Author: Wartawan WartaRakyat

  • Anwar tidak boleh mendabik dada kata dia dapat sokongan besar – Muhyiddin

    Anwar tidak boleh mendabik dada kata dia dapat sokongan besar – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh mendabik dada mendakwa Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan yang besar.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang lebih penting adalah menyerahkan kepada pengundi untuk membuat pertimbangan bijaksana di hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    “Takpelah, dalam keadaan sekarang dia boleh kata begitu, tapi kita ada 5 hari lagi. Dia tak boleh mendabik dada kata dia dapat sokongan besar. 

    “Saya pun boleh kata begitu. Tapi yang penting kita nak serahkan kepada pengundi membuat pertimbangan bijaksana,” katanya ketika ditemui pemberita di Himpunan Rakyat PN Best di Taman Keramat, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH itu yang mendakwa gabungan parti diketuainya bakal memenangi 112 kerusi untuk mendapat majoriti mudah dan membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU-15.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga mendakwa, kepimpinan PH hanya mementingkan jawatan, namun beliau lebih memikirkan perkhidmatan yang mampu ditawarkan kepada rakyat setelah membentuk kerajaan.

    “Saya dah jelaskan, apa yang kita tawarkan dan perjuangkan. Yang belah sana (PH) tidak sebut apa pun, bagi dia tidak penting, bagi dia jawatan sahaja.

    “Bagi saya bukan jawatan tetapi perkhidmatan yang kita boleh tawarkan kepada negara, untuk balik dalam keadaan yang lebih baik,” tegasnya.

  • Solidariti PN: Penyokong berhujan, pemimpin pun berhujan

    Solidariti PN: Penyokong berhujan, pemimpin pun berhujan

    Biar basah kuyup akibat hujan lebat, pemimpin-pemimpin kanan Perikatan Nasional serta calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terus berdiri memberi ucapan di atas pentas separuh terbuka, sambil menolak diberikan payung.

    Semua itu dilakukan untuk menghargai ratusan penduduk dan penyokong Perikatan Nasional, terutama anak muda, yang tidak berganjak dari tempat masing-masing biar pun hujan lebat ketika ceramah mega Perikatan Nasional di Taman Keramat di dalam kawasan Parlimen Gombak, malam tadi.

    Ini termasuk Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi penghormatan kepada penyokong parti itu kerana sanggup berhujan untuk kekal mendengar ucapan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional.

    “Inilah hujan rahmat. Saya dapat lihat anda semua tidak berganjak, walaupun dilanda ribut, untuk memastikan kemenangan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 ini,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Orang ramai membanjiri ceramah PN-BEST di Taman Keramat, Kuala Lumpur walaupun hujan lebat membasahi bumi

    Ketika memberi ucapan, Muhyiddin juga menolak payung yang ditawarkan kepadanya, mengatakan dia mahu berdiri bersama-sama dengan orang ramai.

    Terdahulu, hujan renyai bertukar lebat ketika beberapa pemimpin Perikatan Nasional dan calon, mula berucap kira-kira jam 8 malam.

    Melihat kepada penyokong yang tidak berganjak, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga tidak menggunakan payung ketika hujan semakin lebat dan memberikan ucapan di atas pentas terbuka.

    Antara pemimpin lain termasuk Menteri Kanan Pendidikan kerajaan sementara yang juga Naib Presiden Bersatu dan calon Perikatan Nasional Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin. Walaupun, ketika ucapannya hujan paling lebat, namun beliau juga tidak berganjak dan tetap bersama orang ramai.

    Pemimpin lain yang turut berucap ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga calon Perikatan Nasional kerusi Parlimen Gombak; dan calon Perikatan Nasional Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin.

  • PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

    “Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Takiyuddin yang juga calon Parlimen Kota Bharu dalam ucapannya berkata, PRU15 adalah pilihan raya paling getir buat rakyat.

    Katanya, berdasarkan kajian penganalisis politik tiada mana-mana parti yang akan mendapat 112 kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan, sebaliknya perlu bergabung dengan mana-mana parti.

  • Bersatu tegas pertahan kestabilan negara

    Bersatu tegas pertahan kestabilan negara

    BERSATU tegas mempertahankan kestabilan negara walaupun terdapat cubaan mengganggu gugat perkara yang menjadi dasar perjuangan parti itu oleh DAP semasa menjadi anggota Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan selama 22 bulan selepas PRU-14.

    Berikut kenyataan penuh Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau:

    Assalamualaikum wrth. Apa khabar semua?

    BERSATU menjadi anggota PH sebelum PRU-14 dengan satu tujuan untuk menyelamatkan negara daripada kerosakan yang dibuat oleh kerajaan kleptokrat BN.

    Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti politik pribumi yang juga turut disertai oleh orang bukan Melayu sebagai ahli bersekutu, BERSATU mempunyai dasar perjuangan yang sederhana atau moderate sesuai dengan realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

    Perlembagaan BERSATU menetapkan perjuangan BERSATU antara lain adalah untuk:

    Mempertahankan hak keistimewaan Bumiputera dan hak-hak yang sah bagi semua kaum;

    Memelihara Agama Islam sebagai Agama Persekutuan serta menjamin hak semua individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing;

    Menjunjung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu; dan

    Mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin hak kaum-kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

    Dengan mengamalkan dasar perjuangan parti yang moderate inilah kita dapat menjamin kestabilan negara dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Inilah amalan di negara kita sejak zaman berzaman yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan stabil.

    Namun, apabila PH menjadi kerajaan, kestabilan ini mula diganggu-gugat dari dalam kerajaan sendiri. Saya yang berada di dalam Majlis Presiden PH dan Kabinet Kerajaan PH melihat sendiri apa yang berlaku di depan mata saya.

    Ada agenda tertentu yang dibawa oleh DAP yang dominan di dalam PH. Perkara-perkara ini ada kaitan pula dengan tugas saya selaku Menteri Dalam Negeri pada waktu itu.

    Antaranya ialah tindakan DAP menggesa supaya Akta Hasutan dimansuhkan. Selaras dengan Manifesto PH untuk mengkaji undang-undang yang dikatakan zalim, saya telah menubuhkan sebuah jawatankuasa di KDN yang dianggotai oleh pakar-pakar untuk mengkaji cadangan ini.

    Jawatankuasa ini kemudiannya melaporkan kepada saya bahawa Akta Hasutan tidak boleh dimansuhkan begitu sahaja kerana ia melibatkan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Akta ini, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana pihak untuk menimbulkan kebencian terhadap Raja-Raja Melayu dengan tujuan untuk menghasut. Bertindak atas nasihat pakar, saya menangguhkan pemansuhan Akta Hasutan sehingga kajian yang lebih terperinci dibuat.

    Tetapi, pemimpin DAP kecam saya secara terbuka kerana kononnya saya gagal memansuhkan Akta Hasutan. Sedangkan apa yang saya buat ialah mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu yang selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan asas perjuangan BERSATU yang termaktub dalam perlembagaan parti.

    Saya tahu jika saya turuti kehendak DAP, institusi Raja-Raja Melayu akan terdedah kepada penghinaan, keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia akan tergugat dan kestabilan negara kita akan terancam.

    Walau apapun tuduhan yang mereka lemparkan terhadap saya dan pimpinan lain dalam BERSATU, kami tegas mempertahankan kestabilan negara. Inilah dasar perjuangan kami.

  • Terus bersemangat tingkatkan trend peningkatan gelombang sokongan kepada PN – Muhyiddin

    Terus bersemangat tingkatkan trend peningkatan gelombang sokongan kepada PN – Muhyiddin

    JENTERA pilihan raya Perikatan Nasional (PN) diminta terus memperhebatkan kempen bagi meneruskan trend peningkatan gelombang sokongan rakyat kepada parti itu di seluruh negara.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gelombang untuk membawa kemenangan kepada PN nampak jelas dan nyata, bukan sahaja di Shah Alam tetapi seluruh negara.

    “Peningkatan sokongan dalam kalangan orang Melayu meningkat mendadak.

    “Kalau dalam tempoh empat hari ini kita naik sokongan kepada kita sehingga kepada 60 peratus ke 70 peratus, yang tidak jauh sebenarnya, Insya-Allah negara kita akan ditadbir PN dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

    Presiden Bersatu itu berkata demikian ketika berucap di program Ceramah Kelompok Calon PN Parlimen Shah Alam di Flat PKNS Seksyen 18, Shah Alam malam ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut berharap semangat jentera parti tidak luntur dan kekal bersemangat sehingga hari pengundian.

    “Maksud saya tadi semangat kiita jangan luntur sehingga ke saat akhir. Yang paling penting 19 November ini kita keluar beramai-ramai dan pastikan jumlah pengundi Shah Alam harus mencecah 90 peratus,” katanya.

  • Bekas pengurus besar PPNT dipenjara, denda RM1.54 juta

    Bekas pengurus besar PPNT dipenjara, denda RM1.54 juta

    BEKAS Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) dipenjara lima tahun dan didenda RM1.54 juta di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini kerana salah guna kuasa membabitkan pembekalan pejantan dan induk bebiri bagi projek PPNT bernilai RM303,546.

    Che Sa’adon Che Yahya, 58, turut berdepan hukuman penjara dua tahun lagi bagi setiap pertuduhan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

    Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan memilih Syarikat Arcana Jaya Enterprise bagi membuat pembekalan dan menghantar pejantan dan induk bebiri berjumlah RM107,050.

    Tertuduh yang juga Ahli Lembaga Pengarah Gapets Sdn Bhd mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan yang juga milik anaknya.

    Tertuduh sekali lagi didakwa menggunakan jawatannya dengan memilih syarikat sama bagi membekalkan perkara sama untuk projek berjumlah RM196,496.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Gapets di Kuala Terengganu pada 1 November dan 4 Disember 2016.

    Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM540,000 bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara lima tahun dan didenda RM1 juta bagi pertuduhan kedua.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Zul Basyar Saharrudin dan Mohd Zul Azhan.

  • Ramai orang kampung malu mengaku sokong UMNO

    Ramai orang kampung malu mengaku sokong UMNO

    RAMAI ahli dan penyokong UMNO di kampung-kampung sekarang malu hendak mengakui sebagai menyokong parti itu kerana banyak salah laku pemimpin atasan.

    Yang Dipertua PAS Machang, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mereka segan untuk mengaku sebagai ahli atau penyokong UMNO.

    Katanya ramai pemimpin UMNO terlibat dengan penyelewengan sehingga parti itu tidak lagi popular di kampung-kampung.

    “Ramai ahli UMNO sekarang sudah memilih Bersatu, tadi kita lihat yang naik atas pentas tadi wakil mereka, tetapi di belakang ada ratusan lagi ahli ikut keluar parti,” katanya pada Ceramah Umum Machang Bangkit di Dataran Kemuning malam tadi, lapor Harakahdaily.

    Sebelum itu beberapa wakil UMNO menyerah borang menyertai Bersatu. Mereka diwakili Nik Rani Ibrahim, Husin Yaakob, Abdul Rahim Abdullah, Zulhaidi Jusoh, Hanapi Omar, Nasir Mohd Nor, Sulan Jusoh dan Abdul Rahman.

    Sebahagian besar mereka merupakan pemuda UMNO di peringkat cawangan di Machang.

    Dr Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, ratusan lagi ahli UMNO yang akan mengikut jejak langkah keluar daripada parti tersebut.

    Katanya mereka bosan dengan kepimpinan UMNO yang ramai terbabit skandal salah laku sehingga terpaksa berulang alik ke mahkamah.

  • Jangan main api, Mahathir bidas tuduhan PN-Taliban Nga Kor Ming

    Jangan main api, Mahathir bidas tuduhan PN-Taliban Nga Kor Ming

    JANGAN bermain dengan api.

    Itu ingatan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah, Mahathir Mohd. Rais kepada Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang membuat kenyataan berunsur perkauman.

    Mahathir melabel kenyataan Nga yang menyamakan pentadbiran PN dengan ‘Afghanistan’ melampau dan tidak bertanggungjawab.

    “Rantaian pandangan, serangan dan juga kritikan Nga Kor Ming terhadap Perikatan Nasional adalah teori dan pandangan peribadi semata mata, dan menyimpang dari gambaran yang sebenar.

    “Tuduhan dengan mengundi Perikatan Nasional negara bakal ditadbir sepertimana dibawah Taliban di Afghanistan adalah satu tuduhan yang amat berat dan ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kenyataan berbahaya seperti itu berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan Nga perlu berwaspada dalam kata-kata.

    “Kenyataan Nga Kor Ming ini jelas mengguris perasaan umat melayu dan Islam dengan seolah olah mengambarkan pentadbiran dibawah islam bakal berlandaskan ‘barbaric law’ dan menindas rakyat.

    “Disini bahayanya apabila seorang pemimpin berbicara kerana setiap pemimpin ada akar umbinya, dan setiap kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tersebut mampu meraih sokongan yang membuta tanpa mengira kesahihan dalam maklumat yang disampaikan,” jelasnya.

    Malah, Mahathir menegaskan Malaysia sebagai negara berlandaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan menggalakkan suara orang ramai namun perlu disaji dengan fakta dan bukan emosi semata.

    “Rakyatnya berhak menyuarakan pendapat serta pandangan dan ianya tidak bermakna setiap pandangan mahupun pendapat itu bersulamkan rasisme tetapi juga sekadar pendapat peribadi.

    “Dalam menyuarakan pendapat, terutamanya pada anda yang berjawatan dalam politik haruslah lebih peka menggunakan logik akal dan bukan berlandaskan ilmu hati ber-ulam lidah,” katanya, lapor SatuBerita.

    Terdahulu, dalam Bahasa Mandarin, Nga Kor Ming mendakwa sekiranya PN mendapat mandat bagi mentadbir negara selepas PRU-15, negara akan menjadi seperti ‘negara Taliban’.

  • PRU-15:Buka lembaran baharu undi PN untuk sebuah kerajaan yang bersih, stabil

    PRU-15:Buka lembaran baharu undi PN untuk sebuah kerajaan yang bersih, stabil

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera yang akan menjadi kumpulan pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok, diseru supaya membuat pilihan yang betul dalam menunaikan tanggungjawab tersebut.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tas Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka perlu mengundi calon-calon PN untuk memastikan sebuah kerajaan baharu selepas PRU-15 yang lebih baik dan benar-benar berpaksikan rakyat.

    “Pada pengundi-pengundi awal yang akan menjalankan tanggungjawab pada hari esok, saya mohon kerjasama supaya tunaikanlah tanggungjawab anda semua dengan sebaik-baiknya kerana ini adalah hak anda dalam sistem demokrasi untuk memilih mana-mana parti atau pun calon yang boleh bertanding di pilihan raya ini.

    “Dan pastinya harapan dan doa saya supaya saudara semua dan anda semua akan mengundi kepada calon-calon Perikatan Nasional. Undilah Perikatan Nasional.

    “Undi Perikatan Nasional untuk memastikan sebuah kerajaan yang prihatin, tidak putus putus mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, menyelesaikan masalah dan merangka wawasan maju ke depan.

    “Sebuah kerajaan yang BERSIH didasari nilai integriti dan menolak rasuah, menampal ketirisan agar hasil kekayaaan negara kekal di tangan rakyat. Duit rakyat diurus dengan amanah untuk menjana pembangunan dan merancakkan semula ekonomi,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dengan keharmonian politik yang jitu, menjaga kepentingan semua kaum dan melindungi kedaulatan negara.

    “Jika ini yang anda mahu, undilah Perikatan Nasional. Pangkah Perikatan Nasional di kertas undi.

    “Undilah dengan yakin dan percaya bahawa undi anda akan menyumbang kepada pembentukan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.

    “Jangan termakan janji saudagar mimpi yang belum terbukti atau mereka yang tidak mementingkan integriti,” ujarnya lagi.

    Sehubungan itu Muhyiddin mengajak rakyat terutama pengundi membuka lembaran baharu dengan mengundi gabungan itu pada PRU-15.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, pengundi perlu berani melakukan perubahan tersebut untuk sebuah kerajaan yang baharu selepas PRU-15.

    “Lakukan tanggungjawab anda. Kita buka lembaran baharu, bersama-sama kita menggembleng semangat kesatuan, untuk Malaysia yang lebih aman dan makmur.

    “‘Do what is right. Vote’ Perikatan Nasional. Undilah Perikatan Nasional. Kuasa ada di tangan anda. Pilih dengan yakin dan berani,” katanya lagi yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pagoh.

  • Undi awal: Pengundi dirayu keluar beramai-ramai, pertimbang tawaran PN

    Undi awal: Pengundi dirayu keluar beramai-ramai, pertimbang tawaran PN

    PENGUNDI awal dirayu agar keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 esok.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga diharapkan memberikan sokongan kepada gabungan politik itu atas faktor pemimpinnya yang berkeupayaan, amanah, berintegriti dan bertanggungjawab.

    Menurutnya, manifesto PN akan membantu semua rakyat termasuk kumpulan yang mengundi awal yang sebahagian besarnya adalah penjawat awam.

    “Harapan saya ialah supaya mereka menyokong PN kerana saya fikir mereka boleh buat perbandingan siapa berupaya, siapa yang beramanah, siapa yang berintegriti, siapa yang bertanggungjawab.

    “Penjawat awam ini kita janjikan mereka kenaikan elaun sara hidup (COLA) sebanyak RM100 dan menyediakan lebih banyak kemudahan berkaitan perkhidmatan awam.

    “Jadi itu ada kita sebut ketika parti lain tidak.Jadi harapan saya mereka akan keluar beramai-ramai menyokong PN,”katanya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau difahamkan undi awal melibatkan sebahagian besar pengundi yang layak khasnya penjawat awam.

    “Mereka dirayu agar keluar awal mengundi kerana peratusan tinggi pengundi akan dapat membantu semua parti bertanding terutamanya PN.

    Sementara itu, kira-kira 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera akan menjadi kumpulan terawal menentukan mandat kerajaan, esok.

    Jumlah itu terdiri daripada 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).