Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tok Mat nafi dakwaan jumpa pemimpin PN atas kemungkinan jalin kerjasama

    Tok Mat nafi dakwaan jumpa pemimpin PN atas kemungkinan jalin kerjasama

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak dakwaan beliau menemui pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan kemungkinan menjalin pakatan selepas pilihan raya umum ke-15.

    Katanya, beliau tidak tahu mengenai sebarang rundingan antara pemimpin partinya dengan PAS dan Bersatu seperti yang didakwa Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.

    “Jika ia seperti apa yang didakwa, saya pasti terlibat (dalam rundingan begitu),” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat kepada FMT sambil menambah dakwaan itu hanya taktik berkempen.

    Terdahulu, Anwar hari ini dilaporkan mendakwa pemimpin Pas dan Bersatu menemui beberapa pemimpin UMNO. Pas dan Bersatu sebahagian daripada PN.

    Selain Mohamad, pemimpin PN didakwa turut menemui Bendahari Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    FMT sudah menghubungi Hishammuddin untuk mengulas.

    Dakwaan Anwar itu menyusul kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kemungkinan BN dan PN membentuk kerajaan persekutuan baharu.

    Takiyuddin dipetik Berita Harian sebagai berkata: “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.”

    Tetapi, selepas Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, gabungan itu tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15, pemimpin PAS itu menjelaskan kenyataan diambil di luar konteks.

  • Malaysia perlu calon PM bukan ‘boneka’, tak mudah tunduk tekanan – Ku Li

    Malaysia perlu calon PM bukan ‘boneka’, tak mudah tunduk tekanan – Ku Li

    NEGARA memerlukan calon perdana menteri kuat dan bukan “boneka” yang lemah, selain mudah tunduk kepada tekanan, kata calon Barisan Nasional (BN) di Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Katanya, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), rakyat perlu memilih parti menampilkan calon berkebolehan untuk bekerja selepas diberi mandat menjadi pemimpin dalam memulihkan semula negara selepas serangan Covid-19.

    “Calon PM perlu memiliki kekuatannya tersendiri dan bukan seorang boneka yang begitu lemah, tidak memiliki kekuatan jati diri dan mudah tunduk kepada tekanan.

    “Jadi, kita nak kepada orang bukan nak isi jawatan tetapi mestilah berkelayakan dan boleh bekerja. Kena kerja, kalaulah kerja satu hari 12 jam, jadi sekarang kita nak orang yang bekerja 20 jam,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, untuk menubuhkan sebuah kerajaan cekap dan stabil, pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan memilih calon terbaik.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berulang kali menyebut calon perdana menteri daripada BN adalah naib presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) dalam kempen politiknya mendakwa Ismail bukan calon sebenar, bahkan jawatan itu turut diintai Zahid.

    Menamakan seorang naib presiden dalam tradisi Umno sebagai perdana menteri tidak pernah dilakukan sebelum ini kerana jawatan itu sentiasa diisi presiden Umno selaku pengerusi BN, ketika gabungan itu memerintah kerajaan.

  • PN akan usaha pastikan keperluan Orang Asli dipenuhi

    PN akan usaha pastikan keperluan Orang Asli dipenuhi

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lenggong, Muhammad Rifa’at Razman dan calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, Mohammad Husairi Ariffin menjadi sandaran penduduk menunaikan keperluan mereka.

    Kedaifan rutin hidup dan urusan harian yang sukar akibat ketiadaan kemudahan infrastruktur asas melibatkan jalan tar dan bekalan air bersih serta rumah kediaman diluahkan kepada mereka oleh penduduk Kampung Melila.

    “Itu yang sangat-sangat kami perlukan, kerana itu adalah kemudahan asas bagi penduduk. Kami sudah muak dengan janji-janji mereka (parti lain). Setiap kali PRU, janji nak buat jalan tar. Sampai hari ini janji tinggal janji,” luah wakil penduduk yang ditemui.

    Muhammad Rifa’at dan Mohammad Husairi berkunjung dalam rangka memenuhi undangan ke perkampungan Orang Asal tersebut di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala, Gerik kelmarin.

    Penduduk terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata, sejak merdeka hingga hari ini, jalan perhubungan antara penempatan mereka dengan jalan raya sebahagiannya masih lagi jalan tanah merah.

    Ketua kepada lebih 30 keluarga kampung itu, Bayan Buyeng turut mengakui kemudahan-kemudahan paling asas seperti itu sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh pemerintah yang berkuasa lebih 60 tahun.

    Terdahulu sempena kunjungan itu, Muhammad Rif’aat berkata, terlalu lama Barisan Nasional (BN) diberi peluang memerintah, tetapi pembangunan di kampung-kampung Orang Asal terlalu jauh ketinggalan.

    Dimaklumkan, jalan keluar masuk di situ bukan sahaja masih jalan tanah merah yang sangat teruk berlopak-lopak dan berselut, tetapi juga sering bertakung air terutama pada musim hujan seperti sekarang ini.

    “Kami masuk melalui jalan utama itu, kami merasakan betapa sukarnya bagi orang-orang kampung ini dan seluruh penduduk di RPS Dala ini hendak keluar masuk menggunakan jalan itu.

    “Oleh itu, kalau kita ada kuasa, kita akan cuba usahakan supaya dibina jalan tar untuk kemudahan penduduk,” kata Bayan, lapor Harakahdaily.

    Sementara itu, Husairi berkata, sekiranya PN diberi peluang memerintah, tiga perkara sangat penting untuk dibangunkan iaitu jalan tar; pembangunan Tanah untuk generasi muda Orang Asli dan pendidikan yang lebih sempurna untuk kanak-kanak, terutama Pendidikan Islam.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang lancar operasi carilamat dua kru bot dipercayai hilang

    Maritim Malaysia Pulau Pinang lancar operasi carilamat dua kru bot dipercayai hilang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (cari) bagi menjejaki dua kru bot yang mana bot mereka dijumpai hanyut tanpa kru berhampiran perairan sangkar ikan Batu Maung, Georgetown, Pulau Pinang pagi tadi.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan dari nelayan tempatan berhubung penemuan bot hanyut tanpa kru berhampiran sangkar ikan itu pukul 8.20 pagi.

    Sehubungan itu katanya, Bot KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan bot tersebut.

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi, bot dengan nombor pendaftaran PPS 7216 dijumpai berada di salah sebuah sangkar ikan Batu Maung dan dibawa oleh nelayan berhampiran bagi menggelakkan bot terus hanyut ke lokasi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu dinaiki seorang lelaki, M. Gunalan, 46, dari Bukit Tambun berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai di atas bot.

    Sehubungan itu katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah dimaklumkan berhubug penemuan bot tanpa kru tersebut dan operasi carilamat telah diaktifkan pukul 9 pagi.

    “Hasil maklumat yang diterima dari pihak polis Bukit Tambun, isteri mangsa turut membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya yang keluar ke laut bersama rakannnya, V. Muraley, 53, pukul 5 pagi tadi,” katanya.

    Tambah beliau, isteri mangsa membuat laporan selepas mendapat maklumat daripada komuniti nelayan yang mana bot dinaiki suaminya dijumpai hanyut tanpa kru.

    “Bot itu kemudiannya ditunda oleh bot KILAT 26 ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan ketika melakukan apa jua aktiviti semasa berada di laut.

    “Orang awam juga diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • Ramai Melayu akan tolak BN kerana Zahid, dakwa Hamzah

    Ramai Melayu akan tolak BN kerana Zahid, dakwa Hamzah

    DATUK Seri Hamzah Zainudin mendakwa kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini, sama seperti apa yang dialami oleh BN pada pilihan raya sebelum ini apabila gabungan itu terpalit dengan skandal 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ramai orang Melayu membuat keputusan untuk menolak BN kerana presiden UMNO tersebut.

    Menurut laporan Malaysiakini, menteri dalam negeri itu berkata pengundi bimbang tentang siapa yang akan menduduki jawatan tertinggi untuk memimpin negara untuk lima tahun akan datang dan tidak akan menyokong seseorang yang akan “mencemarkan” imej Malaysia.

    “Sekarang ini ramai Melayu fikirkan bahawa kalau dia undi BN – apakah undi beri satu kuasa kepada Zahid Hamidi untuk menentukan masa depan negara?

    “Rakyat keseluruhan negara, khususnya orang Melayu kata, ‘kami tak mahu ini. Majoriti rakyat tidak mahu perkara ini berlaku.

    “Tetapi ahli UMNO tentulah, presiden suruh buat apa pun buat. Tetapi kita bercakap tentang Melayu keseluruhan dan atas pagar, saya fikir mereka sudah menyedari bahawa yang penting hari ini bukan mengenai parti, tetapi siapa yang kita mahu, nilai moralnya, yang penting, sikap kepimpinan yang ada,” katanya.

    Pada PRU kali ini, kedua-dua PN dan PH memainkan naratif bahawa Zahid sedang mengintai jawatan perdana walaupun BN menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menterinya.

    Seteru BN juga mendakwa bahawa undi untuk gabungan itu diterjemahkan kepada undi untuk Zahid menjadi Perdana Menteri.

    Sementara itu, Hamzah yang dijangka berjaya mempertahankan kerusi Larut di Perak yakin gabungannya mampu menawan Perlis dan menakluki bahagian utara Semenanjung serta menjadikannya kubu kuat PN.

    “Kita sudah dapat Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dalam pilihan raya ini, kita akan ambil alih Perlis. Saya cukup yakin,” katanya.

    Bagaimanapun, dia mengakui menawan kubu DAP di Pulau Pinang adalah satu tugas yang sukar bagi gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan SAPP.

  • Rayuan batal PRU-15 ditolak, hari pengundian diteruskan

    Rayuan batal PRU-15 ditolak, hari pengundian diteruskan

    HARI pengundian pada Sabtu ini tetap akan diteruskan selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan seorang pengundi dan bekas ahli Parlimen untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Lapor Free Malaysia Today, tiga panel hakim yang dipengerusikan Hakim Azizah Nawawi berkata, tiada merit dalam rayuan pengundi Pandan di Kuala Lumpur, Syed Iskandar Syed Jaafar dan bekas ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

    Azizah dan dua lagi panel, Hakim Che Ruzima Ghazali serta See Mee Chun berkata, hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul apabila membatalkan saman difailkan pada 28 Okt itu atas alasan tidak boleh diadili dan dipertikaikan di mahkamah.

    “Budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk bersetuju dengan permohonan perdana menteri bagi membubarkan Parlimen tidak boleh dibawa ke mahkamah atas alasan ia tidak boleh diadili,” katanya.

    Katanya, kedua-dua perayu memohon arahan berbangkit (sekiranya rayuan dibenarkan) tetapi kata hakim, SPR tidak boleh dikawal atau dihalang daripada menjalankan tanggungjawabnya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

    “Ia tidak seiring dengan undang-undang kerana SPR mempunyai tanggungjawab Perlembagaan untuk menjalankan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Rakyat dibubarkan,” katanya.

    Parayu menamakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan dan SPR dalam saman itu.

    Pada 28 Okt lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid menolak saman Syed Iskandar dan Santiago dengan alasan pembubaran Parlimen tidak boleh diadili dan tidak boleh ditentukan mahkamah.

    Ahmad Kamal berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan untuk membubarkan Dewan Rakyat atau tidak selepas menerima permohonan perdana menteri.

    Syed Iskandar yang juga seorang peguam memohon pengisytiharan permohonan Ismail untuk membubarkan Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Okt lalu adalah tidak sah, terbatal dan tiada kuasa atau kesan.

    Santiago pula memohon pengisytiharan permohonan Ismail untuk membubarkan Parlimen tidak mengikut Perlembagaan kerana ia dibuat tanpa persetujuan Jemaah Menteri.

  • Kenyataan Pas bergabung dengan BN bersifat peribadi-Zawawi

    Kenyataan Pas bergabung dengan BN bersifat peribadi-Zawawi

    SETIAUSAHA Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenyataan bahawa Pas berkemungkinan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) adalah satu pandangan peribadi

    “Sebarang kerjasama melibatkan hubungan Pas dengan parti-parti lain perlu diputuskan Majlis Syura Ulama dan menegaskan kenyataan berkenaan tidak mewakili keputusan di peringkat tersebut.

    “Itu kenyataan dan pandangan dia. Bukan kenyataan daripada Majlis Syura. Kadang-kadang ia dimanipulasikan sesetengah pihak.

    “Untuk makluman, hubungan antara parti Pas dengan parti-parti yang lain mesti diputuskan oleh Majlis Syura.

    “Pandangan dan andaian itu saya kira biasa di dalam parti. Saya pun ada buat andaian itu dan andaian ini,” katanya kepada pemberita pada satu sidang medianya di Pejabat Pas Negeri di Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Pas tidak menolak kemungkinan PN akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan secara bersendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

    Dalam kenyataan sama,Takiyuddin bagaimanapun berkata, PN tidak akan sesekali membentuk gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menguasai Putrajaya.

    Menerusi kenyataan itu juga Takiyudin memberitahu, sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini namun yakin BN akan menerima cadangan gabungan itu.

    Mengulas lanjut Muhammad Zawawi berkata, setakat ini tiada keputusan berkaitan hubungan antara parti dibuat sama ada oleh Pas mahupun PN.

  • Guru, 13 murid dikejarkan ke hospital terkena tumpahan raksa

    Guru, 13 murid dikejarkan ke hospital terkena tumpahan raksa

    SERAMAI 13 murid tahun lima dan seorang guru wanita sebuah sekolah rendah, di Kulim, dikejarkan ke hospital selepas terdedah dengan sisa tumpahan cecair raksa, hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 11.20 pagi memaklumkan mengenai kejadian terbabit.

    “Sebuah jentera bomba dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, didapati empat murid lelaki serta sembilan murid perempuan dan seorang guru wanita berusia 36 tahun terkesan akibat tumpahan cecair raksa dalam makmal sekolah terbabit,” katanya lapor BH Online.

    Menurutnya, semua mangsa didapati mengalami kesan gatal dan dikejarkan ke Hospital Kulim.

    “Kita turut memberikan rawatan awal kepada semua mangsa sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk tindakan susulan.

    “Kerja-kerja pembersihan dilakukan di kawasan terjejas dan operasi tamat jam 12.40 tengah hari,” katanya.

  • Peja mengaku beli dua bot ketika PKP

    Peja mengaku beli dua bot ketika PKP

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengaku membeli dua buah bot seperti yang didedahkan sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

    Tangkap layar bot dibeli Ahmad Faizal

    Ahmad Faizal berkata, kedua-dua bot itu dibeli dengan harga RM50,000 dan RM80,000 daripada seorang pelayar Eropah yang terkandas di Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Beliau yang juga calon kerusi Parlimen Tambun menjelaskan, bot itu kemudiannya diubah suai untuk tujuan pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah.

    “Macam mana saya dapat bot ini… pada waktu COVID-19 ada seorang pelayar ini dia datang dari Eropah belayar menggunakan bot tersebut dan sampai ke Langkawi.

    “Apabila kita mengadakan PKP beliau mungkin mendapat tekanan hidup kerana bersendirian di sini, maka membuat keputusan untuk meninggalkan negara ini sebaik kita membuka sempadan.

    “Ketika itulah dia mencari pembeli kepada bot yang dijual dengan harga yang begitu murah,” katanya menerusi rakaman video berdurasi 2:32 minit di dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau membuat hantaran itu sebagai mengulas mengenai dakwaan pembelian kapal layar yang tular di media sosial sebelum ini.

    Ahmad Faizal berkata, hasil pembelian itu, bot berkenaan dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan di Pulau Langkawi.

    Beliau berpendapat, pembelian bot itu tidak salah dan telah meminta rakannya yang menjalankan perniagaan bot untuk menguruskannya.

    “Yang penting juga dapat untuk anak-anak Melayu di Langkawi dapat bekerja sebagai kapten dan kru. Terima kasihlah kepada siapa yang telah cuba mempromosikan apa yang saya ada di Langkawi itu,” kata Ahmad Faizal lagi lapor Astro Awani.

  • Tawaran PN BEST peruntuk RM1 bilion rancakkan sektor pelancongan

    Tawaran PN BEST peruntuk RM1 bilion rancakkan sektor pelancongan

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan, sektor pelancongan negara antara terjejas teruk susulan daripada penularan pandemik Covid-19.

    Berdasarkan laporan dikeluarkan oleh kementerian berkaitan, sektor berkenaan memerlukan masa sehingga lima tahun untuk pulih sepenuhnya seperti sedia kala.

    Sedar akan kepentingan sektor pelancongan kepada sumber pendapatan negara, Perikatan Nasional (PN) melalui manifesto Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST akan menyediakan dana khas sekiranya diberi mandat kelak.

    Tawaran tersebut terdapat di dalam Tunjang 6 PN BEST yang antara lain memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi merancakkan sektor pelancongan domestik.

    “Sektor pelancongan bernilai tinggi dan bertaraf dunia akan dirancakkan dengan menyediakan RM1 bilion dana khas pelancongan.

    “Ini bagi mewujudkan produk baharu pelancongan domestik, khususnya yang berkaitan dengan keindahan alam di negara kita, dengan penglibatan pengusaha PMKS,” kata Muhyiddin, lapor Utusan TV hari ini.

    Kelihatan golongan belia gembira ketika membaca Manifesto Perikatan Nasional selepas Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata demikian ketika melancarkan manifesto berkenaan, baru-baru ini.

    Selain itu, PN juga akan mewujudkan Badan Bertindak Bencana Alam dan Perubahan Iklim Kebangsaan bagi melindungi khazanah alam milik negara.

    Badan berkenaan akan bertindak sebagai agensi yang akan menangani masalah banjir dan bencana alam secara lebih cekap serta berkesan.

    Inisiatif ini bertitik tolak daripada isu pemanasan global dan perubahan iklim yang memberi kesan besar kepada kelestarian alam sekitar serta kehidupan rakyat di negara ini.

    Selain daripada kejadian banjir besar yang telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda bernilai berbilion ringgit.