tindakan Anifah yang mahu membantu calon PH di kawasan tersebut juga menunjukkan gabungan itu lemah di Ranau.

    Ujarnya, penglibatan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu tidak akan memberi kesan besar terhadap sokongan kepada GRS.

    “Selama ini, kita dapati bahawa kekuatan Anifah di kawasan Ranau pun tidak lah begitu besar.

    “Sudah terbukti di masa lalu bahawa ada pun sokongan (orang luar) tidak begitu mengugat keadaan GRS di Ranau,” kata Jonathan.

    Pada PRU-15, kerusi Parlimen Ranau menyaksikan saingan lima penjuru.

    Selain Jonathan (GRS) dan Taufik (PH), turut memberi saingan di kerusi berkenaan ialah calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azizul Julirin, Markos Siton (Warisan), serta Datuk Ewon Ebin yang bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

  • Rakyat Terengganu mahu Dr. Ahmad Samsuri kekal sebagai MB

    Rakyat Terengganu mahu Dr. Ahmad Samsuri kekal sebagai MB

    RAMAI pengunjung berpuas hati, ada yang tersenyum puas, ada yang bersorak dan bertepuk tampar di antara satu sama lain.

    Malah, lebih 10,000 pengunjung yang hadir sempena malam pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Terengganu di Rusila, Marang pada 4 November lalu bukan sahaja akur, malah amat berpuas hati dengan kesemua calon yang ditampikan.

    Rata-rata ahli dan penyokong setia Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang hadir pada malam itu berpendapat kesemua calon PN yang ditampilkan mampu membawa kemenangan besar kepada parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.

    Ini kerana kata mereka, nama-nama besar seperti Tan Sri Abdul Hadi Awang (Marang), Ustaz Wan Hassan Mohd. Ramli (Dungun) dan Datuk Ahmad Amjad Muhamad Hashim (Kuala Terengganu) sememangnya sukar digugat.

    Begitu juga dengan calon lain iaitu Che Alias Hamid (Kemaman), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr. Alias Razak (Kuala Nerus, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut) dan Saharizukirnain Abd Kadir (Setiu) sudah pasti mampu memberikan persaingan agak sengit.

    Namun, apa yang mengembirakan kata mereka apabila nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak ‘lekat’ (tidak tersenarai) untuk kerusi Parlimen.

    Sebelum ini, mereka berasa bimbang apabila nama Samsuri sebanyak tiga kali tular menerusi media sosial mengatakan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen.

    Lalu penulis bertanya kepada kumpulan pengunjung terbabit kalau tidak ‘lekat’ kenapa pula berasa gembira sangat, bukan bersedih!.

    “Alahai..kita berharap dan mahukan Dr. Samsuri terus kekal bertanding di DUN dan kekal menjadi Menteri Besar (MB) Terengganu sekiranya PN menang selepas DUN negeri bubar nanti”, ujar salah seorang pengunjung terbabit.

    Baru penulis ingat, beberapa hari sebelum pengumuman calon diadakan, tular poster menerusi media sosial mengenai senarai nama calon-calon PN yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Terengganu termasuk nama Samsuri.

    Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

    Dalam senarai calon yang tular itu Samsuri dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, ada mengatakan di Kuala Nerus dan satu lagi mengatakan di Parlimen Dungun.

    Turut tular bertanding ialah Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Hussain Awang yang dikatakan akan bertanding di Parlimen Besut.

    Bagaimanapun, Samsuri pernah menafikan mengenai spekulasi tersebut yang disifatkan sebagai palsu.

    Selain poster calon, beberapa spekulasi lain yang turut tular mengenai Samsuri termasuklah mengaitkan hubungannya dengan istana yang dikatakan sedikit dingin.

    Berdasarkan itulah, ada laporan mengatakan nama Naib Presiden Pas itu bakal berpindah ke kerusi Parlimen dan tempatnya (DUN Rhu Rendang) bakal diganti dengan Mohamad Khalil Abdul Hadi.

    Sebelum itu, Samsuri pernah memberikan bayangan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen pada PRU-15.

    Ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentagau, Dungun, beliau berkata, tidak bertanding dan buat apa pergi ke kerusi Parlimen?

    Akhirnya, selepas tempoh proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen selesai pada sabtu lalu mendapati namanya tiada, sekaligus segala teka teki mengenai Samsuri telah terjawab.

    Maka itu, rakyat Terengganu khususnya pengundi DUN Rhu Rendang berharap dan mahukan Samsuri terus dicalonkan bertanding di DUN Rhu Rendang dan kekal sebagai MB Terengganu.

    Pada PRU-14 lalu Samsuri yang buat pertama kali bertanding di DUN Rhu Rendang berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 6,028 undi.

    Dalam persaingan tiga penjuru itu, beliau yang memperoleh 13,831 undi berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang mendapat 7,823 undi dan Zarawi Sulong (PKR) yang mendapat 729 undi dan hilang wang pertaruhan.

  • Politik negara bergolak teruk jika BN-PH rancang bentuk kerajaan, dakwa Fadillah

    Politik negara bergolak teruk jika BN-PH rancang bentuk kerajaan, dakwa Fadillah

    SEORANG pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) meramalkan arena politik negara kembali bergolak jika kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) direalisasikan, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut calon GPS bagi Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, bukan sahaja berlaku ketidakstabilan, malah kemelut politik negara juga bertambah buruk jika benar jajaran itu sedang dirancang.

    “Pertama sekali dalam BN itu sendiri, ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong kerjasama BN dan PH,” katanya menurut Astro AWANI.

    Beliau berkata demikan sebagai mengulas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan bergabung dengan PH selepas PRU-15.

    Pada masa sama, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah menyuarakan bahawa strategi itu bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan.

    Hadi juga membangkitkan objektif akhir kerjasama itu adalah “menyelamatkan” pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.

    Dalam pada itu, Fadillah yang juga ketua whip GPS menyeru pengundi memilih GPS demi kestabilan dan keutamaan Sarawak ketika ini ialah menentukan dasar di peringkat Persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil.

    “Jika BN dan PH bergabung, itu hak mereka. Keutamaan Sarawak sekarang ialah menentukan dasar di peringkat persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil. GPS sahaja, jangan fikir yang lain. GPS yang akan dapat menstabilkan politik negara ketika ini,” katanya.

    Isu dakwaan kerjasama BN dan PH itu kemudiannya dinafikan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malah Pengerusi PH-PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan kerjasama antara dua seteru politik itu adalah fitnah.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid dilapor menepis dakwaan kononnya pemimpin parti itu mahu mengecilkan kemenangan BN untuk memberikan kemenangan kepada PH.

    Sebaliknya, beliau yang juga presiden Umno itu berkata, semua parti mahukan kemenangan besar termasuk parti yang baharu bertanding